28 April 2013

BN guna warga asing edar risalah

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Warga Bangladesh

Warga Bangladesh (dua, kanan) yang mengaku mengedar risalah terbabit.
Risalah yang dikatakan cuba memburukkan Azan.

Risalah yang dikatakan cuba memburukkan Azan.
KUALA TERENGGANU – PKR mendakwa Barisan Nasional (BN) cuba memburuk-burukkan calon pembangkang di kerusi Dun Bandar dengan menggunakan warga asing bagi menjatuhkan calon parti itu yang juga Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Muhammad Safwan Abdullah berkata, perkara itu terbongkar dengan ‘tertangkapnya’ seorang warga Bangladesh yang asyik mengedarkan risalah memburukkan calon PKR itu di stesen bas di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, ketika disoal mengenai pengedaran risalah berkenaan, warga asing itu turut mengakui diupah untuk meletakkan risalah di kereta orang awam di sekitar kawasan bandar Kuala Terengganu dengan mendapat bayaran sebanyak RM100.

“Ini tindakan terdesak menggunakan fitnah memburukkan calon kita tanpa bukti yang kukuh, cuma apa yang merisaukan kami ialah jikalau mereka menggunakan khidmat warga asing dalam menjalankan kempen pilihan raya bagi menjatuhkan (PR).

“Itu yang merisaukan kita dan kesalahan ini bagi saya bertentangan dengan undang-undang pilihan raya iaitu warga asing tidak boleh terlibat dengan proses pilihan raya termasuk kempen dan sebagainya dan saya tahu mereka menggunakan warga asing untuk mengelak sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap mereka,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat PKR Kuala Terengganu di Gong Kapas, di sini, malam kelmarin.

Risalah bersaiz A4 itu menggunakan hampir sepenuhnya bahasa Cina dengan memaparkan dua keratan akhbar iaitu gambar Azan pada keratan akhbar berbahasa Cina dan keratan tajuk berita sebuah akhbar berbahasa Melayu menggunakan tajuk ‘Calon PKR jual pil kuda’ yang turut memaparkan gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muhammad Safwan berkata, kedudukan gambar dan cerita itu seolah-olah dibuat bagi menggambarkan bahawa Azan adalah calon yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu.

Menurutnya, aktiviti mengedar risalah berkenaan disedari dilakukan beberapa hari lalu di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Beliau berkata, cubaan menghentikan mereka yang terlibat melakukan pengedaran berkenaan gagal apabila ketujuh-tujuh warga asing terbabit terlebih dahulu menyedari mereka diawasi dan sempat melarikan diri dalam kejadian sebelumnya.

“Hari ini (kelmarin) kita dapati tiga orang yang bertindak sedemikian tetapi kita berjaya tangkap seorang sahaja, yang dua lagi terlepas dan kita tidak tahu sama ada yang lari itu warga Bangladesh atau Myanmar,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya akan menyiasat kejadian itu dengan lebih lanjut untuk mengetahui dalang terlibat.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dun Bandar, Datuk Toh Chin Yaw ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai edaran risalah terbabit.

Ketika ditunjukkan risalah itu, beliau bagaimanapun menjelaskan, tiada kandungan yang mengandungi fitnah dalam artikel yang dipaparkan tetapi beliau akan meneliti sama ada dilakukan BN atau sebaliknya.

“Yang ini saya tidak tahu tetapi kalau kata tidak betul, ambillah tindakan,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan dengan kaum India di Pejabat Perhubungan Umno Terengganu, di sini, malam kelmarin.
Sinar/-

Tiada ulasan: