14 Jun 2012

Penganggur didakwa tipu RM40,000 wang pesara

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menipu seorang pesara menyebabkan warga emas terbabit menyerahkan RM40,000 kepadanya, tahun lalu.

Tuduhan terhadap Shee Fook, 64, dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan dihadapi Fook, dia bersama tiga yang masih bebas didakwa memperdaya Mohd Nor Mat Hassan, 76, sehingga mangsa menyerahkan RM40,000 bagi tujuan mengelak pengenaan cukai pendapatan berserta dengan pembayaran sewa tanah sebanyak lima tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 3.15 petang, 7 Ogos di sebuah kedai makan di Jalan Kebun Sultan, di sini.

Dia yang berasal dari Kampung Kuala Satap Sebuti, Sarawak itu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah.

Susulan penafian itu, Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor menetapkan 12 Ogos depan sebagai sebutan semula kes, sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman

Sinar Harian

Tiada ulasan: