18 Jun 2010

Jom ke wacana Zainab Al Ghazali

5 Rejab 1431 H
Oleh: Ridhuan Mohamad Nor

Muslimat merupakan sayap penting dalam perjuangan Islam, semenjak zaman Nabi SAW silih berganti, bahu membahu bersama muslimin dalam membentengi agama Allah SWT.

Fasa awal dakwah, Sumaiyyah bersimbah darah di zaman makiyyah, ummu Nusaibah Binti Kaab menjadikan dirinya sebagai perisai kepada Nabi dalam pertembungan di medan Uhud, membenarkan bai’ahnya di Aqobah (ii).

Madinah pula menyaksikan kehebatan, Khaulah yang menjadi sumbu api semangat terhadap anak-anak lelakinya untuk menggapai piala syahid dijalan Allah.

Aisyah, ummu mukminin gigih melakukan pencerahan kepada sahabat dan sahabiah terutama selepas kewafatan Nabi SAW.

Di belakang tokoh besar sahabat adalah srikandi yang sentiasa merangsang api semangat dan mengalirkan energi perjuangan.

Di zaman moden ini, langit sejarah telah merakamkan seorang muslimat pejuang berdepan dengan kezaliman pemerintah.

Mendekam di penjara militer dengan seribu satu penyiksaan dan penistaan, namun beliau tabah mengharungi mehnah.

Zainab al Ghazali, disebalik jeriji penjara adalah mercutanda sebuah catatan kanvas perjuangan, meruntuhkan gunung kezaliman yang menyelimuti ummah yang sedang terlena.

Saat Mesir menjadi sasaran Barat untuk diruntuhkan benteng akidah dan pi ncang akhlak, Allah menghantar tentera fikrah seperti Zainab al Ghazali untuk menjulang izzah, menggodam samudera kegelapan yang memayungi langit Mesir dan seluruh peta ummat Islam.

Kehebatan Zainab mencabar jahiliah moden terpaksa dibayar dengan harga yang mahal, Gamal Abdul Naseer tidak mengenal ampun samada muslimin atau muslimat yang lahiriahnya santun.

Zainab, Sayyid Qutb, Hameedah Qutb, Sheikh Abdul Kader Audah, Sheikh Fattah Ismail adalah sebaris tokoh yang disumbat ke penjara militer dan dibicarakan di mahkamah ‘kangaroo’, ribuan ‘hero tak didendang’ iaitu anggota Ikhwanul Muslimin diserkap dalam penjara dan mengalami penindasan yang tidak terperi sakitnya.

Lukisan hodoh kezaliman dengan rumbu-rumbu hitam menyesakkan relung dada, Zainab adalah contoh di zaman kontemporari bagaimana kezaliman tidak akan berhenti untuk menghalang para pejuang manakala para pejuang tidak akan pernah lelah untuk bangkit melawan.
Zainab al Ghazali, akan mengingatkan kita akan jalan panjang perjuangan, bahawa medan ini akan ditabur dengan duri dan seribu kejerihan yang menghambat. Pengkisahan kisah Zainab akan mengingatkan kita bahawa tidak pantas untuk kita pejuang untuk mempunyai penyakit ‘hubbu riasah’( kecintaan kepada kedudukan), sibuk dengan agenda menebar pesona dan sibuk untuk memposisikan diri supaya dipandang oleh manusia lain.

Kita yang ingin merengkuh kasih sayang Allah tidak akan melacurkan perjuangan untuk meletakkan diri kita setaraf dengan perjungan ‘women –lib’, kononnya untuk menuntut hak. Jangan kita meninggalkan manhaj Islam untuk menjadi kelihatan liberal kononnya untuk menyesuaikan diri dengan lingkungan dan juga tuntutan politik massa di era pemuafakatan politik yang menjanjikan sesuatu.

Ikhwanul Muslimin dan Zainab al Ghazali menjadi cerminan kepada kita dalam menjaga ketulenan manhaj perjuangan. Mungkin cabaran kepada kita di Malaysia lebih kompleks akibat kejayaan kita berada di serambi kuasa, namun ujian kuasa inilah menuntut kepada program amal tarbawi yang semakin serius.

Muslimat terutamanya akan diseret jauh kedalam untuk menghayati kisah hidup muslimat ‘bertulang besi, berurat dawai’ ini, sesepuh pejuang Ikhwanul Muslimin, sebuah gerakan fenomenal abad 20.

Datanglah, kita membedah sejarah ibu berhati emas ini bagi mengambil pengajaran dalam menapaki jalan juang yang jauh ini.

Jom, teman-teman muslimin dan muslimat sekelian , kita menghadirkan diri ke program wacana Zainab al ghazali pada 19 Jun ini , bertempat di Dewan Seminar Masjid al Azim Pandan Indah Selangor.

Antara pembentang wacana ini ialah Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz (DPPP), Ustaz Dr Zulkarnaen Hassan(DUPP), ustaz Riduan Nor .

Program ini bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 12.30 tengahari.

Dianjurkan bersama oleh Dewan Muslimat PAS Selangor dan DMP Pandan serta Masjid al azim. Hubungi Puan Lin:0133539440, Nik,0193238455 untuk maklumat lanjut.

Harakahdaily/-

ADUN BEBAS: TIADA MARUAH DAN DAYUS

4 Rejab 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat kecewa dengan tindakan tidak bermoral K. Keshvinder Singh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar daripada DAP yang telah mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang dilihat telah mengkhianati amanah rakyat dan tidak layak menjadi Yang Berhormat dengan tindakkannya tersebut.

DPPN Pk mendesak agar Keshvinder meletak jawatan jika beliau benar-benar menghormati rakyat yang telah memilihnya. DPPN Pk juga mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tindakkan tidak bermoral yang telah dilakukan oleh Keshvinder tersebut yang memungkinkan gejala rasuah berlaku.

MOHD MUNIR ALI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Judi Tetap HARAM - Menjawab Kenyataan Tun Mahathir

4 Rejab 1431 H
oleh: ibnuirfadzil.blogspot.com

Artikel ini berikutan daripada beberapa kenyataan beberapa orang yang tidak asing seperti Tun Mahathir Mohamed, yang menghalalkan judi dengan beberapa perkara yang diukur dengan akal, walhal ia perlu dinilai dengan cara yang tepat di sisi syara’.

Antara kenyataan yang disiarkan di dalam berita ialah (link) :

"Pendapat kami, dengan membenarkan dan mengawal industri pertaruhan sukan, kerajaan akan menerima lebih banyak hasil sehingga berjuta ringgit, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa, yang boleh disalurkan untuk membantu program kemasyarakatan dan aktiviti seluruh negara," katanya.

Dalam kenyataannya itu, George juga berkata, langkah itu akan membantu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan juga pulangan kepada kerajaan -- pada jumlah boleh mencecah "jutaan ringgit."

"Apa yang kerajaan sedang lakukan ialah meneliti satu situasi ekonomi yang sekiranya tidak dieksploitasi atau dikawal, boleh menjadi medan pengubahan wang haram, pembiayaan kegiatan maksiat, pengedaran dadah dan lebih banyak jenayah berat yang lain.

"Mengenai bantahan daripada pihak tertentu pula, kami berpendapat bahawa bantahan itu setakat ini hanyalah bermotifkan politik dan untuk keuntungan politik sahaja.

"Amat penting bagi kita untuk melihat isu ini daripada perspektif ekonomi, daripada melihat daripada kaca mata politik," katanya lagi.

Di dalam artikel kali ini, saya tidak ingin untuk membincangkan tentang “halal atau tidak harta tersebut digunakan untuk negara”. Tetapi apa yang saya ingin bincangkan ialah situasi yang berkaitan dengan pemikiran politik ekonomi yang telah menghalalkan judi, mengikut perspektif siasah syar’iyyah.

Daripada berita di atas, kita dapat mengetahui bahawa duit hasil judi yang berjuta-juta ringgit itu akan menjadi keuntungan negara. Maka, mereka berpandangan ia adalah satu perkara yang bermanfaat dan sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan. Maka, daripada ulasan ini, dapat kita simpulkan kepada beberapa isi.

Pertama

Pemikiran Existentialisme telah mengatakan ketuanan kepada diri manusia, sehingga mereka meletakkan baik dan buruk itu berdasarkan apa yang disukai oleh diri sendiri. Apa yang dirasakan baik pada diri sendiri, maka ia dianggap baik. Sedangkan di dalam Islam meletakkan perbezaan di antara baik dan buruk berdasarkan perspektif syara’, bukan dengan ukuran otak manusia.

Maka, mereka seperti menggunakan pemikiran ini, dalam menghalalkan judi berdasarkan “kebaikan” dan manfaat yang mereka perolehi, sedangkan perkara tersebut adalah haram. Maka, mereka mengukur baik dan buruk itu berdasarkan otak manusia semata-mata, bukan lagi berdasarkan syara’

(Sumber : Falsafah Moden, Dr Ahmad Abduh Hamudah al Jamal, cetakan Universiti al Azhar)

Kedua

Kepentingan (maslahah) untuk masyarakat perlu diukur kepada beberapa perkara berikut :

1. Kepentingan itu hendaklah tidak bercanggah dengan matlamat pensyariatan (maqasid syariah).

2. Sekiranya bercanggah, ia tidak dinamakan kepentingan, bahkan ia adalah kerosakan (mafsadah). Judi adalah satu perkara yang bercanggah dengan matlamat pensyariatan (maqasid syariah)

Maka judi diletakkan sebagai kerosakan, bukan lagi kepentingan (maslahah). Maka di sana terdapat pertimbangan di antara dua perkara, iaitu :

1. Sekiranya menghalalkan judi, akan menyebabkan kerosakan (mafsadah).

2. Sekiranya menyekat perjudian, merupakan kepentingan (maslahah).

Maka, secara jelasnya kita perlu menyekat judi kerana ia merupakan kepentingan dan ia juga menolak kerosakan. Sekiranya kita menghalalkan judi, akan menyebabkan kerosakan, dan bertentangan dengan kepentingan manusia (maslahah). Maka, sudah pasti ia perlu ditolak serta merta, kerana jelas bertentangan dengan maqasid syariah.

Timbul persoalan, sekiranya duit tersebut digunakan untuk kebajikan dan kebaikan, bukankah ia satu kepentingan untuk rakyat? Maka, jawapannya ialah “perkara yang bercanggah dengan maqasid syariah bukanlah satu kepentingan untuk rakyat, tetapi ia adalah satu bahana yang besar”.(As Siasah asy Syar’iyyah, Dr Yusof al Qaradhawi, cet. kedua Maktabah Wahbah, hal. 87)

Ketiga

Syariat tidak boleh diukur dengan akal manusia. Bahkan menghalalkan judi adalah satu bentuk perkara yang bercanggah dengan akal manusia sendiri. Sudah terang, judi itu akan menyebabkan harta dimakan secara haram, persengketaan, kezaliman, penipuan dan sebagainya.

Maka, akal yang tidak sihat akan mengatakan bahawa persengketaan itu adalah bagus, kezaliman itu juga satu bentuk amalan yang baik, dan sebagainya. Sudah pasti, mereka yang menghalalkan judi, juga mereka yang menghalalkan kezaliman. Agama manakah yang membenarkan kezaliman selain daripada Yahudi?

Yahudi mengamalkan konsep “matlamat menghalalkan cara”. Iaitu gunakanlah cara apa sekalipun, asalkan matlamat tersebut tercapai. Tidak kira cara yang digunakan tersebut menzalimi manusia atau tidak. Maka, menghalalkan kezaliman adalah salah satu bentuk amalan Yahudi.

Membenarkan judi seolah-olah membenarkan kezaliman berlaku. Akal yang sihat manakah akan meredhai kezaliman? Adakah kita dibenarkan melakukan kezaliman terhadap harta orang ramai, untuk mendapatkan keuntungan berjuta ringgit? Jawapannya ialah, “matlamat tidak menghalalkan cara”.

(sumber : al Yahud, Tarikhan Wa Aqidatan, Dr Kamil Sa’fan, cet. Pertama Darul I’tisom)

Keempat

Judi akan menyebabkan akidah dan pegangan manusia mudah goyah. Iaitu dengan mengamalkan konsep tilik nasib. Atau menanti nasib. Maka, perkara ini diharamkan oleh Allah SWT, kerana ia bercanggah dengan maqasid syariah (matlamat digariskan syariat), iaitu syariat digariskan untuk memelihara perkara-perkara berikut :

1. Syariat digariskan untuk menjaga akidah dan pegangan manusia. Maka, dengan berjudi boleh menyebabkan akidah dan pegangan seseorang itu goyah. Mereka tidak yakin dengan Allah SWT hasil daripada didikan tilik nasib seperti judi ini. Maka, Islam tetap melarang judi walaupun ia memberikan pulangan

2. Syariat digariskan untuk menjaga harta sesama manusia. Maka, dengan berjudi akan menyebabkan harta manusia bercampur di antara harta yang diusahakan, harta yang diambil secara zalim, harta hasil daripada perbuatan yang haram dan sebagainya. Maka, ia bercanggah dengan matlamat syariat itu diletakkan.

Kita akan dapati bahawa judi hanya mendatangkan keuntungan dalam jangkamasa yang terdekat, tetapi ia akan menyebabkan ekonomi Malaysia mengalami parah yang teruk untuk jangkamasa akan datang, akibat pengamalan judi yang telah dicetuskan tahun ini.

Kesimpulan

Maka, sekiranya menghalalkan judi dengan beralasan keuntungan yang berlipat ganda, jelas bercanggah dengan syara’. Perkara ini perlu diketahui sebelum kita membincangkan “adakah harta hasil judi itu boleh digunakan untuk kebajikan?”. Kesimpulan awal mengatakan bahawa keuntungan hasil judi adalah mafsadah (kerosakan) bukanlah satu kepentingan (maslahat).

Maka, apabila menghalalkan judi itu menyebabkan kerosakan, dan bukan satu maslahat, kenapa ia perlu diperjuangkan untuk dilaksanakan juga? Antara kerosakan yang boleh kita lihat pada hasil daripada judi berjuta-juta ringgit ini ialah :

1. Masyarakat akan lebih cenderung untuk berjudi, dan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk dan parah. Apatah lagi ia dilakukan sendiri oleh kerajaan untuk mendapat kewangan negara, dan mereka berasa bahawa judi itu mendatangkan hasil.

2. Masyarakat akan didoktrin dengan pemikiran materialisme, hasil daripada wang yang banyak daripada hasil judi. Maka, mereka akan melihat bahawa judi adalah salah satu amalan yang baik untuk memulihkan ekonomi, apatah lagi ekonomi negara.

3. Berlakunya penafian Syariat Islam secara besar-besaran, dan dibuat secara terang-terangan. Maka, apabila maksiat yang besar dilakukan oleh kerajaan secara terbuka, masyarakat akan berasa bertambah selesa untuk melakukan maksiat secara peribadi dan individu.

WaLlahua’lam
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

Paling tadah: DAP anjur perhimpunan

4 Rejab 1431 H

DAP Perak akan mengadakan satu perhimpunan di Malim Nawar dalam waktu terdekat bagi memberi penerangan kepada orang ramai berhubung tindakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) kawasan itu, Keshvinder Singh yang mengumumkan keluar dari parti itu semalam.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (kiri, berbaju gelap), berkata perhimpunan itu akan diadakan di Kampung Baru Mambang Di Awan.

Ia dijangka dihadiri anggota parlimen Jelutong Karpal Singh, ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, katanya.

"Mesyuarat DAP negeri yang diadakan di Wisma DAP di Ipoh lewat malam semalam turut memutuskan untuk menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat DAP di kawasan Malim Nawar yang akan dirasmikan Jumaat ini.

Buat sementara ini, pusat itu akan diketuai ADUN Keranji, Chen Fook Chye," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Semalam, Keshvinder yang juga seorang peguam mengumumkan keluar dari DAP untuk menjadi wakil rakyat Bebas disebabkan kecewa dengan pimpinan pembangkang di Perak yang berpolitik berlebihan sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sementara itu, Nga yang juga ahli parlimen Taiping berkata beliau mahu berdebat dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung langkah kerajaan membenarkan perjudian bola sepak di negara ini.

Malaysiakini/-

DAP bercadang saman ADUN paling tadah

4 Rejab 1431 H

DAP Perak berhasrat menguatkuasakan perjanjian yang ditandatangani semua wakil rakyatnya ketika pilihan raya umum 2008 yang menuntut mereka membayar ganti rugi RM5 juta jika keluar parti.

"Kami telah memutuskan untuk menguatkuasakan kontrak yang ditandatangani antara wakil rakyat dan parti ketika mereka dipilih menjadi calon dulu," kata Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham (kiri, bertali leher biru).

Keputusan itu diambil berikutan pengumuman mengejutkan semalam apabila Keshvinder Singh (Malim Nawar) mengumum meninggalkan parti itu.

Beliau adalah ADUN kedua DAP yang berbuat demikian selepas Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) berbuat demikian pada Februari tahun lalu sehingga menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak tumbang.

Mengulas lanjut, Ngeh berkata kedua-dua wakil rakyat tersebut turut menandatangani perjanjian itu yang antara lain menyatakan mereka yang menyertai parti lain harus meletak jawatan dan membayar ganti rugi RM5 juta kepada DAP.

Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, hari ini, Ngeh menjelaskan semua perwakilan DAP di negeri itu diwajibkan menandatagani perjanjian yang hampir sama selepas pilihan raya Mac 2008.

"Mereka telah bersetuju bahawa jika mereka meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai ahli Bebas, mereka terpaksa membayar RM5 juta kepada parti,” kata Ngeh yang juga ahli parlimen Beruas.

Ngeh berkata keputusan muktamad berhubung tindakan undang-undang itu akan diputuskan oleh jawatankuasa pusat DAP yang dijadualkan bermesyuarat akhir bulan ini.

Malaysiakini/-

Keputusan lesen judi sukan ditangguhkan ?

4 Rejab 1431 H

Keputusan pemberian lesen judi oleh kerajaan pusat kepada Ascot Sports Sdn Bhd telah ditangguhkan.

Walaupun diasak oleh soalan wartawan berhubung pemberian lesen berkenaan, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim enggan menyatakan bila tarikh keputusan akan dibuat.

Katanya penangguhan itu bertujuan membolehkan semua pihak menyalurkan maklum balas mereka berhubung perkara berkenaan.

Kerajaan memilih untuk membisu berhubung isu lesen judi sukan tetapi menurut laporan New Straits Times, Lim pada 7 Jun lalu berkata keputusan akan diumumkan minggu ini.

Malaysiakini/-

PM: Tarikh pilihan raya satu kejutan

4 Rejab 1431 H

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan membubarkan parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, tarikh pilihan raya akan datang akan "mengejutkan semua pihak".

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama rakyat di Wat Machimmaram di Tumpat hari ini, beliau berkata pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum menetapkan tarikh pilihan raya.

"Apa yang penting ialah kerja kuat dalam semanagat 1Malaysia," katanya mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya beliau mengadakan pilihan raya kerana tinjauan menunjukkan sokongan kepada beliau semakin meningkat sejak menjadi Perdana Menteri pada April tahun lalu.

Satu kajian oleh Merdeka Centre for Opinion Research baru-baru ini menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi Perdana Menteri.

Malaysiakini/-

Nga : Khesvinder digesa meletakkan jawatan

4 Rajab 1431H.

IPOH, 16 Jun :- Sesuai dengan demokrasi, Khesvinder mesti meletakkan jawatan dan kosongkan kerusi dan biarlah rakyat Malim Nawar memilih semula, demikian antara kenyataan Pengerusi DAP Perak yang juga ADUN Pantai Ramis, YB. Ng Kor Ming dalam sidang media yang idadakan di Wisma DAP disini.

Hadir sama dalam sidang akhabr tersebut ialah ADUN Tronoh, YB. V. Sivakumar, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil idham Lim, ADUN Keranji, YB. Chen Fook Chai, ADUN Buntong, YB. V. Sivabramaniam dan ADUN Mengelembu, YB. Lim Phek Her.

Nga juga menafikan dakwaan Khesvinder yang mendakwa DAP Perak tidak menjaga kebajikannya dan tidak ada peruntukan , malah katanya dakwaan tersebut tidak masuk akal kerana seseorang ADUN dipilih bukannya untuk peruntukan .

Menjawab dakwaan Khesvinder yang dia bersih, Nga mengesa individu berkenaan dan YB. Hamidah supaya membuat surat akaun berkanun di Mahkamah Tinggi Ipoh bahawa beliau tidak menerima wang RM 2 Juta dan hamidah tidak pernah terlibat, Jelasnya lagi sebagai seorang peguam dia sedar dan tahu kesan buat surat akaun berkanun, dan tempoh yang diberikan ialah 24 jam untuk buktikan dia bersih.

"Rakyat telah muak dengan budaya lompat, ia merugikan rakyat dan sudah sampai masanya Kerajaan meluluskan undang-undang anti lompat, rang undang-undang itu mestilah diluluskan dengan segera" Kata Nga.

Beliau juga mengumumkan keputusan DAP Perak yang bermesyuarat kelmarin mengenai penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Malim Nawar yang dipengerusiakn oleh ADUN Keranji, YB. Lim Fook Chai. Selain itu pada 25 Jun akan datang akan diadakan Ceramah di Dewan Cina Mambang Diawan dengan menampilkan penceramah terdiri dari Karpal Singh, Lim Kit Siang, dan DS. Nizar.

Nga juga mengesahkan khesvinder menghilangkan diri seperti orang lain yang lompat sebelum dari ini. Sejak isnin lepas dia telah keluar dengan dua lelaki Melayu. apabila Yb. Chen melawat rumahnya hanya terdapat kereta isteri Khesvinder, dalam keadaan rumahnya yang gelap. panggilan dibuat, kali pertama dapat tetapi tida ada jawapan dan kali kedua talifon telah ditutup, jelas Nga.

Nga juga mendedahkan bahawa Selepas PRK Sibu kereta Khesvinder telah ditarik oleh bank dan telah dibantu oleh ADUN Titi Serong dengan ikhlas atas sifat sebagai rakan sebanyak RM 3500 untuk mendapatkan kembali keretanya, selain itu Nga juga mejelaskan sebnyak 2 kali dia memberi bantuan RM 500 setiap kali kepada Khesvinder. Kerana itu beliau melahirkan kekesalan dan rasa sedih bila Khesvinder mengatakan bahawa kita tidak pernah menolongnya, jelas Nga.

PAS lancar Institut Latihan Pilihan raya PAS

4 Rejab 1431 H

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Semua para pemimpin kanan dan wakil rakyat PAS bakal berkumpul di Batang Kali pada 20 Jun ini bagi menyertai pelancaran gerak kerja Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS).

Majlis yang bakal dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu akan diadakan mula jam 8 pagi hingga 2 petang di Dewan Datuk Abdul Hamid, Batang Kali.

Boleh dikatakan semua pemimpin utama PAS dari ahli Majlis Syura dan AJK PAS Pusat hinggalah Pengarah Majlis Tindakan Dun dan jentera pilihan raya Dewan Himpunan Penyokong PAS akan terlibat dengan majlis ini.

ILPAS ditubuhkan oleh Jabatan Pilihan raya PAS Pusat untuk memberikan latihan pengendalian kempen pilihan raya kepada semua jentera pilihan rayanya.

Ia bakal menjadi pusat penting untuk melahirkan petugas pilihan raya PAS untuk sebarang pilihan raya.

Harakahdaily/-

Tahlil Ustaz Hassan malam ini.

4 Rejab 1431 H

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Semua pemimpin dan penyokong PAS sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang dijemput menyertai majlis tahlil arwah bekas timbalan presiden PAS, Allahyarham Ustaz Hassan Shukri yang akan diadakan malam tadi dan malam diteruskan pada malam ini.

Majlis ini akan diadakan di perkarangan Markas Tarbiyah PAS Taman Melawar iaitu yang juga perkarangan rumah Allahyarham.

Ia akan diadakan selepas solat Isya, kata Syed Mohamad Syed Hassan, pegawai Pejabat Agung PAS.Majlis tahlil telah bermula dua malam lepas dengan disertai oleh lebih 100 penduduk sekitar Taman Melewar.

(Gambar: Tuan Guru Nik Aziz tidak dapat menyembunyikan kesedihannya atas pemergian rakan seperjuangannya Hassan Shukeri. Sementara menanti jenazah untuk disembahyangkan Nik Aziz kelihatan termangu kesedihan. Beberapa kali dia menyapu air matanya yang deras mengalir di pipinya. Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man kelihatan cuba menenangkan Mursyidul Am PAS itu.)

Harakahdaily/-