21 September 2011

Yaman bergolak hari ke-3

23 Syawal 1432H. [MOD] -


PENUNJUK perasaan antikerajaan    lari selepas tentera  melepaskan bom gas pemedih mata  di bandar   Taiz, kelmarin.

60 terbunuh pertempuran penyokong, penentang antikerajaan 

SANAA: Bedilan dan pertempuran menyebabkan tujuh orang lagi maut di Yaman menjadikan jumlah kematian meningkat sehingga 60 orang sejak Ahad lalu apabila penunjuk perasaan membanjiri jalan di kota Sanaa.

Pertumpahan darah berterusan ketika wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba di Yaman, Jamal Benomar dan Ketua Majlis Kerjasama Teluk GCC), Abdullatif al-Zayani tiba di Sanaa, bagi memindahkan kuasa daripada Presiden Ali Abdullah Saleh kepada timbalannya.

“Tujuh orang, empat orang awam dan tiga askar Briged Bersenjata Pertama terbunuh,” kata pegawai perubatan merujuk kepada unit tentera penentang antikerajaan diketuai Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar. 

Saksi berkata, anggota keselamatan menembak penunjuk perasan yang berkhemah di luar Jalan Al Zubair, berdekatan Medan Pembaharuan, pusat protes antikerajaan di Sanaa. 

Penunjuk perasaan bertindak balas dengan membaling batu ke arah pasukan keselamatan yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan, kata saksi. 

Dua kanak-kanak, Anas dan Louay al-Suaidi, kena tembakan curi ketika berada dalam kereta bersama ibu bapa mereka. 
Pada Ahad lalu, puluhan ribu penunjuk perasan berarak dari Medan Pembaharuan ke tengah ibu negara yang berakhir dengan kekacauan apabila tembakan dilepaskan pasukan keselamatan di jalan al Zubair, berdekatan pejabat anak lelaki Saleh, Ahmed yang juga ketua Unit Pengawal Republikan. 

Saksi berkata, penunjuk perasaan disembur dengan meriam air dan gas pemedih mata serta dipukul dengan belantan sebelum pasukan keselamatan melepaskan tembakan mesingan. 

Anggota perubatan melaporkan, 26 terbunuh dan 500 lagi cedera akibat pukulan belantan atau terhidu gas pemedih mata dalam pertempuran Ahad lalu. 

Awal kelmarin pula, ribuan penunjuk perasan berarak dari Medan Pembaharuan untuk menyertai puluhan ribu lagi pembantah yang berkhemah di Jalan al Zubair selepas pertempuran berdarah sehari sebelum itu. 

Dua penunjuk perasaan turut terbunuh di bandar Taez, selatan Sanaa, kata saksi. Agensi berita kerajaan Saba melaporkan wakil PBB, Benomar tiba kelmarin di Sanaa sementara pegawai lapangan terbang memberitahu, Setiausaha Agung GCC, Abdullatif al-Zayani juga sudah ke kawasan bergolak ibu negara. 

Diplomat Barat di Sanaa memberitahu yang acara menandatangani dokumen penyerahan kuasa mengikut tajaan PBB berlangsung Isnin. 

Pegawai tertinggi Arab Saudi memberitahu Sabtu lalu, Timbalan Presiden, Abdrabuh Mansur Hadi akan menandatangani inisiatif Teluk dalam tempoh seminggu. 

Saleh yang memerintah Yaman sejak 1978, kini dalam proses pemulihan di Arab Saudi selepas terselamat akibat serangan 3 Jun di perkarangan kediamannya tetapi sehingga kini enggan menyerahkan kuasa kepada timbalannya atau menandatangani Inisiatif Teluk. 

Keengganannya mencetuskan kemarahan penaja rancangan Teluk bersama banyak lagi komuniti antarabangsa, bimbang dengan kejatuhan politik di Yaman yang akan memberi laluan kepada al-Qaeda untuk menguasai negara itu. – AFP 

Tiada ulasan: