14 Jun 2012

Didera dengan besi panas

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu jentolak tidak menyangka tindakannya membenarkan anak tunggalnya menghabiskan masa sepanjang cuti penggal persekolahan lalu bersama bekas isterinya, mengundang padah setelah kanak-kanak itudipercayai didera suami baru wanita terbabit.

Kejadian yang berlaku kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu hanya disedari bapa kandungnya kira-kira jam 12.30 tengah hari, Isnin lalu iaitu semasa dia mengambil semula anaknya di rumah ibunya di Kampung Raja, Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kanak-kanak itu dihantar ke rumah ibu kandungnya di Kampung Gong Macang, Besut, selama enam hari sempena cuti sekolah, sebelum menjemput semula anaknya pada 9 Jun lalu kira-kira jam 7.30 petang.

“Kejadian hanya terbongkar setelah kanak-kanak itu mengadu sakit di bahagian kiri belakang punggung sebelum bapanya membuat pemeriksaan dan terkejut mendapati ada kesan parut melecur serta luka di badan anaknya.

“Lebih mengejutkan, ketika ditanya, kanak-kanak itu menceritakan dia telah didera oleh bapa tirinya dengan besi tajam panas semasa berada di rumah ibunya itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, terkejut mendengar pengakuan jujur anaknya, bapa mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, Besut, kira-kira jam 4 petang hari sama.

Susulan laporan dibuat, suspek yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai penternak ikan ditahan dikediamannya di Kampung Macang, Besut, keesokan harinya kira-kira jam 2 pagi.

Jelas Manoharan, hasil pemeriksaan mendapati mangsa didera menggunakan besi panas tajam dan pihaknya masih menyiasat sama ada luka di jari mangsa disebabkan perbuatan suspek atau individu lain.

“Kami masih menjalankan siasatan terperinci dan suspek yang berasal dari Permaisuri, Setiu kini direman selama empat hari sehingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 30 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut memiliki rekod penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak malang itu berpisah sejak tiga tahun lalu dan bapa mangsa mendapat hak penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, sempena cuti penggal persekolahan, dia dengan rela hati menyerahkan kanak-kanak itu untuk dijaga bekas isterinya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: