14 Jun 2012

'Umno! tunggu saya di Johor' - Salahuddin

24 Rejab 1433H. [MOD] -

BANGI: Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub (gambar) berkata, beliau tidak akan berganjak dengan keputusannya untuk balik bertanding di negeri kelahirannya di Johor pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, biarpun Umno mendakwa ianya sebagai 'tindakan bunuh diri', namun demi perjuangan katanya, beliau tidak akan berpatah balik.

"Siapa terbunuh, siapa dibunuh, tunggu saya di Johor," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kompleks Sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi malam tadi.

Selepas beliau mengumumkan akan balik bertanding di Johor, banyak pihak khususnya rakyat negeri itu menerima baik kepulangan beliau ke negeri itu.

Ianya sekaligus menggusarkan Umno apatah lagi dengan desas-desus beliau akan dicalon sebagai menteri besar jika Pakatan berjaya di negeri itu.

Dan terbaru ada yang mengatakan beliau ibarat membunuh diri kerana kerusinya di Kubang Kerian dilihat kerusi selamat untuk beliau.

Mengulas perkara itu, Salahuddin menujukan pantun berikut kepada Umno.

"Buah Salak masak sepiring, dibawa orang dalam perahu, seekor si jalak seekor si biring, ayuh bertarung kalah menang belum tahu.

"Limau Bantan masak di tingkap, budak-budak melempar tempurung, harimau di hutan sedang kita tangkap, inikan pula cicak mengkarung," katanya.

Sementara itu turut berceramah malam tadi adalah Yang Dipertua PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi yang menyertai PAS, Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain.

Hadir juga malam tadi Adun Bangi Dr Shafie Abu Bakar dan bekas penyanyi dangdut Iwan yang turut menyampaikan empat buah lagu dakwahnya.

Harakah Daily

1 ulasan:

Huda Al Hadi berkata...

Insyaallah perjuangan mu seperti panglima "SALADIN" (dalam dialek Inggeri).