14 Jun 2012

Cubaan rompak ATM gagal

24 Rejab 1433H. [MOD] -

BANDAR TEMERLOH – Cubaan sekumpulan penjenayah melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya, di sini, awal pagi semalam, gagal selepas menyedari terdapat seorang pengawal keselamatan sedang meronda di premis perniagaan itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi semalam, dipercayai dilakukan sekumpulan penjenayah yang menaiki dua kenderaan dengan salah sebuah dikenal pasti jenis Toyota Estima.

Difahamkan, pengawal keselamatan warga Nepal itu menyedari kejadian selepas membuat rondaan kali kedua di dalam premis terbabit.

Dia menyedari terdapat kesan tebukan pada mesin ATM berkenaan dan terus melaporkan kejadian kepada ketuanya yang kemudian membuat laporan polis.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Deputi Superintendan R Sundralingam mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, memang terdapat cubaan melarikan mesin ATM berkenaan tetapi gagal dan polis mengambil pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit untuk siasatan.

“Kita percaya kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila pengawal keselamatan terbabit membuat rondaan kali kedua di dalam premis perniagaan tersebut.

“Siasatan awal mendapati, ada kesan tebukan pada mesin ATM itu dipercayai dilakukan penjenayah sebelum meninggalkannya selepas mengetahui ada pengawal keselamatan sedang bertugas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanyakepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: