28 April 2013

Kubu kuat Umno boleh roboh

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PAS bakal melakar sejarah di Kuala Kangsar berikutan kerja kuat daripada seluruh petugas parti dan ahli serta pertolongan daripada Allah.
KUALA KANGSAR: Parlimen Kuala Kangsar, kubu kuat Umno selama ini, kini menjadi lemah dan kubu itu boleh dirobohkan, menjelangnya Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Calon PAS Khalil Idham Lim berkata, PAS bakal melakar sejarah di kawasan itu berikutan kerja kuat daripada seluruh petugas parti dan ahli serta pertolongan daripada Allah.
Sambil melahirkan keyakinan untuk memenangi kerusi itu, beliau berkata, insya’Allah PAS boleh bertapak di kawasan itu tambahan pula berlaku pepecahan dalam Umno berikutan tindakan Datuk Kamalia Ibrahim bertanding atas tiket Bebas.
“Namun PAS perlu kepada kekuatan tersendiri untuk menang, bukannya kemenangan itu atas dasar lemahnya Umno-Barisan Nasional, jelas beliau, dipetik dari harakahdaily.
Datuk Kamalia kecewa dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak memberi kerusi Parlimen itu untuk bertanding tetapi sebaliknya beliau diberi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, di Perak.
Beliau yang juga naib ketua wanita Umno menyifatkan tindakan Najib ini sebagai satu penghinaan terhadap kaum wanita kerana usaha dan gerak kerja beliau selama ini dianggap seperti sampah.
Jambatan Manong
Pada PRU kali ini, Khalil Idham mengutarakan lima tawaran kepada para pengundi di Parlimen Kuala Kangsar, pertamanya berhubung pembinaan Jambatan Manong ke Seberang Manong yang sehingga kini sudah tiga kali diadakan majlis pecah tanah, jambatan tidak juga siap.
“Saya berjanji dalam masa setahun, saya akan tahu jawapannya bagi meneruskan pembinaan jambatan tersebut,” katanya.
Kedua, berhubung pengangkutan awam yang digunakan untuk orang ramai dari Kuala Kangsar ke Simpang Tiga yang sekarang ini begitu daif dan uzur akan digantikan dengan yang lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat kembali berkuasa di Perak.
“Kita akan usahakan bas yang lebih baru dan selesa kepada rakyat bagi laluan Kuala Kangsar ke Simpang Tiga Beruas,” ujar beliau.
Menurutnya dengan bantuan dari kementerian dan agensi yang berkaitan beliau akan usahakan bas yang lebih selesa kepada masyarakat di kalangan pelajar, ibu tunggal dan berbagai lapisan masyarakat yang menggunakan bas itu.
Sebelum ini beliau pernah mendedahkan bagaimana daifnya bas yang digunakan di kawasan itu dan beliau sendiri telah menaiki bas syarikat tersebut yang disifatkan terlalu uzur dan merbahayakan penumpang terutama pelajar sekolah.
“Bas tersebut sudah berusia 50 tahun dan selayaknya sudah berada di muzium,” katanya.
Beliau turut menyentuh penempatan di dua kampung iaitu Kampung Baru Jerlun dan Kampung Tersusun Senggang yang sehingga kini penghuninya tidak mendapat hak milik kekal.
Dalam manifesto Pakatan Rakyat telah dinyatakan untuk memberikan geran tanah kekal untuk Kampung Tersusun dan Kampung Baru, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menunaikan janjinya, kata beliau.
Menurut beliau Kampung Baru Jerlun didiami kaum Cina, manakala di Kampung Tersusun Senggang dihuni oleh orang Melayu.
Status tanah
“Terdapat 112 lot tanah yang didiami oleh orang Melayu di Kampung Tersusun Senggang yang hingga kini tidak apa apa status tanah, bila berlaku kematian, menjadi masalah kepada pewaris kerana tanah itu tidak ada apa apa status tanah.
“Begitu juga terdapatnya penempatan kecil orang Melayu, Cina dan India yang tinggal di rezab sungai dan jalanraya, kita akan menyelesaikan massalah ini nanti bila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih negeri ini,” katanya lagi.
Tawaran keempat yang ditengahkan kepada pengundi di sini ialah beliau mahu menyelesaikan masalah perparitan yang serius di Kampung Bendang Kering.
Pada tahun 2007, jelasnya kerajaan telah membina longkang bagi menyelesaikan masalah perparitan di kampung tersebut, tetapi longkang tersebut tidak cukup besar dan panjang, sekarang ini longkang tersebut ada yang sudah pecah dan runtuh.
“Sistem perparitan di sini akan kita perbetulkaan balik bila Pakatan Rakyat berkuasa nanti,” ujar beliau.
Katanya lagi, tawaran terakhir berhubung industri Labu Sayung yang ada sekarang akan ditingkatkan lagi menjadi lebih baik sejajar dengan perkembangan semasa demi mempertingkatkan industri tersebut, katanya.
Pada PRU12 calon BN, Datuk Seri Rafidah Aziz yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berjaya mengalahkan calon PAS, Dr Khairudin Datuk Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.
Kali ini, Khalil Idham akan menghadapi pertandingan tiga penjuru. Selain Datuk Kamalia, beliau berdepan cabaran daripada calon BN, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad.
Beliau dilihat mampu menarik para pengundi Cina di kawasan itu memandangkan beliau keturunan Cina dan boleh berinteraksi dengan mereka, ini satu kelebihan kepada beliau.
Jumlah pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar ialah 33,607 orang di mana pengundi Melayu berjumlah 67.96 peratus, Cina (23.94%), India (6.96%) dan lain-lain (1.14%).
FMT/-

Kalau saya balik Kelantan, Tun balik Kedah - Husam

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa mengingatkan Tun Mahathir Mohamad agar jangan memperkecilkan dan menjadikan Kelantan penduduk kelas kedua sehingga orang negeri itu tidak boleh bertanding di Putrajaya.

Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang menyuruh Husam balik ke Kelantan kerana masalah di negeri itu masih tidak selesai.

"Saya datang ke sini bukan sebagai orang Kelantan tetapi, sebagai rakyat Malaysia," tegas Husam dalam sidang medianya lewat petang tadi.

Malah Husam turut membidas Tun Mahathir yang wajar pulang ke Kedah negeri asalnya manakala Datuk Najib Tun Razak pula kembali ke Pahang.

"Kalau saya kena balik Kelantan, Tun pun kena balik Kedah, Datuk Najib kena balik Pahang. Kalau semua orang kena balik negeri masing-masing, jadi tidak ada orang yang hendak bertanding di sini.

"Tengku Adnan sendiri, dia rasa dia orang tempatan, tetapi dia bukan orang tempatan dia daripada Melaka, rumah dia di Jalan Duta, itupun dia ada rumah di sini. Kalau saya menang esok, saya sewa rumah di sini tidak jadi masalah," ujar Husam.

Dalam ceramah umum 'Pertahankan Putrajaya' di sini semalam Tun Mahathir menyuruh Husam kembali ke Kelantan dan memperbetulkan negeri itu dengan membina pejabat dan rumah-rumah yang sempurna untuk rakyat dan penjawat awam sehingga berjaya.

Apabila berjaya, kata Tun Mahathir, Husam boleh minta diberi peluang bekerja di Putrajaya tetapi bukanlah sebagai Perdanan Menteri.

Harakahdaily/-

Sanggup habis duit sendiri bina markas PAS – Gemuk

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Gemuk bersama Anuar Tan.

KUALA KRAI: “Kami sanggup menghabiskan duit poket sendiri untuk mewujudkan pos kempen Pakatan Rakyat di bandar ini,” kata Gemuk yang menjaga pos di Bandar Lama Kuala Krai.


Chiam Peng Leng berkata, beliau dan rakan-rakan mengumpulkan sebanyak RM1,500 bagi menyewa sebuah kedai berhadapan pasar raya Econjaya.


Penyelaras markas kempen di Bandar Lama Kuala Krai itu memberitahu dana dikumpul sesama masyarakat Cina. 


“Selain untuk bayaran sewa kedai, dana itu untuk membayar bil air dan elektrik,” katanya ketika ditemui malam tadi sempena ceramah bersama calon Pakatan Rakyat Parlimen Kuala Krai.


Hadir sama anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, calon parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, calon Dun Guchil, Ruslan Puteh, calon Dun Mengkebang, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman dan calon Dun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah. 


Penduduk tempatan sebahagian besar masyarakat Cina memenuhi ruang hadapan pentas mengikuti ceramah tersebut. Sekali sekala mereka bertepuk tangan tanda setuju apa yang dihujah penceramah.


Warga emas masyarakat Cina juga tidak ketinggalan mengikuti ceramah tersebut. Mereka tidak berganjak sehingga ceramah berakhir jam 11 malam.


Sebelum itu orang ramai yang hadir dipertonton persembahan tarian singa sekumpulan anak-anak muda Cina dan India.


Gemuk berkata, di kawasan parlimen Kuala Krai ada lima pos yang dibina masyarakat Cina juga atas inisiatif mereka sendiri. Mereka mahu mempertahankan kerajaan Kelantan dan menawan Putrajaya.


“Kami berusaha sendiri mewujudkan markas kempen PAS dan PKR di kawasan bandar yang dihuni ramai penduduk Cina.


“Setiap malam kami pasang video ceramah pemimpin-pemimpin PAS dan PKR bagi mendedahkan pelbagai isu kepada orang ramai,” ujarnya.


Katanya, mereka juga merasa bertanggungjawab bagi mempertahankan kerajaan Kelantan yang ada sekarang dan berusaha untuk melebarkan pengaruh Pakatan ke Putrajaya.

Menurut beliau juga sambutan masyarakat Cina begitu menggalakkan sekali di mana setiap malam mereka datang memberi sokongan dan mendengar VCD yang dipasang.

Harakahdaily/-

Umno peralat guru ugut ibu bapa pelajar

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

TANAH MERAH: Seorang ibu, Zaiton Yazid, 40 dari Kampung Cermin, Dun Gual Ipoh mendakwa seramai empat guru datang ke rumahnya baru-baru ini bagi merayu supaya mengundi calon BN.


Katanya, guru-guru terbabit tanpa segan silu memintanya supaya memangkah BN.


“Mereka meminta saya pangkah BN, sekiranya tidak pangkah, buku teks anak saya akan ditarik balik. Selain itu bantuan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) juga tidak akan diberi.


“Saya terkejut kerana guru-guru datang berkempen bagi pihak calon BN di Gual Ipoh yang juga bekas guru,” katanya ketika ditemui semalam.


Umno Kelantan sekarang ternyata semakin gelabah apabila terpaksa mengerahkan kakitangan kerajaan pusat bagi membantu kempen mereka.


Hampir setiap malam kita boleh melihat kenderaan milik Jabatan Penerangan keluar masuk kampung. Manakala pada sebelah siang beberapa lagi agensi pusat datang menemui penduduk.

Antara yang sering dilihat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kesedar, Kemas, Jasa dan pelbagai lagi.


Seorang lagi penduduk, Jamilah Kassim, 47 dari Kampung Hulu Kusial juga mendakwa didatangi seorang guru meminta supaya memangkah BN.


Katanya, dia juga mengugut akan mengeluarkan anaknya yang belajar di sebuah sekolah di Gual Ipoh sekiranya enggan menyokong calon BN.


Pada Febuari lalu sekumpulan penduduk Dun Gual Ipoh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa seorang guru yang juga pemimpin Umno tidak datang mengajar selama dua tahun.


Raja Ahmad Zulfakar Raja Man, 37 dari Kampung Bechah Laut, mendakwa Bakri Mustapha sebelum ini mengajar di Sekolah Kebangsaan Bechah Laut, tidak datang mengajar pada tahun lepas dan 2011.

Bakri merupakan Naib Ketua Bahagian Tanah Merah kini bertanding di Dun Gual Ipoh.

Harakahdaily/-

Najib tak setuju keputusan tinjauan Umcedel

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Najib Tun Razak

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak bersetuju dengan tinjauan oleh satu jabatan dalam Universiti Malaya yang menyebut beliau berada empat mata di belakang ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak bersetuju dengan tinjauan itu, kami ada tinjauan sendiri. Tinjauan saya menunjukkan kami mendahului,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai satu jamuan bersama 1,000 penduduk di Rawang, Selangor.

Beliau merujuk kepada tinjauan pusat demokrasi dan pilihan raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menyebut 43 peratus responden percaya Anwar layak menjadi perdana menteri, berbanding 39 peratus lagi yang berpendapat Najib lebih layak menjadi PM.

Beberapa orang tokoh akademik juga mempersoalkan keputusan tinjauan berkenaan dengan dakwaan bahawa saiz sampel 1,407 adalah terlalu kecil dan juga kemungkinan keputusan tinjauan itu dimanipulasi Pakatan Rakyat.

Najib pula berkata beliau yakin BN akan menang dengan majoriti dua pertiga di parlimen sekiranya parti itu tidak mengalami sabotaj dalaman.

Malaysiakini/-

Husam: Saya hanya ajak Dr M minum teh, bukan debat

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Datuk Husam Musa

Datuk Husam Musa
PUTRAJAYA - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa hari ini berkata, beliau tidak pernah mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar berdebat dengan beliau.

Sebaliknya, calon kerusi Parlimen Putrajaya ini berkata, beliau hanya mengajak bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu "berminum teh" dengannya.

Menurutnya, apa yang telah dilakukan Dr Mahathir yang membawa negara ke arah kemajuan pada zaman pemerintahannya perlu dihormati dan dikagumi.

Beliau juga berkata, niatnya yang sebenar adalah untuk menjemput Dr Mahathir minum teh dan beramah mesra.

"Saya tak pernah mencabar kamu... saya tak pernah mencabar dia walaupun semalam dia kata saya ajak dia berdebat.

"Semua orang hormat dia, saya pun hormat dia," katanya pada majlis Mini Karnival Kanak-kanak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Husam yang juga calon Parlimen Putrajaya berkata, namun kritikan perlu dilakukan untuk menjadikan negara semakin baik dari semua aspek.

"... saya hormati dia, tapi saya sentiasa mengkritik dia, itu hak kebebasan bersuara," katanya lagi.

Sinar/-

Presiden PAS, Mat Taib gempur Perlis 29 April

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KANGAR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan berada di Perlis pada 29 April dalam rangka lawatan sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Abdul Hadi dijangka tiba di Perlis pada jam 12.00 tengahari di Simpang Tiga Guar Sanji dekat Arau dalam program kenduri rakyat. Ini diikuti program minum petang bertempat di Pusat Tarbiah Islamiyah Kayang (Putik) di Dun Kayang pada jam 5.00 petang.

Beliau kemudiannya akan bersama-sama dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam program ramah mesra bersama pengundi kaum Cina di bandar Kangar (berhampiran panggung lama Sri Mahkota).

Seterusnya, Tuan Guru akan menunaikan solat maghrib di Masjid Guar Syed Alwi sebelum menyampiakan ceramah di Kampung Jawi Seratus di Dun Sanglang pada jam 9.00 malam dan diikuti ceramah di Markas PAS Paya di Dun Santan pada jam 11.00 malam.

Manakala Muhammad pula akan tiba di Perlis untuk program minum petang di Dataran Purnama, Beseri pada jam 5.00 petang. Kemudiannya beliau akan berceramah di Markas PAS Paya pada jam 9.00 malam sebelum berceramah di Kampung Jawi Seratus.

Pada 30 April, Presiden PAS akan menyampaikan kuliah subuh di Maahad Tahfiz Imam An-Nawawi (Matin) di Abi Padang Machang sebelum mengakhiri progam di Perlis dengan sarapan pagi bersama rakyat di Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Sementara itu, Muhammad pula akan berada bersama rakyat di pasar sehari di Pekan Simpang Empat.

Harakahdaily/-

Kempen hari ke-7 dan ceramah Kuala Kangsar

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
































































PRU13: Peluang untuk merdekakan bangsa Melayu

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru para pengundi Melayu jadikan PRU13 ini sebagai peluang untuk memerdekakan bangsa dari politik sempit dan politik kotor yang selama ini disemai oleh parti politik yang berasaskan nasionalisme dan sekular.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika bangsa Melayu mahu merasai erti kebebasan tulen dan kemerdekaan yang sebenar, maka memenangkan calon yang menjiwai prinsip agama dari parti yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar iaitu PAS adalah satu-satunya pilihan.

"Di bawah perintahan sekular sekarang, demokrasi telah disalahguna oleh penguasa sewenangnya untuk mengekalkan kuasa sehingga bangsa Melayu menjadi mangsa kepada politik kotor," ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimanan di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru para pengundi Melayu jadikan PRU13 ini sebagai peluang untuk memerdekakan bangsa dari politik sempit dan politik kotor yang selama ini disemai oleh parti politik yang berasaskan nasionalisme dan sekular.

Jika bangsa Melayu mahu merasai erti kebebasan tulen dan kemerdekaan yang sebenar, maka memenangkan calon yang menjiwai prinsip agama dari parti yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar iaitu PAS adalah satu-satunya pilihan.

Di bawah perintahan sekular sekarang, demokrasi telah disalahguna oleh penguasa sewenangnya untuk mengekalkan kuasa sehingga bangsa Melayu menjadi mangsa kepada politik kotor.

Bangsa Melayu perlu insaf betapa parti nasionalisme sekular Umno tidak boleh menjamin keselamatan bangsa kerana ia telah sarat dijangkiti kuman perkauman assobiyah yang ditolak oleh Islam akibat dasar sekular parti tersebut.

Malah ia adalah parti yang bahaya kerana menanam budaya politik "matlamat menghalalkan cara". Budaya politik lucah dan fitnah serta politik samseng jelas kini berleluasa adalah kerana parti Melayu yang tidak berasaskan Islam.

Bangsa Melayu berhak untuk mendapat sebuah kerajaan yang berhasrat menjadikan landasan Islam sebagai pilihan daripada mengekalkan kerajaan yang sekular.

Teras berpendapat bangsa Melayu sudah terlalu lama berkerajaankan parti yang sekular dan berlandaskan nasionalisme sempit sebagai pegangan.

PRU 13 ini harus memberi peluang bangsa Melayu melakukan ‘hurriyah siasiyyah’(pembebasan politik) untuk menubuhkan kerajaan yang sah dan bertunjangkan Islam.

Kerajaan yang membendung rakyat dengan ugutan, memanipulasi pilihanraya dan mengguna undang-undang yang menindas rakyat wajib diubah supaya dapat menghapuskan segala kezaliman.

Kezaliman ekonomi, politik, budaya, sosial, media, undang-undang dan atas nama keselamatan telah menyebabkan orang Melayu terbelenggu dalam minda feudal yang merosakkan.

Hanya dengan perubahan politik dalam PRU13 ini, kehormatan dan maruah bangsa dapat dipulih.

Bangsa Melayu tidak harus ragu-ragu  untuk menilai prestasi pemerintah dengan kritikal dan membuat keputusan menukar kerajaan tanpa rasa takut.

Pada asasnya orang Melayu mesti diberi kuasa memilih dengan bebas siapa yang mereka mahu untuk mengurus urusan mereka.

Pengundi Melayu berhak untuk memilih, mengkritik dan menamatkan kuasa pemerintah yang sedia ada jika terbukti parti yang memerintah melakukan pengkhianatan dan salahguna kuasa.

Cukuplah bangsa Melayu dihina dengan sogokan wang untuk memberi undi kepada parti yang hanya mengkayakan beberapa kerat Melayu elit.

Teras menegaskan bangsa Melayu memikul amanah menjaga kemuliaan agama dengan berusaha  melaksanakan hukum Allah dan bukan menurut hawa nafsu memesongkan rakyat dari hukum Allah.

Inilah yang diperintah oleh Al-Quran yang bermaksud: "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan Allah dan janganlah engkau menurut hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari suatu hukum yang telah diturunkan Allah kepadamu.” (al-Maidah, 5:49)

Soalnya setelah sedemikian lama parti nasionalis memerintah, hukum Allah bukan sahaja diketepikan malah telah ditohmah dan dimomokkan sebagai tidak sesuai dengan zaman dan dituduh sebagai hukum parti pembangkang.

Dengan memilih mereka yang tidak berhasrat melaksanakan hukum Allah bermakna menjadi pembela kepada orang-orang yang khianat.

Ketegasan Al-Quran tidak dapat dimungkiri, yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu wahai Muhammad kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (an-Nisa’, 4:105)

Sebab itu Teras menegaskan PRU13 hendaklah memenangkan calon Muslim dari parti yang beriltizam untuk menegakkan hukum  kebenaran dan keadilan.

Menolak mereka untuk dipilih dalam pilihanraya akan menyebabkan suara Islam dalam Parlimen dan Dun akan tersisih. Pengundi Muslim hendaklah turut menyokong parti Islam yang menambah bilangan calon Islam sebagai wakil rakyat.

Parti Islam yang berteraskan Islam wajib diterima sebagai alternatif kepada parti sekular yang menolak dasar Islam.

Memilih dan menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang bertjuan menegakkan agama Allah adalah amal besar dalam Islam. Bangsa Melayu hanya selamat dengan Islam, tidak dengan yang lain.

Harakahdaily/-

Calon BN tumpang pupulariti Najib yang tak popular

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tujuh hari menjelang tarikh pengundian 5 Mei ini, nampaknya ketakutan luar biasa mula kelihatan pada wajah pimpinan utama BN sehingga menampakkan langkah mereka makin sumbang.

Bagai tidak percaya dengan kebolehan dan populariti diri sendiri, ramai calon-calon BN kini gelisah berdepan penolakan rakyat sehingga terpaksa mencari bosnya Datuk Seri Najib Razak untuk menempel kekuatan.


Jika hendak membandingkan sokongan dengan jumlah kehadiran yang ramai, dalam beberapa siri ceramah nampaknya BN sudahpun tewas.


(Gambar: Kehadiran pada ceramah Husam dan TG Nik Aziz di Putrajaya malam semalam)

Jikapun berjaya menarik orang ramai, BN tetap terpalit dengan persepsi rakyat bahawa yang hadir itu adalah diupah dan diberi duit poket, berbeza dengan ceramah Pakatan Rakyat yang hadir adalah secara sukarela.

Di Putrajaya, calon BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilihat paling ketara menggunakan teknik 'menempel' populariti orang lain.

Jika meronda di sekitar Putrajaya ketika ini, bukan poster muka Tengku Adnan yang banyak kelihatan, tetapi muka Najib mendominasi kempen BN seolah-olah Najib yang bertanding di Parlimen itu.

Dengan tagline "bersama Najib dahulukan rakyat", secara jelas faktor Najib digunakan sepenuhnya oleh calon ini untuk berkempen.

Semalam Tengku Adnan juga membawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir turun ke Putrajaya bagi membantu kempen beliau dengan harapan boleh menunjukkan sokongan warga putrajaya terhadapnya.

Ianya dibuat sehari selepas Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turun membantu kempen Husam di Putrajaya yang menyaksikan lautan manusia hadir pada ceramah di belakang bangunan Istana Kehakiman malam semalam.

Bagaimanapun mungkin sedikit malang buat Tengku Adnan apabila kehadiran Dr Mahathir di Presint 9 malam tadi itu bertembung dengan kehadiran pendakwah popular Ustaz Azhar Idrus di Presint 19 bersama calon PAS.

Gambar-gambar yang dirakam dan dimuat naik ke laman sosial Facebook menyaksikan sekali lagi lautan manusia di ceramah PAS malam tadi.

Tengku Adnan pernah berkata, "Saya berkeyakinan bahawa Husam akan ditolak, 'total rejection' sebab beliau datang dari luar Putrajaya".

Biarpun dalam kenyataan-kenyataannya di media perdana, dia dilihat lantang dan dengan angkuh merendah-rendahkan calon PAS Datuk Husam Musa, namun hakikatnya hati kecil beliau sebenarnya 'berpeluh dingin' akibat ketakutan.

Tidak dinafikan, Najib memang mempunyai popularitinya tersendiri sebagai seorang perdana menteri, apatah lagi setiap hari ditonjolkan dalam media arus perdana.

Bermakna, menempel dengan populariti Najib sedikit sebanyak mampu menarik sokongan pengundi terhadap calon yang dilihat 'bersama' Najib.

Konsep yang digunakan Tengku Adnan, jika berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan terpalit bau wangi sama.

Namun Tengku Adnan lupa, tidak semua pada Najib itu 'wangi' belaka.

Terbaru hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mendapati populariti Najib dari aspek siapa lebih layak jadi perdana menteri kali ini sudah diatasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Peratusan keseluruhan siapa yang layak menjadi perdana menteri menunjukkan Anwar (dapat) 43 peratus manakala Najib 39 peratus," kata Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman pada sidang media kelmarin.

Biarpun kajian tersebut mendapati bahawa Najib masih lagi popular dari sudut 'seorang yang mesra rakyat', namun ianya terhapus apabila rata-rata responden bersetuju bahawa Najib adalah pemimpin yang tidak mampu membuat keputusan tanpa dipengaruhi orang lain.

Jika mengambil kesimpulan dari kajian itu, Najib sebenarnya sudah tidak lagi sepopular sebelum ini.

Menumpang populariti Najib mungkin hanya memberi kesan minimum, malah tidak keterlaluan dikatakan ianya mungkin juga boleh membuatkan sesetengah pengundi makin rasa meluat.

Namun adakah pilihan lain buat calon-calon BN untuk menumpang populariti selain Najib yang boleh dikatakan paling popular dalam BN setakat ini?

Bak kata pepatah "tiada rotan, akar pun berguna".

Harakahdaily/-

Kenapa PAS berkawan dengan DAP tolak Umno?

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Ini betul punya cerita DAP, sebab tu PAS lebih selesa dengan DAP dan fobia dengan Umno...

Mungkin ramai yang belum faham kenapa PAS berkawan dengan DAP, tidak dengan Umno. Buat yang belum tahu apa sebabnya boleh merujuk kepada 16 sebab-sebab utama di bawah ini:

1) DAP tidak rasuah, Umno Rasuah. DAP tiada buat penyelewengan tetapi Umno sudah banyak penyelewengan kuasa dibuat.

2) DAP menolak Hudud sebab mereka bukan Islam, tetapi peliknya Umno tolak Hudud sedangkan mereka beragama Islam. Jadi PAS tak mahu kawan dengan orang Islam yang tolak hukum Islam.

3) DAP tidak pernah bunuh umat Islam, tetapi umat Islam Memali dibunuh oleh siapa?

4) DAP tidak pernah runtuhkan masjid, tetapi banyak surau dan masjid diruntuh atau ditutup oleh kerajaan Umno/BN atas pelbagai alasan.

5) DAP tidak pernah hentikan tazkirah dan kuliah agama di masjid dan surau. Tetapi banyak kuliah dan tazkirah dihentikan oleh pihak berkuasa atas alasan tiada tauliah sedangkan ustaz tersebut lulusan Timur Tengah dan IPTA yang dibina kerajaan sendiri.

6) DAP tidak pernah tangkap rakyat tanpa bicara, tetapi kerajaan pimpinan Umno menggunakan ISA dan akta baru sekarang untuk berbuat demikian.

7) DAP tidak pernah menggadaikan tanah orang Melayu, tetapi sejak merdeka tanah rezab Melayu berjumlah 3 juta hektar tinggal 1.7 juta hektar sahaja. Ini angkara siapa.?

8) DAP tidak pernah mempertikaikan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi negara tetapi siapa pula yang memperkenalkan PPSMI?

9) DAP tidak pernah merampas dan menganiaya negeri orang Melayu dan umat Melayu tetapi kerajaan Umno/BN menafikan royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

10) DAP setia kepada persefahaman dan persepakatan tetapi Umno lah yang menghalau PAS keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1974 kini Umno gila talak dan kembali rujuk kepada PAS.

11) Ketika Umno/BN kuat, PAS dipandang sebelah mata, bila Umno/ BN lemah, PAS seringkali diajak bergabung

12) Umno BOLEH bergabung dengan MCA, MIC dan lain-lain parti bukan Melayu/Islam sebanyak 11 parti dalam BN, tetapi PAS bergabung dengan 2 parti pelbagai kaum iaitu PKR dan DAP TAK BOLEH pula?

13) PAS bukan parti berasaskan perkauman tetapi Umno adalah perkauman sempit sama seperti MCA dan MIC. PAS menentang dasar berjuang atas perkauman atau Assobiyyah.

14) PAS menentang kezaliman dan penindasan terhadap rakyat atas dasar apa sekalipun. Banyak sekali contoh kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Umno/­ BN seperti menafikan royalti, bantuan perkapita kepada negeri PR (diberi tidak sepenuhnya dan dilengah-lengahkan), bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dihentikan, harga barangan dan perkhidmatan semakin naik dan sebagainya.

15) PAS menentang pembaziran yang menjadi amalan kerajaan Umno/BN dengan projek-projek mega yang sebahagian besarnya tidak memberikan manfaat kepada rakyat .......

16) DAP dan PKR menerima dan memeterai perjanjian bahawa Islam tetap menjadi agama Rasmi Malaysia, Sistem Raja Berpelembagaan tetapi dipertahankan, Hak Istimewa Melayu iaitu Perkara 152 & 153 dipertahankan, Bahasa Melayu tetap menjadi Bahasa Rasmi Malaysia. Yang sebenarnya masih banyak lagi antara sebab-sebab tetapi 16 nurkilan kami di atas adalah penyebab utamanya. 

Moga tulisan ringkas ini mampu menjadi panduan ringkas kepada para sahabat semua.

Harakahdaily/-