17 November 2011

Agih wang RM100 : Jadi medan kempen politik BN

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Kenyataan Media

Saya ingin membuat kenyataan media bagi membantah tindakan tidak beretika umno-bn kerana menganggu tugas penjawat awam dalam isu pengagihan wang RM100 kepada murid-murid sekolah yang bermula sejak minggu lepas.

Di sini persoalan timbul apakah kewajarannya pemimpin Umno dilibatkan sama dalam pengagihan wang tersebut sedangkan pihak sekolah mempunyai cukup guru dan kaki tangan untuk mengelolakan agihan wang tersebut.

Amat menyedihkan apabila ada yang terpaksa meninggalkan kerja di pejabat dan sebagainya, amat mendukacitakan kerana mereka terpaksa menunggu lama sebelum dapat wang (RM100) dari melakukan kerja yang lebih penting. Mereka terpaksa mendengar ucapan dari pemimpin bn dengan menggunakan kesempatan itu untuk berkempen.

Maklumat sahih yang telah diterima melaporkan perkara ini berlaku termasuklah di SRJKC dimana mereka dihidangkan dengan ceramah politik sebelum wang RM100 diagihkan.

Kononnya merekalah yang perihatin dengan pemberikan one off kepada pelajar, sedangkan bagi saya ia jelas menyusahkan ibu bapa, bukan itu sahaja, masa mereka terbuang begitu sahaja untuk menunggu kehadiran pemimpin BN cuma kerana wang rm100.

Penglibatan orang politik dalam agihan itu membuktikan bahawa sumbangan tersebut punya niat tersembunyi sebagaimana yang dikatakan oleh banyak pihak.

Sepatutnya urusan agihan wang tersebut diserahkan sepenuhnya kpd pihak sekolah sekiranya bantuan rm100 adalah dengan niat untuk membantu pelajar.

Itupun tidak berbaloi kerana dengan jumlah sekecil itu cuba dicampur aduk dengan kempen dari BN sebelum agihan.

Sungguh memalukan bila media yang sedia ada dengan kawalan ketat oleh BN sudah tidak mampu menjamin keberkesanannya sebagai medan untuk berkempen. Sekarang sekolah pula digunakan.

Lagipun persoalan yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Paktan Rakyat bahawa agihan itu tidak wajar dilakukan lagi kerana bajet 2012 yang menjanjikan wang rm100 kepada setiap murid itu belum lagi diluluskan dan sedang dibahas di Parlimen.

Tindakan tergesa-gesa mengagihkan wang tersebut saya lihat sebagai tindakan terdesak BN untuk menarik undi menjelang pru ke 13 yang bakal diumumkan.

Saya berharap agar kerja jahat dan kesempatan yang diambil untuk berkempen sebelum agihan wang kepada ibu bapa tidak dapat mengubah minda warga Malaysia untuk terus menilak BN dalam PRU13 tidak lama lagi.

BN bagi saya tetap akan dihukum dan disingkirkan oleh rakyat.

Rakyat Malaysia jangan lupa terhadap kerakusan pemimpin BN yang telah menyapu bersih wang rakyat, antaranya skandal-skandal seperti isu PKFZ yang bernilai RM12.5 bilion, pembelian koc keretapi RM500 juta, pemberian kontrak kepada kroni RM500 juta, projek lembu Feedlot kepada Sharizat Jalil bernilai RM250 juta, penyelewengan projek Facebook (Pelancongan) RM1.8 juta.

BN telah sapu bersih dan rompak duit rakyat Malaysia ratusan juta, tetapi beri kepada rakyat RM100 dan diungkit-ungkit?

Rakyat perlu ajar BN supaya "penjenayah" sebegini dapat dihukum sewajarnya, undi PAS PKR dan DAP untuk Mengubah masa depan Malaysia supaya menjadi lebih selamat.

Drs. Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 17 Nov 2011

3 MP PAS sertai misi ke Palestin malam ini

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Tiga Ahli Parlimen PAS akan menyertai konvoi delegasi Global March to Jerusalem (GMJ) bagi menunjukkan sokongan dunia terhadap Palestin.

Mereka ialah Siti Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang) yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS, Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS dan Khalid Samad (Shah Alam) yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurut Siti Mariah, mereka akan berlepas ke Kaherah, Mesir malam ini dan akan bertemu dengan 26 Ahli Parlimen dari 15 negara lain di pintu masuk Rafah, Gaza.

"Ada yang ikut jalan darat, udara dan melalui pelbagai pintu masuk dan akan bertemu Rafah," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Delegasi tersebut anjuran Council for Palestine Solidarity dan disertai Ahli Parlimen antaranya Indonesia, India dan Afrika Selatan.

Konvoi tersebut bertujuan mewujudkan gelombang kesedaran warga dunia untuk bersama rakyat Palestin dalam isu penjajahan Zionis.

Justeru Siti Mariah berkata, pihaknya berharap doa dan sokongan daripada rakyat Malaysia agar misi mereka berjaya.

"Kami akan kembali ke Malaysia pada 25 haribulan dan kami harap doa dan restu daripada rakyat Malaysia untuk menjalankan misi ini," katanya.

Khalid menambah, konvoi tersebut sepatutnya pada bulan lepas amun terpaksa ditangguh kerana Israel sedag menyerang Gaza ketika itu.

"Konivoi ni asalnya bulan lepas tapi disebabkan Israel menyerang Gaza maka ianya dibatalkan," katanya yang pernah menyertai misi ke Gaza bersama NGO Muslim Care.

harakahdaily/-

Pas Kelantan tak sekat budaya Cina dikembangkan

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU 17 Nov. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dasar perjuangan Pas tidak menyekat perkembangan budaya Cina di negeri ini.

Malah kata Mursyidul Am parti itu, kerajaan negeri menggalakkan lagi budaya Cina berkembang pesat di samping mengekalkan apa yang sedia ada.

"Sebab itu, kita (Pas) sanggup membina masjid pertama yang mempunyai ciri-ciri budaya Cina di Rantau Panjang yang menelan belanja jutaan ringgit di samping membenarkan bangunan Dewan Perhimpunan Cina diubahsuai mengikut reka bentuk bercirikan budaya mereka,” katanya di sini, hari ini. - Bernama

Iklan haram: Selangor bertindak tegas

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 17 Nov: Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT memaklumkan pihaknya sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap pengiklan haram di seluruh Negeri Selangor terutamanya melibatkan iklan pinjaman wang tidak berlesen ataupun Ah Long.

Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tan Khiew menjelaskan kerajaan negeri sering berusaha dan memikirkan penyelesaian terbaik di dalam membanteras kegiatan pinjaman wang tidak berlesen terutamanya Ah Long.

"Kerajaan negeri menyokong penuh tindakan Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang melaksanakan tindakan pembatalan talian telefon yang dipaparkan pada iklan haram dengan menyerahkan nombor-nombor tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan pembatalan talian telefon.

"Dalam pada masa yang sama kerajaan negeri sering mengingatkan setiap PBT untuk bertindak segera dengan menanggalkan iklan-iklan haram yang ditampal ditempat awam tanpa menunggu arahan dari pihak atasan," jelasnya.

Selain daripada itu pihak PBT juga mengambil tindakan pemantauan secara berkala dan menjalankan aktiviti menanggalkan iklan-iklan haram yang ditampal.

"Dalam pada masa itu juga PBT akan menyerahkan nombor-nombor yang dipaparkan pada iklan haram kepada SKMM untuk tindakan pemotongan talian telefon.

"Terdapat juga sesetengah PBT yang melaksanakan penggunaan sejenis cecair 'anti sticker' di kawasan pembangunan baru dan kemudahan utiliti bagi menghalang penampalan iklan-iklan baru," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pagi tadi.

Ronnie Liu yang menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Kota Alam Shah M.Manoharan berhubung dengan tindakan kerajaan negeri terhadap kegiatan pinjaman wang tidak berlesen ataupun Ah Long.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor di bawah Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) adalah satu usaha untuk mengatasi masalah rakyat Selangor membuat pinjaman dari Ah Long.

Fungsi utama program MiMBAR ini adalah membantu golongan golongan usahawan kecil di kawasan bandar bagi memajukan perniagaan serta menambah pendapatan mereka.

Usaha kerajaan ini adalah untuk memberi peluang kepada usahawan kecil mendapat pinjama serta dalam masa yang sama ia dapat mengelakkan peniaga-peniaga kecil dari membuat pinjaman dari Ah Long selain daripada pemantauan yang dilakukan oleh PBT-PBT terhadap penghapusan iklan-iklan haram.

harakahaily/-

Panduan Memberi Nama Anak dalam Islam

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Disunatkan memberi nama kepada bayi pada hari ketujuh kelahirannya sebagaimana yang terdapat dalam sabda Nabi s.a.w.;[1]

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.)[2]

Namun terdapat juga hadis-hadis yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. pernah memberi nama kepada bayi pada hari dilahirkan. Antaranya ialah hadis dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. yang menceritakan;

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ
“Telah dilahirkan untukku seorang anak, lalu aku membawanya kepada Nabbi s.a.w., maka baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahniknya dengan sebiji buah tamar serta baginda mendoakan keberkatan untuknya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jadi, yang menjadi sunnah dalam menamakan bayi ini ialah menamakannya pada hari ketujuh atau pada hari ia dilahirkan. Ini ditegaskan oleh Imam Nawawi dalam al-Azkar; “Yang menjadi sunnah ialah menamakan bayi pada hari ketujuh dari hari kelahirannya atau menamakannya pada hari kelahirannya”.[3] Walau bagaimanapun, Imam Bukhari telah bertindak menghimpunkan antara dua sunnah ini dengan menjelas;

“Hadis-hadis yang menyebutkan hari kelahiran dimengertikan bagi orang yang tidak berniat melakukan aqiqah[4], dan adapun hadis-hadis yang menyebutkan hari ketujuh maka dimengertikan bagi orang yang ingin melakukan aqiqah bagi anaknya[5]”.[6]

Jika bayi yang dilahirkan ditakdirkan mati sebelum diberi nama, disunatkan juga diberi nama kepadanya. Begitu juga, sunat memberi nama anak yang gugur.[7]

Dalam masalah meletakkan nama ini, hendaklah diberi perhatian perkara-perkara berikut;[8]

a) Disunatkan memberi nama-nama yang elok dan baik kerana Nabi s.a.w. bersabda;

إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ
“Sesungguhnya kamu sekelian akan diseur/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)

b) Nama yang paling baik/paling elok ialah Abdullah dan Abdurrahman sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.;

إنَّ أحَبَّ أسْمائكُمْ إلى اللّه عَزَّ وَجَلَّ عَبْدُ اللّه، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman”. (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

c) Harus memberi nama sempena nama para Nabi seperti Ibrahim, Hud, Soleh, Muhammad dan sebagainya.

Sabda Rasulullah s.a.w.;

تَسَمَّوا بأسْماءِ الأنْبِياءِ، وَأحَبُّ الأسْماءِ إلى اللّه تَعالى عَبْدُ اللّه وَعَبْدُ الرَّحْمَن، وأصْدَقُها: حَارِثٌ وَهمَّامٌ، وأقْبَحُها: حَرْبٌ وَمُرَّةُ
“Berilah[9] nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain dari Abi Wahb al-Jusyami r.a.)

Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan; “Seorang lelaki dari kalangan kami baru memperolehi anak dan ia memberi nama anak itu ‘Muhammad’. Lalu kaumnya berkata kepadanya; ‘Kami tidak akan membiarkan kamu memberi nama dengan nama Rasulullah s.a.w.’. Maka lelaki ini pun pergi menemui Nabi s.a.w. dengan membawa anaknya di atas belakangnya. Ia bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, dilahirkan untukku anak dan aku menamakannya ‘Muhammad’, lalu kaumku berkata kepadaku; ‘Kami tidak akan membiar kamu menamakan dengan nama Rasulullah s.a.w.”. Lantas Nabi menjawab;

تَسَمَّوْا بِاسْمِي، وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي، فَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ، أَقْسِمُ بَيْنَكُمْ
“Berilah nama dengan namaku, akan tetapi jangan memanggil dengan panggilanku (yakni Abul-Qasim) kerana sesungguhnya aku adalah Qasim (pembahagi) yang membahagi di antara kamu”. (Riwayat Imam Muslim)

Sebagaimana sedia dimaklumi bahawa, Nabi s.a.w. telah menamakan salah seorang anaknya dengan nama Ibrahim.

d) Menurut mazhab Syafi’ie, harus memberi nama dengan nama-nama Malaikat. Namun demikian, sebahagian ulama’ memakruhkannya. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Telah memakruhkan sebahagian ulama’ memberi nama dengan nama-nama Malaikat dan ia adalah pandangan al-Harith bin Miskin. Imam Malik memakruhkan memberi nama dengan Jibril dan Ya-sin”.[10]

e) Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang buruk seperti Harb, Murrah, Kalb, ‘Ashiyah, Syaitan, Dzalim, Himar dan sebagainya.

Begitu juga, dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang dijadikan tengok nasib dengan penafiannya pada adat/kebiasaan seperti nama-nama yang terkandung dalam sabda Nabi s.a.w.;

لاَ تُسَمِّيَنَّ غُلاَمَكَ يَسَاراً، وَلاَ رَبَاحاً، وَلاَ نَجِيحاً، وَلاَ أَفْلَحَ، فَإِنَّكَ تَقُولُ: أَثَمَّ هُوَ؟ فَلاَ يَكُونُ، فَيَقُولُ: لاَ”. إِنَّمَا هُنَّ أَرْبَعٌ، فَلاَ تَزِيدُنَّ عَلَيَّ.
“Janganlah kamu menamakan anak kamu Yasar (mudah), Rabah (untung), Najih (berjaya) dan Aflah (berjaya). Kerana sesungguhnya jika kamu bertanya seseorang; Apakah ada di sana (Yasar[11], Rabah dan sebagainya itu)? Lalu ia menjawab; ‘Tidak ada’. Sesungguhnya nama-nama itu hanya empat. Maka jangan kamu menambah ke atas apa yang aku sebutkan itu[12]”. (Riwayat Imam Muslim dari Samurah bin Jundab r.a.)

Menurut Imam Nawawi, faktor dimakruhkan nama-nama tersebut (dalam hadis) ialah; buruk/jeliknya jawapan dan juga nama-nama tersebut ada kemungkinan menjatuhkan sebahagian orang ke dalam suatu bentuk perbuatan menengok untung/nasib”.

[13] (Contohnya; apabila ditanya; ‘Adakah di sana ada Rabah (yang bermaksud; untung)?’, lalu dijawab; ‘Ada’. Apabila orang yang suka menengok/menilai nasib dengan suatu sempena atau kejadian mendengar jawapan ini, maka ia akan membuat andaian bahawa hari tersebut adalah hari untung).

f) Diharamkan memberi nama dengan nama “Malikul-Amlak” yang bermaksud; ‘Raja bagi segala raja’.

Sabda Rasulullah s.a.w.;

إنَّ أخْنَعَ اسْمٍ عِنْدَ اللَّهِ تَعالى رَجُلٌ تَسَمَّى مَلِكَ الأمْلاكِ
“Sesungguhnya sehina-hina/seburuk-buruk nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malikul-Amlak”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda;

أَغْيَظُ رَجُلٍ عَلَى اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَخْبَثُهُ، رَجُلٌ كَانَ يُسَمَّى مَلِكَ الأَمْلاَكِ، لاَ مَلِكَ إِلاَّ اللَّهُ
“Lelaki yang paling dimukai oleh Allah pada hari kiamat dan paling hina ialah lelaki yang diberi nama Malikul-Amlak (kerana hakikatnya) tiada raja melainkan Allah”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Berkata Imam Nawawi; berkata para ulama’; memberi nama dengan nama ini (yakni Malikul-Amlak) adalah haram.[14]

g) Hendaklah dijauhi dari nama-nama yang menunjukkan pengabdian/penghambaan kepada selain Allah seperti Abdul-Kaabah (Hamba Kaabah), Abdun-Nabi (Hamba Nabi), Abdul-‘Uzza (Hamba Tuhan ‘Uzza) dan sebagainya. Menurut Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan; memberi nama dengan nama-nama ini hukumnya adalah haram dengan sepakat para ulama’.[15]

h) Begitu juga, hendaklah dijauhi dari memberi nama dengan nama-nama yang menggambarkan hilang/leburnya jati-diri (sebagai seorang muslim), meniru-niru (nama orang bukan Islam) dan nama-nama yang menzahirkan cinta-berahi seperti nama Huyam (gila berahi), Susan dan sebagainya.[16]

i) Disunatkan mengubah nama yang buruk atau yang tidak baik kerana Nabi s.a.w. telah melakukannya kepada para sahabat baginda.

Ibnu Umar r.a. menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ. وَقَالَ: “أَنْتِ جَمِيلَةُ”.
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menukar nama (seorang perempuan bernama) ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) di mana baginda berkata kepada (perempuan itu); ‘Kamu adalah Jamilah (bermaksud; yang indah)’”. (Riwayat Imam Muslim)

Said bin al-Musayyab menceritakan bahawa bapanya -yang bernama Hazn (bermaksud; susah/sedih)- telah datang kepada Nabi s.a.w., lalu baginda bertanya kepadanya; ‘Apa nama kamu?’. Jawab bapaku; ‘Hazn’. Lalu Rasulullah berkata; ‘Kamu adalah Sahl (yakni Nabi menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud; mudah).

Namun bapaku berkata; ‘Aku tidak akan menukar nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku’. Said berkata; ‘(Dengan kedegilannya itu) maka berterusanlah huzunah (yakni kepayahan/kesedihan) membelenggu keluarga kami selepasnya’”. (Riwayat Imam Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari bapanya)

***والله أعلم بالصواب***

Tak mustahil Felda juga beli kondo mewah

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan Felda juga akan membeli kondominium sebagai pelaburan yang menguntungkan.

"Felda kini berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang sebelum ini membela projek lembu di bawah NFC (Perbadanan Fidlot Nasional) tentu kagum dan tertarik dengan kaedah perniagaan NFC yang membeli kondominium untuk pelaburan.

"Sebab itulah tidak boleh ditolak kemungkinan Felda juga akan membeli banyak kondominium sebagai pelaburan," katanya.

Mahfuz percaya, jika Najib tidak kagum dan tidak tertarik dengan kaedah perniagaan NFC, tentulah beliau tidak akan membela projek penuh kontroversi itu dan membuat kenyataan bercanggah dengan laporan Ketua Audit Negara.

Ketika membela NFC, Perdana Menteri menafikan wujudnya penyalahgunaan dalam pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta untuk projek lembu itu.

Ia bertentangan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menggambarkan projek penuh kontroversi itu berada dalam keadaan "kacau-bilau".

Projek tersebut dianugerahkan kepada keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendakwa, tindakan NFC membeli unit apartmen mewah One Menerung di Bangsar, dilaporkan dengan bayaran sebanyak RM9.8 juta, dengan tujuan untuk mendapatkan pulangan pelaburan.

"Selepas ini mudahlah bagi semua perbadanan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah kerajaan Najib. Beli kondominium banyak-banyak untuk mendapatkan pulangan pelaburan.

"Felda, Bernas (Padiberas Nasional Berhad), Fama ( Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), apa sahaja perbadanan dan GLC boleh mencontohi kebijaksanaan perniagaan NFC yang nampaknya dikagumi Perdana Menteri.

"Suami Shahrizat boleh kata 'tiru macam saya', beli kondominium banyak-banyak untuk mendapatkan pulangan pelaburan," sindir Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Selepas ini, kata Mahfuz lagi, semua agensi, perbadanan dan GLC di bawah kerajaan Najib mungkin terpaksa berebut-rebut mendaftarkan nama untuk menimba ilmu pelaburan dari keluarga Shahrizat.

"Keluarga Shahrizat juga boleh buat duit banyak-banyak lagi selepas ini dengan bisnes baru iaitu memberikan kursus pelaburan kepada semua agensi, perbadanan dan GLC di bawah kerajaan Najib di seluruh negara.

"Kursus beli kondominium mewah untuk mendapatkan pulangan pelaburan," sindir beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli menyifatkan tindakan NFC membeli kondominium berharga hampir RM10 juta seunit adalah perbelanjaan tidak berhemah khususnya ketika pasaran hartanah mewah yang mengalami trend penurunan.

"Pasaran hartanah mewah, terutamanya bagi kondominium mewah seperti yang dibeli oleh NFC, dijangka akan mengalami penurunan harga dari tahun 2010 dan tahun-tahun akan datang.

"Ini satu keputusan yang gila. Saya tidak mempunyai kata-kata (untuk menghuraikannya) - jarang dibuat, tidak pernah didengari, malah pelik untuk melabur dalam kondominium mewah sebagai pelaburan jangka pendek terutamanya ketika pasaran yang lembab," kata beliau.

harakahdaily/-

Pemuda PAS desak bebaskan segera tahanan ISA

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab membebaskan segera 11 tahanan terbaru dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut ketuanya, Nasruddin Hassan, tangkapan terbaru itu sangat bertentengan dengan aspirasi Najib yang sebelum ini mengumumkan pentadbirannya akan memansuhkan akta draconian itu kerana tidak lagi relevan untuk digunakan.

"Pemuda PAS mendesak supaya kerajaan membebaskan segera tahanan tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

"Ini jelas, kerajaan tak pernah serius untuk memansuhkan akta ini. Sepatunta tak perlu lagi tangkapan selepas pengumuman (pemansuhan) dibuat," tambahnya kecewa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sekumpulan lelaki di Sabah yang ditahan dibawah ISA pada 14 November lalu kerana didakwa terbabit dengan kegiatan militan.

Difahamkan sekurang-kurangnya 10 atau 11 orang ditahan termasuk juga warga Filipina dan Indonesia.

Semua mereka ditahan mengikut di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, Dewan Pemuda PAS secara konsisten menentang ISA atas sifatnya yang zalim kerana membenarkan tahanan tanpa bicara.

Beliau juga mahu kesemua yang baru ditahan tersebut dibicarakan dan dibuktikan kesalahan mereka dan bukannya ditahan tanpa bicara dibawah ISA.

Sambil menyifatkan Najib sebagai 'tidak jujur' dengan janjinya, beliau menyeru rakyat bangkit membuat perubahan.

"Kalau dalam isu ISA ini pun beliau tak jujur, kita khuatir perkara sama dibuat terhadap PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambaikan Proses Pilihan Raya).

"Kata PRU selepas PSC selesai buat cadangan, tetapi tak mustahil mereka umum pilihan raya awal," katanya.

harakahdaily/-

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah.”

Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim

Huraian:

Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.

Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.

Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

himpunan hadis/-

Penempatan guru: Mahyiddin wajar letak jawatan

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Gabungan Ikatan Islam Se-Malaysia (Gamis) menasihatkan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan ekoran kegagalannya menangani masalah penempatan guru graduan pendidikan.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, presidennya Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri itu sehingga kini masih gagal memberi jaminan 'posting' kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

"Graduan dalam bidang pendidikan ini memerlukan jawapan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya oleh Tan Sri Muhyidin untuk memastikan mereka boleh mengatur masa depan yang baik kerana pengangguran dikalangan graduan bakal guru ini semakin teruk ditambah pula kenyataan yang tidak cermat dan mengguriskan hati mahasiswa oleh menteri berkenaan supaya graduan bidang pendidikan ini mencari kerja lain selain dari guru," katanya.

Selain itu beliau juga mempersoalkan nasib graduan ISMP yang dianak tiri, dalam masa yang sama sejumlah 13000 guru Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang sepatutnya diisi oleh graduan bidang pendidikan yang tamat pengajiannya pada 2011 ini.

Menurutnya, pengumuman pada bajet 2012 untuk melanjutkan umur bersara penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun juga turut memberi kesan berantai kepada pengangguran graduan yang terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk mengisi ruang dalam penjawat awam dan juga terpaksa bersaing dengan graduan baru pada masa tersebut.

"Lebih mengecewakan ialah bangsa asing lebih diutamakan untuk menjadi pendidik kepada anak bangsa kita setelah pengumuman kerajaan untuk membawa masuk 300 orang guru bahasa inggeris dari Amerika Syarikat yang menelan belanja RM18 juta sedangkan dalam masa yang sama ramai graduan anak watan yang menganggur.

"Soalnya, siapa yang lebih diutamakan untuk mendidik generasi bangsa kita," soal Syazwan.

Tambahnya lagi, kegagalan garaduan ditempatkan juga menyebabkan mereka terus terbeban untuk membayar wang pinjaman PTPTN.

Tekanan ini katanya, sepatutnya diselesaikan dengan bijak oleh seorang Menteri Pelajaran dengan memberikan ruang dan jalan yang sesuai, bukannya lari dari tanggungjawab dengan menyuruh bakal guru untuk bekerja di sektor lain.

"Sesunggunya amat songsang dengan falsafah pendidikan apabila seorang bakal guru disaran untuk bekerja diladang ternakan lembu.

"Maka pihak Gamis merasakan Tan Sri Muhyidin Yasin perlu meletakkan jawatan atas kegagalan menguruskan graduan dan bakal guru ini disamping dasar pendidikan yang tidak konsisten dan menyusahkan rakyat termasuk juga dalam isu PPSMI.

"Jawatan ini perlu diberi kepada yang layak dan mampu berfikir untuk mencari jalan penyelesaian, bukan helah untuk selamatkan diri dan kepentingan," tegasnya.

harakahdaily/-

Semua Rezeki Datangnya dari Allah SWT

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Umat Islam perlu yakin dengan sepenuh-­penuhnya bahawa rezeki terletak dalam kekuasaan Allah atau di tangan Allah, bukan di ta­ngan makhluk.

Mahfum Firman Allah (Saba’:24)
Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepada mu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan Sesungguhnya Kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.

Mahfum Firman Allah (Al-Ankabut:60)
Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui.

Mahfum Firman Allah (Ali Imran:26):
Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Memang banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita peroleh atau yang hilang daripada kita semua­nya dikembalikan kepada Allah SWT.

Adapun yang dirujuk kepada saya dalam soalan ini, seolah-olah memberi makna bahawa ada manusia yang berikhtiar menutup rezeki orang lain dan mem­buka rezeki seseorang.

Dengan erti kata lain, ada manusia boleh mengkayakan atau memiskinkan manusia dengan kebolehannya, maka tentulah logiknya dia juga boleh membuka rezeki dirinya (untuk memperkayakan diri sendiri), bahawa dengan kekayaan itu dia boleh, membantu orang yang susah dan bukan menyusahkan orang yang sudah senang.

Secara logiknya, membuka rezeki lebih mudah daripada menutupnya. Contohnya, membuat sebuah bangunan lebih susah daripada membukanya. Memasang satu pintu mengambil masa yang lama dan sukar, sebaliknya memecahkan pintu adalah mudah dan sekejap sahaja.

Pada saya mungkin, restoran yang pertama, dibuka awal, tiada saingan, maka dengan sendirinya ramai pelanggan. Manakala restoran lain dibuka, dengan cara yang berbeza, layanan dan makanannya mungkin lebih berkualiti, muka ramai yang tertarik dan mengubah selera.

Sememangnya ada orang me­ngadu kepada saya bahawa pre­mis perniagaannya tidak dapat dilihat oleh pelanggan, seolah-­olah telah ditutup. Terpaksa berpindah ke tempat lain. Sedangkan restoran itu sebenarnya masih dibuka.

Mungkin juga pelanggan tidak perasan wujudnya restoran tersebut. Mungkin juga pelanggan hilang konsentrasi. Sebagai con­toh ada ketika kita pernah kehilangan seuatu benda (cermin mata misalnya), lalu kita mencarinya di merata-rata tempat, setelah puas mencari tidak berjumpa.

Maka isteri, bertanya, “Apakah yang kita cari, kita menjawab mencari cermin mata. Lalu dia memberitahu, “Itu cermin mata ada di atas meja”.

Mengapa selepas kita puas mencari tidak bertemu? Apakah kita disihirkan orang sehingga benda yang begitu mudah tidak dijumpai? Mungkin benar ada orang mengusahakan seperti meletakkan sesuatu yang diper­cayai boleh menyekat rezeki, tetapi yakini lah bahawa semua itu adalah usaha jahat manusia, walhal punca rezeki sebenar-benarnya di tangan Allah.

Bagaimanapun kita mesti berusaha menghindarkan per­buatan jahat manusia, seperti dengki khianat sebagaimana yang disebut dalam Surah an-Naas. Oleh itu, mohonlah kepada Allah, mohon perlindungan kepada-Nya. Carilah sebab-sebabnya mengapa Allah takdirkan kea­daan sedemikian berlaku.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

DUN Lulus Tambah Peruntukan Istana

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 17 NOV : Sidang Dun Selangor hari ini meluluskan pembiayaian perbelanjaan emolument bagi kakitangan istana serta perbelanjaan mengurus dan pembangunan antara RM 35,000 hingga RM11.76 juta bagi meningkatkan kecekapan dan tugasan pihak istana dengan lebih lancar.

Adun Kampung Tunku (DAP), Lau Weng San membahaskan isu ini bersetuju dengan pertambahan peruntukan tersebut bagi memastikan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan pejabat Tuanku dapat menjalankan tugas baginda dengan lebih lancar, cekap dan profesional.

Beliau berkata dengan pertambahan peruntukan tersebut akan membolehkan kerajaan Selangor mengambil lebih ramai golongan cendekiawan yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam meningkatkan kecekapan serta khidmat nasihat khususnya dalam bidang undang-undang, kewangan dan ekonomi dan sebagainya.

"Sememangnya Tuanku diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Selangor. Walaupun begitu, ramai yang mungkin sudah lupa bahawa Tuanku juga berkuasa untuk menjaga kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain." tegas beliau.

Sehubungan itu beliau berharap agar kerajaan dapat mengadakan satu laman web yang komprehansif untuk memperkenalkan sejarah raja berperlembagaan di Selangor dan menjadikan istana kerajaan di Selangor sebagai salah satu dari destinasi pelancongan.

"Di England beberapa istana disana telah menjadi ikon kepada negara tersebut dan menjadi destinasi pelancongan yang amat manarik serta memberi pulangan yang baik bagi menampong pendapatan istana," kata beliau.

Menyentuh isu yang sama Adun Kinrara (DAP), Teresa Kok menyokong usaha mehjadikan istana lama dijadikan sebagai destinasi pelancongan.

"Tuanku juga mahukan supaya sejarah landasan keretapi dari Johor Bharu ke Singapura dipamirkan di Istana Alam Shah bagi membuktikan wujud hubungan antara Tanah Melayu dengan Singapura." jelasnya.

Dun Selangor meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Peruntukan DiRaja (Pindaan) tahun 2011 mengenai pembiayaian perbelanjaan emolument bagi kakitangan istana akan dinaikkan kira-kira RM35,000 ke RM4.49 juta.

Turut di luluskan pertambahan perbelanjaan RM900,000 hingga RM11.76 bagi perbelanjaan di bawah tuntutan elaun, perjalanan kakitangan pejabat istana, perbelanjaan utiliti, bekalan dan penyelenggaraan istana.

tv news/-

Pembeli misteri jadi pemilik pertama berlian kuning

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

GENEVA, Switzerland - Sebutir berlian kuning seberat 110 karat dikenali sebagai Sun Drop dijual pada harga AS$10.9 juta (RM34.3 juta) dalam satu lelongan di sini, menurut firma lelongan Sotheby kelmarin.

Berlian Sun Drop ialah berlian kuning terbesar di dunia.

"Dijual pada harga AS$10.9 juta," kata seorang eksekutif Sotheby, David Bennett di hadapan sekitar 150 orang yang menghadiri lelongan berkenaan di sebuah hotel mewah di sini.

Harga jualan tersebut kurang daripada anggaran pakar-pakar yang meletakkan nilai berlian kuning itu antara AS$11 juta (RM34.6 juta) hingga AS$15 juta (RM47.2 juta).

Permata itu yang ditemui di Afrika Selatan dalam tahun 2010 mengagumkan para pengunjung semasa ia dipamerkan di Muzium Sejarah Semula Jadi London pada awal tahun ini dan juga Hong Kong.

"Ia belum pernah dimiliki, justeru, pembelinya merupakan orang pertama yang memakai berlian ini," kata Bennet.

Berlian tersebut bersaiz sebesar ibu jari tangan wanita.

Ia kelihatan kuning kerana mengandungi nitrogen dalam karbonnya.

Firma Sotheby bagaimanapun masih tidak mendedahkan identiti pembeli berlian tersebut. - AFP

Filipina tetap halang Arroyo ke luar negara

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Kerajaan Filipina enggan menuruti perintah mahkamah yang membenarkan bekas Presiden Gloria Macapagal Arroyo ke luar negara untuk mendapatkan rawatan tulang, sebaliknya menghalang wanita itu daripada meninggalkan lapangan terbang Manila, semalam.

Arroyo dan suaminya cuba menaiki kapal terbang ke Singapura selepas Mahkamah Agung mengenakan sekatan ke atas larangan kerajaan yang menghalang pasangan itu ke luar negara.

Namun, pegawai imigresen bertindak di bawah arahan Setiausaha Undang-Undang Filipina dan menahan pasangan itu sebelum Arroyo dibawa semula ke hospital.

Arroyo mendakwa memerlukan rawatan di luar negara bagi penyakit tulang belakangnya, tetapi kerajaan yang sedang melakukan siasatan dakwaan rasuah dan penipuan pilihan raya ke atas beliau khuatir bekas pemimpin itu tidak akan pulang bagi menghadapi pendakwaan.

sinar harian/-

Perhilitan rampas haiwan liar dilindungi bernilai RM35,000

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SUNGAI PETANI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah berjaya merampas lima spesis haiwan liar yang dilindungi bernilai RM35,000 di sini kelmarin.

Rampasan yang dianggotai lapan belas kakitangan Jabatan Perhilitan itu termasuk biawak air, ular senduk, baning, kura-kura katup dan kura-kura besar.

sinar harian/-

Sejak beroperasi, Melaka monorel tergendala 21 kali

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MELAKA. 2011 – Monorel pelancongan Sungai Melaka yang perkhidmatannya digantung sejak 10 hari lepas telah tergendala sebanyak 21 kali sejak mula beroperasi pada 20 Oktober 2010 hingga 30 September 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Wira Latiff Tamby Chik berkata, pada masa sama, pihak pengendali iaitu Melaka Taming Sari Sdn Bhd (MTSB) terpaksa menampung kerugian operasi sebanyak RM74,188.75.

“Perbelanjaan operasi yang dikenakan sepanjang tempoh itu ialah sebanyak RM205,573.25 berbanding kutipan sebanyak RM131,384.50,” katanya ketika menjawab soalan Betty Chew Gek Cheng (DAP-Kota Laksamana) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata, seramai 16,011 pengunjung menaiki monorel itu sejak dirasmikan hingga 30 September 2011. “Monorel ini akan terus beroperasi kerana ia merupakan salah satu produk pelancongan Melaka yang menjadi tarikan pengunjung dan dapat memberi pulangan yang lumayan kepada kerajaan negeri dalam jangka masa panjang,” katanya.

Monorel pelancongan berharga RM15.5 juta yang menghubungkan Stesen Hang Jebat di Taman Rempah dan Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya itu dilancar pada 20 Oktober tahun lepas sempena perisytiharan Melaka sebagai Negeri Maju 2010.

Sumber :utusan.com.my

Keputusan UPSR 3 pelajar SK Bandar Bintagor 'dirahsiakan'

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BINTANGOR: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, di sini yang dilarang menduduki peperiksaan itu masih dirahsiakan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, pihak sekolah belum mengedarkan keputusan mereka dan apabila pihak media cuba mendapatkan penjelasan, seorang guru memaklumkan mungkin keputusan itu terpaksa ditahan kerana kehadiran media.

Tiga murid sekolah terbabit mendapat perhatian apabila mereka dilarang menduduki UPSR September lalu dengan alasan mereka lemah dalam pelajaran dan dikhuatiri menjejaskan prestasi sekolah berkenaan.

berita harian/-

Ada pemimpin Pakatan sedia lantik Ku Li sebagai PM

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dikatakan bersedia untuk menerima ahli parlimen Gua Musang Tengku Razeleigh, sebagai perdana menteri, dakwa bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali.

Katanya, perkara itu dipersetujui dengan syarat bahawa Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li dapat meyakinkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 ahli parlimen BN untuk berpaling tadah dalam cubaan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Sept, 2008, untuk menggulingkan kerajaan BN.

Perkara itu didedahkannya menerusi buku terbarunya, Memoir Perjuangan Politik, yang dilancarkan malam, semalam.

Dalam buku itu, Syed Husin menulis, perkara itu adalah penting, kerana sebahagian besar ahli parlimen yang bersetuju meninggalkan BN itu adalah bukan bumiputera Islam. Pakatan, katanya mahu memastikan bahawa sokongan orang Melayu Islam, tidak terhakis.

Sambil mempertahankan bahawa usaha 16 September itu adalah benar, menurut pemimpin veteran itu lagi, Umno selepas mengetahui rancangan berkenaan, bergegas membawa kebanyakan ahli parlimen BN ke Taiwan, dan ada juga ke Macau dan New York, bagi memastikan rancangan itu tidak menjadi kenyataan.

"(Perdana Menteri) Najib (Abdul Razak) kemudian mengumumkan peruntukan kira-kira RM3 bilion bagi projek-projek pembangunan di Sabah dan Sarawak.

"Ini jelas bagi menyediakan peluang kontrak kepada syarikat-syarikat kroni dan kontraktor yang dikaitkan dengan ahli parlimen Umno dan juga pemimpin BN di kedua-dua negeri itu," tulisnya.

Majlis perasmian buku ini di Shah Alam dihadiri oleh kira-kira 500 orang.

Buku memoir itu merupakan kenangan hidup Syed Husin tentang perjuangan politiknya untuk menegak keadilan, kebajikan dan kebenaran bagi rakyat.

Ia juga menceritakan mengenai penyertaan, kegiatan, pengalaman dan pandangan beliau terutama berhubung beberapa peristiwa politik yang melibatkan rakyat.

Pendidikan, kegiatan akademik serta luar akademik diceritakan kerana sedikit sebanyak mempengaruhi sikap hidup Syed Husin, terutama terhadap bidang politik yang lebih setengah abad diceburinya.

Turut hadir semasa majlis perlancaran buku itu adalah ketua pembangkang PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan juga beberapa pemimpin Pakatan.

malaysiakini/-

Rasmi, amah Indonesia ke Malaysia 1 Disember

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Indonesia secara rasmi mengumumkan akan menyambung semula penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai 1 Disember ini.

Keputusan berhubung perkara itu dibuat secara bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada mesyuarat dua hala di Nusa Dua malam semalam.

"Saya dan Presiden SBY telah membuat keputusan bersama supaya penghantaran tenaga kerja (sektor tidak formal) dari Indonesia ke Malaysia akan disambung semula mulai 1 Dis yang akan datang ini.

"Sudah tentu berita ini akan disambut dengan begitu baik sekali di Malaysia kerana ini sudah begitu lama sekali dinanti-nantikan dan ini menunjukkan bahawa kesungguhan dan keikhlasan Presiden SBY untuk mencari penyelesaian secara postif untuk apa jua permasalahan yang berbangkit antara kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia di Nusa Dua, malam semalam.

Katanya beliau telah menyampaikan penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas keputusan itu dengan harapan pelaksanaan keputusan itu akan berjalan lancar sesuai dengan pindaan yang dibuat ke atas memorandum pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia yang ditandatangani kedua-dua belah pihak di Bandung pada Mei lalu.

Mesyuarat dua hala itu adalah susulan kepada pertemuan kedua-dua pemimpin itu di Perundingan Tahunan yang diadakan di Lombok, Nusa Tenggara Barat, bulan lalu di mana kedua-dua bersetuju membuat keputusan bersama di Bali berhubung isu itu.

Pada pertemuan di Lombok itu mereka bersetuju untuk melihat laporan Pasukan Petugas Khas Bersama mengenai makanisme pelaksanaan persetujuan-persetujuan pada protokol bagi meminda Memorandum Persefahaman Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006.

Semalam, kedua-dua Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar telah melaporkan kepada kedua-dua pemimpin mengenai makanisme pelaksanaan persetujuan itu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Berikutan itu, kedua-dua negara berunding sehingga satu kata sepakat dicapai dengan penandatanganan protokol meminda beberapa peruntukan dalam memorandum persefahaman 2006 itu, yang diadakan di Bandung pada 30 Mei lalu.

Bagaimanapun penerapan makanisme yang sesuai bagi pelaksanaan protokol itu berhubung perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka oleh Pasukan Petugas Khas Bersama, menyebabkan penarikan balik moratorium itu tertangguh sehingga sekarang.

Dr Subramanian ketika menjelaskan mengenai persetujuan itu berkata antara perkara utama yang dipersetujukan ialah mengenai keperluan mengadakan kontrak kerja untuk pembantu rumah, kos pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditetapkan pada kadar RM4,511, wajib kursus selama 200 jam, cuti satu hari seminggu kepada pembantu rumah selain mereka dibenarkan memegang sendiri pasport.

Majikan pula hanya dibenarkan mengambil balik RM1,800 daripada kos yang mereka dahulukan kepada pekerja dengan memotong gaji tidak lebih daripada 50 peratus sebulan daripada pekerja mereka.

Perlindungan kepada majikan ialah mereka berhak mendapat bayaran balik sepenuhnya daripada ejen pekerja jika pembantu rumah mereka melarikan diri dalam tempoh enam bulan, jika mereka tidak mendapat pengganti.

- Bernama

Janji peluk Islam kebas RM60,000

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bermodalkan ikrar memeluk Islam dan berjanji untuk berkahwin menyebabkan seorang duda berusia 55 tahun sanggup menyerahkan wang tunai simpanannya berjumlah RM60,000 secara berperingkat kepada seorang wanita kulit putih bersama peguamnya, sejak awal bulan lalu.

Pengawal keselamatan yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham, 55, berkata, wanita warga Amerika Syarikat itu dikenali sebagai Anne mendakwa bekerja di syarikat penggali minyak berpangkalan di Labuan, Sabah, sejak 22 Oktober lalu.

Menurutnya, hasil perkenalan dan pertemuan pertama melalui rakannya itu, dia menjalin hubungan mesra bersama wanita berusia 30-an itu sebelum Anne menyatakan hasrat memeluk Islam hujung tahun ini.

Katanya, disebabkan yakin dengan niat ikhlas wanita itu yang juga boleh berbahasa Melayu, mangsa menceritakan mengenai wang simpanannya yang sudah mencecah RM60,000 dan wang itu akan digunakan untuk urusan perkahwinannya dengan wanita itu kelak.

“Bagaimanapun, pada 8 November lalu, Anne meminta pertolongan saya membayar RM2,500 untuk urusan satu surat sumpah kepada peguamnya yang akan membantu mendapatkan cek tuntutan berjumlah RM2.3 juta daripada majikannya,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau berkata, disebabkan rasa sayang kepada wanita berkenaan, dia berurusan dengan peguam dimaksudkan Anne iaitu seorang lelaki rakyat tempatan yang kononnya mempunyai pejabat di Jalan Telawi, Bangsar, di sini untuk pembayaran wang itu.
“Wang itu dimasukkan ke akaun lelaki terbabit.

“Keesokannya, Anne meminta saya memasukkan lagi RM7,500 dan apabila saya menyatakan tidak mempunyai wang sebanyak itu, wanita itu merajuk.

“Disebabkan tiada pilihan lain, saya akur pada permintaan wanita terbabit dan lebih mengejutkan seminggu selepas itu, Anne meminta saya membayar RM50,000 pula untuk urusan pembayaran cukai kerajaan,” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan menyatakan sebaik selesai membayar wang RM50,000 itu, dia akan datang ke Kuala Lumpur untuk majlis pertunangan mereka.

“Saya percaya dan menyerahkan wang berkenaan kepada setiausaha peguam itu dalam pertemuan di stesen bas berhampiran Pasar Seni.

“Malangnya Anne tidak jadi datang ke Kuala Lumpur seperti dijanjikan sebaliknya menghubungi saya untuk memasukkan pula RM27,000 ke dalam akaun peguam berkenaan untuk urusan sama.

“Disebabkan berasa kurang yakin, saya tidak menuruti permintaannya kerana duit simpanan saya juga sudah habis.

“Apabila saya meminta alamat penuh peguam berkenaan, dia mula memberi pelbagai alasan dan ketika itu baru saya sedar sudah tertipu. “Susulan itu, saya membuat laporan di Balai Polis Pantai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha sedang dijalankan untuk menjejaki kedua-dua suspek.

Harian Metro

PKR mahu buat kejutan di Johor

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BATU PAHAT – Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kejutan mungkin akan berlaku di Johor, pada pilihan raya umum akan datang.

Ini berikutan usaha bersungguh-sungguh pakatan pembangkang, terutama PKR untuk menawan negeri itu termasuk menjadikan Johor tuan rumah kongres kelapan parti itu,

“Kita percaya, rakyat akan beri sokongan kuat kepada PR untuk tawan Johor, sekali gus membuat kejutan besar pada pilihan raya akan datang. Ianya akan dimulakan di sini, untuk menjadikan Johor kubu kuat kita,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam PKR Cabang Batu Pahat di sini, kelmarin.

Kongres Kelapan KPR akan berlangsung di Pulai Springs Resort, Johor Bahru bermula 25 hingga 27 November ini.

Selain Johor, Anwar berkata, pembangkang turut meletakkan matlamat menawan Negeri Sembilan dan Melaka, selain mengukuhkan kedudukan di Selangor dan Pulau Pinang.

“Kita yakin dengan sokongan rakyat Johor yang semakin meningkat. Paling tidak pun, kita akan dapat tambah kerusi di negeri dianggap kubu kuat Umno ini,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Ketua PKR Johor, Chua Jui Meng dan Ketua PKR Cabang Batu Pahat, Syed Hamid Ali.

Selain itu, Anwar juga berjanji, jika PR diberi peluang memerintah, jawatan Perdana Menteri hanya akan disandang oleh pemimpin yang sama untuk tempoh dua penggal sahaja.

“Menteri pula tidak akan dilantik daripada mereka yang terlibat dengan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media berasingan di KUALA LUMPUR, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution ada sebab tertentu mengapa kongres kelapan parti itu diadakan di Johor.

“Kita tidak buat di Melaka, Perlis, Sabah atau Sarawak yang juga belum pernah jadi tuan rumah. Daripada rekod kita, trend di negeri di mana tujuh kongres diadakan sebelum ini, kemudiannya menjadi medan yang subur untuk parti dan PR. Lihatlah kejayaan kita di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan,” katanya.

Untuk kongres kali ini yang bertema ‘Demi Rakyat’, seramai 2,534 perwakilan yang mewakili 218 cabang seluruh negara dan 1,055 pemerhati berdaftar dijangka akan hadir.

sinar harian/-

3 syarat bina keluarga bahagia

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

INSTITUSI kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam semua perkara membabitkan ahli keluarga.

Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan ahli keluarga yang lain.

Rumah ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga bertanggungjawab serta sarat kasih sayang.

Rumah tangga yang pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin, maka tidak akan mencapai objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti mana dituntut agama.

Islam mensyariatkan perkahwinan kerana memenuhi fitrah manusia yang tidak boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan perhatian, pertolongan, sokongan dan pasangan untuk berkongsi kelemahan serta kekuatan yang boleh melengkapkan sebuah kehidupan menuju ke akhirat.

Tujuan perkahwinan adalah untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Melalui perkahwinan manusia akan hidup dalam mawaddah, musyawarah dan amanah. Lumrah berpasangan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi, justeru mawaddah menjadikan manusia berhemah sesama makhluk Allah dan bertolak ansur sesama insan.

Keperluan mawaddah bukan hanya untuk memenuhi keinginan seksual, juga keperluan jiwa dan nurani manusia yang sentiasa ingin didampingi pasangan bagi berkongsi susah dan senang.

Mawaddah berasaskan nafsu serakah semata-mata akan menghilangkan rahmah dalam kehidupan berumah tangga sehingga memungkinkan suami atau isteri meninggalkan pasangannya kerana orang lain.

Musyawarah pula bermula apabila pasangan saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, justeru cuba memenuhinya tanpa mengorbankan salah satunya. Tetapi, menjadi sebaliknya apabila konsep berjemaah dan syura tidak lagi diterapkan dalam rumah tangga.

Amanah menjadikan pasangan suami isteri lebih bertakwa kepada Allah kerana ia memberi ‘sesuatu’ kepada suami dan isteri supaya bertanggungjawab terhadap pemberian itu. Ia sekali gus menjadikan mereka amanah dan amanah menjadikan mereka bertakwa.

Bagaimanapun, perkahwinan menjadi kehidupan sukar buat setiap pasangan yang tidak mampu mencapai objektif perkahwinan dalam Islam. Rumah tangga yang tidak mampu ditegakkan dengan mawaddah, musyawarah dan amanah akan mudah ranap dan runtuh.

Memang benar perceraian paling dibenci Allah, tetapi tidak bermakna suami isteri harus terus membiarkan diri mereka tenat di bawah runtuhan rumah tangga.

Jika perkahwinan menjadi penyebab manusia semakin galak melakukan maksiat dan mengingkari perintah Allah, sudah tentu perkahwinan itu perlu dijauhi.

Sebab itulah walaupun hukum asal perkahwinan itu sunat kerana diamalkan oleh Rasulullah SAW, ulama menetapkan hukum perkahwinan berbeza mengikut situasi individu.

Malah, perkahwinan diharamkan jika suami tidak mampu membina mawaddah, musyawarah dan amanah, seperti menzalimi isteri serta tidak memberi nafkah zahir dan batin.

Justeru, tiada rasionalnya untuk meneruskan sebuah perkahwinan jika ia menjadikan manusia semakin jauh daripada kasih sayang Allah. Suami atau isteri yang tiada mawaddah, musyawarah dan amanah menjadikan pasangannya tidak taat, setia, sekali gus merosakkan rumah tangga dibina.

Malah ia berkemungkinan mengakibatkan berlakunya perbuatan lain yang membuatkan mereka semakin ingkar terhadap peraturan Allah. Perceraian bukanlah keseronokan, ia bukan juga penentu sebuah kehidupan baru yang akan dibina akan lebih baik dari sebelumnya, tetapi ia adalah jalan keluar dari kesukaran.

islam itu indah/-

Biskut beras terbesar di dunia

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BEBERAPA ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia bergambar dekat biskut beras terbesar di dunia di wilayah Chiba, Tokyo semalam.

TOKYO - Sekumpulan peminat snek di Jepun semalam mendakwa mereka mencatat rekod untuk biskut beras terbesar di dunia.

Memiliki diameter 160 sentimeter, biskut itu jauh lebih besar daripada biskut beras biasa yang dikenali sebagai senbei.

Senbei yang diperbuat daripada tepung beras, dimakan dengan meluas di Jepun.

Michihiro Yamaguchi yang merupakan seorang ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia di bandar Kioroshi, timur Tokyo menganggap ia adalah detik kejayaan buat mereka.

"Kami berjaya melakukannya. Inilah dendam yang amat manis," katanya selepas gagal dalam percubaan untuk berada dalam buku rekod dunia pada bulan lalu selepas biskut yang dihasilkan itu kurang tiga sentimeter daripada sasaran mereka. - AFP

Harimau jarang dilihat ditemui di Indonesia

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SEBUAH kamera tersembunyi merakamkan gambar seekor harimau batu di Bukit Tigapuluh, Sumatera pada 18 Mac lalu. - Reuters

JAKARTA - Kumpulan pemuliharaan Dana Hidupan Sedunia (WWF) semalam mendesak pemerintah Indonesia memulihara hutannya selepas gambar-gambar menunjukkan beberapa ekor harimau yang jarang dilihat berada di sebuah kawasan pembalakan.

Menurut WWF, gambar itu menunjukkan harimau Sumatera, harimau emas, harimau bintang, harimau akar dan harimau batu berkeliaran di sebuah kawasan hutan yang tidak dilindungi.

Ia menyatakan, harimau tersebut ditemui berada di antara Taman Negara Bukit Tigapuluh, Sumatera dan sebuah kawasan pemuliharaan haiwan liar.

Lebih tiga bulan dalam tahun ini, kamera WWF merakamkan 404 gambar harimau liar termasuk 226 ekor harimau Sumatera, 77 ekor harimau akar, 70 ekor harimau emas, empat harimau batu dan 27 harimau bintang. - AFP

Bekas Presiden Filipina dilarang berubat ke luar negara

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KERAJAAN Filipina mencabar sebuah Mahkamah Agong kerana membenarkan mantan presiden negara tersebut, Gloria Macapagal Arroyo untuk berlepas keluar negara bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Arroyo, 64 mendakwa dirinya menghidap penyakit tulang namun dihalang daripada meninggalkan negara lantaran tuduhan rasuah yang sedang dihadapinya.

Pihak berkuasa hari ini telah menghalang cubaan bekas presiden negara tersebut untuk berlepas keluar negara bersama suaminya dari lapangan terbang Manila.

Bagaimanapun, Mahkamah Agong telah mengeluarkan keputusan bahawa pengharaman itu adalah bercanggah dengan perlembagaan.

ARROYO dilihat menutup mukanya bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa

Arroyo kini menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah. Kerajaan semasa Filipina bimbang Arroyo akan menghilangkan diri jika dibenarkan berlepas keluar negara.

Jurucakap presiden, Edwin Lacierda berkata Arroyo yang sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah dan penipuan pilihanraya akan dilayan dengan cara bermaruah.

"Namun kami akan tegas dengan keputusan untuk tidak membenarkan beliau meninggalkan negara" ujarnya tegas.

Lacierda berkata "ini semua hanyalah sandiwara, mereka hanya mahu mendapatkan simpati orang ramai".
Sumber: [Free Malays]

Bayar sarapan guna wang palsu

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PERBANDINGAN wang RM10 palsu (atas) dan tulen (bawah) yang diterima oleh Zamri daripada satu pasangan di Kuantan, Pahang semalam.

KUANTAN – Seorang peniaga mendakwa dia menjadi mangsa penipuan kepada satu pasangan yang menaiki sebuah kereta mewah jenis Mitsubishi Lancer apabila menerima wang palsu RM10 ketika sedang sibuk melayan pelanggan yang datang ke kedainya di Kubang Buaya di sini semalam.

Zamri Kamal, 41, mendakwa, ketika kejadian pukul 8.30 pagi itu, dia tidak sempat untuk meneliti wang tersebut kerana pasangan yang berpenampilan kemas terbabit bertindak meninggalkan wang tersebut di atas meja kaunter bayaran dan terus meminta baki RM5.

Katanya, ketika itu, dia dan isteri sibuk melayan pelanggan dan hanya menyedari selepas kedainya agak lengang kira-kira setengah jam kemudian.

“Ketika kedai kami diserbu pelanggan, pasangan itu mengambil kesempatan untuk membayar harga makanan yang dimakan iaitu teh tarik, kuih dan nasi lemak. Kesemuanya bernilai RM5.

“Selepas mendapat baki, mereka yang menaiki kereta warna merah terus menuju ke arah Alor Akar di sini. Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa,” ceritanya yang telah lapan tahun berniaga.

kosmo/-

8 orang masuk hospital akibat minum susu 1Malaysia..

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

24 orang pelajar di Kuala Nerang, Kedah telah mengalami masalah setelah minum Susu 1Malaysia.

Daripada jumlah itu, katanya, 8 orang telah mengalami masalah serius sehingga terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Nerang.

"Saya difahamkan, Susu 1Malaysia itu diberikan kepada semua pelajar di seluruh negara. Diharap pihak kementerian menarik balik bekalan Susu 1Malaysia di sekolah-sekolah kerana ia tak baik kepada kesihatan," kata Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria- sumber cerita

Ini pula kisah SOS Cili 1 Malaysia

Standard users: Hentikan jualan sos cili 1Malaysia

Ujian makmal ke atas sos cili yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mendapati tahap raksa dan plumbum melebihi paras yang dibenarkan dalam Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Dalam laporan draf penyelidikan perbandingan produk yang diperolehi oleh Malaysiakini, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) mendapati 3.64ppm plumbum dan 0.08ppm raksa atau merkuri dalam sos cili 1Malaysia.

Sedangkan, tahap yang dibenarkan untuk sos cili adalah 2ppm bagi plumbun manakala 0.05ppm untuk raksa.

Laporan itu membandingkan sos cili jenama 1Malaysia dengan tiga jenama lain, iaitu Tesco Value, Life dan Lingham. Semua jenama berkenaan didapati mematuhi had yang ditetapkan, malah kadar mereka juga jauh lebih rendah daripada yang dibenarkan oleh undang-undang.

Ujian bagi produk berkenaan dijalankan oleh Unipeq Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditauliahkan di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) oleh Jabatan Standard Malaysia.

Ketika dihubungi, ketua pegawai eksekutif, Standard Users, DN Ratna berkata, organisasinya telah menjalankan penyelidikan seumpama itu selama lebih tiga tahun dan memutuskan untuk memasukkan produk 1Malaysia dalam kajian kerana pengguna sedang digalakkan membeli produk itu.

Katanya, sampel sos cili berkenaan diperolehi dari kedai-kedai runcit dan pasar raya besar di sekitar Lembah Klang antara bulan Ogos dan September lalu.

Mengulas keputusan kajian itu, Ratna menggesa Kementerian Kesihatan untuk segera menghentikan jualan sos cili 1Malaysia.

"Kesan logam berat itu boleh menyebabkan keracunan. Jika seseorang menggunakan jenama itu bagi jangkamasa yang lama, logam itu akan terkumpul di rambut, tisu dan bahagian-bahagian badan yang lain ... Jika mereka orang yang terdedah itu tidak sihat, maka kesannya lebih cepat dan nyata.

"Ini berkaitan logam berat, mereka (Kementerian Kesihatan) sepatutnya tidak membenarkan jualan produk itu sehingga mereka sahkannya dengan ujian sendiri dan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Menurut laporan itu, raksa yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem saraf pusat tunjang serta sistem endokrin, yang berpotensi membawa kepada kerosakan buah pinggang.

Sumber - Malaysiakini

32 pensyarah IAB dikesan jadi alat Umno BN

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Seramai 32 orang pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB) yang bertugas di Kelantan dikesan menjalankan kegiatan menyalahi peraturan dengan berkempen bagi pihak Umno BN.

Dalam siri-siri kempen yang diatur, mereka sering memburukkan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat bagi mempengaruhi orang ramai supaya membenci kedua-dua parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Husain berkata, pensyarah-pensyarah terbabit ternyata menjadi alat Umno BN, manakala penempatan mereka di negeri itu memimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak.

Menurutnya, sehingga kini Institut Aminuddin Baki masih belum dibina di Kelantan dan keadaan itu pasti merumitkan pensyarah-pensyarah terbabit melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Katanya, disebabkan keadaan itu, pensyarah-pensyarah tersebut sehingga kini terpaksa di tempatkan mengajar di beberapa buah sekolah di negeri itu.

"Jadi saya ingin bertanya kepada pihak Kementerian Pelajaran, billakah Institut Aminuiddin Baki akan dibina di Kelantan?" katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Sekiranya institut tersebut akan dibina di Kelantan, beliau ingin tahu, bilakah pembinaannya akan siap sepenuhnya untuk membolehkannya digunakan dengan baik.

Langkah mendirikan institut tersebut di Kelantan, tegas beliau, tidak seharusnya dilengah-lengahkan oleh pihak Kementerian Pelajaran bagi membolehkan pensyarah-pensyarah terbabit melaksanakan tugasnya di institut itu sendiri.

Sebelum itu, beliau menyuarakan kekesalannya kerana pihak kementerian itu masih lagi belum memberikan sebarang perkapita kepada sekolah-sekolah agama di negeri itu.

Katanya, sekolah-sekolah agama yang masih diabaikan bantuan perkapita itu termasuk sekolah-sekolah Arab yang terdapat di Kelantan.

"Saya harap perkara ini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian bagi kepentingan sekolah-sekolah agama," katanya.

Beliau turut menyarankan pihak kementerian mengambil langkah menyelaraskan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan Sijil Tinggi Persekolan Malaysia (STPM).

harakahdaily/-

Mahasiswa UPSI berdemo lagi, tuntut jaminan posting

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam sekali lagi mengadakan piket aman menuntut isu 'posting' diselesai segera oleh pihak pentadbiran universiti tersebut.

Piket yang dinamakan 'Posting 2.0' merupakan rentetan daripada isu penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan keluaran universiti awam yang melanda mahasiswa.

Bercakap kepada Harakahdaily, Setiausaha Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Siti Nurul Piteriah Ab Halim menjelaskan, sehingga hari ini belum ada kenyataan konkrit dari pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan permasalahan mahasiswa pendidikan tersebut.

"Wakil mahasiswa telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pelajaran (Datuk Dr Wee Ka Siong) bagi mengetahui kedudukan sebenar serta maklum balas dari pihak kementerian namun sehingga kini kita tidak tahu kedudukan sebenar mahasiswa selepas mereka tamat pengajian di sini," jelasnya sambil menambah pertemuan tersebut dibuat pada 19 November lalu di parlimen.

Tambah Nurul Piteriah lagi Piket Posting 2.0 itu bermula pada jam 1.00 petang, di mana sekumpulan mahasiswa seramai 70 orang telah berarak dari Sudut Pidato ke bangunan Canselori untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi univesiti.

"Mereka akhirnya disambut oleh Naib Canselor UPSI, Professor Zakaria Kasa di pejabat beliaunya. Pertemuan antara perwakilan Pro-Mahasiswa UPSI (Legasi Mahasiswa Progresif dan Mahasiswa Pendidik) dilaporkan berlangsung secara sihat dengan pihak universiti yang akhirnya akur dengan tuntutan mahasiswa dan berjanji akan menyelesaikan kemelut ini.

"Pihak universiti juga dikatakan telah menghantar nama-nama graduan yang belum mendapat penempatan untuk diuruskan oleh pihak berwajib," sambungnya.

Beliau memberitahu sebelum ini, mahasiswa tidak berpuas hati dengan sikap universiti yang tidak memberi sebarang maklum balas terhadap tujuh tuntutan yang diserahkan kepada pihak pentadbir universiti sebelum ini.

Tambahnya, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (TNCP&I), Dr. Noraini yang menerima tuntutan tersebut sebelum ini telah berjanji akan menyelesaikan isu tersebut tetapi tiada penyelesaian sehinggalah pertemuan pada hari ini.

Sementara itu Koordinator Mahasiswa Pendidik, Mohd Zahar bin Mat Noor memberitahu piket ini bukan mahu buat kacau tetapi cuma mahu penjelasan dari Menteri supaya keresahan dan kepincangan dalam kalangan Graduan ISMP dapat diredakan dan pelajar-pelajar lain dapat meneruskan pelajaran dengan tenang.

Piket tersebut menyaksikan Bangunan Bitarasiswa sekali lagi menjadi medan bagi mahasiswa berhimpun.

Pada 2 November lalu, seramai 5,000 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan universiti itu telah berhimpun menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

harakahdaily/-

HUKUM ISLAM UNTUK KAWAL KADAR ANAK LUAR NIKAH

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa bimbang dengan kadar kelahiran anak luar nikah di negara ini dari tahun 2008 hingga 2010, iaitu seramai 152,182 berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). DPPWP melihat jumlah ini sangat besar dan memalukan bagi sebuah negara umat Islam seperti Malaysia. DPPWP merasa khuatir dengan trend ini kerana ia menunjukkan tahap sosial, zina, serta pergaulan bebas generasi muda di negara ini sangat tidak terkawal.

DPPWP berpandangan lambakan pusat-pusat hiburan yang disogokkan kepada generasi muda di negara ini secara keterlaluan menjadi punca utama kelahiran anak luar nikah. Kebanyakan negeri yang mempunyai rekod kelahiran anak luar nikah tertinggi mempunyai bandar-bandar besar yang menawarkan pelbagai pusat hiburan, kelab-kelab malam, konsert, pesta, serta sambutan sempena peristiwa besar negara. Pusat hiburan adalah pusat segala maksiat yang disinilah berlakunya pergaulan bebas, arak, zina, pelacuran, bahkan dadah dan segala macam jenayah. Yang lebih dikesalkan adalah pusat-pusat hiburan semakin banyak bercambah, malah diberikan permit untuk beroperasi.

Selain itu, DPPWP juga kesal kerana budaya hiburan melampau melalui televisyen mudah mendapat tempat. Akhir-akhir ini pula, semakin galak pula artis-artis yang berpakaian mengghairahkan diberikan liputan media dalam media utama negara. Bahan berita mereka dengan aksi yang mendebarkan menjadi isu utama dalam media yang dibaca dan ditonton oleh jutaan anak-anak muda di negara ini.

DPPWP melihat sekiranya kerajaan serius mahu membendung gejala anak luar nikah, pusat-pusat hiburan perlu ditutup sama sekali. Alasan bahawa pusat hiburan menjadi tarikan pelancongan tidak berbangkit kerana pusat hiburan tidak menguntungkan rakyat. DPPWP yakin setiap agama dan adat resam inginkan yang terbaik untuk penganut mereka, justeru tidak salah jika pusat hiburan ditutup demi kebaikan semua pihak.

DPPWP juga mendesak agar konsert-konsert hiburan dikawal ketat agar tidak sewenang-wenangnya ia dibuat. Mana-mana artis yang berpakaian menjolok mata perlu diharamkan, sementara penonton pula diasingkan antara lelaki dan perempuan. Perlu ada garis panduan terhadap persembahan yang akan dibuat agar mematuhi budaya dan akhlak masyarakat di negara ini.

Akhir sekali, DPPWP menegaskan jika kerajaan benar-benar serius mahu menjadikan masyarakat di Malaysia jauh daripada gejala sosial, maka laksanakan Hukum Islam yang sebenar kerana ia adalah pencegahan paling utama. Cubalah buat perbandingan antara tahun-tahun yang tidak dilaksanakan hukum Islam dengan tahun-tahun yang ia dilaksanakan untuk tahu keberkesannnya hukum Allah ini.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan pemuda PASWilayah Persekutuan

Tangkapan terbaru ISA, GMI selar Najib

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Penangkapan terbaru membabitkan sekurang-kurangnya 10 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah Isnin lalu membuktikan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya 'sandiwara'.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ianya secara jelas menunjukkan bahawa Najib sememangnya tidak ikhlas dengan pengumumannya sebelum ini untuk memansuhkan ISA.

"Penahanan terbaru ini menjadi satu singgungan yang kuat kepada rakyat.

"Ia tak memberi apa-apa makna kepada janji perdana menteri untuk memansuhkan ISA melainkan hanya sandiwara untuk mendapat sokongan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat terbaru berhubung penahanan 10 aktivis Islam di bawah akta itu di Sabah, 14 November lalu.

Semalam, Pesuruhjayanya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Menurutnya, keluarga atau waris yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian bahawa mereka ditangkap di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Menurut Syed Ibrahim, GMI bagaimanapun mendapat maklumat sekurang-kurangnya 11 hingga 14 orang yang ditangkap dalam operasi hari tersebut.

"(Dengan pengumuman Najib) Kita jangka tak ada lagi tangkapan besar-besaran seperti apa berlaku ini.

"Tapi malangnya kita lihat tindakan tidak menyokong janji yang dibuat," jelasnya sambil mendakwa akan mengeluarkan kenyataan rasmi GMI hari ini.

Sementara itu, GMI menurutnya akan mendapatkan maklumat lanjut dari waris mangsa tahanan untuk membuat tidakan susulan.

Beliau menyeru pihak keluarga terutamanya dan PAS Sabah memberi kerjasama untuk tujuan tersebut.

"Ramai yang ingat (selepas pengumuman Najib), tidak ada lagi mangsa yang ditahan, dan tiadak ada lagi yang akan ditahan.

"Sebenarnya masih ada yang belum dibebaskan dan masih berlaku tangkapan-tangkapan baru," jelasnya.

harakahdaily/-

Wakil Rakyat Sarawak Kurang Bersuara Dalam Parlimen

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


Mengapa Ahli Parlimen (AP) Sarawak kurang bersuara dalam sidang parlimen terutama sekali AP dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang banyak menyumbang kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat. Jarang sekali kita mendengar suara AP dari Sarawak selain Tiong dari Bintulu yang banyak bercakap. Sepatutnya AP dari PBB yang perlu tampil ke depan untuk menyuarakan masalah kaum bumiputera dan rakyat Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan asas lebih-lebih lagi yang tinggal di kawasan luar Bandar.

Pandangan dari penduduk Sarawak antara lain katanya “ semasa perbahasan di Parlimen AP dari Sarawak semuanya tidur langsung tidak ada berucap maupun berdebat macam AP dari negeri-negeri lain macam AP dari sabah, bhg Kinabatangan yang lantang bersuara tetapi dari Sarawak semuanya lesu. Apa sik pandai bersuarakah atau sik mampu berucap baik beri orang lain ajak.Coba bawah ketengah sedikit masalah masalah di Sarawak di parlimen.”

Sepatutnya mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat dan dilantik sebagai AP menyuarakan masalah rakyat di parlimen bukan sekadar duduk dan mengambil elaun saja. Perkara ini sudah lama kita perhatikan mengapa mereka kurang bersemangat untuk bersuara seolah-olah tiada masalah yang berlaku dalam Sarawak. Semua kita tahu bahwa Sarawak adalah antara yang termiskin dalam Malaysia dan masih jauh ketinggalan dari Semenanjung Malaysia sedangkan banyak sumber hasil datang dari Sarawak.

Sepatutnya inilah masanya suara AP dari Sarawak dan Sabah menuntut hak mereka seperti royalty minyak, masalah penggangguran anak tempatan, masalah perumahan yang semakin mahal untuk dibeli, masalah tanah rakyat yang kena rampas untuk kepentingan pihak tertentu dan sebagainya agar dapat di beri perhatian oleh kerajaan Pusat. BN Sarawak telah memberi sumbangan kerusi parlimen terbanyak untuk mengekalkan kuasa kerajaan BN di peringkat pusat maka mereka juga perlu berani tampil ke depan bukan hanya mendiam diri tanpa bersuara untuk kepentingan rakyat Sarawak.

Kita mendesak agar AP atau wakil-wakil rakyat dari Sarawak harus berani bersuara dalam parlimen dan jangan hanya membaca skrip dan mengikut telunjuk pihak yang mempunyai kepentingan atau hanya untuk kepentingan parti mereka saja tetapi suara rakyat langsung tidak diambil kira. Kita harap AP dari Sarawak jangan cepat melenting apabila rakyat menegur sikap AP Sarawak yang kurang bersemangat untuk menyuarakan masalah mereka di peringkat pusat (Parliament). Semua ini untuk kepentingan dan masa depan rakyat Sarawak agar terus maju dan bangun bersama arus pembangunan yang semakin pesat.

Jangan biarkan rakyat Sarawak menumpang di tanah sendiri dan tanah rakyat jadi mangsa arus pembangunan yang hanya mementingkan kepentingan pihak tertentu saja. Jangan biarkan rakyat terus hidup dalam keadaan daif dan menderita akibat arus pembangunan yang tidak seimbang dimana yang kaya bertambah kaya dan yang miskin terus hidup menderita.

Kalau sudah terpilih menjadi wakil rakyat sepatutnya bekerja untuk rakyat bukan untuk kepentingan diri sendiri, kalau sudah rasa susah sangat hendak berkhidmat untuk rakyat lebih baik jadi perniaga sepenuh masa dari membazir wang rakyat. Rakyat memilih wakil rakyat untuk menyuarakan masalah rakyat bukan sebaliknya. Jadi kita minta mereka yang bercita-cita hendak jadi wakil rakyat mesti ikhlas,jujur,amanah dan bersedia berkorban untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

PAS Miri

Jofri Jaraiee