20 Februari 2012

Penduduk datang terima beras diumum sertai Umno

27 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH, 20 Feb: Jangan terkejut apabila nama penduduk kampung yang disenarai mendapat bantuan beras tiba-tiba diisytihar pula menyertai Umno.

Inilah yang berlaku di beberapa kampung di sini apabila nama penduduk yang disenarai mendapat bantuan beras 5 kg setiap seorang, diumumkan pula dalam senarai menyertai Umno.

Lebih memalukan lagi setelah selesai majlis penyampaian bantuan beras dan Maulidur Rasul, program lain pula berlangsung iaitu menyerah borang menyertai Umno.

Penghulu Mukim Batu Hitam, Abidin Awang, 51 berkata, baru-baru ini wakil kepada Ketua Umno Bahagian, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz datang menyenarai nama-nama penduduk termasuk armalah bagi mendapat bantuan beras.

Katanya, ramai penduduk terutamanya ibu tunggal memberi nama mereka kerana dijanjikan bantuan beras 5 kg.

“Mereka diminta hadir pada program penyampaian beras dan Maulidur Rasul yang diadakan di rumah seorang penyokong Umno di Kampung Kenerak.

“Namun saya difahamkan senarai yang dikutip untuk menerima bantuan beras tiba-tiba diumumkan pula menyertai Umno pada majlis berkenaan,” katanya di sini.

Akhbar hari ini melaporkan seramai 47 bekas ahli PAS menyertai Umno apabila menyerah borang pada program Selamat Tinggal PAS dan Maulidur Rasul di Kampung Kenerak.

Pada majlis itu seorang penduduk berlakon menyerah borang menyertai Umno kepada Ketua Umno Tanah Merah.

Abidin yang juga Setiausaha Majlis Tindakan Dun Batu Hitam berkata, gambar seorang penduduk disiarkan akhbar menyerah borang kepada Ikmal bukan penyokong PAS.

Malahnya katanya, sebahagian besar yang terdapat dalam gambar bukan penduduk tempatan, dan kemungkinan datang dari tempat lain.

Kata beliau juga Umno bahagian Tanah Merah difahamkan sudah merancang mengadakan program berkenaan bulan lepas lagi, namun gagal diadakan kerana tidak mendapat kerjasama penduduk.

“Saya diberitahu seorang penduduk tidak membenarkan rumahnya dijadikan tempat program tersebut,” katanya.

Beliau juga mendakwa wakil Umno Bahagian dikatakan datang ke kantin sebuah sekolah di kawasan berdekatan mengutip nama pekerja-pekerja wanita untuk didaftar sebagai puteri Umno.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: