27 Disember 2012

Morsi gesa perpaduan, pulihkan ekonomi Mesir

13 Safar 1433H. [MOD] -

Presiden Mesir, Mohamed Morsi menggesa semua kuasa politik untuk mengambil bahagian dalam dialog kebangsaan untuk menyelesaikan ketegangan yang berlarutan dan berjanji untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memulihkan ekonomi.
Dalam ucapan pertamanya kepada rakyat Mesir sejak pelaksanaan perlembagaan baru, beliau berkata Rabu lalu bahawa beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan perubahan kabinet dan merancang untuk memperkenalkan insentif demi menjadikan Mesir sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik.

"Di masa hadapan kita akan saksikan, Insya-Allah, pelancaran projek-projek baru, dan pakej insentif bagi pelabur untuk menyokong pasaran dan ekonomi Mesir," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Morsi berucap selepas Majlis Syura Mesir (yang berfungsi seperti Dewan Negara Malaysia) bersidang untuk sesi pertama selepas meluluskan perlembagaan negara yang baru, tindakan pertama oleh institusi kerajaan selaras dengan dokumen yang kesahihannya masih dipersoalkan oleh pembangkang.

Majlis Syura mengadakan sesi angkat sumpah untuk 90 ahli baru yang dilantik oleh Morsi.

Piagam tersebut, yang diluluskan oleh 63.8% dalam dua pusingan referendum yang berakhir Sabtu lalu, memberikan Mahlis Syura - yang secara tradisinya tidak berkuasa - kuasa perundangan penuh sehingga pilihan raya untuk Majlis Rakyat (berfungsi seperti Dewan Rakyat di Malaysia) dipanggil dalam tempoh dua bulan.

Majlis Syura telah mengambil alih dari Morsi, yang telah memberikan dirinya kuasa untuk meluluskan undang-undang yang membawa kepada protes ganas.

Morsi menandatangani dekri menguatkuasakan piagam lewat Selasa lalu selepas pengumuman rasmi keputusan referendum yang meluluskan undang-undang asas, perlembagaan pertama Mesir sejak penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Presiden dijangka untuk berucap kepada Majlis Syura Sabtu ini.

Majlis Syura yang didominasi golongan Islamis dijangka untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia pilihan raya parlimen yang akan datang. Perkara-perkara lain dalam agenda termasuk undang-undang ke atas bantahan dan media. (aljazeera.com)

harakah/-

Tiada ulasan: