27 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Pelbagai pihak mahu menyaksikan lebih banyak perdebatan terbuka mengenai isu-isu negara terutama yang membabitkan ekonomi, untuk kepentingan bersama.
NONEAntara sememangnya ditunggu-tunggu adalah perdebatan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (kanan) sambil menambah dengan bersemuka, masing-masing tidak lagi perlu melontarkan pelbagai dakwaan antara satu sama lain.
“Najib perlu bersedia untuk berdebat secara terbuka, bukannya berceramah ke seluruh negara tanpa berhadapan dengan Anwar.
“Melalui debat, Najib dan Anwar boleh bertemu, Mereka boleh melontarkan buah fikiran masing- masing mengenai isu yang diketengahkan supaya memberikan kesan lebih baik kepada masyarakat,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian.
Menurut Mahfuz, debat dua pemimpin tertinggi itu perlu, terutama bagi Najib menjelaskan pendirian mengenai isu ketirisan ekonomi yang berlaku, sebelum pilihan raya umum akan datang supaya rakyat boleh menilai kewibawaan mereka.
“Jangan hantar wakil. Rakyat mahukan debat antara Najib dan Anwar, bukannya wakil mereka seperti sebelum ini apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dihantar untuk berdebat dengan Anwar,” katanya lagi.
NONESinar juga memetik naib presdien PKR, Nurul Izzah Anwar (kiri) yang bersetuju supaya perdebatan diadakan antara Najib dengan Anwar.
“Ia merupakan kesinambungan yang paling tepat setelah debat selepas Guan Eng dan Soi Lek,” katanya.
Anwar sebelum ini telah berulang kali mencabar perdana menteri untuk berdebat pada bila-bila masa tetapi Najib hanya berdiam diri tidak mahu menyahut cabaran berkenaan.
Sabtu lalu, dua tokoh politik masyarakat Cina bersemuka dalam debat yang disiar secara langsung dengan presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek berdepan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Tajuk debat tersebut ialah 'Kaum Cina di persimpangan: Apakah sistem dua parti menjadi sistem dua bangsa?'
Sementara itu, Bernama pula melaporkan pemimpin BN berkata mereka bersikap terbuka terhadap cadangan untuk mengadakan lebih banyak debat.
NONETimbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata para pemimpin BN pernah bersemuka dalam debat dengan tokoh pembangkang sebelum ini dan mereka bersedia berdepan lagi dengan pembangkang asalkan ada forum serta isu yang bersesuaian untuk didebatkan.
"Pada Ogos 2008, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon juga berdepan dengan Lim Guan Eng dalam debat di auditorium DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), beberapa bulan selepas beliau kalah dalam pilihan raya umum.
"Banyak lagi pemimpin lain dalam BN seperti Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut berdebat dengan pemimpin pembangkang sebelum ini," katanya.
Presiden LDP Datuk VK Liew (kiri) pula dipetik berkata beliau menyambut baik cadangan untuk mengadakan lebih banyak debat antara ahli politik dan berharap debat seperti itu akan diperluaskan supaya merangkumi pelapis kedua dalam kepimpinan parti.
"Dalam sebuah demokrasi yang matang, anda tidak boleh menghalang pemimpin parti daripada mengambil bahagian. Ini perkembangan yang sihat terhadap demokrasi. Ia satu peluang untuk memperjelaskan tentang perbezaan kita," katanya.
Beliau berkata ahli politik tidak boleh mengelak sentimen penyokong mereka dan memang sifat semula jadi untuk mereka menaruh harapan agar pemimpin masing-masing mengeluarkan hujah bernas, lebih-lebih lagi membabitkan isu kepentingan bersama.
Sementara itu, bendahari agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak Datuk David Teng dipetik Bernama sebagai berkata beliau mengalu-alukan sebarang usaha untuk mengadakan perdebatan yang sihat antara pemimpin politik untuk menyuarakan pandangan atau dasar yang mereka galakkan.
"Bagaimanapun, perdebatan seperti itu tidak boleh digunakan sebagai platform untuk memarahi orang lain atas apa jua sebab. Jika tidak, ia tidak akan membawa apa-apa makna. Setiap orang yang mengambil bahagian dalam debat ini mesti memahami tujuan perdebatan," katanya.
malaysiakini/-