01 Oktober 2010

Ikut perkembangan zaman : Blackberry jadi teman baru.

22 Syawal 1431H.

Terkadang rasa tidak mahu layan namun semuanya mesti didepani dengan matang dan mengikut keperluan semasa dan zaman. Walaupun agak terlambat namun ianya telah bermula. Sebenarnya hajat untuk memiliki handphone Blackberry tersemat didalam hati kecil ini sekian lama namun hajat itu alhamdulillah tertunai sudah beberapa hari lepas.

Semuga ianya melancarkan lagi kerja-kerja mengurus email, mengakses blog cina islam, dan mengakses facebook dan twitter.

Sekitar Program Drs. Khalil di Perlis.

Drs. Khalil sedang tahnik seorang bayi iaitu cucu kepada Timbalan YDP PAS Kawasan.

22 Syawal 1431H.

KANGAR, 30 September:- ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim telah meluangkan masa untuk memenuhi undangan PAS Kawasan Kangar, Perlis dalam beberapa program yang telah diatur.

Semasa Drs. Khalil di perlis beliau telah menyampaikan Kuliah Haraki selepas waktu Maghrib di Markaz PAS Kawasan dan diikuti dengan menyempurnakan majlis tahnik cucu kepada Timbalan YDP PAS Kawasan, Hj. Abdul. Sekitar 200 orang dikalangan pimpinan PAS Kawasan dan Cawangan telah hadir memenuhi markaz.

Drs. Khalil menurunkan tandatangan tanda sokongan kepada perasmian Pejabat DAP Cawangan Kuala Perlis.

Bergambar bersama pimpinan Pakatan Rakyat Kuala Perlis selepas majlis dailog.


Selepas solat Isya berjemaah, Drs. Khalil telah mengimamkan solat hajat sempena peperiksaan PMR, SPM dan STPM yang bakal bermula.

Program terakhir ialah majlis Penerangan dan Dailog bersama pimpinan Pakatan Rakyat Kuala Perlis yang juga terletak dalam palimen Kangar dan PAS Kawasan Kangar yang diadakan di pejabat DAP Kuala Perlis.

Pada kesemppatan itu Drs. Khalil telah memberikan penjelasan isu semasa dan motivasi bagi melancarkan persiapan Pakatan Rakyat di Kuala Perlis terutamanya dalam menghadapi piliharaya akan datang.

Selain itu beliau sempat menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh yang hadir.

Hilangnya sebiji permata : Jenazah Pak Teh selamat disemadikan.



22 Syawal 1431H.

PENGKALAN HULU, 30 Sept.:-Ribuan umat Islam dari pelusuk negeri Perak dan sebahagiannya dari Kedah membanjiri pondok Pak Teh di Kg Kuak Luar, Pengkalan Hulu. Penghormatan terakhir diberikan oleh umat Islam ke atas Al Marhum Pak Teh (Tuan Guru Hj Abdul Latif Abdul Rahman) yang telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 12.30 pagi kelmarin. Kebetulan tarikh kematiannya bersamaan dengan tarikh kelahiranya pada 30.09.1938. Beliau meninggalkan seorang balu dan 11 orang anak dan meninggalkan ratusan murid yang masih berguru dengannya di pondok dan ribuan lagi di merata tempat dan ribuan bekas-bekas muridnya dari seluruh pelusuk negara.

Pemergiannya sangat mengejutkan ribuan umat Islam yang berguru dengannya, kerana malamnya beliau masih lagi mengajar di pondok sehingga hampir pukul 10 malam. Beliau sebenarnya sering keuzuran sejak ditimpa kemalangan tempoh hari, tetapi semangat dan cintanya pada ilmu mengatasi segala keuzuran yang dialaminya, walaupun uzur selagi ada kudrat dan selagi masih boleh bercakap, beliau tetap akan mengajar di merata tempat. Demikian menurut salah seorang anak muridnya yang sempat saya temui.

Sewaktu Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Negeri Perak, YAB Dato' Seri Hj Nizar sebagai Menteri Besar ketika itu telah meluluskan permohonan 45 ekar tanah kepada Pak Teh untuk sebahagianya bagi menjana pendapatan melalui tanaman getah, dan sebahagiannya untuk membesarkan lagi kawasan pondok pengajian.

PAS Perak pula telah memanfaatkan ilmunya kepada pimpinan PAS di semua peringkat dalam program Kuliah Tafaqquh Fiddin yang diadakan sebulan sekali di Surau Ustaz Zahid, Paya Renggam, Padang Renggas. Begitu juga PAS Kawasan Gerik sering menjemput beliau dalam program Ijtima' bulanannya di Markaz PAS Kerunai.

Solat Jenazah telah disempurnakan di surau tempat pengajiannya di Pondok Pak Teh kira-kira jam 11.45 pagi tadi diimami oleh anak saudaranya sendiri. Turut kelihatan Syeikh Mohd Noor Mansor (Pengarah JAIP), Ust. Shuiad Din (Ketua Dewan Ulama PAS Perak), Tuan Guru Hj Salleh dari Pondok Sik, Baling, YB Hj Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling), Ust. Azezan Desa (Tim.Ketua Dewan Ulama PAS Perak), dan ramai lagi Adun & pimpinan PAS negeri dan kawasan-kawasan yang hadir. Beberapa pimpinan UMNO Bahagian Gerik juga turut kelihatan termasuk beberapa Adun & bekas Ahli Parlimen Gerik.

Dato'Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim (Timbalan Mufti Perak) dan beberapa pegawai dari Jaip dan Pejabat Mufti Perak juga kelihatan hadir.

Solat Jenazah kali ke 2 turut diadakan di Masjid Jamek Kg. Kuar Luar kira-kira jam 12.30 tengahari bagi memberi peluang ribuan lagi umat Islam mengerjakan solat Jenazah. Jenazah Al Marhum disambut tangan ke tangan dari tempat kediamannya sehinggalah sampai ke Masjid Jamek kira-kira 500 meter dari kediamannya.

Semuga rohnya ditempatkan bersama para anbiya, sahabat dan solehin. Amin. Al Fatehah.
(http://misabah.blogspot.com)%20(gambar/ dari blog ADUN Gunung Semanggol)













































TAKZIAH BUAT KELUARGA DAN ANAK DIDIK TUAN GURU “PAK TEH” PENGASAS PONDOK PAK TEH PENGKALAN HULU

21 Syawal 1431 H
Oleh: mohd hafez sabri

PAS Perak ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga dan anak didik Almarhum Tuan guru Haji Dato Abdul Latif b. Adul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Pak Teh diatas pemergiannya kerahmatullah pada awal pagi hari ini.

PAS Perak merasai kesedihan akan hilangnya seorang pejuang agama yang begitu gigih dan merupakan seorang Tuan Guru yang telah banyak melahirkan pelajar-pelajar agama di Perak ini. Pemergian Tuan Guru Pak Teh sangat dirasai oleh seluruh rakyat di negeri Perak ini.

Al Marhum sememangnya sangat dikenali sebagai seorang tuan guru yang mahir dalam belbagai bidang agama dan sentiasa istiqamah dalam melahirkan insan-insan yang memahami dan mendalami ilmu agama di pondok beliau.

Pengorbanan dan semangat juangnya dalam misi untuk berbakti kepada ummah dan melahirkan insan yang faham agama inilah yang wajar dicontohi oleh seluruh rakyat khususnya umat Islam, walaupun pemergian Almarhum menemui Allah SWT adalah satu kehilangan besar bagi rakyat Perak,

tetapi Almarhum telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup diatas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah ALLAH SWT.

Semoga ALLAH SWT meletakkan rohnya bersama para An’biya, Syuhada’ dan Solihin.

Umat Terbaik

21 Syawal 1431 H
Oleh: Jarjani Usman

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” (QS. Ali Imran: 110).

Disebut umat terbaik, rasanya membanggakan. Namun yang dimaksudkan sebagai umat terbaik di sini tentunya adalah umat yang mau dan mampu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar, beriman kepada Allah, serta mampu berbuat baik untuk umat dan makhluk lain, termasuk alam sekitar.

Namun, kalau mencermati kenyataan selama ini, sebahagian di antara kita tak pantas disebut golongan umat terbaik.

Sebahagian orang telah terjerumus menjadi manusia-manusia yang bukan hanya tidak menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Tetapi, ada yang merasa senang kalau orang lain susah dan merasa susah bila orang lain senang.

Kalau terhadap saudara sendiri bisa demikian buruk, apalagi terhadap umat-umat yang lain.

Bukan hanya itu, alam juga sering diperah sembarangan untuk memenuhi hajat pribadi dan di saat yang sama mengabaikan dampak buruk terhadap orang banyak. Perbuatan demikian jelas bertolakbelakang dengan perilaku umat tersebut.

Umat terbaik akan senantiasa menjaga kelestarian alam sekitar sehingga dapat dipergunakan oleh hamba-hamba Allah yang lahir di masa-masa yang akan datang.

Karena itu, sewajarnya kita kembali menata diri untuk masuk segera ke dalam barisan umat terbaik. Dengan cara demikianlah, dunia ini akan damai dan alam akan selalu setia menjadi tempat berkehidupan yang tenteram.

Mendekati Kampung Donglianhua, Kediaman Penduduk Islam di Provinsi Yunnan

21 Syawal 1431 H


Kebanyakan penduduk kampung Donglianhua terdiri daripada etnik Hui yang beragama Islam. Tiga penjuru kampung tersebut dikelilingi oleh sungai. Air sungai telah menyuburkan tanah pertanian kampung tersebut.

Pemandangan alam sekitar kampung Donglianhua indah sekali. Generasi tua kampung tersebut telah memasang paip tembikar dari Sungai Daxi yang terletak beberapa kilometer jauhnya dari kampung itu untuk penduduk kampung menikmati air daripada sungai.

Rumah penduduk kampung yang berderet-deret kelihatan tersusun cantik. Pokok buah dan bunga yang berwarna-warni ditanam oleh penduduk di kawasan halaman rumah mereka. Ini menjadikan kampung Donglianhua kelihatan seperti taman semasa bunga berkembang mekar.

Kampung Donglianhua merupakan kampung yang bersejarah lama. Ia diwujudkan semasa pemerintahan maharaja pertama pada zaman Dinasti Ming, iaitu Maharaja Zhu Yuanzhang (1368-1398).

Bangunan kuno yang seni binanya penuh dengan ciri budaya Islam masih terpelihara dengan baik. Budaya Islam dan budaya tradisi China dapat digabungkan dan diperlihatkan melalui seni bina bangunan-bangunan dalam kampung ini.

Sekiranya kita mengkaji sejarah kampung Donglianhua dengan lebih mendalam, maka kita akan mendapat tahu bahawa kebanyakan penduduk kampung tersebut mencari rezeki sebagai peniaga sejak ratusan tahun yang lalu lagi.



Mereka membiakkan kuda untuk mengangkut kargo ke sana-sini. Beberapa orang kampung itu akan mewujudkan sebuah kumpulan pengangkutan kuda untuk bersama-sama berurus niaga ke tempat lain.

Barang-barang yang dijual oleh mereka kebanyakannya ialah gula merah, teh dan sutera. Kumpulan seperti ini dinamakan "Mabang" yang bermaksud kafilah kuda.

Semasa zaman kemakmuran perniagaan mereka, mereka mengangkut dan menjual barang-barang sehingga ke kawasan Asia Tenggara.

Walaupun mereka terpaksa menghadapi banyak cabaran, kesukaran dalam perjalanan urus niaga, namun mereka tetap menaruh keyakinan sepenuhnya kepada Allah.

Kini kumpulan pengangkutan kuda telah beransur-ansur lenyap manakala jalan kuno untuk mereka mengangkut keluar barang-barang sudah menjadi semakin usang.

Namun, sejarah pengangkutan kuda kampung itu dapat diperlihatkan melalui beberapa tapak peninggalan dan kenangan yang diwarisi turun-temurun.



Kampung Donglianhua terletak di kaunti Weishan di mana kaunti autonomi etnik Yi dan etnik Hui. Kedua-dua etnik minoriti tersebut hidup bersama-sama secara harmoni. Terdapat sebanyak 22 buah masjid di kaunti Weishan.

Antaranya sebuah masjid kuno terletak di Kaumpung Donglianhua. Masjid yang di pusat kampung itu mula dibina pada awal zaman Dinasti Qing dan dibina semula pada tahun 1943. Dewan sembahyang masjid tersebut telah diubahsuai menjadi lebih luas pada tahun 1987.

Reka bentuk masjid tersebut serupa dengan istana kuno China. Menara azan masjid tersebut merupakan bangunan tertinggi di Kampung Donglianhua.

Sekiranya kita naik ke menara azan yang tinggi itu, kita dapat melihat pemandangan keseluruhan kampung Donglianhua.

Semua bangunan dalam masjid tersebut diperbuat daripada batu bata dan kayu. Dewan sembahyangnya dihiasi dengan ukiran ayat-ayat suci Al-Quran yang kelihatannya cantik sekali.

Hari raya Adilfitri merupakan perayaan yang disambut secara besar-besaran dan dengan paling meriah oleh penduduk kampung Donglianhua.

Setiap keluarga akan sibuk membersihkan rumah dan tuan rumah pula akan menyediakan pelbagai masakan enak untuk para tetamu sebelum ketibaan hari raya.

Pada hari raya puasa, semua orang yang pernah belajar di masjid itu akan berjalan kaki pergi ke masjid pada waktu subuh untuk bersolat.



Mereka berpakaian baju hijau gelap dan kopiah putih sambil berjalan mendahului orang lain. Tradisi ini menunjukkan rasa hormat terhadap ilmu. Setelah selesai berjemaah di masjid biasanya, para penduduk akan menziarahi kubur.

Pada hari raya korban atau Hari Raya Aidil Adha, iaitu hari ke-70 setelah hari raya Aidilftri, penduduk kampung akan menyembelih kambing atau lembu.

Mereka berkongsi daging dengan jiran-jiran dan orang miskin agar semua orang dapat bersama-sama menghayati kegembiraan hari raya.

CRI/-

Dun Kelantan rafak sembah Sultan Muhammad ke-V

21 Syawal 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 30 Sept: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan Khas yang bermula kira-kira jam 9.00 pagi ini merakamkan ucapan tahniah (merafak sembah) dan sembah taat setia kepada Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad ke-V.

Cadangan merafak sembah (ucapan tahniah) yang mewakili kerajaan negeri dan rakyat Kelantan dikemukakan Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Yakob sebentar tadi yang disokong oleh Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamad.

Turut menyokong cadangan ucapan tahniah itu, Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad, (BN-Kok Lanas).

Abdullah ketika berucap membentangkan cadangan rakaman tahniah itu berkata perlantikan dan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad ke-V dinanti-nantikan oleh rakyat seluruhnya.

Beliau juga turut mengakui rakyat seluruh Kelantan melahirkan rasa gembira di atas perlantikan dan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Sambungnya lagi, perlantikan itu juga sejajar dengan kehendak rakyat memandangkan baginda lebih mengambil perhatian serta menyelesaikan mereka.

“Kami dari pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong Tuanku sejak mula tuanku ditabalkan sebagai Sultan Kelantan lagi,” ujarnya.

Katanya lagi, perlantikan baginda bagi menggantikan ayahanda baginda yang sedang gering bertepatan dan tidak menyalahi undang-undang memandangkan Sultan Ismail Petra tidak mampu lagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Abdullah berkata, baginda yang gemar turun ke bawah untuk menunaikan solat sunat hajat dan menyelami masalah rakyat begitu mengharukan rakyat seluruh negeri ini.

Sementara itu, Alwi turut menyokong perlantikan dan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

“Saya mewakili Barisan Nasional Kelantan menyokong penuh di atas perlantikan tuanku sebagai Sultan Kelantan yang baru yang membawa gelaran Sultan Muhammad Ke-V,” ujarnya.

Drs Zainuddin Awang Hamad, ketika mengambil bahagian dalam perbahasan bagi menyokong ucapan merafak sembah itu mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengganggu-gugat kedaulatan Sultan Kelantan sekarang.

Katanya, perlantikan baginda yang sah di sisi undang-undang itu, jangan sekali-kali dicabar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Persidangan khas hari ini turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Chek Hashim Sulaima.

Speaker Dun, Datuk Nasaruddin Daud, ketika memulakan sesi persidangan Dun Khas itu berkata Dewan Undangan Negeri Kelantan, mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham di atas pemergiannya.

“Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan keluarga bersabar menerima ujian ini,” ujarnya.

Semua anggota dewan termasuk pembangkang dan pemerhati mengaminkan doa yang dibacakan oleh Speaker untuk allahyarham.

Harakahdaily/-

Kerjasama padu kerajaan dan sultan untuk rakyat

21 Syawal 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 30 Sept: Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata Kerajaan Kelantan akan sentiasa memberi kerjasama yang padu pada Sultan Muhammad Ke-V, dalam apa juga urusan untuk perpaduan dan kepentingan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan cadangan merafak sembah perlantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Muhammad Ke-V dalam persidangan Dun Khas yang berlangsung sebentar tadi.

Menurutnya, kerajaan Kelantan turut merafak sembah terhadap perlantikan itu dan akan sentiasa memberi kerjasama kepada baginda.

Pada masa yang sama, Ahmad yakin program kebajikan rakyat yang dilaksanakan oleh ayahanda baginda sebelum ini dapat diteruskan oleh Sultan Muhammad Ke-V .

“Kerajaan negeri sentiasa akan memberi kerjasama kepada baginda bersesuaian sebagai ketua pentadbir negeri,” ujarnya.

Katanya, rakyat mengharapkan kebaikan dan keberkatan yang berlebihan dari Allah berikutan sikap baginda yang lebih mementingkan agama.

“Sultan yang memerintah dan bertaqwa kepada Allah bersesuaian dengan dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam, dapat digarap bersama demi untuk keberkatan yang berlebihan,” ujarnya.

Beliau menambah,rakyat merasa bertuah apabila mempunyai sultan yang memayungi rakyat, apabila setiap tindak tanduk berasakan ketaqwaan kepada Allah.

Harakahdaily/-

Galas: Bukti Umno takut pengaruh Razaleigh

21 Syawal 1431 H
Oleh: Sofi Wahab

Umno terpaksa melantik Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Pengarah Pilihanraya Umno PRK Galas. Tindakan ini dilihat sebagai luarbiasa kerana dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelumnya, pengarahnya mestilah Timbalan Presiden Umno ataupun Naib Presiden Umno.

Terbukti Umno takut kepada Tengku Razaleigh Hamzah kerana pengaruh beliau yang kuat di Gua Musang.

Jarang sekali perkara sebegini berlaku. Sepatutnya Ku Li boleh membaca strategi Umno yang menggunakan pengaruhnya bila terdesak tetapi melihatnya macam sampah pada waktu yang lain terutama semasa pemilihan.

Adalah diharapkan Ku Li sedar dan tidak menjadikan ‘pujukan’ Umno ini sebagai batu loncatan untuk menghentam PAS dan rakyat Kelantan dalam isu royalti.

Kalau sebelum ini Ku Li lantang dan senada dengan PAS dalam isu royalti ini, maka diharapkan beliau tidak membuat pusingan ‘U’ 360 darjah semasa PRK Galas nanti.

Ku Li sepatutnya sudah matang dengan sepak terajang Umno yang sentiasa menggunakan pendekatan matlamat menghalalkan cara bagi mencapai niat dan hasrat nafsu mereka yang tamak haloba.

Umno sebenarnya takut untuk melantik orang lain menjadi Pengarah Pilihanraya mereka di Galas kerana tahu jika Ku Li tidak dilantik, maka sudah tentu jentera Umno Gua Musang tidak akan bekerja keras 100% lantaran Ketua Bahagian mereka diketepikan.

Walaubagaimana pun saya percaya PAS tidak akan gentar dan setiasa bersiap siaga 24 jam untuk berdepan dengan Umno/BN walau siapa calon dan Pengarah Pilihanraya Umno.

Prestasi hebat dan sikap mesra PAS kepada rakyat khasnya di Galas sudah tentu menjadi senjata utama untuk menafikan BN dari merampas kerusi Dun Galas ini.

Harakahdaily/-

Galas: Calon PAS pilihan rakyat

21 Syawal 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 30 Sept: Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun, berkata PAS hanya akan memilih calon yang menjadi pilihan rakyat dan bukannya lain-lain pihak.

Menurutnya, ini kerana rakyat yang ingin memilih wakil rakyatnya, maka calon yang bakal dipilih untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas nanti akan diambil kira dari pandangan mereka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi Sidang Dun Khas Kelantan berakhir pagi tadi ketika diminta mengulas berhubung bakal calon yang akan dipilih.

Menurutnya lagi, PAS tidak ketandusan dalam mencari calon memandangkan ramai calon tempatan yang lebih berwibawa.

“Calon kita ramai ada di kalangan profesional, akademik, ulamak dan lain-lain lagi, tetapi kita ingin meminta pandangan rakyat sendiri berhubung pemilihan calon,” ujarnya yang juga Adun Bukit Tuku.

Bagaimanapun, menurutnya setakat ini PAS belum lagi memutuskan bakal calon, memandangkan ianya masih terlalu awal.

Beliau tidak menolak PAS menghadapi sedikit masalah dengan perlantikan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya kecil Dun Galas.

Menurutnya, Ku Li telah memperlihatkan kewibawaannya sebagai pucuk pimpinan apabila berjaya mengalahkan Kelantan pada tahun 1978 sewaktu menjawat jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

“Bagaimanapun kita akan sentiasa berhati dan terus berhati-hati memandangkan sikap PAS sendiri yang sedemikian dalam setiap pilihan raya,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Gelaran Tengku Temenggong ditarik balik

21 Syawal 1431 H
Oleh: Wartawan Kita

KOTA BHARU, 30 Sept: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V hari ini menarik balik gelaran Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunus) yang dianugerahkan kepada Tengku Muhammad Fakhry Petra berkuat kuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiesri Alias, berkata turut dilucutkan, Tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi 1).

Menurutnya, penarikan itu telah dimaklumkan kepada Muhammad Fakhry Petra sendiri hari ini melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya.

“Surat itu dihantar kira-kira pukul 10.00 pagi tadi oleh wakil saya, Mohd Rusdi Ismail di Istana Mahkota, Kubang Kerian kepada kakitangan istana berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di Kota Darulnaim tengah hari tadi.

Ketika ditanya punca penarikan itu beliau berkata, baginda sultan mempunyai sebab yang tersendiri berhubung penarikan itu.

Harakahdaily/-

Perpaduan Melayu: Nik Aziz ajak ahli Umno sertai PAS

21 Syawal 1431 H

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengajak ahli Umno menyertai PAS sebagai cara menangani isu perpaduan orang Melayu.

Mursyidul Am PAS itu berkata, ini kerana parti berkenaan mewakili semua yang beragama Islam, dan sewajarnya orang Melayu yang juga orang Islam berada di dalam parti berkenaan.

"Umno tak payah bertanding selama-lama dan duduk dalam sebuah parti, iaitu PAS. Kalau boleh, tak perlu ada parti orang Melayu lain selain daripada PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian komputer riba kepada 200 pelajar Kolej Masterskil Kampus Metro Kota Bharu, di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, agar Umno tidak menandingi kerusi Dewan Undangan Negeri Galas pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Cina pun boleh jadi calon PAS di Galas

Takiyuddin sebaliknya mencadangkan kerusi itu diserahkan kepada PAS demi perpaduan orang Melayu selain mengelakkan pergeseran berpanjangan antara dua parti utama orang Melayu tersebut.

Nik Abdul Aziz juga menegaskan perkara tersebut sudah sekian lama menjadi hasratnya.

Ditanya mengenai calon untuk pilihan raya kecil tersebut, Nik Aziz berkata PAS tidak mempunyai masalah untuk memilih calonnya.

"Sebagai sebuah parti yang sentiasa berada dalam persiapan sama ada musim pilihan raya atau tidak, soal calon sudah lama dikenal pasti, cuma ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Apatah lagi apabila PAS sudah ada kelab penyokong bukan Islam iaitu Cina yang boleh diletakkan sebagai calon jika perlu, cuma ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti," katanya.

Kerusi Galas kosong selepas penyandangnya Che Hashim Sulaima dari parti PAS meninggal akibat barah usus pada Isnin lalu.

Malaysiakini/-

Timbalan menteri diarah bayar hutang RM1.6 juta

21 Syawal 1431 H
Oleh: Hafiz Yatim

Datuk M Saravanan (bawah, kanan), yang sekarang ini timbalan menteri Wilayah Persekutuan telah diarahkan oleh mahkamah membayar RM1.6 juta kepada VPN Marketing Sdn Bhd untuk melangsaikan hutangnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengarahkan Project Penyelenggara Lebuhraya Bhd (Propel) membayar wang tambahan RM690,000 kepada syarikat itu kerana mencabuli kontrak membekalkan penghadang besi di antaranya lebuh raya Utara Selatan.

Keputusan itu dibuat di kamarnya oleh hakim Anantham Kasinater.Dua saksi dari VPN Marketing dan dua lagi daripada Propel memberi keterangan semasa perbicaraan.

Saravanan disaman atas kapasiti peribadinya, sebelum dia dilantik sebagai timbalan menteri, selepas syarikatnya RMW Manufacturing Bhd - di mana beliau bertindak sebagai pengurus dan pengarah menggulung tikar.

VPN Marketing, sebuah syarikat berpangkalan di Bandar Puncak Alam, dalam kenyataan tuntutannya berkata mereka sejak 2004 telah membekalkan bahan keluli kepada RMW Manufacturing.

Bagaimanapun RMW Marketing masih belum menjelaskan bayaran RM2.337 juta selepas menerima barangan bertkenaan.

VPN Marketing mendakwa Saravanan melalui peguamnya bersetuju melalui sepucuk surat bertarikh 28 Nov 28, 2007, mengeluarkan surat jaminan peribadi untuk membayar RM1.647juta manakala Propel pula dikehendaki membayar RM690,000.

VPN Marketing telah berulang kali meminta kedua-dua defenden berkenaan menjelaskan bayaran tetapi mereka didakwa gagal berbuat demikian.

Menurut peguam C Shanmugaiah yang mewakili VPN Marketing, hakim itu memutuskan plaintif (VPN Marketing) berjaya membuktikan kes saman tersebut terhadap kedua-dua defendan.

Beliau berkata hakim itu juga memerintahkan Saravanan membayar RM20,000 sebagai kos guaman dan juga faedah lapan peratus dari November 2007, manakala Propel diperintah membayar kos RM35,000 dan juga faedah kepada VPN Marketing.

Syarikat itu juga telah menghantar notis tuntutan pada 7 Sept 7, 2009 tetapi kedua-dua mereka gagal berbuat demikian.

Malaysiakini/-

Si sepet, si kaki botol - kabinet kesal

21 Syawal 1431 H

Jemaah Menteri hari ini mengarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat seorang pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) yang didakwa telah menghamburkan kata-kata perkauman ke atas masyarakat Cina dan India di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

"Apa yang kami mahu sekarang ialah satu laporan mengenai satu portal online, mendakwa timbalan pengarah membuat kenyataan berbaur perkauman.

"Kabinet telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat mengenai perkara ini sebelum sebarang tindakan diambil," katanya kepada wartawan selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya.

Dr Subramaniam berkata jemaah menteri secara umumnya kesal mendengar kata-kata yang didakwa dihamburkan oleh timbalan pengarah BTN, Hamim Husin pada sebuah majlis membabitkan Puteri Umno pada Isnin lalu.

Hamim didakwa menghina melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si sepet mata dan 'si kaki botol'.

Hamim semasa sesi tertutup itu dilaporkan oleh portal berita the Malaysian Insider sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka.

“Hak Melayu adalah untuk memerintah negara. Melayu mesti bersatu menghadapi ancaman,” katanya.

Hamim juga didakwa berkata: “Melayu tidak boleh memerintah sendirian. Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa BTN telah menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah BTN Datuk Shagul Hamid Abdullah dalam kenyataan hari ini meminta orang ramai memberi ruang dan masa kepada jawatankuasa untuk menjalankan siasatan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh yang akan diambil oleh jawatankuasa itu untuk menyelesaikan siasatannya.

Shagul juga meminta orang ramai supaya tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadap pegawai terbabit dan BTN sebelum siasatan selesai.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, Hamim menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan seperti yang diterbitkan sebuah portal berita.

"Ucapan Hamim pada program tertutup itu hanya pandangan peribadinya dan bukan satu kenyataan rasmi dan tiada niat untuk menghina," kata Shagul.

Malaysiakini/-

Galas: Jangan lupa Dun Kota Siputeh

21 Syawal 1431 H

TEMERLOH, 29 Sept: Di kala tumpuan kini terarah ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas di Kelantan, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu perhatian wajar juga diberikan kepada kes Dun Kota Siputeh, Kedah.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi tekanan kepada Mahkamah Rayuan agar segera membuat keputusan berhubung status kerusi Dun tersebut.

Menurutnya, adalah tidak kerusi Dun itu ditinggalkan kosong begitu lama iaitu hampir lapan bulan tanpa sebarang keputusan.

"Orang-orang di Kota Siputeh telah ditinggalkan tanpa wakil rakyat mereka," katanya.

Pertikaian berkenaan status kerusi Dun itu timbul apabila wakil rakyatnya, Abu Hassan Sarip tidak hadir ke persidangan Dun dua kali berturut-turut.

Tindakan itu didakwa telah melanggar Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah dan mendorong Yang Dipertua Dun, Dr Abdul Isa Ismail menghalang Abu Hassan menghadiri Sidang Dun pembentangan bajet November lalu.

Harakahdaily/-

Munajat: Ulama muda Umno dangkal ilmu

21 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 29 Sept: Pengerusi Misi Munajat Royalti Rakyat Kelantan, Md Zulaimi Kazin menyelar tindakan ulama muda Umno yang mempertikaikan langkah yang diambil oleh 40 ulama bermunajat di Mekah dalam isu tuntutan royalti.

Beliau berkata tindakan yang diambil oleh 40 ulama itu tidak bercanggah dengan syariah, terutama tidak terdapat sebarang larangan nas syarak terhadap tindakan tersebut.

Ini, katanya tidak seperti mana larangan nyata dari nas atas pengharaman judi bola yang dilesenkan oleh Umno tetapi ulama muda mendiamkan diri.

“Golongan ulama Umno ini amat dangkal ilmunya kerana tidak memahami hasrat sebenar misi ini yang dikhususkan kepada tindakan zalim pihak kerajaan pusat yang enggan membayar royalti petroleum kepada Kelantan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, Nabi Muhammad s.a.w. ada menyuruh bermusafir dan menyatakan kelebihan menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, justeru pihaknya akan menghantar 40 orang ulama Kelantan untuk bermunajat di sana.

“Langkah ini diambil agar mereka dapat bertawasul dengan amalan soleh mereka sendiri untuk dimustajabkan doa oleh Allah supaya hak rakyat kelantan dikembalikan,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, perbelanjaan yang digunakan adalah secara telus dengan menggunakan sumbangan derma daripada orang ramai dan tidak melibatkan dana kerajaan negeri.

“Saya berharap ulama muda Umno kembali kepada niat asal mereka menyertai Umno seperti yang mereka war-warkan dahulu, iaitu mahu membaiki dan menegur Umno, bukan seperti kandungan artikel tulisan mereka, yang memperlihatkan mereka seperti balaci Umno dalam usaha melawan tindakan yang tidak sealiran dengan mereka,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Masterskill bina kampus RM31 juta di Kelantan

21 Syawal 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 29 Sept: Masterskill Education Group Berhad telah meluluskan peruntukan pelaburan sebanyak RM31 juta bagi membina kampus baru di negeri ini.

Pelaburan itu bertujuan untuk menjayakan hasrat menjadikan kampus Kolej Masterskill di Kota Bharu sebagai kampus utama kawasan Pantai Timur.

Pengurus Masterskill Kota Bharu, Mohd Nazir Abdullah, berkata dianggarkan 6,000 orang pelajar dapat ditempatkan di kolej terbabit apabila ianya beroperasi sepenuhnya menjelang 2011.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian komputer riba kepada 400 orang pelajar Kolej Masterskill Kampus Kota Bharu, pagi tadi.

Menurutnya lagi, kerja-kerja pengubahsuaian bangunan berkenaan yang terletak berhampiran Tesco kini sedang giat dijalankan.

“Jumlah pelaburan yang begitu besar membuktikan komitmen Masterskill sendiri untuk menjadikan Kelantan sebagai salah satu pusat perkembangan pendidikan tinggi di Semenanjung Malaysia selepas cawangan di Kota Kinabalu bagi kawasan Malaysia Timur,” ujarnya lagi.

Sementara itu, sebanyak RM10 juta dibelanjakan untuk pembiayaan pembelian komputer riba kepada para pelajar yang telah bermula sejak awal lagi.

“Objektif utama sumbangan ini untuk mereka bagi mendorong minat pelajar dalam meningkatkan mutu pembelajaran,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa bangga di atas tindakan yang diambil pihak Masterskill kepada pelajarnya.

Katanya, ia adalah sebahagian tanggungjawab sosial Masterskill untuk para pelajarnya.

Harakahdaily/-

Kertas siasatan BPR sahkan Adun Kulim ditawar RM5 juta

21 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Raja Petra Kamarudin melalui blognya Malaysia Today hari ini mendedahkan satu kertas siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan dakwaan Adun Kulim beliau ditawar RM5 juta untuk lompat parti adalah benar.

Dalam postingnya hari ini, Raja Petra menyiarkan 'Laporan Siasatan Awal' BPR (kini SPRM) cawangan Seberang Perai Aduan no 11/2008 yang dibuat oleh YB Lim Soo Nee (gambar), Adun Kulim dari PKR yang dinamakan sebagai A1.

Laporan itu mendedahkan sasaran siasatan mereka adalah bekas Menteri Besar Kedah, Mahazir bin Khalid yang dinamakan sebagai B1 dan dan orang tengah Tan Yak Siew yang dinamakan B2.

Di akhir laporan ini, siasatan itu mengesahkan, pada 9.9.2008 satu perjumpaan telah diadakan di Hotel Sunway, Seberang Jaya, Perai.

"Bahagian Perisikan Ibu Pejabat telah membuat satu rakaman audio dan video di bilik hotel tersebut.

"YB Mahazir Khalid yang datang berjumpa dengan A1 (Lim Soo Nee) dan mengesahkan penawaran wang itu sebanyak RM5 juta dan sekiranya A1 hendak lebih lagi, boleh berbincang dengan Datuk Seri Najib.

"A1 juga dimaklumkan, sekiranya beliau lompat parti ke BN, beliau akan mendapat beberapa projek," tulis laporan itu.

Laporan siasatan yang ditandatangani oleh Mahani binti Din, Penolong Kanan Penguasa, Badan Pencegah Rasuah Cawangan Seberang Perai itu melaporkan, Ibu Pejabat BPR (kini SPRM) akan menguruskan kes ini seterusnya.

Harakahdaily/-

Kerangka manusia dijumpai di kawasan buang sampah

21 Syawal 1431 H
Oleh: Warta Rakyat

KUALA TERENGGANU, 29 Sept:Sebuah keluarga dari Kampung Gong Kepah,Marang,Terengganu terkejut,apabila hasrat seisi keluarga ini keluar mencari Kepah Sungai bertukar dengan penemuan kerangka manusia di kawasan lembah berhampiran tempat pembuangan dan pelupusan sampah daerah Marang jam 4.30 petang semalam.

Rahmat Hidayat Sharmin 44 tahun keluar bersama isteri Siti Aminah Habsu 42 tahun serta lima anaknya mendakwa menjumpai kerangka dan tulang manusia di celah-celah pohon nipah dalam keadaan bertaburan berdasarkan pada tengkorak kepala yang ditemui.

(GAMBAR: Ini dia kawasan kerangka ditemui)

Keluarga ini yang ditemui pagi tadi di kediaman mereka di Kampungg Batangan, Marang, 3 km dari tempat penemuan kerangka manusia menjelaskan, tengkorak kepala yang dijumpai itu retak di bahagian belakang terselam separuh di dalam air di celah-celah akar pokok nipah dan turut menjumpai seutas jam tangan yang masih melekat pada rangka tangan.

Bagaimanapun, tiada sebarang cebisan pakaian dijumpai di sekitar kawasan kejadian.

Bapa kepada lima anak ini, Rahmat Sharmin, 44 tahun mendakwa kerangka itu seorang remaja perempuan berdasarkan jam tangan yang dipakai serta saiz tengkorak kepala.

"Terjumpa tengkorak manusia jadi ada semua ada kepala dan tulang itu dan ada jam tangan terjumpa ditepi itu, saya tak pasti lelaki atau perempuan saya tak tahu dari pandangan saya itu perempuanlah lingkungan umur belasan tahunlah,"katanya.

Dalam pada itu, Razali Mamat 37 tahun seorang pekerja kontrak di kawasan pelupusan sampah berhampiran penemuan kerangka manusia menyatakan, kerangka manusia berkenaan dibawa keluar jam 10 malam tadi oleh Unit Patologi dan Unit Forensik Polis Terengganu.

"Kita mari semalam tengok orang ramai doh, lepas orang ramai polis ambik tong dia bawa naik dalam kereta dialah, tong tuh mayatlah ada kerangka semalam dalam jam 10 malam,"katanya.

Sehubungan itu, Supritendent K.Manoharan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Terengganu yang dihubungi menjelaskan, pihaknya setakat ini mengesahkan penemuan rangka manusia berkenaan petang semalam dan sehingga kini tiada yang tampil menuntut atau memberi maklumat berhubung penemuan rangka manusia tersebut.

Rangka tersebut telah dibawa ke Kuantan awal pagi tadi untuk siasatan lanjut oleh pakar forensik dan siasatan awal, polis mengklasifikasikan setakat ini sebagai mati mengejut bagaimanapun pihaknya masih menunggu keputusan daripada pakar berkenaan untuk menyiasat lebih lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Harakahdaily/-

Tiup api perkauman, PAS gesa mansuh BTN

21 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 30 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Biro Tata Negara (BTN) yang menjadi gelanggang untuk meniupkan api perkauman di negara ini dimansuhkan.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta memberikan pandangan mengenai laporan sebuah portal online yang menyiarkan kenyataan berbaur perkauman oleh Timbalan Pengarah BTN, Hamim Husin dalam satu sesi agensi itu.

Hamim didakwa melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si mata sepet’ dan ‘si kaki botol’ yang turun naik Batu Caves semasa sesi tertutupnya dengan Puteri Umno, Isnin lalu.

Menurut Mahfuz, BTN yang asalnya ditubuhkan pada tahun 1974 itu sudah tidak diperlukan lagi kerana gagal melaksanakan visinya memupuk semangat patriotisme dan nilai-nilai murni serta menjadikan rakyat setia kepada negara.

"Sudah sampai masanya kerajaan memansuhkan BTN bukan sekadar dirombak, kerana agensi itu telah disalahgunakan untuk meniup api perkauman di dalam negara ini dan ianya bukan perkara baru tapi telah berlaku sejak awal penubuhannya.

"Perlaksanaan BTN ini bermotif untuk menyemarakkan semangat Melayu sama seperti yang dibawa Umno dan ini jelas bertentangan dan menyimpang dari dasar serta matlamat rukunegara iaitu mewujudkan perpaduan di antara kaum dalam negara kita," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak harus dipertanggungjawabkan dalam isu itu memandangkan BTN berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diterajuinya.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar turut berkongsi pandangan yang sama berkaitan isu tersebut dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang boleh menggugat kestabilan dan perpaduan kaum dalam negara ini.

"Belum pun reda isu pengetua rasis, timbul pula isu Timbalan Pengarah BTN rasis. Kerajaan harus ambil tindakan segera menyekat isu-isu perkauman seperti ini kerana kita tidak mahu perpaduan kaum tergugat.

"Dan jangan pula nanti kerajaan kata, tak ada kuasa untuk ambil tindakan ke atas pegawai kerajaan bergred tinggi seperti apa yang berlaku ketika timbul isu pengetua sekolah baru-baru ini," katanya.

Harakahdaily/-

Pas sudah ada calon

21 Syawal 1431 H

KOTA BHARU – Pas Kelantan sudah mengenal pasti calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, parti itu memilih anak tempatan sebagai calon memandangkan sebelum ini jawatan itu juga disandang oleh wakil tempatan.

“Pas memang pilih calon tempatan. Calon yang meninggal dunia itu pun orang tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian komputer riba kepada 354 pelajar Kolej Masterskil Kampus Metro Kota Bharu, di sini, semalam.

Katanya, sehingga kini parti itu masih belum membahaskan apa-apa usul berhubung siapa calon yang akan mewakili parti itu.

“Fasal calon itu kita belum bahas lagi. Belum tiba masa lagi. Tetapi dalam parti tak ada samar-samar. Calon memang kita belum pilih lagi tetapi sudah dikenal pasti,” katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan juga berharap pengundi di Gua Musang terutama yang telah mengundi parti itu akan terus mengundi calon yang mewakili parti tersebut.

“Saya harap pada pengundi yang telah mengundi arwah terus mengundi Pas. Pada rakyat Kelantan yang belum mengundi Pas cuba mengundi. Alih rasa sikit.

“Kita juga tidak ketandusan calon. Sekarang kita (mungkin akan) bagi peluang kepada orang Cina dan orang India pula. Calon makin banyak,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan kerana penyandangnya, Chek Hashim Sulaima 46, meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas.

Sinar Harian

Sandiwara di Pulau Pinang : Toke Judi kembalikan wang judi

21 Syawal 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

Maka dengan bersungguh-sungguh pimpinan UMNO Pulau Pinang ingin meraih sokongan orang Melayu dengan mengajurkan upucara menerima pemulangan wang sumbangan RM 100 kerajaan negeri dari warga emas.

Berita tersebut mendapat liputan yang meluas dari media elektronik dan disiarkan diberita jam 8.00 malam tadi. Dikatakan 40 orang memulangkan wang halal yang diharamkan oleh UMNO itu.

Agak sesuai saya namakan lakonan dan sandiwara itu sebagai "taukeh judi mengembalikan wang judi".

Akhbar Sinar Harian pula melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim, kesal dengan sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang didakwa nya tidak pernah jujur dengan rakyat Pulau Pinang, tetapi sebaliknya sering menyembunyikan fakta sebenar.

Azhar nampaknya sudah sangat jijik dengan wang judi sehingga menyerang Kerajaan Negeri yang didakwanya mengunakan wang judi untuk wang ihsan RM100 atau program membasmi miskin tegar.

Namun secara jujur Ketua menteri Pulau Pinang mengaku guna duit judi daripada kelab lumba kuda, tetapi hanya untuk bukan Islam.

Guang Eng menjelaskan “Kerajaan negeri mengasingkan dana yang diterima daripada kelab lumba kuda, terdapat juga masyarakat bukan Islam yang miskin tetapi untuk umat Islam, ia tiada kaitan dengan sumber judi,” katanya dalam laman sosial twitter.

Tetapi sudah lebih 50 tahun BN memerintah Pulau pinang dan Malaysia, ternyata mereka gagal membezakna dan mengasingkan wang judi dengan wang halal.

Namun begitu tindakan UMNO mendapak tempelak dari kenyataan dari bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri "Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi."

Katanya lagi , bahawa para penerima wang (orang-orang Islam berusia emas) itu tidak haram. Pihak yang memberinya itulah yang menanggung dosanya. Samalah, kata beliau, apabila kakitangan awam dibayar gaji yang mana kita semua maklum, wang gaji itu bersumber daripada perbendaharaan negara.

Dalam perbendaharaan negara, ia menerima apa-apa sahaja sumber kewangan termasuklah daripada sektor perjudian, minuman keras dan yang sewaktu dengannya. Ia diterima menerusi cukai perniagaan yang dikutip oleh pihak kerajaan.

Sebagai makluman wang kutipan dari hasil judi bagi negara Malaysia dalam tempoh setahun berjumlah RM 2.3 billion.

Dalam kenyataan berasingan Dr Mohd Asri menyeru Umno supaya tidak menakut-nakutkan warga Pulau Pinang dengan dakwaan kerajaan negeri menipu berhubung sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk untuk masyarakat Islam.

Saya menyokong kenyataan Ketua Penenrangan PAS Pusat bahawa Umno merupakan 'bapa judi' sebenar, Umno sepatutnya membersihkan dahulu 'najis' itu di peringkat pusat, termasuk tidak membiarkan orang Melayu menjadi lembaga pengarah syarikat judi.

Demikianlah siri sandiwara pemimpin UMNO yang semakin "nazak" dari persada politik tanah air. Saya yakin UMNO akan ditolak oleh orang Melayu sendiri berkat kejujuran Kerajaan Pulau Pinang untuk menolong warga miskin yang sekian lama dipinggirkan dan diabaikan oleh UMNO dan BN.