24 April 2009

Mahathir atau Najib PM?

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) -"Seolah-olah macam dia Perdana Menteri pula sekarang ini."

Demikian pandangan yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa kepada Harakahdaily dalam satu wawancara semalam.

Menurutnya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dilihat mempunyai pengaruh ke atas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

"Saya melihat unsur mempengaruhi itu ada dalam kabinet Najib ini.Mutakhir ini saya tengok makin banyak kelibat Tun Mahathir di atas pentas.

"Dia juga buat kenyataan dalam akhbar, hadir dalam program-program besar kerajaan dan mendapat liputan yang agak menyerlah di dalam media.Seolah-olah macam dia (Mahathir) pula PM sekarang ini,"jelasnya.

Dalam pada itu, Nasharuddin dalam mengulas mengenai kabinet 'Mesra Rakyat' yang dibentuk Najib menjelaskan, memang wujud pertikaian terhadap anggota kabinet yang dilantik.

"Berkenaan kabinet mesra rakyat,bagi saya ada lagi yang boleh dipertikaikan terutamanya pelantikan mereka yang telah ditolak oleh rakyat, dalam kabinet hari ini mereka bukan sahaja ditolak oleh parti tetapi rakyat.

"Tanpa saya menyebut nama sesiapa pun menteri atau timbalan menteri, kita semua sudah mengenai hal tersebut.Ada di kalangan menteri atau timbalan menteri yang dilantik itu yang menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat,"jelasnya lagi.

Tambahnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ada perubahan yang mahu atau cuba dibuat oleh Najib dalam peringkat awal pemerintahannya.

"Tetapi saya rasa masih terlalu awal untuk dinilai sama ada positif atau sebaliknya perubahan yang cuba diusahakan Najib,"tegasnya. Harakahdaily.

SPRM: Tak cukup bukti dakwa Fairus

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan keterangan yang diperolehnya berhubung siasatan terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR, tidak mempunyai asas untuk mendakwanya.

Menurut kenyataan SPRM hari ini, keputusan itu dibuat setelah SPRM meneliti kes itu dengan mendalam dan mengambil kira keseluruhan keterangan yang terdapat dalam siasatan itu.

"Peguam Negara juga bersetuju atas keputusan ini setelah dimaklumkan kepadanya," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kononnya dua pemimpin PKR negeri itu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai, lapor Bernama.

Pendedahan berkenaan dibuat oleh Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizuddin Ahmat Februari lalu dan ia dipercayai menjadi punca kepada peletakan jawatan Fairus sebagai timbalan ketua menteri I dan ADUN Penanti.

Menurut kenyataan itu, siasatan SPRM mendapati tugas dan tanggungjawab di bawah portfolio Fairus tidak ada kaitan secara langsung dengan perusahaan kuari di Pulau Pinang.

"Beliau hanya diberi tugas mengendalikan siasatan kes pemberian tanah di Lot 954 dan 955, Mukim 20, Seberang Perai Tengah kepada seseorang, dan siasatan mendapati beliau ada meminta dan menerima pembiayaan daripada seorang pengusaha kuari bagi menghadiri satu kursus antarabangsa di London," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut SPRM, pengusaha kuari yang memberi sumbangan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap Fairus.

"Siasatan mendapati Fairus telah pergi menghadiri kursus antarabangsa di London pada pertengahan tahun 2008 bersama-sama dengan TimbalanKetua Menteri II Pulau Pinang (P Ramasamy) yang mana Ramasamy dibiayai sepenuhnya oleh pihak penganjur dan kerajaan negeri," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga, SPRM mengingatkan kerajaan negeri, kementerian dan jabatan agar mematuhi peraturan dan tatacara permintaan serta penerimaan sumbangan daripada pihak luar.

SPRM akan menghantar pegawainya ke Pulau Pinang untuk menjalankan kajian bagi meningkatkan ketelusan dan akuantabiliti melalui prosedur dan tatacara penerimaan sumbangan atau derma dari pihak luar.

"Hasil kajian ini akan dicadangkan untuk diterimapakai oleh lain-lain negeri dan kementerian," menurut kenyataan itu.

Ceramah di Johor Bharu malam ini.

Saya memenuhi jemputan untuk berceramah di Johor Bharu malam ini, selain itu satu dailog dengan masyarakat Tionghua diadakan pada jam 5.00 petang ini.

Petunjuk

“Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun” (QS. Al-Baqarah: 156).

Apa yang paling dicari setiap hamba di dunia ini? tentunya petunjuk dari Allah SWT. Sebabnya ialah hidup dengan petunjuk Allah kita akan selalu merasa tenang, tidak terombang-ambing, tabah, dan sabar. Perasaan itu akan selalu setia menyertai hati dan pikiran, meskipun di saat di timpa musibah.

Di kala ditimpa musibah, tidak akan segera menyesalinya, apalagi mengutuknya. Sebab, selalu saja terasa bahawa apa yang sudah dimiliki adalah berasal dari Allah, sehingga pada waktunya akan kembali kepada Allah. Makanya, mulut dan hati akan mengiringi setiap musibah kecil atau besar dengan mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun”.

Lagipun dalam Al-Qur’an seawalnya sudah dijelaskan bahwa manusia akan dicuba dalam hidup ini. Cubaannya dalam bentuk ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Bagi orang-orang yang tabah ketika ujian itu diberikan, akan menjadi manusia yang berkualiti. Orang-orang itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Allah. Orang-orang seperti itulah yang disebutkan dengan orang-orang yang mendapat petunjuk (QS. Al-Baqarah: 157).

Kerana itu, kita perlu sentiasa berdoa dan berusaha agar selalu hidup dalam petunjuk Allah. Usaha yang penting berupa menjauhi cara hidup yang dilarangNya, seperti berbuat zalim kepada orang lain. Sebab, orang-orang yang zalim disebutkan dalam Al-Qur’an tergolong dari orang yang tidak akan mendapat petunjuk Allah (QS. Al-Qasas: 50).

Mahkamah benar permohonan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menjadi pencelah dalam kes semakan kehakiman Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mendapatkan pengisytiharan beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Terengganu : Idris kuasai DUN, Ahmad kuasai parti.

KUALA TERENGGANU, 22 April : Selepas kem Idris Jusoh mendakwa dapat sokongan majoriti anggota Dun Terengganu, kem Menteri Besar Datuk Ahmad Said pula mendakwa mendapat sokongan tujuh dari lapan bahagian Umno dalam negeri Terengganu.

Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan dalam wawancara dengan Siasah berkata, pihaknya mendapat sokongan majoriti pemimpin Umno di Terengganu

Bagi Rosli, adalah silap Kelab Penyokong Kerajaan yang diketuai Datuk Rosol Wahid membuat 'road show' mengenai isu ini kerana ia seolah-olah mendedahkan pertikaian dalam parti secara terbuka.

Beliau juga berkata, Ahamd Said dilantik oleh Tuanku Sultan Terengganu atas cadangan Perdana Menteri dan adalah tidak wajar pemimpin Umno lain membuat kacau sehingga boleh ditafsirkan menderhaka kepada raja. siasahdaily.

Dilarang hadir Dewan Rakyat: Gobind saman 4 pihak termasuk kerajaan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo memfailkan saman terhadap Speaker Dewan Rakyat dan tiga pihak yang lain berhubung keputusan menggantung beliau daripada menghadiri sidang Parlimen selama tahun berkuat kuasa bulan lalu.

Tiga pihak lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz; Setiausaha Dewan Rakyat dan kerajaan Malaysia.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, beliau menggariskan keputusan menggantung beliau dari Dewan Rakyat selama setahun termasuk kehilangan elaun adalah tidak sah.

Gobind diwakili oleh Karpal Singh & Co.

Pada 16 Mac lalu, Gobind digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama 12 bulan termasuk tidak akan menerima sebarang bayaran elaun dan kemudahan lain sebagai Ahli Parlimen kerana dua kenyataannya yang menghina Dewan pada 12 Mac.

Tindakan itu diambil berikutan Gobind mengeluarkan kenyataan mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu Timbalan Perdana Menteri terbabit dalam kes pembunuhan dan menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 12 Mac lalu.

Penggantungan itu diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah pengundian sebulat suara daripada Ahli Parlimen kerajaan yang hadir dalam persidangan Dewan.

Nazri telah mencadangkan satu usul menggantung Ahli Parlimen Puchong di bawah Perkara 27(3) Peraturan Mesyuarat di mana satu notis segera dikeluarkan di hadapan Speaker Dewan Rakyat.Mstar.