01 Oktober 2010

Mendekati Kampung Donglianhua, Kediaman Penduduk Islam di Provinsi Yunnan

21 Syawal 1431 H


Kebanyakan penduduk kampung Donglianhua terdiri daripada etnik Hui yang beragama Islam. Tiga penjuru kampung tersebut dikelilingi oleh sungai. Air sungai telah menyuburkan tanah pertanian kampung tersebut.

Pemandangan alam sekitar kampung Donglianhua indah sekali. Generasi tua kampung tersebut telah memasang paip tembikar dari Sungai Daxi yang terletak beberapa kilometer jauhnya dari kampung itu untuk penduduk kampung menikmati air daripada sungai.

Rumah penduduk kampung yang berderet-deret kelihatan tersusun cantik. Pokok buah dan bunga yang berwarna-warni ditanam oleh penduduk di kawasan halaman rumah mereka. Ini menjadikan kampung Donglianhua kelihatan seperti taman semasa bunga berkembang mekar.

Kampung Donglianhua merupakan kampung yang bersejarah lama. Ia diwujudkan semasa pemerintahan maharaja pertama pada zaman Dinasti Ming, iaitu Maharaja Zhu Yuanzhang (1368-1398).

Bangunan kuno yang seni binanya penuh dengan ciri budaya Islam masih terpelihara dengan baik. Budaya Islam dan budaya tradisi China dapat digabungkan dan diperlihatkan melalui seni bina bangunan-bangunan dalam kampung ini.

Sekiranya kita mengkaji sejarah kampung Donglianhua dengan lebih mendalam, maka kita akan mendapat tahu bahawa kebanyakan penduduk kampung tersebut mencari rezeki sebagai peniaga sejak ratusan tahun yang lalu lagi.



Mereka membiakkan kuda untuk mengangkut kargo ke sana-sini. Beberapa orang kampung itu akan mewujudkan sebuah kumpulan pengangkutan kuda untuk bersama-sama berurus niaga ke tempat lain.

Barang-barang yang dijual oleh mereka kebanyakannya ialah gula merah, teh dan sutera. Kumpulan seperti ini dinamakan "Mabang" yang bermaksud kafilah kuda.

Semasa zaman kemakmuran perniagaan mereka, mereka mengangkut dan menjual barang-barang sehingga ke kawasan Asia Tenggara.

Walaupun mereka terpaksa menghadapi banyak cabaran, kesukaran dalam perjalanan urus niaga, namun mereka tetap menaruh keyakinan sepenuhnya kepada Allah.

Kini kumpulan pengangkutan kuda telah beransur-ansur lenyap manakala jalan kuno untuk mereka mengangkut keluar barang-barang sudah menjadi semakin usang.

Namun, sejarah pengangkutan kuda kampung itu dapat diperlihatkan melalui beberapa tapak peninggalan dan kenangan yang diwarisi turun-temurun.



Kampung Donglianhua terletak di kaunti Weishan di mana kaunti autonomi etnik Yi dan etnik Hui. Kedua-dua etnik minoriti tersebut hidup bersama-sama secara harmoni. Terdapat sebanyak 22 buah masjid di kaunti Weishan.

Antaranya sebuah masjid kuno terletak di Kaumpung Donglianhua. Masjid yang di pusat kampung itu mula dibina pada awal zaman Dinasti Qing dan dibina semula pada tahun 1943. Dewan sembahyang masjid tersebut telah diubahsuai menjadi lebih luas pada tahun 1987.

Reka bentuk masjid tersebut serupa dengan istana kuno China. Menara azan masjid tersebut merupakan bangunan tertinggi di Kampung Donglianhua.

Sekiranya kita naik ke menara azan yang tinggi itu, kita dapat melihat pemandangan keseluruhan kampung Donglianhua.

Semua bangunan dalam masjid tersebut diperbuat daripada batu bata dan kayu. Dewan sembahyangnya dihiasi dengan ukiran ayat-ayat suci Al-Quran yang kelihatannya cantik sekali.

Hari raya Adilfitri merupakan perayaan yang disambut secara besar-besaran dan dengan paling meriah oleh penduduk kampung Donglianhua.

Setiap keluarga akan sibuk membersihkan rumah dan tuan rumah pula akan menyediakan pelbagai masakan enak untuk para tetamu sebelum ketibaan hari raya.

Pada hari raya puasa, semua orang yang pernah belajar di masjid itu akan berjalan kaki pergi ke masjid pada waktu subuh untuk bersolat.



Mereka berpakaian baju hijau gelap dan kopiah putih sambil berjalan mendahului orang lain. Tradisi ini menunjukkan rasa hormat terhadap ilmu. Setelah selesai berjemaah di masjid biasanya, para penduduk akan menziarahi kubur.

Pada hari raya korban atau Hari Raya Aidil Adha, iaitu hari ke-70 setelah hari raya Aidilftri, penduduk kampung akan menyembelih kambing atau lembu.

Mereka berkongsi daging dengan jiran-jiran dan orang miskin agar semua orang dapat bersama-sama menghayati kegembiraan hari raya.

CRI/-

Tiada ulasan: