17 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
KOTA BHARU, 21 April: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, menyeru pihak tertentu tidak mempolitikkan isu air di Kelantan kerana ianya turut menjadi masalah di negeri lain juga.
Menurutnya, sebuah negeri yang berjiran dengan Kelantan juga turut menghadapi masaalah bekalan air bersih sehingga ia sering dibangkitkan dalam setiap persidangan Dun di negeri itu sebagaimana yang dilaporkan dalam sebuah akhbar harian hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini, semalam. Hadir sama pada sidang media itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat.
Pada masa yang sama beliau juga turut menafikan kerajaan negeri telah memperolehi pinjaman sebanyak RM600 juta dari kerajaan Pusat, sebaliknya hanya RM520juta dalam tempoh 10 tahun bermula tahun 2001 hingga Disember 2010.
“Itupun bukan dibayar sekaligus, sebaliknya berperingkat-peringkat bermula tahun 2001 dan berakhir Disember tahun lalu,”ujarnya lagi.
Beliau seterusnya berkata, walaupun peruntukan itu besar, namun kos tersebut masih belum mencukupi untuk menampung penyelenggaraan air, apa lagi hanya tempoh 11 tahun ini sahaja kerajaan negeri mendapat peruntukkan itu.
Katanya, bermula RMK-8 melalui peruntukan yang diberikan kerajaan Pusat untuk menyelenggarakan projek ianya membabitkan kos RM80juta untuk membaik pulih Loji Rawatan Air Chicha, Merbau Chondong 1 RM23juta, Merbau Chondong 2, RM38 juta.
“Selain itu menaik taraf loji air di Kampung Putih RM29 juta, Pahi, RM8 juta, Kelar 1 RM30 juta dan banyak lagi tidak termasuk pertukaran paip RM9 juta dengan kos keseluruhannya RM291 juta,” ujarnya.
Perbelanjaan itu katanya dikeluarkan bermula tahun 2001 hingga 2005 tidak termasuk perbelanjaan tambahan sebanyak RM68 juta.
Menurutnya lagi, RMK-9 pula melibatkan perbelanjaan dibeberapa buah jajahan lain untuk projek sama yang membabitkan peruntukkan RM160 juta dengan kos keseluruhannya RM560 juta.
Pada masa yang sama beliau memberitahu, kerajaan negeri memohon RM300 juta untuk menyelesaikan masalah air, bagaimanapun hanya RM96 juta sahaja diluluskan untuk program RMK-10.
“Memandangkan peruntukkan sejumlah itu tidak dapat diberikan, kerajaan negeri tidak dapat menyenaraikan plan pembangunan air dalam tempoh 30 tahun sebagaimana yang diminta oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Malaysia,” ujarnya.
Katanya, Kelantan tidak bernasib baik berbanding negeri-negeri lain yang memperolehi pinjaman atau geran peruntukkan untuk membaik pulih perkara itu.
Menurutnya lagi, Loji Rawatan air perlu dinaik taraf dari semasa ke semasa serta dibaik pulih apabila pertambahan penduduknya berlaku di samping beberapa faktor yang lain.
“Sedangkan setiap loji memerlukan peruntukan yang besar kosnya membabitkan sejumlah RM60 juta ke atas,” ujarnya lagi.
Menyentuh tentang masalah yang berlaku di Pasir Putih Isnin lalu, beliau memberitahu masaalah membaik pulih loji air di Wakaf Bunut juga telah selesai.
“Kita juga juga berjaya menaikkan lapan meter padu air sehari berbanding sebelum ini yang hanya mencecah tujuh meter sahaja,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri memerlukan kerjasama dari Tenaga National supaya keupayaan pam 350 watt untuk menaikkan keupayaan kabel untuk menaik taraf pencawang di Merbau Chondong yang telah dipohon setahun lalu.
Sambungnya, dengan adanya naik taraf pencawang di Merbau Chondong, lebih banyak bekalan air bersih akan dapat diselesaikan dengan segera.
“Untuk menyelesaikan masaalah air di Semerak kita sedang runding untuk membeli air dari Besut dengan kerajaan Terengganu sebanyak lima meter sehari memandangkan jajahan itu paling hampir dengan daerah itu di Terengganu,” ujarnya.
Katanya, cara itu lebih baik berbanding menggunakan air dalam negeri, memandangkan air terpaksa disalurkan dari Merbau Chondong untuk dihantar ke Bukit Peraksi dan seterusnya ke Semerak.
Harakahdaily/-
Oleh : Salmah Mat Husain