14 Jun 2012

Peninju 12 negara rebut Tali Pinggang Tok Guru

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Peninju dari 12 negara akan bertarung merebut tali pinggang di kejohanan Royal Kelantan International Boxing Challenge 2012 pada 1 hingga 3 Julai ini bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Peninju terbabit dari Myanmar, Australia, Algeria, China, Thailand, Belanda, New Zealand, Iran, Costa Rica, England, Ireland dan tuan rumah.

Program berkenaan diadakan sempena sambutan Tahun Melawat Kelantan 2012, dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Kelab Boxing Sentosa Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebanyak 17 regu akan dipertandingkan dalam tiga kategori iaitu Super Fight, Title Belt dan Special Fight.

Katanya, peninju akan merebut tiga tali pinggang iaitu malam pertama (Tali Pinggang Kejohanan YTM Tengku Mahkota Kelantan), malam kedua Tali Pinggang Kejohanan KDYMM Sultan Muhammad V.

Dan pada malam ketiga peninju akan merebut Tali Pinggang Tok Guru Menteri Besar Kelantan.

“Tuanku Al-Sultan Kelantan dijangka berangkat menyaksikan perlawanan itu pada malam kedua,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Pengelola Istana Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood dan Pengerusi Kelab Boxing Sentosa Jaya, Datuk Rozali Daud.

Tahun lepas kerajaan negeri menganjurkan kejohanan boksing Siam di Rantau Panjang yang juga disertai peninju luar negara.

Takiyuddin berkata, pada setiap malam pertandingan diadakan hadiah wang tunai sebanyak USD500 akan diberi kepada peninju terbaik.

“Kita akan dapat saksikan perlawanan antara peninju terkemuka dari Thailand yang pernah menyertai perlawanan sebanyak 350 dan 300 kali iaitu Oron Sumalee dan Pit Thaksin.

“Mereka akan merebut Piala Exco Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood. Manakala dua lagi peninju Thailand iaitu Jom Buniyarit dan Sikapirt akan bertarung merebut Piala Exco Pelancongan,” katanya.

Beliau juga berkata, setiap peserta akan dipastikan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan kawalan keselamatan diperketatkan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: