14 Jun 2012

Noh akui masalah sebenar air di Selangor

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar akhirnya mengaku bahawa masalah sebenar air di Selangor kerana keengganan syarikat-syarikat konsesi menerima tawaran kerajaan negeri untuk menstruktur semula perkhidmatan air.

"Noh secara tidak langsung mengakui bahawa isu air di Selangor hanya akan selesai jika kerajaan negeri dibenarkan untuk menstruktur semula bekalan air yang akan memberi perkhidmatan lebih berkualiti, cekap dan pada harga munasabah kepada pengguna di Lembah Klang," kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Katanya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu telah sedar bahawa kekurangan rezab air terawat yang kini dikatakan sekitar 2.,4 peratus adalah kerana ketidakupayaan SYABAS dan Puncak Niaga menguruskan rawatan air bersih seperti yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi.

"Kita amat menghargai keprihatinan Noh yang mengakui penstrukturan semula ini menjadi jalan buntu kerana syarikat konsesi enggan menerima tawaran Kerajaan Selangor. Namun begitu, kita mempunyai beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Noh.

"Adakah Noh tahu perjanjian konsesi ini melibatkan tiga pihak di mana Kerajaan Pusat turut terlibat?

"Sebagai Menteri Kabinet dari Selangor, apakah yang telah beliau lakukan untuk memujuk kerajaan Pusat membenarkan penstrukturan semula ini diselesaikan seperti yang dikehendaki Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA)," ujarnya

Tanya beliau lagi, adakah Noh tahu Kerajaan Selangor menawarkan keuntungan 12 peratus kepada syarikat-syarikat konsesi bagi mengambialihan ini yang menepati piawaian antarabangsa.

"Jika Noh tahu tentang perkara ini, adakah ini bermakna beliau setuju dengan permintaan SYABAS dan Puncak Niaga yang meminta keuntungan sehingga 75 % (untuk pengambilalihan) dan akhirnya rakyat terbeban dengan kenaikan tarif air.

"Adakah Noh berani untuk mengakui beliau lebih mengutamakan kepentingan SYABAS dan Puncak Niaga berbanding kebajikan rakyat? Adakah beliau mempunyai sebarang kepentingan atau bersekongkol dengan dua syarikat konsesi ini?" soalnya lagi.

Menurutnya, Kerajaan Pusat pada Januari 2008 telah setuju untuk membenarkan Kerajaan Selangor ambil alih perkhidmatan air tetapi membuat ‘u-turn’ selepas UMNO/BN kalah pilihan raya umum 2008.

"Adakah Noh berani mengakui UMNO/BN adalah parti U-turn?" katanya.

Katanya, dalam isu PTPTN juga UMNO telah membuat u-turn tidak sampai 24 jam dengan menjadikan pelajar-pelajar baharu Universiti Selangor (UNISEL) sebagai tebusan politik.

Noh juga, ujar beliau membuat kenyataan ‘merepek’ apabila mendakwa pembekuan pinjaman PTPTN dirancang lebih awal oleh Kerajaan Selangor.

Faekah menjelaskan, Kerajaan Selangor tidak akan sesekali memperjudikan masa depan generasi muda demi menjamin kelangsungan politik.

Malah, kata beliau Kerajaan Selangor tidak perlu pun membuat begitu lantaran sokongan padu rakyat terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang mempunyai pemimpin yang bersih dari skandal lembu atau Scorpene.

"Kita mengaku kewangan UNISEL tidak membanggakan kerana menanggung beban hutang yang diwarisi dari kerajaan UMNO/BN yang lebih tidak cekap menguruskan pembinaan sebuah universiti kerana mengutamakan kroni," jelasnya.

Beliau berkata, KUIS adalah contoh terbaik bagaimana pemimpin UMNO/BN mempergunakan pendidikan untuk anak-anak muda sebagai jalan mudah untuk menambah kekayaan kronik dan suku sakat.

"Begitupun, kita amat yakin dengan kebijaksanaan serta pengalaman Menteri Besar dalam pengurusan kewangan akan menjadikan UNISEL lebih mantap dan sebaris dengan universiti swasta lain.

"Seperti yang dijelaskan Menteri Besar, Kerajaan Selangor tetap akan mengapungkan aset UNISEL untuk mendapatkan dana bagi menguruskan UNISEL dan KUIS," ujarnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: