10 September 2008

Pemuda Gerakan letak jawatan dalam BN negeri

Tiga pemimpin Pemuda Gerakan Pulau Pinang telah meletak jawatan dalam jawatankuasa Barisan Nasional (BN) negeri sebagai membantah tindakan beberapa pemimpin Umno mengoyak gambar pemangku presiden parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Mereka ialah ketua Pemuda, Huan Cheng Guan; naib ketua, Yew Khean Siang; setiausaha, Oh Teong Keong dan penolong setiausaha, Heng Thee Wey.

Huan meletak jawatan sebagai ketua Pemuda BN negeri, manakala Yew, Oh dan Heng melepas jawatan dalam jawatankuasa Pemuda BN Pulau Pinang.

Yew, Oh dan Heng akan menyerahkan surat perletakan jawatan mereka kepada sekretariat BN esok. Huan pula telah menghantar surat peletakan jawatannya dari Taiwan melalui SMS kepada pengerusi Pemuda BN, Datuk Hishammuddin Hussein pagi ini.

Huan menyatakan beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak lagi dapat bertolak ansur melihat gambar pemimpin parti itu dihina oleh sekumpulan ahli Umno.

“Saya meletak jawatan sebagai ketua Pemuda BN Pulau Pinang berkuatkuasa serta merta," kata bekas ahli Parlimen Batu Kawan kepada Malaysiakini melalui SMS.

Beliau yang kini berada bersama 41 ahli parlimen BN yang menyertai lawatan sambil belajar di Taiwan atas kapasitinya sebagai setiausaha kerja Kelab Penyokong BN (BBC), menolak desakan supaya beliau pulang segera.

“Sebagai setiausaha kerja, saya bertanggungjawab untuk berada di Taiwan bagi menjalankan kerja-kerja penyelarasan bagi lawatan tersebut.

"Saya bukan seorang yang bertanggungjawab jika meninggalnya dan pulang sekarang," jelasnya.

Tiga lagi pemimpin Pemuda Gerakan negeri mengikut jejak langkah Huan kerana kecewa dengan kegagalan pucuk pimpinan BN untuk mengambil tindakan tegas terhadap ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Oh berkata, Ahmad berterusan membuat kenyataan yang didakwanya berunsur hasutan yang boleh mengancam keharmonian dalam BN dan di kalangan rakyat."Penyokongnya mengoyak dan memijak potret pemimpin parti kami. Tetapi pucuk pimpinan Umno dan BN masih teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadapnya," kata Oh.
sumber: malaysiakini