27 Disember 2012

Penganjur jamin Himpunan Selamatkan Felda esok aman

13 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan Oren Selamatkan Felda 2.0, Gerakan Selamatkan Felda (GSF) memberi jaminan himpunan yang akan diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Ibu Pejabat Felda di Jalan Semarak esok adalah aman.

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata tujuan himpunan esok hanya mahu menyatakan bantahan terhadap Tan Sri Isa Samad dan mahu menyerahkan memorandum tuntutan kepada Pengerusi Felda itu sendiri.

Menurut beliau lagi, pihak penganjur juga telah meminta bantuan Unit Amal Dewan Pemuda PAS untuk membuat kawalan keselamatan.

"Kita memberi jaminan bahawa himpunan ini adalah aman dan jangan ada pihak buat provokasi. Jika ada provokasi, itu bukan daripada kita.

"Kita akan menempatkan seramai 300 unit amal untuk membuat kawalan keselamatan," katanya kepada Harakahdaily.

Bagi memudahkan keadaan esok katanya, Isa diharap dapat memberi kerjasama untuk menerima sendiri memorandum itu nanti.

Mazlan berkata, beliau mendapat maklumat ada kumpulan lain yang juga berpakaian sama seperti mereka akan mengadakan perhimunan serupa esok.

Bagaimanapun menurutnya, maklumat itu masih bersifat 'khabar angin' dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci.

Mazlan yang juga AJK PAS Pusat memberitahu, pihaknya kini dalam proses persiapan terakhir menjelang himpunan itu esok.

"Kita sudah sudah menerima pengesahan dari semua parti-parti politik Pakatan Rakyat dan juga NGO yang akan bersama kita esok.

"Kita jangka esok adalah himpunan paling ramai dan beberapa pimpinan tertinggi politik dan NGO akan hadir bersama kita," katanya lagi.

PAS sebelum ini telah mengeluarkan surat kerahan rasmi kepada semua pemimpin dan ahli di seluruh negara agar hadir ke himpunan itu esok.

Himpunan esok antara lain mahu mendesak Isa meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Felda dengan segera.

Selain itu, ianya juga bagi mendesak Kerajaan Malaysia menghentikan urus niaga dengan Israel, menghentikan campur tangan politik dalam KPF dan Felda dan mengembalikan tanah Felda Plantation kepada rakyat.

hartakah/-

Tiada ulasan: