06 Jun 2010

Perjuangan Taghut Yang Menggadai Agama, Perspektif Ilmiah

23 Jamadil Akhir 1431H.
oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Pendahuluan

Perkataan “taghut” disebut oleh Allah SWT di dalam al Quran sebanyak 8 tempat, iaitu :

1. Surah al Baqarah : 256
2. Surah al Baqarah : 257
3. Surah an Nisa : 51
4. Surah an Nisa : 60
5. Surah an Nisa : 76
6. Surah al Maidah :60
7. Surah an Nahlu : 36
8. Surah az Zumar : 17

(sumber : rujukan 2, hal. 525)

Secara umumnya, taghut bermaksud “syaitan”, iaitu melampau ke arah kebatilan, kezaliman dan kejahatan, jauh daripada kebenaran, keadilan dan kebaikan.

(sumber : rujukan 1, jilid 3, hal. 158)

Allah SWT berfirman

Maksudnya : Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah(Surah an Nisa : 76)

FirmanNya lagi

Maksudnya : Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh (Surah an Nisa : 60)

Sepertimana yang disebutkan, secara umumnya, perjuangan taghut adalah perjuangan yang menegakkan kezaliman, kebatilan dan kejahatan. Perjuangan ini telah didokongi oleh mereka yang kufur dengan agama Allah SWT.

Ciri-ciri Perjuangan Taghut

Berdasarkan ayat 76, Surah an Nisa, Dr Wahbah az Zuhaili berkata bahawa perjuangan menegakkan “taghut” ini ialah perjuangan yang mempunyai ciri-ciri berikut :

1. Perjuangan yang mempunyai kepentingan

2. Perjuangan yang bertujuan tertentu selain daripada Allah

3. Perjuangan yang bersifat material

4. Perjuangan yang bertujuan memuaskan nafsu dan kemahuan, redha dengan keraguan syaitan

5. Perjuangan meninggikan ketuhanan selain daripada Allah, atau perjuangan menegakkan penyembahan kepada makhluk dan dunia

6. Perjuangan yang membantu dan bekerjasama dengan golongan kuffar

7. Perjuangan yang menggilakan untuk mendapat hasil dan mengaut untung

8. Perjuangan yang didasari dengan tujuan kebanggaan dan kemegahan

9. Perjuangan yang berdiri di atas keyakinan dengan kemampuan diri sendiri tanpa mengharap kuasa Allah

10. Perjuangan yang menyerlahkan kemasyhuran dan populariti

(sumber : ibid, jilid 3, hal. 161)

Si Munafiq Yang Menyokong Taghut

Di dalam Surah an Nisa’ ayat 60, sepertimana yang tertera di atas, terdapat satu peristiwa yang berlaku yang perlu dijadikan iktibar.

Kisah Pertama

Jallas bin Somit, Mu’tib bin Qusyair, Rafi’ bin Zaid dan Bisyr, telah mendakwa bahawa mereka Islam. Lalu ketika mana berlaku persengketaan di kalangan puak mereka, beberapa pemuda ingin membawa kes tersebut kepada Rasulullah SAW. Tetapi mereka (4 orang tersebut) menyuruh supaya kes ini di bawa kepada pemerintah-pemerintah Jahiliyyah.

Maka, Allah SWT berfirman :

Maksudnya : Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu...

(Riwayat Ibnu Abi Hatim, daripada Ibnu Abbas RA, sila lihat : ibid, jilid 3, hal. 137)

Kisah Kedua

Pernah terjadi pertelingkahan di antara seorang berbangsa Yahudi, dan seorang munafiq. Lalu, si Yahudi tersebut berkata : Aku akan mengadili kamu kepada Nabi Muhammad SAW. Ini kerana dia tahu bahawa Nabi Muhammad SAW tidak akan menerima rasuah dalam menjatuhkan hukuman. Tetapi, si munafiq tadi tidak bersetuju, lalu mereka berpakat untuk bertemu paderi, hasil cadangan si munafiq tersebut.

Maka Allah SWT berfirman

Maksudnya : Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu..
(Riwayat Ibnu Jarir, daripada Sya’bi, sila lihat : ibid)

Kisah Ketiga

Satu ketika, terjadi pertelingkahan di antara seorang Yahudi dan seorang munafiq. Lalu si Yahudi tersebut mencadangkan supaya kes ini di bawa kepada Nabi SAW. Tetapi si munafiq tadi menolak, lalu mencadangkan supaya kes ini di bawa kepada Kaab bin al Asyraf (Allah menggelarnya sebagai taghut).

Tetapi si Yahudi tadi masih lagi bertegas ingin membawa kes ini kepada Nabi SAW, lalu dia pergi berseorang diri. Melihat perkara demikian, si munafiq tadi terpaksa akur dan mereka pergi, sehinggalah bertemu dengan Rasulullah SAW dan meminta supaya kes mereka diadili oleh Baginda SAW sendiri.

Setelah dibicarakan, kes tersebut dimenangi oleh si Yahudi tadi. Lalu si munafiq tadi membawa si Yahudi tadi bertemu dengan Saidina Umar al Khattab pula, kerana tidak setuju dengan keputusan yang dibuat oleh Baginda SAW.

Orang Yahudi tersebut berkata kepada Saidina Umar :

Kami telah bertelingkah, lalu kami telah mengadili kes ini kepada Rasulullah SAW, tetapi dia (si munafiq) ini tidak setuju dengan apa yang Rasulullah SAW putuskan. Jadi, disebabkan inilah kami datang bertemu kamu.

Saidina Umar RA bertanya kepada si munafiq tadi : Benarkah apa yang dia katakan? Si munafiq tadi berkata : Ya.

Lalu Saidina Umar berkata : Kamu berdua tunggu sebentar, sehingga aku datang.

Saidina Umar masuk ke dalam, dan membawa keluar pedangnya, lantas memancung si munafiq tadi.

Saidina Umar berkata : Inilah akibatnya mereka yang tidak enggan berpuas hati dengan ketentuan Allah, dan apa yang telah Rasulullah putuskan. Lalu si Yahudi tadi lari daripada situ. Maka, Allah SWT berfirman

Maksudnya : Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu..
(Riwayat al Kalbi, daripada Ibnu Abbas RA, sumber : ibid, hal. 138)

Pengajaran dan Kesimpulan

Si munafiq yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya, akan terdedah ke”munafiq”kannya apabila mereka disuruh untuk mentaati Allah dan Rasul. Atau dengan kata lain, sifat munafiq seseorang akan terserlah apabila mereka disuruh untuk melaksanakan undang-undang Allah.

Dari segi luaran, mereka mendirikan solat, membayar zakat dan berwatak sebagai seorang muslim. Tetapi apabila disuruh untuk melaksanakan undang-undang Allah, mematuhi syariat dan sebagainya, mereka mula berdalih untuk tidak melakukannya.

Mereka inilah yang dikatakan berhakimkan dengan taghut sepertimana yang disebut di dalam Surah an Nisa ayat 60 ini. Sedangkan mereka telah disuruh untuk beriman kepada Allah, dan menolak sebarang bentuk taghut.

Juga telah disebutkan, perjuangan taghut inilah yang memperjuangkan kebatilan, kejahatan dan kezaliman, sedangkan mereka telah diperintahkan untuk menolak bentuk taghut ini. Firman Allah SWT :

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. (Surah an Nahlu : 36)

Rujukan

1. Az Zuhaili, at Tafsir al Munir, Dr Wahbah Zuhaili, cet. 9, Maktabah Darul Fikr, tahun 2007
2. Al Mu’jam al Mufahras Li Alfazil Quran, Muhammad Fuad Abd Baqi, cet Darul Hadis, tahun 2001.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fellow MANHAL PMRAM
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar.