17 November 2011

Sejak beroperasi, Melaka monorel tergendala 21 kali

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MELAKA. 2011 – Monorel pelancongan Sungai Melaka yang perkhidmatannya digantung sejak 10 hari lepas telah tergendala sebanyak 21 kali sejak mula beroperasi pada 20 Oktober 2010 hingga 30 September 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Wira Latiff Tamby Chik berkata, pada masa sama, pihak pengendali iaitu Melaka Taming Sari Sdn Bhd (MTSB) terpaksa menampung kerugian operasi sebanyak RM74,188.75.

“Perbelanjaan operasi yang dikenakan sepanjang tempoh itu ialah sebanyak RM205,573.25 berbanding kutipan sebanyak RM131,384.50,” katanya ketika menjawab soalan Betty Chew Gek Cheng (DAP-Kota Laksamana) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata, seramai 16,011 pengunjung menaiki monorel itu sejak dirasmikan hingga 30 September 2011. “Monorel ini akan terus beroperasi kerana ia merupakan salah satu produk pelancongan Melaka yang menjadi tarikan pengunjung dan dapat memberi pulangan yang lumayan kepada kerajaan negeri dalam jangka masa panjang,” katanya.

Monorel pelancongan berharga RM15.5 juta yang menghubungkan Stesen Hang Jebat di Taman Rempah dan Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya itu dilancar pada 20 Oktober tahun lepas sempena perisytiharan Melaka sebagai Negeri Maju 2010.

Sumber :utusan.com.my

Tiada ulasan: