12 Ogos 2014

Isu MB: Sejam Anwar jumpa TG Abdul Hadi

16 Syawal 1435. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berlangsung hampir sejam petang semalam.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut serta dalam pertemuan itu mengesahkan ianya berkait dengan isu Menteri Besar Selangor.

"Pertemuan itu berlangsung lebih kurang satu jam. Ya kita bincang isu MB Selangor" katanya kepada Harakahdaily sambil menambah tidak boleh mendedahkan butir perbincangan tersebut.

Polis kesan individu sebar konon berlaku pergaduhan

16 Syawal 1435. [MOD] -

IPOH: Polis Perak sedang mengesan individu yang menyebarkan dakwaan di laman sosial kononnya berlaku pergaduhan di antara kaum di bandar raya ini.
  
Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata polis sedang menyiasat perkara itu dan akan mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan dakwaan itu.
  
"Kita (polis) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka di bawah Akta Hasutan, Akta Jenayah Komputer, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta di bawah Kanun Keseksaan terhadap mereka yang menghasut dan mereka-reka cerita," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.