19 Jun 2012

Renjatan elektrik dera kontraktor

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Seluruh tubuh menjadi lemah selepas direnjat menggunakan alat renjatan elektrik itu lebih lima kali. Malah, ketika dipukul dengan gari, saya tidak lagi mampu bergerak mahupun berkata-kata,” kata Leoni, 47.

Leoni yang bekerja sebagai kontraktor berkata demikian ketika mengulas tindakan dua lelaki yang menderanya selepas enggan meneruskan kerja pengubahsuaian rumah seorang daripada suspek secara percuma dalam kejadian bermula kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

Menurut Leoni, dia diperlakukan kejam oleh dua suspek berusia 30-an hampir tujuh jam sebelum ditinggalkan di bahu jalan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini kira-kira jam 1 pagi.

Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, Leoni berkata, dia yang melakukan pengubahsuaian sebuah rumah milik seorang daripada suspek sejak sebulan lalu enggan meneruskan kerjanya itu selepas lelaki terbabit tidak mahu membuat bayaran seperti dijanjikan.


“Mengikut perjanjian asal, saya akan dibayar RM2,500 sebagai bayaran pendahuluan malangnya selepas sudah melakukan kerja ubah suai hampir 30 peratus, lelaki itu masih gagal untuk membayar wang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Leoni, dia bagaimanapun dihubungi seorang lelaki yang mendakwa mahu bertemu dengannya di kawasan PWTC yang pada mulanya menyamar sebagai pelanggan yang juga mahu melakukan pengubahsuaian.

“Bagaimanapun, ketika bertemu dengan lelaki terbabit, dia mendapati bekas pelanggannya yang gagal melunaskan bayaran untuk pengubahsuaian rumahnya juga berada di sana.

“Ketika itu, barulah saya sedar lelaki terbabit menggunakan rakannya cuba untuk memerangkap saya,” katanya memberitahu mereka kemudiannya merampas barangan berharga miliknya seperti telefon bimbit dan wang tunai RM3,500.

Katanya, dua suspek itu juga kemudian menghubungi rakan kongsinya untuk meminta wang berjumlah RM4,000 sebagai wang tebusan bagi membebaskannya.

“Keengganan rakan saya menuruti kehendak mereka menyebabkan kumpulan itu mula bertindak ganas. Saya diberi renjatan eletrik selain dipukul dengan gari,” katanya memberitahu ketika diperlakukan demikian, dua tangannya diikat.

Dua suspek kemudiannya meninggalkan Leoni di bahu jalan berhampiran PWTC selepas kumpulan terbabit mendapati dia sudah lemah.

Dengan bantuan orang ramai Leoni kemudiannya dibawa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk tindakan lanjut sebelum diberikan rawatan di sebuah hospital di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

metro/-

175,000 polis diarah kempis perut buncit

29 Rejab 1433H. [MOD] -

Amaran untuk pastikan anggota lebih cekap

ISLAMABAD: Seorang komander polis Pakistan mengarahkan berpuluh ribu anggota pasukannya yang berperut buncit mengamalkan diet atau diberi amaran dihentikan tugas luar, kata pihak berkuasa.
“Ketua polis wilayah Punjab, Habibur Rehman mengarahkan 175,000 anggotanya untuk memastikan ukuran pinggang mereka tidak melebihi 38 inci,” kata jurucakap beliau Nabila Ghazanfar kepada AFP.

Anggota polis yang gemuk didapati tidak cekap menjalankan tugas kerana tidak dapat mengejar perompak atau pencuri dengan baik. - Nabila Ghazanfar, Jurucakap Ketua Polis Wilayah Punjab “Saya mengamalkan diet dan jika saya boleh melakukannya mengapa anda tidak?” kata Rehman kepada anggotanya bulan lalu.

Sekurang-kurangnya 50 peratus polis di Punjab dilaporkan mengalami berat badan berlebihan, kata Ghazanfar.

Akhbar tempatan, The News menyatakan bilangan anggota polis yang mengalami lebihan berat badan di Rawalpindi, ibu pejabat tentera yang dilanda beberapa serangan Taliban, adalah lebih 77 peratus, sambil menambah bahawa keadaan itu menyukarkan mereka untuk menjalankan tugas.

Polis berkata anggota mereka diberikan sehingga 30 Jun untuk menurunkan berat badan dan mereka yang didapati terlalu gemuk mulai 1 Julai akan ditamatkan tugas.
“Anggota polis menyertai senaman di gym, berjogging dan melakukan senaman lain termasuk lebih banyak berlari untuk menjadi kurus,” kata Gazanfar.

Anggota polis yang gemuk didapati tidak cekap menjalankan tugas kerana tidak dapat mengejar perompak atau pencuri dengan baik, katanya. – AFP

Tiga beradik kena cekup

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KULIM - Tiga beradik ditahan di sebuah rumah di Taman Kenangan kira-kira jam 2.30 pagi semalam kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dan pembungkusan dadah.

Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim di Ketuai Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Inspektor Mohd Amin Mat Yasin bersama empat anggota menahan tiga beradik itu selepas pemantauan dilakukan selama beberapa hari.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata, polis mendapat maklumat daripada orang ramai di mana ketiga-tiga suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dan pembungkusan dadah. Menurutnya, polis terpaksa memecah pintu pagar rumah suspek kerana mereka enggan memberi kerjasama ketika serbuan dibuat.

Setelah pintu rumah dibuka, polis menemui suspek lain berada di bilik hadapan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ratusan plastik kecil lut sinar dipercayai digunakan untuk membungkus dadah manakala keadaan rumah berselerak dan tidak terurus.

Ghuzlan berkata, seorang suspek kemudiannya meminta kebenaran ke bilik air tetapi ditahan kerana cuba membuang beberapa peket plastik kecil lut sinar dipercayai mengandungi dadah. Seorang suspek memaklumkan mereka sebenarnya sedang menunggu seorang teman dipercayai mempunyai bekalan dadah yang lebih banyak.

“Polis kemudiannya membawa ke semua suspek ke IPD untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing dijalankan terhadap ketiga-tiga beradik itu dipercayai positif dadah. "Mereka ditahan di lokap Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut dan kes ini akan disiasat dibawa Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah dan 12 (2) kerana memiliki dadah,” katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini ramai dalam kalangan pengedar dadah berjaya diberkas hasil maklumat orang awam. Menurutnya, tangkapan akan diteruskan sehingga Kulim menjadi kawasan bebas dadah.

Sinar Harian

WWW 1: Polis rampas komputer, telefon Nizar

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) memberitahu tiga barang miliknya telah diambil pihak Polis Johor semalam.

Ianya sebuah komputer pejabat, komputer riba dan telefon bimbit yang diambil dalam tiga operasi geledah di tiga tempat berlainan.

Komputer pejabat diambil sewaktu polis menggeledah di Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang semalam.

Komputer riba pula dihantar oleh anaknya semalam selepas polis menggeledah kediamannya di Sungai Rokam, manakala telefon bimbit dirampas malam tadi ketika beliau berada di sebuah hotel di ibu negara sempena menghadiri sidang parlimen.

"Malam tadi kira-kira jam 9 malam, enam orang polis datang dengan waran mahkamah majistret untuk menggeledah di hotel tempat saya menginap.

"Mereka juga mengambil telefon bimbit Nokia yang saya guna," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ketika ditemui Harakahdaily.

Menurut Nizar, operasi menggeledah dihotel tersebut malam tadi tamat kira-kira jam 11 malam dan beliau memberi kerjasama penuh kepada polis tersebut.

Semalam polis Johor menggeledah tiga pejabat operasi Nizar masing-masing di Ipoh, Bukit Gantang dan Pasir Panjang.

Difahamkan Operasi yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi semalam itu dibuat di Pejabat Pas Negeri, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Taiping dan Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang, Lumut.

Tindakan sama turut dibuat ke atas kediaman beliau di Sungai Rokam.

Bagaimanapun ketika operasi penggeledahan, Nizar tiada di kesemua tempat itu kerana masih berada di ibu negara bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Beliau hanya mengetahui situasi berkenaan setelah dihubungi salah seorang anaknya yang memaklumkan terdapat beberapa anggota polis membuat rondaan di sekitar kediamannya di Sungai Rokam, di sini.

Tindakan geledah itu dipercayai ada kaitan dengan isu mesej Twitter Mohammad Nizar berhubung keputusan bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

"Untuk sekarang ini saya akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada peguam-peguam PAS sebelum mengambil tindakan lanjut," katanya.

Harakah Daily

Tabung Haji: Jelaskan pindah wang CEO RM308,700

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diminta mengemukakan syarat-syarat dan terma yang terkandung dalam skim perkhidmatan Tabung Haji berkaitan isu perpindahan wang ke akaun Ketua Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail.

"Lebih-lebih lagi jika pindahan wang tersebut dilakukan menurut undang-undang dan tiada apa yang wajar dirahsiakan, tegas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) di parlimen, hari ini.

Bercakap pada sidang media di lobi parlimen, Naib Presiden PAS itu berkata perpindahan wang sebanyak RM308,700 dari akaun Tabung Haji kepada Ismee perlu diperjelaskan butirannya.

"Jika wang itu dipindahkan mengikut undang-undang, tiada masalah jika ia didedahkan butirannya. Jadi, tiada apa yang perlu dirahsiakan," gesa beliau lagi.

Gesaan itu dibuat berdasarkan soalannya yang dijawab secara bertulis oleh menteri berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun, Mahfuz melahirkan rasa tidak puas hati dengan penjelasan yang diberikan Jamil Khir, yang dianggap masih kabur.

Dalam soalannya, beliau meminta Jamil Khir menjelaskan berhubung perpindahan wang tersebut yang menimbulkan pelbagai tanda-tanya di kalangan rakyat.

Sebelum ini, pada sesi parlimen lepas, beliau turut membangkitkan isu tersebut ketika perbahasan belanjawan 2012.

Tambah Mahfuz lagi, pihaknya turut mempersoalkan tindakan Tabung Haji yang menuduh Bank Islam mendedahkan maklumat tersebut.

"Kenapa apabila isu ini dibangkitkan, Tabung Haji menuduh ada pihak di Bank Islam yang mendedahkan 'kerahsiaan' tersebut? Sedangkan maklumat tersebut bukan dari Bank Islam. Apa yang perlu dirahsiakan Tabung Haji? Seolah-olah ada sesuatu di sebalik isu ini?" tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mendesak Jamil Khir mengemukakan bukti berkaitan pemindahan wang tersebut, termasuk syarat-syarat dan terma-terma yang digunapakai yang terkandung dalam skim perkhidmatan Tabung Haji.

Harakah Daily

9 tonggak manifesto Pakatan Negeri Sembilan

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Negeri Sembilan menzahirkan sembilan tonggak utama dalam manifesto yang bertemakan Prihatin Rakyat dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Manifesto bersama antara PAS, PKR dan DAP itu turut menekankan tanpa amalan rasuah jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai negeri tersebut.

Sembilan tongak utama yang ditekankan adalah:

1. Rakyat itu tuan (pentadbiran dan kewangan awam)

Perkara yang wajibkan Menteri Besar dan Ahli Exco mengisytiharkan harta, memastikan kewangan negeri diuruskan secara berhemah dan tiada ketirisan dan pembaziran dalam belanjawan kerajaan.
Malah tonggak pertama ini juga turut mewujudkan 'enakmen kebebasan maklumat' bagi memberi akses kepada rakyat mendapatkan maklumat awam.

2. Rakyat nan senang dan sejahtera (ekonomi)

Perkara kedua ini telah menekankan pembangunan ekonomi dalam usaha merapatkan jurang pendapatan, selain itu juga ia turut mengutamakan projek dan kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat secara langsung.

3. Rakyat nan bertelapak (tanah dan perumahan)

Tonggak ketiga ini adalah satu usaha terbaik dalam mengembalikan hak pemilikan tanah serta memastikan setiap rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

Antara sasaran bagi tonggak ini adalah memberi milik kepada pemegang tanah TOL yang telah diusahakan atau diduduki selama 25 tahun ke atas kecuali bagi tanah rizab jalan, sungai dan seumpamanya.

Memperkasakan dasar penggantian tanah rizab Melayu yang diambil oleh kerajaan malah turut melindungi kepentingan dan kedudukan Orang Asal.

4. Rakyat nan berilmu (pendidikan)

Mewujudkan skim bantuan pendidikan bagi memastikan setiap anak warga Negeri Sembilan mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat SPM, dalam pada itu bantuan secara sistematik turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan juga sekolah-sekolah tinggi persendirian.

Sumbangan sebanyak RM1,500 kepada pelajar yang berjaya mengikuti ijazah pertama dan RM1,000 bagi diploma di IPTA dan IPTS yang diiktiraf.

5. Rakyat nan berakhlak (Islam dan pendidikan Islam)

Antara yang ditekankan dalam tonggak ini adalah menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun RM250 sebulan kepada guru Al Quran, malah dalam urusan zakat juga turut diperkemaskan agar sistem pungutan dan agihan zakat menjadi satu instrumen pembasmi kemiskinan.

Bagi agama-agama lain portfolio hal ehwal bukan Islam diwujudkan dam peruntukan tahunan kepada badan-badan induk agama bukan Islam turut diberikan.

6. Rakyat nan aman dan mencintai alam (keselamatan, jenayah, gejala sosial dan alam sekitar)

Memperkasakan mekanisma penguatkuasaan undang-undang dan peraturan keselamatan bagi membendung jenayah dan gejala sosial.

Memberi insentif kepada majikan yang menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pekerja wanita yang bekerja syif malam bagi menjaga keselamatan mereka.

7. Rakyat nan selesa (infrastruktur dan kemudahan awam)

Memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkesan untuk penduduk bandar dan luar bandar, peningktan mutu jalan raya juga turut ditekankan.

8. Wanita dimartabatkan, rakyat nan muda disayangi, nan dizalimi dibela dan nan tua disantuni (wanita dan keluarga, anak muda, peneroka dan kebajikan)

Dalam usaha menaikkan martabat wanita bantuan sebanyak RM500 setahun diberikan kepada ibu-ibu tunggal yang layak selain menubuhkan dana usahawan wanita bagi membantu wanita menceburi bidang perindustrian.

Manakala untuk anak muda pusat perniagaan dan kebudayaan untuk anak muda diwujudkan. Bagi peneroka Felda, pengeluaran geran tanah dipercepatkan bagi peneroka yang telah melunaskan hutang kepada Felda.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak ketinggalan apabila sistem bantuan kebajikan diperkasakan selain mengalakkan majikan di sektor awam dan swasta memberi pertimbangan istimewa kepada OKU di dalam pengambilan pekerja.

9. Rakyat nan berbudaya dan beradat (seni budaya dan adat)

Antara lain dalam tonggak terakhir ini adalah menubuhkan Perbadanan pembangunan Tanah Adat bagi membangunkan tanah adat yang terbiar.

Menaikkan elaun Datok Lembaga Adat kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun sebanyak RM250 sebulan kepada Buapak-Buapak serta menubuhkan institusi bagi memperkasakan adat perpatih.

Harakah Daily

Ukhuwah kuat elak perbalahan sesama sendiri

29 Rejab 1433H. [MOD] -

Islam adalah agama yang diturunkah oleh Allah SWT bersumberkan dari Al-Quran dan Sunah Rasul, yang berupa perintah, larangan dan petunjuk untuk kebaikan umat manusia dan seluruh makhluk di bumi dan di langit. Islam merupakan satu agama yang sangat indah dan sempurna. Tiada agama lain yang mampu menandingi agama Islam.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” ( Surah al-Ma’idah , ayat 3 ).

Berdasarkan huraian ayat di atas, menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang sangat mulia dan hanya agama Islam sahaja yang diredhai oleh Allah SWT. Di samping itu Allah SWT telah memberikan hambaNya nikmat yang pelbagai dan memberi peluang kepada kita untuk menggunakan nikmat itu dengan sebaik mungkin.

Di dalam Islam asas persaudaraan amat dititik beratkan. Ini kerana Islam mengajar kita nilai dan ruh persaudaraan yang sangat murni. Sebagai contohnya, apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam mendidik kaum Ansor dan Muhajirin supaya ikatan persaudaraan sesama mereka sentiasa kekal.

Islam melihat persaudaraan sebagai salah satu nikmat kurniaan Ilahi kepada manusia yang benar-benar beriman denganNya, malah ia juga satu nikmat yang paling berharga yang tidak ada tolak bandingannya dengan sesuatu di dunia ini. Firman Allah SWT: ‘’ Dan Dialah ( Allah ) yang mempersatukan hati orang-orang yang beriman walupun kamu membelanjakan semua ( kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka ( akan ) tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia maha kuasa lagi maha bijaksana.’’ ( Surah al-Anfaal ayat 63 ).

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT amat mengambil berat tentang persaudaraan hamba-hambanNya. Oleh itu, kita sebagai hambaNya yang masih diberi kesempatan untuk menikmati nikmat yang diberikan olehNya seharusnya mengambil kesempatan yang ada dengan mempereratkan lagi hubungan sesama insan dan menghindari daripada melakukan huru hara yang mana boleh membawa kepada perbalahan sesama sendiri.

Jadi untuk menggelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku, kita seharusnya lebih berwaspada dan perlu memikirkan jalan penyelesaian yang sesuai dan terbaik untuk memastikan negara kita sentiasa dalam keadaan aman dan terhindar daripada pergaduhan sesama insan.

Sekiranya terdapat apa-apa yang memerlukan persetujuan dua pihak kita seharusnya duduk berbincang dengan sebaik mungkin dan cuba menyelesaikan perkara tersebut dengan cara yang baik dan bukannya dengan cara perbalahan. Perbincangan yang baik mungkin akan dapat menghasilkan keputusan yang terbaik dan sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri.

Ini kerana dalam Islam persaudaraan juga merupakan sendi yang menjadi akar dalam pembinaan masyarakat dan teras dalam menyokong keharmonian hidup anggota masyarakatnya. Persaudaraan yang diikat perlulah berdasarkan tautan akidah dan inilah persaudaraan yang sebenar dalam Islam.

Firman Allah SWW dalam surah al-Hujurat , ayat 10 yang bermaksud:’’ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara’’. Daripada huraian ayat tersebut membuktikan bahawa kita semua adalah bersaudara dan persaudaraan sesama kita seharusnya sentiasa wujud dalam diri kita, tidak kira di mana kita berada.

Dan seharusnya kita kena ingat, bahawa kita tidak akan rugi jika kita terus memelihara ikatan persaudaraan sesama kita. Selain itu kita tidak perlu menggadai harga sebuah persaudaraan disebabkan perkara-perkara kecil. Dan jangan disebabkan berlainan pendapat dan ideologi kita sanggup membiarkan nilai persaudaraan menjadi rendah dan dipandang serong oleh orang lain. Oleh itu marilah kita bersama- sama membina persaudaraan kita sesama agama dan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan yang telah sedia ada. Kita juga seharusnya bersama-sama dalam mempertahankan persaudaraan antara kita agar kita termasuk di dalam satu golongan yang diberi perlindungan oleh Allah SWT di akhirat kelak di mana tiada perlindungan lain melainkan perlindungan- Nya.

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama UniversitI Sains Islam Malaysia (USIM)

Harakah Daily

PAS ramal PRU13 tahun hadapan

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jun: PAS menjangkakan pilihan raya umum ke-13 berkemungkinan besar akan diadakan pada tahun hadapan, sehingga habis tempoh penggal.

Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, Parlimen tidak akan dibubarkan pada tahun ini kerana Selangor tidak akan membubarkan Dun dan bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan.

Mustafa berkata, Umno BN tidak akan berpuas hati jika Selangor tidak turut serta dalam PRU kerana mereka memang mahu merampas kembali Selangor.

"Saya rasa pilihan raya ini tunggu sampai tamat tempoh. Ini bukan saya bergurau, tapi serius.

"Selangor akan berasingan kerana ada masalah dengan daftar pemilih, penambahan pengundi yang ketara," kata beliau kepada Harakah dan Harakahdaily semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Dun Selangor tidak akan dibubarkan meskipun kerajaan Persekutuan bertindak membubarkan Parlimen lebih awal namun hanya bersedia menyertai pilihan raya umum ke-13 jika ia diadakan selepas Jun 2012.

Di bawah sistem Persekutuan, negeri mempunyai hak dan kedaulatan untuk menentukan tarikh Dun akan dibubarkan seperti yang dilakukan Sarawak.

Mustafa berkata, Umno BN yakin dapat merampas Selangor dengan menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Strategi BN memang nak rampas Selangor. Dia tidak akan puas hati melainkan dia boleh tawan Selangor dengan strategi yang dibuat ini. Dengan kerjasama KDN, SPR dia merasakan ada harapan untuk tawan Selangor.

"Bila Selangor kata tak akan bersama, Umno BN akan tunggu.

"Dia akan buat pada tarikh yang Selangor tak boleh tangguh lagi. Jadi memang pilihan raya tak akan berlaku, akan berlaku tahun depan," katanya.

Mustafa bagaimanapun berkata, PAS bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi PRU ke-13.

"Bagaimanapun dari segi kaedah politik, pilihan raya, PAS tetap bersedia untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa.

"Tapi pemikiran dalam BN mungkin pilihan raya sampai kepada tahun depan," katanya lagi.

Harakah Daily

PAS gesa dunia terima keputusan p’raya Mesir

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta kuasa-kuasa Barat dan seluruh masyarakat dunia menerima secara terbuka keputusan Pilihan raya Presiden Mesir yang dibuat melalui satu proses yang lebih demokratik, setelah puluhan tahun suasana pilihanraya di Mesir telah menjadi contoh demokrasi yang pincang.

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata rakyat Mesir telah menyatakan pilihan mereka, dan tidak wajar mana-mana pihak terutamanya pihak Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) untuk menafikan hak rakyat membuat pilihan dalam satu proses demokrasi itu.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Muhammad Morsi dari Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP) yang mencapai lebih dari 50% undi dalam Pilihan raya Presiden Mesir yang baru sahaja berakhir.

Sehubungan dengan itu juga, PAS meminta kuasa-kuasa Barat dan seluruh masyarakat dunia menerima secara terbuka keputusan tersebut yang dibuat melalui satu proses yang lebih demokratik, setelah puluhan tahun suasana pilihanraya di Mesir telah menjadi contoh demokrasi yang pincang.

Rakyat Mesir telah menyatakan pilihan mereka, dan tidak wajar mana-mana pihak terutamanya pihak Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) untuk menafikan hak rakyat membuat pilihan dalam satu proses demokrasi itu.

Sebarang usaha menafikan kemenangan ini sama ada oleh kuasa-kuasa Barat dan Regim Zionis Israel juga melalui tangan-tangan ghaib mereka di Mesir sendiri akan membawa akibat yang buruk kepada keamanan rantau Asia Barat, dan iklim politik dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.

Dunia mesti memberi ruang kepada pentadbiran pemimpin dan kerajaan baru Mesir untuk berkhidmat dengan penuh keadilan kepada rakyat. Adalah amat tidak wajar rakyat dihukum dengan dinafikan pilihan mereka setelah ianya berjalan secara demokrasi.

Harakah Daily

RM26 juta kos lawatan PM ke luar negara

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke luar negara dalam tempoh empat tahun sejak 2009 telah menelan belanja sebanyak RM26,080,144.39.

Demikian dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Jumlah itu mewakili keseluruhan 74 kali lawatan Najib yang turut diiringi para pegawainya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang meminta perdana menteri menjelaskan senarai semua lawatannya ke luar negara sejak April 2009, saiz rombongan dan kos terlibat.

Mengikut pecahan tahunan, Nazri memaklumkan bahawa pada 2009 perdana menteri melakukan 22 kali lawatan ke luar negara dengan 306 orang pegawai yang menelan kos RM3,442,343.68.

Pada 2010 pula sebanyak 17 kali dengan 252 pegawai dengan kos RM5,133,875.99.

Tahun 2011 adalah paling kerap iaitu sebanyak 27 kali dengan 425 pegawai mengiringi dengan kos RM12,568,227.49.

Manakala untuk separuh tahun 2012, sebanyak 8 kali lawatan bersama 125 pegawai dengan kos RM4,935,697.23.

Harakah Daily

Projek Lynas kilang kimia, bukan loji nuklear?

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) menegaskan projek Lynas yang diadakan di Gebeng, Kuantan merupakan kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear atau aktiviti perlombongan.

Menurut laporan jawatankuasa tersebut, hujah mereka itu berdasarkan fakta-fakta saintifik, takrifan undang-undang dan maklumat yang diperolehi daripada pakar-pakar berhubung perojek berkenaan juga mendapati projek LAMP akan menggunakan teknologi termaju.

Jawatankuasa Khas itu juga berpuas hati bahawa projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia yang setaraf dengan amalan dan standard antarabangsa.

Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa.

Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah menyediakan sistem kawalan yang diperlukan seperti yang telah ditetapkan di dalam perundangan kebangsaan dan standard antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan alam sekitar untuk kilang beroperasi sementara.

Jawatankuasa juga mengesyorkan agar lesen Kelas A (Mengilang – Peringkat Pengendalian Sementara) atau (Temporary Operating Licence – TOL) dikeluarkan supaya projek LAMP dapat mengilang bahan mentah pekatan lantanid secara berperingkat dan terhad serta dikawalselia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa.

"Di peringkat ini, LAMP perlu mematuhi kesemua syarat-syarat lesen yang lazim dan syarat-syarat tambahan yang telah dikenakan di dalam lesen TOL ini. Data yang diperolehi di peringkat ini akan menjadi asas kepada pertimbangan proses perlesenan selanjutnya," tegas jawatankuasa itu.

Pihak Jawatankuasa juga mengesyorkan satu jawatankuasa pemantauan (monitoring committee) dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP.

Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan serta penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan pakar bertauliah.

Jawatankuasa Pemilih telah bermesyuarat pada hari Rabu, 21 Mac 2012 dan 22 Mac telah melantik Ahli-ahli Jawatankuasa LAMP iaitu Ahli Parlimen (BN-Pasi Gudang) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi, Ahli Parlimen (BN-Kota Belud) Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen (BN-Tebrau) Teng Boon Soon, Ahli Parlimen (BN-Batang Sadong) Nancy Shukri, Ahli Parlimen (BN-Simpang Renggam) Liang Teck Meng dan Ahli Parlimen (Bebas-Kulim Bandar Baharu) Datuk Zulkifli Noordin.

Sebanyak enam mesyuarat telah diadakan bermula pada 18 April, 6 Mei, 4 Jun, 5 Jun, 7 Jun dan 11 Jun.

Laporan itu turut melampirkan laporan prosiding sesi pendengaran awam yang diadakan sebanyak tiga kali iaitu pada 10, 11 dan 21 Mei 2012.

Harakah Daily

Jalan 'jammed' kerana itik

29 Rejab 1433H. [MOD] -

Seorang petani kelmarin menyebabkan pergerakan lalu lintas di sebatang jalan raya di Taizhou, China terhenti, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Beberapa buah kereta dan motosikal berhenti bagi membolehkan haiwan tersebut bergerak secara berkumpulan untuk menuju ke kolam.

Petani tersebut dan beberapa rakannya mengawal pergerakan kira-kira 5,000 itik itu dengan menggunakan sebatang kayu.- Agensi

Harakah Daily

Restoran kotor diarah tutup

29 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Akibat tidak menitikberatkan aspek kebersihan malah tahap kebersihan yang dicapai juga di bawah 70 peratus, sebuah kedai makan di pekan Masjid Tanah diarahkan tutup sehingga ia dipastikan bersih seperti sediakala, tengah hari semalam.

Difahamkan, kedai milik warga asing berstatus penduduk tetap yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu itu dikatakan mendapat pengiktirafan tiga bintang daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sebagai kedai makanan segera paling bersih.

Namun, aduan demi aduan diterima daripada pelanggan mendapati keadaan persekitaran kotor apabila makanan dikerumuni lalat dan langau hijau malah bau busuk disebabkan sisa bahan makanan yang dibuang begitu meloyakan dan hanyir.

Pelanggan, Nurul Ashikin Mohd, 27, berkata, dia mengunjungi kedai makan itu bersama keluarganya namun terkejut melihat persekitaran kedai yang kotor dan berlendir selain makanan terdedah. Menurutnya, ketika memilih makanan, dia menemui beberapa ekor lalat yang sudah mati di celahan ayam goreng.

"Saya terus hilang selera makan sebelum memaklumkan kepada pemilik kedai makan tersebut. "Selang beberapa hari selepas itu, saya datang lagi ke kedai itu semula untuk bersarapan pagi, namun keadaan tetap sama malah lebih teruk apabila kelihatan ada beberapa ekor kucing kurap menghuni kedai makan itu," katanya.

Bertindak atas maklumat, 10 anggota Penguatkuasa Majlis PerbandaranAlor Gajah (MPAG) bersama Jabatan Kesihatan Daerah Alor Gajah menyerbu kedai berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari semalam. Yang Dipertua MPAG, Kamaruddin Md Shah berkata, selepas membuat pemeriksaan, kami dapati dakwaan pengadu terbukti kebenarannya dan tidak teragak-agak untuk mengarahkan kedai berkenaan ditutup.

Menurutnya, mereka mendapati tahap kebersihan yang dicapai kedai itu yang sudah dibuka pada September 2010 kurang 70 peratus yang mana ia berada pada tahap kotor sepertimana didakwa pelanggan. “Pemeriksaan di bahagian bawah kedai makan mendapati keadaan lantai dan persekitarannya berlendir termasuk sistem saliran paip tersumbat teruk hingga menimbulkan bau busuk akibat pengumpulan sisa makanan yang mengalir keluar melalui paip ke dalam tapis yang diletakkan.

“Malah bahagian tepi kedai di kaki lima itu diletakkan meja penebar roti canai yang didakwa sudah tidak digunakan lagi, namun ruangan tepi meja berkenaan diletakkan tong untuk dimasukkan pinggan mangkuk dan gelas kotor berhampiran meja makan pelanggan,” katanya.

Kamaruddin berkata, pemeriksaan diteruskan di tingkat atas kedai makan berkenaan mendapati setiap sudut dinding kedai itu dipenuhi sawang manakala dapur di bahagian atas pula penuh dengan lipas berkeliaran termasuk di dalam peti sejuk yang diletakkan barang basah.

“Kesan dari memasak juga mengakibatkan bumbung zink luar di tingkat atas menjadi hitam dan rosak selain banyak lipas berkeliaran. “Dua kompaun dikeluarkan atas kesalahan premis dan kenderaan di belakang kedai yang mengganggu laluan.

Premis diarah tutup selama 14 hari sehingga keadaan benar-benar bersih seperti sediakala,” katanya di sini, semalam.

sinar harian/-

Pesawat Pakistan diperiksa disyaki bawa pengganas

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Airbus 310 milik syarikat penerbangan Pakistan diarahkan menjalani pemeriksaan rapi sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin selepas polis menerima maklumat pesawat itu membawa penumpang disyaki pengganas.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, pesawat itu yang baru tiba dari Karachi, dipindahkan ke ruang khas berhampiran Terminal Satelit untuk pemeriksaan menyeluruh oleh Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman yang dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat.

Sumber memberitahu, selepas pemeriksaan dilakukan tiada objek mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan ditemui dalam pesawat itu yang dibenarkan berlepas semula ke Karachi melalui Dubai, kira-kira empat jam kemudian seperti dijadualkan.

“Dalam kejadian semalam (Ahad), polis menerima maklumat ada cubaan meletupkan beberapa pesawat di KLIA oleh seorang anggota pengganas yang dikatakan cuba memasuki negara ini dengan menaiki pesawat dari Pakistan.

“Bertindak atas maklumat itu, Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan, namun tiada sebarang objek mencurigakan ditemui di dalam pesawat berkenaan dan sekitar kawasan lapangan terbang,” katanya.

Bertindak atas maklumat diterima, seorang ahli perniagaan yang tidak didedahkan identitinya ditahan bersama isteri dan tiga anak mereka bagi membantu siasatan berhubung pembabitannya dalam mana-mana kumpulan pengganas tempatan mahupun antarabangsa.

Siasatan mendapati lelaki terbabit bersama keluarganya berkunjung ke Malaysia atas urusan perniagaan dan rekod perjalanan menunjukkan dia sudah beberapa kali berkunjung ke sini atas urusan perniagaan dan bercuti.

Lelaki itu dan keluarganya dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Semakan rekod tidak menunjukkan lelaki itu adalah seorang pengganas.

berita harian/-

Minta Indonesia kawal pembakaran hutan

29 Rejab 1433H. [MOD] -

PEMANDANGAN pusat bandar raya Kuala Lumpur yang menunjukkan keadaan jerebu semakin berkurangan.

KUALA LUMPUR - Seorang penyokong kerajaan meminta kerajaan Malaysia mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Indonesia untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal pembakaran hutan yang menjadi punca jerebu berlaku pada saban tahun.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, walaupun pencemaran alam yang berpunca daripada titik panas di negara jiran itu berlaku hampir setiap tahun tetapi ia masih tiada jalan penyelesaian dan akibatnya tahap kesihatan rakyat Malaysia terjejas akibat terdedah kepada jerebu.

Beliau berkata, melalui pemantauan Jabatan Alam Sekitar dan kajian antara empat ke lima tahun kebelakangan ini, didapati kemungkinan titik panas itu adalah di kawasan hampir sama.

"Apabila kita tahu di mana kawasan titik panas itu, apakah masalah untuk kita minta supaya penguatkuasaan dapat ditingkatkan di kawasan yang dikenal pasti sebagai areas prone to hotspot, areas prone to open burning.

"Kalau tidak, kita akan sentiasa menerima sahaja alasan bahawa kawasan itu terlalu luas tetapi kalau kita buat mapping mengenai titik panas yang menjadi punca jerebu yang datang ke Malaysia, saya yakin kita boleh bantu pihak penguasa Indonesia membuat siasatan terhadap kawasan yang cenderung kepada titik panas itu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

kosmo/-

Lubang tunggu mangsa

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KLUANG - Bagai menunggu mangsa apabila keadaan penutup longkang di Jalan Kampung Majid berhampiran lampu isyarat bangunan Maju Padu di sini, rosak lebih seminggu lalu sekali gus memberi ancaman bahaya kepada pengguna jalan raya.

Pengguna, Nurhashimah Mohd Riswan, 22, berkata, sebelum ini, penutup longkang itu berada dalam keadaan sempurna, namun kehadiran kenderaan berat yang menjadikan jalan itu sebagai laluan utama keluar masuk dipercayai menjadi punca kepada berlakunya kerosakan pada penutup lubang itu.

Menurutnya, penutup longkang yang sudah pecah itu perlu diganti baru dengan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya memikirkan satu cara yang lebih baik dan membaiki dengan penutup yang lebih kukuh supaya ia tidak rosak walaupun dilalui oleh kenderaan berat, bukannya menggantikan dengan penutup yang mudah pecah.

“PBT juga hendaklah memasang papan tanda yang lebih sempurna dan bukannya hanya meletakkan kayu kering dan pita seperti sekarang ini kerana jika ada pemandu yang terbabas sudah pasti ia akan mendatangkan bahaya kepada pemandu berkenaan,” katanya.

Katanya, papan tanda yang sedia ada itu bukannya dipasang oleh pihak PBT tetapi dipasang oleh pengguna jalan raya yang prihatin dengan keselamatan pengguna lain sewaktu melalui jalan tersebut.

Sementara itu, Mohd Nazeri Mohd Raya,42, berkata, dia sering kali melalui jalan tersebut untuk pergi dan pulang dari tempat kerja.

Rutin itu membuatkan dia turut berasa bimbang apabila melalui jalan tersebut terutama waktu malam kerana risau terbabas ke dalam longkang tersebut.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab sepatutnya meletakkan kon sebagai penanda yang boleh dilihat oleh pengguna jalan tersebut dan bukannya dibiarkan dengan meletakkan penanda yang tidak sepatutnya sehingga boleh menyakitkan mata yang memandang.

“Dengan tanda yang sedemikian rupa pasti akan menjejaskan nama baik pihak yang bertanggungjawab apatah lagi jika pelancong luar yang melalui jalan tersebut.

“Oleh itu, sebagai pengguna, kami memohon supaya tindakan segera dilakukan oleh pihak yang sepatutnya sebelum berlaku kejadian buruk," katanya.

Sinar Harian

Hidu habuk 24 jam

29 Rejab 1433H. [MOD] -

MENGLEMBU – Lebih 10,000 penduduk dari Taman Bukit Merah, Taman Impiana Adril dan Taman Badrishah berputus asa apabila segala aduan berkaitan pencemaran dari sebuah kilang konkrit kepada Kerajaan Negeri seolaholah dipandang ringan.

Difahamkan, isu sama sudah disuarakan beberapa kali sejak tahun 2008 sehingga satu laporan kajian dikeluarkan pada 2009, bagaimanapun pemilik kilang seolah-olah ‘kebal’ undang- undang apabila bertindak meluaskan operasinya.

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri pada Mei 2009, menyatakan implikasi berterusan dari pencemaran bau udara dan bunyi boleh mengakibatkan kanser paru-paru psikososial.

Guru tadika, Liew Pick Kunn, 45, berkata, keselamatan lebih 20 kanak-kanak paling dibimbangi apabila tadikanya terletak berhadapan dengan kilang berkenaan.

“Kanak-kanak di bawah jaga saya paling berisiko terdedah dengan habuk dari lori simen yang hampir setiap hari melalui jalan di hadapan tadika ini. Di usia kecil inilah mereka mudah dapat penyakit seperti asma, gatal-gatal dan sebagainya.

“Bunyi bising dari kilang itu juga mengganggu pembelajaran kanak-kanak. Bukan itu sahaja, bau busuk dari sisa pembuangan seperti minyak dan simen mengganggu sistem pengairan di kawasan perumahan kami,” katanya ketika membuat laporan polis di Balai Polis Menglembu di sini.

Menurutnya, kehidupan mereka juga menjadi tidak normal dengan berkurung sepanjang masa bagi mengelakkan habuk masuk ke dalam kediaman termasuk bimbang dua anaknya mendapat penyakit.

“Mula berpindah, ia hanya sebuah kilang kecil yang membuat acuan. Setelah laporan dikeluarkan tahun 2009, kilang berkenaan dibesarkan pada tahun 2010 dengan membina bangunan baru oleh pemilik berkenaan.

“Kilang beroperasi 24 jam itu turut mengeluarkan bunyi bising pada waktu malam menyebabkan penduduk di kawasan ini tidak boleh tidur lena sejak dua tahun tambahan dengan jumlah lori keluar masuk semakin bertambah,” katanya.

Pada masa sama, seorang suri rumah, Manimegalai, 36, berkata, dia terpaksa menghantar anak bongsu berusia tiga bulan di rumah saudara berhampiran kerana bimbang pencemaran itu memberi kesan kepada bayinya.

“Usaha kami bertemu dengan pelbagai agensi bagi mengekang masalah itu sia-sia sahaja apabila kilang itu terus memperluaskan operasi tanpa memikirkan kesan pada penduduk setempat.

“Kami kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri dan mahu Menteri Besar, pihak berkuasa tempatan dan exco berkaitan turun sendiri melihat masalah yang dihadapi rakyat di sini.

Nyawa penduduk terutama kanak-kanak sangat berharga,” katanya.

Sinar Harian

Pura-pura mati untuk selamatkan diri

29 Rejab 1433H. [MOD] -

BEIRUT - Apabila sekumpulan lelaki bersenjata bertindak zalim membunuh seluruh ahli keluarganya, Ali el-Sayed hanya mampu melihat dan cuba untuk menyelamatkan diri dengan melumur darah abangnya pada bajunya.

El-Sayed, 11, terpaksa melakukan tindakan berpura-pura mati itu selepas menyaksikan sendiri pembunuhan kejam ke atas ibu bapa dan empat adik-beradiknya.

Adik bongsunya, Nader, 6, ditembak di belakang dan kepala tanpa perikemanusiaan. Ali adalah seorang daripada mangsa terselamat dalam insiden pembunuhan beramai-ramai di Houla pada 25 Mei lalu.

Lebih 100 penduduk kebanyakannya kanak-kanak ditembak dan ditikam hingga mati di rumah mereka sendiri.

Kawasan kampung di wilayah Homs tersebut menempatkan golongan miskin yang bergantung hidup dengan kegiatan pertanian dan kebun zaitun.

Kejadian pembunuhan kejam itu menyebabkan negara antarabangsa mengutuk keras kepimpinan Presiden Bashar al-Assad yang didakwa sebagai dalang utama mencetuskan keganasan selepas revolusi kebangkitan rakyat
pada Mac tahun lalu.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan saksi di tempat kejadian mendakwa tindakan keganasan tersebut didalangi oleh kumpulan lelaki bersenjata dikenali sebagai shabiha.

Ahli kumpulan shabiha itu direkrut dari puak Alawite (penyokong kuat Assad) yang bergerak secara rahsia dipercayai melakukan pembunuhan, penderaan, serangan balas bagi pihak kerajaan.

Kerajaan sebelum ini, sering menyalahkan pengganas asing bertanggungjawab menyebabkan huru-hara dan konflik yang semakin meruncing di negara tersebut.

Difahamkan, kumpulan shabiha dilabelkan sebagai lebih ganas berbanding pasukan keselamatan kerana mereka turut membedil kawasan penempatan penduduk dan melepaskan tembakan secara melulu ke arah penunjuk perasaan.

Kumpulan 'khas' ini diarah untuk melakukan penganiayaan dan menakut- nakutkan pihak penentang Assad.

Aktivis yang turut membantu mengumpulkan mayat mangsa kekejaman rejim Assad di Houla turut melahirkan rasa simpati.

"Apabila kami sampai di Houla, banyak mayat bergelimpangan dalam keadaan begitu menyayat hati.

"Saya melihat mayat kanak-kanak dengan otaknya berkecai dan paling tidak masuk akal, apabila menyaksikan tubuh kecil yang mungkin berumur kurang dua tahun ditikam tanpa belas kasihan," menurut aktivis, Ahmad al-Qasem, 35.

Rejim Assad sekali lagi menafikan mereka bertanggungjawab ke atas pembunuhan ngeri di Houla dan berterusan menyalahkan pengganas asing.

Menurut sumber kerajaan, walaupun kumpulan shabiha dituduh melakukan tindakan keganasan itu, tiada bukti cukup untuk mendakwa rejim Assad mengarahkan pembunuhan di negara yang dilihat bakal terjerumus ke kancah perang saudara tersebut.

Pembangkang Syria menyifatkan penafian Assad dan kenyataan simpati beliau selama ini terhadap mangsa kekejaman di negara itu sebagai satu pembohongan.

Walaupun ribuan penduduk telah terkorban akibat keganasan sejak lebih setahun lalu, insiden di Houla ini didakwa menjadi simbol kekejaman melampau kerajaan Assad.

Laporan dikeluarkan oleh PBB mendedahkan kebanyakan mangsa dalam kejadian tersebut ditembak pada jarak dekat termasuk ahli keluarga el-Sayed.

Penyerang dipercayai menyasarkan golongan lemah seperti kanak-kanak dan warga emas kononnya sebagai cara untuk mengugut penduduk.

Kejadian ini menunjukkan keganasan yang menjadikan penduduk kampung sebagai sasaran baru mereka.

Serangan tersebut dilancarkan selepas pasukan keselamatan kerajaan bertempur dengan Tentera Bebas Syria (FSA) yang menguasai hampir keseluruhan bandar itu.Aktivis, Maysara Hilaoui berkata, kumpulan shabiha mengambil kesempatan dengan merempuh masuk rumah penduduk kampung dan membunuh sesiapa sahaja," katanya.

"Seluruh tubuh saya menggigil apabila melihat ahli keluarga lain dibunuh di depan mata sendiri," jelas el- Sayed lagi menerusi aplikasi panggilan video dan suara, Skype.

Seminggu selepas insiden menggemparkan itu, negara tersebut dikejutkan lagi dengan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang mengorbankan 86 penduduk termasuk lebih 20 kanak-kanak di dua kampung di wilayah Hama.

Kumpulan shabiha sekali lagi dituduh bertanggungjawab melakukan tindakan kejam itu, walaupun kerajaan sekali lagi menuding jari kepada pengganas asing.

Difahamkan, tiada saksi yang boleh menceritakan kejadian sebenar pada malam tersebut dan pihak luar hanya boleh membuat andaian mereka sendiri.

sinar harian/-

PRU13: Lakukan perubahan tanpa was-was

29 Rejab 1433H. [MOD] -

Berbagai-bagai analisis yang kita dengar berhubung dengan keputusan pilihanraya yang akan datang ini. Banyak pihak yang membuat analisis ini secara formal atau secara rambang berdasarkan kepada ‘mood’ yang berada di bawah ini. Saya tidak membuat apa-apa analisis secara formal tetapi saya tahu PR akan menawan mandat rakyat kali ini. Lain-lain perkataan ianya adalah pertukaran kerajaan dari BN kepada Pakatan Rakyat.

Pertukaran ini tidak boleh dianggap ganjil kerana mana-mana kerajaan akan bertukar akhirnya jika kita memilih demokrasi sebagai cara pentadbiran negara. Negara yang tidak demokratik pun mesti mengalami pertukaran kerajaan tetapi negara-negara seperti ini selalunya berhadapan dengan keadaan huru hara sebelum pertukaran itu dapat dilakukan.

Di negara-negara Arab demokrasi tidak wujud dan kebanyakan negara-negara rantau itu dikuasai oleh absolute monarchy yang autokratik. Tetapi dengan berlakunya Arab Spring baru-baru ini di beberapa buah negara rantau itu, terbukti yang kerajaan tetap bertukar walaupun cara mana sekali sesebuah negara itu diperintah. Memang ‘natural’ yang segala-galanya akan berubah dan tidak ada yang kekal. Perubahan merupakan fenomena yang tidak dapat kita elakkan dalam dunia ini.

Begitu juga di negara kita... perubahan itu nampaknya sudah tidak dapat dielakkan lagi. Kita tidak boleh menganggap yang apa yang berlaku di tempat dan negara lain tidak akan berlaku di negara kita. Bermacam-macam analisis sedang kita dengar di mana-mana. Ada yang mengatakan yang BN akan menang dalam PRU ini tetapi kemenangannya amat tipis, lebih tipis dari apa yang dicapai oleh Pak Lah pada tahun 2008 yang lalu.

Setengahnya pula mengatakan yang PR akan berjaya mendapat mandat dari rakyat dengan majoriti yang tipis. Walau apa pun pandangan banyak pihak lain saya tetap merasakan yang BN kali ini akan direhatkan oleh rakyat untuk mengambil masa memperbaiki 'penyakit-penyakit terminal' yang dihadapi oleh coalition itu setidak-tidaknya selama tempoh lima tahun.

Kali ini rakyat pula yang akan membetulkan segala kesilapan dan kesalahan kerajaan yang memerintah hari ini. Rakyat telah sedar yang jika mereka (rakyat) tidak melakukan sesuatu untuk kepentingan rakyat dan negara mereka (rakyat) khuatir yang negara kita akan mengalami apa yang dialami oleh banyak negara yang hancur lebur kerana kelalaian semua pihak untuk menjaga negara mereka dengan baik dan bertanggungjawab.

Rakyat mahu kembalikan negara back to basic. Rakyat mahukan mereka (rakyat) diberikan keamanan dan kesenangan berfikir. Rakyat mahukan tiada lagi kegiatan tidak bertanggungjawab pemerintah berlaku dengan sewenang-wenangnya di hadapan mata mereka kerana itu semua menyemakan pandangan dan kehidupan mereka. Rakyat yang sudah lama bersabar dengan tingkah dan laku UMNO Baru serta BN sejak hampir tiga dekad yang lalu sudah hilang kesabaran dan mereka telah membayangkan dengan jelas yang kali ini adalah giliran mereka untuk membetulkan keadaan buruk ini.

Rakyat tidak mahu lagi mereka dipecah dan diperintah oleh BN lagi. Mereka mahu bersatu tetapi bersatu di luar BN khususnya UMNO Baru. Rakyat sudah tidak lagi mahu mendengar hujah-hujah UMNO Baru untuk meminta rakyat mengekalkan mereka kerana mereka sudah jemu dengan hujah yang sama sejak puluhan yang lalu. Setiap kali pilihanraya sampai UMNO Baru selalu memainkan isu perkauman dan UMNO Baru merasakan jika ada perpecahan di antara kaum, itulah kesempatan bagi mereka (UMNO) Baru untuk mengambil kesempatan menyatukan rakyat khususnya orang Melayu untuk terus mendokong mereka tanpa had.

Sudah terbenam dalam benak pimpinan UMNO Baru yang orang Melayu khususnya boleh ditakut-takutkan dengan isu perkauman dan UMNO Baru tidak putus-putus mahu mengekalkan perasaan takut orang Melayu untuk menghadapi kehidupan masa depan tanpa UMNO Baru. Mereka diyakinkan yang there is no life after UMNO Baru. UMNO Barulah segala-galanya. UMNO Barulah yang berhak untuk menentukan baik buruk kehidupan orang Melayu dan UMNO Baru lah yang menjadi penentu selamat atau tidaknya kehidupan orang Melayu.

Kuasa politik yang dipegang oleh UMNO Baru dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni pimpinan dan yang amat menyakitkan hati rakyat ramai ialah keputusan parti dan pimpinan ditentukan oleh ‘seekor dua’ kroni yang berada di sekeliling pucuk pimpinan negara. Sementara mengaut segala kekayaan negara, mereka memberikan cebisan kepada rakyat yang dibiarkan berada di dalam budaya menadah tangan memohon ikhsan dari pemimpin yang mereka (rakyat) berikan mandat itu.

Rakyat digula-gulakan dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak lima RM500, maka beraturlah rakyat ditengah panas terik mata hari untuk mendapatkan tempias dari kekayaan kroni-kroni ini. Dengan RM500 itu dapatlah rakyat membasahkan tekak untuk beberapa hari, tetapi oleh kerana kekeringan tekak rakyat sejak beberapa lama itu jumlah yang sejemput itu ibarat menyiram secawan air di padang pasir yang kering kontang sahaja.

Lepas ini pula akan dikeluarkan sedikit lagi bantuan BR1M ini dan ini sajalah caranya UMNO Baru untuk mempertahankan kuasa…beli, beli dan membeli sokongan. UMNO Baru sentiasa membeli perasaan rakyat, dan jiwa orang ramai. Bagi UMNO Baru pimpinan Najib ini cara yang paling mudah tanpa menggunakan pemikiran, ialah dengan membeli perasaan rakyat. Apabila duit yang sejemput itu rakyat dileterkan supaya menggunakan wang itu dengan berhemah dan berwasatiyah.

Dalam ramai-ramai manusia di negara ini adakah Najib orangnya yang betul untuk menasihatkan orang lain untuk berbelanja secara wasatiyah? Kalau Tok Guru Nik Aziz yang bercakap tentang wasatiyah ini, boleh juga diterima. Tetapi Najib yang telah membelanjakan wang rakyat untuk kegunaan beliau sendiri yang berjumlah berbillion-billion ringgit itu tidak layak untuk bercakap tentang berbelanja secara wasatiyah itu.

Bagi Najib kita semua mesti berbelanja secara wasatiyah tetapi beliau membelanjakan wang rakyat seperti wang ibu bapa beliau sahaja…tanpa malu dan silu. Beliau tidak sedar yang rakyat sedang memerhatikan tingkah beliau setiap waktu dam masa.

UMNO Baru sedar yang rakyat sudah jemu dengan kehadirannya sekarang. Dalam keadaan keadaan ini UMNO Baru dan pimpinan sudah hilang segala punca untuk meyakinkan rakyat sekali lagi. Apabila seorang pimpinan kehilangan punca maka segala tindakan mereka tidak akan lagi tepat dan betul. Seseorang yang dalam kegelisahan akan selalunya kehilangan punca dan hidayah.

Kalau pun mereka terjumpa dengan ‘formula’ yang baik, masa tidak mengizinkan lagi kerana untuk meyakinkan rakyat ia memakan masa yang panjang. Itu sebabnya kita membaca setiap hari, banyak kali pemimpin-pemimpin bercakap bercanggahan di antara satu dengan lain dan ini membuatkan rakyat bertambah keliru. Hidup dalam keadaan was-was adalah tegahan agama kita… bagaimanakah UMNO Baru untuk meminta rakyat ramai untuk menyokong mereka tanpa was-was sedangkan mereka sendiri dalam keadaan was-was terus-terusan.

Segala tindakan pimpinan adalah dalam keadaan was-was sentiasa dan itu jugalah yang membuatkan mereka (pimpinan) sentiasa ‘flip-flop’ dalam banyak keputusan penting yang mereka ambil.

“In actuality UMNO Baru leaders have lost all plots to manage the nation,” kata seorang pemimpin UMNO Baru itu sendiri dalam pertemuannya dengan saya baru-baru ini.

“Bro, I appreciate your courage and your intelligibility of thought by joining DAP,” katanya kepada saya serius. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Harakah Daily

Pejabat Nizar digeledah

29 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH – Tiga pejabat operasi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masing-masing di Ipoh, Bukit Gantang dan Pasir Panjang digeledah polis Johor, semalam.

Sinar Harian dimaklumkan, operasi yang bermula kirakira jam 11.30 pagi itu dibuat di Pejabat Pas Negeri, di sini, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Taiping dan Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang, Lumut.

Turut menerima situasi sama, kediaman Ahli Parlimen Bukit Gantang itu di Sungai Rokam di sini, bagaimanapun tiada sebarang serbuan dilakukan berikutan ketiadaan Mohammad Nizar di rumah berkenaan.

Jurucakap Pas Perak, Safarizal Saleh ketika dihubungi berkata, sepasukan polis berkenaan hadir bersama waran kebenaran daripada mahkamah yang menyatakan serbuan dibuat di lokasi berkaitan bagi mencari bahan bukti.

Bagaimanapun menurutnya, kehadiran pasukan itu yang menjalankan operasi secara serentak di empat kawasan berkenaan agak mengejutkan kerana tiada makluman awal dibuat.

“Sepanjang penyiasatan itu berlangsung, kita memberikan kerjasama yang baik, malah beberapa peguam kita turut serta dalam operasi berkenaan.

“Saya dimaklumkan, operasi mengambil masa antara 30 hingga 45 minit, namun tidak dapat dipastikan sama ada bahan bukti yang dicari dijumpai atau tidak,” katanya yang memaklumkan, tiada sebarang soal siasat dijalankan membabitkan kakitangan di tiga pejabat operasi berkenaan.

Safarizal berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penyiasatan yang dilakukan, semalam berkaitan dengan isu mesej Twitter Mohammad Nizar berhubung keputusan bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

Menurutnya, apa juga keadaan yang berlaku sekarang, beliau berharap siasatan yang dilakukan itu berjalan dengan baik. “Meskipun didatangi secara mengejut, kita sudah berikan kerjasama, harap apa yang mereka lakukan hari ini (semalam) bukan bertujuan untuk memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Ketika serbuan dijalankan semalam, Mohammad Nizar masih berada di Parlimen dan hanya mengetahui situasi berkenaan setelah dihubungi salah seorang anaknya yang memaklumkan terdapat beberapa anggota polis membuat rondaan di sekitar kediamannya di Sungai Rokam, di sini.

Sementara itu, di Johor, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sewaktu dihubungi enggan mengulas berhubung perkara tersebut.

sinar harian/-

Takziah buat keluarga allahyarham Tan Aminuddin

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Exco Kerajaan Pahang, allahyarham Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak (gambar), 64, yang meninggal dunia pagi ini.

“Bagi pihak PAS Negeri Pahang, saya merakamkan TAKZIAH kepada keluarga Allahyarham Dato' Tan Aminudin Ishak, ADUN Chenor, Pahang yang kembali ke rahmatullah pagi ini.

“Semoga ruh beliau dilimpahi keampunan Allah dan dihimpunkan bersama kalangan solehin,” tulis Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal di dalam Facebooknya.

Tan Mohd. Aminuddin Ishak dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh jam 8.55 pagi ini setelah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 8 Jun lalu.


Allahyarham adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Peneroka Felda Negeri meninggalkan seorang balu, Datin Nooraihan Mohamad dan dua orang anak.

Harakah Daily

Pencuri mati jatuh bumbung

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Padah kerana mencuri, seorang lelaki yang mahu melarikan empat alat penyejuk pendingin hawa di sebuah kilang di Jalan 15, Taman Wahyu di sini, ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian enam meter, semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai memanjat melalui bumbung sebelum terjatuh dan mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kepalanya berlumuran darah.

Kejadian itu disedari pemilik kilang barangan plastik yang terletak bersebelahan dengan kilang terbabit jam 10 pagi semalam ketika dia membuka pintu kilangnya apabila terlihat satu mayat tertiarap.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata polis turut menemui empat alat penyejuk pendingin hawa yang cuba dicuri berhampiran mayat lelaki terbabit.

“Kami percaya dia cuba membawa keluar alat penyejuk pendingin hawa yang dicurinya melalui siling bumbung kilang sebelum terjatuh,” katanya.

berita harian/-

Gurauan mati jadi kenyataan

29 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH: “Malam semalam (kelmarin) dia tanya sambil bergurau, adakah saya akan berkahwin lain jika dia meninggal dunia.

“Saya tidak sangka gurauan itu menjadi petanda dia akan pergi buat selamanya,” kata Rokiah Ibrahim, 45, apabila suaminya, Zulfelkeri Johan, 52, maut dalam kemalangan membabitkan dua lori dalam kejadian di simpang tiga Tok Bali, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga pemborong sayur menaiki lori satu tan dipandu rakannya, Abdul Bahrin Yaacob, 31, sebelum kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori lima tan yang cuba memasuki simpang.

Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Rokiah berkata, arwah sempat berbual bersama sambil bercakap mengenai kematian dengannya.

Katanya, dia tidak mengambil serius mengenai perbualan arwah, namun menjawab tidak akan berkahwin lain sekiranya suaminya itu sudah tiada.

“Namun, saya terkejut gurauan itu membawa kepada berita buruk apabila dimaklumkan mengenai kemalangan ini,” katanya.

Katanya, suaminya keluar dari rumah mereka di Pasir Tumboh kira-kira jam 5 pagi untuk menghantar bekalan sayur di Kuala Terengganu.

“Saya tersentak selepas menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Anis (HTA), di sini.

Rakan mangsa, Abdul Bahrin turut cedera parah dalam kejadian itu dan dihantar ke hospital sama, manakala seorang lagi pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

metro/-

Remaja maut bawah treler

29 Rejab 1433H. [MOD] -

LEMBAH BERINGIN - Kegembiraan sembilan sahabat untuk berkelah bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi parah setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 415.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Ipoh berhampiran susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin di sini, semalam.

Mereka yang berkonvoi lima motosikal difahamkan bergesel sesama sendiri sebelum mangsa dikenali sebagai, Muhammad Ammarul Asyraf, 19, terjatuh dan digilis treler.

Saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa sebelumnya menunggang motosikal dengan membonceng seorang rakannya bersama empat lagi motosikal lain.

“Mereka dikatakan nak pergi berkelah di sebuah resort di Kalumpang tidak jauh dari sini.

“Setibanya di laluan ini motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan motosikal rakannya lalu terjatuh dan ketika itu sebuah treler yang datang dari belakang menggilis mangsa dan diseret kira-kira 100 meter,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi itu turut menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah.

Katanya, mangsa yang berasal dari Pandamaran, Klang, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala rakannya yang parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kalumpang.

Menurut saksi itu lagi, mangsa seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Cawangan Klang.

Sementara itu, sumber awam memberitahu treler terbabit dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Sungai Petani, Kedah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendah Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Sinar Harian

'Lapah' kereta tepi jalan

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Kehadiran sebuah kereta mewah jenis Mitsubishi Lancer Evo 5 yang tersadai tanpa enjin dan keempat-empat tayarnya di tepi Jalan Pintasan Kuantan menghala ke pelabuhan berhampiran simpang Balok Baru di sini menimbulkan tanda tanya pengguna laluan itu, pagi kelmarin.

Persoalan itu bagaimanapun terjawab apabila semakan polis mendapati kenderaan itu adalah sebuah kereta curi yang dilaporkan hilang di Semambu, sehari sebelumnya.

Sinar Harian difahamkan kereta itu dibawa pencuri dipercayai lebih daripada seorang ke kawasan tersebut sebelum melerai dan komponen termasuk enjin dan keempat-empat tayarnya dilarikan.

Lebih mengejutkan, pencuri bertindak berani apabila melakukan kerja-kerja meleraikan komponen itu di tepi jalan sedangkan laluan tersebut sentiasa ada kenderaan terutama kenderaan berat walaupun awal pagi.

Wartawan Sinar Harian yang ke lokasi kira-kira jam 9 pagi semalam selepas dihubungi seorang pengguna jalan mendapati kereta tersebut ditinggalkan dalam keadaan tidak cukup sifat bagaimanapun bahagian dalam kereta tidak diusik dan tiada kesan cermin dipecahkan.

Pencuri menggunakan empat jek untuk mengangkat kereta itu sebelum mencabut kesemua tayarnya manakala alat yang digunakan itu ditinggalkan bersama kereta tersebut.

Sinar Harian difahamkan penemuan kereta tersebut dimaklumkan kepada pemiliknya sebelum kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azmi Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Sinar Harian

Buruh warga Indonesia dipenjara enam bulan

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang buruh warga Indonesia yang masih mahu menetap di negeri ini walaupun menyedari pasportnya sudah tamat tempoh, akhirnya membawa padah.

Dia akhirnya ‘terperangkap’ dalam satu sekatan jalan raya yang dijalankan polis pada 9 Jun lalu.

Lebih malang, dia yang didapati menetap di sini lebih masa, dijatuhi hukuman penjara enam bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam. Tertuduh, Misan, 24, dari Jawa Timur, Indonesia, mengaku menetap di negara ini setelah tamat tempoh sah pas tersebut tanpa sebab munasabah, semasa ditahan dalam satu sekatan jalan raya berhampiran Pejabat Haiwan, di Jalan Ayer Putih, Kemaman, 9 Jun lalu, kira-kira jam 12.10 pagi.

Dengan itu, dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sinar Harian

Padah mandi sungai

29 Rejab 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Keriangan sekumpulan kanak-kanak mandi di Sungai Golok, dekat Kampung LimauPurut petang kelmarin berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Muhammad Azri Mustakim, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Rahmat di sini dikatakan keluar mandi bersama rakan-rakannya tanpa pengetahuan datuk dan neneknya.

Mangsa dipercayai hanya sempat mandi seketika sebelum hilang dibawa arus Sungai Golok itu.

Ketika operasi mencari mangsa, penduduk menggunakan pukat bagi mengesan mangsa dan usaha itu membuahkan hasil apabila mayat mangsa ditemui kira-kira 7.15 malam kelmarin tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang.

Datuk mangsa, Mat Salleh Awang Soh,70, berkata, dia hanya sedar cucunya tidak ada di rumah setelah bangun dari tidur petang semalam dan tidak menyangka cucunya akan bangun awal.

Sebelum kejadian dia sempat melihat arwah bermain dengan cucunya berusia lima bulan di kediamannya.

Menurutnya, selepas itu dia bertanyakan cucu-cucunya yang lain mengenai Muhammad Azri namun tidak seorang pun tahu tempat arwah berada ketika itu.

“Selepas menyedari dia tidak ada di rumah, saya bertanyakan jiran tetapi tidak seorang pun tahu di mana cucu saya berada ketika itu sehinggalah penduduk kampung datang memaklumkan dia lemas selepas saya ulang Sembahyang Asar.

“Selepas dimaklumkan tentang kejadian, saya terus ke sungai bagi melihat keadaan tempat cucu saya dilaporkan lemas bersama penduduk kampung,” katanya kepada Sinar Harian, petang kelmarin.

Mat Salleh berkata, dia kemudian memaklumkan kejadian kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan perubahan sikap sebelum meninggal cuma dia tidak mahu mengaji al-Quran pada malam kejadian.

“Kebiasaannya saya bawa dia ke surau sembahyang Maghrib berjemaah, selepas itu saya mengajar mengaji, tetapi malam itu dia terus pulang ke rumah menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen memandangkan dia begitu minat bola.

“Saya pasrah dengan kehilangan arwah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga mayatnya ditemui,” katanya.

Nenek mangsa, Esah Mat Nor,60, berkata, sekiranya mengetahui arwah hendak ke sungai, dia melarangnya kerana arwah sentiasa akur dengan larangannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat itu lemas ketika mandi manda bersama tiga lagi rakan di Pengkalan Awang, Kampung Limau Purut dalam kejadian, 5.30 petang kelmarin.

"Dia ditemui dua jam kemudian oleh pasukan mencari Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada pukat berdekatan lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut mandi bersama rakan namun malang tidak berbau apabila mereka mandi di kawasan pasir jerlus.

“Pangkalan Awang yang berhampiran Sungai Golok memang aktif dengan aktiviti mengorek pasir pihak berkenaan di negara jiran. Tempat kejadian memang bahaya kerana di dasar sungai ada pasir jerlus. Mangsa tidak dapat diselamatkan kerana ia berlaku dengan pantas,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mereka berempat mandi di tempat yang sama namun tiga rakan lagi dapat menyelamatkan diri.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat," katanya.

Sinar Harian