27 Disember 2012

Tamu Di Taman Tunku Tiada Bekalan Letrik

13 Safar 1433H. [MOD] -

MIRI – Tamu di Taman Tunku yang terletak dalam kawasan DUN Lambir
masih dalam keadaan baru memang nampak cantik dan agak bersih.
Majoriti penjaja di situ berbangsa Cina.

Walaupun masih baru tetapi sayangnya mereka menghadapi masalah bekalan
elektrik yang sepatutnya dibekalkan oleh pihak yang berkenaan sebelum
mereka dibenarkan berniaga di situ. Malangnya perkara ini sudah lama
berlaku dan tiada pihak yang tampil untuk memberi bantuan.

Inilah masalah utama yang sudah sekian lama yang dihadapi oleh penjaja
Tamu di Taman Tunku sehingga kini masih belum lagi dipasangkan bekalan
eletrik untuk memberi mereka keselesaan berniaga di situ.

Mereka mengadu kepada pihak kami mengapa sampai sekarang pihak SESCO
atau pihak yang berkenaan tidak memasang elektrik dalam tapak
perniagaan mereka.

Seharusnya perkara semacam ini tidak berlaku sedangkan mereka membayar
sewa tapak peniagaan setiap bulan tanpa ada sebarang kemudahan asas
yang sepatutnya diberi kepada penjaja di situ. Mereka berniaga dari
pagi sampai ke malam dalam keadaan yang kurang selesa terlebih lagi
pada waktu malam tanpa bekalan letrik.

Mereka memohon agar pihak Majlis Bandaraya Miri dan pihak yang
berkenaan dapat mengatasi masalah ini dengan segera. Kerjasama dengan
pihak MBM dan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini dari
berterusan sangat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Terpaksa naik lori, bawa ibu sarat mengandung

13 Safar 1433H. [MOD] -

Terpaksa naik lori, bawa ibu sarat mengandung
Seorang wanita sarat mengandung terpaksa dihantar ke hospital menaiki lori, malam semalam setelah laluan ke hospital ditenggelami air di sekitar kawasan simpang Paya Besar.
 
KUALA BERANG - Seorang wanita sarat mengandung terpaksa menaiki lori milik Jabatan Pertahanan Awam Malayasia (JPAM) untuk ke hospital kira-kira jam 10.30 malam semalam, setelah laluan Kuala Berang -Ajil ditenggelami air di kawasan simpang Paya Besar.

Difahamkan, wanita berkenaan yang dipercayai mengalami tanda-tanda ingin bersalin itu sebelum itu telah menaiki ambulans Klinik Kesihatan Mengkawang tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan kerana laluan dinaiki air.

Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian mendapati, selain anggota keselamatan orang ramai juga turut sama membantu mengangkat wanita berkenaan untuk dipindahkan dari ambulans ke dalam lori tersebut.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim yang turut berada di lokasi berkenaan meninjau perkembangan banjir berkata, keadaan sedemikian antara insiden yang berlaku ketika banjir dan ia menyukarkan orang ramai.

"Laluan ini adalah jalan utama Kuala Berang-Ajil dan kawasan sekitar simpang Paya Besar ini ditenggelami air hingga tidak dapat dilalui kenderaan. Malah, faktor ini jugalah mengundang kesukaran terutamanya ketika waktu kecemasan," katanya.

Menurutnya, pembinaan pembetung tidak dapat menampung air besar ketika musim tengkujuh apatah lagi dengan limpahan air dari Sungai Berang.

"Ketika lawatan Menteri Besar ke Hulu Terengganu pada 2010 lalu, beliau telah bersetuju dengan cadangan Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail supaya sebuah jambatan dibina untuk mengelakkan laluan ini ditenggelami air ketika banjir.

“Bagaimanapun, pihak yang terlibat hanya membina pembetung. Akibatnya, kawasan ini masih dinaiki air sebagaimana kini.

"Pembinaan empat lorong dari Kuala Berang-Ajil untuk kemudahan pengguna tetapi sayangnya ia masih ditenggelami air. Malah, hospital juga terputus hubungan kerana kawasan di Batu 22 turut dinaiki air," katanya.

sinar/-

Pengerang: MB membisu, NGO Mantap ke mahkamah

13 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS mempersoal sikap Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang masih membisu berhubung isu Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid).

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar), sehingga kini sudah beberapa kali surat dihantar malah kunjungan ke pejabat menteri besar juga telah dibuat namun Abdul Ghani tidak mahu bersemuka dengan wakil penduduk dan NGO yang memperjuangkan isu itu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) berkata, sekarang ini timbul pula masalah apabila kerja-kerja pengalihan kubur Islam dilakukan.

Katanya,penduduk tidak berpuas hati dengan operasi menggali kubur itu yang didakwa dilakukan tanpa memaklumkan kepada waris dan juga penduduk.

"Kenapa kerajan negeri khususnya menteri besar membisu. Tidak langsung mahu bertemu dengan penduduk dan NGO kita.

"Mereka secara senyap-senyap telah melakukan pemindahan (kubur) ini," katanya.

Semalam, seorang penduduk dari Kampung Langkah Baik didakwa ditahan polis ekoran aduan cuba menghalang wakil kontraktor menggali kubur di Kampung Punggai, kelmarin.

Difahamkan perselisihan berlaku kerana salah satu kubur yang dipindahkan adalah kubur nenek beliau yang langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga malah sebaliknya kubur tersebut dikategorikan sebagai kubur tidak berwaris.

Mengulas lanjut Salahudin berkata, Mantap akan memfaikan kes Rapid Pengerang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Januari nanti.

Sebelum ini, Gabungan NGO Pengerang (GNP) turut mendedahkan kepincangan yang berlaku sepanjang operasi pemindahan kubur Islam di sini yang dibuat 'membelakangi' penduduk.

Pada 22 Disember, seorang pemilik tanah di Kampung Sebong yang terlibat dengan pemindahan kubur membuat laporan polis kerana mendakwa tanahnya telah diceroboh.

Ekoran laporan polis itu dua syarikat kontraktor menggali kubur itu menghentikan kerja-kerja mereka serta-merta setelah berjaya menggali lima kubur.

"Sebuah kubur yang sedang digali juga dikebumikan semula sebelum mereka meninggal tapak perkuburan tersebut.

"Kami juga mendapati beberapa batu nisan yang kontraktor tidak sempat ambil telah ditinggalkan di tempat tersebut," kata Naib Pengerusi GNP, Kapten Hasnul Ahmad.

Selain itu katanya, sesetengah kubur berwaris di Kampung Jawa Darat juga telah digali tanpa dimaklumkan kepada waris.

Waris-waris itu kemudian merancang untuk membuat laporant polis, tetapi telah ditangguhkan setelah beberapa ahli politik yang menghubungi mereka, kata Hasnul.

Air bertakung

Sementara itu, GNP turut mendedahkan keadaan tanah perkuburan Islam baru di Kampung Punggai bertakung dengan air selepas hujan kerana aras tanah yang rendah.

Menurut mereka, pengendalian kerja-kerja pemindahan kubur yang tidak sempurna menyebabkan ada antara batu nisan yang patah kerana kecuaian pekerja kontraktor.

Mereka juga turut mempersoal tindakan kontraktor menggali kubur Islam di Kampung Jawa Laut, Kampung Jawa Darat dan Kampung Sebong dalam beberapa hari ini, mereka juga telah menggali kubur yang berwaris.

Sedangkan kata mereka, lesen bagi penggalian semula kubur yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri Johor, cuma membenarkan untuk menggali 198 buah kubur Islam lama yang tidak berwaris di Lot 5156 Kampung Telok Empang.






harakah/-

20 terbunuh kereta kebal bedil kampung

13 Safar 1433H. [MOD] -




DAMSYIK - Seramai 20 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh selepas kereta kebal tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad membedil sebuah kampung di wilayah utara Kahtaniyeh semalam, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Syria.

"Sekurang-kurang 20 orang termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh selepas tentera rejim Bashar menyerang sebuah ladang di kampung Kahtaniyeh, barat bandar Raqa," kata kumpulan pemerhati itu.

Sebuah video amatur yang dimuat naik ke Internet oleh kumpulan aktivis menunjukkan beberapa mayat berlumuran darah dan mayat seorang kanak-kanak ditutup dengan selimut di dalam sebuah rumah.
"Berpuluh-puluh orang lagi dilaporkan cedera di ladang itu," kata aktivis di Raqa.

Sementara itu, menurut kumpulan pemerhati sama, lebih 45,000 orang dilaporkan terbunuh di Syria sejak penentangan terhadap Presiden Bashar Al-Assad meletus pada Mac tahun lalu.

"Secara keseluruhan kami telah mendokumen kematian seramai 45,048 orang," kata pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.

Tambahnya, lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh sepanjang minggu lepas.
Katanya, mereka yang terbunuh termasuk 31,544 orang awam, 1,511 orang berpaling tadah, 11,217 tentera dan 776 tidak dapat dikenal pasti. - Agensi

PAS: Siasat dakwaan Deepak atau kami hantar memo pada Agong

13 Safar 1433H. [MOD] -



 
PAS mengulangi gesaannya supaya pihak berkuasa menyiasat dakwaan peniaga permaidani Deepak Jaikishin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib serta ahli keluarganya berhubung kontroversi kes pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Jika tidak, saya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (kiri).

NONEBercakap dalam sidang akhbar di ibupejabat parti itu di Kuala
Lumpur hari ini, Mahfuz mengecam Jabatan Peguam Negarak, Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa berdiam terhadap tuduhan yang serius itu.

Perkara itu, tegasnya, membabit maruah perdana menteri, keluarga beliau, negara dan juga Yang di-Pertuan Agong.
Deepak sebelum ini dalam temuramahnya dengan beberapa media antaranya Malaysiakini mendakwa Najib mempunyai peranan dalam isu penarikan balik pengakuan berkanun (SD) pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam pada tahun 2008 yang mengaitkan Najib dengan Altantuya.

Deepak juga sebelum ini mendedahkan beberapa perkara antaranya melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta adiknya Datuk Nazim Razak. 

malaysiakini/-

Penganjur jamin Himpunan Selamatkan Felda esok aman

13 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan Oren Selamatkan Felda 2.0, Gerakan Selamatkan Felda (GSF) memberi jaminan himpunan yang akan diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Ibu Pejabat Felda di Jalan Semarak esok adalah aman.

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata tujuan himpunan esok hanya mahu menyatakan bantahan terhadap Tan Sri Isa Samad dan mahu menyerahkan memorandum tuntutan kepada Pengerusi Felda itu sendiri.

Menurut beliau lagi, pihak penganjur juga telah meminta bantuan Unit Amal Dewan Pemuda PAS untuk membuat kawalan keselamatan.

"Kita memberi jaminan bahawa himpunan ini adalah aman dan jangan ada pihak buat provokasi. Jika ada provokasi, itu bukan daripada kita.

"Kita akan menempatkan seramai 300 unit amal untuk membuat kawalan keselamatan," katanya kepada Harakahdaily.

Bagi memudahkan keadaan esok katanya, Isa diharap dapat memberi kerjasama untuk menerima sendiri memorandum itu nanti.

Mazlan berkata, beliau mendapat maklumat ada kumpulan lain yang juga berpakaian sama seperti mereka akan mengadakan perhimunan serupa esok.

Bagaimanapun menurutnya, maklumat itu masih bersifat 'khabar angin' dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci.

Mazlan yang juga AJK PAS Pusat memberitahu, pihaknya kini dalam proses persiapan terakhir menjelang himpunan itu esok.

"Kita sudah sudah menerima pengesahan dari semua parti-parti politik Pakatan Rakyat dan juga NGO yang akan bersama kita esok.

"Kita jangka esok adalah himpunan paling ramai dan beberapa pimpinan tertinggi politik dan NGO akan hadir bersama kita," katanya lagi.

PAS sebelum ini telah mengeluarkan surat kerahan rasmi kepada semua pemimpin dan ahli di seluruh negara agar hadir ke himpunan itu esok.

Himpunan esok antara lain mahu mendesak Isa meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Felda dengan segera.

Selain itu, ianya juga bagi mendesak Kerajaan Malaysia menghentikan urus niaga dengan Israel, menghentikan campur tangan politik dalam KPF dan Felda dan mengembalikan tanah Felda Plantation kepada rakyat.

hartakah/-

Menteri Pengangkutan Pentingkan Kroni, Rompak Duit Rakyat

13 Safar 1433H. [MOD] -

Kenyataan Menteri Pengangkutan bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diteruskan, bukti beliau lebih pentingkan kroni berbanding bantahan dan kehendak rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang.

Mengikut Datuk Seri Kong Cho Ha, Putrajaya akan tetap teruskan operasi AES walaupun Jabatan Peguam Negara membeku semua prosiding kes saman, minggu lalu.

Beliau turut mengakui pelaksanaan sistem itu mendapat tentangan rakyat dan bermasalah dari sudut perundangan, tetapi tetap berdegil tidak akan berhenti mengeluarkan saman.

“Kedegilan menteri seperti Cho Ha jelas menunjukkan dia hanya menjaga kepentingan kroni, bukan rakyat. Padahal semua pihak berpandangan sistem itu ada masalah,” kata Lih Kang ketika dihubungi.

Dua syarikat yang mengendali AES ialah Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, yang mempunyai hubungan dengan Umno Johor dan menteri dari MCA.

Kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun dan bakal mendapat keuntungan sehingga RM700 juta hasil kutipan saman.

Kerajaan berbelanja RM800 juta untuk menyediakan kamera di 831 lokasi.

Kerajaan juga didakwa menyediakan kos senggaraan sehingga RM3.8 bilion untuk lima tahun. Sepatutnya, kerajaan mengambil hasil saman AES, bukan bekerjasama dengan syarikat swasta.

“Jika Cho Ha menteri bermaruah, beliau patut malu dan letak jawatan. Jika tidak, rakyat sendiri akan pecat beliau dalam pilihan raya nanti,” tegas Lih Kang.

Menurutnya, penerusan saman AES merupakan usaha pimpinan Umno BN untuk memeras wang rakyat.

“Kedegilan pemerintah yang tetap mahu laksana AES amat mencurigakan. Tiada sebab lain, mereka hanya mahu terus rompak wang rakyat,” katanya.

Sejak dimulakan pada 23 September lalu, sebanyak 300,000 saman AES dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya.

AES ditentang ekoran terlalu banyak kelemahan termasuk had laju tidak relevan dan kamera di sepanjang lebuh raya yang terlalu banyak sehingga menyebabkan saman berganda. -KD

Penafian Isa perlu difahami 'sebaliknya', kata Mazlan

13 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menafikan beliau melobi untuk jawatan pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) disifatkan sebagai 'baling batu sembunyi tangan'.

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, beliau tidak pelik dengan penafian Isa itu malah menganggapnya 'skrip lama' yang digunakan untuk menempatkan diri beliau dalam jawatan tertinggi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

"Sewaktu dia 'promote' FGV, dia juga nafi bahawa dia ada kepentingan. Tapi akhirnya dia yang jadi pengerusi FGV.

"Dia juga kata tidak akan sentuh sedikitpun aset peneroka. Akhirnya dia tubuh syarikat Felda Asset Holdings yang pegang 20% kepentingan peneroka dalam FGV yang dia sendiri jadi pengerusi," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Justeru itu kata Mazlan, penafian oleh Isa itu perlu difahami 'sebaliknya' seperti rekod yang telah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penafian Isa yang dilaporkan media hari ini.

Isa dalam kenyataan itu dilapor menafikan beliau pernah melobi supaya namanya dicalonkan untuk bertanding sebagai pengerusi KPF.

"Itu (penafian) stail dia (Isa). Walaupun dia cuba nafikan, tapi beranikah dia menolak bukti-bukti yang ada pada kita. Kita ada bukti," kata Mazlan lagi.

Sebelum ini, Anak mendedahkan wujud konspirasi peringkat tertinggi dipercayai untuk membolehkan Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF bagi tujuan menyenaraikan KPF ke dalam FGV.

Konspirasi itu dakwanya bermula dengan mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), mengeluarkan surat menyatakan Mesyuarat Agung perwakilan (AGM) KPF pada 20 jun lalu tidak sah dan perlu diadakan semula.

AGM semula itu sepatutnya berlangsung pada 27 Disember iaitu hari ini namun ianya terpaksa dibatalkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu yang membenarkan permohonan KPF membatalkannya.

harakah/-

Serangan ala samseng dakwa dikasari polis, diugut anggota tentera

13 Safar 1433H. [MOD] -

Serangan ala samseng dakwa dikasari polis, diugut anggota tentera
Jak Wong menunjukkan rakaman CCTV kejadian kepada media di pejabatnya, semalam.
BANDARAYA MELAKA - Seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Batu Berendam bukan sahaja terpaksa berhadapan sumpah seranah sekumpulan pengunjung, malahan mendakwa turut dipukul mereka.

Kekecohan ini tercetus gara-gara pengawal keselamatan berkenaan menghalang seorang pengunjung lelaki membawa keluar sepasang seluar yang belum dijelaskan bayarannya.

Semuanya bermula apabila pengawal keselamatan berkenaan, K Sritharan, awal 50-an, yang ketika itu sedang bertugas di pintu masuk pasar raya, menahan lelaki berkenaan setelah alat penggera berbunyi apabila dia membawa seluar itu keluar.

Apabila ditanya sama ada pembayaran telah dibuat, lelaki berkenaan memaklumkan dia hanya ingin menunjukkan seluar tersebut kepada seorang wanita yang sedang menunggu di luar pasar raya.

Sritharan kemudian membawa lelaki berkenaan ke kaunter bagi membolehkannya membuat bayaran.

“Sejurus selepas itu, lelaki itu datang kepada saya dan memohon maaf di atas kesilapannya,” katanya di dalam laporan polis yang dikemukakan untuk perhatian DAP Melaka, semalam.

Diugut ala samseng

Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak berakhir begitu sahaja.

Di dalam laporannya, Sritharan mendakwa, dia kemudian didatangi sekumpulan lelaki di mana salah seorang daripada mereka cuba membaling selipar ke arahnya.

Selain itu, dia mendakwa, seorang lagi lelaki yang mengaku anggota tentera, mengugut akan mencederakannya jika bertemunya di luar.

Dia mendakwa kekecohan berlanjutan sehingga ke dalam pejabat pasar raya, apabila semasa dia dan penyelianya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai insiden itu, mereka didatangi seorang lelaki yang mengaku sebagai polis.

Dia mendakwa, lelaki berkenaan telah menolak lehernya sehingga terpaksa dileraikan beberapa pekerja pasar raya.

Selain itu, Sritharan mendakwa, seorang lagi lelaki turut mengambil alat pemadam kebakaran dan cuba menghentak badannya, tetapi dihalang beberapa pekerja pasar raya.

Bimbang dengan keselamatan diri, Sritharan membuat laporan di Balai Polis Malim.

Adun gesa polis siasat

Sementara itu, Adun Bachang, Lim Jak Wong menggesa polis menjalankan siasatan terhadap kejadian berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertindak ala samseng.

“Rakaman CCTV itu cukup jelas. Malahan, muka mereka yang terbabit dalam insiden itu juga dapat dilihat dengan terang. Jadi tiada alasan untuk tidak mengambil tindakan,” katanya di sini, semalam.

Sehubungan itu, Jak Wong berkata, dia bercadang memuat naik rakaman CCTV berkenaan di laman YouTube bagi membolehkan orang ramai membantu mengecam pihak yang terlibat supaya tindakan boleh diambil.

“Ini suatu yang serius. Lebih-lebih lagi kalau mereka benar-benar tentera atau polis sebagaimana mereka dakwa. Kalau mereka bukan sekalipun, ianya tetap serius kerana mereka telah menyamar,” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi, seorang jurucakap polis mengesahkan laporan berkenaan sudah dibuat mangsa. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut.

sinar/-

Deepak: PAS cadang serah memo kepada Agong

13 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS bercadang menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung pendedahan usahawan Deepak Jaikishan.

Penyerahan itu akan dilakukan jika agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara terus membisu dengan pendedahan Deepak tersebut.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya memberi masa sehingga dua minggu untuk agensi-agensi terbabit memulakan siasatan terhadap pendedahan yang dilakukan usahawan karpet berkenaan.

"Kita memberi tempoh sehingga dua minggu untuk SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara memberikan respons berhubung pendedahan Deepak ini.

"Jika tidak, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan memorandum ke bawah Yang Dipertuan Agong terhadap ketiga-tiga agensi," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Mahfuz berkata pendedahan Deepak itu merupakan satu pendedahan yang bukan sahaja menyentuh maruah perdana menteri, dan keluarga, sebaliknya turut menyentuh maruah negara dan Yang Dipertuan Agong itu sendiri.

Mana siasatan

Beliau turut membangkitkan persoalan mengapa tiada sebarang respons atau siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan Deepak walaupun banyak pihak mendesak untuk melakukannya (siasatan).

"Saya hairan mengapa di saat kita dikatakan memiliki anggota polis yang cekap, SPRM yang telus, peguam negara yang hebat, dalam hal Deepak ini mereka ini seolah-olahnya telah 'disemadikan'.

"Saya tidak kata apa yang didedahkan Deepak itu benar atau tidak. Sebaliknya ia perlu disiasat segera memandangkan ia bukan satu perkara kecil," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Mahfuz meminta Deepak membuktikan hubungan rapat yang didakwanya bersama Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi pengetahuan umum.

Katanya, Deepak boleh mendedahkan nombor telefon Najib, mahupun Rosmah kepada umum dan pihak polis agar disiasat segera.

"Deepak mengakui dia mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib, Rosmah.  Boleh telefon bila-bila masa.  Jadi, saya minta Deepak buktikan dengan memberi nombor telefon kepada mereka kepada polis dan kemudiannya meminta syarikat telekomunikasi mendapatkan rekod perbualan antara mereka selama ini," tegas Mahfuz lagi.

Deepak, sebelum ini membuat pendedahan kepada media alternatif mengaitkan penglibatan Najib, Rosmah dan adik Najib berkaitan akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam.

harakah/-