21 September 2011

Karut, mana ada kes sejarah dibicara di mahkamah

23 Syawal 1432H. [MOD] -


BUTTERWORTH, 21 Sept: Peguam Mohamed Hanipa Maiden menganggap kes yang melibatkan Mohamad Sabu sebagai kes 'karut' kerana mana ada kes yang berhubung sejarah dibicarakan di mahkamah melainkan di Malaysia.

Sepatutnya, kata beliau ia dibawa ke medan pentas akademik bukan ke mahkamah seperti mana hari ini.

Pagi tadi, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dibebaskan pada pukul 12.15 tengah hari dengan ikat jamin RM15 ribu.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan tahanan dua tahun penjara, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Kes beliau akan disebut sekali lagi pada 27 Oktober ini dan dibicarakan pada 5 hingga 9 Disember depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Beliau dibela oleh Hanipa Maidin dan Amirudin Zulkiply manakala pendakwaan dilakukan oleh Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusuf dan Suhaimi Ibrahim di hadapan Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajudin.

Turut hadir memberikan sokongan moral kepadanya ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Khalid Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Kedah, Nasir Mustaffa dan ramai lagi kepimpinan PAS dari Pulau Pinang dan Kedah.
Sementara itu, Mohamad berkata, beliau sedia dibicarakan dan yakin kesnya akan mencapai kemenangan demi memperbetulkan fakta sejarah yang telah diselewengkan oleh penjajah.

Umno juga ujarnya, akan kalah untuk mempertahankan fakta yang salah sekaligus meranapkan impian Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan pemerintahan negara ini.

"Saya yakin seyakin-yakinnya kita boleh menang kes ini dan Umno tewas dalam hal persejarahan Malaysia ini," tegas beliau ketika berucap ringkas di luar mahkamah.

Katanya, Umno dan BN hanya mahu menggambarkan perjuangan mereka sahaja yang betul mengenai kemerdekaan negara.

"Umno dan BN hanya mahu mengambarkan perjuangan mereka sahaja yang betul tentang kemerdekaan dengan membelakangkan perjuangan orang lain walaupun  mereka lebih ke hadapan menentang penjajah," katanya.

Pejuangan Islam hilang permata berharga

23 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga rahmatullah Dr Burhanuddin Rabbani (gambar) selaku bekas Presiden Afghanistan.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berita pemergian allahyarham Dr Burhanuddin sangat memeranjatkan generasi-generasi pejuang Islam.
DPPM, ujarnya sangat merasakan kehilangan beliau seolah-olah dunia Islam telah kehilangan satu lagi pertama yang berharga.
“Allahyarham adalah leader bagi sebuah jemaah Islam Pakistan yang dikenali sebagai Jamiat-e Islami Afghanistan (Islamic Society of Afghanistan),” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua politik Negara Amerika dan Penerimaan Islam untuk keselamatan Afghanistan (UNIFSA).
Pada tahun 1992, beliau menjadi ketua Jamiat-e Islami dan kemudian menjadi Presiden Afghanistan hingga akhirnya dijatuhkan oleh puak Taliban pada tahun 1996.
Setelah itu, beliau berpindah ke Faizabad yang terletak di bahagian utara, untuk memimpin kelompok anti-Taliban dengan bantuan dan sokongan kuat dari Iran dan Rusia.
Beliau kembali diangkat semula sebagai Presiden oleh PBB setelah jatuhnya Taliban.
Namun setelah itu pada akhir 2001 beliau telah menyerahkan jawatannya kepada Hamid Karzai.
Beliau juga merupakan ketua Barisan Kebangsaan Bersatu yang merupakan pembangkang politik terbesar terhadap kerajaan Hamid Karzai.
Justeru, Dewan Pemuda PAS mendoakan agar pemergian beliau itu mendapat pahala syahid di sisi Allah.
“Sesungguhnya jasa beliau sangat besar dalam memastikan kesinambungan Islam di bumi Pakistan dan secara tidak langsungnya ke seluruh alam,” ujar Nasrudin.

Zaman pemimpin negara serba tahu sudah berlalu

23 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebarang pembaharuan yang hendak dilakukan oleh Perdana Menteri memerlukan usaha bersama antara kabinet mahupun secara memorandum kepada rakyat di luar dan bukannya secara kuasa peribadi.

"Sebarang bentuk pembaharuan yang ingin dilakukan oleh mempunyai muafakat bersama antara kabinet dalaman mahupun pendapat rakyat dan cara sedemikian dilihat akan menghasilkan satu pembaharuan yang lebih baik.

"Perdana Menteri tidak boleh merasakan apa idea yang dikeluarkan untuk suatu pembaharuan adalah yang terbaik, malah kenyataan Pak Lah kerana beliau tidak bertegas dan mahukan Najib lebih bertegas adalah tidak tepat.

"Zaman ketua mahupun pemimpin negara serba tahu sudah berlalu dan dalam keadaan sekarang sebarang bentuk pembaharuan perlu wujudkan satu komuniti yang melibatkan rakyat kerana hasil pembaharuan melalui perbincangan komuniti lebih berkesan daripada idea dari seorang pemimpin dan inilah yang terbaik untuk negara kita," jelasnya ketika dihubungi.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dalam kenyataannya semalam mengharapkan tidak akan ada pihak dalaman yang akan menentang secara senyap seperti ‘gunting dalam lipatan’ dalam sebarang usaha pembaharuan yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh beliau apabila melihat kembali zaman pemerintahannya bahawa sebarang pembaharuan yang ingin beliau lakukan sentiasa ada pihak yang cuba menentang serta menggagalkan usaha beliau itu.

Malah beliau mahukan Najib akan lebih bertegas dengan rancangan-rancangan pembaharuannya sekiranya beliau jelas dengan apa yang dimahukannya.

Tambahnya lagi, sudah menjadi lumrah dalam budaya Umno bahawa idea yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin adalah yang terbaik sedangkan mereka tidak tahu hakikat sebenar idea yang diutarakan oleh mereka.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa pentadbiran Najib Razak sangat jelas mengenai agenda pembaharuan yang hendak dibawa termasuk kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang bakal dimansuhkan berbanding di bawah pentadbiran Abdullah.

"Saya tidak pasti kenapa perkara tersebut diluahkan oleh Pak Lah sekarang, mungkin beliau kecil hati dengan segala tohmahan dan juga tekanan yang dihadapi olehnya.

"Mungkin ini masa untuk beliau menyatakan bahawa selama ini memang wujud individu seperti "gunting dalam lipatan" yang telah menggagalkan pentadbirannya sehingga berlaku peralihan kuasa. Seperti mana yang kita tahu tekanan yang dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamed sebelum ini.

"Malah apa yang disuarakan oleh Mahathir itu sentiasa berjaya dan ada pihak dalaman Umno mahupun kabinet terpengaruh dan ini juga mula dihadapi oleh pemerintahan Najib yang mana Mahathir mula menyatakan pentadbiran Najib tidak akan memberi kemenangan kepada Umno pada pilihan raya nanti.

"Tapi kita jangan lupa selain Mahathir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah terlibat sama menjatuhkan Pak Lah dulu dan ini jelas pada kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin di Singapura yang mahukan Pak Lah meletak jawatan lebih awal.

"Adalah tidak mustahil Muhyiddin sekali lagi bekerjasama dengan Mahathir mendesak agar Najib meletak jawatan dengan alasan mengembalikan kembali sokongan rakyat kepada Umno terutamanya Barisan Nasioanal pada pilihan raya nanti," sambungnya lagi.

Dalam kenyataan Abdullah di Kota Bharu semalam, beliau amat jelas dengan rancangan-rancangan pembaharuan yang hendak dibawanya semasa memegang jawatan Perdana Menteri.

Malah menyifatkan sudah tentu apabila seseorang pemimpin berhasrat membawa pembaharuan, pasti ada kumpulan yang menyokong dan ada juga kumpulan yang menentang.

Bagaimanapun sekiranya pemimpin itu jelas dan tegas, bahawa apa yang hendak dilakukannya adalah sesuatu yang betul, beliau perlu berusaha melaksanakannya.

Muhammad Faizal
HARAKAHDAILY/-

Kurangkan pengaruh syarikat tembakau

23 Syawal 1432H. [MOD] -

Di Malaysia dan seluruh dunia, merokok semakin meningkat dalam kalangan penduduk. Kita kelihatan semakin kalah dalam perjuangan memandangkan lebih ramai orang yang mengamalkan tabiat menagihkan ini.

‘Perang’ antara aktivis prokesihatan yang mendedahkan bahaya merokok dan industri tembakau yang berpengaruh dalam lingkungan anggota kerajaan dan ahli politik begitu berat sebelah. Tidak hairanlah merokok semakin meningkat di sebalik semua usaha yang dilakukan.

Merokok membunuh lebih lima juta orang setiap tahun dan kematian tahunan global diramalkan meningkat kepada lapan juta menjelang 2030. Di Malaysia, terdapat lima juta perokok, daripadanya 0.7% adalah gadis berusia 13 hingga 18 tahun atau 35,000.

Adalah dianggarkan lebih 50% lelaki dewasa merokok dan 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan merokok seperti kanser, penyakit jantung, strok dan penyakit pernafasan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wanita merupakan kira-kira 20% daripada anggaran 1 bilion perokok dunia. Di mana sahaja mereka menjadi sasaran yang berpotensi dan bilangan mereka semakin meningkat.

Asap tembakau dipenuhi dengan ‘racun’ dan fakta ini telah lama dibuktikan dan didedahkan, di sebalik kempen media yang besar oleh industri tembakau untuk mengaburi kebenaran ini.

Program pendidikan kesihatan awam berhubung risiko kesihatan daripada merokok amat penting tetapi ia mestilah selari dengan langkah yang lebih kukuh bagi memaksimumkan kesan untuk membalas iklan oleh syarikat tembakau.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang terhadap peraturan dan penguatkuasaan yang longgar terhadap merokok di Malaysia. Ini menimbulkan persoalan serius berhubung kod etika dan tingkah laku kerajaan dalam menangani perkara yang berkaitan dengan syarikat tembakau. Oleh sebab itu, CAP menggesa supaya langkah segera diambil untuk menghalang daripada meningkatnya tabiat merokok.

A. Mengadakan Kod Tingkah Laku Bagi Wakil Kerajaan

Untuk ketelusan dan menyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan serius dalam membasmi merokok, seharusnya terdapat kod tingkah laku untuk mengawal semua pegawai kerajaan yang ada kaitan dengan syarikat tembakau.

Komunikasi antara pihak mestilah jelas dan terbuka bagi mengawal sebarang pengaruh daripada ahli politik dan pegawai kerajaan terhadap industri atau untuk mengelakkan sebarang kemunculan perbuatan yang tidak sewajarnya.

Ini juga dapat mencegah ‘tanggungjawab sosial korporat’ digunakan oleh syarikat tembakau sebagai muslihat untuk mengadakan acara yang menggambarkan imej positif merokok.

Melalui langkah seperti itu, orang awam dan perokok akan menerima bahawa kerajaan mengambil serius dalam memerangi wabak merokok dan tidak hanya sebagai menunjuk sedangkan mereka berpakat secara sulit dengan syarikat tembakau untuk mempromosikan nama jenama mereka.

Menteri kerajaan, dan wakil kerajaan negeri dan persekutuan lain seharusnya tidak menghadiri atau merasmikan sebarang acara yang disokong, ditaja atau dianjurkan oleh syarikat tembakau kerana ini menunjukkan pengesahan atau pengiktirafan secara tersirat produk mereka.

B. Hapuskan Pengenalan Jenama Pada Bungkusan

Perokok telah menjadi begitu jelak dengan amaran grafik yang tidak lagi menarik perhatian mereka. Pada Jun tahun ini, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengeluarkan lebih banyak label amaran grafik yang baru untuk kotak rokok, termasuk imej pesakit dengan kanser mulut dan lelaki dengan asap rokok keluar daripada trakeotomi stoma.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan merancang supaya kotak rokok menggunakan label amaran grafik baru pada Januari. Orang telah menjadi muak dengan amaran, tidak kira bagaimana menakutkan amaran bergambar itu. Kebanyakan perokok melihat sepintas lalu pada kotak sambil terus menyalakan rokok.

Di Australia, undang-undang telah diluluskan bagi mencegah syarikat tembakau daripada memaparkan warna tanda dagangan mereka, reka bentuk dan logo pada kotak rokok. Semua kotak akan menggunakan satu warna dan nama jenama akan dikurangkan dengan tanda amaran meliputi 75% daripada bahagian depan berbanding 40% bahagian depan di Malaysia.

C. Jadikan Merokok Sebagai Tidak Glamor

Kerajaan perlu melaksanakan aktiviti kawalan tembakau yang menjauhkan orang ramai daripada memulakan tabiat merokok, meningkatkan usaha berhenti merokok, dan mengurangkan pendedahan kepada asap pasif memandangkan matlamat kita adalah untuk gaya hidup bebas merokok.

Kita perlu menjadikan merokok sesuatu yang tidak biasa dan menjadikannya sebagai tidak glamor bagi mengurangkan berlakunya dalam kalangan belia dengan menggunakan selebriti dan melarang sebarang acara, konsert, festival yang melibatkan belia dianjurkan atau ditaja oleh syarikat tembakau.

Semakin ramai mereka yang merokok di sebalik bahayanya. Di samping glamor, mereka merokok untuk menghilangkan stres, dan mitos merokok sebagai pelepas tekanan mestilah dihapuskan.

D. Naikkan harga rokok

Kerajaan mestilah menaikkan harga rokok agar tidak mampu dibeli oleh rakyat Malaysia atau mengurangkan aktiviti merokok dengan mengenakan duti eksais yang tinggi ke atas produk tembakau. Ia juga perlu selari dengan penguatkuasaan yang tegas untuk menghentikan penyeludupan rokok murah haram. Rakyat Malaysia menghisap sembilan bilion batang rokok haram setiap tahun.

E. Kawal kedai yang menjual tembakau

Kerajaan perlu menghadkan kedai yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Hanya kedai tembakau yang perlu diberikan lesen untuk menjual produk ini, manakala penjualan rokok di kedai bebas cukai, kedai runcit dan lain-lain tempat perlu diharamkan.

S. M. Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Polis disaman kerana didakwa seksa lelaki

23 Syawal 1432H. [MOD] -

Tiga tahun lalu, langsung tidak pernah terlintas di fikiran Prabakar Bala Krishna bahawa dia akan menderita kerana perkara-perkara yang dia sendiri tidak terfikir sanggup untuk melakukan

Apabila dia dicekup oleh polis pada malam 23 Dis, 2008 - bersama-sama dengan seorang lagi individu, Solomon Raj Chandran - beliau anggap bahawa ia hanya satu pemeriksaan anti-jenayah yang lazim dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk selesai.

Walau bagaimanapun, menurut Prabakar, apa yang dialaminya pada hari-hari selepas itu telah meninggalkan dia dengan trauma dan ketakutan sehingga hari ini.

Selepas lima hari dalam tahanan polis, Prabakar dan Solomon akhirnya dibebaskan dengan kecederaan yang parah - badan mereka melecur. Mereka mendakwa polis mencurah air panas ke atas mereka semasa soal siasat.

"Apabila mereka tangkap saya, mereka hanya beritahu saya bahawa saya disyaki sebagai seorang penjenayah. Saya ikut mereka kerana saya fikir mereka hanya mahu periksa air kencing saya," kata Prabakar yang bertutur dalam bahasa Tamil.

"Tetapi apabila kami sampai (balai polis) Brickfields, mereka mula pukul saya. Bila saya tanya mereka mengapa, mereka arahkan saya supaya senyap dan paksa saya akui pelbagai tuduhan jenayah yang saya enggan lakukan."

Prabakar bersama Solomon berada di kompleks mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur hari ini, untuk bersama-sama memfailkan saman ke atas lapan anggota polis dan kerajaan berhubung dakwaan disiksa. Mereka diiringi peguam merea, N Surendran.

Selain melecur, mereka juga mendakwa polis telah berulang-kali membelasah mereka. Dalam kes Prabakar, dia mendakwa digantung dari kipas siling dengan seutas tali dan diugut akan dibunuh menggunakan tali berkenaan.

Prabakar mendakwa pada hari dia dibebaskan, pihak polis telah memberi amaran kepadanya supaya tidak memberitahu sesiapapun tentang penyeksaan itu, lebih-lebih lagi kerana terdapat parut di perut dan badannya.

"... dan jika sesiapa yang bertanyakan mengenai kesan melecur itu, hanya beritahu bahawa saya tertumpah sup mee panas ke atas diri sendiri," kata pemandu lori berusia 30 tahun itu.

Prabakar berkata, dia dalam ketakutan sejak kejadian itu dan terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri. Katanya, doktor yang merawatnya telah mengesahkan dia mengalami trauma yang teruk.

malaysiakini/-

47 Pelajar Syria Selamat Tiba Di KLIA

23 Syawal 1432H. [MOD] -

SEPANG : Seramai 47 pelajar Malaysia yang menuntut di Syria selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira- kira jam 3 petang tadi.

Kesemua mereka dibawa pulang dengan menaiki pesawat yang diterbangkan khas oleh Wisma Putra, ekoran pergolakan di Syria yang semakin meruncing.

Ketibaan mereka disambut oleh ahli keluarga masing- masing yang menunggu seawal jam 12 tengahari tadi.

Suasana pilu menyelubungi KLIA, apabila ahli keluarga yang menunggu dengan penuh sabar tidak dapat menahan sebak didada.

Bagi Mat Yusuf Latif yang datang dari Pulau Pinang memberitahu kepulangan anakndanya yang tercinta sangat dinanti- nantikan sejak dari awal berita pergolakan di Syria tersebar.

"Saya rasa alhamdulillah bersyukur dan kita masuk (laman sosial) Facebook pun kawan-kawan kata harap-harap apa yang dirancang berjalan dengan baik," katanya.

Katanya lagi beliau masih belum ada apa-apa perancangan bagi anaknya yang mengikuti pengajian syariaah di Universiti Ahmad Al-Quff Tarur.

Bagi Omar Farouk Ali Rejab, pelajar Universiti Mujama' Al Fatah Islami menyifatkan pergolakan di Dama Circus tidaklah seperti yang berlaku di Mesir beberapa bulan lalu.
"Sebenarnya keadaan di sana taklah seteruk seperti yang kita tengok dalam kaca televisyen, propaganda sahaja, cuma mungkin di luar Dama Circus keadaan teruk. Tak seperti di Mesir," jelasnya.

Bagi Mohd Afifuddin Tahar yang mengambil kursus Bahasa Arab dan Pengajian di Mahaddauni pula memberitahu para pelajar di sana mengalami kesukaran dalam mengeluarkan wang selama dua bulan.

"Masalah mahu keluarkan duit tak boleh jadi macam pelajar yang tidak mendapat tajaan mengalami kesukaran untuk membayar wang pengajian, rumah sewa jadi ramai yang tak ada duit," katanya.

TV Selangor difahamkan proses membawa pulang kesemua 220 pelajar yang menuntut di sana akan dibuat melalui dua kali penerbangan.

Wisma Putra sebelum ini menyatakan, tindakan membawa pulang kesemua pelajar tersebut diambil setelah rusuhan rakyat Syria semakin memuncak dan mula membahayakan keselamatan pelajar Malaysia di sana.

Syria adalah negara Arab yang turut menerima tempias revolusi rakyatnya selepas kejatuhan kerajaan Mesir dan Tunisia.

Kebangkitan rakyat Syria adalah berpunca daripada konflik dalaman yang berterusan sejak Mac 2011.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila kerajaan pemerintah yang dipimpin oleh Presiden Bashar Al-Assad enggan tunduk kepada desakan rakyat agar beliau melepaskan tampuk pemerintahan.

Lebih jelek, Bashar bertindak mengarahkan agar rejim tenteranya memerangi rakyatnya sendiri dan membunuh mereka yang tidak berdosa secara membabi buta.

Tv Selangor pada 18 Ogos lalu telah menyiarkan keluh kesah pelajar Malaysia di Syria yang tertanya- tanya apakah usaha yang dilakukan pihak kedutaan dan Wisma Putra bagi membela nasib mereka.

Berita berjudul “Kami Pun Rakyat Malaysia, Jangan Sisihkan Kami – Pelajar Syria”, berkongsi pengalaman beberapa pelajar Malaysia disana termasuk Presiden Persatuan
Pelajar Malaysia di Syria, Mohammad Hazuanuddin Sofuan.

Pendedahan itu juga membawa kepada kunjungan Duta Besar Malaysia ke Syria, Mat Dris Yaacob ke rumah salah seorang pelajar disana, Hairul Faizal pada 31 Ogos lalu.

Ketika kunjungan itu berlangsung, Mat Deris sempat mengulas laporan berita Tv Selangor bersabit hubungan dua hala pihak kedutaan dan pelajar.

Tanpa menafikan bahawa pihak kedutaan sentiasa melakukan tugas dengan baik, Hairul mewakili semua pelajar disana menyatakan harapan mereka agar pihak kedutaan meluangkan lebih masa untuk melihat sendiri permasalahan yang terpaksa ditanggung mereka.

tv news/-

Yaman bergolak hari ke-3

23 Syawal 1432H. [MOD] -


PENUNJUK perasaan antikerajaan    lari selepas tentera  melepaskan bom gas pemedih mata  di bandar   Taiz, kelmarin.

60 terbunuh pertempuran penyokong, penentang antikerajaan 

SANAA: Bedilan dan pertempuran menyebabkan tujuh orang lagi maut di Yaman menjadikan jumlah kematian meningkat sehingga 60 orang sejak Ahad lalu apabila penunjuk perasaan membanjiri jalan di kota Sanaa.

Pertumpahan darah berterusan ketika wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba di Yaman, Jamal Benomar dan Ketua Majlis Kerjasama Teluk GCC), Abdullatif al-Zayani tiba di Sanaa, bagi memindahkan kuasa daripada Presiden Ali Abdullah Saleh kepada timbalannya.

“Tujuh orang, empat orang awam dan tiga askar Briged Bersenjata Pertama terbunuh,” kata pegawai perubatan merujuk kepada unit tentera penentang antikerajaan diketuai Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar. 

Saksi berkata, anggota keselamatan menembak penunjuk perasan yang berkhemah di luar Jalan Al Zubair, berdekatan Medan Pembaharuan, pusat protes antikerajaan di Sanaa. 

Penunjuk perasaan bertindak balas dengan membaling batu ke arah pasukan keselamatan yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan, kata saksi. 

Dua kanak-kanak, Anas dan Louay al-Suaidi, kena tembakan curi ketika berada dalam kereta bersama ibu bapa mereka. 
Pada Ahad lalu, puluhan ribu penunjuk perasan berarak dari Medan Pembaharuan ke tengah ibu negara yang berakhir dengan kekacauan apabila tembakan dilepaskan pasukan keselamatan di jalan al Zubair, berdekatan pejabat anak lelaki Saleh, Ahmed yang juga ketua Unit Pengawal Republikan. 

Saksi berkata, penunjuk perasaan disembur dengan meriam air dan gas pemedih mata serta dipukul dengan belantan sebelum pasukan keselamatan melepaskan tembakan mesingan. 

Anggota perubatan melaporkan, 26 terbunuh dan 500 lagi cedera akibat pukulan belantan atau terhidu gas pemedih mata dalam pertempuran Ahad lalu. 

Awal kelmarin pula, ribuan penunjuk perasan berarak dari Medan Pembaharuan untuk menyertai puluhan ribu lagi pembantah yang berkhemah di Jalan al Zubair selepas pertempuran berdarah sehari sebelum itu. 

Dua penunjuk perasaan turut terbunuh di bandar Taez, selatan Sanaa, kata saksi. Agensi berita kerajaan Saba melaporkan wakil PBB, Benomar tiba kelmarin di Sanaa sementara pegawai lapangan terbang memberitahu, Setiausaha Agung GCC, Abdullatif al-Zayani juga sudah ke kawasan bergolak ibu negara. 

Diplomat Barat di Sanaa memberitahu yang acara menandatangani dokumen penyerahan kuasa mengikut tajaan PBB berlangsung Isnin. 

Pegawai tertinggi Arab Saudi memberitahu Sabtu lalu, Timbalan Presiden, Abdrabuh Mansur Hadi akan menandatangani inisiatif Teluk dalam tempoh seminggu. 

Saleh yang memerintah Yaman sejak 1978, kini dalam proses pemulihan di Arab Saudi selepas terselamat akibat serangan 3 Jun di perkarangan kediamannya tetapi sehingga kini enggan menyerahkan kuasa kepada timbalannya atau menandatangani Inisiatif Teluk. 

Keengganannya mencetuskan kemarahan penaja rancangan Teluk bersama banyak lagi komuniti antarabangsa, bimbang dengan kejatuhan politik di Yaman yang akan memberi laluan kepada al-Qaeda untuk menguasai negara itu. – AFP 

Najib, Rosmah buat permohonan tolak sepina

23 Syawal 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dijangka memfailkan permohonan untuk menolak sepina yang mewajibkan mereka untuk tampil sebagai saksi pada perbicaraan liwat yang membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung.

Menurut sumber yang memaklumkan Malaysiakini, pasangan itu akan memfailkan permohonan mereka pada hari ini.

Butiran mengenai permohonan itu setakat ini tidak jelas. Masa mereka akan memfailkan permohonan itu juga belum diketahui.

malaysiakini/-

Tiga maut pesawat terhempas di Haiti

23 Syawal 1432H. [MOD] -



PORT-AU-PRINCE: Tiga orang maut apabila pesawat kecil syarikat penerbangan Haiti terhempas ketika cuba mendarat dalam cuaca hujan di utara negara berkenaan, hari ini. 

Polis dan syarikat penerbangan Salsa d’Haiti berkata, dua juruterbang dan penumpang tunggal pesawat berkenaan terkorban ketika nahas di kawasan perdalaman utara bandar Cap-Haitien.

Datuk Bandar Cap-Haitien, Michel St. Croix berkata, mereka yang maut ialah dua lelaki dan seorang wanita.

Seorang kakitangan syarikat berkenaan berkata, seorang juruterbang berkenaan berasal dari Republik Dominica dan seorang lagi dari Mexico manakala penumpang tunggal ialah warga Vietnam. - AP 

Tanaman Syurga

23 Syawal 1432H. [MOD] -

Dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Saya bertemu dengan Nabi Ibrahim عليه السلام – ketika malam saya diisra’kan dan Baginda bersabda: Wahai Muhammad, sampaikanlah salam dari padaku kepada umatmu,

dan beritahukanlah kepada mereka, bahawasanya syurga itu subur tanahnya, manis airnya, terhampar luas dan tanamannya adalah ucapan zikir, سُبْحَانَ اللهِ ، وَالْحَمْدُ ِللهِ ، وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ ، وَاللهُ أَكْبَرُ (Subhanallahi walhamdulillah walaa ilaaha illallahu wallahu akbar). (Diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan dihasankan oleh Al Albani)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bertemu dengannya. Dia sedang menanam tanaman, lalu Rasulullah bertanya, "Apa yang sedang engkau tanam ?" Aku menjawab, "Satu tanaman wahai Rasulullah". Rasulullah bersabda, "Mahukah aku beritahu tanaman yang lebih baik dari ini ?" Tanaman itu ialah Subhanallah, Walhamdulillah,

Walailaha illallah, Wallahu Akbar (Maha suci Allah, segala puji bagi-Nya. Tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar). Setiap satu bacaan akan ditanam untukmu sebatang pokok di Syurga. (HR At Tirmidzi)

tazkirah/-

Mohamad Sabu didakwa, bebas dengan jaminan RM15,000

23 Syawal 1432H. [MOD] -

BUTTERWORTH, 21 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu didakwa di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Pihak pendakwa meminta Mohamad dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.

Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajuddin menetapkan 27 Oktober ini sebutan semula kes sementara perbicaraan diadakan pada 5 hingga 9 Disember depan.

Selain Hanipa, Mohamad turut diwakili peguam Amiruddin Zulkifli manakala pihak pendakwaan terdiri daripada Mohd Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusof dan Suhaimi Ibrahim.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Malam tadi, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang tadi dan dibawa ke IPK Pulau Pinang.

Mohamad tiba di IPK Pulau Pinang pada 8.30 malam dan dilihat meninggalkannya ibu pejabat polis itu pada 9.05 malam selepas keterangan beliau diambil.

Menurut Ayub, pemimpin PAS itu akan didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversialnya pada sebuah ceramah di Tasek Gelugor pada 19 Ogos lalu.

"Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di Georgetown.

“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.

Sebelum itu, peguam pemimpin PAS itu, Mohamed Hanipa Maidin berkata, anak guamnya dimaklumkan pihak polis bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Pelbagai pihak membuat bantahan terhadap dakwaan ini dan menyifatkan ianya sebagai penyalahgunaan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Datuk Mahfuz Omar berkata, jika berdasarkan kenyataan yang mengguriskan hati, kenyataan beberapa profesor yang mengatakan negara ini tidak pernah dijajah juga wajar diambil tindakan.

harakahdaily/-

Hospital Terengganu perlu 3 kali lebih besar

23 Syawal 1432H. [MOD] -


Hospital Negeri Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah kini nampak terlalu padat dengan katil pesakit bertambah lebih dari biasa dan setiap wad pesakit didapati penambahan katil-katil untuk pesakit begitu ketara sekali hingga hanya ada ruang laluan yang sedikit sahaja untuk pelawat semasa pelawat dibenarkan masuk menziarahi pesakit.
Suasana bising di ruang yang sempit itu sepatutnya tidak berlaku di hospital di mana pesakit perlukan rehat dan ketenangan secukupnya.
Sudah sampai masanya Hospital Negeri Terengganu diperbesarkan lagi atau digantikan serta dibinakan hospital yang 3 kali lebih besar dan luas daripada hospital negeri yang ada sekarang ini.
Tempat letak keretanya yang terhad dan lif hospital yang terhad juga tidak mampu lagi untuk memberikan kemudahan yang memuaskan kepada penduduk Kuala Terengganu khasnya dan rakyat Terengganu amnya yang berpusu-pusu sentiasa penuh datang kehospital sama ada untuk mendapatkan rawatan atau untuk menziarahi sanak-saudara yang sakit di hospital tersebut.
Begitu juga dengan keadaan pelawat yang terlalu sesak di mana tiadanya disediakan kerusi tetamu di ruang legar di dalam bangunan hospital itu sendiri dan hanya ada kerusi-kerusi untuk orang awam di luar bangunan hospital sahaja dimana ada di antara pengunjung terpaksa membawa tikar masing-masing untuk duduk berehat di ruang legar sementara menanti masa melawat yang dibenarkan dan selalunya mereka yang berkunjung menziarahi pesakit datang dari jauh dari kawasan luar bandar.
Diharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dapat membinakan hospital yang lebih besar serta canggih lagi dan kalau boleh dibinakan secantik dan sebesar serta canggih macam Hospital Putrajaya sejajar dengan dana dan wang royalti berbilion ringgit yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Trengganu itu.
H/daily

Banjir: Lebih sejuta penduduk China dipindah

23 Syawal 1432H. [MOD] -

PASUKAN penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan mangsa yang terperangkap dalam bangunan setelah banjir menenggelamkan pekan Daxian di provinsi Sichuan, China, kelmarin. - AP

BEIJING 20 Sept. - Hujan lebat dan banjir di seluruh China menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut, berpuluh-puluh lagi hilang dan beratus-ratus cedera manakala lebih daripada sejuta penduduk dipindahkan dari rumah mereka, kata kerajaan negara itu.

Hujan yang paling lebat sejak minggu lalu menyebabkan air banjir menenggelami bahagian utara, tengah dan barat daya China.

Walaupun penduduk yang terjejas menarik nafas lega kerana hujan sudah reda tetapi paras air sungai terus meningkat.

Menurut kenyataan dari Kementerian Hal Ehwal Awam, insiden tersebut memaksa pihak berkuasa memindahkan lebih daripada 1.2 juta orang dari rumah mereka.

"Hujan lebat yang tidak berhenti-henti menyebabkan kejadian banjir serius di Sichuan (barat daya), Shaanxi (utara) dan Henan (tengah China) serta menjejaskan 12.3 juta orang termasuk 57 orang maut dan 29 lagi hilang," jelas kenyataan itu lewat semalam.

Tambahnya, lebih daripada 120,000 rumah runtuh dan mengalami kerugian ekonomi daripada kerosakan rumah, tanaman dan tanah yang dianggarkan bernilai AS$ 2.7 bilion (RM 8.1 bilion).

Pihak berkuasa menghantar pasukan penyelamat bagi membantu usaha-usaha kerajaan dan merancang untuk mengedar beribu-ribu khemah, katil, selimut dan pakaian, kata kementerian. - AFP

Kerajaan baru Libya diumum antara 7 hingga 10 hari lagi

23 Syawal 1432H. [MOD] -



NEW YORK: Kerajaan baru Libya yang mengambil alih daripada rejim Muammar Gaddafi akan diumumkan dalam masa tujuh atau 10 hari lagi, kata pemimpin nombor dua Majlis Peralihan Kebangsaan, di New York, hari ini. 

“Kerajaan baru ini akan diumumkan dalam masa seminggu atau 10 hari paling maksimum," kata Mahmud Jibril kepada pemberita.

Beliau berkata, barisan Menteri akan dibahagikan antara utara dan barat negara itu. - AFP

"Miss Bikini Malaysia": MB, Mufti Perak digesa perjelas

23 Syawal 1432H. [MOD] -

IPOH, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Perak menuntut penjelasan Menteri Besar Perak, dan Mufti berhubung penganjuran Pertandingan Full Moon Beach Party (FMBP) yang bakal diadakan di Pangkor Island Beach Resort pada 7 dan 8 Oktober nanti.

Program itu juga difahamkan turut akan mempertandingkan Miss Bikini Malaysia.

Setiausahanya, Salman Saleh berkata pihaknya terkejut apabila penganjuran itu turut diiklankan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan juga dipromosikan melalui laman sosial Facebook.

"Jesteru itu, kami menuntut penjelasan berikutan sudah tersebarnya hebahan pertandingan tersebut yang jelas amat memalukan.

"Kami juga amat kecewa kerana ianya diadakan di kawasan (Menteri Besar) Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang kini sebagai orang nombor satu negeri Perak dan memegang portfolio agama Islam," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, program pelancongan ini yang di bawah kendalian Datuk Hamidah Osman perlu peka dan sensitif terhadap perkara ini.

"Kami juga memohon Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri (Dr) Haji Harussani Zakaria agar memberikan nasihat kepada Kerajaan Negeri Perak di dalam isu ini," desaknya.

Beliau juga mahu program tidak bermoral tersebut dibatalkan dengan kadar segera.

harakahdaily/-

Kedudukan Wenger tidak terancam

23 Syawal 1432H. [MOD] -



LONDON - Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis me- negaskan, kedudukan Arsene Wenger (gambar) tidak terancam meskipun melakukan permulaan terburuk dalam saingan Liga Perdana England sejak 1953.

Setakat ini, skuad The Gunners tewas tiga daripada lima perlawanan pertama liga musim ini.

Bagaimanapun, Gazidis berkata: "Pemecatan Wenger adalah suatu tindakan yang kejam dan kami tidak akan melaku- kannya."

Wenger yang telah membimbing Arsenal sejak tahun 1996, tidak memenangi sebarang trofi sejak merangkul mahkota Piala FA 2005 dan kali terakhir kami memenangi Liga Perdana England adalah pada tahun 2004.

Gazidis berkata, kritikan dan kemarahan penyokong ke atas Wenger adalah suatu tindakan yang bodoh serta mampu merosakkan bola sepak.

"Wenger tidak mengecewakan. Beliau bukan secara tiba-tiba menjadi pengurus yang buruk atau seseorang yang hilang sentuhan dalam perlawanan. Ia langsung tidak masuk akal."

- AP

Tutup Kem Kamunting kalau BN ikhlas

23 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merasakan tindakan Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini yang turut diulas oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai bertepatan perlu juga mengambil tindakan yang sama secara ikhlas dengan mencadangkan kepada Kerajaan Pusat agar menutup Kem Tahanan ISA Kemunting (Kemta) di Taiping.
“Kami merasakan sudah tiba masanya, Kerajaan Negeri Perak yang mana terletaknya Kemta agar menutup kem tersebut jika benar-benar ikhlas bahawa kekejaman yang sepanjang ini berlaku atas nama ISA turut lenyap jika Kemta ini turut ditutup,” kata Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, jika Zambry langsung tidak mengambil tindakan seterusnya, bayangan akta yang sama zalim masih jelas akan di teruskan oleh Kerajaan Pusat pimpinan Umno BN.
Justeru, ujarnya Pemuda PAS negeri menunggu tindakan ikhlas Zambry jika benar BN mendengar tuntutan rakyat dan berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan turut menutup Kemta jika BN masih gagal bertindak menutupnya.
“Kami merasakan ramai pemerhati antarabangsa melihat Kemta adalah satu kawasan hitam yang perlu kita sebagai rakyat Perak bersihkan jika BN masih mengekalkan Kemta di Perak,” ujarnya.

Turki larang lelaki, benarkan wanita dan kanak-kanak tonton bola sepak

23 Syawal 1432H. [MOD] -




ANKARA: Turki membuat perubahan radikal bagi membanteras keganasan dalam perlawanan bola sepak apabila melarang kemasukan penyokong lelaki dan hanya membenarkan wanita serta kanak-kanak menyaksikan menyaksikan aksi.

Berdasarkan peraturan baru yang diluluskan Persatuan Bola sepak Turki, hanya wanita dan kanak-kanak bawah 12 tahun dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan secara percuma membabitkan pasukan yang dihukum atas perangai buruk penyokong mereka.

Fenerbahce mengedar kira-kira 27,000 tiket percuma kepada wanita dan kanak-kanak bagi menyaksikan perlawanan kelab itu menentang Manisaspor di Istanbul. - AP

Neymar nafi tinggalkan Santos

23 Syawal 1432H. [MOD] -



SAO PAULO - Bintang muda Brazil, Neymar menafikan spekulasi yang mengaitkan dengan perpindahan lumayan ke Sepanyol.

Sebaliknya Neymar berkata, dia akan terus kekal bersama Santos.

Sebelum ini, Neymar, 19, sudah beberapa kali dikaitkan dengan dua kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona.

"Saya tidak akan meninggalkan Santos (ketika pintu perpindahan dibuka pada Januari ini).

"Saya akan kekal di sini (Santos). Saya adalah seorang pemain Santos dan saya tidak berunding dengan sesiapa.

"Saya mempunyai rakan dan keluarga di sini. Saya juga gembira di sini, jadi tidak ada sebab untuk saya berpindah," katanya pada satu sidang media di sini semalam.

Pada awal Ogos lalu, media tempatan Sepanyol melaporkan, bintang muda Brazil itu akan berhij- rah ke sana pada Disember depan selepas aksi Kejohanan Kelab Dunia.

Teka-teki penghijrahan Neymar ke Eropah tercetus apabila di terang-terangan memuji Barcelona walaupun mengakui gembira di Santos dan membantu kelab itu menjuarai Piala Libertadores awal tahun ini.

Ketika ini, Neymar mempunyai kontrak bernilai hampir AS$2 juta (RM6.2 juta) setahun bersama Santos hingga 2015. - AFP

Rakyat mesti hukum pemimpin yang hipokrit

23 Syawal 1432H. [MOD] -

Isu “penjualan” kewarganegaraan melalui JPN terus dibisukan BN dan sehingga kini makin membarah, berdasarkan pendedahan terkini sebanyak 183,165 pengundi yang bukan lahir di negara ini telah wujud dalam senarai daftar pemilih SPR.

Dewan Pemuda PAS Pusat kelmarin mendedahkan sekurang-kurangnya 170,818 pengundi tidak diketahui negara asal kelahiran tetapi layak mengundi.Mereka merujuk kepada kod negara "71 " yang terdapat pada no kad pengenalan pengundi tersebut seperti dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) suku ke dua 2011 SPR.

Pemuda PAS menganggap bahawa kod “71” adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya seperti yang didedahkan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

Saya ingin mempersoal perkara yang pincang dalam daftar pemilih dan menunggu apakah reaksi kerajaan terhadap pendedahan ini?

Isu Besar dalam perkara yang berkaitan mengenai pendedahan PM Bangladesh mengenai rakyatnya yang mudah mendapat taraf warganegara dan mengundi di Malaysia juga masih tidak terjawab.

Umno sejak akhir akhir ini sedang mempertahankan hayatnya untuk melindungi sikapnya sekian lama memutar belit fakta sejarah negara.

Saya yakin rakyat amat bijak menentukan siapakah yang selama ini berjuang di atas nama Negara dengan perjuangan yang berpaksi kepada asal usul sebanar sejarah tanah air.

Rakyat yang semakin terdedah dengan fakta dan penemuan sejarah tulen tanah air telah tahu apakah warisan sebenar Negara, termasuklah siapa yang mewarisi penjajahan British.

Umno mengesa supaya Malaysia mempertahan panji-panji Negara dan dalam masa yang sama mereka jugalah yang meminggirkan panji-panji Negara dalam isu rampasan kuasa di Perak .

Kehormatan dan kedaulatan sebuah negeri yang telah dipilih secara sah oleh rakyat dicabul dengan melangar norma-nirma Perlembagaan Negara dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Sudah sekian lama demokrasi diketepikan BN, sehingga mereka selayaknya dinobatkan sebagai pengkhinat kepada negara yang sebenarnya.

Beginilah wajah sebenar Umno-Bn yang cuma hebat berpidato dengan laungan bahawa merekalah pejuang bangsa dan agama yang sebenar, Kini rakyat sendiri boleh menilai realiti dan kebenarannya.

Isu yang dimainkan hanyalah bertujuan penyambung hayat BN untuk terus berkuasa dan ianya mengundang malapetaka terhadap Negara dan bangsa Malaysia bila terus dijajah oleh penjajah yang dilahirkan oleh Inggeris, rakyat metilah menghukum pemimpin yang hipokrit itu dan mestilah menukar kerajaan BN kepada PR.


DRS KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 21 Septembar 2011

Arab Saudi salur bantuan ke Palestin

23 Syawal 1432H. [MOD] -

RAMALLAH - Arab Saudi akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak AS$200 juta (RM600 juta) kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), bagi membantu krisis dihadapi Palestin semasa wilayah ditindas itu dijadual menghantar permohonan mendapatkan keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), minggu ini.

Kekurangan bantuan kewangan dari negara Arab termasuk Arab Saudi dikenal pasti sebagai punca krisis kewangan yang kini melanda Palestin dan melemahkan kerajaan pimpinan Presiden Mahmoud Abbas di Tebing Barat.

Sejak tiga bulan lalu, kerajaan Palestin gagal membayar gaji penuh kepada 150,000 pekerjanya.

Kerajaan PA yang memerintah sebahagian kawasan Tebing Barat di bawah jajahan Israel masih bergantung kepada bantuan luar bagi menampung defisit yang dijangka mencecah AS$900 juta (RM2.7 bilion) tahun ini.

sinar harian/-

Ramah Mesra Aidilfitri bekas pelajar Institut Sofar 24 Sept

23 Syawal 1432H. [MOD] -

IPOH: 21 Sept: Satu perjumpaan Ramah Mesra Aidil Fitri bekas pelajar Institut Sofar akan diadakan pada 24 September ini di Dewan Bangquet Mahkamah Syariah Ipoh bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Perjumpaan itu merupakan kali pertama secara besar besaran bertujuan untuk mengumpulkan semula bekas bekas pelajar Institut Sofar dan menjalinkan hubungan persaudaraan.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Jawatankuasa sambutan Ramah Mesra Aidil Fitri tersebut, Puan Roslina Yang Razali kepada Harakahdaily.

Menurutnya, bekas bekas-pelajar yang ramai di seluruh negara dijemput ke majklis tersebut bagi memeriahkan majlis itu sekaligus dapat memupuk kembali sulatulrahim sesamu bekas pelajar.

"Pakaian bagi lelaki berbaju Melayu lengkap, bagi perempuan berpakaian menutup aurat dan mereka perlu membawa bersama anak anak mereka, bayaran pendaftaran cuma RM10 sahaja," katanya.

Pihak penganjur juga mengalu alukan sumbangan daripada bekas bekas pelajar, mereka boleh menyumbang terus ke akuan Public Islamic Bank, nombor akuan 3984957808 atas nama Abdul Rahim Darus.

Bekas bekas peklajar juga diminta menyatakan kehadiran mereka dengan menghubungi beliau di talian 019-4240418.

harakahdaily/-

Stor penyimpan RM6j musnah jadi abu

23 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Sebuah stor penyimpanan perabot dan barang dapur di Jalan Bandar Dalam, Gombak, di sini musnah dalam satu kebakaran tengah malam tadi dengan kerugian dianggarkan RM6 juta.

Bangunan itu dahulu merupakan kilang getah milik Lian Hin Rubber Corporation Sdn Bhd tetapi telah diubah suai menjadi stor perabot dan barang dapur seperti bawang, tepung dan cili kering.

Ketua Balai Bomba Sentul, Zahari Muhamad, berkata, kebakaran dilaporkan berlaku pada 12.41 pagi dipercayai berpunca daripada litar pintas di satu bahagian stor itu sebelum merebak ke bahagian bangunan itu.

"Kejadian disedari seorang pekerja lelaki yang tinggal di dalam stor itu yang memaklumkannya kepada pihak bomba,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Zahari berkata, 70 anggota menggunakan lapan jentera bomba dari Sentul, Gombak Selatan, Chow Kit, Hang Tuah, Wangsa Maju, Seri Hartamas, Setapak dan Taman Desa hanya berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada 9 pagi tadi.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. – Bernama

Bekas tahanan politik minta Singapura mansuh ISA

23 Syawal 1432H. [MOD] -



SINGAPURA - Beberapa bekas tahanan politik di Singapura menandatangani satu petisyen untuk menuntut supaya undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan di negara ini dihapuskan selepas negara jirannya, Malaysia berikrar untuk memansuhkan akta yang serupa.

Dalam mesej umum yang disiarkan oleh sebuah laman web bebas dan dilaporkan media propemerintah semalam, seramai 16 bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura menyatakan, masanya sudah tiba untuk memansuhkan undang-undang kontroversi itu.

"Singapura mewarisi ISA dari Malaysia. Undang-undang ini sudah wujud lebih daripada separuh abad dengan ia menyebabkan masyarakat rosak dan pincang," kata mereka.

ISA pertama kali dikuatkuasakan oleh Britain selepas Perang Dunia Kedua untuk memerangi pemberontakan komunis di Malaya.

Ia telah dikekalkan oleh pemerintah Singapura yang memperoleh kemerdekaan daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk memansuhkan undang-undang itu pada minggu lalu. - AFP

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat seleweng IC

23 Syawal 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan (IC).

Ketua DPPM, Nasrudin Hassan bertemu dengan Timbalan Pengarah JPN, Zulkifli Rahmat kira-kira sepuluh minit meminta beliau menjelaskan mengenai perkara tersebut.

Turut bersama Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat, bendahari Adram Musa dan exco Sany Hamzan.

Nasruddin berkata, pihaknya akan memantau respons JPN dan jika tiada sebarang tindakan diambil, DPPM akan merancang bentuk tindakan yang lain.

"Kita bukan hantar memorandum ini begitu sahaja tapi kita bagi tempoh masa yang munasabah untuk JPN bertindak.

"Kalau tak ada sebarang tindakan diambil terhadap aduan ini, kami akan memikirkan bentuk tindakan yang lain," ujarnya.

harakahdaily/-

Mohon maaf: Pemuda PAS puji keberanian Zizan

23 Syawal 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada pelakon dan pelawak Mohd Razizan bin Abd Razak kerana berani mengakui kesilapan dan telah memohon maaf.
Ianya berhubung satu babak beliau dalam filem Hantu Boceng yang jelas menghina Rasulullah.
Mohd Razizan atau lebih dikenali sebagai Zizan dalam babak tersebut menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan), sekaligus mengundang kontroversi.
Bagaimanapun Zizan dilaporkan telah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas Dewan Pemuda PAS pusat dan beberapa pihak lain mengecam tindakannya itu yang dilihat keterlaluan.
"Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mengucapkan tahniah atas keberanian saudara Zizan memohon maaf, semoga ianya benar, ikhlas dan tidak mengulanginya di masa hadapan," kata ketuanya, Nasrudin Hassan.
Menyatakan pendirian terhadap kegiatan seni, Nasrudin berkata Dewan Pemuda PAS  sentiasa menyokong kerjaya seni dan budaya dalam negara kerana Islam tidak pernah menghalang ummatnya berkarya.
Namun Islam ujarnya mempunyai garis panduan yang jelas untuk dipatuhi agar seni dan budaya menghidupkan jiwa dan menyegarkan minda bukan mematikan hati, merosakkan akhlak dan meruntuhkan moral.
"Kata Para hukama' : Tidak hilang bisa dek kerana memohon maaf diatas kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya diri dilihat bermaruah dan dihormati.
"Mudah - mudahan ia menjadi pengajaran berguna kepada Zizan dan kepada semua termasuk para penonton dan juga artis - artis yang lain agar lebih berhati - hati  di pentas lakonan atau di layar perak agar tidak mencetus kekeliruan yang boleh membuka pintu fitnah dan dilihat mempersendakan agama Islam yang suci ini," katanya.
H/daily

Dakwa Mat Sabu bukti janji Najib langsung tidak boleh dipercayai

23 Syawal 1432H. [MOD] -





Tindakan pendakwaan ke atas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengesahkan sangka buruk rakyat bahawa sememangnya janji Perdana Menteri (PM) Umno tidak boleh dipercayai.


Kenyataan Mohamad Sabu mengenai status Mat Indera bukannya cakap kosong sebab ia dapat disahihkan ada kebenarannya oleh beberapa sumber rujukan – sebuah buku berjudul ‘Pengukir Nama Johor’,  kajian tesis pelajar Universiti Malaya, Ayub @ Uiop Kassim di tahun 1973, ada juga pengakuan kawan dan ahli keluarga Mat Indera.

Jikalau itu pun salah, maka kesalahan harus dikembalikan kepada segala sumber rujukan beliau - sebagaimana semua rakyat Malaysia yang beranggapan bahawa ‘negara pernah dijajah British’.

Ini kerana mereka ini sudah tersalah memahami sejarah negara kerana mempercayai kesilapan buku sejarah keluaran Kementerian Pelajaran, sekiranya apa yang secara dinyatakan secara teknikalnya oleh Professor Zainal Kling dan Dr Mahathir adalah betul.

Takkan pula waris-waris kepada mereka yang pernah bekerja di bawah kerajaan sebelum 31 Ogos 1957 dan kerajaan hendak membuat laporan polis dan mendakwa semua pelajar yang menyatakan negara ini pernah dijajah oleh British?

Kalau dikira, isu yang dibangkitkan oleh Mohamad Sabu hanya berkaitan satu peristiwa iaitu peristiwa Bukit Kepong berbanding perisytiharan yang dilakukan oleh MPN, tentulah perisytiharan MPN itu mempunyai kesan lebih besar kepada rakyat dan negara.

Akan tetapi yang didakwa ialah Mohamad Sabu. Sekiranya Mohamad Sabu perlu didakwa, bagaimana pula Majlis Professor Negara (MPN) dan Zainal Kling?

Secara simplenya ini yang berlaku - “Mohamad Sabu menyatakan Mat Indera sebagai hero pejuang kemerdekaan, tapi Umno dan medianya memutar-belit kenyataan beliau kepada ‘Mohamad Sabu menyokong komunis’ dan menyebarkannya ke merata tempat.”

Sedangkan, apa yang diminta oleh beliau ialah kajian semula fakta sejarah perjuangan pra kemerdekaan dengan membawa contoh peristiwa Bukit Kepong dan Mat Indera.

Apakah Mohamad Sabu boleh dianggap mengancam keselamatan negara dengan hanya satu ucapan begitu?

Mohamad Sabu didakwa atas ucapan beliau yang diputar-belitkan oleh media pro Umno, yang kemudiannya dengan sengaja mewujudkan suasana kelam-kabut bagi menghalalkan tindakan bagi mendakwa beliau.

Jadi, apakah motif dakwaan ke atas Mohamad Sabu kalau bukan kerana politik? Pendakwaan ke atas beliau sekali lagi menunjukkan Umno hilang arah dalam putar belit ciptaan mereka sendiri dan terus melondehkan hipokrisi mereka untuk ditatap rakyat jelata.

Antara janji PM Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengumumkan semakan dan penghapusan Akta ISA baru-baru ini ialah tiada tangkapan kerana politik akan dilakukan.

Belumpun kering air liur, pendakwaan politik sudahpun berlaku dalam kes Mohamad Sabu.

Kini, rakyat boleh menilai sejauhmana janji-janji PM yang dilaungkan sempena sembutan Hari Malaysia boleh dipercayai bilamana Nazri Aziz menyatakan kerajaan akan mengekalkan tahanan tanpa bicara yang menjadi intipati bantahan rakyat terhadap ISA.

Apabila berdepan, Umno BN menyatakan bahawa mereka bersetuju dengan Najib untuk memansuhkan ISA, tapi di belah belakang, mereka pula hendakkan dua akta baru yang menggantikan ISA mesti mempunyai roh ISA.

Dari sudut politik, flip-flop Umno dan percanggahan kenyataan antara menteri-menteri Umno telah memperlihatkan kepada rakyat sebenarnya Umno BN tidak serius dan ikhlas dalam melakukan pembaharuan demi rakyat.

Mengharap pembaharuan daripada Umno-BN adalah seperti mempercayai kata-kata Najib bahawa “kerajaan BN tidak pandai menipu rakyat.”

Rakyat perlu bangkit bagi membawa perubahan total dalam pilihanraya umum yang akan datang. Untuk menghapuskan akta yang zalim, kita perlu hapuskan dahulu pemimpin yang zalim. Tidak mungkin rakyat akan mendapatkan keadilan dari sistem yang tidak adil dan orang yang secara sengaja mengumumkan secara terbuka bahawa, “Aku tidak pandai menipu.”


Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

21 September 2011
H/daily

Zizan Mohon Maaf Kontroversi Hantu Bonceng

23 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 21 SEPT : Pelakon filem 'Hantu Bonceng Mohd Razizan bin Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan telah memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan isu dialognya yang dikatakan menghina Nabi Muhammad malam tadi.

Menerusi laman Twitternya, Zizan mengakui kesilapan beliau dan menjelaskan beliau langsung tidak berniat untuk menghina agama Islam dan menyatakan terdapat 4 ulama dalam Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang telah meluluskan tayangan filem tersebut.

Dua 'post' laman twitternya ialah

"Sy (saya) faham.apa yg salah..salah jugak.tp (tapi) pasal hina Islam mmg jauh dri otak pkiran sy la..xde(tiada) lgsung terniat.ini adalah Agama dan Rasul sy(saya)..Maaf skiranya sy(saya) silap.

"salam..xkan(takkan) la sy(saya) nk(nak) hina Rasul sy(saya) sendiri..kan dlm(dalam) babak perkataan setan 2(itu) di aju kan pada kunyit..dan dlm(dalam) penapisan film ade 4 ulama..dan telah pn(pun) di luluskan film ini.."

Pemuda PAS sebelum ini menyatakan filem 'Hantu Bonceng' yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri itu mengandungi satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".

Filem dengan durasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM 5 juta untuk lima hari tayangan.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at Tantawi mengucapkan tahniah kepada Zizan kerana mengakui kesilapan lalu memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan mengapa pengarah dan penerbit filem tersebut Ahmad Idham masih berdiam diri sehingga sekarang.

"Tahniah saya ucapkan kepada saudara Mohd Razizan bin Abd Razak yang telah mengakui kesilapan lalu memohon maaf secara terbuka. Saya sangat menghormati sikap sedemikian dan telah saya sebutkan sebelum ini didalam kenyataan saya bahawa sewajarnya pihak pengarah dan pelakon Filem Hantu Bonceng iaitu saudara Mohd Idham dan Zizan memohon maaf kerana mencetus kekeliruan kepada masyarakat awam," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin turut menyatakan filem Malaysia sepatutnya dapat diangkat sebagai karya seni yang indah dan baik tanpa melanggar batas syariat dan mencacatkan keindahan Islam seperti filem dari Iran "Under The Moonlight" yang memenangi 6 award diperingkat antarabangsa pada tahun 2001 dan "Children of Heaven" pada 1997.

"Bebaskan industri filem negara dari serkap filem yang rendah mutu, terkepong dalam realiti masyarakat yang tidak sepatutnya dibanggakan dan filem yang mengeksploit batang tubuh wanita, keseksian, kelucahan dan ketahyulan sebagai azimat pelaris tayangan di pawagam," kata beliau lagi.

tv news/-

Lelaki 90 tahun ada 50 anak

23 Syawal 1432H. [MOD] -



SAO PAULO - Seorang pesara pekerja ladang dari Rio Grande do Norte, Brazil, Luiz Costa de Oliveria yang berumur 90 tahun mempunyai 50 orang anak hasil hubungannya dengan empat wanita dua daripadanya adik-beradik dan seorang lagi adalah ibu mereka sendiri, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia mempunyai 17 anak hasil hubungan dengan isterinya yang pertama.

Selepas isteri yang pertama meninggal dunia, dia berkahwin dengan Maria Francisca da Silva yang melahirkan 17 lagi anak.

Lelaki itu kemudian menjalin hubungan dengan adik isterinya yang kedua menyebabkan dia memperoleh 15 orang lagi anak.

Ibu kedua-dua wanita adik-beradik itu yang berusia 89 tahun itu juga menjalin hubungan dengan Oliveria telah melahirkan seorang anak.

"Perkara yang terbaik dicipta Tuhan di dunia ialah wanita," katanya kepada sebuah akhbar tempatam, Diario de Natal.

Beberapa orang anaknya mati semasa mereka hidup dalam kemiskinan.

Namun, dia kini mempunyai lebih 100 cucu dan 30 cicit.

Lelaki itu tidak pernah merokok atau minum minuman keras selama 40 tahun mengaku, dia tidak mengetahui semua nama anaknya.

Isteri keduanya berkata, suaminya tidak pernah mengabaikannya selain selalu mengambi berat tentang anak-anaknya. - Agensi

Bom kereta meletup di Ankara

23 Syawal 1432H. [MOD] -



ANKARA - Sebuah kereta meletup di hadapan sebuah sekolah menengah di daerah Kizilay di sini menyebabkan tiga maut dan 34 mangsa cedera semalam, kata pihak berkuasa.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab setakat ini. Namun, serangan itu berlaku ketika pemberontak Kurdis yang berjuang untuk mendapatkan autonomi di wilayah tenggara Turki kian memperhebatkan serangan mereka.

Sebelum ini, kumpulan tersebut melancarkan serangan bom di bandar-bandar di Turki.

Pemberontak Kurdis mula berjuang untuk mendapatkan autonomi di Turki sejak tahun 1984.

Militan-militan Islam dan pihak berhaluan kiri juga didakwa menjadi dalang beberapa serangan di negara ini.

"Terdapat maklumat yang menyatakan sebutir bom telah dipasang pada sebuah kenderaan," jelas Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc.

Beberapa orang mangsa hilang anggota badan.

"Mereka yang cedera dirawat di halaman sekolah sebelum dihantar ke hospital," kata seorang saksi, Ekrem Erkoc, 42.

Pada 28 Ogos lalu, para pemberontak Kursdis didakwa bertanggungjawab berhubung serangan di sebuah bandar peranginan, Kemer di Mediterranean yang mencederakan sepuluh orang, termasuk empat orang warga Sweden. - AP