26 Oktober 2011

Ketua Jabatan Audit Boleh Didakwa Kerana Libatkan Kabinet - Aziz Bari

Ex Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan, tindakan melibatkan kabinet dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merupakan kesalahan dan bertentangan dengan semangat perlembagaan.

Katanya, Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan menyebut LKAN perlu disediakan oleh ketua audit negara dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

"Perkara ini salah dan saya percaya boleh dibawa ke mahkamah. Dalam perlembagaan, di mana ada kabinet disebut (terlibat)? Lagi pun, kabinet sebahagian daripada player," kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

"Secara logiknya juga, kalau bentang pada kabinet, buat apa perlu ada (jawatan) ketua audit negara."

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada 21 Oktober lalu menjelaskan, sejak 1982, LKAN dimaklumkan kepada kabinet sebelum dibentangkan supaya kerajaan dapat mengetahui isu yang dibangkitkan dan bersedia memberi penjelasan apabila diperlukan.

Beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat baru-baru ini mempersoalkan ketiadaan laporan itu semasa pembentangan Belanjawan 2012, antaranya anggota parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang mahu perdana menteri menjelaskan kelewatan itu.

Amat misteri

Liew yang juga anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP berkata, beliau tidak mempersoalkan amalan itu tetapi menjadi tanggungjawab kabinet memutuskan bila ia patut dibentangkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Aziz berkata, walaupun perlembagaan tidak menyatakan tempoh tertentu untuk LKAN dibentangkan di parlimen, tetapi demi menjaga integritinya, Jabatan Audit Negara patut melakukannya segera.

"Jadi, ketua audit negara mesti jelaskan kenapa lambat," katanya sambil menegaskan kedudukan tinggi ketua audit negara yang dilantik Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja itu.

Aziz menjelaskan, proses untuk laporan itu sampai ke Dewan Rakyat tidak memerlukan masa yang lama kerana baginda tidak perlu menyemak apa-apa kerana ia melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Setakat ini, tambahnya, kelewatan itu masih "amat misteri".

Ditanya tentang gesaan Liew kepada perdana menteri, Aziz berkata kenyataan itu mungkin dibuat dalam konteks yang lain.

"Kalau perdana menteri (kena) perjelas, saya kira tidak betul," katanya lagi. -mk

Gaddafi dikebumi secara rahsia di gurun

28 Zulkaedah 1432H. [MOD] -


MAYAT Gaddafi dan anaknya, Mutassim terbujur kaku dalam gambar yang dirakam 22 Oktober lalu. - AFP

MISRATA 25 Okt. - Jenazah Muammar Gaddafi dikebumikan awal pagi ini dalam satu upacara ringkas di kawasan gurun yang dirahsiakan di Libya.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi berhubung pengebumian bekas pemimpin Libya itu yang jenazahnya sebelum ini dijadikan 'bahan pameran' di sebuah bilik sejuk beku di Misrata.

Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) berkata, anak Gaddafi, Mutassim bersama bekas Menteri Pertahanan, Abu Bakr Yunis Jaber yang turut terkorban dalam serangan Khamis lalu juga dikebumikan di upacara sama.

''Jenazahnya (Gaddafi) mula mereput dan majlis pengebumian diadakan di satu lokasi yang dirahsiakan.

''Ia dijalankan selepas tiada kata sepakat diambil melibatkan puak-puak yang menyokong Gaddafi yang sebelum ini dikatakan mahu menuntut jenazah beliau,'' katanya.

Sementara itu, seorang lagi anak Gaddafi, Saif al-Islam dikatakan berada berhampiran sempadan antara Niger dan Algeria.

Sumber NTC berkata, Saif dipercayai merancang untuk melarikan diri dari Libya menggunakan pasport palsu.

''Dia kini di selatan Ghat, sempadan antara Niger dan Algeria. Dia telah diberikan pasport palsu untuk melarikan diri,'' katanya.

Menurut sumber itu, bekas ketua risikan, Abdullah Senussi turut berada di sempadan untuk membantu membawa keluar Saif.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil memberi jaminan pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa menyiasat kematian Gaddafi.

Ini kerana sehingga kini, kematian Gaddafi masih menimbulkan persoalan tentang bagaimana beliau terbunuh dan siapa yang bertanggungjawab membunuhnya. - REUTERS

Mayat Simoncelli selamat tiba di Itali

Zulkaedah 1432H. [MOD] -


SEORANG wanita mengabadikan kenangan di memorial sementara yang dibina oleh peminat di Coriano, utara Itali sebagai menghormati penunggang motosikal Honda, Marco Simoncelli yang terkorban di Sepang, Ahad lalu. – Reuters

ROME – Mayat pelumba MotoGP, Marco Simonceli yang terbabit dalam kemalangan maut pada Grand Prix Malaysia pada Ahad lalu selamat tiba ke Itali, semalam.

Turut mengiringi mayat Simoncelli di Lapangan Terbang Leonardo Da Vinci ialah ayahnya, Paolo dan rakan senegara, Valentino Rossi sambil disambut oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Itali, Giovanni Petrucci.

Mengikut perancangan, mayat Simoncelli akan dihantar ke tempat asalnya, Coriano sebelum disemadikan esok.

Kematian Simoncelli berpunca daripada hentakan kuat di dada, kepala dan leher apabila gagal mengawal jentera motosikal Honda dan terseret ke tengah trek.

Colin Edwards yang berada di belakang Simoncelli gagal mengelak motosikal pelumba muda Itali itu dan melanggar Simoncelli.

Juara dunia tujuh kali, Rossi yang merupakan rakan baik kepada Simoncelli berkata: ‘‘Marco adalah seorang bintang dan saya sama sekali tidak akan melupakannya.

‘‘Terlalu banyak memori saya bersamanya. Kami selalu bersama pada setiap hari, berlatih bersama dan berlumba adalah minat kami.

‘‘Kami tahu perkara sebegini boleh terjadi.”

Rossi yang sedang bergelut dengan prestasi bersama Ducati turut menolak akan bersara selepas kemalangan itu. ‘‘Saya tidak kata akan bersara. Ia (laporan) mungkin dibuat oleh mereka yang mahu melariskan surat khabar, ” katanya.

Simnocelli yang berusia 24 tahun dianggap bintang sukan bermotor dalam pembikinan. Dia terkenal dengan identiti berambut kerinting dan menjadi simbol kepada pencinta MotoGP.

Pelumba muda itu memenangi kejuaraan 250cc pada tahun 2008 dan diramal bakal menjadi juara dunia MotoGP pada masa hadapan.

Petrucci meminta setiap perlawanan bola sepak di Itali bertafakur selama seminit pada Ahad lepas dan para pemain memakai lilitan hitam sebagai penghormatan kepada Simoncelli.

‘‘Kami meminta semua orang bertafakur selam seminit sebagai lambang yang kami semua amat menyayanginya, ” kata Petrucci. – Agensi

Kopi kurangkan risiko kanser kulit

28 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

WASHINGTON: Amalam meminum kopi boleh melindungi seseorang daripada mendapat penyakit kanser kulit terutamanya di kalangan wanita.

Kajian mengenainya yang dibentangkan di sebuah persidangan perubatan utama Amerika Syarikat di bandar raya Boston kelmarin menunjukkan wanita yang meminum lebih tiga cawan kopi berkafein pada setiap hari dapat mengurangkan risiko menghidap kanser kulit yang dikenali sebagai karsinoma sel basal (BCC) sebanyak 20 peratus.

Kajian sama menyatakan lelaki yang mengambil kopi dalam jumlah yang sama dapat menurunkan risiko mereka mendapat BCC sebanyak sembilan peratus.

"Ekoran hampir sejuta kes baru BCC dicatatkan di AS pada setiap tahun, faktor amalan harian seperti meminum kopi dapat memberi kesan besar kepada kesihatan orang ramai dalam memerangi kanser ini," kata penyelidik kajian, Fengju Song. - AFP

Tiga maut dalam siri letupan di Yala

28 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

YALA: Beberapa siri letupan menggegarkan seluruh bandar di selatan Thailand menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut dan berpuluh lagi cedera.

Menurut pihak berkuasa tempatan, sebanyak 15 letupan kedengaran di sekitar Yala, sekali gus menimbulkan keadaan tegang di bandar tersebut.

“Siri letupan itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak Islam, sekurang-kurangnya tiga maut termasuk dua pemberontak dan lebih 50 cedera,” kata Gabenor Krisada Boonrach. – AFP

Pakar komputer Jerman catat rekod paling banyak bertindik

28 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

DORTMUND, Jerman: Seorang pakar komputer, Rolf Bucholz, 52, mempunyai tindikan sebanyak 453 di tubuhnya.

Dia adalah pemilik rekod Guinness World of Records lelaki yang paling banyak bertindik di dunia.

Muka lelaki berkenaan juga mempunyai banyak tindikan seperti di kening, bibir dan hidung.
Dia juga mempunyai 278 tindikan di bahagian kemaluannya. - Reuters

Laporan Audi Negara : Bukti raja segala pembaziran dan ketirisan wang negara

28 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Saya ingin mengeluarkan kenyataan media berhubung laporan audit negara 2010 yang dikeluarkan baru-baru ini yang mana secara umumnya belanjawan tersebut bolehlah saya disifatkan seperti raja segala pembaziran.

Deretan salah tadbir urus kewangan negara jelas tersenarai (di sini) dalam laporan tersebut, jadi tidak hairanlah mengapa dokumen itu lewat sampai untuk diserahkan kepada ahli parlimen.

Laporan itu sekali gus merupakan bukti yang sangat jelas bahawa tahap pentadbiran negera dibawah Barisan Nasional berada ditahap yang sangat buruk dan perlu diganti dengan sebuah kerjaan baru dibawah Pakatan Rakyat.

Rakyat juga boleh menilai sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara yang mana ia amat jelas menunjukkan bahawa jumlah miskin dan miskin tegar di Sabah dan Sarawak semakin bertambah, ini memberi makna bahawa program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN telah gagal sama sekali.

Umno-bn sebagai peneraju kerajaan pusat dan selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap belanja “berhemah” ini pastinya telah menutup isu pembaziran besar-besaran ini dari terdedah ke pengetahuan rakyat melaui media pro mereka iaitu Utusan, TV3 RTM dan lain-lain.

Rakyat tidak kira dari lapisan masyarakat manapun etnik perlulah meletakkan perioriti Negara selamat dihadapan mereka, keperluan kesedaran ini amat dituntut lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan golongan muda yang rata-rata mereka ini amat mudah terdedah dengan maklumat.

Orang muda khususnya perlu sedar bahawa negara perlu diselamatkan, jadi bagaimanakah caranya untuk menyelamatkan negeri ini?

Selama Umno-BN mentadbir Pusat, situasinya bukanlah ketirisan, tetapi wang negara secara terang-terangan telah diambil oleh tangan-tangan hitam dengan gandaan harga belian barangan untuk kegunaan badan kerajaan telah dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa kawalan.

Di sini saya ingin mengajak supaya kita menyelamatkan Malaysia dari segi pengurusan bajetnya dengan memastikan

Poket pencuri wang rakyat hanya dapat dikosongkan dengan memberikan undi anda kepada Pakatan Rakyat, undi kerajaan baru dari Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti bagi menjamin negara yang lebih telus dari segi pengurusan wang negara.

Segalnya telah kita buktikan dalam urus tadbir kewangan kerjaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Drs. Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 26 Oktober 2011