28 Mei 2010

Judi bola: Surat terbuka Tamrin untuk Jamil Khir

Tamrin Ghafar

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji bagi Allah swt, Tuhan Yang Maha Mengasihani dan Menyayangi hamba-hamba-Nya. Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia berbanding manusia itu sendiri.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang sangat kasih kepada umatnya. Baginda sentiasa merasa begitu berat melihat penanggungan umatnya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Jamil Khir Baharom

Terlebih dahulu saya berdoa agar Allah s.w.t agar memberi keterbukaan di hati Dato’ sewaktu membaca surat ini seperti mana saya cuba membuka hati saya sewaktu menulisnya. Saya penuh sedar bahawa saya bukanlah insan yang tidak berdosa, tetapi saya yakin Dato’ sedia maklum bahawa dosa-dosa kita sama ada yang terdahulu, kini dan masa akan datang tidaklah wajar menjadi penghalang untuk kita mengingatkan sesama muslim.

Maka atas dasar itulah saya memberanikan menulis surat ini. Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman.” [HRMuslim]. Dalam riwayat lain disebut, “dan di luar itu, sudah tidak ada lagi sebutir keimanan pun”.

Surat ini ditulis dengan tujuan menyatakan pendirian terhadap isu kelulusan lesen perjudian bola sepak sempena kejohanan Bola Sepak Piala Dunia akan datang yang telah diluluskan oleh Kerajaan baru-baru ini. Mudah-mudahan dengan misi surat ini Dato’ sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal agama, akan memikirkan dengan wajar, bijaksana dan penuh berhati-hati terhadap hak Allah dan hak sesama manusia.

Saya memilih menulis surat ini secara terbuka kerana media cetak dan elektronik aliran perdana lebih berminat membesar besarkan isu seperti pernikahan yang menyalahi undang-undang syarak walaupun ianya telah menepati hukum ALLAH. Mereka seolah-olah mendapat arahan untuk melenyapkan pandangan dan teguran-teguran yang tidak menyokong tindakan Kerajaan meluluskan lesen perjudian tersebut.

Ini terbukti apabila saya selaku Naib Presiden Pertubuhan Mantan Wakil Wakil Rakyat UMNO (PAKKU) mengeluarkan kenyataan akhbar pada 18hb Mei 2010 meminta Kerajaan membatalkan serta merta lesen judi tersebut tidak ada satu pun media cetak dan elektronik aliran perdana mengeluarkan kenyataan tersebut.

Yang Berhomat Dato’,

Sesunguhnya, pertimbangan pengeluaran lesen judi atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan (seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien) adalah tertolak di sisi Islam. Dalil pengharaman judi adalah qatie’ dan tidak boleh dipertimbangkan lagi. Kawalan seharusnya tertumpu pada usaha kerajaan menyekat judi yang gelap mahupun terang dengan melipatgandakan modus operandi agensi-agensi penguatkuasaan dan mengenakan hukuman yang lebih berat, bukan ‘menghalalkan’nya. Saya ingin bertanya di manakah letaknya kesahihan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bahawa polis sudah mengenal pasti suspek dan lokasi sindiket judi bola itu? Jika demikian, mengapa tidak dihapuskan kegiatan itu sama sekali? Apakah polis tidak berupaya menghapuskan sindiket-sindiket tersebut? Apakah meluluskan lesen judi tersebut merupakan pendekatan terbaik untuk mengatasi ketidakupayaan polis?

Jika itu alasannya maka mengapa tidak Kerajaan menghalalkan sahaja perkara-perkara haram yang lain seperi pelacuran, pengedaran dadah dan lain-lain kemungkaran atas alasan untuk ‘mengawalnya’ pada masa akan datang?

Padahal, kerajaan seharusnya mesti lebih serius, kreatif dan komited untuk membanteras semua perkara haram itu sama ada melalui kaedah dakwah dan tarbiah (pendidikan) mahupun dengan penguatkuasaan undang-undang. Kita seharusnya berfikir ke arah bagaimana hendak mengikut hukum yang telah ditetapkan Allah, bukan mencari jalan untuk menyimpang daripada hukum-Nya.
Saya dimaklumkan bahawa kedua-dua mantan Perdana Menteri sebelum ini telah menolak permohonan syarikat tersebut untuk mendapatkan lesen judi ini. Kelulusan lesen judi yang terbaru ini juga menimbulkan persoalan apakah keuntungan RM500 juta yang dikaut oleh individu tertentu dalam sekelip mata itu tidak mengalir kepada beberapa lagi orang tertentu?

Saya ingin bertanya apakah Yang Berhormat Dato’ selaku Menteri yang bertanggung jawab tentang hal-hal Agama telah turut sama merestui meluluskan lesen judi ini apabila Menteri Kewangan mengemukakan cadangan tersebut. Walaupun jika sekiranya atas sebab-sebab tertentu cadangan tersebut tidak dibincangkan dalam msuarata kabinet apakah Dato’ sebagai orang yang jauh lebih arif dari saya tentang hukum ALLAH tidak menyatakan pendirian dan menentangnya habis-habisan?

Marilah sama-sama kita merenung kembali firman Allah yang telah kita dengar sejak dahulu lagi tentang pengharaman judi ini.

Ertinya : Mereka bertanya kepada mu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-Baqarah : 219)

Dan juga larangan selanjutnya:

Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)

Yang Berhormat Dato’

Saya amat terpegun apabila ada teriakan dari organisasi-organisasi bukan Islam termasuk parti DAP yang telah beberapa kali meminta segala bentuk perjudian dihapuskan sama sekali di negara di mana Islam adalah agama rasminya. Amatlah memalukan sekali, apabila pada masa yang sama kerajaan yang mana UMNO menjadi tulang belakangnya terus menghalalkan aktiviti yang jelas haram di sisi Islam ini. Bukankah ini nanti akan membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO telah melanggar perlembagaan UMNO itu sendiri?

Sehubungan itu, saya menjemput ahli-ahli UMNO menyemak buku perlembagaan parti. Di manakah letaknya perjuangan UMNO dalam hal menegakkan Agama Suci ini? Hati kecil setiap manusia yang cintakan kebenaran dan kedamaian sama ada Islam atau pun bukan Islam sudah mengakui akan keburukan judi menerusi pengalaman hidup dan juga pemikiran yang waras (oleh orang Islam dan bukan Islam). Bukankah Islam itu sesuai dengan fitrah manusia? Sepatutnya kita ‘ berhijrah’ dari yang buruk kepada yang baik, bukan sebaliknya.

Saya ingin mengingatkan bahawa satu kemungkaran boleh menjadi ‘mata rantai’ kepada kemungkaran yang lain. Justeru, judi atas apa jua jenis dan bentuknya akan menyebabkan berlakunya beberapa keburukan yang berikut:

i) KUCAR – KACIRNYA INSTITUSI RUMAH TANGGA

Akan berlaku krisis antara suami isteri akibat habisnya wang belanja keperluan rumah untuk berjudi. Anak-anak akan menderita akibat krisis rumah tangga.

ii) BELUNGGU HUTANG

Orang yang berjudi tidak pernah senang. Ramai yang terpaksa berhutang kerana memburu kemenangan yang tidak pernah datang. Tidak mustahil ada yang akan kembali mencari Along untuk berhutang.

iii) PERJUDIAN SECARA ONLINE OLEH KANAK-KANAK

Ia sudah pasti akan mendorong kanak-kanak di bawah umur turut terlibat tanpa dapat diawasi oleh ibu-bapa mereka, apatah lagi kalau ibu-bapa mereka sendiri terlibat. Duit ibu bapa akan di curi jika mereka tidak mencuri di luar. Dalam erti kata yang lain ianya akhirnya akan mendorong kanak-kanak menjadi pencuri dan lain-lain kegiatan tidak bermoral.

iv) KUALITI DAN PRODUKTIVITI MENURUN

Budaya berjudi akan menyebabkan kelembapan dalam kerja dan usaha kita dalam usaha menjadi negara maju dengan acuan tersendiri. Kalau dulu ada yang leka menonton bola sepak secara keterlaluan, kini keadaan bertambah buruk apabila ketagihan judi bola sepak pula menular. Dan ada yang mula terbiasa dengan cara mencari keuntungan secara singkat dan cepat tanpa usaha dan mempertingkatkan kemahiran diri.

Yang untung dalam hal perjudian ini amat kecil dan oleh segelintir individu yang kecil pula. Yang rugi dan menderita akhirnya kelak terlalu ramai di samping kita mendapat kemurkaan Allah.

Itulah beberapa hikmah mengapa judi diharamkan Allah swt. Ia adalah hukum yang telah disepakati secara Ijmak' oleh para ulama. Malangnya tidak ramai tokoh agama seperti Mufti Perak yang berani menegur secara terbuka tindakan Kerajaan ini. Umat Islam tertanya tanya mengapakah Majlis Fatwa Kebangsaan membisu seribu bahasa dalam perkara yang amat penting ini sepertimana mereka membisu dalam isu Kerajaan membayar RM77 juta kepada Apco, sebuah syarikat Zionis Yahudi yang mana seluruh dunia tahu mereka membunuh dan berlaku kejam terhadap umat Islam di bumi Palestin dan merampas Tanah Suci Baitul Muqaddis.

Lihat saja pasport antarabangsa kita hanya sebuah negara saja yang kita rakyat Malaysia tidak boleh lawati ia itu Israel. Apakah mereka juga berfungsi seperti media cetak dan elektronik aliran perdana yang seolah-olah telah mendapat arahan tidak resmi untuk menenggelamkan isu ini?

Justeru, dengan rendah hati saya merayu agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama memainkan peranan agar lesen perjudian ini dibatalkan serta merta. Saya sering mengingatkan diri saya sendiri pangkat, kedudukan dan kemewahan di dunia ini adalah sementara sahaja. Kita semua akan menghadapi-Nya jua suatu masa nanti. Semua pihak akan dipertanggungjawabkan di mahkamah Allah Khadi Rabbul Jalill.

Saya yakin kita sama-sama akan berpegang kepada peringatan Allah melalui firman-Nya:

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah mu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung” an-Nahl 16:116.

Akhir sekali, saya memohon agar Yang Berhormat Dato’ memikirkan juga apakah akibat yang akan berlaku jika kemungkaran judi ini diteruskan oleh pihak yang berkuasa. Saya, Dato’ dan kita semua tidak mahu azab Allah turut terkena ke atas Malaysia yang tercinta ini kerana kealpaan dan kederhakaan kita. Sabda Nabi SAW,

“Allah tidak menghukum suatu bangsa kerana kesalahan beberapa orang di antara mereka, sampai mereka melihat kemungkaran (dilakukan) di antara mereka, sedangkan mereka mampu menghentikannya, tetapi mereka tidak menghentikannya. Apabila mereka berbuat seperti itu (tidak menghentikan kemungkaran), maka Allah akan mengazab (orang yang melakukan kemungkaran) secara khusus dan (bangsa itu) secara keseluruhan” [HR Ahmad].

Saya akan menyokong siapa sahaja sama ada individu mahu pun mana- mana organisasi yang menentang segala bentuk perjudian di negara tercinta ini. Saya berdoa agar seluruh rakyat Islam bangkit bersama menentang sekeras-kerasnya perjudian ini kerana cintakan bangsa, negara dan agama adalah teras kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.

Untuk yang Berhormat Dato’ saya ucapkan terima kasih atas kesudian membaca seterusnya meneliti isi surat ini. Semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah buat kita untuk menjalankan amanah-Nya sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Amin.

Sekian. Wassalam.

Yang benar,




TAMRIN TUN GHAFAR

Sk : Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong
Kebawah DYMM Raja Raja Melayu

YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO

YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO

Ahli Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Ahli Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan

Mufti Mufti

Media Cetak dan Elektronik

LAGENDA BOLASEPAK PERAK & SELANGOR: BOLASEPAK ASAS PENYATUAN

Kenyataan Media (27 Mei 2010)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) dan juga seluruh peminat sukan bola sepak negeri ini bertuah berpeluang menyaksikan perlawanan nostalgia yang membariskan pemain bolasepak lagenda dari Selangor dan Perak sempena Program Sorakan 1Malaysia 1Dunia pada 28 hingga 30 Mei ini anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Majalah Stadium dan khasnya kerajaan negeri.

DPPN Pk menyokong usaha murni ini yang sekian lama di tunggu oleh rakyat Negeri Perak khasnya. Cumanya DPPN Pk terkilan sedikit dengan cara penganjuran kali ini yang mengenepikan Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA). DPPN Pk merasakan sukan bola sepak ini sebagai penyatuan tetapi tidak berlaku khasnya yang melibatkan kerajaan negeri dengan PAFA.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang juga Ahli Majlis PAFA sudah tentu menjadikan usaha penganjuran ini lebih bermotifkan politik. Sepatutnya sukan bola sepak ini tidak dijadikan medan politik tetapi nampaknya ia terus dipolitikkan oleh pihak-pihak yang tidak melihat kepentingan sukan itu sendiri.

DPPN Pk berpendapat agar sukan bola sepak ini tidak dipolitikkan dan harus ada usaha penyatuan. Dan berharap usaha penganjuran ini bukan sebagai medan perpecahan demi sukan yang kita cintai ini.

SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Majlis tempatan S'gor haramkan pertaruhan sukan

Beberapa majlis tempatan di Selangor akan bertindak membekukan lesen premis pertaruhan yang menawarkan judi sukan.

Bermula dengan Majlis Badaraya Petaling Jaya pada Selasa lalu, gerakan berkenaan menjalar ke Selayang, semalam dan hari ini Ampang Jaya pula mengambil tindakan yang sama.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat majlis berkenaan, ahli majlis, Latheefa Koya berkata mereka bertindak mengikut Seksyen 101, Akta Kerajaan Tempatan yang meliputi isu berhubung kesihatan, keselamatan dan keselesaan.

Harga petrol mungkin dinaikkan 15 sen tahun ini

13 Jamadil Akhir 1431 H

Harga petrol mungkin dinaikkan buat permulaannya 15 sen bagi setiap liter daripada harga sekarang pada tahun ini.
Harga petrol RON 95 ketika ini dijual pada harga 1.80 ringgit bagi setiap liter.

Harga baru itu berikutan cadangan sebuah badan yang bertanggungjawab menasihatkan kerajaan berhubung cara-cara mengurangkan subsidi, iaitu Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

Cadangan itu dibuat pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi dalam usaha awal kerajaan untuk mengurang defisit dalam belanjawan negara yang kini pada tahap tertinggi bagi tempoh 20 tahun.

Mengikut cadangan yang dikemukakan kepada lembaga penasihat itu, harga petrol akan dinaikkan tahun ini dan diikuti dengan dua lagi kenaikkan pada kadar 20 sen setiap liter setiap kenaikkan pada 2011 dan dua lagi kenaikan, juga pada kadar 20 sen bagi setiap kenaikkan pada 2012.

Sepanjang 2013-2015, kenaikan harga minyak dijangka bergerak perlahan dan pada penghujung 2015, harga RON95 diandaikan berada pada 2.60 ringgit bagi setiap liter.

Bagaimanapun rancangan kenaikkan yang dicadangkan itu masih belum diluluskan oleh kerajaan.

Ramalan itu adalah berdasarkan harga minyak mentah pada harga $73.06 bagi setiap tong pada 2011 dan $79.41-$94.52 bagi 2013-2015.
Cadangan pengurangan subsidi

Kerajaan juga dijangka akan menaikkan harga petrol, gas dan tol lebuhraya di bawah rancangan pengurangan subsidi selama lima tahun yang dibuat oleh Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), sebuah badan yang menasihatkan kerajan mengenai cara-cara mengurangkan subsidi.

Bagaimanapun belum ada keputusan yang dibuat dan kerajaan dijangka tidak akan bertindak dalam jangkamasa terdekat ini.
Pengurangan dan pemotongan subsidi itu juga membabitkan 12 perkara:

Petrol

Harga petrol dinaikan 15 sen pada Jun-Dis 2010, diikuti kenaikan 10 sen setiap enam bulan antara Jan 2011-Dis 2012 dan jumlah kenaikkan yang kecil bagi tahun-tahun berikutnya.

Harga petrol pada


2011 - RM2.16
2012 - RM2.20
2013 - RM2.34
2014 - RM2.52
2015 - RM2.60

Tol

Perbincangan semula dengan lebihraya pada 2010 dan dengan LDP pada 2013.

Cadangan - semua perjanjian konsesi akan diteruskan tanpa pemberian subsidi, yang bakal menyebabkan kenaikkan harga antara 10-67 peratus pada 2010.

Gas

Harga gas dinaikkan pada kadar tetap RM3/MMBTU bagi setiap enam bulan daripada harga sekarang bagi sektor tenaga dan sektor bukan tenaga.

Kenaikkan harga gas pada RM3/MMBTU setiap enam bulan serentak dengan kenaikkan tarif elektrik 1.6 sen/kWh bagi setiap enam bulan.

Malaysiakini/-

Tanah KTMB: Kenapa tidak serah royalti pada Kelantan

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 26 Mei: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu Kerajaan Pusat menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan negeri sejak tahun lalu secepat mungkin.

Menurutnya, sekiranya Kerajaan Malaysia menyerahkan semula tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura kepada negara jiran itu, kenapa kerajaan tidak melakukan perkara yang sama terhadap kerajaan Kelantan.

Beliau berkata demikian sebentar tadi ketika mengulas isu penyerahan semula tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, Singapura kepada kerajaan negara itu.

Tuan Guru berkata, sekiranya Malaysia boleh bertolak ansur dengan negara lain, kenapa tidak boleh berbuat demikian dengan negeri yang berada di dalam negara ini sendiri.

“Jadi saya minta sangatlah jasa baik Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menyerahkan royalti petroleum kepada kerajaan negeri.

“Kiranya kerajaan boleh menganggap penyerahan KTMB kepada Singapura sesuatu yang wajar serta tidak merugikan, begitu juga penyerahan wang royalti pada Kelantan juga amat wajar serta tidak merugikan,” ujarnya.

Harakahdaily

Najib ulangi serah maruah kepada Singapura

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Tindakan menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, Singapura tidak memeranjatkan kerana pulau Singapura sendiri pun telah diberikan begitu sahaja oleh pemimpin Umno sebelum ini kepada Lee Kuan Yew.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan penyerahan stesen KTMB Tanjung Pagar itu sebagai ulangan penyerahan Singapura pada 9 Ogos 1965.

"Pada 6 Februari 1819, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura untuk dijadikan tanah jajahan British melalui perjanjian dengan Stamford Raffles.

"Pada 9 Ogos 1965 pula, Perdana Menteri dan Presiden Umno waktu itu menyerah kalah kepada tipu muslihat politik Kuan Yew lalu menyerahkan Singapura begitu sahaja kepada pemimpin Singapura.

"Dan, Isnin lalu, pada 24 Mei 2010, Perdana Menteri dan Presiden Umno hari ini, (Datuk Seri) Najib melengkapkan penyerahan itu sambil mempersalahkan Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) yang ditandatangani pada 1990 sebagai alasan untuk melengkapkan penyerahan maruah kepada Singapura itu," katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mendakwa, perjanjian antara Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong itu adalah jauh lebih baik berbanding pengunduran operasi KTMB secara berperingkat mengikut POA.

Mahfuz mempersoalkan, mengapa pengikut-pengikut Najib termasuk Abdul Ghani kelihatan mempersalah dan menggunakan alasan POA untuk mewajarkan perjanjian Isnin lalu.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, POA yang digariskan Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan ketika itu, sebenarnya tidak mendapat persetujuan kabinet.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu sependapat dengan pandangan pelbagai pihak supaya Najib membentangkan laporan khas mengenai perkara itu dalam sesi Parlimen akan datang.

Beliau kecewa dengan sikap Najib yang bertindak sama seperti Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menyerahkan wilayah Malaysia di Blok L dan M kepada Singapura.

"Najib sama seperti Abdullah, berlagak pandai tetapi hakikatnya tidak tahu menggunakan kuasa yang ada pada seorang Perdana Menteri untuk mempertahankan maruah dan nama baik negara," kata Mahfuz.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku hari ini sama seperti apa yang berlaku pada tahun 1965 lalu apabila pemimpin Umno dengan mudah menyerahkan Singapura akibat kehilangan akal untuk menghadapi sepak terajang Kuan Yew untuk mengukuh dan memperluaskan kuasanya.

"Hari ini pun, kerana hendak berlagak lebih pandai dari pemimpin sebelum ini yang menangguhkan perlaksanaan POA itu, Najib mengulangi perbuatan menyerahkan maruah negara kepada Singapura," katanya.

Harakahdaily/-

Masalah perumahan kaum India dikaji

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 26 Mei: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masalah perumahan kaum India akan dibincangkan melalui jawatankuasa tertentu yang akan diselesaikan secara baik.

Menyentuh masalah kuota pemilikan kekal perumahan oleh kaum itu, beliau berkata ia hendaklah mengikut saluran tertentu dan pihak berkenaan boleh menghubungi Exco yang bertanggungjawab untuk diperhalusi.

Beliau menyatakan demikian pada perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India Kelantan yang mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya, hari ini.

Ketua NGO itu, Vijaykumar a/l Perumal ketika ditemui berkata, langkah kerajaan begitu prihatin yang melibatkan kaum minoriti itu amat dihargai.

“Saya amat berterima kasih kepada Tuan Guru yang sudi mendengar secara telus pelbagai masalah yang kami luahkan dan boleh dikatakan pada setiap perjumpaan yang diadakan, Tuan Guru sentiasa tersenyum dan membawa masalah ini ke peringkat mesyuarat kerajaan negeri,” ujar beliau.

Sehingga kini, katanya banyak perkara yang dapat diselesaikan dan pada hari ini mereka mengajukan masalah perumahan dan peluang pekerjaan dengan kerajaan negeri.

Katnya, pihaknya juga ada membangkitkan isu pemilikan rumah kekal seperti mana kuota pemilikan rumah yang diberikan kepada bukan bumiputera sebanyak 30 peratus.

“Kami inginkan sekiranya ada peruntukan itu, kuota tersebut hendaklah dibahagikan pula pecahan mengikut kaum lain, contohnya dalam 30 peratus tersebut, kaum India hendaklah mendapatkan sekurang-kurangnya 10 peratus,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Judi bola: Pengarah Jais diminta nyata pendirian

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 26 Mei: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi diminta menyatakan pendirian peribadi dalam isu kerajaan Pusat meluluskan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar), Khusrin sepatutnya tidak mengambil sikap berdiam diri kerana hukum berjudi jelas haram di sisi Islam.

Sehubungan itu, Khalid mencabar Khusrin mengambil sikap lantang dengan mengkritik pemimpin Umno dalam isu itu sebagaimana yang pernah dilakukan dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan masyarakat bukan Islam suatu ketika dahulu.

“Dalam isu judi, hukumnya haram mutlak, kenapa Khusrin tidak naikkan sepanduk sebagaimana beliau menentang pendirian PAS, Pakatan Rakyat dulu,” jelas beliau di pejabatnya, petang ini.

Disebabkan Khusrin masih tidak menyatakan penderian sejak isu judi tersebut meletus, Khalid turut mempersoal kredibilitinya sebagai penjawat awam di Jais sendiri.

“Adakah diam Khusrin ini disebabkan kesetiaannya pada Umno serta masih terkenang jawatannya setiausaha politik bagi Muhammad Muhd Taib (bekas Menteri Besar) suatu ketika dulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa Khusrin sebagai dalang Umno dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Ini kerana, dakwaannya, Khusrin bertanggungjawab menghalang para pendakwah berkhutbah di masjid.

Namun, selepas beliau sendiri mendedahkan gambar kain rentang Majlis Bacaan Yaasin Memenangkan Calon BN, Khusrin dilihat mengambil sikap berpeluk tubuh, seakan tidak mahu mempertikai Umno BN yang cuba membawa politik kepartian ke masjid.

Selain mempertikai Khusrin, Khalid turut mendesak Jais, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Mufti Selangor, Datuk Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid supaya menyuarakan protes terhadap pemimpin Umno negeri dan Pusat.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, pihaknya turut mengutus surat memohon sembah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya Tuanku Sultan perkenan untuk mempengaruhi Majlis Raja-Raja Malaysia mendesak kerajaan membatalkan lesen judi bola secepat mungkin.

Harakahdaily/-

2,000 perwakilan PKR berkongres 29 dan 30 Mei

13 Jamadil Akhir 1431 H

KOTA BHARU, 26 Mei: Kira-kira 2,000 perwakilan dari 206 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak akan berhimpun di Kelantan Trade Centre (KTC) 29 dan 30 Mei ini bagi menyertai Kongres Tahunan PKR.

Persiapan rapi telah dibuat di sini oleh panitia kongres yang dipimpin oleh Setiausaha Agungnya, Saifudin Nasution Ismail.

Sebelum kongres penuh bermula, kongres Angkatan Muda dan Wanita PKR akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali pada 27 Mei mulai jam 8.30 malam di Dewan Besar KTC.

Sidang penuh kedua-dua sayap ini pula akan diadakan pada hari Jumaat ini. AMK akan berlangsung di Perdana Resort manakala Wanita di KTC.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dijadualkan memberikan ucapan dasar kongres ini pada jam 9 pagi 29 Mei manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan amanatnya sebelum mereka berpisah pada petang 30 Mei.

Sehingga kini, Datuk Mustafa Ali akan mewakili PAS manakala Lim Kit Siang akan mewakili DAP di majlis perasminan.

Para diplomat dari kedutaan Amerika, United Kingdom, Australia dan Kesatuan Eropah telah mengesahkan kehadiran mereka ke kongres ini di samping para NGO dari dalam dan luar negara.

"Di samping kongres, kami aturkan juga ceramah perdana sempenanya. Pada 28 Mei kita akan adakan di Tanah Merah di mana Tok Guru Nik Aziz akan berceramah dengan Anwar dan Lim Kit Siang manakala pada 28 Mei Tok Guru Nik Aziz akan berceramah dengan Anwar dan Lim Guan Eng di Padang Perdana," beritahu Saifudin Nasution Ismail kepada Harakahdaily.

Saifudin meramalkan, antara isu utama yang bakal menghiasi kongres kali ini adalah isu lesen judi
bola sepak piala dunia yang diberikan Menteri Kewangan kepada Vincent Tan.

Selain itu, isu penyerahan Blok L dan M kepada Brunei juga bakal dibangkitkan dalam ucapan dasar Presiden di samping isu-isu dalaman PKR dan usaha untuk memperkasakan Pakatan.

Beliau juga memberitahu, tumpuan ucapan dasar juga akan diberikan kepada pemerkasaan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Keluar PKR

Sementara itu, Saifudin juga mengesahkan, pihaknya mengikuti dengan rapat usaha bekas pemimpin PKR dan Umno yang mahu membeli para pemimpin PKR agar keluar menjelang kongres kali ini.

"Memang menjadi modus operandi mereka akan membuat pengisytiharan menjelang pilihan raya kecil atau kongres parti. Jadi kami yakin mereka akan buat juga untuk kali ini di samping menggoncang Kedah," kata Saifudin kepada Harakahdaily.

Di Perak, AMK Perak akan membuat sidang akhbar khas esok bagi mendedahkan kospirasi untuk mengeluarkan ahli PKR. Tajuk sidang media ini adalah "Pendedahan konspirasi terhadap AMK dan sogokan wang untuk keluar parti".

Menurut sumber, bekas Exco kerajaan negeri Perak yang juga Adun Behrang yang keluar dari PKR, Jamaludin Md Radzi adalah antara pemuka dalam menjalankan kerja ini.

Beliau didakwa mengadakan pertemuan dengan para pemimpin PKR dan AMK peringkat cabang untuk memujuk mereka meninggalkan PKR.

Namun, pegawai SPRM dikatakan mengawasi pergerakan mereka ini.

Saifudin yakin, tidak ada lagi nama-nama besar PKR akan keluar dari PKR kali ini.

Beliau juga yakin, usaha ini tidak akan berjaya kerana perjuangan PKR sekarang bukan berdasarkan beberapa kerat individu tetapi berdasarkan kehendak dan airmata rakyat.

Harakahdaily/-

GMJ seru seluruh rakyat sertai bantahan judi

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Sekretariat Gerakan Membantah Judi (GMJ) mendesak Kerajaan Malaysia segera menarik balik pemberian lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan bermula Jun ini.

GMJ yang berpusat di Kedah disertai oleh sayap pemuda ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP), Pemuda Gerakan serta 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Mereka membuat gesaan tersebut dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat wakil mereka malam tadi.

GMJ menegaskan, mereka akan menggunakan apa sahaja cara dan ruang yang ada untuk membantah keputusan yang disifatkan sebagai 'tidak masuk akal' itu.

"Kami juga menyeru seluruh rakyat negeri Kedah, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik untuk bangkit membantah keputusan ini," kata kenyataan itu.

GMJ kesal dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein bahawa lesen judi itu diluluskan bagi mengawal aktiviti perjudian haram dan dengan pengawalan kerajaan, aktiviti itu akan dapat dilakukan dengan lebih teratur.

Sebaliknya mereka menegaskan bahawa kewujudan judi sukan ini akan menambahkan lagi kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat serta meruntuhkan tamadun manusia walaupun mendatangkan perolehan lumayan kepada negara dalam bentuk kewangan.

Dalam kenyataan itu GMJ juga memberitahu mereka bukan mahu menghalang kemajuan sukan negara bahkan akan terus menyokongnya namun industri sukan negara akan hancur apabila ia terlibat dengan pertaruhan.

Selain itu, mereka berpandangan kerajaan wajib mendapatkan pandangan awam yang menentang kelulusan lesen baru di samping kewujudan lesen-lesen yang ada yang sudah terlalu banyak serta mahu kerajaan bertindak untuk mendapatkan sumber yang baik untuk membangunkan negara ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Nasir Zakaria ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengulangi seruan kepada seluruh rakyat untuk menyertai Himpunan Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.

Beliau juga memberitahu, Pemuda Gerakan yang menyokong penuh bantahan itu sedang menunggu kelulusan daripada Gerakan Pusat untuk sama-sama menyertai himpunan itu.

"Pemuda Gerakan memang menyatakan kenyataan bersama tapi untuk himpunan mereka tidak boleh sertai sehingga mendapat kelulusan daripada Gerakan Pusat.

"Mereka bersama membantah tapi polisi parti itu kalau dapat permit baru boleh turut serta," katanya yang juga ahli parlimen Padang Terap.

Harakahdaily/-

Umno perosak demokrasi

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Mohd Rashidi Hasan

Tidak dinafikan, Malaysia adalah salah sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi dengan memisahkan tiga elemen penting dalam perundangan iaitu eksekutif, legislatif dan judiciari.

Gabungan ketiga-tiga elemen ini diperlengkapkan dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, sebagai mengimbangi kuasa eksekutif.

Dengan penyusunan sistem perundangan sedemikian rupa, Malaysia seolah-olahnya menjadi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tulen.

Dalam sistem perundangan Malaysia, diwujudkan pilihan raya untuk memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih wakil parti-parti politik yang bertanding untuk membentuk sesebuah kerajaan.

Kerajaan-kerajaan yang dipilih sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri, berperanan sebagai eksekutif. Kuasa eksekutif diimbangi dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Raja, kuasa legistalif (Parlimen atau Dun) dan kuasa pengawal undang-undang (judiciari).

Secara teorinya, jika diteliti dari sudut sistem, Malaysia sudah mempunyai sistem perundangan yang lengkap dan berimbang.

Namun dari sudut praktikalnya, wujud banyak kesangsian. Kuasa politik yang dinikmati Umno-Barisan Nasional sejak sebelum merdeka, tidak memungkinkan sistem demokrasi di negara berjalan dengan lancar.

Kesangsian terhadap ketelusan sistem perundangan negara, semakin ketara selepas Pakatan Rakyat berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen dan memenangi lima buah negeri iaitu di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Umno yang menjadi peneraju utama BN seperti 'orang kehilangan akal' apabila kuasa mereka di Kerajaan Persekutuan dan kuasa mereka di Negeri terlucut.

Umno-BN tidak boleh duduk diam. Mereka tidak boleh menerima kekalahan dan mereka tidak percaya mereka boleh dikalahkan.

Maka akibat daripada ketamakan kuasa dan kegelojohan pemimpinnya. Umno-BN berusaha menggugat dan menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Umno-BN menggunakan taktik yang amat kotor dan jijik. Mereka memerangkap wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat yang lalai dan berkepentingan.

Mereka menaburkan wang jutaan ringgit untuk membeli wakil rakyat. Mereka menggunakan kuasa media, kuasa polis untuk menyekat demokrasi, berpakat dengan hakim untuk membuat keputusan yang memihak dan memanipulasi golongan istana.

Hasil pencabulan demokrasi yang menjijikkan, BN berjaya merampas Perak. Hasil ketamakan pemimpin mereka, kini mereka cuba untuk merampas Kedah pula.

Mereka cuba untuk menggugat Selangor dan Pulau Pinang, tetapi gagal kerana Pakatan Rakyat mempunyai cukup kerusi dengan wakil-wakil rakyat yang sangat setia dan komited.

Jika Umno-BN 'anak jantan' yang menghormati demokrasi, mereka sepatutnya menunggu Pilihan Raya Umum ke-13 untuk cuba mendapatkan mandat semula rakyat.

Malangnya, Umno-BN tidak berani berhadapan dengan Pakatan Rakyat dalam kancah pilihan raya secara demokratik. Mereka ibarat 'pondan siam' yang hanya berani 'berkokok' dalam media massa yang mereka kuasai.

Mereka mahu berkuasa semula dengan memasuki 'pintu belakang', mereka tidak mempedulikan kesahihan dari sudut perundangan atau agama.

Mereka tidak sedar mereka sebenarnya sudah mencetuskan kemarahan dan kebencian rakyat.

Malah sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Umno-BN untuk merampas kuasa secara haram akan menerima balasan daripada rakyat.

Hanya kuasa rakyat sahaja yang mampu menyelamatkan negara. Selamatkan Malaysia!

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Tubuh suruhanjaya siasat 'pengkhianatan'

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Satu suruhanjaya diraja perlu dibentuk bagi menyiasat beberapa tindak-tanduk kerajaan yang didakwa sebagai pengkhianatan kepada negara.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata pengkhianatan kerajaan itu termasuk soal pemberian lesen judi bola sepak dan penjualan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad di Singapura.

Khalid juga mahu supaya siasatan ke atas penyerahan dua blok petroleum di Sarawak kepada Brunei.

"Kena tengok siapa yang terlibat, apa hujah dan alasan mereka, kenapa mereka setuju dengan keputusan tersebut.

"Sedangkan mereka tahu (keputusan) ini akan merugikan negara. Mereka perlu didakwa (atas tuduhan) mengkhianati negara," katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau memberi alasan, banyak kesangsian boleh dilihat dalam ketiga-tiga kes tersebut.

"Kita khuatir ada (urusan) bawah meja, ada (rundingan) sebalik tirai yang sebabkan ianya dipersetujui.

"(Kelihatan) seolah-olah ada kepentingan untuk pembuat keputusan itu sendiri.

"Kita perlu siasatan bebas dijalankan, mungkin ke peringkat suruhanjaya diraja," katanya lagi.

Beliau juga mempersoalkan sama ada keputusan berkenaan itu dibuat oleh kerajaan atas nasihat daripada firma rundingan perhubungan awam luar negara yang dilantik kerajaan, Apco.

"Adakah ini yang mampu dilakukan hasil daripada nasihat Apco?" soalnya.

Tiada perbincangan

Khalid juga berkata tidak ada satu pun keputusan itu yang dibincangkan oleh kerajaan bersama dengan ahli parlimen.

Menyentuh soal penjualan tanah KTMB pula, beliau berkata tidak ada apa-apa penerangan diberikan oleh kerajaan sebelum urusniaga itu dipersetujui kedua-dua pihak.

"Akhirnya ia sudah dipersetujui, sedangkan ia bukan harta kerajaan secara mutlak, ia merupakan harta rakyat dan negara.

"Bagaimana mereka boleh serahkan begitu mudah tanpa melibatkan satu perbincangan lebih menyeluruh berhubung apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka ingin capai.

"Walapun kita faham bahawa Khazanah (Nasional Bhd) diberi saham sebanyak 60 peratus, dan Temasek (Holdings) hanya 40 peratus dalam soal pembangunan tanah itu, akhirnya, manfaat lebih besar akan diperolehi oleh pihak Temasek (dan Singapura).

Jelasnya lagi, Singapura mendapat lebih keuntungan daripada urusniaga tersebut, berbanding Malaysia.

"Hakikat bahawa kita diberikan tanah ganti, sebahagian daripada tanah ganti itu adalah kawasan perjudian Singapura.

"Mungkin ini menunjukkan Malaysia ini dan kerajaan Umno dan BN begitu komited untuk penbangunan budaya judi," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Kejadian lanun di Asia berganda bulan lalu

13 Jamadil Akhir 1431 H

Sebanyak 16 kes kejadian lalun bersenjata terhadap kapal-kapal dilaporkan di Asia bulan lalu, jumlah kes itu berganda berbanding pada tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, tidak diketahui jika peningkatan itu disebabkan kesanggupan pemilik dan kapten kapal yang lebih bersedia untuk membuat laporan mengenai insiden itu yang membabitkan kapal mereka kepada pihak berkuasa.

Menurut Perjanjian Kerjasama Rantau mengenai Membanteras Lanun dan Rompakan Bersenjata terhadap Kapal-Kapal di Pusat Perkongsian Maklumat (ReCAAP ISC) di Singapura hari ini, menyatakan sebab-sebab lain kemungkinan ekoran pengembangan di kawasan berkenaan dan kejayaan rompakan, yang mendorong perompak cuba melakukan jenayah lanun.

Bilangan insiden itu meningkat pada bulan lepas di perairan Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Laut China Selatan, kata ReCAAP dalam kenyataan di sini.

ReCAAP menyatakan jumlah insiden meningkat menunjukkan lanun mempunyai sedikit perancangan yang dilihat lebih teratur dan mungkin beroperasi secara sindiket di Laut China Selatan.

Malaysiakini/-

Bala: Tinggalkan MIC sebelum karam

13 Jamadil Akhir 1431 H

Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam menyeru masyarakat India, khususnya ahli MIC supaya meninggalkan parti itu dan menyertai mereka.

Beliau yang dpetik Harakah Daily berkata MIC sedang retak menanti belah akibat krisis kepimpinan dan dilihat sudah tiada masa depan, apatah lagi dengan penguasaan presidennya Datuk Seri S Samy Vellu yang dilihat sudah tidak mampu meneraju MIC.

“Kalau Samy jadi Presiden 10 tahun lagi pun, apakah keuntungan untuk masyarakat India,” soal beliau.

Sambil mempelawa ahli-ahli MIC menyertai PAS, katanya parti Islam itu mengormati semua kaum dan ia terbukti dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang kini sudah dinaik taraf kepada DHPP.

“Jika ada perselisihan, maka kami diminta merujuk terus pada Presiden dan pemimpin PAS akan laksana keadilan seperti yang Islam ajar,” jelas beliau lagi.

Katanya, parti itu tidak pernah meminggirkan hak mana-mana kaum malah disuruh menghormati serta membela semua kaum yang tertindas, seperti kaum minoriti India dan Cina.

Dalam perkembangan yang lain, beliau turut menempelak kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee beberapa hari lalu, kononnya PAS terpaksa mengemis sokongan masyarakat bukan Islam dengan menubuhkan DHPP.

“Itu dia (Syed Ali) yang kata, kami sebenarnya berminat dengan perjuangan keadilan yang diajar dalam Islam, diperjuangkan oleh PAS selama ini.”

“Di kalangan kami yang berbangsa India kebanyakannya tidak berminat dengan MIC, Umno yang zalim pada kaum-kaum bukan Melayu pun kami tak minat,” tegas beliau.

Malaysiakini/-

Pemuda PAS Perlis dahului edar risalah di premis judi

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Puteri Aida Haryani

Dewan Pemuda PAS (DPP) Perlis akan mula menempatkan anggotanya di premis judi mulai esok manakala negeri-negeri lain akan berbuat demikian secepat mungkin untuk mengedarkan risalah membantah judi bola sepak kepada para pengunjungnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ketua DPP Perlis Yaacob Abu berkata pihaknya telah menerima arahan tersebut dari DPP pusat dan akan dilaksanakan mulai esok.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan sepenuhnya masih diberikan kepada demontrasi yang akan diadakan Jumaat ini.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh DPP pusat semalam, dan ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, mereka akan ditugaskan mengedar risalah itu sehinggalah lesen judi bola dibatalkan.

Anggota DPP negeri diminta melakukan tugas itu secara bergilir-gilir mengikut sifnya.

Pemuda PAS juga, menjemput semua insan yang prihatin yang anti-judi, termasuk bukan Islam, untuk membantu mengedarkan risalah tersebut.

Sementara itu, ketua DPP Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata mesyuarat mengenai perkara itu akan diadakan petang ini.

Buat masa ini, katanya, keutamaan perlu diberikan kepada rancangan mengadakan demonstrasi membantah judi bola Jumaat ini.

"Kemudian diikuti pula dengan arahan yang diutarakan oleh DPP pusat," tambahnya.

Di Pulau Pinang pula, pengedaran risalah tersebut kan dilaksanakan selepas selesai perhimpunan aman, kata ketua DPP negeri, Yusni Mat Piah.

Manakala ketua DPP Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata pihaknya masih menunggu maklumat mengenai usaha pengedaran risalah di premis judi itu.

Mesyuarat akan diadakan sebaik sahaja pihaknya menerima arahan rasmi mengenai arahan tersebut.

Di Pahang pula, DPP negeri Suhaimi Saad berkata beliau baru mendapat arahan tersebut dan akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkannya malam ini.

Pada hari ini, katanya, mereka akan menghantar memorandum bantahan kepada mufti negeri, mendesak pihak mufti dan istana mengambil kira bantahan rakyat berhubung judi bola tersebut.

Malaysiakini/-

MP Shah Alam cabar Ezam bertanding kerusinya

13 Jamadil Akhir 1431 H

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mencabar bekas ketua pemuda PKR yang berpaling tadah, Ezam Mohd Noor untuk bertanding di kerusinya pada pilihan raya umum akan datang.

Khalid pada sidang medianya hari ini mengambil kesempatan untuk mencabar Ezam, yang baru-baru ini dilantik sebagai senator Dewan Negara.


Cabaran ini disuarakan wakil PAS itu dalam keadaan Pakatan Rakyat yang pada ketika ini lebih terkedepan dalam mengeksploitasi isu semasa -- khususnya isu pemberian lesen judi sukan.

"Saya juga ucapkan tahniah kepada beliau (atas perlantikan senator).

"Mungkin ini imbuhan atas khidmat dia, yang ditawarkan oleh Umno dan BN.

"(Namun) sebagai seorang yang menganggap dirinya sebagai pejuang, semestinya tidak berpuas hati memasuki Dewan Negara melalui pintu belakang," kata Khalid dengan sinis.

Ezam pernah bertanding melawan calon Umno di kerusi Shah Alam pada 1999 semasa masih bersama PKR tetapi tewas.

Menurut Khalid, Ezam yang dulunya seorang penyokong kuat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini tunduk kepada tekanan Umno.

"Sekarang dia bawa hujah kata Anwar memang seorang yang lakukan perkara terkutuk itu," katanya dengan merujuk kepada dakwaan liwat yang dihadapi Anwar.

Khalid juga berkata, pusingan 180 darjah yang dilakukan Ezam juga menunjukkan kuasa tekanan Umno terhadap bekas pemimpin PKR itu.

Maka, Ezam perlu membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan rakyat, kata Khalid lagi.

"Sejauh mana pendirian rakyat terhadap beliau perlu dibuktikan," katanya dalam satu sidang media hari ini

"Sejauh mana penerimaan rakyat terhadap sikap dan pendirian beliau perlu dibuktikan dan saya sedar bahawa Umno Shah Alam ketandusan kepimpinan.

"Saya yakin dia akan beri tentangan yang lebih daripada pemimpin Umno sedia ada," tambahnya.

Malaysiakini/-

Platform baru bantah judi di Kedah

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Zulaikha Zulkifli

Kesemua sayap Pemuda Pakatan Rakyat dan beberapa NGO di negeri Kedah menggiatkan bantahan terhadap kelulusan lesen judi bola sepak, kini melalui platform baru dinamakan Gerakan Membantah Judi (GMJ).

Dalam pertemuan malam tadi, gerakan yang disertai 22 anggota, - termasuk SAYAP Pemuda sebuah parti komponen BN, GERAKAN - mahu kerajaan membatalkan kelulusan judi bola sepak secara serta-merta.

Angota lain gerakan itu antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Persatuan Ulama Kedah (PUM).

Ketua Pemuda PAS Ahmad Yahya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan pertemuan di kompleks PAS di Kota Sarang Semut malam tadi.

Dalam kenyataan GMJ, mereka melahirkan rasa kesal, sedih dan kecewa dengan penjelasan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Awang Hussein mengenai kewajaran tindakan kerajaan itu.

"Kami berpandangan dan menegaskan bahawa kewujudan judi sukan ini akan menambahkan lagi kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat serta meruntuhkan tamadun manusia walaupun mendatangkan perolehan lumayan kepada negara dalam bentuk kewangan.

"Kami tidak pernah menghalang kemajuan sukan negara kita bahkan kami akan terus menyokong pembangunan sukan. Namun industri sukan negara akan hancur apabila ia terlibat dengan pertaruhan.

"Pihak kerajaan wajib mendapat pandangan awam yang menentang kelulusan lesen baru di samping kewujudan lesen-lesen yang ada yang sudah terlalu banyak," kata kenyataan tersebut.

Awang Adek sebelum ini antaranya dilaporkan berkata kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen jenis itu bagi mengawal aktiviti perjudian haram.

Kenyataan itu juga menyebut, kerajaan sepatutmya memikirkan kepentingan rakyat daripada membuat keputusan yang "sangat condong kepada taukeh judi yang hanya memikirkan keuntungan".

Selain itu, GMJ berkata kerajaan patut mendapatkan sumber lain "yang baik" untuk membangunkan negara.

"Kami akan menggunakan apa sahaja cara untuk membantah keputusan yang tidak masuk akal ini.

"Kami juga menyeru seluruh rakyat negeri Kedah, tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa dan parti politik untuk bangkit membantah keputusan ini," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan secara rasmi dilaporkan memberi lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Tindakan itu dibantah pelbagai pihak, khususnya termasuk pakatan pembangkang dan NGO Melayu-Islam di Malaysia.

Malaysiakini/-

Geran pilihan raya: Gereja di Sibu berbalah

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Aidila Razak

Empat gereja Methodist yang menerima geran sejumlah RM1.75 juta daripada kerajaan pada pilihan raya kecil Sibu yang lalu tidak bercadang memulangkan wang berkenaan meskipun didesak berbuat demikian atas alasan integriti.

Antara desakan itu dibuat oleh sebuah blog oleh gereja Methodist yang juga ahli jawatankuasa disiplin PKR, Goh Keat Peng, yang berkata penerimaan wang ini memberika isyarat seolah-olah pihak gereja menerima ‘gejala politik wang’.

“Jika kita terima wang itu, kita menghantar isyarat kepada kerajaan sekarang ataupun pada masa depan, sama ada BN ataupun Pakatan, bahawa gereja.sanggup menerima wang dalam keadaan seperti itu,” tulisnya.

“Mesejnya, berikan kami tawaran, gereja terbuka berhubung soal dana. Kita menggalakan pemberian wang yang digunakan untuk memancing undi. Adakah terdapat tawaran yang lebih tinggi?...”

Pengerusi Gereja Methodist Sing Ang Tong, Robert Kwang bagaimanapun tidak bersetuju dan berkata Goh, yang merupakan bekas setiausaha ekesekutif Persekutuan Kristian Malaysia tidak mempunyai hak untuk mendesak wang itu dipulangkan.

Beliau sebaliknya menuduh Goh sebagai “bongkak’ dan membuat kenyataan “liar” dan berkata sebagai ahli PKR, pandangannya berat sebelah dan berkepentingan politik.

Kwang mempertahankan tindakan gereja menerima wang itu dengan alasan geran kerajaan itu ‘bersih’ kerana sumbernya berpunca daripada pembayar cukai.

Beliau berkata geran RM400,000, yang diberikan sehari sebelum pilihan raya adalah “peluang khas yang diberikan oleh Tuhan” dan untuk itu, gereja seharusnya berterima kasih.

“Siapa dia (Goh)? Apa salah kita menerima geran itu?” soal Kwang apabila dihubungi hari ini.

Nada yang sama disuarakan oleh Pastor Tai dari Gereja Methodist Hwai An Tong yang berkata geran RM350,000 yang diperolehi mereka tidak akan dipulangkan kerana mereka mematuhi prosedur sebelum diberikan geran berkenaan.

“Kita membuat permohonan beberapa minggu sebelum tempoh berkempen, membekalkan segala dokumen dan juga menghadiri beberapa awwancara bagi menyokong permohonan berkenaan,” katanya.

“Tetapi kerajaan memilih memberi geran semasa kempen pilihan raya kecil, kita tidak boleh berkata, ‘tak mau, beri kepada kita kemudian’.”

Katanya lagi, geran itu diberikan tanpa sebarang syarat.

Paderi Yong Hua Sing dari Gereja Methodist En Tao dan Paderi Clement Yap dari gereja Methodist Tien Tao yang masih-masing menerima RM500,000 juga tidak bercadang memulangkan wang berkenaan dan menafikan tindakan itu sebagai pembelian undi.

“Ia tidak kena-mengena dengan pembelian undi, kecuali pemberiannya semasa pilihan raya kecil. Ini bukan pertama kali kami menerima bantuan daripada kerajaan. Lagipun tidak salah menerimanya kerana dana itu adalah juga wang kita sebagai rakyat yang membayar cukai,” kata Yong.

Malaysiakini/-

Polis minta keluarga Aminul bersabar

13 Jamadil Akhir 1431 H

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar meminta keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis bulan lalu, supaya bersabar menunggu kes itu dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi.

"Saya sebenarnya tidak mahu mengulas berhubung kes ini, ia sudahpun jadi kes mahkamah, jadi ia tidak sepatutnya diperkatakan.

"Pihak keluarga sepatutnya sabar dan tunggu sehingga kes ini dibicarakan kerana segala hal yang berkaitan akan dibangkitkan dalam mahkamah dan ketika itu pihak peguam keluarga boleh soal," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pencegahan Jenayah Industri di Shah Alam hari ini.

Khalid (kiri) berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan keluarga Allahyarham membuat laporan polis di Bukit Aman hari ini berhubung dakwaan pihak polis enggan meminta maaf kerana menggelar Aminulrasyid penjenayah dan kononnya sebilah parang ditemui dalam kereta yang dipandunya.

Aminulrasyid, 15, meninggal dunia selepas terkena tembakan polis di Seksyen 11 di Shah Alam setelah enggan berhenti ketika dikejar polis pada 2 pagi 26 April lalu.

Seorang anggota polis, Kpl Jenain Subi, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 Mei dan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian remaja itu.

Mengulas mengenai kadar jenayah di Selangor, Khalid berkata sejak awal tahun sehingga hari ini, sebanyak 19,000 kes dicatatkan berbanding 21,000 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas, yang menunjukkan penurunan lebih 10 peratus.

"Ia perkembangan yang baik," katanya.

Malaysiakini/-

Kes Aminul: Polis diminta akui kesilapan, 'tak politik'

13 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Polis Selangor diminta segera mengakui kesilapan dan "tidak berpolitik" dalam menyelesaikan siasatan berhubung kematian remaja Aminul Rashid Hamzah.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, polis tidak sepatutnya turut mempolitikkan isu kerana ia melibatkan masa depan seorang lagi remaja - saksi utama kes berkenaan.

"Didapati polis negeri Selangor dan disokong ketua polis negara masih enggan tarik balik tuduhan bahawa Aminul Rashid itu seorang penjenayah.

"(Mereka juga) masih enggan akui bahawa pedang atau parang yang dijumpai dalam kereta kakak almarhum Aminul Rashid sebagai perkara yang diletakkan, (suatu) planted evidence," kata Khalid.

Katanya, polis Selangor sepatutnya mencontohi sikap ketua polis Negeri Sembilan yang bertindak meminta maaf kepad seorang mangsa tembakan polis di negeri itu.

"Saya tidak faham mengapa di Selangor mereka begitu berkeras mempertahankan perkara yang semua orang tahu tak betul.

"Tapi di Negeri Sembilan, hari itu juga ketua polis negeri meminta maaf kepada keluarga pihak yang ditembak dan mengakui bahawa mereka tersilap.

"Saya rasakan, lebih cepat pihak polis membetulkan keadaan dengan menyatakan keadaan dan kenyataan sebenar, akan melepaskan dirinya (saksi utama) daripada trauma yang sedang dia alami," katanya.

Khalid juga mempersoalkan sama ada sikap yang ditunjukkan oleh polis Selangor itu berkait dengan pentadbiran negeri itu yang dikuasai Pakatan Rakyat.

"Adakah ini ada hubungkait dengan Negeri Sembilan kerajaannya BN, Selangor ini kerajaan Pakatan Rakyat, maka pihak polis mempunyai dasar dan pendekatan berbeza?

"Janganlah polis pun nak berpolitik dalam perkara ini. Saya rasa semua menyedari bahawa Aminul Rashid bukan penjenayah dan Azam bukan penjenayah," katanya lagi.

Khalid berkata demikian bagi mengulas kehadiran saksi utama itu, Azamuddin Omar yang berada di kerusi penumpang pada kejadian itu ke Bukit Aman hari ini bagi membuat satu laporan polis.

Katanya lagi, Azamuddin akan menduduki peperiksaan PMR pada hujung tahun ini dan tidak seharusnya terus terbeban dengan trauma akibat kejadian tersebut.

Malaysiakini/-

Cheng Men Li Xue

13 Jamadil Akhir 1431 H


Berdiri di Depan Pintu Rumah Cheng Yi dalam Salji

Asal Usul:

Pada zaman Dinasti Song Utara, iaitu antara tahun 960 hingga tahun 1127, ada seorang muda lulusan peperiksaan kerajaan di provinsi Fujian yang bernama Yang Shi. Dia dikatakan amat berminat untuk membuat kajian dalam pelbagai ilmu pengetahuan, dan pernah menjadi pelajar bagi Cheng Hao, seorang sarjana yang sangat tersohor di bandar Luoyang. Selepas Cheng Hao meninggal dunia, dia diterima pula oleh Yang Yi, adik kandung Cheng Hao, untuk terus menuntut ilmu di akademi pengajian yang dibinanya di bandar Luoyang.

Pada masa itu, Yang Shi sudah berumur lebih 40 tahun, dan taraf pengetahuannya sudah sangat tinggi. Walaupun begitu, dia tetap sangat rendah hati. Pada suatu hari, dia bersama seorang temannya yang bernama You Zuo, ingin pergi menziarahi guru mereka, Cheng Yi untuk berbincang dengannya tentang beberapa persoalan yang mereka hadapi dalam pelajaran mereka. Bagaimanapun, ketika mereka sampai, Cheng Yi kebetulan sedang tidur dengan lena. Yang Shi menasihati You Zuo supaya jangan mengganggu beliau. Maka, kedua-duanya pun berdiri di luar pintu untuk menunggu beliau bangun. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba, salji mula turun dengan lebatnya. You Zuo yang tidak tahan lagi dengan kesejukan yang keterlaluan itu, beberapa kali ingin membangunkan Cheng Yi, tetapi telah dihalang oleh Yang Shi.

Menurut ceritanya, ketika melihat dua "orang salji" ini menunggunya dalam kesejukan di luar pintu, Cheng Yi yang baru bangun dari tidur itu, berasa sangat terharu. Maka, sejak itu, beliau menjadi lebih rajin dan berdedikasi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan yang dikuasainya kepada Yang Shi. Yang Shi juga tidak mengecewakan harapan gurunya itu. Dia akhirnya menjadi seorang ahli falsafah yang sangat berpengaruh dalam sejarah China.

Catatan Ketarangan:

Peribahasa "Cheng Men Li Xue", yang juga boleh disebut sebagai "Li Xue Cheng Men" ini bermaksud "berdiri di depan pintu rumah guru Cheng Yi dalam salji". Ia digunakan untuk memuji kesungguhan pelajar dalam menuntut ilmu pengetahuan serta kesantunnya dalam menghormati guru.

CRI