14 Jun 2012

Haji: Pembodek Umno wajar ‘tadah’ kitab fiqh

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh dan bersetuju dengan saranan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Abdul Rani Osman supaya para petugas parti yang terlibat secara langsung untuk menggerakkan jentera parti bagi menghadapi pilihanraya umum yang ke 13 supaya ‘menangguhkan’ hasrat untuk menunaikan haji pada tahun ini sekiranya terpilih.

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, ini kerana keperluan untuk menukar pemerintah di peringkat pusat sekarang ini adalah terlebih penting di dalam pilihanraya nanti supaya rakyat akan dapat diselamatkan daripada penindasan dan kezaliman pemimpin Umno dan Barisan Nasional selama ini.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggap isu sensasi berkenaan penangguhan pemergian haji ini bukanlah isu yang besar sekiranya Umno dan Barisan Nasional mengamalkan sikap politik yang bertamadun,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sekiranya sejak awal lagi sudah ditetapkan tarikh untuk pembubaran Parlimen dan persediaan untuk menghadapi pilihanraya maka ianya akan menyelesaikan banyak perancangan-perancangan pelbagai pihak.

Tetapi, ujarnya Umno dan Barisan Nasional sememangnya spesis penakut dan pengecut yang hanya mahu mendapat kelebihan di atas kesusahan dan kepayahan orang lain.

Tambahnya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyelar beberapa kenyataan dangkal pemimpin-pemimpin Umno yang cuba untuk mengambil kesempatan menjadi populis di atas isu ini.

“Sememangnya sifat orang yang suka bermuka-muka dan berpura-pura akan terserlah apabila cuba mengekploitasi isu agama sedangkan dalam masa yang sama merekalah juara di dalam menghina agama mereka sendiri samada dalam bentuk tindakan, pemikiran, kenyataan dan tingkah laku,” ujarnya.

Oleh itu, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia amat bersetuju dengan saranan Dr Rani supaya pemimpin, pembodek dan penjilat Umno perlu ‘menadah kitab’ untuk belajar berkenaan dengan Kitab Fiqh Keutamaan karangan Dr Yusuf Al Qardhawi bagi lebih memahami tuntutan dan kepentingan sesuatu perkara di dalam Islam.

Harakah Daily

Tiada ulasan: