19 Jun 2010

Tamakninah yang selalu diabaikan

5 Rejab 1431 H
Oleh: Ahmad Baei Jaafar

Solat yang berkualiti itulah solat yang diterima oleh Allah. Apakah yang menjadikan solat itu berkualiti? Inilah persoalan yang seharusnya difikirkan oleh umat Islam sebelum melaksanakan solat. Mengapa? Tanpa kualitilah yang menyebabkan umat Islam hari terus terjebak dengan dosa walaupun melakukan solat.

Kualiti pada solat dinilai pada tiga perkara:

1. Hatinya ketika niat solat.

Seseorang yang niatnya untuk menghadap Allah dengan hati yang ikhlas itulah niat yang berkualiti. Di sini ada juga yang berniat solat dalam keadaan terpaksa, malu alah dengan orang lain. Jadi, bersihkan hati dengan penuh bersedia untuk solat.

2. Perbuatan solatnya mengikut rukunnya.

Rukun solat sebanyak 13 itu perlu dilakukan dengan sebaiknya. Kualiti solat bergantung kepada perbuatan berdiri, rukuk dan sujud juga tamakninah. Semua itu telah diajarkan oleh Rasulullah melalui contoh solat Baginda. Sabdanya, “Solatlah seperti mana kamu melihat aku solat.”

3. Bacaan pada setiap pergerakan solatnya.

Bacaan dalam solat sama ada wajib atau sunat perlu dibaca dengan baik. Sebutannya mesti betul dan ada maknanya. Memang ada sesetengah orang yang oleh sebab telah menghafalnya bertahun-tahun, tersilap sebutannya. Kalau dia mahu membaca buku doa semula, tentu akan bertemu kesilapannya dan boleh membetulkan kesilapan itu. Ini jugalah yang menentukan kualiti solat.

Dalam ruang yang singkat ini saya ingin menumpukan kepada tamakninah. Oleh sebab tamakninah sebahagian daripada rukun solat maka pengabaiannya boleh membatalkan solat. Hal ini sering diabaikan kerana kurang pendedahan semasa belajar. Kesannya, ramai yang tidak sedar bahawa solatnya tidak sah.

Di sini disenaraikan tempat yang perlu tamakninah dan kesilapan yang sering terjadi.

1. Rukuk, sewaktu kedudukan tulang belakang sudah sama dan kedua tangan memegang kepala lutut, sepatutnya hentikan pergerakan kasar seketika. Itulah kadar tamakninah yang barangkali sempat dia membaca subhanallah.

2. Iktidal, pergerakan bermula daripada keadaan rukuk kembali menegak dan meluruskan semula tulang belakang seperti dia berdiri sebelum ini. Sempurna berdiri dahulu dan itulah kadar tamakninah.

3. Sujud, sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tangan, dua lutut, dua kaki dan satu dahi) mencecah lantai, hentikan sebarang gerakan seketika. Keadaan tenang itulah kadar tamakninah.

4. Sujud kali kedua, sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tangan, dua lutut, dua kaki dan satu dahi) mencecah lantai, hentikan sebarang gerakan seketika. Keadaan itulah kadar tamakninah.

5. Duduk antara dua sujud, sewaktu duduk sambil membaca doa, “rabbighfirli...” tidak mungkin berlaku pergerakan anggota besar, apatah lagi tangan diletakkan di atas paha. Keadaan setenang itulah tamakninah yang harus dipatuhi.

Tamakninah dalam bahasa mudah bererti bertenang. Ibarat anda memandu sebuah kenderaan, maka pada waktu di persimpangan wajar hentikan kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula. Selagi kenderaan itu masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah. Begitulah seharusnya berlaku dalam solat.

Berikut adalah tempat yang sering diabaikan tamakninah:

1. Iktidal, terdapat sesetengah orang terutama orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, belum sempat tulang belakangnya lurus seperti sebelumnya, dia telah turun untuk sujud. Solat ini tidak sah kerana tidak berlaku tamakninah.

2. Iktidal, terdapat juga sesetengah orang sama ada orang muda mahupun orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, tangannya diayunkan berkali-kali dan belum sempat tangan itu berhenti, dia telah turun untuk sujud. Solat ini juga tidak sah kerana tidak berlaku tamakninah.

3. Sujud, waktu sujud dua kakinya dibiarkan bergerak-gerak dan ada yang mengangkatnya (tidak mencecahkan jari kaki ke lantai). Sujud dalam keadaan ini tidak sempurna kerana syarat sah sujud bila tujuh anggota sujud mencecah ke lantai. Pada masa yang sama solat itu sah kerana tidak berlaku tamakninah.

Selain itu, sewaktu kita bangun daripada sujud kedua kepada rukun berdiri tegak untuk rakaat seterusnya tidak ada tamakninah. Namun untuk lebih bersopan kita disunatkan duduk sebentar yang perbuatan itu diberi nama duduk istirahat. Duduk yang dimaksudkan ini bukan tetap seperti yang dilakukan ketika duduk antara dua sujud tetapi sekadar berhenti. Ibarat anda memandu kereta, pada persimpangan yang tidak sebuk anda membrekkan kenderaan tetapi tayarnya masih bergerak. Wallahuaklam.

Calon PAS Mesti Orang Kaya

5 Rejab 1431 H
sauhdibongkar.blogspot.com

Menurut Pengerusi DAP Perak, ADUN Malim Nawar keluar parti itu kerana menghadapi masalah kewangan. ADUN itu dibayar dengan jumlah yang besar walau pun tidak mencecah RM20 juta.

Difahamkan bahawa ADUN dan MP PR sebelum ini menjadi bebas atau menyertai BN juga kerana masalah kewangan. Mereka tidak mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik kerana tidak punya sumber kewangan yang memadai.

Apa moral pendedahan sebegini?

Wakil rakyat di Malaysia bukan sekadar penggubal undang-undang tetapi mereka juga adalah pegawai kebajikan. Orang pertama yang terlintas dalam kepala rakyat apabila mereka bermasalah adalah wakil rakyat.

Bayangkan jika wakil rakyat itu hanya ada elaunnya sahaja, sekitar RM5 ribu sebulan bagi ADUN. Dengan elaun itulah dia menyara dirinya dan keluarganya. Dan, dengan elaun itu juga dia menyara rakyat dalam kawasannya yang puluhan ribu orang itu.

Bila berhadapan dengan situasi sebegitu, ada dua perkara yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat berkenaan. Pertama, jika dia adalah wakil rakyat kerajaan maka dia akan menggunakan kuasanya untuk mendapat wang tambahan melalui projek-projek kerajaan yang dikuasainya.

Kedua, jika dia bukan wakil rakyat kerajaan, dia mungkin terfikir untuk melepaskan diri daripada bebanan itu dengan pelbagai cara. Salah satu opsyen yang ada ialah melompat parti menjadi wakil rakkyat yang menyokong parti yang menjadi pemerintah.

Justeru, apa jalan penyelesaian yang ada?

Pada masa akan datang, parti-parti yang bertanding hendaklah memilih calon yang kaya sahaja. Mereka yang bakal bertanding hendaklah telah pun memiliki rumah sendiri tanpa hutang, kenderaan yang baik tanpa hutang dan sumber pendapatan tetap yang lain yang membolehkannya tidak bergantung dengan elaun sebagai wakil rakyat.

Pendek kata, jika ditakdirkan dia menang, dia tidak pandang pun kepada elaun bulanan wakil rakyat yang diterimanya itu kerana dia memang telah ada pendapatan tetap yang lain. Semua elaun itu boleh digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat yang diwakilinya. Bahkan, dia boleh menambah lagi dengan wang peribadinya kerana dia memang orang kaya.

Seseorang yang belum ada rumah atau ada rumah tetapi masih berhutang, masih tinggal di rumah sewa, tidak punya kenderaan yang baik, ada kenderaan baik tetapi masih berhutang dan tidak punya pendapatan tetap yang melebihi RM5000 sebulan hendaklah tidak dipilih menjadi calon.

Kenapa? Ya, dia pasti tidak dapat memberi tumpuan kepada tugas-tugas sebagai wakil rakyat kerana dibebani masalah kewangan. Bebanan kewangan yang dihadapinya memungkinkannya dibeli dengan mudah oleh parti lawan yang mampu menawarkan ganjaran kewangan yang menarik dan lumayan.

Calon PAS macam mana?

Setakat ini belum ada wakil rakyat PAS yang melompat parti. Itu suatu kelebihan PAS. Walau pun wakil rakyat itu tidak melompat parti, itu tidak bermakna dia tidak punya masalah kewangan. Apatah lagi jika menjadi wakil rakyat pembangkang.

Dia memang tidak mampu menjalankan tugas dengan baik kerana bebanan kewangan itu. Bila ini berlaku, orang akan berkata begini, “Wakil rakyat PAS pun tak buat kerja juga. Cakap saja lebih…”. Dia bukan tidak mahu buat kerja, tetapi dia tidak punya sumber kewangan yang mencukupi untuk buat kerja.

Elaun bulanan sebagai wakil rakyat habis untuk bayaran sewa rumah, ansuran bulanan kenderaan, yuran persekolahan anak, hantar kepada ibu bapa di kampong. Hasilnya, dia tidak mampu menumpu kepada tugasnya sebagai wakil rakyat kerana masalah kewangan tadi.

Memang PAS mempunyai ramai calon yang baik, warak, petah berpidato, rajin kerja, amanah, sanggup berkorban, pandai bercakap…, tetapi itu semua tidak memadai jika dia bukan orang kaya. Semua kebaikan itu tidak membawa erti jika tidak punya wang.

Itu tidak bermakna seorang yang punya wang tetapi berakhlak buruk, tidak punya kebolehan mengurus, hanya pandai bercakap adalah lebih layak untuk menjadi calon.

Maksudnya, seseorang yang layak dipilih sebagai calon telah punya kelayakan peribadi tetapi mesti punya nilai tambah iaitu KAYA.

Orang Arab bermadah:
Kefasihan Hassan, keindahan khot Ibnu Muqlah;
kecerdasan Luqman dan kezuhudan Ibnu Adham.
Apabila semua itu, ada pada seseorang, namun jika orang itu tidak punya wang;
orang berkata kepadanya, “Kamu tidak berharga walau sedirham.”

Berdoa Pada hari Jumaat

5 Rejab 1431 H
Oleh: muhamad agus syafii

Pada pembahasan lalu yang bertema 'Mengapa Doa Kita Dikabulkan?' Ada yang bertanya, 'apakah ada waktu yang khusus sebuah doa itu dikabulkan oleh Allah?' Saya kemudian menjawabnya, 'Ada, yaitu hari jumat.' Berdoa di hari jumat adalah waktu yang tepat sebuah doa dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Ditengah kita gelisah, dirundung duka sebaiknya memanfaatkan waktu di hari jumat untuk berdoa memohon kepada Allah sebab pada hari jumat doa kita diijabah atau dikabulkan oleh Allah. Sebagaimana sabda Nabi Muhamad Shalallahu Alaihi wa Salam,

' Sesungguhnya pada hari jumat ada suatu saat tidaklah seorang muslim memohon kebaikan kepada Allah, melainkan dikabulkan permohonannya itu.' (HR. Bukhari, Muslim, Ahmad, at-Tirmidzi, an-Nasa'i, Ibnu Majah).

Nabi Muhammad memberikan petunjuk kepada kita agar kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala di hari jumat pada dua waktu yang tepat, yaitu.

Pertama, Waktu yang mustajab pada hari jumat adalah ketka khatib duduk khutbah pada pelaksanaan sholat jumat sampai sholat jumat selesai dilaksanakan. Rasulullah pernah ditanya tentang hal itu dan Nabi Muhammad Shalallahu Alaihi wa Salam menjawab.

'Yaitu ketika imam (khatib) duduk (diantara dua khutbah) sampai sholat (jumat) selesai dilaksanakan. ' (HR. Muslim & Abu Dawud).

Kedua, Saat mustajab pada hari jumat adalah sore hari jumat. Hal ini didasarkan oleh Sabda Nabi.

'Yaitu di saat-saat terakhir siang hari jumat, setelah ashar.' (HR. Muslim & Abu Dawud).

Umat Islam diseru tidak terbuai dengan janji Israel dan kuncu-kuncunya.

5 Rejab 1431 H
Oleh: Nuruddin Muhammad

Kabinet Keselamatan baru sahaja membincangkan kemungkinan untuk melonggarkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza selepas sekian banyak dosa akibat serangan dan sekatan sejak tahun 2006.

Justeru itu, umat Islam dinasihatkan tidak alpa dengan isu ini kerana sikap lidah bercabang adalah sikap semulajadi Israel.

Kedua-dua saluran umum dan swasta Channel 10 melaporkan, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang menerima tekanan kuat dari pihak antarabangsa, memutuskan untuk mengurangkan sekatan dan mengambil langkah-langkah menamatkannya.

Netanyahu berjanji akan kekalkan sekatan laut ke atas Gaza, langkah yang dikatakan penting bagi menghalang Gaza daripada menjadi ‘pelabuhan Iran’ yang membolehkan senjata dibawa masuk secara bebas.

Pendekatan baru yang dianggap mungkin sebagai rahmat ‘persefahaman Blair-Netanyahu’, hanyalah satu usaha jangka pendek yang hanya bertujuan mengalih perhatian dunia terhadap kekejaman Israel.

Tanpa ada sebab musabab dalam hal perbincangan isu kelonggaran sekatan, Iran pula cuba dikaitkan dalam hal penyeludupan senjata melalui laut dan ini petanda awal bahawa Israel dan abangnya AS akan menumpu perhatian untuk memusnahkan Iran.

Sebelum negara haram ini menerima banyak tekanan diplomasi (sekadar ucapan beberapa pemimpin PBB sahaja) Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menolak untuk menarik sekatan ke atas Gaza, malah menegaskan larangan bantuan beberapa siri Viva Palestin dan Konvoi pelbagai NGO serata dunia melalui jalan darat dan laut adalah sebagai punca membuka pintu penyeludupan persenjataan Hamas.

"Ini bukan 'Kapal penyelamat'," kata Netanyahu "Itu adalah kapal kerosakan."

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga bersetuju mengambil balik bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dirampas oleh Israel dan mengagihkannya di kawasan penempatan Palestin yang ditutup selepas didesak k oleh semua pihak serta langkah awal pelobi yahudi di dalam PBB untuk mengelakkan tekanan politik bertukar menjadi tekanan ekonomi seperti pada tahun 2006 dahulu.

Penyelaras PBB bagi rantau Asia Barat, Robert Serry memberitahu Majlis Keselamatan PBB, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sudah memperoleh kebenaran pemilik tiga kapal yang didaftar di Turki bagi mengambil alih bahan berkenaan dan memikul tanggungjawab memastikan ia diagihkan di Gaza bagi tujuan kemanusiaan.

Bank Dunia membuat anggaran bahawa 80% impot ke Gaza datang dari terowong bawah tanah. Pada tahun 2008, rakyat Gaza merobohkan pagar sempadan dengan Mesir, dan PBB menganggar bahawa setengah dari 1.5 juta populasi Gaza segera berhijrah ke Mesir untuk mendapatkan gas, minyak masak, dan semua keperluan sehari-hari sebelum sempadan (Rafah) tersebut ditutup kembali oleh tentera Mesir.

Ini menunjukkan bagaimana eksplosifnya situasi pada saat itu. Semenjak itu, situasi telah menjadi semakin parah, dimana pemerintah Mesir mulai membangun sebuah tembok besi bawah tanah guna memblok terowongan-terowongan dari Gaza melalui nasihat Zionis. Tambahan pula, tanpa perdagangan sah, terutama dengan Israel, ekonomi Gaza telah runtuh. CIA World Factbook mengestimasikan bahwa tingkat pengangguran pada tahun 2009 adalah 40%. 44% dari populasi adalah anak muda berumur 14 ke bawah.

Inilah situasi yang ada di Gaza, dimana seluruh rakyat ditahan di sebuah penjara terbuka.

Pihak NGO seleuruh negara ini, serta di serata dunia diseru untuk memantau pengagihan barang bantuan daripada kapal-kapal yang telah ditawan, serta memastikan konvoi bantuan terus dilakukan melalui jalan laut dan darat yang telah dibuka oleh pihak Mesir. Sikap Mesir juga perlu dicurigai kerana mereka boleh menutup sempadan pada bila-bila masa sahaja atas desakan musyrikin Zionis. Tekanan kepada Mesir juga wajar diteruskan.

MAPPIM akan menganjurkan Konvoi Ramadhan di Gaza pada bulan puasa tahun ini serta akan menyerahkan memorandum mendesak kerajaan Mesir konsisten membuka sempada Rafah serta mengabaikan desakan Zionis.

ADUN BEBAS: SAAT KEHANCURAN BN KIAN TIBA

5 Rejab 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) hari ini mencabar kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang telah mengisytiharkan sebagai ADUN Bebas agar menyertai mana-mana keahlian di dalam komponen Barisan Nasional (BN) Negeri Perak supaya mereka semua dapat bergerak sealiran dengan Kerajaan Negeri bagi meyakinkan pelabur-pelabur asing yang ingin melabur ke Negeri Perak bahawa pentadbiran kerajaan negeri tidak berubah bila-bila masa.

DPPN Pk melihat jika kesemua ADUN Bebas tersebut tidak menyertai mana-mana komponen BN, ini menunjukkan bahawa mereka semua tidak sehaluan dengan pendirian BN dan tidak sedikit pun membantu perkembangan ekonomi negeri bahkan mereka menyokong BN demi melepas diri dari tersepit kewangan peribadi. Ini kerana kedudukan mereka bila-bila masa sahaja boleh berubah dan sudah tentu boleh juga menzahirkannya usul tidak percaya terhadap Menteri Besar jika ianya berlaku.

Jesteru, memandangkan komponen BN Perak disertai oleh Umno, MCA, MIC, GERAKAN dan PPP, DPPN Pk mencabar kesemua ADUN Bebas tersebut menyertai salah satu daripada parti yang sedia ada. Jika keengganan mereka menyertainya, sudah pasti mereka mempunyai agenda tersembunyi yang cuba mereka lakukan terhadap BN Perak kelak. Ditambah dengan kemelut Umno Perak yang memberikan peluang mereka menggunakan kedudukan mereka bagi mendapat beberapa keistimewaan daripada BN.

ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

ADUN BEBAS: MASA DEPAN YANG GELAP

5 Rejab 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) cukup hairan dengan dakwaan yang sangat dangkal dari kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas di Perak yang mengatakan bahawa mereka akan terus berkidmat kepada seluruh rakyat walaupun mereka tidak lagi bersama parti yang mereka bersama semasa bertanding di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 dahulu.

Ini kerana sudah tentu masa depan mereka sebagai ADUN akan berakhir menjelangnya PRU ke – 13 tidak lama lagi bersandarkan kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Kota Bahru baru-baru ini. Adakah mereka masih diberikan peluang bertanding atas nama Bebas atau bersediakah Barisan Nasional (BN) yang sudah mempunyai calon tersendiri memberikan ruang kepada mereka bertanding atas tiket BN?

Persoalan yang akan timbul adalah, jika BN bersedia memberikan mereka bertanding atas tiket BN untuk kali ini bermakna kerusi yang telah diperuntukkan kepada komponen BN dikerusi-kerusi tersebut yang telah termaktub akan berubah sama sekali. Sudah tentu tuntutan kepada kerusi atas nama Bebas ini akan menimbulkan banyak masalah kepada BN sebenarnya.

Sebenarnya kenyataan sumbang ADUN Bebas ini hanyalah bertujuan untuk melepaskan diri mereka bersama dengan janji-janji atau keistimewaan yang sedang mereka perolehi. Rakyat sebenarnya tidak akan mudah tertipu dengan alasan-alasan dangkal tersebut bagi menghalalkan tindakan mereka untuk keluar parti menjadi Bebas, dan membolehkan mereka mendapat keuntungan sebenar atas pengkhianatan keatas kepercayaan rakyat terhadap mereka.

MOHD MUNIR ALI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Bank Negara keluarkan 5 lesen perbankan komersial

5 Rejab 1431 H

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata hari ini lesen perbankan komersial akan dikeluarkan kepada lima bank asing dalam langkah untuk melonggarkan lagi sektor perkhidmatan kewangan.

Lesen itu akan dikeluarkan kepada anak-anak syarikat milik penuh Paribas SA (Perancis), Mizuho Corporate (Jepun), National Bank of Abu Dhabi (UAE), PT Bank Mandiri (Persero) Tbk (Indonesia), dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation Bhd (Jepun), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam menilai permohonan, bank pusat itu berkata ia mengambil kira kekuatan kewangan, rekod pencapaian, kepakaran, rancangan perniagaan dan potensi sumbangan bank-bank itu kepada pembangunan sektor kewangan Malaysia.

"Bank-bank ini dijangka menambah kepelbagaian industri perkhidmatan kewangan, menyokong bidang-bidang pertumbuhan baharu termasuk teknologi hijau dan mempermudah transformasi ekonomi Malaysia ke arah mencapai nilai tokok yang tinggi dan status ekonomi berpendapatan tinggi.

"Kehadiran bank-bank ini akan juga memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia dengan mempermudah perdagangan antarabangsa dan aliran pelaburan antara Malaysia dengan neagra-negara lain di dunia," katanya.

Malaysiakini/-

Pengganas: K'jaan cuba alih tumpuan rakyat

5 Rejab 1431 H
Oleh: S Pathmawathy

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kerajaan hari ini kerana cuba mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu-isu nasional kepada kononnya kegiatan pengganas di negara ini pada tahap membimbangkan.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional dan Umno cuba mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu-isu seperti judi sukan, pembabitan Israel melalui firma antarabangsa Apco Worldwide dan pemberian tanah-tanah utama di Kuala Lumpur kepada sektor swasta.

"Tindakan pengganas tidak boleh dipertahankan dalam apa cara sekalipun tetapi mereka mesti matuhi undang-undang,” kata Anwar.

"Di mana bukti bahawa terdapat kegiatan pengganas? Jika ancaman sebegitu mengugatkan mengapa suspek berkenaan diekstradisi tanpa didakwa?” soalnya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat hari ini. Beliau mengulas perhatian serius yang diberikan kerajaan Malaysia kepada fenomena keganasan antarabangsa seperti serangan Israel keatas flotilla keamanan ke Gaza.

"Dalam beberapa minggu ini nampak peningkatan ada propaganda baru tentang ancaman terlampau, kemudian hendak tegakkan negara Islam. Saya tengok ini adalah satu percubaan Umno BN kerajaan untuk mengalih pandangan isu lesen judi, isu Apco dan penyerahan tanah-tanah aset terpenting negara seperti di Wilayah Persekutuan, Sungai Buloh, Sungai Besi, Tanah Keretapi, Sentul, Pudu dan juga diserahkan kepada syarikat swasta dalam masa singkat," katanya.

"Sebab itu kita hendak bagi tahu rakyat jangan terpedaya dengan cubaan Umno BN mengalih pandangan daripada isu besar dalam negara. Kemudian untuk menakutkan rakyat menimbulkan ketegangan baru. Ini peringatan kita supaya kerajaan kalau benar, mesti bentang perkara ini di parlimen, supaya kita dapat tengok buktinya kalau ada, dan kalau ada wajar disokong," katanya.

Malaysiakini/-

Empayar hartanah keluarga Taib di Kanada?

5 Rejab 1431 H

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dan anggota keluarganya didakwa memiliki hartanah bernilai lebih C$100 juta (RM320 juta) di Kanada, lapor sebuah laman anti-Taib - Sarawak Report.

Lamanweb itu mendakwa, ia termasuk kompleks mewah - Preston Square (kanan) dengan menara kaca kembar yang menyediakan ruang pejabat dan kompleks membeli-belah mewah di wilayah komersial bernilai tinggi di pusat bandar Ottawa.

Menurutnya, dengan menempatkan ruang pejabat syarikat multinasional seperti Xerox, Adobe dan Sun Life, projek tersebut menyediakan sumber kewangan tambahan daripada kutipan sewaan, kepada keluarga Taib.

Projek pembangunan utama tersebut, dakwanya, merupakan 'permata' kepada syarikat pemaju hartanah Sakto Development Corporation, yang dimiliki oleh keluarga Taib.

Sakto mempunyai senarai portfolio puluhan lagi bangunan pejabat dan kawasan perumahan mewah di Kanada.

Ditubuhkan pada awal tahun 1980-an oleh anak-anak Taib - Mahmud Bekir Taib, Jamilah Taib dan adiknya Onn Mahmud, perniagaan keluarga itu
dikendalikan oleh menantu Taib - Sean Murray - seorang rakyat Kanada yang berkahwin dengan Jamilah (kiri).

Murray dan Jamilah memiliki kediaman kedua termahal di Ottawa - bernilai RM28 juta - yang terletak di kawasan ekslusif Taman Rockcliffe di ibunegara Kanada (kanan).

Malaysiakini/-

Kadar baru tol jambatan bakal bebankan rakyat

5 Rejab 1431 H
Oleh: S Pathmawathy

Kadar tol jambatan Pulau Pinang akan dinaikkan dari RM 7.00 sehala kepada RM 9.40 untuk menyelaraskannya dengan jambatan kedua yang masih dalam pembinaan.

Jawapan lisan itu diberikan kepada ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong apabila soalan berkenaan kadar tol untuk jambatan kedua Pulau Pinang diajukan.

Liew pada sidang media di lobi parlimen hari ini berkata, pelaksanaan yang ingin di buat adalah tidak munasabah sama sekali.

"Kadar tol yang ditetapkan untuk jambatan kedua Pulau Pinang adalah selaras dengan kadar tol yang akan dikenakan ke atas jambatan yang pertama sehingga tamat tempoh perjanjian konsesi jambatan pertama," kata Liew.

Pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang dikatakan bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk di Pulau Pinang tetapi juga di kawasan sekitar.

Namun menurut beliau, hasrat untuk menaikkan kadar tol untuk jambatan yang pertama sebaliknya akan membebankan rakyat.

"Nampak gayanya, jambatan pertama dan kedua akan dikenakan kadar tol yang mahal dari sekarang" katanya.

Sebelum itu, dalam jawapan bertulis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kadar tol untuk jambatan Pulau Pinang kedua adalah sama seperti di jambatan pertama sedia ada sehingga tamat tempoh perjanjian konsesi jambatan pertama itu.

Katanya, ini disebabkan jumlah pelaburan sebanyak RM4.5 bilion dan tempoh konsesi selama 45 tahun, tol akan tetap dikenakan di jambatan Pulau Pinang kedua selepas konsesi jambatan pertama tamat.

Menurut Najib setelah jambatan kedua itu siap untuk beroperasi pada 2013, kadar tol yang ditetapkan adalah berdasarkan kepada tujuh kelas.

Katanya, kelas pertama (motosikal) akan dikenakan bayaran tol sebanyak RM1.90, kelas kedua (kereta, teksi dan van dua gandar empat roda kecuali MPV) RM9.40, kelas ketiga (lori dua gandar empat roda termasuk pick up dan SUV) RM16.20, kelas keempat (lori dua gandar enam roda, van dua gandar enam roda, bas dua gandar enam roda) RM33.60, kelas kelima (lori tiga gandar) RM60.60, kelas keenam (lori empat gandar) RM80.80 dan kelas ketujuh (lori lima gandar) RM100.90.

Najib juga berkata kos pembinaan projek untuk jambatan Pulau Pinang kedua adalah tidak berubah dan kekal sebanyak RM4.5 bilion.

"Kos tersebut juga termasuk kos membina kawasan penuangan oleh kedua-dua kontraktor iaitu CHEC Construction (M) Sdn Bhd dan UEM Builders Berhad," tambahnya.

Liew ingin tahu tahap kerja yang telah disiapkan untuk jambatan Pulau Pinang kedua dan mengapa jumlah kos pembinaan telah dinaikkan ke RM4.5 bilion dan adakah jumlah itu termasuk kos membina kawasan penuangan.

Najib berkata sehingga 23 April lalu, tahap kerja yang telah disiapkan bagi kerja-kerja fizikal untuk jambatan Pulau Pinang kedua bagi pakej satu ialah 13.39 peratus siap, pakej dua (16.51 peratus) manakala bagi pakej ketiga, ia masih dalam proses tender dan telah mula dinilai pada 19 Mac lalu.

Jambatan kedua sepanjang 26 km itu akan menghubungi Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di tanah besar.Konsesi selama 25 tahun untuk jambatan pertama pula akan berakhir pada 2018.

Malaysiakini/-

PAS yakin PRU 13 selepas Mac 2011

5 Rejab 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 17 Jun: PAS percaya tarikh paling awal Datuk Seri Najib Razak akan mempertimbangkan bagi diadakan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) adalah pada April tahun hadapan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata perdana menteri itu tidak mungkin mengadakan PRU lebih awal dari itu biarpun ada kajian mendakwa sokongan rakyat kepada pentadbiran Najib pada waktu ini sangat baik.

"Tidak mungkin dalam masa terdekat, paling awal pun April 2011 bersekali dengan pilihan raya Sarawak," katanya ketika dihubungi petang ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam yang mendakwa tarikh PRU 13 yang bakal diumum akan mengejutkan semua pihak.

Mengulas lanjut Mustafa berkata, mengikut pengamalan para perdana menteri terdahulu, pilihan raya umum biasanya akan diadakan selepas tempoh tiga tahun dari pilihan raya umum sebelumnya.

Jika keadaan itu diambil kira, tempoh tiga tahun untuk penggal ini, katanya akan tamat Mac tahun depan.

Sementara itu, faktor lain yang akan dipertimbang Najib katanya adalah pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Jun tahun hadapan.

Umno BN, katanya sangat takut jika Pakatan Rakyat dapat menguasai Sarawak yang kini menjadi negeri talian hayat mereka untuk terus kekal berkuasa.

Sehubungan itu katanya, Umno BN tidak akan membiarkan Sarawak jatuh begitu mudah kepada Pakatan Rakyat seperti angin perubahan yang melanda Sibu.

"Sarawak adalah faktor penting kepada Umno BN, mereka akan kurangkan tumpuan Pakatan Rakyat pada pilihan raya Sarawak dengan mengumumkan pilihan raya serentak," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, PAS bersedia bila-bila masa berdepan PRU 13 dengan segala persiapan sedang dan telahpun dibuat sejak selesai PRU 12 lagi.

Harakahdaily/-

Pasca Muktamar DPPP kali ke 51

5 Rejab 1431 H
Oleh: Nasrudin Hassan at-Tantawi

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan. Insyaallah ini tema Pemuda PAS bekerja sepanjang musim ini disamping menyelesaikan tunggakan tugas serta rancangan yang masih tergendala ekoran tertunda kerana menghadapi 11 pilihanraya kecil pasca pilihanraya 2008 yang lalu.

Insyaallah, seluruh jentera pemuda dipelbagai peringkat mestilah mula aktif malah proaktif untuk menggerakkan amanah dan tanggungjawab yang sedang dipikul sebagai ansoorullah yang menggalas cita-cita untuk mendaulatkan syariat Islam.

10 Kriteria Ansoorullah dan 10 Politik Rasul saw juga apa yang lebih penting dan menjadi asas bergerak sepanjang tempoh perjuangan kita ialah 10 Badihiyat [peraturan dan arahan khas yang wajib dilaksanakan oleh setiap pemuda] telah saya gariskan dalam ucaptama ketua DPPP baru-baru ini.

Jangan leka dan jangan lena. Masa kita singkat, kerja kita banyak, cabaran kian sukar dan halangan kian rencam. Atur langkah secara cermat dan berhemat dan depani cabaran dengan tenang dan tabah. Mohon pertolongan daripada Allah dengan sabar, munajat dan solat [doa].

Gandingkan tenaga. Lama, baru, ulama', profesional, aktivis, amilin, pimpinan dan seluruh anggota mestilah rapatkan saff dan eratkan ukhuwwah. Kini masa kita berjuang bukan membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada jamaah dan ummah.

Khasnya kepada saff pimpinan yang sedang memikul beban amanah dan tanggungjawab perjuangan. Pedulikan segala fitnah dan tohmahan. Pacu perjuangan ini semampunya dan bertawakkal kepada. Cari nilai dari sisi Allah swt bukan nilai di sisi manusia.

Sabar atau segala susah sukar berjuang. Korbankan masa, tenaga, pemikiran malah jika perlu darah dan nyawa demi Islam. Samaada menang atau syahid ..... itulah slogan kita berjuang. Tiada istilah kalah dalam perjuangan.

Jadilah pejuang Ansoorullah untuk terus memimpin Jiil [ generasi ] rabbani. Inilah tugas besar kita menyambung tugasan golongan as saabiquunal awwalin [generasi terdahulu]. Jika mereka gigih dan istiqamah malah mampu tunaikan tugas mereka, kenapa kita hari ini mesti mengemukakan 1001 alasan untuk berdalih. Ayuh bangkit pemudaku.

Harakahdaily/-

Isteri Mohamad Sabu dirompak

5 Rejab 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Normah Alwi, 55, isteri kepada AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini dirompak di perkarangan tempat letak kereta berdekatan Bank Islam (M) Berhad (BIMB) cawangan Pusat Bandar Shah Alam.

Anak kedua Mohamad, Nurul Huda ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu bahawa rompakan tersebut dilakukan oleh dua suspek pemuda.

"Yang masuk kereta rompak mak, baju kelabu, yang pandu motor berbaju merah," ujar beliau sebagaimana memetik aduan polis yang dibuat oleh ibunya.

Disebabkan rompakan tersebut, beliau memaklumkan bahawa ibunya kehilangan wang tunai RM4,000, kad kredit, telefon bimbit serta beberapa dokumen peribadi bapanya.

Pun begitu, beliau berkata, pihak polis sedang memburu dua suspek di persimpangan tol berdekatan Damansara.

"Sarjan Hamzah (pegawai penyiasat) kata ada nampak suspek bahagi-bahagi duit di simpang tol Damansara menaiki motosikal," ujar beliau lagi.

Mohamad turut dihubungi kemudian untuk mendapat maklum balas berhubung insiden tersebut, tetapi gagal.

Mohamad sekarang berada di universiti Frankfurt dan Berlin, Jerman untuk membentangkan kertas kerja akademik berkaitan demokrasi, dunia Islam dan Gaza.

Harakahdaily/-

7 Julai cuti umum di Pulau Pinang

5 Rejab 1431 H
Oleh: Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 17 Jun: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengistiharkan setiap 7 Julai bermula tahun ini sebagai cuti umum sempena ulang tahun pengistiharaaan Bandar Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zainol Rahim Seman berkata, ketetapan tersebut telah dipersetujui pada 21 Julai 2009 dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mahukan cuti umum untuk semua rakyat negeri ini pada setiap 7 Julai setiap tahun mulai tahun 2010.

Menurutnya, tindakan itu merupakan usaha proaktif Kerajaan Negeri untuk seluruh warga Pulau Pinang meraikan program yang di atur di samping memberi sokongan padu pada kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

"Saya telah diarahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mengistiharkan 7 Julai 2010 sebagai cuti umum untuk rakyat Pulau Pinang sempena anugerah dari UNESCO.

"Mulai tahun ini 7 Julai akan dijadikan cuti umum setiap tahun, " jelasnya dalam satu kenyataan.

Penetapan itu juga telah di wartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 17Disember 2009 lalu.

Surat pekeliling telah pun dihantar kepada semua Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri, Persatuan Kilang-Kilang, Persatuan Bank-Bank, Persatuan Hotel-Hotel dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Parti-Parti Politik negeri ini.

Surat yang sama juga dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia bagi memaklumkan perkara tersebut.

Hari Kelepasan Am tidak menjadi 'paid holiday' mengikut syeksyen 60D (1)(a) Akta Pekerjaaan (Akta 265) kecuali jika majikan melalui persetujuan dengan pekerja mengikut provisio kepada seksyen 60D (1A) Akta 265.

Ujarnya, akta berkenaan hanya menetapkan empat hari iaitu Hari Tuan Yang Terutama, Hari Yang Dipertuan Agung, Hari Merdeka dan Hari Buruh yang mesti diiftiraf oleh para majikan daripada 10 hari cuti awam di mana baki cuti enam hari boleh dipilih atas budi bicara mereka.

Walaupun cuti umum itu tidak mewajibkan semua majikan mematuhinya namun sepertimana peruntukan di bawah seksyen 60D (1)(a) Kerajaan Negeri berharap diberi kerjasama sewajarnya bagi membolehkan semua pekerja turut mengambil bahagian ulang tahun berkenaan.

Harakahdaily/-

Kelantan Fiesta: Pemuda PAS kecam sikap Umno

5 Rejab 1431 H
Oleh: Wartawan Kita

KOTA BHARU, 17 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dan mengecam sikap yang ditunjukkan oleh Umno negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelang majlis perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam tadi.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapat maklumat yang diyakini bahawa Umno Kelantanlah yang bertanggungjawab untuk tidak membenarkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Katanya, ini telah melanggar persetujuan yang dibuat melalui rundingan lebih awal bahawa Menteri Besar Kelantan selaku tuan rumah akan menyampaikan ucapan di majlis yang akan disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja itu.

Selain itu, ujarnya sikap penganjur Red Carpet yang mengambil sikap menggantung sepanduk menguar-uarkan kempen 1Malaysia dan Perdana Menteri secara tidak langsung membelakangkan Pemangku Raja.

Ekoran daripada sikap Umno dan penganjur Kelantan Fiesta 2010 itu, beliau yang juga Adun Mengkebang berkata, Menteri Besar Kelantan membatalkan hasrat untuk hadir dan kerajaan negeri menarik diri daripada menjadi penganjur.

Beliau menambah, di dalam masa yang sama Pemangku Raja juga memaklumkan tidak dapat hadir dan akhirnya Perdana Menteri sendiri membatalkan hasrat untuk hadir dan bergegas pulang ke Kuala Lumpur jam 10.30 malam.

“DPPNK hairan dengan sikap Umno yang begitu takut dengan ucapan yang akan disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan atas sebab apakah mereka terlalu bimbang untuk mendengar ucapan tersebut atau adakah Umno bimbang kerana mereka sedar mereka telah melakukan banyak kesalahan termasuklah melesenkan judi sukan dan menafikan royalti minyak sebagai hak rakyat Kelantan.

Tambahnya, DPPNK difahamkan jumlah kehadiran penonton sangat mengecewakan pada malam tersebut.

“Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada Umno bahawa rakyat Kelantan masih teguh bersama kepimpinan YAB Menteri Besar dan menolak sikap politiking keterlaluan sehingga tidak menghormati Kerajaan Negeri Kelantan selaku tuan rumah,” katanya lagi.

Justeru, tambahnya DPPNK berpandangan perlunya sikap berhati-hati dalam menjalinkan sebarang kerjasama dengan kerajaan Pusat di dalam apa jua penganjuran program agar insiden seperti itu tidak berulang.

Harakahdaily/-