06 Julai 2008

Keputusan Petisyen Kuala kangsar dan Kubu Gajah memihak kepada BN

IPOH, 4 July :- Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, masing-masing kekal sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya kedua-dua kerusi itu. Hakim Datuk Zakaria Sam menolak tanpa kos petisyen terhadap keputusan pengundian kerusi Parlimen Kuala Kangsar, tetapi menolak dengan kos petisyen bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah.

Dalam penghakimannya, Zakaria berkata, Rafidah sudah menandatangani borang asal kertas penamaan calon, manakala dua lagi kertas penamaan yang tidak ditandatangani adalah borang salinan.

Beliau berkata, Rafidah juga menyerahkan sendiri borang itu kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta membayar wang deposit. “Ini sudah cukup untuk membuktikan beliau memang berhasrat bertanding kerusi berkenaan,” katanya. Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mempertahankan kerusi berkenaan buat penggal ketujuh selepas mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Dr Khairuddin Abd Malik dengan majoriti 1,458 undi.

Bagaimanapun, pada 28 April, seorang pengundi, Ahmad Jamaluddin Abdul Majid, memfailkan petisyen memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan pengundian kerusi itu batal dan tidak sah kerana Rafidah, yang dinamakan sebagai responden pertama, didakwa gagal menandatangani dua daripada tiga kertas penamaan (Borang 4) yang diperuntukkan mengikut Jadual Pertama Peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981.

Dalam permohonannya, Ahmad Jamaluddin, 51, yang juga seorang ahli perniagaan, mahu mahkamah mengisytiharkan Dr Khairuddin sebagai pemenang kerusi itu. Beliau turut menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd Ghazali Jalal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua serta ketiga. Zakaria berkata, Pengurus Pilihan Raya menggunakan kebijaksanaannya apabila menerima borang permohonan itu selaras dengan peruntukan Peraturan 4 Akta Pilihan Raya yang memberinya kuasa untuk membuat pertimbangan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

"Ini hanya isu teknikal dengan penamaan calon cuma satu daripada langkah awal pencalonan dalam pilihan raya, sedangkan proses pilihan raya itu sendiri dapat dijalankan tanpa sebarang dakwaan amalan rasuah atau pelanggaran undang-undang pilihan raya serta tiada aduan mengenai proses pengiraan undi," katanya.

Terdahulu, Zakaria menolak petisyen bagi kerusi DUN Kubu Gajah yang difailkan bekas calon Pas, Mohamad Nazri Din yang mendakwa Raja Ahmad Zainuddin melakukan perbuatan rasuah ketika pilihan raya berkenaan. Pada pilihan raya umum Mac lalu, Raja Ahmad Zainuddin memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 66 undi. Dalam petisyen yang difailkan pada 24 April itu, Mohamad Nazri menamakan Raja Ahmad Zainuddin sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Yusoff Abustam (kedua) dan SPR (ketiga).

Mohamad Nazri antara lain mendakwa Raja Ahmad Zainuddin ketika berkempen pada 4 Mac di sebuah rumah di Kubu Gajah, mengungkap perkataan berunsur rasuah, iaitu ‘Jika mengundi BN, apa-apa minta boleh kasi'. Dalam keputusannya, Zakaria berkata, mahkamah tidak pasti sama ada kumpulan 50 hingga 100 orang yang hadir di rumah itu adalah pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.

Katanya, mahkamah juga tidak pasti sama ada 37 penama yang didakwa menerima pelbagai pemberian terdiri pengundi berdaftar di Kubu Gajah. Beliau berkata, kesilapan paling nyata ialah apabila petisyen itu menyebut bahawa majlis berkenaan diadakan pada 27 Mac, iaitu 19 hari selepas pilihan raya. “Justeru, ia dianggap sudah tidak relevan. Mungkin tarikh berkenaan adalah kesilapan menaip dan saya percaya memang begitu, tetapi untuk memindanya adalah sangat terhad. "Saya hairan, begitu ramai peguam di Perak, kesilapan seperti ini tidak dapat dikesan," katanya. (Bernama)