20 April 2012

Wan Ahmad dicabar letak jawatan, tanding tiket BN

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengulas bahawa sebanyak RM30 juta wang pembayar cukai perlu dibelanjakan sekiranya Selangor tidak mengadakan pilihan raya umum serentak dengan kerajaan pusat.

Beliau juga menasihatkan agar semua kerajaan negeri jangan bermain politik dengan wang pembayar cukai yang akan menyebabkan bajet tambahan, latihan serta persediaan yang lebih diperlukan.

“Bagi DPPM, Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak sepatutnya mengulas soal pilihanraya berasingan di negeri Selangor atau pun tidak kerana itu bukan bidang tugas beliau dan SPR,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Katanya, kenyataan seperti itu perlu dilontarkan oleh pemimpin parti politik seperti Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional.

Tambahnya, tugas SPR dan individu seperti Wan Ahmad adalah menjayakan pilihan raya mengikut tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

“Kenyataan ini menyerlahkan lagi belang beliau yang sebenarnya dan membayangkan seolah-olah beliau adalah Menteri Kewangan atau Perdana Menteri yang boleh memberikan pandangan politik terhadap mana-mana parti politik,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, DPPM hairan, mengapa kerajaan mengekalkan individu seperti beliau sebagai peneraju SPR.

Katanya lagi, kenyataan Wan Ahmad menambah curiga rakyat bahawa SPR adalah badan yang tidak bebas, serta masih terkongkong dengan pengaruh parti pemerintah.

Riduan menambah, ia mengesahkan lagi bahawa SPR sedang bekerja untuk memastikan kemenangan BN dalam PRU13 dengan pelbagai cara.

“Sepatutnya Datuk Wan Ahmad mengambil perhatian mengapa Pakatan Rakyat mahu menangguhkan pilihanraya di negeri Selangor.

“Ia berkait langsung dengan isu daftar pemilih di negeri berkenaan,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, Wan Ahmad sepatutnya berterima kasih kepada Pakatan Rakyat yang berterusan menyemak daftar pemilih sehingga mampu menimbulkan beberapa keraguan.

Katanya, sejumlah 42,051 pengundi ragu daripada senarai daftar pemilih dapat dikesan yang perlu kepada pembersihan.

Ini, ujar Riduan belum termasuk jumlah peningkatan undi mendadak di beberapa buah Parlimen di Selangor dan negeri-negeri lain, serta dakwaan wujudnya task force pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Justeru, katanya DPPM menyarankan Wan Ahmad supaya berterus-terang kepada rakyat bahawa beliau sememangnya berpihak kepada parti pemerintah.

“DPPM juga mencabar Datuk Wan Ahmad supaya meletak jawatan dan bertanding dalam PRU13 atas tiket BN.

“Buktikan beliau berpengaruh dan mampu memenangi PRU13. Ini lebih baik daripada terus berselindung di sebalik baju SPR,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Tiada pemerhati dan ejen calon jadi PRU 13 terkotor

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Berikutan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 diluluskan pada petang semalam di Dewan Rakyat, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, rakyat Malaysia bakal menyaksikan pilihan raya umum terkotor dalam sejarah Malaysia apabila RUU tersebut dikuatkuasakan sebagai satu akta nanti dan pelaksanaannya terpakai semasa Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU-13).

Memandangkan PRU-13 kian menghampiri, Dewan Rakyat semalam pada hari terakhirnya pula tergesa-gesa meluluskan sebanyak 8 rang undang-undang sampai ke saat terakhir majlis dewan ditutup tirainya.

Antaranya termasuklah RUU Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 yang menggandungi pindaan tertentu yang penuh dengan pertikaian dan mampu mengubah wajah proses PRU-13.

Pindaan yang paling signifikan dan harus diberi perhatian sepenuhnya adalah berkenaan dengan subseksyen 26A(2) dan (3) di bawah Barung hendaklah diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, di mana kehadiran pemerhati di barung adalah tidak lagi dibenarkan.

Pindaan yang membatalkan kehadiran pemerhati dalam barung bercanggah dengan prinsip demokrasi yang bersifat partisipasi dan bakal mencorakkan proses pilihan raya yang memihak kepada rejim pemerintah.

Seperti yang turut dinyatakan dalam pindaan subseksyen yang dinyatakan di atas, alasannya bagi meniadakan peruntukan bagi membenarkan kehadiran pemerhati adalah bagi menangani kesesakan dan kesukaran yang timbul semasa petugas pilihan raya melaksanakan tugas mereka.

Alasan ini adalah amat tidak munasabah. Sekiranya kesulitan sedemikian timbul dalam proses mengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya mengkaji semula mekanismenya kerana kesulitan sedemikian sesungguhnya merupakan masalah teknikal yang boleh diatasi melalui penambahbaikan prosedur dan bukannya dengan menolak kehadiran pemerhati yang jelas bercanggah dengan aspirasi rakyat terbanyak apabila konteks tuntutan dan gerakan Bersih diambil kira.

Di samping itu, pindaan Seksyen 14(1A) yang bertujuan membenarkan mana-mana ejen tempat mengundi (ETM) atau ejen mengira undi (EMU) bagi seseorang calon untuk bertugas di tempat mengundi hanya pada waktu yang ditetapkan SPR atas alasan bagi mengelakkan kesesakan kelihatan tidak adil kepada mana-mana calon, terutamanya calon bebas dan calon parti oposisi.

Kehadiran ejen-ejen bertugas tersebut adalah penting dalam menyemak dan mengimbang segala proses mengundi pada hari pengundian bagi memastikan keadilan proses pilihan raya.

Tanpa kehadiran ejen-ejen tersebut, SPR yang terletak di bawah jagaan Jabatan Perdana Menteri dibiarkan menguasai proses pengundian.

Seperti yang umum sedia maklum, sistem pilihan raya sedia ada dalam Malaysia sememangnya terbelenggu dengan pelbagai ketidaktelusan dan ketidakadilan.

Isu seperti senarai pendaftaran pemilih yang tidak bersih, undi pos, pengundi hantu dan sebagainya telah pun menghalang kelancaran dan keadilan pilihan raya sekian lama ini.

Hal ini juga merupakan daya pendorong utama yang menggerakkan perhimpunan BERSIH 3.0 terus mara.

Kini, tambahan pula dengan pindaan-pindaan yang diluluskan, ia bakal menjadi pemangkin kepada pilihan raya yang paling bergelumang.

Selain pindaan yang dipertikaikan, pindaan-pindaan yang lain adalah berhubung dengan jarak, di mana kehendak jarak lima puluh meter yang sedia ada dari sempadan mana-mana tempat penamaan, mana-mana pejabat yang dibuka, ditubuhkan atau disenggarakan semasa tempoh berkempen.

Juga mana-mana orang menunggu atau berdiri-diri dari sempadan pusat mengundi semasa hari pengundian dipanjangkan kepada jarak tidak kurang daripada satu ratus meter. SPR turut diberi kuasa untuk menentukan apa-apa jarak lain yang sesuai di bawah subseksyen baru.

Selain itu, subseksyen 11(1)(c) di bawah Hukuman dan ketidakupayaan kerana perbuatan rasuah yang pada asalnya menyatakan mana-mana orang yang “mencetak, menerbitkan, mengedarkan atau menampalkan atau menyebabkan supaya dicetak, diterbitkan, diedarkan atau ditampalkan apa-apa iklan, surat sebaran, pelekat atau poster yang berkenaan dengan mana-mana pilihan raya dan yang tidak mengandungi pada mukanya nama dan alamat pencetak dan penerbitnya;” yang akan diambil tindakan sekiranya disabit kesalahannya telah disingkirkan dalam pindaan yang baru atas alasan sukar dikuat kuasa.

Memandangkan proses pilihan raya masih dipenuhi dengan taktik kotor dan pembohongan yang jelas mencaburi hak rakyat dalam menyertai dan mengundi dalam pilihan raya – khususnya masalah senarai daftar pemilih yang tidak bersih dan penggunaan senarai daftar pemilih berlainan pada hari pengundian, sekiranya pindaan-pindaan yang menafikan kehadiran ETM, EMU atau wakil politik dan juga pemerhati dalam barung mengundi pada hari mengundi dikuatkuasakan, jelas dakwaan bahawa PRU-13 akan menjadi pilihan raya yang terkotor itu bakal menjadi kenyataan yang cukup menyedihkan.

Harakah Daily

Pemuda PAS anjur 'lesure walk' jawab serangan ganas

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menganjurkan kempen besar-besar “Leisure Walk For Peace and Public Safety” untuk membantah tindakan dan aktiviti gangster di tempat awam.


(Nasrudin berucap kepada mahasiswa yang berhimpun di Dataran Merdeka malam tadi)

Kempen ini dibuat ekoran kejadian serangan terhadap mahasiswa di Dataran Merdeka baru-baru ini yang disifatkan Pemuda PAS sebagai satu insiden yang sungguh mengejutkan rakyat Malaysia.

Menurut ketuanya, Ustaz Nasrudin Hasan, insiden yang menimpa mahasiswa di Dataran Merdeka baru-baru ini adalah satu perkara yang sangat memalukan negara dan ianya tidak patut berlaku.

“Berkhemah di tempat terbuka seperti Dataran Merdeka pun tidak terlepas dari ancaman keganasan samseng, apa jaminan untuk rakyat selamat di ceruk kampung dan desa yang jauh dari balai polis dan ibu pejabatnya,” kata beliau.

Tujuan mengadakan kempen adalah untuk menyatakan bantahan terhadap aktiviti dan keganasan “samseng” di dalam negara ini dan juga sebagai sokongan kepada mahasiswa yang hanya memperjuangkan hak mereka sahaja.

“Himpunan Mahasiswa adalah aman. Mereka berkhemah dan duduk santai menyuarakan tuntutan mereka kepada awam amnya dan kepada kerajaan khasnya.

"Kenapa mereka mesti dilayan sedemikian rupa? atau siapakah yang mengupah samseng ini? atau mereka mahu menarik lebih ramai lagi mahasiswa berkampung dan berkhemah di dataran itu?” kata beliau.

Ustaz Nasrudin juga menyertai puluhan anggota Unit Amal PAS dalam kempen ini.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Unit Amal kerana mereka peka dengan kezaliman bahkan sanggup turun dan bersama untuk mengawal keselamatan mahasiswa di Dataran Merdeka," katanya.

Insiden yang berlaku pada pagi 19 April benar-benar mengejutkan majoriti rakyat Malaysia.

Tambahan pula kenyataan daripada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dipetik melalui laman sosialnya dilihat sebagai satu perkara yang tidak bijak selaku seorang menteri.

“Sangat tidak wajar, seorang yang bercakap atas platform menteri kepada kerajaan mengeluarkan kenyataan sebegitu.

"Pada saya, kenyataan seperti ini hanya akan menimbulkan prasangka di kalangan rakyat adakah kerajaan yang mendalangi insiden yang berlaku ke atas peserta Univercity of Merdeka ?” ulas beliau ketika ditanya mengenai kenyataan Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau juga menegaskan, “Seorang ayah pasti tidak akan dapat lari daripada tanggungjawab untuk membentuk dan memastikan keselamatan anaknya.

"Bayangkan apabila anak merasakan rumah yang menjadi tempat dia berlindung sudah lagi tidak dirasakan selamat untuk dihuni, apakah yang akan mereka lakukan?” katanya.

Kehadiran Ustaz Nasrudin juga dilihat memberikan semangat kepada rata-rata mahasiswa yang hadir.

Bahkan Ustaz Nasrudin juga diberikan kesempatan untuk berucap dan memberikan kata-kata semangat agar mahasiswa yang hadir berhimpun dengan mempamerkan akhlak yang baik kepada lawan.

Leisure Walk For Peace and Public Safety adalah kempen anak muda dengan berjalan kaki ke Dataran Merdeka untuk menyatakan bantahan terhadap keganasan dan sokongan terhadap tuntutan hak mahasiswa.

Harakah Daily

Himpunan tanah rakyat sasar 30,000 kehadiran

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BHARU: Himpunan Tanah Rakyat yang dijadual berlangsung 5 Mei di depan di Plaza Angsana di sini bertujuan mendesak kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat. (Gambar Hiasan)

Setiausaha Gabungan Tanah Rakyat (Tanah), Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana kerajaan-kerajaan negeri adalah pihak bertanggungjawab terhadap tanah dan pihak kerajaan persekutuan pula adalah yang mengubal Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Kanun Tanah Negara 1965.

"Pihak kerajaan negeri perlu merangkan satu mekanisma dan plan bertindak untuk menyelesaikan masalah tanah yang berlaku," katanya.

Sementara itu, pihak penganjur mensasarkan kehadiran 30 ribu orang yang akan memberikan sokongan khususnya daripada Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

"Pimpinan utama NGO dan Pakatan Rakyat seperti Sastrawan Negara Dato A Samad Said, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang, Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng akan turut bersama dalam himpunan ini," katanya lagi.

Pemilihan negeri Johor pula tambahnya kerana terdapat terlalu banyak isu berkaitan tanah berada di negeri ini.

Bermula daripada isu pengambilan tanah Gelang Patah untuk tujuan pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas, terlepasnya Pulau Batu Putih kepada Singapura, penguasaan Singapura terhadap Pulau Pisang, Pontian, penjualan tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) kepada Singapura tanpa kerelaan rakyat Johor, pengambilan tanah Pengerang untuk tujuan projek petrokimia sehingga pejualan tanah strategik negeri Johor oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor(KPRJ) kepada Dato Lim Kang Hoo.

Selain itu, masalah lain juga termasuk pengusiran peneroka bandar di Kempas tanpa pampasan, penindasan terhadap peneroka Felda Cahaya Baru, tuduhan penipuan Menteri Besar Johor terhadap bekas penduduk SEDC, Tampoi, ancaman pengusiran peneroka bandar di Skudai Kiri serta projek terbengkalai Taman Perumahan Taman Desa Kempas atas tanah kerajaan negeri.

"Isu ini telah melibatkan puluhan ribu rakyat yang telah, sedang dan akan ditindas oleh pihak-pihak tertentu," tegasnya sambil memaklumkan 10 tuntutan akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Johor.

Harakah Daily

Kelantan beri RM10,000 untuk waris mangsa bunuh

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bakal menjadi negeri pertama menyediakan bantuan khas sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang dibunuh setelah tertuduh diberi pengampunan Sultan Kelantan kerana mempunyai masaalah mental.

Tindakan itu diputuskan dalam mesyuarat exco semalam selepas ianya dicadangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘sagu hati kesedihan’.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar), berkata mahkamah tidak boleh meneruskan perbicaraan terhadap kes bunuh yang melibatkan kes suspek kurang siuman setelah disahkan oleh doktor.

“Selepas pengampunan Sultan Kelantan, suspek itu bebas malah keluarga simati sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi terhadap suspek terbabit, apa lagi untuk mengemukakan saman kerana dia sudah tidak siuman,”ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu, melalui keputusan itu, rakyat luar Kelantan walaupun tinggal di negeri ini dan kebetulan berlaku sedemikian, juga layak menerima.

Katanya lagi, kertas kerja berhubung perkara itu akan dilaksanakan segera bagaimanapun ianya perlu mendapat kelulusan dalam mesyuarat exco terlebih dahulu.

“Bersama saya yang bakal menjalankan tanggungjawab itu, anggota exco kerajaan negeri, Dr Mohd Fadhli Hassan,”ujarnya lagi.

Katanya, kerajaan negeri memandang berat masaalah yang ditanggung keluarga mangsa sedangkan untuk mendakwa tertuduh tidak boleh dilakukan.

“Jadi sebagai tanda kebajikan, tanggungjawab sekurang-kurangnya sebagai ganjaran kerajaan negeri bersedia memberi bantuan kepada keluarga mangsa yang terdekat,”ujarnya.

Harakah Daily

Perbicaraan skandal pembelian Scorpean bermula

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PARIS: Suaram telah memulakan permohonan mereka kepada Tribunal Besar Perancis bagi membicarakan skandal rasuah pembelian Scorpean hari ini.

Suaram yang diwakili ahli lembaganya iaitu Dr Kua Kia Soong, Cynthia Gabriel, Fadiah Nadwa membuat permohonan itu di depan hakim Roger Le Loire melalui peguam Joseph Breham.

Suaram membawa kes ini bagi pihak pembayar cukai Malaysia untuk mendedahkan dakwaan komisyen telah dibayar sebanyak lebih RM7 bilion dalam pembelian kapal selam Scorpene.

Dr Kua telah membentangkan kes itu bagi pihak Suaram.

Penyiasatan yang dibuat oleh pendakwa Perancis sehingga kini menyalahkan pegawai Malaysia dalam kes ini.

Menurut Peguam Joseph Breham pula, penyiasatan dipihak Perancis berhubung komisyen Scorpene ini pula menjurus kepada pegawai Malaysia yang tertentu.

"Bagi kami untuk mencapai tahap ini, satu usaha yang sangat sukar, dimana komsien Scorpene adalah skandal rasuah yang terbesar di Malaysia sejak akhir-akhir ini," kata Brehem.

Berdasarkan kepada bukti yang ditunjukkan kepada Suaram yang bertindak sebagai pihak pengandu dalam kes ini, mereka mempunyai bukti yang cukup untuk menyabitkan pegawai Malaysia tertentu.

Berdasarkan permintaan dari Hakim Le Loire, Suaram mencadangkan Abdul Razak Baginda, Menteri Pertahanan Zahid Hamidi, PI Balasubramaniam, Setev Shariibuu, Jasbir Singh Chahl, Tan Sri Lodin and Mazlinda (isteri Abdul Razak) sebagai saksi.

Harakah Daily

Tampal poster Besih 3.0 dalam USM: Aktivis Suaram ditahan

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang aktivis muda Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tan Hong Kai ditahan ketika memasang poster Bersih 3.0 di dalam kawasan Universiti Sains Malaysia (USM) awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, Hong Kai bersama beberapa aktivis mahasiswa USM masuk ke kampus itu untuk menampal poster Bersih 3.0.

Selepas selesai menampal beberapa poster itu, beliau terserempak dengan pihak keselamatan universiti itu lalu menahan beliau.

Beliau kemudiannya diserahkan ke balai polis Sungai Nibong kira-kira jam 4 pagi.

Menurut ahli sekretariat Suaram Pulau Pinang Ng Eng Kiat, Hong Kai kemudiannya disoal siasat dan kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jalan Patani.

Juga difahamkan Hong Kai disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

"Kita mendesak agar Hong Kai dibebaskan segera. Keterangannya sudah diambil dan tiada sebab untuk beliau terus ditahan.

"Jika samseng menyerang mahasiswa di Dataran Merdeka tidak ditahan, tak ada sebab kenapa seorang aktivis ditahan hanya kerana menampal poster," katanya kepada Harakahdaily.

Satu sidang media turut diadakan oleh Suaram Pulau Pinang berhubung perkara itu pagi tadi.

Harakah Daily

Ikhwan minta PAS kerja keras terajui perubahan

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Murshid-Am Ikhwan Muslimin, Dr. Mohamed Al-Badie’ berkeyakinan bahawa kepimpinan PAS mampu memimpin perubahan di Malaysia.
(Dr Syed Azman bersama Dr Mohamed Al-Badie’, Murshid-Am Ikhwanul Muslimin)
Sehubungan itu beliau menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS berkerja keras bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Pernyataan ini di suarakan oleh beliau ketika menerima kunjungan hormat Dr. Syed Azman Syed Ahmad, Penolong Setiausaha Agong PAS di Markaz Al-Am Ikhwan Muslimin atau ibu pejabat Pusat Ikhwan Muslimin yang berdiri gah di tengah-tengah kota Kaherah.

Dr. Syed Azman hadir ke Mesir bagi memenuhi jemputan menjadi pemerhati pilihanraya presiden yang di jangka akan di adakan pada bulan Mei ini.

Menurut Dr. Syed Azman, dalam pertemuan itu, beliau telah menyampaikan ucapan tahniah daripada seluruh kepimpinan, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS kepada pimpinan Ikhwan.

Ikhwan telah berjaya menang dengan cemerlang dalam pilihanraya Parlimen Mesir beberapa bulan lepas dengan menguasai majoriti kerusi parlimen walaupun hanya baru setahun selepas kejatuhan rejim diktator Mubarak.

Dalam pertemuan tersebut Dr. al-Badie’ juga menegaskan bahawa setiap pemimpin dan ahli PAS mestilah peka dan sentiasa meneliti perubahan politik baru yang sedang melanda seluruh Dunia Islam akibat dari kesan ‘Arab Spring’ yang kini merubah peta politik Dunia.

Bagi beliau setiap rejim yang menafikan hak asasi rakyat serta rakus membolot khazanah kekayaan negara lambat laun akan dijatuhkan oleh kuasa rakyat yang tidak lagi takut dengan sebarang ugutan dan ancaman di tangkap.

Beliau menegaskan bahawa , "PAS mesti mengatur persiapan yang rapi bagi menghadapi pilihanraya kerana kemungkinan akan berlakunya manipulasi dan penipuan pilihanraya di Malaysia seperti mana yang sedang cuba dilakukan oleh saki baki rejim Mubarak di Mesir dalam pilihanraya Presiden sekarang ini dengan menggunakan kuasa tentera.

Bagi beliau, yang penting PAS mesti di lihat terkedepan dan komited membela kepentingan rakyat di Malaysia dan sama-sama membangunkan kembali negara berlandaskan kepada keadilan.

Dr Mohamed Al-Badie’ juga turut menjelaskan bahawa Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman.

Mereka mahu merubah sebarang bentuk penyelewengan dan salah-guna kuasa yang berlaku di sana walaupun kini terpaksa berhadapan dengan tentera yang di sokong oleh kuasa besar Barat.

Bagi Ikhwan, agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara tersebut.

Sementara itu Dr. Syed Azman menyatakan bahawa "PAS akan terus komited menjalinkan hubungan dua hala yang lebih rapat dengan parti politik baru Ikhwan ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan).

"Kita juga akan bertukar-tukar pengalaman dalam proses demokrasi, persiapan pilihanraya serta bagaimana cara menghadapi manipulasi dan penipuan pilihanraya”.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Sinar Harian

Dihantui bayangan maut

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PONTIAN - “Sejak dua hari lalu, saya asyik terbayang Gunawan akan ditimpa kemalangan,” luah Rakiah A. Rahman, 55, ibu kepada Gunawan Maamor, 26, yang maut dalam kemalangan di sini, awal pagi semalam.

Gunawan meninggal dunia selepas kereta Proton Persona yang dipandu rakannya bertembung dengan kenderaan lain jenis Proton Wira di Kilometer 3.2 Jalan Pontian – Kukup, kira-kira jam 6.45 pagi.

Menurut Rakiah, dia tidak menyangka perasaan berdebar - debar yang dialaminya itu dan bayangan Gunawan ditimpa kemalangan merupakan petanda anak keempat dari tujuh beradik itu akan pergi buat selamanya.

Katanya, semakin cuba untuk memikirkan bayangan tersebut, semakin gelisah perasaan dibuatnya seperti ada sesuatu akan berlaku.

“Sejak pagi semalam apabila hendak menghantar dua anak kembar pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, dada saya berdebar-debar, macam ada sesuatu yang akan berlaku.

“Sebaik saja saya sampai di rumah, tiba-tiba menantu saya datang memberitahu, Gunawan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan berada di Hospital Pontian (HP),” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di Rumah Mayat HP di sini, pagi semalam.

Katanya, tiada sebarang perubahan sikap pada anak kesayangan itu, kecuali mengadu sakit perut dan meminta di urut sebelum keluar untuk menemui rakannya pada petang kelmarin.

“Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan Gunawan selepas memberitahu mengalami sakit perut dan meminta saya mengurutnya dengan minyak urut.

“Selepas itu dia terus meminta diri untuk keluar ke bandar Pontian untuk menemui rakan dan saya pun tidak tahu pukul berapa dia pulang ke rumah,” katanya.

Gunawan adalah anak keempat daripada tujuh beradik dan masih bujang dan bekerja sendiri sebagai kontraktor, tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Jawa, Pulai Sebatang.

Dalam pada itu, pemandu kereta Wira, Khairil Anwar Hamid, 34, hanya mengalami cedera ringan manakala adiknya Siti Aishah Hamid 14,mengalami kecederaan parah di kaki kirinya kerana tersepit.

Khairil, seorang guru di Sekolah Rendah (SR) Permas Kelapa dalam perjalanan menghantar adiknya pergi ke SMK Telok Kerang.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Zahliman Jamin, ketika ditemui berkata, mangsa yang dikenali sebagai Gunawan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pontian (HP), manakala Siti Aishah yang tersepit dan abangnya Khairil Anwar dihantar ke HP untuk mendapat rawatan.

“Pemandu kereta Persona tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian (IPPD) bagi membantu siasatan ,” katanya.

Sinar Harian

Liga Europa: Keputusan separuh akhir pertama

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BERIKUT keputusan separuh akhir pertama Liga Europa yang berlangsung awal pagi tadi.

Atl Madrid (4) - Valencia (2)

Sporting (2) - Athletic Bilbao (1)


Perlawanan pusinga kedua akan berlangsung pada 27 April, jam 4 pagi

Athletic Bilbao lwn Sporting (agregat 1-2)

Valencia lwn Atl Madrid (agregat 2-4)

Sinar Harian

Taktik sembunyi di Kuala Lumpur gagal

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Taktik sepasang suami isteri menyembunyikan diri di Kuala Lumpur mengelak daripada ditangkap tiga tahun lalu tidak menjadi apabila mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap mereka.

Pasangan itu sebelum ini pernah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.53 gram, namun gagal menghadirkan diri selepas diikat jamin RM2,500.

Semalam, di Mahkamah Majistret, di sini, kedua-dua tertuduh, Syahrizal Syahril Mamat, 34, dan Nor Naimah Ab Latif, 31, dari Marang sekali lagi didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagaimanapun, Syahrizal Syahril dan isterinya yang sedang mengandung empat bulan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang semasa kejadian merupakan pasangan kekasih didakwa bersama-sama memiliki satu tiub straw besar dan empat tiub straw kecil yang di dalam berisi ketulan kristal yang mengandungi dadah Methamphetamine seberat 0.53 gram di sebuah rumah kedai di Kampung Berangan Pak Ayu Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 10.30 malam, 15 Febuari 2009.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Noradila kemudian menetapkan 27 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marang dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor L Rathna manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu membuat serbuan di Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, Marang kira-kira jam 10.30 malam, 15 Febuari 2009 selepas menerima maklumat.

Sebaik sampai di rumah berkenaan, terdapat pasangan tersebut di dalam rumah itu dan selepas membuat pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik lut sinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah di dalam satu beg plastik di atas lantai.

Kemudian, pasangan itu ditahan dan dadah dirampas untuk dibawa ke balai bagi tindakan lanjut.

Sinar Harian

Isu foto: Presiden Afghan mahu tentera asing keluar segera

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KABUL - Presiden Afghanistan Hamid Karzai semalam mengutuk foto askar-askar Amerika Syarikat (AS) bergambar dengan jenazah pemberontok-pemberontak sambil menegaskan ia menggambarkan bahawa tanggungjawab dan peranan berkenaan keselamatan perlu diserahkan kepada rakyat tempatan dengan segera.

Hamid yang menyifatkan imej-imej yang disebarkan menerusi media sekarang sebagai tidak berperikemanusiaan dan provokatif berkata, "satu-satunya cara untuk menamatkan pengalaman yang menyinggung perasaan" ini ialah dengan menamatkan kehadiran tentera asing di Afghanistan dengan segera.

"Tindakan mengambil foto dengan mayat dan kemudian dikongsi dengan orang lain adalah satu perbuatan tidak menyenangkan sama sekali," katanya lagi.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta juga mengecam foto-foto sedemikian, yang diambil pada 2010, dan disiarkan oleh akhbar Los Angeles Times kelmarin.

AS menempatkan tenteranya di Afghanistan sejak akhir 2001.

Sinar Harian

2 termasuk pelajar positif dadah

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MARANG – Dua individu termasuk seorang pelajar yang menggunakan Jalan Kuala Terengganu Ke Kuantan ditahan kerana didapati positif dadah dalam satu operasi bersepadu di hadapan Masjid Rhu Renggeh di sini, malam kelmarin.

Operasi bersepadu tersebut melibatkan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) daerah Marang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) daerah Marang itu bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Ketua Pegawai AADK daerah Marang, Wan Zulkafli Wan Ahmad berkata, lebih 52 pemandu dan penumpang pelbagai jenis kenderaan melalui laluan itu diperiksa dalam operasi kali pertama diadakan dengan melibatkan AADK, JPJ dan Rela pada tahun ini.

Menurutnya, objektif operasi dijalankan adalah untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan daerah dan juga peringkat negeri Terengganu, selain memastikan pemandu dan penumpang kenderaan bebas dadah.

“Malah, operasi seumpama itu juga secara tidak langsung akan memperlihatkan kepada umum bahawa masalah dadah di negara kita adalah masalah bersama, yang kini sudah berada di tahap serius dan perlu diperangi habis-habisan.

“Selain itu, operasi juga dijalankan bagi mempromosikan produk-produk terbaru AADK seperti ‘Cure and Servis Centre’ dan ‘Caring Comunity House’ (CMC),” katanya kepada Sinar Harian selepas berakhirnya operasi bersepadu di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, kata Zulkafli, dua pengguna jalan raya positif dadah terbabit yang ditahan dalam operasi bersepadu tersebut juga akan diberikan khidmat kaunseling dan motivasi.

Sinar Harian

Messi paling berpengaruh

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MAJALAH Time menyenaraikan penyerang Barcelona, Lionel Messi dalam senarai 100 individu paling berpengaruh di dunia tahun ini.

Messi, 24, menduduki tangga ke-89 diikuti penyanyi pop Britain, Adele dan Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton (ke-91).

Menurut majalah itu, Messi menjadi satu-satunya pemain bola sepak yang dimasukkan dalam senarai tersebut.

Awal bulan ini, pemain terbaik dunia tiga kali berturut-turut itu muncul individu pertama dalam tempoh hampir 40 tahun berjaya meledakkan 60 gol dalam satu musim di Eropah apabila jaringan bergandanya membantu Barcelona melakar kemenangan 4-1 menentang Zaragoza.

Sementara itu, individu paling berpengaruh di dunia iaitu pemain bola keranjang NBA, Jeremy Lin yang mewakili pasukan New York Knicks.

Sinar Harian

United paling kaya

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MANCHESTER United mengekalkan kedudukan teratas selaku kelab bola sepak terkaya di dunia dengan mengumpul pendapatan keseluruhan yang dianggarkan berjumlah £1.39 bilion (RM6.83 bilion).

Menurut majalah Forbes, penilaian terhadap kekayaan kelab itu dibuat berasaskan nilai pasukan, stadium, pendapatan serta penajaan.

Malah, menurut majalah itu kekayaan United turut dijana menerusi penjualan cenderamata kepada peminatnya yang dianggarkan 330 juta orang yang berpangkalan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Man-chester City masih gagal menembusi senarai 10 teratas apabila sekadar menduduki tangga ke-13.

Manakala Arsenal menjadi kelab Inggeris kedua terkaya apabila disenaraikan di tangga keempat, diikuti Chelsea (ke-7), Liverpool (ke-8) dan Tottenham Hotspur (ke-11).

Gergasi Sepanyol, Real Madrid menduduki tangga kedua di belakang United, diikuti musuh El Classico Barcelona dan jaguh Jerman, Bayern Munich di kedudukan­ kelima.

Sinar Harian

Penangkap ikan ditemui lemas

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Seorang penangkap ikan yang hilang dihanyutkan arus deras Sungai Nenggiri selepas bot dinaikinya karam sejak dua hari lalu ditemui mati lemas, berhampiran sebuah pengkalan di Kampung Pasir Tumbuh, dekat sini, pagi semalam.

Mayat Hasrin Bachik, 40, yang tinggal di Kampung Bertam Baru ditemui seorang penduduk yang kebetulan turun ke sungai itu untuk menaiki bot ke seberang sungai menjalankan kerja menoreh getah, dan melihat objek terapung berhampiran pengkalan di situ sebelum melaporkan kepada polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang Selasa lalu, mangsa menaiki bot bersama dua rakannya, Rozaini Mohd Aziz, 22 dan seorang lagi yang dikenali sebagai Joe, 24, menyusuri sungai itu untuk menangkap ikan.

Sebaik tiba di sebuah pengkalan lain di Kampung Jeram Berhala, ketiga-tiga mereka berhenti untuk makan tengah hari dan mangsa menyatakan sakit perut turun semula ke bot berkenaan untuk buang air besar.

Rozaini berkata, sebelum itu dia berulang kali menasihatkan mangsa supaya buang air besar di tempat makan sahaja, untuk mengelak berdepan dengan risiko kejadian tidak dingini kerana arus sungai deras.

Menurutnya, Hasrin enggan dan berkeras untuk menaiki bot keseorangan untuk buang air besar di tempat lain, hingga bot yang baru dihidupkan enjinnya berpusing beberapa kali sebelum karam.

“Saya yang melihat kejadian itu hanya 10 meter dari tempat duduk ternampak mangsa terkapai-kapai dalam pusaran air sungai yang deras, sambil meminta tolong.

“Saya minta mangsa bertahan di situ sebelum saya mencari batang kayu untuk dia pegang, berikutan saya bersama Joe takut untuk terus ke sungai kerana bahaya,” katanya kepada pemberita.

Katanya, tidak sampai tiga minit, dia datang semula melihat mangsa telah hilang dihanyutkan arus deras, dan ketika itu tidak dapat berbuat apa sementara menunggu bot lain datang.

Rozaini berkata, lebih sejam menunggu di situ mujur ada sebuah bot penduduk lain melalui kawasan itu, dan meminta tolong untuk sama-sama mencari mangsa, tetapi gagal ditemui hingga ke lewat petang.

“Saya bersama Joe kemudiannya menghubungi isteri mangsa sebelum membuat laporan mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Bertam Baru,” katanya.

Dia berkata, pagi ini (semalam) ketika dia bersama beberapa rakan yang lain dan anggota penyelamat sedang bersiap untuk melancarkan gerakan mencari untuk hari ketiga, menerima laporan mayat mangsa ditemui terapung di pengkalan Kampung Pasir Tumbuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan, menerima laporan menemui mayat penangkap ikan yang hilang dua hari lalu di Kampung Pasir Tumbuh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya­ untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bertam Baru, petang semalam.

Sinar Harian

Surau dalam gua tarik tumpuan orang ramai

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Jarang ditemui surau dibina dalam gua batu kapur di negara ini namun, di gua batu kapur yang dikenali Gua Madu terdapat surau yang dibina penduduk Kampung Batu Papan untuk memudahkan pengunjung solat berjemaah.

Surau berkenaan boleh memuatkan lebih 20 jemaah dan turut menyediakan tempat mengambil air wuduk menerusi pengaliran air dari batu gua tersebut.

Bagaimanapun, surau dalam gua itu terpaksa dikunci, dan hanya dibuka pada waktu masuk solat sahaja untuk mengelakkan golongan berkenaan menyalahgunakan surau dengan menjadikan tempat untuk berasmara.

Pengunjung, Che Husin Ahmad, 45, berkata, gua batu kapur itu sentiasa dikunjungi pengunjung kerana bukan sahaja keindahan alam semulajadinya juga adanya surau dalam gua.

Dia mengakui tempat pelancongan lain yang ada gua tidak mempunyai kemudahan­ seperti itu, dan kerjasama penduduk tempatan berbuat demikian amat baik.

“Surau dalam gua itu cukup selesa untuk pengunjung berhenti rehat sambil menunaikan solat,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Salleh Hassan, 52, pula berkata, sejarah Gua Madu itu memang menarik sekali kerana sebelum ini menjadi tempat lebah membuat sarang, dan memberi peluang penduduk mengambil madunya.

Dia berkata, berhampiran gua itu juga mempunyai pengaliran air sungai yang jernih.

“Kita bersyukur kerana Gua Musang mempunyai banyak tempat menarik dan bersejarah bagi menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sinar Harian

Pegawai polis didakwa terima rasuah

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM300, tahun lepas.

Nazri Ismail didakwa melakukan kesalahan itu di bilik ketua Balai Polis Machang Bubuk dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) telah menerima RM300 daripada M. Kumaran, pada 7 Okt 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Firdaus Sekman manakala tertuduh diwakili peguam bela Rosli Ismail. -- Bernama

Sinar Harian

Kempunan makan ikan keli

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI – Hasrat seorang warga emas ingin membeli ikan keli tidak kesampaian apabila dia didapati rebah di pasar awam Taman Keladi, Sungai Petani dalam kejadian 7.10 pagi semalam.

Ismail Rejab, 68, seorang pesara hospital didapati meninggal dunia selepas dipercayai rebah seorang diri ketika ingin membeli ikan selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bukit Sungai Pasir.

Isterinya, Sharifah Wan Chik, 62, berkata, suaminya keluar dari rumah sebaik sahaja selesai solat Subuh dan berbasikal ke pasar seperti biasa untuk mencari ikan keli.

“Semalam dia dah maklum kepada saya bahawa hari ini dia nak ke pasar membeli ikan keli untuk dibuat gulai.

“Dia suka makan ikan keli, begitu juga saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani semalam.

Menurutnya, arwah tidak mempunyai sebarang penyakit tetapi sering mengamalkan rebusan daun cermai sekiranya berasa pening dan sakit kepala.

“Tak sangka dia akan pergi dahulu kerana saya yang mempunyai sakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Sharifah berkata, selepas selesai solat, Ismail keluar dari rumah sebelum mengunci pintu sementara dia ketika itu sedang membaca al-Quran.

Katanya, dia juga sempat menyediakan teh panas untuk suami tetapi belum sempat dijamah olehnya.

“Dia tak suka makan atau minum di kedai dan walau ke mana sahaja pergi, dia pasti akan balik ke rumah untuk menikmati juadah di rumah,” katanya.

Ismail dikatakan baru sahaja sampai di pasar berkenaan namun belum sempat untuk membeli ikan sebelum dipercayai rebah sendiri dalam kawasan pasar.

Orang ramai yang berkunjung ke pasar berkenaan turut memenuhi lokasi bagi menyaksikan kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian

Kereta terjunam ke dalam sungai

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TEMANGAN, KELANTAN - Empat penumpang termasuk pemandu sebuah kereta cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka sekeluarga terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Kampung Pertok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, kesemua mangsa dikatakan dari Kampung Pauh, dekat sini dalam perjalanan ke Bandar Machang.

Bapa mangsa, Abdul Razak Isa, 61, berkata, anak-anaknya keluar dari rumah kira-kira 11.30 pagi sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, kesemua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Machang namun, tidak mengalami kecederaan yang parah.

“Syukurlah mereka semua selamat, terima kasih kepada penduduk yang membantu mengeluarkan mangsa dan menghantar ke hospital,” katanya.

Penduduk, Raja Fatimah Raja Mamat, 63, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai miliknya yang terletak berdekatan.

Katanya, kejadian berlaku terlalu cepat dan dia hanya menyedarinya apabila dimaklumkan oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui tempat kejadian.

“Kereta mangsa terbabas dan jatuh ke dalam sungai Kuala Peradong ini. Makcik terpaksa meminta pertolongan daripada pengguna jalan raya yang melalui jalan itu memandangkan tiada orang di kawasan berdekatan.

“Mereka kemudiannya menolong mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Machang oleh kakitangan Klinik Temangan. Mujur mereka selamat, makcik benar-benar takut memandangkan tebing sungai itu tinggi,” katanya.

Raja Fatimah berkata, kejadian seumpama itu pernah berlaku di sungai tersebut lebih 20 tahun lalu, namun tidak melibatkan kemalangan maut.

Sinar Harian

Rogol dalam kelas kosong

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

REMBAU – Seorang pengawal keselamatan dikesan rakan sejawatnya melakukan kegiatan tidak bermoral bersama ­seorang pelajar asrama di ­sebuah kelas kosong, di sini, 16 April lalu.

Sumber yang tidak mahu dikenali berkata, pada hari kejadian, suspek berusia 28 tahun dan dua lagi pengawal keselamatan seperti biasa meronda kawasan sekolah berkenaan dan salah seorang menyedari suspek tidak balik ke pos kawalan.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka mencari suspek di kawasan sekolah itu dan terperanjat apabila menemui suspek di dalam kelas kosong kira-kira jam 6.15 petang bersama seorang pelajar perempuan tingkatan lima.

“Susulan penemuan berkenaan, pelajar perempuan itu yang juga tinggal di asrama sekolah berkenaan mendakwa telah dirogol suspek di kelas kosong berkenaan. Rakan sejawatnya yang terkejut bergegas menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya.

“Manakala, pihak sekolah pula memaklumkan insiden memalukan ­itu kepada ibu pelajar perempuan itu dan membuat laporan polis pada hari sama kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan ­reman dari 16 hingga 23 April ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh di­hukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Sinar Harian

Perompak tertinggal selipar

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Dua penjenayah bukan saja gagal merompak sebuah kedai kedai-buahan, malah seorang daripada mereka turut tertinggal sebelah seliparnya sewaktu melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi di sebuah kawasan perumahan­ di Gangsa, Durian tunggal, di sini, penjenayah terbabit bertindak menyerbu rumah kedai buah-buahan milik seorang pengusaha berusia lingkungan 40-an.

Penjenayah terbabit bagaimanapun gagal mendapatkan wang apabila laci penyimpan duit tidak dapat dibuka kerana berkunci, malah dalam keadaan kelam kabut masuk dalam kereta melarikan diri.

Saksi kejadian, Sultan Alaudin Mohamad Ismail, 35, berkata, dia terdengar bunyi bising, diikuti dengan jeritan isteri mangsa ketika kejadian.

Sultan Alaudin yang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan kemudian bergegas ke tempat kejadian.

“Kedua-dua penjenayah berkenaan tergesa-gesa masuk ke dalam kereta jenis Volvo warna merah dan memecut,” katanya.

Menurutnya, isteri mangsa difahamkan sempat mengambil nombor plet kereta penjenayah terbabit.

“Terdapat darah pada pipi kiri mangsa, kesan cedera di tangan dan badan, selain baju yang dipakai mangsa turut direntap penjenayah terbabit.

“Sebelah daripada selipar milik penjenayah itu turut tercicir di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa juga berada dalam keadaan lemah selepas bergelut dengan dua penjenayah berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa yang dicederakan dengan pisau dibawa ke hospital oleh isterinya.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar. Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan­ cubaan samun,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) di talian 06-5562222 untuk membantu siasatan.

Sinar Harian

18 jam bantu mangsa banjir

oprasi cuci rumah mangsa banjir


28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

LARUT: Banjir yang melanda beberapa buah perkampungan di sekitar mukim Ijok,Batu Kurau baru-baru ini telah mengundang keprihatinan Dewan Pemuda PAS kawasan Larut dan Pemuda PAS Cawangan Charak Salak untuk tampil menghulurkan bantuan.

Sejumlah 150 orang pemuda telah menyumbangkan tenaga dan tulang empat kerat membersihkan 70 buah rumah penduduk yang dinaiki air dan lumpur.

Kerja-kerja pembersihan memakan masa selama 18 jam bermula dari jam 8 pagi (12 April 2012) sehingga jam 2 pagi(13 April 2012) keesokannya.

Selain itu,sebanyak 1000 bungkus nasi telah diedarkan kepada mangsa – mangsa banjir.

Kejadian yang berlaku disifatkan paling buruk dalam sejarah di kawasan ini sehinggakan rumah salah seorang penduduk warga emas telah hanyut dibawa arus banjir sejauh beberapa meter dari tapak asal.

Kejadian dikatakan berpunca daripada aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di kawasan bukit berhampiran.Aliran deras dari bukit berkenaan menyebabkan paras air di sungai-sungai berhampiran iaitu Sungai Simpul,Sungai Lata Putih dan Sungai Tebing Tinggi melimpah.

Timbalan Ketua Pemuda PAS kawasan, Akmal Kamaruddin dalam satu kenyataannya menggesa agar kerja-kerja pembalakan di kawasan berhampiran dihentikan segera kerana ia akan mendatangkan risiko berbahaya kepada penduduk di sini setiap kali berlakunya hujan.

“Mana –mana pihak yang menghulurkan sumbangan boleh lah menghubungi Shahir 0134631815 atau Adi 0195684479

Kekalkan perpaduan PR Sarawak

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Kuching – Timbalan 1 Persuruhjaya PAS Sarawak, Cikgu Mohamad Shokri bin Hj. Ahmad Fauzi meminta semua pihak terutama ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar bekerja dari sekarang bagi menguatkan parti dan menarik seramai mungkin pengundi untuk memastikan Pakatan Rakyat (PAS, Parti Keadilan, DAP) menang besar pada pilihan raya 13 di negeri ini.

Beliau yang juga Timbalan YDP PAS Kawasan Petra Jaya berkata, keupayaan Pakatan Rakyat memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen perlu menjadi kenyataan disamping mengekalkan kerusi parlimen yang telah dimenangi.

“Kita perlu bekerja bersungguh-sungguh, kita mahu jumlah kerusi yang dimenangi bertambah. Pada pilihan raya yang lalu Pakatan Rakyat (DAP) cuma menang satu kerusi di bandar Kuching, manakala satu lagi kerusi dimenangi juga oleh DAP melalui ‘By-Election’ di bandar Sibu. PAS tidak meletakkan calon pada pilihan raya parlimen 2008, tetapi pernah bertanding pada pilihan raya 2004. Manakala parti Keadilan belum meraih kemenangan.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat Dewan Harian PAS di markas Perhubungan PAS di Lorong 4, Taman Matang Jaya, di Kuching semalam.

“PAS sudah mendapat tempat di hati rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama. PAS cukup selesa untuk berbanga bahawa ia berjaya membina jaringan perjuangannya yang UMNO sendiri dihalang daripada bertapak di Sarawak oleh rakan Barisan Nasional nya sendiri. Hebat UMNO tidak mengalahkan hebat PAS pun.” tambahnya.

Shokri juga berharap agar ahli-ahli dan para penyokong PAS, parti Keadilan dan DAP berganding bahu dan elakkan perkara yang boleh dijadikan Barisan Nasional modal untuk melemahkan Pakatan Rakyat, bersungguh-sungguhlah dari sekarang bagi merealisasikan sasaran. DAP telah membuktikan kesungguhan mereka dengan kemenangan besar pada pilihan raya negeri (DUN) baru-baru ini. Bagi PAS kita sudahpun mengerah ahli-ahli dan penyokong untuk mengundi mana-mana calon yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya 13 nanti.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj. Adam Ahid memberitahu PAS Sarawak akan mengadakan perasmian premis Markas PAS Sarawak pada hari Ahad ini, 22 April 2012, jam 9.00 malam, di Lorong 4, Taman Matang Jaya. Orang ramai adalah dijemput datang untuk menyaksikan upacara ini. Beberapa orang pimpinan kanan PAS Pusat akan hadir untuk merasmikannya.

Beliau berharap markas milik PAS Sarawak ini mampu menyuntik semangat ahli-ahli PAS di seluruh Sarawak. Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak, ahli-ahli dan penyokong PAS, rakan-rakan PAS di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia serta individu-individu yang telah memberi sumbangan dengan wujudnya markas ini.

Cabaran Mahasiswa SAMM untuk Waris Malaya

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -
Kenyataan Terbuka
20 April 2012

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Mahasiswa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap oleh samseng upahan di bawah kelolaan Waris Malaya, ke atas mahasiswa yang berkampung di Dataran Merdeka untuk menuntut pendidikan percuma.

Merujuk kepada sekumpulan samseng telah bertindak merosakkan khemah-khemah di kawasan tersebut dan mencederakan mahasiswa yang mempertahankan kedudukan mereka di kawasan terbabit. SAMM segmentasi mahasiswa kesal dengan tindakan tidak bertamadun dan memalukan tersebut. SAMM beranggapan bahawa sebarang bentuk keganasan dalam kejadian yang berlaku pada malam tersebut harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh regim UMNO/BN. Baru-baru ini Waris Malaya juga dilancarkan oleh Presiden Umno.

Seharusnya jika terdapat di kalangan pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kumpulan mahasiswa tersebut, hendaklah bertindak dengan cara yang lebih melambangkan kekuatan ilmu dan hujah bukan dengan menggunakan kekerasan.

Seraya itu, SAMM memberi cabaran kepada pihak terbabit (Waris Malaya) supaya tampil kehadapan dan nyatakan dengan prinsip mengapa tindakan tersebut dilakukan. SAMM juga mencabar wakil kepada Waris Malaya untuk berdebat secara ilmiah di Dataran Merdeka dengan mahasiswa dihadapan umum supaya rakyat dapat menilai perjuangan pihak mana yang lebih benar.

Jika Dataran Merdeka menjadi soalnya, maka kita memilih Daratan Merdeka sebagai tempat yang paling sesuai untuk wacana debat diadakan. Pilihlah walau Ezam Md Noor sekalipun untuk berdebat, kami mahasiswa dari SAMM dan kumpulan mahasiswa lain yang bernaung di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia sedia untuk menghantar wakil. Sila nyatakan tarikh dan masa.

Akhir sekali SAMM beraharap pihak berkuasa khususnya Polis Di Raja Malaysia PDRM melakukan siasatan dengan segera ke atas kumpulan yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dan jangan biarkan sistem polis diperalatkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik.

Wan Farel
Penyelaras Segmentasi Mahasiswa
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Nasib guru, polis berbeza di bawah BN

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kelab Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) menyokong penuh usaha yang akan dilakukan oleh Bersih 3.0 untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran ‘Duduk & Bantah’ di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

Pengerusinya, Dr Ghazali Hasbullah berkata, salah satu dari lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 adalah mengukuhkan institusi awam.

Tambahnya, tidak dinafikan bahawa para penjawat awam dan institusi awam adalah nadi kepada pembangunan negara.

Justeru, katanya jatuh bangunnya penjawat awam dan institusi tersebut boleh mencerminkan kemajuan dan kestabilan sesebuah negara.

Menurut fakta dari Jabatan Perkhidmatan Awam, penjawat awam kini mencecah 1.4 juta orang.

Dari jumlah tersebut, 42.9 peratus terdiri dari polis dan guru.

Katanya, mengikut pengalaman lepas, dua kumpulan itu mendapat nasib yang berbeza di bawah pentadbiran kerajaan Umno BN.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia diguna sewenang-wenangnya bagi menghalang Pakatan Rakyat menyatakan hak mereka sedangkan setiap rakyat mempunyai hak-hak tertentu dalam sebuah negara yang merdeka dan demokrasi ini.

“DPMM menyeru Polis Diraja Malaysia agar bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang, bukannya mengikut telunjuk politik kotor dari Umno BN,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, guru pula penjawat awam yang selalu diugut, diarah melakukan sesuatu di luar norma kerja harian mereka, yang mana antara ugutan yang biasa adalah penukaran tempat kerja dan tidak naik pangkat.

“Dakwaan ini bukan kosong, malah telah berlaku kepada ramai guru yang diarahkan bertukar 24 jam akibat dari campur tangan politik Umno BN kerana kononnya guru-guru tersebut menyokong pembangkang,” ujarnya.

Tambahnya, Umno BN juga menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan jentera kerajaan sepenuhnya semasa berkempen.

“Perkara sebegini kita perhatikan setiap kali pilihanraya. Kenderaan jabatan digunakan tanpa rasa segan silu dalam kempen parti mereka.

“Lebih menyedihkan lagi para penjawat awam tertentu dipaksa turun untuk membantu kempen calon Umno BN,” katanya.

Menurutnya lagi, jika penjawat awam tersebut cuba bersuara, mereka akan diugut untuk ditukarkan ke pendalaman dan tidak dinaikkan pangkat.

Bagi beliau, sudah sewajarnya institusi awam diperkukuhkan dan direformasi agar tiada campur tangan politik kotor pemerintah.

“Kelab Pekerja dan Professional Muda DPMM, sekali lagi meyatakan sokongan dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman seperti tuntutan yang dibuat oleh Bersih 3.0 ini,” ujarnya.

Katanya, Kelab Pekerja dan Professional Muda DPMM juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta memberi sokongan yang pada demi melihat sebuah Negara Malaysia yang benar-benar aman dan sejahtera.

“Ingatlah usaha sedikit kita ini akan memberi kesan yang besar kepada kesejahteraan generasi anak cucu kita yang akan datang,” ujarnya.

Beliau menambah, Kelab Pekerja dan Professional muda juga ingin menghulurkan bantuan secara professional kepada Bersih 3.0 bagi melicinkan lagi perhimpunan yang dirancang.

“Saya juga menyeru kepada mana-mana badan professional atau individu untuk turut serta menjadi sukarelawan pada 28 April nanti,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Fatwa: Peguam Muslim setuju tindakan Kedah

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersetuju dengan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang meluluskan pindaan undang-undang untuk menghalang fatwa yang diputuskan mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, daripada dicabar, dirayu, disemak mahupun dipersoal dalam mahkamah sivil atau syariah.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar) berkata, peruntukan dalam Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 itu dibentangkan dalam sidang DUN Kedah bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) dengan memasukkan Fasal 22A yang berbunyi ‘Walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa samada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh dicabar, dirayu disemak dinafikan atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah.’

Beliau berkata, tindakan tersebut hanyalah merupakan suatu penegasan semula tentang kedudukan Mufti di sisi undang-undang.

Katanya, ia juga selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes ESQ mlwn Mufti Wilayah Persekutuan yang memutuskan fatwa mufti tidak boleh dicabar di mahkamah sivil.

“Malah di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Sulaiman Takrib mlwn Kerajaan Negeri Trengganu Mahkamah Persekutuan memutuskan institusi kemuftian ini adalah sah disudut Perlembagaan Persekutuan dan tidak langsung bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersetuju dengan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang meluluskan pindaan undang-undang untuk menghalang fatwa yang diputuskan mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, daripada dicabar, dirayu, disemak mahupun dipersoal dalam mahkamah sivil atau syariah.

Peruntukan dalam Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 itu dibentangkan dalam sidang DUN Kedah bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) dengan memasukkan Fasal 22A yang berbunyi ‘Walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa samada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh dicabar, dirayu disemak dinafikan atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah.’

Tindakan tersebut hanyalah merupakan suatu penegasan semula tentang kedudukan Mufti di sisi undang-undang. Ia juga selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes ESQ mlwn Mufti Wilayah Persekutuan yang memutuskan fatwa mufti tidak boleh dicabar di mahkamah sivil. Malah di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Sulaiman Takrib mlwn Kerajaan Negeri Trengganu Mahkamah Persekutuan memutuskan institusi kemuftian ini adalah sah disudut Perlembagaan Persekutuan dan tidak langsung bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 7(1) Enakmen Mufti Dan Fatwa (Negeri Kedah) 2008 menyatakan Mufti hendaklah membantu dan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan semua perkara Hukum Syarak dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Kedah Darul Aman selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kecuali jika diperuntukkan sebaliknya dalam Enakmen tersebut.

Sekyen 7(2) pula menyatakan Mufti hendaklah bertanggungjawab terus Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Baginda bolehlah dari masa ke semasa memberi perintah sama ada secara am atau khas yang Baginda fikirkan perlu atau bermanfaat iaitu perintah yang tidak berlawanan dengan peruntukan Enakmen ini dan adalah menjadi kwajipan Mufti mematuhi dan melaksanakan perintah itu.

Manakala Seksyen 8(1) menyebut Mufti hendaklah berkuasa mengeluarkan apa-apa fatwa. Seksyen 8(2) pula menyatakan walau apapun peruntukan Enakmen ini Mufti boleh sekira difikirkan perlu berbincang dengan Jawatankuasa Fatwa sebelum mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen ini.

Berdasarkan seksyen-seksyen yang disebut di atas adalah amat jelas Mufti adalah pihak berkuasa utama dalam hal ehwal hukum syarak selepas Sultan. Dalam hal demikian adalah amat tidak wajar fatwa mufti boleh dicabar di mahkamah sama ada mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah. Ini adalah bagi menjaga kehormatan terhadap institusi kefatwaan tersebut. Sayugia diingatkan bahawa Jawatankuasa Fatwa terdiri dari pakar-pakar agama dan mereka juga boleh menjemput orang lain yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi nasihat kepada Jawatankuasa Fatwa dalam hal-hal tertentu berbanding dengan mahkamah yang mendengar sesuatu kes secara adversarial sahaja.

PPMM amat tidak bersetuju dengan pandangan yang mendakwa tindakan Kerajaan Negeri Kedah ini menyamakan fatwa seperti nas qat'i (nas yang putus) dalam Quran dan Sunnah sehingga tidak boleh dipertikaikan yang mengakibatkan terbunuhnya intelektualisme rakyat. Ini adalah disebabkan bahawa sesuatu fatwa masih boleh dipinda atau dibatalkan sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 23(1) Enakmen yang sama yang menyatakan Jawatankuasa Fatwa boleh meminda atau membatalkan mana-mana fatwa yang telah disiarkan di dalam Warta di bawah Enakmen tersebut.

Ia bermakna seseorang yang tidak berpuashati dengan sesuatu fatwa masih boleh merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa memohon meminda atau membatalkan sesuatu fatwa. Ia akan dilakukan dalam suasana muzakarah dengan Jawatankuasa Fatwa yang berkuasa menentukan kaedahnya. Adalah amat tidak logik jika fatwa tersebut boleh dicabar di mahkamah kerana pendekatan di mahkamah adalah untuk berlitigasi dan bukan bermuzakarah. Mahkamah Hakim Mahkamah Sivil pula langsung tidak terlateh di dalam Hukum Syarak manakala Hakim Mahkamah Syariah pula tidak dilatih dalam metodologi ifta’.

Fatwa masih boleh dikaji dengan bermuzakarah semula dengan Jawatankuasa Fatwa. Dengan semangat muzakarah ini suatu keputusan itu akan lebih dekat kepada Hukum Syarak berbanding jika ianya dibawa ke mahkamah. Dalam masa yang sama PPMM bersependapat dengan pandangan Mufti Negeri Perlis Dr Juanda Jaya yang menyarankan perlu ada keterbukaan dalam membuat sesuatu fatwa dan pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan peranan ulil amri (pemerintah) mentarjih bagi memilih apa-apa pandangan.

Jika dibaca keseluruhan Enakmen Mufti Dan Fatwa (Negeri Kedah) 2008 ia sebenarnya meraikan pelbagai pandangan yang berbeza dan sesuatu fatwa itu masih bersifat anjal kerana ia masih boleh dipinda. PPMM juga mengingatkan peranan fatwa bukanlah menentukan perkara yang sudah bersifat definitive (atau sudah putus) tetapi hanya di dalam perkara spekulatif sahaja (iaitu perkara yang belum diputuskan dengan nas yang qatie).

PPMM juga menggesa institusi mufti dan kefatwaan ini diperkasakan dengan memberi kuasa kepada mufti untuk memberi nasiat dan membuat teguran kepada mana-mana pihak, mempertingkatkan keupayaan dan prasarana institusi fatwa, membebaskan Mufti dari sebarang tekanan dan pengaruh politik atau individu tertentu. Bagi mempastikan kewibawaan institusi ini terus terpelihara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun menetapkan halatuju yang sistematik melalui penggubalan bersama Pelan Strategik Jabatan-Jabatan Mufti Seluruh Malaysia 2010-2014 bagi memikul tanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam dalam negara termasuklah mengadakan undang-undang khusus dan seragam untuk Mufti dan Pengurusan Fatwa.

Berbalik kepada isu yang dibicarakan di atas, PPMM sekali lagi menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Negeri Kedah meminda Enakmen Mufti dan Fatwa (Negeri Kedah ) 2008 dan menegaskan jika ada mana-mana orang yang tidak bersetuju dengan mana-mana fatwa, mereka bolehlah berhujah secara muzakarah dengan Jawatankuasa Fatwa dan bukan mencabarnya di mana-mana mahkamah.

Harakah Daily

Jangan sampai dunia lihat militia serang rakyat

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Negara ini akan mendapat imej yang buruk di kaca mata dunia apabila pemimpin negara dilihat membenarkan wujudnya kumpulan militia menyerang rakyat sendiri seperti yang dilihat pernah berlaku di Libya dan kini di Syria.

Justeru, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengutuk kejadian biadap oleh sekumpulan orang yang dibiar mengganasi pelajar yang berkhemah di Dataran Merdeka dua malam yang lalu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kejadian yang berlaku secara terang-terangan di hadapan pihak polis menyebabkan negara ini tidak boleh dianggap negara yang selamat.

Katanya, sudah pasti insiden tersebut kini dapat dilihat sendiri oleh pelancong dari luar dan dengan itu gambaran negara ini sebagai negara yang aman adalah indah khabar dari rupa.


Beliau menambah, Teras percaya pelajar yang kini lebih berani menyatakan sikap dan bertindak berkhemah di Dataran Merdeka secara aman seharusnya dilihat sebagai kesungguhan dan keazaman mereka memperjuangkan isu yang dekat dengan masa depan mereka dan generasi akan datang.


“Tuntutan mereka adalah jelas. Mereka percaya pendidikan percuma boleh dilaksanakan di negara ini dengan uruskelola kewangan negara yang telus dan bertanggungjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Katanya, Teras kesal dengan respons Menteri Pendidikan Tinggi berhubung insiden tersebut.

Katanya, sikap bebal dan sangat tidak matang menunjukkan menteri berkenaan tidak layak memegang mandat sebagai menteri apabila berhadapan dengan tuntutan pelajar.

“Dengan mengeluarkan kenyataan pedas terhadap pelajar yang diserang oleh sekumpulan gangster di hadapan orang ramai dan disaksi oleh pihak polis sendiri adalah suatu kenyataan yang menunjukkan mentaliti yang sama dengan penyerang itu sendiri,” ujarnya.

Justeru, ujarnya Teras menuntut pihak polis menyiasat dan bertindak ke atas kumpulan ganas yang menyerang pelajar yang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, adalah munasabah jika pihak kerajaan mengadakan dialog dengan pelajar dan mendengar dengan jujur bahawa suatu alternatif boleh dicapai dalam isu pembiayaan pendidikan tinggi di negara ini.

Sehubungan itu, kata Mohd Azmi pihaknya mendesak agar pihak kerajaan mengadakan dialog dengan pelajar untuk mendengar tuntutan mereka mengenai isu pendidikan tinggi percuma.

Harakah Daily

Ameerah gesa polis siasat dalang serang siswa

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat mahu pihak polis menyiasat siapa dalang disebalik serangan terhadap mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka awal pagi semalam.

Sambil mengecam tindakan samseng itu, pengerusinya Fareedah Samad berkata, mereka yang bertanggungjawab dalam serangan itu harus dikenakan tindakan tegas agar kejadian serupa tidak berulang.

"Ameerah sekali lagi menggesa pihak Polis Di Raja Malaysia untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berkaitan kumpulan samseng ini termasuklah individu yang terlibat, master mind di belakang kumpulan ini dan pihak yang memberi jaminan keselamatan kepada mereka.

"Ameerah juga mahu pihak polis segera mengambil tindakan yang tegas ke atas kumpulan samseng tersebut ini bagi mencegah kejadian yang lebih buruk berlaku pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam insiden pagi semalam itu seorang siswa dilaporkan cedera apabila kumpulan mereka yang berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur diserang sekumpulan lelaki yang didakwa 'samseng'.

Kumpulan itu mengepung pelajar di tapak khemah tersebut dan mula mengganggu serta mengasari dan merobohkan khemah mereka kira-kira jam 2.45 pagi.

Pelajar yang mengalami kecederaan itu dilaporkan dibawa ke hospital dengan ambulans.

Menurut Fareedah lagi, lebih dikesali dalam insiden itu apabila samseng terbabit didakwa turut menyepak kepala seorang siswi.

"Provokasi melampau ini dilihat sebagai kelakuan yang amat tidak bermoral dan dikhuatiri akan berulang sekiranya tiada sebarang tindakan tegas yang diambil terhadap mereka.

"Mereka hanya berhimpun secara aman di Dataran Merdeka tanpa mengganggu orang sekeliling. Mereka hanya tidur di dalam khemah secara tertib jauh sekali untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat seperti merempit dan sebagainya," katanya lagi.

Harakah Daily

Geng ‘nakal’ pecah kereta

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IPOH - Pemilik lapan kereta yang tinggal di beberapa kawasan perumahan sekitar Pengkalan, di sini mengalami kerugian apabila sekumpulan remaja ‘nakal’ bertindak memecahkan cermin kereta mereka yang diletakkan di tepi jalan dalam kejadian pada jam 10 malam kelmarin.

Difahamkan, kumpulan remaja yang dianggotai empat orang itu dipercayai menaiki dua motosikal ketika melakukan perbuatan tersebut.

Antara kawasan perumahan yang terbabit termasuklah Taman Desa Pakatan, Taman Pinji Mewah dan Medan Pengkalan Impian.

Seorang peniaga, Susan Tung Soo Wan, 42, berkata, kejadian seumpama itu adalah yang kedua berlaku di rumahnya selepas tujuh tahun tinggal di kawasan perumahan tersebut.

Menurutnya, pada tahun lalu cermin keretanya pernah dipecahkan dan beberapa barangan turut hilang dalam insiden itu serta menyebabkan dia kerugian kira-kira RM200.

Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, dia bersama bapa mertua dan empat orang anak sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu rumah.

“Tiba-tiba saya terdengar seperti bunyi orang ‘ketuk’ barang hingga pecah dan bunyi motosikal di bahagian luar rumah.

“Saya juga dengar suara orang menjerit dan dengan segera saya keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat cermin hadapan kereta Toyota Wish saya retak akibat lontaran batu dipercayai dilakukan kumpulan remaja berkenaan.

“Beberapa orang penduduk berhampiran turut berkumpul untuk memeriksa kenderaan masing-masing,” katanya di sini, semalam.

Katanya, penduduk di kawasannya ada membayar upah RM20 setiap bulan kepada syarikat keselamatan swasta bagi melakukan rondaan di kawasan tersebut namun kejadian jenayah tetap berlaku tanpa mengira masa.

“Oleh itu saya meminta supaya kawalan keselamatan dipertingkatkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Yip Yoot Leong, 51, berkata, sewaktu kejadian dia bersama keluarga sedang bersantai di rumah.

“Kira-kira jam 10 malam, salah seorang anggota keselamatan yang sedang membuat rondaan menelefon dan memberitahu cermin kereta saya pecah.

“Panggilan telefon itu membuatkan saya segera melihat kereta yang diletakkan di luar rumah dan ternyata ia benar.

“Seketul bata ditemui di dalam kereta saya dipercayai digunakan bagi melakukan perbuatan itu namun tiada barang hilang,” katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Kedua-dua mangsa yang mendapat bantuan daripada anggota Persatuan Keselamatan Bandar Baru Pengkalan sudah membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai.

Katanya, polis sememangnya melaksanakan peranan secara proaktif dalam menangani jenayah namun rondaan perlu ditingkatkan terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

Tambahnya, Balai Polis Simpang Pulai yang mengawal kawasan berkenaan tidak relevan kerana ia terletak setengah jam dan memakan masa yang lama untuk bantuan diberikan jika berlaku sebarang kecemasan mahupun kejadian jenayah.

“Saya ada menerima aduan penduduk di kawasan terbabit melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes jenayah seperti samun yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

“Sehubungan itu, saya akan cuba berbincang dengan polis agar sebuah pondok polis dibina supaya kes jenayah dapat ditangani selain keselamatan diri dan harta benda penduduk terjamin,” katanya.

Agency

Lagi salah laku askar Amerika

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

WASHINGTON — Tentera Amerika Syarikat (AS) dikaitkan dengan pelbagai dakwaan salah laku sejak awal tahun lalu dan yang terbaru ia sekali lagi mencalarkan imej mereka dan bakal mencetuskan kemarahan orang Islam.

Akhbar Los Angeles Times, kelmarin memaparkan beberapa gambar kelakuan biadab askar 82nd Airborne Division ‘beraksi’ dengan mayat ahli kumpulan militan yang berlumuran darah di wilayah Zabul, Afghanistan.

Gambar yang diambil pada 2010 itu turut menunjukkan pelbagai aksi menjengkelkan tentera dengan mayat tanpa rasa hormat terhadap si mati.

Susulan daripada pendedahan­ memalukan di akhbar tersebut, Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta bertindak segera memohon maaf bagi pihak kerajaan di atas kelakuan bodoh tentera AS yang terlibat dan beliau juga menyuarakan kebimbangan kononnya gambar itu akan mencetuskan keganasan baru terhadap penduduk AS.

“Mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan ini akan dihukum mengikut sistem keadilan tentera,” katanya.

Jurucakap akhbar Los Angeles Times menyatakan kesemua 18 gambar kontroversi tersebut diperoleh daripada seorang askar yang identitinya tidak didedahkan.

“Tujuan utamanya adalah untuk mendedahkan kegagalan dalam kepimpinan pihak atasan dan masalah disiplin anggota tentera AS,” menurut akhbar tersebut lagi.

Dalam satu kenyataan, Taliban mengutuk perbuatan askar AS itu dan berikrar untuk membalas dendam.

Sinar Harian

Hujan lebat punca tanah mendap

28 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JENGKA 13 – Berikutan hujan lebat petang kelmarin, seorang peniaga kerugian lebih RM10,000 berikutan tanah mendap sekali gus merobohkan simen dan merosakkan barang di kedai runcitnya yang terletak di simpang Felda Jengka 13.

Peniaga terbabit, Zulkifli Talib, 41, berkata, ketika kejadian sekitar jam 6.30 petang terbabit, beliau tidak berada di kedai kerana pulang ke rumah seketika.

“Saya agak terkejut apabila mendapat panggilan telefon dari pekerja saya mengatakan tanah di sebelah kiri kedai saya mendap dan runtuh kerana hujan lebat.

“Tanpa membuang masa, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati air melimpah ruah mengalir sekali gus turut memasuki ruang dalam kedai,” katanya.

Tambahnya, air yang kuat dikatakan datang dari atas bukit turut memasuki ruang stor kedainya justeru memusnahkan barang runcitnya yang disimpan di dalam stor terbabit.

“Ia turut memusnahkan mesin mengesan harga barang yang bernilai RM8,000 dan barang-barang runcit seperti lampin bayi, susu tepung, bawang dan banyak lagi yang saya anggarkan berjumlah sekitar RM3,000,” katanya.

Zulkifli berkata, tidak hanya beliau kerugian dari sudut barangan rosak, tetapi juga terpaksa membaiki kedainya yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM2,000.

Zulkifli justeru itu, mengharapkan bantuan dari pihak berwajib untuk membantu meringankan beban akibat kerugian yang ditanggungnya ini.

Menurut pekerjanya, Mohd Hairi Anuar, 25, yang berada di kedai ketika itu berkata, kejadian berlaku terlalu pantas sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan barang kedai terbabit.

“Saya lihat air semakin laju dan saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang akan membahayakan diri.

“Setelah air surut, barulah kami dapat lihat simen retak dan tanah berlubang besar kerana mendap akibat air yang deras itu,” katanya.

Menurut Hairi, ini merupakan kejadian kali kedua berlaku di kedai tersebut. Katanya, kejadian sebelum ini ialah pada hari Sabtu lepas di mana hanya sebahagian sahaja dari tanah kedai tersebut mendap dan memberi kesan kepada barangan dalam kedai.

“Sejak lapan tahun kedai ini dibuka, tahun ini adalah kejadian yang paling teruk pernah kami alami. Sebelum ini tidak pernah terjadi kejadian seperti ini walau hujan lebat melanda kawasan ini,” katanya.

Sinar Harian