28 Mei 2010

Polis minta keluarga Aminul bersabar

13 Jamadil Akhir 1431 H

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar meminta keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis bulan lalu, supaya bersabar menunggu kes itu dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi.

"Saya sebenarnya tidak mahu mengulas berhubung kes ini, ia sudahpun jadi kes mahkamah, jadi ia tidak sepatutnya diperkatakan.

"Pihak keluarga sepatutnya sabar dan tunggu sehingga kes ini dibicarakan kerana segala hal yang berkaitan akan dibangkitkan dalam mahkamah dan ketika itu pihak peguam keluarga boleh soal," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pencegahan Jenayah Industri di Shah Alam hari ini.

Khalid (kiri) berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan keluarga Allahyarham membuat laporan polis di Bukit Aman hari ini berhubung dakwaan pihak polis enggan meminta maaf kerana menggelar Aminulrasyid penjenayah dan kononnya sebilah parang ditemui dalam kereta yang dipandunya.

Aminulrasyid, 15, meninggal dunia selepas terkena tembakan polis di Seksyen 11 di Shah Alam setelah enggan berhenti ketika dikejar polis pada 2 pagi 26 April lalu.

Seorang anggota polis, Kpl Jenain Subi, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 Mei dan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian remaja itu.

Mengulas mengenai kadar jenayah di Selangor, Khalid berkata sejak awal tahun sehingga hari ini, sebanyak 19,000 kes dicatatkan berbanding 21,000 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas, yang menunjukkan penurunan lebih 10 peratus.

"Ia perkembangan yang baik," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: