17 November 2011

Fidlot: BN hadapi krisis keyakinan rakyat

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 Nov: Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Umno BN kini sedang berdepan 'krisis keyakinan rakyat' yang teruk.

Menurut Mohd Amar, keadaan itu berlaku ekoran penyelewengan yang didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2010 termasuk salah guna kuasa dalam isu National Feedlot Corporation membabitkan keluarga menteri kanan kerajaan.

"Keseluruhan kepimpinan Umno Barisan Nasional kini secara kolektifnya terjejas teruk.

“Mereka sampai kini tidak boleh menyelesaikan isu-isu yang ditimbulkan, bahkan sehingga hari ini Timbalan Perdana Menteri terpaksa meminta National Feedlot tampil membuat penjelasan sendiri.

“Ini bererti, penjelasan yang dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan juga beberapa orang lain, tidak boleh menyelesaikan masalah," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, bercakap kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Mesra Kaum 2011 di Dewan Perniagaan Cina di sini malam tadi.

“Jadi, ini satu benda yang besar.

“Isu ‘audit’ ini sendiri menjejaskan penghormatan rakyat kepada pemimpin Umno dan BN.

“Kita bukan kira satu dua orang individu, tetapi keseluruhan, kepimpinan Umno BN secara kolektifnya terjejas teruk,” dakwa Mohd Amar.

Terdahulu, majlis makan malam tersebut dirasmikan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Dato Anuar Tan Abdullah.

National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd. dimiliki oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Syarikat itu, sebelum ini, didakwa telah membelanjakan sebanyak RM250 juta dana awam yang diperuntukan dalam bentuk pinjaman mudah.

Sementara itu, mengulas kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, beliau berkata ‘Tuan Guru’ itu sendiri merupakan satu ‘kekuatan’ kepada PAS dan Pakatan Rakyat khususnya.

“Dan dari sudut lain, kita melihat corak kepimpinan Islam yang dibawa Tuk Guru ini boleh diterima seluruh lapisan masyarakat.

“Jadi pada pandangan kita, ini menunjukkan bahawa kepimpinan Islam ini bukanlah suatu benda asing dalam masyarakat terutama dalam konteks Kelantan,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: