01 Oktober 2010

Kerangka manusia dijumpai di kawasan buang sampah

21 Syawal 1431 H
Oleh: Warta Rakyat

KUALA TERENGGANU, 29 Sept:Sebuah keluarga dari Kampung Gong Kepah,Marang,Terengganu terkejut,apabila hasrat seisi keluarga ini keluar mencari Kepah Sungai bertukar dengan penemuan kerangka manusia di kawasan lembah berhampiran tempat pembuangan dan pelupusan sampah daerah Marang jam 4.30 petang semalam.

Rahmat Hidayat Sharmin 44 tahun keluar bersama isteri Siti Aminah Habsu 42 tahun serta lima anaknya mendakwa menjumpai kerangka dan tulang manusia di celah-celah pohon nipah dalam keadaan bertaburan berdasarkan pada tengkorak kepala yang ditemui.

(GAMBAR: Ini dia kawasan kerangka ditemui)

Keluarga ini yang ditemui pagi tadi di kediaman mereka di Kampungg Batangan, Marang, 3 km dari tempat penemuan kerangka manusia menjelaskan, tengkorak kepala yang dijumpai itu retak di bahagian belakang terselam separuh di dalam air di celah-celah akar pokok nipah dan turut menjumpai seutas jam tangan yang masih melekat pada rangka tangan.

Bagaimanapun, tiada sebarang cebisan pakaian dijumpai di sekitar kawasan kejadian.

Bapa kepada lima anak ini, Rahmat Sharmin, 44 tahun mendakwa kerangka itu seorang remaja perempuan berdasarkan jam tangan yang dipakai serta saiz tengkorak kepala.

"Terjumpa tengkorak manusia jadi ada semua ada kepala dan tulang itu dan ada jam tangan terjumpa ditepi itu, saya tak pasti lelaki atau perempuan saya tak tahu dari pandangan saya itu perempuanlah lingkungan umur belasan tahunlah,"katanya.

Dalam pada itu, Razali Mamat 37 tahun seorang pekerja kontrak di kawasan pelupusan sampah berhampiran penemuan kerangka manusia menyatakan, kerangka manusia berkenaan dibawa keluar jam 10 malam tadi oleh Unit Patologi dan Unit Forensik Polis Terengganu.

"Kita mari semalam tengok orang ramai doh, lepas orang ramai polis ambik tong dia bawa naik dalam kereta dialah, tong tuh mayatlah ada kerangka semalam dalam jam 10 malam,"katanya.

Sehubungan itu, Supritendent K.Manoharan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Terengganu yang dihubungi menjelaskan, pihaknya setakat ini mengesahkan penemuan rangka manusia berkenaan petang semalam dan sehingga kini tiada yang tampil menuntut atau memberi maklumat berhubung penemuan rangka manusia tersebut.

Rangka tersebut telah dibawa ke Kuantan awal pagi tadi untuk siasatan lanjut oleh pakar forensik dan siasatan awal, polis mengklasifikasikan setakat ini sebagai mati mengejut bagaimanapun pihaknya masih menunggu keputusan daripada pakar berkenaan untuk menyiasat lebih lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: