05 Jun 2010

Isu Judi : Yahudi Mewariskan 3 Amalan Ini


21 Jamadil Akhir 1431H.
Oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Isu judi yang hangat diperkatakan ketika ini, telah menimbulkan banyak kepeningan, spekulasi dan kesesatan yang jelas. Perkara yang ingin disebutkan di sini ialah, isu halal judi ini membuktikan bahawa perangai Yahudi sudah menyerap di dalam diri umat akhir zaman. Antara yang boleh disebutkan di sini ialah :

1. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah
2. Wujudnya golongan ulama yang bisu menyatakan kebenaran
3. Munculnya golongan yang menyokong kebatilan.

Pendahuluan

Hukum bermain atau terlibat dengan perjudian adalah “haram” di sisi agama Islam. Bahkan para ulamak mengklasifikasikan jenis haram ini adalah haram secara qat’ie. Hukum ini adalah berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Maidah, ayat 90.

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya minuman keras, berjudi, (bekorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung”.

Ayat di atas merupakan dalil yang jelas mengatakan bahawa pertaruhan dan judi merupakan perkara yang dilarang secara qati’e menurut syarak. Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah s.w.t telah mengharamkan pertaruhan dan judi berdasarkan firman-Nya : “Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu”

Selain dalil Al-Quran di atas para ulamak juga bersepakat tentang hukum ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w serta ijmak ulamak. Ia adalah perkara usul yang melibatkan aqidah serta pegangan kita selaku umat Islam. Berdasarkan dalil ini, mereka yang menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t dengan sengaja adalah terkeluar daripada agama Islam.

(sumber : kenyataan MANHAL PMRAM, bertarikh 21 Mei 2010)

Menghalalkan Apa Yang Diharamkan Oleh Allah

Perkara pertama yang perlu diketahui dan dipegang ialah, manusia sama sekali tidak berhak meminda mana-mana hukum Allah SWT.

Allah SWT berfirman

Maksudnya : Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al Masih anak Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang yang mereka sekutukan (Surah at Taubah : 31)

Seorang sahabat Nabi SAW, ‘Adiy bin Hatim telah datang berjumpa Baginda SAW (beliau adalah penganut agama Nasrani sebelum Islam). Ketika mana beliau mendengar Nabi SAW membacakan ayat 31 Surah at Taubah tersebut, beliau berkata :

“Wahai Rasulullah, mereka bukanlah menyembah benda-benda (cendekiawan dan ahli ugama) tersebut”

Lalu Baginda SAW menjelaskan

“Benar apa yang kamu katakan. Sesungguhnya mereka telah mengharamkan apa yang dihalalkan ke atas mereka, dan mereka juga menghalalkan apa yang diharamkan, lalu mereka mengikut sahaja syariat sesat tersebut. Maka perbuatan ini dikira penyembahan terhadap benda-benda tersebut”

(sumber : Kitab al Halal Wal Haram, Dr Yusof al Qaradhawi, cetakan Maktabah Wahbah)

Sepertimana yang telah disebutkan, mereka yang menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Allah SWT dengan sengaja, adalah terkeluar daripada agama Islam.

(sumber : Kitab Syarah Showi Ala Jauharah Tauhid, Syeikh Ahmad bin Muhammad al Maliki, cetakan ke 4, Darul Fikr Damsyik, tahqiq Dr Abdul Fattah Bazzam, hal. 423)

Wujudnya Golongan Ulama Yang Bisu

Masalah yang kedua yang muncul daripada isu judi ini ialah, wujudnya golongan ulama’ yang bisu untuk menyatakan kebenaran. Allah SWT melabelkan “laknat” kepada orang yang bisu menyatakan kebenaran atau mereka yang menyembunyikan ilmu. Firman Allah SWT, Surah al Baqarah, ayat 159 :

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Ayat ini telah diturunkan kepada orang Yahudi, yang telah menyembunyikan hukuman rejam, dan kenabian Nabi Muhammad SAW, sedangkan ianya telah disebutkan di dalam kitab Taurat yang mereka pelajari.

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah,

Walaupun ayat ini diturunkan kepada kaum Yahudi, tetapi maksudnya merangkumi semua manusia hatta Umat Nabi Muhammad SAW (penggunaan lafaz yang umum). Ia bermaksud, mereka yang menyembunyikan kebenaran, hukum syariat, ilmu yang bermanfaat, pandangan yang benar, yang sesuai untuk semua dan sebagainya.

sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci,

Maksud Kitab Suci di sini adalah mana-mana kitab yang telah diturunkan oleh Allah SWT. Orang Yahudi menyembunyikan kebenaran di dalam Kitab Taurat, Nasrani menyembunyikan kebenaran di dalam Injil, dan begitu juga mereka yang menyembunyikan kebenaran di dalam al Quran.

mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Golongan ini telah di”anugerah”kan laknat daripada Allah SWT. Dan hukum melaknat orang yang melakukan menyembunyikan kebenaran adalah diharuskan, sepertimana di akhir ayat 159, Surah al Baqarah ini, sehinggalah mereka bertaubat.

(sumber : Tafsir al Munir, Dr Wahbah az Zuhaili, cetakan 9, Darul Fikr Damsyik, jilid 1, hal. 407-419)

Munculnya Golongan Yang Menyokong Kebatilan

Sepertimana yang telah disebutkan, di dalam Surah at Taubah, ayat 31, Allah SWT telah menyifatkan tentang dua golongan, mereka ialah :

1. Kaum Yahudi, yang telah memberikan hak menghalal atau mengharamkan kepada pendeta-pendeta mereka.

2. Kaum Nasrani, yang telah mengubah hukum Allah yang tercatat di dalam Injil

Di dalam riwayat lain (riwayat pertama telah disebutkan sebelum ini) Ketika Adiy bin Abi Hatim bertanya kepada Rasulullah setelah mendengar Baginda SAW membacakan ayat 31, Surah at Taubah, Rasulullah SAW menjawab :

Mereka telah mengharamkan apa yang telah dihalalkan, dan mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan, lalu mereka “beriman” dengan mereka (pendeta), maka (pendeta) itulah sembahan mereka

Nabi SAW menyifatkan tentang kaum Yahudi yang menyokong pendeta-pendeta mereka yang telah mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan mereka turut menyokong pendeta-pendeta mereka yang telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah, maka Nabi SAW mengatakan bahawa “mereka ini telah menjadikan pendeta mereka sebagai sembahan!”

Jelas di sini menunjukkan bahawa Kaum Yahudi telah menyokong kebatilan yang telah dibawa oleh pimpinan mereka, walaupun pimpinan mereka telah menghalalkan apa yang Allah haramkan. Nabi SAW menyifatkan golongan angguk ini sebagai “menyembah pimpinan mereka”

(sumber : Tafsir al Munir, Dr Wahbah az Zuhaili, cetakan 9, Darul Fikr Damsyik, jilid 5, hal. 543)

Kesimpulan

Jelas di sini bahawa perangai orang Yahudi dan Nasrani telah menyerap masuk ke dalam diri umat akhir zaman. Ramai yang menentang Israel Laknatullah, tetapi masih ramai yang berfikiran seperti Yahudi dan Israel, sedangkan mereka tidak sedar.

Ketiga-tiga perkara yang disebutkan di sini adalah warisan Yahudi dan Nasrani yang sedang mengalir masuk ke dalam diri umat akhir zaman. Benarlah sepertimana sabda Baginda SAW :

عن أبي سعيد الخدري قال ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لتتبعن سنن الذين من قبلكم شبرا بشبر وذراعا بذراع حتى لو دخلوا في حجر ضب لاتبعتموهم ، قلنا : يا رسول الله ، اليهود والنصارى؟ قال : فمن

Daripada Abu Sa'id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : "Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?" Nabi SAW menjawab : "Siapa lagi kalau bukan mereka?" (Riwayat Muslim)

Daripada hadis ini, Rasulullah SAW memberitahu bahawa di akhir zaman nanti, umat Islam akan mengikut jejak langkah, cara hidup, perundangan dan sebagainya daripada Yahudi dan Nasrani. Sehinggalah apabila orang Yahudi dan Nasrani memasuki lubang biawak yang sempit dan kotor pun akan diikuti oleh orang Islam di akhir zaman.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
.

50 ribu sertai demo bantah Israel

21 Jamadil Akhir 1431H.

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Lebih 50 ribu menyertai perarakan dari Kg. Baru ke Keduataan Amerika siang tadi bagi membantah kekejaman tentera Zionis Israel menyerang konvoi kemanusian antarabangsa ke Gaza awal minggu ini.

Himpunan anjuran Pakatan Rakyat bersama NGO itu diketuai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang

3.48 petang: Perhimpunan disudahi dengan bacaan doa oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa dan bersurai secara aman.

3.38 petang: Ustaz Nasarudin Mat Isa dalam sidang medianya berkata, perhimpunan ini melangkaui agama dan kaum bagi menyatakan bantahan kepada Washington berhubung tindakan kejam Israel Zionis.

Perhimpunan ini juga katanya menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah rela di atas pengainayaan zionis Israel.

3.32 petang: Penyerahan memorandum selesai dan delegasi keluar dari bangunan kedutaan.

Anwar dalam sidang media memberitahu, dalam pertemuan bersama Duta Besar Amerika Syarikat itu, Pakatan Rakyat dan NGO memohon untuk disampaikan memorandum tersebut secara terus kepada Presiden US, Barack Obama.

Dalam responnya, Duta Amerika itu kata Anwar berjanji akan menyerahkan sendiri memorandum tersebut kepada Obama minggu hadapan.

Pakatan Rakyat juga menjelaskan kepada duta besar tersebut bahawa tindakan kejam Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu adalah disebabkan Amerika terlalu lembut menasihati israel.

3.30 petang: Turut berucap adalah Mohamad Sabu, Dr. Mahfodz Mohamad, Ustaz Azlee Musa dan Mustafa Akmil Ayub di hadapan menara See Hoy Chan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat.

3.25 petang: Sementara menunggu delegasi serah memorandum selesai, pimpinan pakatan rakyat yang lain sedang memberi ucapan di hadapan lebih 50 ribu peserta himpunan. Antara yang berucap adalah Salahuddin Ayub dan Dr. Hatta Ramli.

3.10 petang: Polis membenarkan lima pimpinan utama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Lim Kit Siang, Azmin Ali dan Syed Husin Ali untuk masuk ke bangunan kedutaan menyampaikan memorandum kepada pihak kedutaan US.

3.00 petang: Perarakan tiba berada di hadapan kedutaan. Kumpulan perarakan ditahan pihak polis kira-kira 20 meter sebelum tiba di hadapan kedutaan. Pimpinan yang mengepalai perarakan kini sedang berbincang dengan pihak polis. Turut serta Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharudin Mat Isa dan Lim Kit Siang.

2.55 petang: Perarakan bersambung semula dan hampir tiba di hadapan bangunan Kedutaan.

2.51 petang: Dr. rani dari Yayasan Amal berucap menyatakan bukan sahaja orang Islam malah orang Kristian juga turut membela Palestin dan tidak boleh menerima tindakan kejam Israel.

2.50 petang: Perarakan sudah berada di hadapan menara Tabung Haji. Peserta barisan hadapan berhenti menunggu peserta barisan belakang tiba untuk sama-sama bergerak ke kedutaan US.

2.47 petang: Perarakan tiba di simpang menara Tabung Haji. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Pengerusi Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid turut serta menaiki kenderaan pacuan empat roda mengepalai perarakan bersama pimpinan PAS.

2.38 petang: Peserta himpunan kini sudah berarak melepasi bangunan KLCC menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat.

2.35 petang: Dianggarkan lebih 50 ribu orang sedang berarak menuju ke Kedutaan US dan akan bergabung dengan sebahagian besar peserta himpunan yang sedang menunggu di sana.

2.30 petang: Terdapat empat buah trak ditempatkan di hadapan bangunan kedutaan. Wakil Aqsa Syarif Selangor sedang menyampaikan ucapan di hadapan kedutaan dan melaungkan 'Zionis Terrorist'. FRU mula memperketat kawalan.

Timbalan Presiden JIM, Syed Ibrahim Syed Noh berkata mereka berkumpul untuk mengutuk tindakan Israel dan menghargai usaha Turki memberikan kapal untuk misi kemanusiaan.

2.28 petang: Perarakan kini berada di hadapan Hotel Renaissance menuju ke Jalan Tun Razak. Kira-kira 3km untuk sampai ke Kedutaan Amerika Syarikat. Perarakan turut diiringi pihak Polis. Sekurang-kurangnya 7 buah trak FRU ditempatkan di Jalan Sultan Ismail.

2.20 petang: Sekumpulan NGO sudah menghampiri Keduataan Amerika dan melaungkan 'hancur Yahudi'.

2.10 petang: Lebih 1,000 orang terdiri daripada NGO berkumpul di Masjid Tabung Haji dan sedia bergerak ke Kedutaan Amerika. Sebuah trak polis berada di hadapan kedutaan. Sebuah helikopter berlegar-legar di ruang udara sekitar Masjid Tabung Haji dan Kedutaan Amerika.

2.05 petang: Perarakan dimulakan, pimpinan yang berada dibarisan hadapan termasuklah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Kamarudin Jaafar, Dr. Lo'lo' Ghazali, Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Saleh.

1.55 petang: Kg. Baru- Peserta mula berkumpul di hadapan masjid selepas selesai solat Jumaat sebentar tadi.

Pasukan Unit Amal mula mengawal keadaan. Poster bantah Israel mula diedar kepada peserta di hadapan pagar masjid.

Perarakan akan bermula bila-bila masa sebentar lagi. Pasukan anggota polis mula berkawal.

Harakahdaily/-

ROMBAKAN KABINET: UMNO PUN TIDAK PERCAYA UMNO

21 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasa kelakar dengan ulasan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkaitan rombakan kabinet oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak, Perdana Menteri yang dianggapnya menunjukkan keseimbangan sedangkan apa yang jelas ianya telah menggambarkan ketidakyakinan Umno terhadap anggota partinya sendiri.

Samalah juga keadaannya di Negeri Perak yang mana gambaran jelas ketidakyakinan Umno tersebut dapat dilihat dari pilihan Datuk Seri Zambry yang melantik orang-orang kanannya bukan dari kalangan kepimpinan yang berjawatan di dalam Umno itu sendiri. Sebagai contoh jelas yang ada ialah perlantikan Pegawai Khasnya, Setiausaha Akhbarnya, Perak Aman Jaya dan Yayasan Bina Upaya.

Datuk Seri Zambry seolah tidak sedar penentangan terhadapnya oleh kepimpinan Umno Bahagian hasil tindakannya untuk tidak memberikan jawatan penting tersebut kepada kepimpinan Umno yang ada. Sudah tentu rakyat boleh menilai bahawa Umno sendiri tidak yakin akan orang-orangnya yang sepatutnya mampu menjalankan tugas mereka jika diberikan.

Kita semua akan tunggu rombakan Exco Kerajaan Negeri Perak yang sudah pasti kepimpinan lama Umno akan ketinggalan di dalam perkara ini. Rakyat sudah pasti melihat akan ketidaktentuan Datuk Seri Zambry di dalam membuat rombakannya kelak.

MOHD MUNIR ALI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

ISU GULA: MANA PELAN PENGAWALAN?

21 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh : safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasakan Kerajaan tidak bertindak wajar di dalam memastikan keperluan rakyat di dahulukan kerana semenjak awal Jun ini sehingga sekarang isu ketiadaan stok gula masih berlaku termasuk di pasaraya besar sekitar Ipoh.

Tiada tindakan konkrit dilakukan oleh kerajaan terutamanya berkisar pelan pengawalan yang tidak menepati usaha bagi memastikan stok gula berada di dalam pasaran. Walaupun isu kenaikan harga gula merupakan punca ketiadaan stok dipasaran, perkara tersebut bukannya sebagai alasan utama sebenarnya.

Ini kerana pemantauan yang tidak konsisten oleh kerajaan menjadi punca perkara ini terus berlaku. Oleh yang demikian, DPPN Pk mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan pusat laporan yang sistematik. Dengan teknologi masakini, usaha menyaluran maklumat akan menjadi cepat dan pantas.

Sistem sms, mms, e-mel, atau sebagainya sebagai pendekatan penyaluran maklumat bagi tindakan susulan yang sepatutnya diambil kira oleh pihak kerajaan. DPPN Pk berharap pertanggungjawaban yang sepatutnya menjadi kayu ukur kemampuan seseorang menjalankan tugas mesti diambil kira kerana kita tidak mahu rakyat negeri Perak ini dibebani dengan masalah yang wujud ini.

SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Kerajaan Kelantan Belanja RM25,000 Di Bawah Tabung Pendidikan Rakyat Palestin

21 Jamadil Akhir 1431H.


KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan membelanjakan RM25,000 sebulan di bawah skim Tabung Bantuan Pendidikan Rakyat Palestin untuk membiayai anak-anak Palestin yang belajar di beberapa institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata setakat ini, kerajaan negeri membiayai 27 anak Palestin yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam di seluruh negeri termasuk 10 orang di peringkat PhD, Sarjana (12) dan Sarjana muda (lima).

"Kita mahu menggalakkan masyarakat menderma kepada tabung ini dan menjadikannya sebagai amalan tradisi mereka, terutama dalam membela nasib rakyat negara Islam yang ditindas oleh rejim Israel di buminya sendiri," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengimamkan solat hajat yang dihadiri kira-kira 5,000 umat Islam di dataran Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata kerajaan negeri akan terus memungut seberapa banyak derma daripada rakyat negeri ini bagi mengisi tabung dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Katanya masih ramai rakyat Palestin yang memerlukan bantuan menerusi program itu yang membabitkan kos melebihi RM700,000.

Beliau berkata untuk tahun ini sahaja, tabung ini menyasarkan dana RM800,000 bagi membiayai 30 pelajar lagi di bawah program itu. - BERNAMA

Perjuangan Almarhum Wali Negara Aceh

21 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nash Ar-Rawy

Gerakan Islam kehilangan seorang ulamak tersohor selaku pemimpin dan tokoh pengasas Gerakan Islam iaitu , “ Aceh Sumatra Liberation Front “ yang juga dikenali sebagai GAM atau Gerakan Aceh Merdeka.

Perjuangan Gerakan Islam ( GAM) di iktiraf oleh PBB sebagai setaraf dengan PLO dan diberikan kerusi khas sebagaimana Crotia dan Bosnia Hezegovena.

Aceh adalah satu –satunya wilayah yang merdeka dan tiada pernah dijajah Belanda.

Justeru itu, GAM diiktiraf dunia sekaligus PBB kerna statusnya sebagai wilayah ( Negara) yang merdeka daripada mana-mana kuasa kolonial samada daripada luar maupun menerima kolonial lokal.Allahyarham telah suskses membentuk Kerajaan Buangan ( ‘Exile Government” } di Sweden yang diiktiraf oleh dunia dan PBB.

Akhirnya, perjuangan GAM telah mencapai kejayaan apabila Aceh diberikan kuasa autonomi untuk memerintah sendiri ; yang mana proses transisinya sedang berjalan dengan baik dan lancar. Apalagi setelah Jakarta tiada lagi dikuasai oleh pemerintahan autokrasi regim Sukarno dan Suharto .Mempermudahkan lagi agenda perjuangan GAM. Jakarta sekarang dapat dilihat berlaku perubahan yang mengejutkan dunia . Iaitu , ke arah perdemokrasian dan keadilan sejagat. Bahkan, demokrasi di Indonesia boleh dilihat sepuluh kali ganda lebih baik daripada Malaysia dan kadeah ‘Separation of Power” bisa dilihat sebagai cukup bagus sekali dan paling dekat dengan demokrasi berbanding dengan ISA dan ‘legal System” di negara kita yang amat memalukan dunia. GAM membuktikan bahawa perjuangan Islam yang ikhlas dan benar bisa sukses , akhirnya , Alhamdulillah. Suatu iktibar dan inspirasi buat Pakatan Rakyat !

Demonstrasi aman besar-besaran berjalan secara aman dengan bantuan pihak kopolisian yang melaksanakan kebertanggungjawapan dengan bagus sekali dan menakjubkan dunia demokrasi ; Reformasi kedemokrasian yang berlaku di Indonesia. Bahkan bapak Presiden dan Timbalan Presiden pun, bisa dibawa ke muka pengadilan .Bukti, Doktrin Pemisahan Kuasa berjalan dengan lumayan.Malaysia?

Di Malaysia, skandal Pewaja Steel , satu Billion kerugian Bakun, lesapnya RM 52 Billion wang saham Bumputra, kerugian Forex perjudian Rosmahnajib sebanyak RM 32 Billion , PKRZ dan perbagai skandal lagi hanya menjadi lakunan Hindustani SPRM sahaja. Yang melucukan, subsidi dikira bisa bawa Negara bankrap bukannya skandal.-skandal yang berterusan berlaku dahulu sekarang dan selamanya oleh UBN.

Almarhum Dr. Tengku Muhammad Hassan Di Tiro telah kembali ke rahmatullah pada hari in bersamaan dengan tanggal 3 Jun, 2010. Allahyarham adalah Wali Negara yang pertama dalam Kerajaan Transisi kuasa autonomi sekaligus merupakan Penasihat kepada ‘Speaker’ Dewan dan selaku Penasihat dan Pemutus Dasar kepada perjalanan kerajaan dan Gabonor Aceh.

Takziah kepada seluruh warga Aceh-Sumatra. Marilah kita selaku anggota dan pendokong Gerakan Islam menunaikan ‘Solat Ghaib” dan hadiahkan Al –Fatihah untuk Almarhum Dr. Tengku Hassan Di Tiro dan semuga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah subhanahu wata’ala.; dimasukkan didalam golongan orang yang mukmin dan beramal soleh.Al-Fatihah. Wassalaam.Salaam perjuangan.” Allah Hu Akbar! “

Daging Anjing Dan Keldai Dijual Di Dalam Tin

21 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Ha.. pasti semua pembaca akan menganga mulut apabila baru mengetahui berita ini.. (termasuk saya). Daging Anjing dan Daging Himar sudah dijual di pasaran Mesir.. Apa lagi? Ada sesiapa yang nak ulas isu ini mengikut perbahasan hukum? Sila.. sila..

sumber : DPMI (link)
Amat menjijikkan apabila daging anjing dan keldai dijadikan santapan harian. Ini berikutan harga daging yang kian meningkat di Mesir. Produk sampingan itu telah menjadi menu gantian kepada daging lembu.

Daging-daging anjing dan keldai tersebut tidak dijual dalam bentuk asli, melainkan setelah diproses menjadi daging hancur (ada beberapa jenis daging untuk dijadikan makanan di Mesir). Daging tersebut telah tersebar luas di restoren dan hotel sekitar Iskandariah.

Berikut petikan dari Laman web EraMuslim

Beriringan dengan melonjaknya harga daging yang tembus hingga angka 50 persen di Mesir, beberapa produk olahan daging anjing dan keledai (semisal sosis, soguk, hawawshi, daging giling, dan lain-lain) beredar di pasaran kota-kota negara itu.

Surat kabar independen Mesir Al-Mashri Al-Yaum (27/4) menguak kasus beredarnya produk olahan daging tersebut di kota Alexandria. Beberapa puluh potongan kepala anjing dan keledai ditemukan di tempat jagal di bilangan Amiriya, Alexandria.

Salah seorang penduduk bilangan tersebut, Mahmoud Ali, mengaku jika beredarnya beberapa produk olahan daging anjing dan keledai di bilangannya sudah terjadi cukup lama. Kebanyakan produk tersebut dikemas dalam bentuk daging giling atau hawawshi.

"Produsen daging olahan itu kemudian menjual dan mendistribusikannya ke toko-toko dan warung-warung kebab," kata Ali.

Seorang penduduk yang lain, Salim Ahmad, mengatakan jika peredaran produk olahan daging tersebut tidak hanya terbatas di pasar-pasar kawasan kumuh (slum/ashwa'iyyah), tetapi juga di restoran-restoran dan hotel di Alexandria.

Namun, peredaran produk olahan daging anjing dan keledai itu lebih banyak terkonsentrasi dan sudah berlangsung sangat lama di kawasan penduduk menengah ke bawah dan kumuh (ahya ahu'biyyah wa ashwa'iyyah).

"Para penduduk di kawasan menengah ke bawah dan kawasan kumuh adalah konsumen produk tersebut. Mereka sebenarnya tahu itu produk daging anjing dan keledai, tetapi tetap saja mengkonsumsinya karena harganya yang terjangkau oleh uang mereka," jelas Gamal Abdul Lathif, seorang penduduk lainnya.

Pasca terungkapnya kasus ini secara publik, pihak pemerintahan daerah Alexandria kini segera melakukan penyelidikan serius.

Sementara itu, harian berbahasa Arab lainnya, Al-Quds (27/4), melansir, jika kasus beredarnya produk daging olahan anjing dan keledai ini juga terjadi di beberapa kawasan kumuh ibu kota Kairo dan provinsi Giza, semisal Kadrasah, Bulaq Daqrur, Warraq, dan lain-lain.

Di kawasan-kawasan tersebut, bukan hanya daging anjing dan keledai saja yang beredar, tetapi juga produk olahan daging kucing dan daging ternak tiren (mati kemaren).

Sekitar seminggu yang lalu, pihak keamanan Kairo berhasil meringkus petugas di salah satu rumah jagal di kota tersebut yang kedapatan tengah mengolah 'bangkai' daging kerbau. Petugas jagal itu mengaku jika dirinya mengumpulkan hewan-hewan ternak yang sudah mati dari para petani, untuk kemudian ia sembelih dan kuliti, dan dijadikan produk daging olahan.

Belajarlah daripada Zulqarnain

21 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Zolkharnain Abidin

Selesai membaca tafsir surah al-Kahfi buah tangan Ibnu Kathir, saya teringat untuk membuat kiriman ini. Walau pun bukan kerana kesamaan nama, saya tetap berterima kasih kepada al-marhum ayah yang meletakkan nama itu untuk saya. Siapalah saya untuk disamakan dengan seorang raja adil lagi perkasa yang diabadikan namanya di dalam al-Quran itu.

Zulqarnain di dalam al-Quran mengikut para ulama bukan Iskandar al-Maqduni atau Alexander The Great yang pernah kita baca dalam buku sejarah itu. Alexander itu adalah penakluk yang tidak beriman. Mereka berdua mungkin sama dari sudut kepintaran menakluk, tetapi iman memisahkan mereka.

Saya tidak berhasrat untuk berbicara panjang mengenai latarbelakang personal Zulqarnain, tanya sahaja ‘Mr Google’, dia mampu menjawab dengan agak baik.

Menurut al-Quran Zulqarnain sampai ke penghujung timur dan barat bumi. Beliau menemui pelbagai watak manusia. Dia melakukan kebaikan kepada mereka dan mengajak mereka beriman kepada Allah.

Kemuncak pengambaraan Zulqarnain ialah apabila dia sampai ke daerah yang terletak di antara dua bukit. Daerah itu sering diserang oleh Ya’juj dan Ma’juj, daripada keturunan Adam yang mengganas tanpa batasan.

Siapakah Ya’juj dan Ma’juj? Tanyalah ‘Mr Google’, dia akan mencadangkan ensiklopedia bebas Wikipedia untuk ditelaah. Rasanya itu memadai.

Kaum yang tinggal di daerah itu bersedia mengupah Zulqarnain untuk membina tembok pemisah antara mereka dan Ya’juj dan Ma’juj. Zulqarnain menolak upah itu dan bersedia bekerjasama dengan mereka untuk melakukannya.

Bagaimama Zulqarnain bekerja? Ini yang penting dan sepatutnya diteladani.

1. Zulqarnain berkepakaran tinggi – Dia bukan pemimpin biasa tetapi seorang yang berilmu. Dia menguasai ilmu dakwah, ilmu perang, ilmu seni kepimpinan termasuk ilmu binaan. Dia membina tembok pemisah dengan sangat teguh sehingga tidak mampu dipanjat dan ditebuk.

Semua kepakarannya dimanfaatkan di tempat yang sebenar. Dia berlemah-lembut dengan sasaran dakwahnya, bertegas dengan penentangnya dan bekerjasama dengan mereka yang sedia bekerjasama. Dengan lembut ada tegas, dalam tegas ada bijaksana.

2. Bijak memanfaatkan kebolehan orang lain – Biar pun Zulqarnain berupaya membina tembok itu dengan kekuatan tentera yang dimilikinya, namun dia tidak berhidung tinggi. Dia menghargai kebolehan penduduk setempat dengan memohon kerjasama mereka dalam bidang yang mereka berkebolehan.

Beliau meminta mereka mendapatkan kepingan besi, menimbunnya setinggi bukit, meniup kepingan besi sehingga panas membara, mendapatkan tembaga cair dan menuangkan tembaga itu di atas timbunan besi berkenaan.

Penduduk setempat tidak merasai tembok itu sumbangan Zulqarnain sepenuhnya, tetapi merasai itu hak mereka juga kerana mereka turut menyumbang dalam pembinaannya.

3. Sedar mengenai kedudukan diri sendiri – Selesai pembinaan tembok, Zulqarnain menyifatkan kejayaannya itu sebagai rahmat dari Tuhan. Tembok itu terbina dengan kehendak Tuhan dan bakal ranap dengan kehendak Tuhan juga.

Beliau tidak merasa dirinya serba hebat, serba tahu dan serba sempurna. Penyandaran urusan hidup kepada Tuhan pada permulaan dan penghujungnya, membentuk jiwa mereka yang berkuasa agar sedar akan amanah kekuasaan yang dimilikinya.

Sebesar mana pun kuasa, setinggi mana pun jawatan, sekuat mana pun pengaruh, sampai masa ranap jua.

4. Sentiasa mendapat pertolongan Allah – Zulqarnain sentiasa dipermudahkan oleh Tuhan dalam semua urusannya. Jalan sentiasa terbuka dan terbentang. Dia boleh sampai kemana-mana dengan bantuan angin.

Tuhan memudahkan urusannya sebab itu kehendak Tuhan untuknya. Beliau pula memanfaatkan semua kemudahan itu untuk meninggikan kalimah Tuhan. Dia tidak mengambil kesempatan kemudahan anuherah Tuhan itu untuk kepentingan dirinya.

Beliau sedar, sehebat mana pun dirinya, semua itu anugerah Tuhan jua.

Paling penting, mengapa Zulqarnain dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran. Beliau bukan nabi dan rasul. Namun, kisah beliau disebut dengan panjang lebar oleh Tuhan di dalam kitabnya. Kisahnya bakal dibaca oleh manusia sampai kiamat.

Di sana ada ribuan nabi, namun nama mereka tidak tersebut pun di dalam al-Quran. Di sana ada puluhan rasul, nama mereka tersebut tetapi tidak diceritakan dengan panjang seperti Tuhan memperihalkan Zulqarnain?

Adakah beliau lebih mulia daripada nabi dan rasul? Tidak, para nabi dan rasul lebih mulia daripadanya. Kalau begitu, mengapa begitu?

Inilah model pemimpin yang dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi, pemimpin di peringkat mana pun. Pemimpin mesti berilmu, bijak memanfaatkan kebolehan orang lain walau pun orang yang paling lekeh, sedar akan letak duduk diri sendiri dan sentiasa berusaha untuk melayakkan diri mendapat pertolongan Allah.

Sekurang-kurangnya kita semua adalah pemimpin kepada diri sendiri atau keluarga kita. Contohilah Zulqarnain, apatah lagi kalau kita adalah pemimpin sebuah JAMAAH ISLAM.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Usah buat spekulasi isu istana Kelantan - Pengelola

21 Jamadil Akhir 1431 H

KOTA BHARU, 3 Jun: Pejabat Istana Diraja Kelantan merakamkan penghargaan sambil berharap tidak ada pihak yang membuat sebarang spekulasi berkaitan hal ehwal istana Kelantan.

Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, berilah peluang kepada keluarga diraja menyelesaikan apa juga masalah keluarga dengan cara yang diperuntukkan undang-undang.

“Setiap dari kita dilahirkan sebagai pemimpin. Pimpinlah dan kawallah orang di bawah pimpinan kita ke jalan yang benar dan diredhai oleh Allah swt.

”Kita akan diadili oleh masyarakat di dunia ini dan oleh Allah swt di akhirat kelak. Marilah kita berdoa agar setiap daripada kita ditempatkan bersama insan yang soleh di akhirat kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak media yang memberi kerjasama pada saat-saat yang memerlukan perhatian ikhlas dari semua pihak.

Menurutnya sedikit sebanyak berita yang disiarkan dapat membetulkan fakta tidak betul disebarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melalui kertas layang dan blog.

”Saya merasa terharu dengan pihak yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan dan Pemangku Raja Kelantan,” katanya.

Abdul Halim juga berkata, semalam berlangsung majlis pengurniaan gelaran kebesaran negeri, Tengku Panglima Raja di Istana Negeri Kubang Kerian yang disempurnakan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Katanya, baginda telah mengurniakan gelaran kebesaran negeri kepada Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang membawa gelaran Tengku Panglima Raja Kelantan.

Kata beliau gelaran tersebut berdasar kepada Perkara 43(1), Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian kedua.

Perkara 44(1) perlembagaan yang sama pula menyebut baginda ada hak untuk mengurniakan gelaran Tengku Bendahara atau Tengku Temenggung atau Tengku Laksamana atau Tengku Panglima kepada mana-mana kerabat lelaki.

”Tengku Mohamad Rizam merupakan ahli Majlis Perajaan Neggeri dan banyak berjasa kepada institusi kesultanan Kelantan.

”Beliau yang kini bertugas sebagai pegawai kanan sebuah bank merupakan anakanda sulung kepada Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah dan cucu sulung kepada Almarhum Sultan Yahya Petra,” katanya.

Harakahdaily/-

PAS ucap takziah kepada keluarga Hasan Tiro

21 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 4 Jun: PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan-rakan seperjuangan dan penduduk Acheh di atas pemergian Tengku Hasan Muhammad Di Tiro, 85, (gambar) ke rahmatullah, semalam di sebuah hospital di Banda Acheh.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, almarhum yang merupakan pengasas kumpulan Gerakan Acheh Merdeka (GAM) adalah antara tokoh terpenting yang terlibat dalam perjuangan wilayah Acheh sehingga akhirnya perdamaian dicapai pada bulan Ogos 2005 yang lalu.

“Pemergian beliau ini bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarga, rakan dan penduduk Acheh, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung PAS.

“Ianya mengimbas kembali hubungan baik yang dijalin di antara Almarhum Tengku Hassan dengan kepimpinan PAS sejak puluhan tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, ternyata kepulangan kali kedua beliau ke Acheh pada 17 Oktober 2009 adalah merupakan kepulangan terakhir sebelum beliau menemui Allah Subhanahu Wataala.

Beliau yang juga Ahli parlimen Marang berkata, hasrat Tengku Hasan beliau untuk melihat suatu keamanan di Acheh akhirnya berjaya dicapai dalam ruang umur beliau.

“Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan ucapan takziah dan berharap seluruh keluarga, rakan dan penduduk Acheh dapat bersabar dengan ketentuan Allah ini.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, insya Allah,” ujarnya lagi.

Almarhum yang dikenali dengan Hasan Tiro, meninggal dunia di Hospital Zainoel Abidin Banda Aceh, pada jam 12.02 waktu Indonesia Barat, sehari selepas beliau diberikan kembali status sebagai warganegara Indonesia.

Beliau yang dilahirkan di Pidie, Aceh, pada 25 September 1925 telah memohon untuk mendapatkan kembali kewarganegaraan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, beliau memegang pasport Sweden dan tinggal dalam buangan di Stockholm sejak tahun 1979 akibat konfrontasi dengan kerajaan Indonesia yang dipimpin Presiden Soeharto ketika itu.

Harakahdaily/-

Negara bankrap atau tidak, siap yang betul ?

21 Jamadil Akhir 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

Lain pula ulasan dari Senator Dr. Awang Adek Hussein bila katanya Malaysia tidak akan bankrap pada 2019 seperti Greece meskipun subsidi berjumlah RM74 bilion setahun diteruskan, yang juga Timbalan Menteri Kewangan .

Awang Adek mengulas pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa negara boleh bankrap jika pemberian subsidi kepada rakyat diteruskan.

Mana satu yang betul Awang Adek atau Idris Jala ?. saya kira kedua-duanya tidak betul sebab mereka mengeluarkan pandangan tanpa kajian yang sangat terperinci . Dan pandangan saya diluar kotak kajian itu, ialah negara benar-benar akan dan terus bankrap sekiranya terus diperintah oleh UMNO dan BN.

Awang Adek berkata keadaan ekonomi negara pada masa itu tidaklah begitu teruk seperti yang digambarkan iaitu seolah-olah negara tidak mampu membayar hutang jika kerajaan berhasrat meneruskan pemberian subsidi.

Hakikatnya, langkah untuk memansuhkan subsidi ialah bagi mengurangkan kadar defisit negara serta membolehkan kedudukan kewangan negara lebih stabil, katanya.

"Negara tidak akan bankrap. Mana boleh bangkrap sekalipun subsidi diteruskan, tetapi dengan cara itu (mansuhkan subsidi) boleh mengurangkan beban hutang dalam negara yang ditanggung oleh semua rakyat," kata Awang Adek.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Menteri Kewangan, di Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan Kubang Kerian di sini, semalam.

Beberapa hari lepas, Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri, berkata ia boleh berlaku kerana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.

Malaysia merupakan antara negara yang memberi subsidi tertinggi kepada rakyatnya iaitu berjumlah RM74 bilion pada 2009. Namun begitu apalah salahnya mengembalikan keuntungan negara kepada rakyat kerana asalnya semuanya datang dari rakyat. Rakyatlah yang menghasilkan produktiviti dan hasil negara. merekalah pembayar cukai dalam pelbagai bentuk.

Disamping pemberian subsidi adalah pengembalian nikmat hasil negara terutamanya hasil minyak dan gas untuk meringan bebanan rakyat, apalah salah nya jika subsidi diteruskan. Isu bankrap adalah isu untuk menghalalkan tindakan kerajaan menarik subsidi yang sekian lama dinikmati oleh rakyat.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak bersetuju dengan pandangan Idris itu.

Alahai Malaysia yang kita cintai, beginilah nasib rakyatnya yang akan terus tertekan setiap kali BN diberikan mandat untuk meneruskan teraju negara. Barang naik, tarik subsidi dan berbagai masalah timbul dan yang jadi mangsa adalah rakyat bawahan.

Untuk kali ini marilah kuatkan tekad untuk turunkan BN dari tampuk pemerintahan Negara, gantikan dengan Pakatan Rakyat yang akan menyelamatkan negara dari bankrap.

Demonstrasi kenang stadium runtuh

21 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Genap setahun selepas runtuhnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu, sekumpulan penduduk berkumpul di lokasi tersebut malam tadi bagi mengenang "kerugian duit rakyat" akibat kejadian tersebut.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu Mohd Fauzi Abu Samah yang menganjurkan program itu berkata pihaknya kesal dengan cara tragedi tersebut ditangani yang seolah-olah "tiada siapa yang dipertanggungjawabkan".

"Orang kenang sesuatu itu bukan yang baik sahaja. Firaun pun dikenang kerana kejahatannya. Kita berhimpim kerana tidak mahu rakyat lupa.

"Jangan ingat selepas (ahli politik) keluarkan kenyataan, lepas itu orang tak ingat lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Dalam perhimpunan tersebut mereka turut membakar bendera Israel kerana membantah serangan berdarah negara Yahudi itu terhadap kapal bantuan kemanusian ke Gaza pada pagi Isnin lalu.

Selepas setahun dibina, stadium bernilai RM292 juta yang disasarkan sebagai venue utama sukan negara pada Jun tahun lalu mengejutkan banyak pihak apabila ranap menyembah bumi.

Dalam kejadian tersebut, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Ia dilaporkan berpunca daripada kegagalan semua pihak yang dilantik membina Stadium mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Fauzi berkata pihaknya sedang mendapatkan nasihat peguam bagi membawa kes tersebut di muka pengadilan jika tiada tindakan terhadap pihak terbabit dalam 'kecuaian' itu.

Bagaimanapun ketika sentimen anti-Israel yang sedang meluap-luap ekoran serangan tenteranya terhadap flotila pro-Palestin, demonstrasi itu seperti 'menukar haluannya' apabila tiga bendera Israel dibakar penduduk yang hadir.

"Kebetulan ada kes serangan tentera Israel ini, kini tunjukkanlah juga bantahan kita terhadap mereka," kata Mohd Fauzi.

Mampat juga akan melancarkan tabung bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dalam masa terdekat ekoran kegagalan flotila Mavi Marmara ke Semenanjung Gaza, tambahnya.

Malaysiakini/-

Bawa kad jemputan kahwin untuk beli gula

21 Jamadil Akhir 1431 H

Nak buat kenduri kahwin tapi bimbang tak cukup gula? Jangan khuatir.Setidak-tidanya di Terengganu, gula yang diperlukan boleh dibeli di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) di seluruh negeri dengan syarat anda perlu tunjukkan kad jemputan kahwin.

"Kita minta bawalah kad jemputan, bukan sebagai bukti tetapi kita ingin tahu bila dan berapa banyak gula yang diperlukan untuk majlis itu, senang untuk kita agihkan kerana kita jangkakan ramai yang akan adakan kenduri sepanjang cuti sekolah ini," kata Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNKK negeri, Abdul Ghani Harun kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut beliau, peniaga yang ingin mendapatkan bekalan bahan berkenaan pula boleh mengemukakan lesen perniagaan masing-masing.

"Kita jangkakan bekalannya sebanyak 2,400 metrik tan sebulan yang kita ada mencukupi untuk kegunaan seluruh negeri," katanya.

Menurut beliau orang ramai boleh mendapatkan bekalan bahan itu di pasar raya dan kedai runcit seluruh negeri.

"Jika ada peruncit atau pemborong yang enggan jual gula sedangkan mereka ada simpan bahan itu, kita minta pengguna laporkan segera. Kita ingin banteras golongan yang menimbulkan masalah ini," katanya.

Abdul Ghani berkata satu unit khas yang dikenali sebagai 'rescue team' juga sentiasa memantau masalah kekurangan bekalan gula di seluruh negeri.

"Unit ini akan menghantar gula ke mana-mana lokasi yang mengalami kekurangan gula, termasuk di kawasan luar bandar. Untuk tujuan ini PPDNKK mendapat kerjasama daripada penghulu kampung," katanya.

Malaysiakini/-

'Peruntukan terbesar bonus untuk lembaga pengarah'

21 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Aidila Razak

Ahli lembaga pengarah kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menerima peruntukan terbesar daripada agihan bonus yang dibayar kepada kakitangan syarikat milik kerajaan negeri Selangor itu sejak ia mula beroperasi sembilan bulan, kata pengerusinya hari.

Abdul Shukor Nagor yang memberi keterangan pada hari kedua kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berkata pengarah eksekutifnya menerima bonus RM82,000 bagi tahun kewangan yang berakhir pada Jun 2009.

Katanya lagi, KSSB membayar bonus berjumlah RM503,613.59 kepada 45 kakitangan pada tahun kewangan itu. Ahli lembaga pengarah dan tiga pengurus kanan menerima bonus selama 4 bulan, manakala kakitangan lain menerima bonus 1.5 bulan.

Menurut Abdul Shukor bonus itu sebagai bayaran insentif bagi mengekalkan kakitangan KSSB dan juga ganjaran atas usaha gigih mereka.

"Ini adalah kerja yang berbahaya dan mereka bekerja keras...dan menghabiskan masa yang panjang.

"Kita telahpun membuat keuntungan pada Disember 2008 dan jangkaan juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan bagi syarikat baru,” katanya.

Abdul Shukor bagaimanapun enggan mengulas sama ada ia “perbelanjaan berhemaah’ untuk memberi bonus interim begitu awal dalam tahun kewangan itu.

"Pendapat saya adalah tidak,” kata pengerusi panel Teng Chang Kim setelah gagal mendapat jawapan daripada Abdul Shukor.

Malaysiakini/-

'Kampung Baru mesti kekal milik Melayu'

21 Jamadil Akhir 1431 H

Kampung Baru adalah 100 peratus milik orang Melayu tanpa kompromi dan tidak boleh dibuka kepada bangsa lain kerana ia "satu-satunya aset Melayu-Islam di tengah-tengah Kuala Lumpur".

Ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali berkata cadangan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk membuka pemilikan sebanyak 40% kepada bukan Melayu di kawasan tersebut amat dikesali.

"Selama 110 tahun pemilik dan pewaris mempertahankan Kampung Baru meski pun dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit disekelilingnya.

"Tiada sebab untuk mereka melepaskan pegangan kerana kelemahan kerajaan yang memerintah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penduduk kawasan itu rela membangunkan Kampung Baru dengan cara dan kemampuan sendiri daripada membiarkan aset bersejarah itu terlepas akibat himpitan pembangunan.

Dr Lo' Lo' berkata cadangan pembahagian itu hanya menyerlahkan kegagalan kerajaan mempertahankan kampung itu "walaupun UMNO mengaku sebagai pejuang dan juara Melayu".

Beliau sebagai wakil rakyat untuk kawasan itu turut menggariskan beberapa perkara yang menurutnya perlu diberi perhatian dalam proses pembangunan tanah tersebut, antaranya:

- Menyalurkan dana khas daripada kerajaan tanpa penglibatan swasta atau pelabur-pelabur asing bagi memberi keyakinan kepada pemilik dan pewaris akan dapat mengekalkan aset mereka.

- Memastikan Pembangunannya mesti berimbang antara pembangunan fizikal, mental dan spiritual.

- Menjadikan Kampung Baru sebagai pusat sehenti Melayu di mana segala-segalanya berkaitan bangsa itu, termasuk kebudayaan, konsep kejuruteraan, ekonomi, sosial, kesenian dan sejarah Melayu terdapat di situ.

Malaysiakini/-