14 Februari 2011

Tentera Mesir diingatkan tunai janji

11 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH: Penunjuk perasaan di dataran Tahrir akan terus mengenakan tekanan ke atas pentadbiran sementara kerajaan Mesir, sehingga mereka yakin demokrasi ditegakkan semula di negara itu.

Mereka juga mahukan maklumat jelas daripada pentadbiran tentera mengenai tempoh diambil bagi peralihan kerajaan.

Pada masa sama, pasukan tentera negara itu mula meruntuhkan khemah sementara didirikan penunjuk perasaan bagi membolehkan aliran lalu lintas kenderaan berjalan lancar.

Tentera menggesa penunjuk perasaan kembali ke rumah masing-masing tetapi ada yang enggan berbuat demikian.

Seorang penunjuk perasaan Ashraf Ahmed berkata, tentera boleh meruntuhkan khemahnyatetapi beliau tidak akan pergi kerana ‘terlalu banyak perkara perlu dilakukan. Mereka belum laksanakan apa-apa’.

Beberapa pertengkaran kecil dan perang mulut berlaku antara anggota tentera dan penunjuk perasaan, bagaimanapun keadaan secara keseluruhannya tenang.

Berita Harian/-

Persamaan Ben Ali dan Mahathir

11 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh Subky Latif .

TUN Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun dan Zaine al Abidene jadi Presiden Tunisia selama 25 tahun. Kira-kira sama lama.
Zaine al Abidene sebelum menjadi Presiden adalah Perdana Menteri di bawah Presiden Habib Bourgiba. Keduanya berbalah. Sebelum dia dipecat Presiden, dia merampus kuasa dan menjadi Presiden.

Dr. Mahathir berbalah dengan pemimpinnya Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra. Dia dipecat dari partinya, Umno. Selepas Tunku dipaksa berundur, Dr. Mahathir dapat kembali dalam Umno dan kemudiannya jadi Perdana Menteri.

Kedua-duanya sama-sama keras terhadap orang bawah dan rakyat.

Ada satu lagi persamaan antara keduanya. Dr. Mahathir dikatakan bertanya Presiden Ben Ali bagaimana dia menghadapi kaum muda yang berpelajaran tinggi sehingga mereka menyoal kepimpinannya dan pemerintahannya.

Senang saja. Ben Ali menjadikan mereka orang yang berhutang sepanjang hidup. Sebaik mereka lulus universiti dan mendapat pekerjaan dan yang tidak lulus universiti pun dapat pekerjaan, maka mereka diberi kemudahan untuk membeli kenderaan.

Mereka pun jadi orang yang berhutang. Sebahagian dari pendapatan mereka digunakan untuk membayar ansuran hutang motokar. Menampung perbelanjaan motokar seperti menampung seorang isteri.

Selagi hutang motokar itu tidak selesai, maka tidak banyak memikirkan hal lain selain dari menjelaskan hutang itu. Mereka akan menghadapi masalah kiranya hutung motokar tidak dijelaskan. Biasanya mereka menunaikan beban itu.

Sekali seseorang itu bermotokar, maka dia mesti sepanjang hidupnya bermotokar. Sebaik hutang itu selesai motokar pula tua terpaksa diganti baru. Maka dia menyambung hutang lagi sehingga tua.

Kemudian mereka diberi kemudahan pinjaman membeli rumah. Kadang-kadang sampai usia bersara hutang rumah belum selesai.

Sepanjang hidup rakyat seperti itu sebok menanggung hutang. Justeru itu mereka tidak boleh berfikir untuk berlawan dengan kerajaan kerana ada risiko berlawan dengan kerajaan. Kalau ditakdirkan dia hilang pekerjaan, maka bagaimana dia hendak menjelaskan ansuran hutang motokar dan rumah?

Oleh kerana itu orang cerdik pandai yang berhutang itu tidak banyak memikirkan kerajaan dan pimpinannya baik atau tidak, kerana tanggungjawab utama mereka ialah sebok menjelaskan hutang.

Dr. Mahathir pun berkongsi pengalaman yang sama. Sebelum Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, lulusan sekolah menengah dan lulusan unversiti yang bekerja membeli motokar dulu. Mereka juga ada kemudahan membeli rumah.

Kerajaan menyediakan pinjaman itu.

Kerajaan Dr. Mahathir membuka peluang mudah memiliki motokar. Kerana Malaysia sendiri membina lebih dari satu kilang membuat motokar, bukan saja orang senang membeli motokar, orang juga senang bertukar motokar.

Dr. Mahathir juga menukar sistem biasiswa bagi mahasiswa berjalan sejak di zaman British dulu kepada sistem pinjaman. Setiap pelajar diberi hak untuk membuat pijaman pelajaran.

Maka sebelum pelajar itu keluar universiti, mereka sudah jadi orang yang berhutang. Sebaik saja mereka dapat pekerjaan, maka mereka mula membayar hutang.

Rakyat Tunisia hanya menjadi orang yang berhutang selepas keluar dari universiti. Rakyat Malaysia sudah jadi orang yang berhutang sebaik saja masuk universiti. Beban hutang itu akan bertambah apabila mereka membeli motokar dan membeli rumah.

Oleh itu mereka sebok sepanjang hidup bekerja untuk menyelesaikan hutang. Beban hutang itu mungkin selesai apabila masing-masing bersara. Orang masuk usia bersara tidak lagi banyak memikirkan tentang politik dan kerajaan. Orang yang penat ini biasanya memilih untuk berehat.

Apa yang dibuat oleh Ben Ali itu berjaya menyelamatkan politiknya hingga sampai 23 tahun. Memang pelannya lojik dan menasabah.

Tetapi rakyat Tunisia akhirnya tidak lagi memikirkan mereka berhutang atau tidak. Dimulai oleh orang tidak ada pekerjaan di jalan-jalan bangkit menyoal pemerintahan Ben Ali. Mereka disokong oleh orang-orang yang berhutang, mereka hambat Ben Ali hingga tidak ada negara hendak menerimanya sebagai orang buangan.

Dr. Mahathir lebih cerdik. Sebelum orang berhutang hambat dia, dia berhenti dulu. Ben Ali bukan tidak cerdik, tetapi dia pun tidak sangka rakyat Tunisia rupanya sudah cerdik belaka.

Harakahdaily/-

18 cedera dalam letupan bom

11 Rabiul Awal 1432 H.

BANGKOK - Seramai 18 anggota tentera dan orang awam cedera apabila bom buatan sendiri seberat 20 kilogram yang diletakkan dalam sebuah kenderaan pikap meletup di pusat bandar Yala, semalam.

Jurucakap polis Yala melaporkan tujuh daripada mereka cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Yala, manakala yang lain hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Pada masa ini, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar anggota tentera dan orang awam yang cedera dalam kejadian pada jam 9.50 pagi waktu tempatan itu.

Siasatan awal berdasarkan kamera litar tertutup di kawasan itu menunjukkan seorang lelaki meletakkan pikapnya di pusat bandar pada kira-kira jam 7.30 pagi dan bom itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh apabila pasukan tentera melalui kawasan itu.

Letupan itu turut menyebabkan kebakaran yang memusnahkan 12 kedai kayu dengan kerugian kira-kira 10 juta Baht (RM990,000).

Sinar Harian/-

Ya Maulidur Rasul, tidak Hari Valentine

11 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Pemuda Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru masyarakat menghayati kefahaman sebenar Maulidur Rasul menolak sambutan Hari Valentine.

Justeru, pengerusinya , Mohd Fadzil Saleh menyeru pihak kerajaan dan institusi berkenaan memberi kesedaran kepada para pelajar sekolah mengenai budaya songsang hari Valentine dan membuat penguatkuasaan agar ianya tidak menjadi satu budaya yang diraikan sejak peringkat sekolah.

Katanya, virus sosial yang dibawa Hari Valentine di semua IPT perlu diperangi habis-habisan di samping menggembleng tenaga, membuat penguatkuasaan dan mengambil tindakan untuk melumpuhkan sebarang aktiviti dan usaha-usaha untuk memeriahkan atau menyambut Hari Valentine itu.

Sebaliknya, kata beliau masyarakat Islam menghayati semangat dan kefahaman sebenar perayaan bersempena Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah saw.

Tambahnya, belia dan remaja mengalihkan sudut pandang mereka kepada mencontohi Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah (contoh teladan terbaik) dalam konteks menzahirkan kasih sayang selain melibat diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina akhlak dan intelektual mereka.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru belia dan remaja agar mengetahui latar belakang dan matlamat Hari Valentine, agar tidak terikut-ikut budaya liar yang langsung tiada kaitan dengan Islam; malah tersasar darinya.

Di samping itu, ujar mereka hendaklah mengelakkan terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti meraikan hari tersebut seperti ‘dating’ yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak seperti penzinaan, arak dan pembuangan bayi.

Bagi keluarga dan ibu bapa pula, katanya mereka perlu mendapatkan maklumat yang betul mengenai Hari Valentine dan menyampaikannya kepada anak-anak, menghidupkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga.

“Memastikan anak-anak tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merosakkan ini dan mewujudkan aktiviti-aktiviti alternatif agar anak-anak dapat dijauhkan dan tidak terlibat dengan sambutan Hari Valentine,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau juga menyeru media massa menyampaikan maklumat sebenar mengenai Hari Valentine agar masyarakat menjauhi sebarang aktiviti-aktiviti berkaitan dengan sambutannya di samping menghentikan sebarang bentuk promosi yang menjurus kepada mempopularkan sambutan Hari Valentine.

Katanya, saban tahun, 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih, malahan seminggu sebelum tarikh tersebut, ianya hangat diwar-warkan di media massa mahupun di laman sosial.

“Saban tahun juga, kita menyaksikan ramai belia dan remaja ternoda,” katanya.

Laporan Polis Diraja Malaysia yang dikongsikan di dada akhbar bertarikh 10 Februari 2011 (Sinar Harian, hlm N15) menunjukkan sebanyak 517 kes pembuangan bayi yang dilaporkan dari 2005 sehingga Januari lalu.

Manakala dalam tempoh Januari sahaja, sebanyak 19 kes pembuangan bayi telah dilaporkan yang amat membimbangkan.

Pergaulan bebas tanpa kawalan antara puncanya.

Pengurusan institusi Raudatus Sakinah mendapati bahawa punca fenomena tersebut adalah hasil daripada kemaksiatan dan penzinaan yang berlaku bersempena dengan sambutan Hari Valentine dan juga sambutan Hari Kemerdekaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 24hb November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan ‘Valentine’s Day’ bukan amalan Islam. Malah, ia menegaskan bahawa, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya bercampurbaur dengan perbuatan maksiat yang bercanggah dan terlarang dalam Islam.

Namun, sehingga kini, kata Mohd Fadzil ia masih lagi menjadi budaya dalam masyarakat dan diamalkan oleh penganut-penganut beragama Islam – khususnya dalam kalangan belia dan remaja. Tahun lepas, misalnya, ada pihak telah mencetuskan kempen ‘No Panties’ pada Hari Valentine.

“Ini jelas menggambarkan betapa kroniknya budaya songsang telah menular dalam masyarakat kita,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Mula Bersidang

Ahli-ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock menghadiri prosiding pertama Suruhanjaya Siasatan kematian pembantu politik itu pada pagi Isnin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto THE STAR

Selepas Tunisia, Mesir, - Algeria pula bergelora

11 Rabiul Awal 1432 H.

Beribu-ribu penunjuk perasaan menuntut Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika meletakkan jawatan semakin merebak ke bandar Annaba di sebelah timur Algeria.

Menurut Penyelarasan Nasional Perubahan dan Demokrasi (CNCD) dan kesatuan pekerja tidak rasmi, Mustepha Bouchahi, tunjuk perasaan antikerajaan seterusnya akan diadakan Sabtu ini.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas 2,000 penunjuk perasaan bertempur dengan 30,000 anggota polis di bandar Algiers.

Ratusan penunjuk perasaan juga dilaporkan membaling batu ke arah polis di Bandaraya Annaba di timur Algeria dengan pembangkang mengumumkan untuk mengadakan satu lagi tunjuk perasaan besar-besaran minggu depan.

Sementara itu, Washington meminta pihak keselamatan Algeria supaya bertindak lebih berhati-hati selepas sehari protes seluruh negara terhadap kerajaan pimpinan Presiden Abdelaziz Bouteflika yang menyaksikan puluhan orang awam dan wartawan ditangkap.

“Kami ingin menegaskan sokongan kami kepada hak setiap rakyat Algeria termasuk mengadakan perhimpunan dan menyuarakan pendapat," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Philip Crowley dalam satu kenyataan.

Tunjuk perasaan yang akan datang dijadual diadakan 19 Februari ini, kata Mustepha Bouchahi dari Penyelaras Kebangsaan Bagi Demokrasi dan Perubahan (CNCD), iaitu kumpulan yang bergabung dalam perti pembangkang.

Semalam, dianggarkan 2,000 penunjuk perasaan bertembung dengan lebih 30,000 anggota polis yang bertindak menghalang mereka mengadakan demonstrasi jalanan di ibu negara itu.

Tunjuk perasaan juga diadakan di seluruh bandar di Algeria bagi menyatakan hasrat sama seperti berlaku di Mesir dan negara jiran, Tunisia.

Harakahdaily/-

Tabung Buluh: PAS kembali kepada asas

11 Rabiul Awal 1432 H.

RAWANG, 14 Feb: PAS kembali pendekatan asas bahawa parti Islam itu hidup atas keringat dan perjuangan para ahlinya apabila melancarkan Tabung Buluh PRU-13 malam tadi di Bandar Tasik Puteri kira-kira 15 km dari sini.

Projek itu dilancarkan oleh Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dalam satu majlis penuh simbolik.

"Kenapa kita pilih tabung buluh untuk mengumpul dana. Ini kerana kita ingin memberitahu pemimpin yang terpilih untuk menjadi calon dalam pilihan raya bahawa mereka menang atas sokongan dan dokongan ahli-ahli bawahannya bukannya atas kehebatan mereka.

"Kita yakin inilah yang akan mengikat kita walau setinggi mana wakil rakyat kita itu naik nanti," kata Tuan Ibrahim ketika melancarkan tabung itu.

Pelancaran ini dibuat ketika seorang demi seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat meninggalkan gabungan parti dalam gabungan itu dan menjadi anggota bebas. Yang terakhir adalah V Gobalakrishnan anggota Parlimen Padang Serai, Kedah.

Di majlis itu, Tuan Ibrahim telah menyerahkan tabung buluh kepada lima ketua-ketua cawangan PAS di sekitar kawasan pelancaran itu iaitu di Bandar Tasik Puteri, satu kawasan penempatan penduduk yang baru dibuka kira-kira 10 tahun lalu.

Sebelum itu, beliau bersama Dr Hatta melancarkan video klip yang dibuat khas untuk majlis pelancaran ini.

Dengan penduduknya seramai lebih 30,000 dan 95 peratus berbangsa Melayu, Bandar Tasik Puteri dikira subur untuk menjadi tapak perkembangan PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor.

Tabung buluh itu dijual kepada ahli-ahli PAS. Mereka pula akan mengumpul wang siling yang berbaki dalam poket mereka sehingga pilihan raya umum ke 13 nanti.

Tabung itu akan diserahkan kepada calon-calon PAS yang bertanding dengan sekeping nota bahawa inilah sumbangan mereka untuk perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

"Kita yakin sumbangan ini akan menjadi ikatan roh antara calon kita dan para ahli agar mereka tidak terlibat dengan tragedi lompat parti dan seumpamanya," kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim juga berharap, selepas ini semua kawasan dan cawangan PAS di seluruh negara mengambil pendekatan ini untuk mengumpulkan dana pilihan raya PAS menjelang PRU ke 13.

Menurut pengarah projek ini, Mazlan Moin mereka bersedia untuk membekalkan tabung-tabung buluh kepada mana-mana cawangan atau kawasan PAS yang hendakkannya.

Di majlis itu, lebih 50 buah tabung dibeli oleh ahli-ahli dan penyokong PAS di situ.

Harakahdaily/-

Mustapa baru sedar loteri, pelacur haram?

11 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR, 14 Feb: PAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana baru sedar loteri dan pelacur adalah haram di sisi agama.

“Apakah sejak Gelombang Merah dilancarkan beliau baru berjumpa dengan hukum loteri dan pelacur adalah haram di sisi agama?” tanya Kertua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, kenyataan Mustapa seolah-olah isu ini hendak dipolitikkan.

Tambahnya, jika benar ada kegiatan seperti begitu di Kota Bharu, Mustapa tidak boleh untuk berdiam diri.

“Jika ada mana-mana pihak yang melindungi kegiatan ini sila laporkan kepada pihak berkuasa.

“Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS, tidak pernah berkompromi dalam soal ini. Jika terbukti, ada di kalangan ahli PAS yang bersetongkol dengan kegiatan ini, PAS akan mengambil tindakan,” tegasnya.

Katanya lagi, jika benar kenyataan Mustapa, secara tidak langsung beliau telah memperlekehkan kewibawaan polis yang berkhidmat di Kelantan, kerana tidak bertindak.

Jelasnya, mustahil polis Malaysia yang cekap tidak dapat menghidu kegiatan yang tidak bermoral dan menyalahi sisi undang-undang.

Beliau berkata, Mustapa mungkin lupa bahawa polis di bawah dagu kerajaan pusat dan bertindaklah segera, jangan berkompromi kerana perkara jahat tidak perlu hendak dipolitikkan.

Justeru, katanya PAS mengharapkan kesedaran Gelombang Merah, boleh juga menyedarkan Mustapa dan Datuk Dr Awang Adek bahawa kedua-dua perbuatan itu salah di sisi Islam.

Katanya, walaupun baru-baru ini kerajaan BN telah meluluskan judi bola sepak, akhirnya dibatalkan kerana bantahan daripada PAS dan Pakatan Rakyat serta pemimpin agama bukan Islam.

“Perkara yang sama bolehlah dibawa dalam kabinet 1Malaysia untuk diharamkan kegiatan judi dan perbuatan yang tidak bermoral di negeri-negeri yang Barisan Nasional perintah,” katanya.

Harakahdaily/-

Adegan merokok diharamkan di China

11 Rabiul Awal 1432 H.

BEIJING - Kerajaan China mengharamkan adegan merokok dalam semua filem atau rancangan televisyen kerana bimbang mempengaruhi lebih 300 juta perokok tegar di negara itu.

Pihak Pentadbiran Radio, Filem dan Televisyen Kebangsaan (SARFT) diarahkan supaya mengeluarkan arahan keras dan mengharamkan semua adegan merokok di dalam semua tayangan filem atau rancangan televisyen di negara itu.

SARFT mengumumkan di dalam laman sesawangnya bahawa semua jenama rokok tidak boleh disiarkan di televisyen atau filem dan adegan merokok mestilah dilakukan dalam tempoh masa yang pendek.

Kajian terhadap 11,000 pelajar sekolah menengah rendah di Beijing mendapati hampir 33 peratus daripada mereka ingin cuba merokok selepas menonton pelakon melakukan adegan merokok di televisyen.

Tembakau merupakan pembunuh utama di China, dan merupakan pengeluar serta pengguna terbesar tembakau di dunia.

Sinar Harian/-

Memperingati Rasulullah melalui seni Islam

11 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA.

TANGGAL 12 Rabiulawal bersamaan 15 Februari bersamaan Selasa hadapan adalah tarikh lahir Nabi Muhammad SAW. Pada minggu hadapan juga genaplah 1,200 tahun baginda SAW meninggalkan umat Islam yang dicintainya.

Rasulullah SAW wafat pada tarikh lahir baginda iaitu 12 Rabiulawal 632 Masihi di Madinah ketika berusia 63 tahun. Baginda dimakamkan di dalam rumah baginda yang terletak di dalam Masjid Nabawi pada hari ini.

Makam Rasulullah SAW ditempatkan di dalam sebuah kawasan yang mempunyai kubah berwarna hijau. Kawasan ini dikenali sebagai Raudhah.

Di sisi makam Nabi SAW terdapat makam dua sahabat karib baginda iaitu Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a and Khalifah Umar al-Khattab r.a. Mereka adalah antara sahabat karib Rasulullah SAW dan juga khalifah umat Islam selepas kewafatan baginda.

Mereka berdua adalah orang yang sentiasa menemani Rasulullah SAW ketika senang dan susah dan sentiasa mempercayai setiap kata-kata Nabi SAW di dalam apa juga keadaan.

Rasa sayang dan cinta mereka kepada Rasulullah SAW sentiasa subur di hati mereka walaupun selepas kewafatan baginda. Setelah kedua sahabat Rasulullah SAW ini meninggal dunia, mereka dimakamkan bersebelahan makam baginda.

Rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW bukan sahaja dirasai oleh dua khalifah Islam yang agung ini, malah ia turut dirasai oleh umat Islam lain sama ada yang hidup sezaman dengan baginda ataupun umat Islam yang ada pada hari ini.

Bagi umat Islam yang datang selepas kewafatan Nabi SAW, rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW kian subur dengan hanya mengenali baginda melalui sejarah. Walaupun umat Islam pada hari ini tidak pernah melihat Rasulullah SAW tetapi kasih sayang terhadap baginda diibaratkan seperti cahaya matahari yang menerangi bumi seperti yang terdapat di dalam nasyid Rasulullah Junjungan yang didendangkan oleh kumpulan Raihan:

“Kau bagaikan matahari

Cahaya menerangi bumi

Engkaulah permata hati

Bertakhta di sanubari”

Puji-pujian dan selawat ke atas Rasulullah SAW yang didendangkan di seluruh dunia sering membangkitkan rasa rindu yang mendalam kepada baginda SAW.

Seperti di dunia Melayu, selawat dan marhaban sering didendangkan dalam majlis-majlis keraian agama seperti sambutan awal Muharam, sambutan Maulidur Rasul, majlis perkahwinan, majlis khatam al-Quran, majlis cukur jambul bagi bayi yang baru lahir dan sebagainya.

Baris-baris selawat ditulis dan disebarkan ke seluruh dunia oleh penulis Islam. Manuskrip-manuskrip Islam yang mengandungi selawat dan sejarah ringkas mengenai Rasulullah SAW seperti Dalail al-Kayrat disalin dan diedarkan diseluruh dunia. Manuskrip ini dihasilkan di Maghribi oleh seorang ahli sufi yang dikenali sebagi al-Jazuli pada abad ke 15 Masihi.

Selain selawat, manuskrip ini juga mempunyai doa-doa pilihan, nama-nama panggilan Nabi Muhammad SAW, sedikit penjelasan mengenai makam Rasulullah SAW dan sejarah ringkas mengenai Khalifah Abu Bakar r.a dan Khalifah Umar al-Khattab.

Setiap manuskrip Dalail al-Kayrat ini sering mempunyai dua buah lukisan. Satu memperlihatkan lukisan Kaabah di Mekah dan satu lagi memperlihatkan lukisan makam Rasulullah SAW di Madinah.

Selain manuskrip selawat terdapat juga manuskrip sejarah yang mengandungi salasilah baginda SAW yang bersambung dengan para nabi dan rasul sebelum baginda. Manuskrip ini ditulis dengan penuh teliti, jelas dan menarik dengan penggunaan dakwat yang berwarna-warni.

Selain seni penulisan, nama Nabi Muhammad SAW turut diabadikan di atas barangan kesenian yang lain seperti dalam bentuk sulaman, ukiran dan tenunan.

Nama baginda SAW selalunya digandingkan dengan nama Allah SWT atau nama para sahabat baginda seperti Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a, Saidina Uthman r.a dan Saidina Ali r.a.

Terdapat juga nama ahli keluarga Rasulullah SAW yang digunakan seperti puteri baginda Saidatina Fatimah r.a dan cucu baginda Saidina Hassan dan Hussein r.a.

Barangan yang mempunyai nama Rasulullah SAW sering digunakan sebagai hiasan dan diletakkan di tempat yang tinggi sebagai tanda kasih dan sayang umat Islam di seluruh dunia kepada nabi junjungan mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.

Utusan Malaysia/-

PAS hantar nota tahniah untuk rakyat Mesir esok

11 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR, 13 Feb: PAS bersama para NGO akan menghantar nota tahniah kepada rakyat Mesir di Kedutaan Mesir, Jalan Ampang jam 11 pagi esok ekoran kejayaan mereka menjatuhkan regim Mubarak.

Penghantaran nota ini akan diketuai oleh Haji Mohamad Sabu di samping Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Arucelvam (PSM), Syed Ibrahim Syed Noh (Jim) di samping pemimpin NGO seperti Abim, Jim dan lain-lain.

Selepas tiga minggu berdemonstrasi, rakyat Mesir berjaya menjatuhkan regim Hosni Mubarak Jumaat kelmarin.

Kini Mesir ditadbir oleh Majlis Tentera dan mereka berjanji akan memenuhi tuntutan rakyat.

Harakahdaily/-

Bekas Presiden Mesir pindah aset ke akaun tak dapat dikesan

11 Rabiulawal 1432H [MOD] -

LONDON: Bekas pemimpin Mesir, Hosni Mubarak, menggunakan masa menghadapi protes 18 hari bantahan ke atasnya untuk memindahkan kekayaannya ke akaun luar negara yang tidak dapat dikesan dan ada pihak menggesa masyarakat antarabangsa bekerjasama membekukan aset berkenaan.

“Kami tahu anggota keluarga Mubarak berbual mengenai cara menyelamatkan aset mereka. Penasihat kewangan mereka sudah memindahkannya. Jika beliau ada wang di Zurich, ia mungkin sudah tiada sekarang,” kata sumber perisikan Barat.

Bekas Presiden Mesir itu dituduh memiliki kekayaan lebih £3 bilion (RM15 bilion) tetapi ada yang memberi angka sehingga £40 bilion (RM200 bilion) dan £70 bilion (RM350 bilion) selepas memerintah 30 tahun.

Antara aset itu termasuk wang di bank asing, pelaburan, jongkong emas dan hartanah di London, New York, Paris dan Beverly Hills.

Malah, anak lelaki Mubarak, Gamal, dilaporkan sempat berparti di sebuah kelab malam di Tramp di sini hujung minggu lalu dengan satu bil ‘champagne’ mencecah £16,000 (RM78,115).

Sumber perisikan itu berpendapat, Mubarak, 82, mungkin belajar daripada kesilapan diktator Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali, yang lari ke Arab Saudi diikuti dengan tindakan Switzerland membekukan akaun bank Ben Ali dan juga bekas pemimpin Mesir itu. Duta Mesir ke London, Hatem Seif el Nasr, berkata beliau tidak ada maklumat mengenai aset Mubarak.

“Secara jujur, saya tidak tahu menahu langsung mengenai wang (milik Mubarak),” katanya kepada BBC TV.

Terbaru, Pejabat Jenayah Serius (SFO) Britain melancarkan operasi mengesan aset dan wang tunai Mubarak di Britain, lapor akhbar Sunday Times tanpa memberitahu sumber langkah itu.

Ketua SFO, Richard Alderman, berkata: “Masyarakat menjangka kami mencari wang itu jika tahu di mana dan cuba memulangkannya untuk kebaikan penduduk negara itu.”

Perdana Menteri Britain, David Cameron dilaporkan menerima tekanan hebat untuk segera membekukan aset berjumlah £5 bilion (RM24.11 bilion) yang disimpan di United Kingdom oleh Mubarak.

Britain boleh membekukan sebarang aset yang ada kaitan dengan Mubarak jika diminta Kesatuan Eropah atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta kerajaan Mesir.

Ketika jutaan rakyat Mesir hidup dalam kemiskinan tegar, kaum keluarga Mubarak disyaki melarikan aset berbilion dolar dari negara itu, dikumpul daripada perjanjian perniagaan dilingkari rasuah dan rampasan aset bekas presiden dan monarki. – Agensi

MPL pasang CCTV jadikan Langkawi destinasi selamat

11 Rabiul Awal 1432 H.

LANGKAWI: Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) memasang 16 unit kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjadikan Langkawi sebagai destinasi pulau pelancongan yang selamat. Yang Dipertua MPL, Abdul Rahman Salleh, berkata pemasangan itu dibiayai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah program bandar selamat.

"Pasir Tengkorak, Pekan Padang Matsirat, Pantai Cenang, Taman CHOGM, Pantai Kok, Jeti Kuah dan pejabat MPL adalah antara lokasi yang dipasang CCTV," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, selain dapat memantau kejadian jenayah yang berlaku di pulau bebas cukai, pemasangan alat bernilai RM2 juta itu membolehkan penduduk dan pelancong berasa selamat. Selain MPL, Polis Langkawi turut memasang alat itu yang dibiayai Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Berita Harian/-

DUN Kerdau: UMNO bahagian bincang senarai calon esok

11 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
TEMERLOH: UMNO Bahagian Kuala Krau akan menyenaraikan antara lima hingga tujuh nama untuk dipilih pucuk pimpinan parti sebagai calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau. Ketuanya, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata senarai nama itu akan diputuskan dalam mesyuarat bahagian tersebut petang esok.

"Lima atau tujuh nama yang berkelayakan dan memenuhi kriteria sebagai calon akan dicadangkan UMNO Bahagian untuk diputuskan pucuk pimpinan parti," katanya di sini hari ini. Ismail berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

"Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya belum menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan hari pengundian, namun persediaan awal menghadapi pilihan raya itu perlu diadakan," katanya.

Kerusi DUN berkenaan kosong selepas wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya kelmarin.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin yang mewakili Barisan Nasional menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi. - BERNAMA

Tanah mendap merbahaya di laluan lebuhraya

11 Rabiulawal 1432H [MOD] -
Laluan di Kilometer 274.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara berhampiran susur antara Ipoh ke Jelapang ditutup satu lorong sejauh 50 meter selama dua minggu apabila berlaku mendapan tanah membentuk lubang sedalam empat meter dan seluas 12.96 meter persegi tengah hari semalam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Datuk Dr Ir Safry Kamal Ahmad berkata, penyiasatan terhadap kejadian itu bermula hari ini untuk mencari kaedah terbaik pembaikan lubang berkenaan.

“Mendapan tanah ini berlaku daripada kegagalan struktur pembetungan yang merentasi lebuh raya ini. Terdapat rekahan pada pembetung ini menyebabkan air meresap dalam tanah dan mengikut air yang mengalir.

“Kita akan siasat secara menyeluruh sistem pembetungan ini mulai esok dan dalam masa sama mencari kaedah terbaik pembaikan dengan kerjasama Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan JKR Perak,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat mendapan tanah itu di sini.

Menurutnya, kerja pembaikan dijangka siap dalam masa dua minggu melibatkan struktur tanah, parit dan rekahan struktur pembetungan berkenaan.

“Sementara waktu ini, persiapan keselamatan kepada pengguna di seksyen ini diutamakan,” katanya.

Dr Ir Safry Kamal berkata, purata 10,000 kenderaan yang melalui kawasan itu diminta mematuhi papan tanda keselamatan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

“Laluan ini penting kepada penduduk di bandar raya ini untuk ke Jelapang dan Utara. Pengguna diminta berhati-hati dan memandu dengan kelajuan yang sesuai bagi mengelakkan sebarang kecelakaan dan patuhi arahan papan tanda yang disediakan,” katanya.

Tiga lagi gempa bumi berasingan melanda Chile

11 Rabiulawal 1432H-
[MOD] 14 Feb. – Tiga lagi gegaran berasingan berlaku di pusat bandar Chile awal pagi semalam, dua hari selepas satu gempa bumi kuat yang melanda negara lingkaran gunung berapi ini.

Gegaran terbaru adalah berkuatan 6, 5.8 dan 5.6 pada skala Richter berlaku 95 Km dari daerah Bio-Bio di barat Chile. Tiada sebarang laporan mengenai kerosakan dan kecederaan dilaporkan setakat ini. – AFP

Tunjuk perasaan antikerajaan di Algeria semakin merebak

11 Rabiul Awal 1432 H.

ALGIERS 14 Feb. – Beribu-ribu penunjuk perasaan menuntut Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika meletakkan jawatan semakin merebak ke bandar Annaba di sebelah timur Algeria.

Menurut Penyelarasan Nasional Perubahan dan Demokrasi (CNCD) dan kesatuan pekerja tidak rasmi, Mustepha Bouchahi, tunjuk perasaan antikerajaan seterusnya akan diadakan Sabtu ini.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas 2,000 penunjuk perasaan bertempur dengan 30,000 anggota polis di bandar Algiers.

Utusan Malaysia/-

Angin dalam 'lalang'

[MOD] Hazlan Zakaria
11 Rabiulawal 1432H -
Ops Lalang yang lena sejak lebih dua dekad lalu, baru-baru ini dikejutkan dengan hembusan badai supaya kisah itu digamit semula bagi mencari dalang atau alasan bagi pihak berkuasa kembali sibuk memburu 'anasir-anasir' yang kononnya membahayakan keselamatan negara.

Suka ataupun tidak, ada yang berpendapat 'cantasan lalang' akan berulang. Namun, sebelum kita tatapi signifikan cerita dinihari, molek kita amati dulu peristiwa tempoh hari.

mahathir and operasi lalang14 Mac 1988, - empat bulan selepas operasi tersebut, kementerian dalam negeri (KDN) mempersembahkan kertas puttih berjudul 'Ke Arah Memelihara Keselamatan Dalam Negeri' kepada parlimen.

Kertas putih itu memaparkan justifikasi kerajaan untuk penangkapan beramai-ramai dalam operasi yang diadakan tahun sebelumnya.

Operasi yang melihat lebih seratus individu ditahan tanpa bicara, hak berkumpul secara aman disekat dan lesen penerbitan empat akhbar ditarik balik.

Urutan cengkaman totalitarian yang Bapa Kemerdekaan kita sendiri Tunku Abdul Rahman labelkan sebagai anjungan kepada sebuah negara kuku besi!

azlanSiapa saja yang mengeluarkan arahan, sama ada pihak polis atau perdana menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamad, kertas putih berkenaan tidak menyatakannya.

Yang dicatatkan hanyalah "kerajaan mengambil keputusan untuk bertindak."

Tidak salah kalau ditafsirkan 'kerajaan' ini adalah pihak berkuasa ketika itu, yang dipimpin oleh Dr Mahathir. Lebih-lebih lagi, laporan berkenaan disediakan oleh KDN, porfolio yang dipegang Mahathir dari 1986 hinggalah 1999.

'Berakhirnya di pejabat PM'

Walaupun betapa bebalnya bantahan Mahathir yang menafikan beliau bertanggungjawab mengeluarkan arahan itu, telunjuk masih membidik ke dahi bekas perdana menteri yang juga menteri dalam negeri ketika itu.

mahathir and crowdNamun penulis sajak 'Melayu Mudah Lupa' ini mempunya ingatan yang agak berlainan.

Jarinya dituding kepada polis sebagai pihak yang bertanggungjawab memulakan Ops Lalang.

"Saya berjumpa dengan pemimpin pembangkang (terlebih dahulu) dan memberi jaminan yang mereka akan kekak bebas. Tapi apa yang polis buat? Ditangkapnya mereka. Kewibawaan saya musnah," kata Mahathir kepada wartawan dan penulis Tom Plate.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, seorang daripada tahanan itu menyangkal dakwaan berkenaan.

Katanya, Mahathir tidak pernah berjumpa beliau dan mencabar bekas perdana menteri menamakan ketua-ketua pembangkang yang ditemuinya dan diberi jaminan kebeabasan mereka itu.

NONEBekas ketua polis negara Tun Hanif Omar pula mempertahankan Dr Mahathir. Katanya pihak polis yang bertanggungjawab.

Tetapi beliau sempat menuding jari kepada Dr Mahathir untuk arahan tahanan selanjutnya selepas tahanan tempoh 60 hari dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri luput.

"Dari masa itu, semuanya adalah keputusan beliau," kata Hanif.

Walhal pun jika polis benar bertindak sendirian, tanggungjawad mutakhir masih berada di tangan perdana menteri yang memerintah, ulas pakar perlembagaan Professor Abdul Aziz Bari.

Katanya, "segalanya berakhir di pintu pejabat perdana menteri".

Aturan sejarah juga menjadi saksi yang perdana menteri yang disifatkan bagaikan Machiavelli ini, tidak mungkin memberi kebebasan kepada polis untuk bertindak sesuka hati.

Keselamatan negara atau kesinambungan politik?

Soalan cepumas dalam percaturan ini bukanlah siapa yang mengeluarkan arahan. Tetapi yang lebih menggusarkan adalah alasan kerajaan untuk melaksanakan Ops Lalang. Ura-ura serupa seperti sudah kunjung tiba, seperti yang didakwa pihak berwajib.

ops lalang chan tse yuen arrest 271005Terdapat enam bahagian di dalam laporan yang ditulis pada tahun 1988 itu. Setiap bahagian menyentuh perkara yang pihak berkuasa dakwa sebagai pemangkin "aktiviti yang membahayakan keamanan rakyat dan keselamatan negara".

Antara isu yang disentuh ialah penggamatan isu-isu sensitif, bahaya 'Kristianisasi', Islam yang radikal, kebangkitan golongan sosialis dan pelajar, pengganas komunis dan akhbar yang enggan tunduk dek telunjuk kerajaan.

Tidak terlalu liar untuk kita bayangkan yang isu-isu terbabit juga sedang digembar-gemburkan, isu sensitif umpamanya menjadi permainan NGO-NGO belaan sebuah parti Melayu dan pihak berwajib seakan pilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap demonstrasi.

azlanKerajaan pula seperti sedang cuba untuk menghalang kebangkitan aktivis pelajar dan gelombang rakyat sejagat yang makin celik dengan kesedaran sosial.

Begitu juga dengan isu-isu yang dicanagkan PAS, petubuhan Kristian dan juga isu agama yang seperti diapi-apikan menjurus kepada perlanggaran. Timbul juga isu kewujudan sel-sel pengganas di Malaysia kononnya berleluasa walaupun tanpa bukti mantap.

Pihak berkuasa juga dewasa ini asyik menegur suratkhabar dan penerbitan supaya lebih 'berkerjasama' dengan agenda pemerintah atau menjadi sasaran amaran dan kawalan. Jika dilihat keadaan sejagat mungkin agak keruh sekali.

azlanTetapi adakah kelodak ini masalah nyata ataupun propaganda? Adakah ia isu keselamatan dalam negara ataupun alasan kesinambungan politik sebuah rejim yang mencecah 53 tahun ini.

Tanpa bayangan rusuhan kaum dan juga pertembungan agama, mungkin sudah tiada ruang untuk institiusi politik rapuh dan lapuk seperti BN. Binaan politik usang seperti ini mungkin patut dimandulkan saja untuk kebaikan rakyat.

Amaran dan peringatan

Tetapi lebih gawat lagi, adalah ketakutan yang menyakat BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila memerhati kan kejatuhan rejim-rejim kuku besi di Asia Barat.

NONEIni memungkingkan beliau berpatah balik ke taktik usang untuk kekal berkuasa. Lihat saja amaran jelasnya yang "kita tak akan benarkan ia berlaku di sini," dan juga peringatan berlapik kepada ahli perniagaan untuk terus berkerjasama dengan kerajaan atau menerima akibat yang kurang menyenangkan.

"Ini bukan masa buat uji kaji atau memperjudikan masa depan. Saya rasa anda tahu apa yang saya sedang katakan... Biasalah, orang berniaga senntiasa peka dan pragmatik," kata Najib di rumah terbuka anjuran SMI Malaysia di Petaling Jaya semalam.

Amaran Najib kepada ahli-ahli perniagaan mungkin ingin menutup kemungkinan ada yang akan menaja kebangkitan rakayt ataupun mencarum kepada dana politik pihak Pakatan Rakyat.

egypt revolution mubarak steps down crowd 1Seperti kita tahu, kebangkitan di Medan Tahrir dan tempat-tempat lain di Mesir tidaklah seampuh itu sekiranya tiada bantuan daripada pihak korporat.

Menjana kebangkitan rakyat, seperti juga menjalan kempen politik pembangkang di sistem politik berat sebelah negara ini, kedua-duanya adalah pertaruhan yang tinggi harganya.

Dengan bekas presiden Mesir Hosni Mubarak yang telah cabut dari Kaherah dan pertukaran kuasa awal pagi tadi, mesej ini mungkin ingin dicanangkan dengan lebih keras oleh Najib dan BN, agar rakyat tidak teruja untuk mencubanya di Malaysia.

ops lalang 261005 star front page'Mesir and Medan Tahrir!'

Justeru, jangan terkejut jika tiba-tiba atas arahan perdana menteri ataupun polis yang 'bebas', tiupan angin yang berwajib mungkin kembali mencantas 'lalang' lagi.

Namun kini, taktik sedemikian jauh sekali akan meredakan tentangan terhadap Najib dan BN, sebaliknya ia mungkin menyemarakkan api dalam sekam, membakar kebangkitan ala Mesir yang cuba dihindari pihak kerajaan.

Di zaman komunikasi segera dan alam maya internet, propaganda dan kawalan berita tidak lagi berkesan. Agak susah untuk pihak berkuasa menakutkan rakyat hanya dengan propaganda.

protest against hosni mubarak us embassy kuala lumpur crowd 1Wujudnya rangkaian sosial juga memungkinkan rakyat untuk menjana kebangkitan di peringkat akar umbi, walaupun tanpa arahan pimpinan. Apatah lagi jika pimpinan mereka dipenjarakan, akan marak lagilah semangat kebangkitan.

Lebih-lebih lagi dengan rakyat yang dipaksa mengikat perut masa ekonomi gawat, dibayangi kroni korporat dan golongan elit BN yang masih hidup dalam kemewahan atas duit rakyat, situasi terkini memang agak rapuh sekali.

Jika ada lagi 'cantasan' lalang, ia mungkin menjadi percikan api yang menyalakan sekam amarah rakyat.

"Mesir dan medan Tahrir!" patut menjadi amaran kepada BN, dan juga laungan perjuangan rakyat. Ubah haluan sekarang, jika tidak mahu diubah landaan badai melintang.(MInsider)

S'gor perluas kempen anti zina, banteras gejala sosial

11 Rabiul Awal 1432 H.

Rentetan kejayaan Kempen Anti Zina siri satu dan dua sebelum ini telah membuatkan kerajaan negeri Selangor meneruskan kempen tersebut sehinggalah isu gejala sosial yang melanda masyarakat dapat dibanteras, lapor TV Selangor.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sejak kempen ini diperkenalkan oleh kerajaan negeri, ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak.

"Saya berasa amat gembira apabila diberitahu sambutan anti zina kedua yang diadakan pada malam sambutan tahun baru yang sama, amat menggalakkan, telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 5,000 sukarelawan," katanya.

Menurut beliau lagi, kempen seperti ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu beragama Islam dan bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam.

"Kempen anti zina ini bukanlah untuk mengganggu masyarakat bukan Islam tetapi adalah tanda amaran kepada umat Islam, dan ini bukan dianggap sebagai serbuan tetapi peringatan kepada orang Islam dan menjadi tanggungjawab mereka dalam mencegahnya," katanya.
Simbolik

Beliau yang bercakap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Anti Zina Siri 3 yang diadakan di Dataran Shah Alam sebagai simbolik pelancaran ini Menteri Besar telah melepaskan sekumpulan konvoi yang disertai oleh 80 buah kereta dan 30 buah motosikal berkuasa tinggi.

Kumpulan yang dianggarkan kira-kira 500 orang ini akan berpusing seluruh Shah Alam sebagai "tanda amaran" untuk memberitahu orang awam bahawa kempen ini telah bermula sambil membunyikan hon.

Kempen siri kali ketiga ini mempunyai 3 fasa, iaitu fasa pertama adalah majlis pelancaran oleh Menteri Besar, manakala fasa kedua pula akan bermula pada jam 8 malam hingga 2 pagi, melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada NGO yang diketuai oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor akan mengedarkan risalah mengenai bahaya zina kepada masyarakat.

Antara NGO yang terlibat adalah Briged Amal, Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Perkim (Selangor), Bakewanis dan lain-lain lagi.

Fasa ketiga bermula jam 2 pagi hingga 6 pagi, di mana akan menggempur beberapa lokasi dan premis yang telah dikenalpasti untuk diperiksa, kempen ini melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan, antaranya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain jabatan yang berkaitan dalam penguatkuasaan.

Kempen Anti Zina merupakan salah satu aktiviti yang dirancang oleh Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang merupakan satu program khusus yang diwujudkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Khalid berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam menangani isu gejala sosial di Selangor apabila kempen seumpama ini dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi mewujudkan persekitaran yang aman dan tenteram.

Malaysiakini/-

PRK telan belanja hampir RM10 juta

[MOD]. 11 Rabiulawal 1432H -

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membelanjakan hampir RM10 juta untuk mengadakan 15 Pilihan Raya Kecil (PRK) bermula di Permatang Pauh pada Ogos 2008.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jumlah keseluruhannya RM9,6210.92 digunakan untuk menampung semua perbelanjaan dalam setiap PRK.

“Angka berkenaan merangkumi perbelanjaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang hingga Merlimau, Melaka. Tanpa PRK, wang itu boleh digunakan untuk perkara lain yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat negara ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, menjelang pilihan raya banyak aktiviti yang dilakukan oleh SPR untuk mempersiapkan proses pengundian.

Mengulas persoalan mengenai adakah PRK serentak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang dan Merlimau, di Melaka, beliau belum menerima surat daripada Speaker DUN Pahang untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara berkenaan.(Sinar Harian)

Kerdau - Zahid Hamidi makin merepek ?


Oleh: WFAUZDIN NS
11 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GELI pula hati aku mendengar komen Zahid Hamidi di dalam berita Astro Awani apabila beliau mengulas kematian Adun Kerdau kelmarin. Beliau menyebut kematian Adun Umno tersebut merupakan ujian Allah terhadap Umno/Bn. Mengapa ke situ pula perginya Zahid Hamidi?

Apa pula kena mengena kematian, ajal dan maut dari Allah terhadap hambanya dengan Umno? Zahid jangan perasan sangat dan menyangka Allah merestui parti sekular yang bersekutu dengan Apco Yahudi Israel laknatullah itu. Apakah Zahid Hamidi percaya dan yakin benar bahawa Allah meredhai Umno yang sentiasa menolak hukum Islam itu? Bukankah tangan pemimpin Umno yang meluluskan lesen judi terbesar di Genting? Lesen kilang arak terbesar di Shah Alam? Lupakah Zahid tentang cita-cita pemimpin besar Umno yang mahu meluluskan lesen judi bola sewaktu kempen Bola Sepak Piala Dunia yang lalu? Masakan Zahid tidak tahu pemimpin Umno jugalah yang menulis surat kepada Kerajaan PAS Kelantan memberi amaran agar kerajaan negeri tersebut tidak melaksanakan undang-undang Islam termasuk hukum hudud? Parti seperti inikah yang Zahid rasa Allah redha?

Cukuplah Zahid. Setelah kamu menipu orang-orang Melayu berugama Islam dengan perjuangan sekular Umno itu, masakan dengan Allah yang maha mengetahui itu pun kamu mahu tipu? Kita kenal siapa Zahid Hamidi yang dulunya dinaikkan di dalam politik Umno oleh DS Anwar, kemudiannya cuba menunjukkan berani untuk bersama pejuang reformasi, tetapi baru beberapa hari ditahan akhirnya keluar di depan TV membaca skrip memburukkan DS Anwar dan mereka yang berjuang di dalam reformasi. Kedudukan beliau sekarang adalah `upah' yang beliau perolehi hasil dari mengkhianati perjuangan rakyat.

Pada kita yang komited dengan perjuangan, samada berlakunya kematian di kalangan Wakil Rakyat atau tidak, kita tetap terus berjuang kerana Allah sentiasa menguji kita di dalam keadaan senang atau pun susah. /wfauzdin.blogspot.com

Dr Asri: Tidak mustahil kuasa rakyat berlaku di M'sia

11 Rabiul Awal 1432 H.

Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainol Abidin berkata tidak mustahil kuasa rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak di Mesir berlaku di Malaysia jika penduduk negara ini tidak tahan dengan kekangan dan penindasan.

TV Selangor memetik beliau berkata walaupun Malaysia jauh makmur berbanding Mesir, namun, rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis.

"Dari segi kemiskinan kita tak sama, Mesir ada 42 peratus rakyat di bawah taraf kemiskinan. Dari segi faktor yang menyumbang ruang seperti Internet, mungkin Malaysia lebih.

“Tapi ketidakpuasan hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya.

Justeru Asri berkata, mana-mana kerajaan termasuk di Malaysia terdedah kepada menghadapi kuasa rakyat di jalanan jika terlampau mengekang dan menindas penduduk khususnya bersabit hak asasi mereka.
Kuku besi

Asri berkata Mesir menjadi contoh bagaimana sebuah kerajaan kuku besi dijatuhkan semata-mata menerusi penduduk yang tidak menggunakan kekerasan, mereka hanya berbekal tekad dan iltizam untuk mengubah nasib mereka.

"Kalau ada faktor-faktor tidak puas hati itu merebak ke dalam rakyat, saya rasa tak mustahil perkara yang sama boleh berlaku. Kerana kejadian perubahan di Mesir beri pengajaran kepada semua pemerintah bahawa perubahan boleh berlaku bukan dengan cara dulu tapi dengan cara baru, kuasa rakyat turun di jalan tanpa senjata, tanpa peluru dan hanya menzahirkan pendapat mereka," katanya.

Asri menegaskan pengaruh Internet dan keluhan generasi muda tidak boleh diambil ringan dalam era globalisasi sebagaimana yang terbukti dalam kes Mesir.

"Bermula dari mereka dididik untuk meluahkan perasaan di facebook, di blog mereka, mereka luahkan di jalan raya. Tak perlu nak rosakkan harta awam, tetapi mereka turun demi kepentingan rakyat beramai-ramai. Tentera dilatih hadapi orang bersenjata tapi dilatih hadapi rakyat tak bersenjata. Jadi mereka terpinga-pinga di hadapan kuasa rakyat yang tak bersenjata," kata Asri.

Lewat malam Jumaat lalu, kerajaan Mubarak tumbang apabila melancarkan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan berterusan kerana hilang kepercayaan ke atas pentadbiran presiden itu yang didakwa dicemari rasuah dan salah guna wang rakyat .

Dengan menggunakan rangkaian media seperti Facebook dan Twitter, sentimen anti kerajaan menular dengan luas ke seluruh negara ibarat api yang merebak. Tindakan selama 18 hari itu berjaya menyaksikan Mubarak akhirnya tunduk dan meletakkan jawatan.

Malaysiakini/-

Tentera bubar parlimen Mesir, gantung perlembagaan

11 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH, 14 Feb: Pemerintah Tentera Mesir telah membubarkan parlimen dan menggantung perlembagaan negara itu, dalam pengumuman perubahan drastik demokrasi negara itu.

Ianya dibuat berdasarkan refrendum popular yang diterima mereka.

Dalam pengumuman terbaru mereka semalam, pemimpin tentera yang menjalankan pemerintahan sementara selepas Hosni Mubarak dijatuhkan, berkata mereka akan memerintah Mesir dalam tempoh enam bulan atau sehingga pilihan raya parlimen dan presiden baru diadakan.

Mereka juga memaklumkan, Perdana Menteri, Ahmed Shafik akan terus mengetuai kerajaan sementara Mesir.

Perkembangan terbaru itu memberi harapan baru buat rakyat Mesir yang masih lagi meneruskan protes mereka hari ini.

Difahamkan beberapa orang daripada mereka ditangkap apabila bertembung dengan pihak tentera semalam.

Jumaat lalu, Mubarak akhirnya berundur selepas akur dengan tekanan rakyat yang mengadakan demonstrasi mendesak beliau meletak jawatan.

Harakahdaily/-

Hadits Pilhan : Iri hati

11 Rabiul Awal 1432H.

Daripada Abdullah bin Mas'ud ra katanya, Rasulullah saw bersabda "tidak boleh iri hati selainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dihabiskan hartanya itu kejalan yang benar dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan dengan ilmunya (AlQuran dan Hadis) serta diajarkannya kepada orang lain. ( Al Bukhori dan Muslim)