19 Jun 2012

Minta Indonesia kawal pembakaran hutan

29 Rejab 1433H. [MOD] -

PEMANDANGAN pusat bandar raya Kuala Lumpur yang menunjukkan keadaan jerebu semakin berkurangan.

KUALA LUMPUR - Seorang penyokong kerajaan meminta kerajaan Malaysia mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Indonesia untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal pembakaran hutan yang menjadi punca jerebu berlaku pada saban tahun.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, walaupun pencemaran alam yang berpunca daripada titik panas di negara jiran itu berlaku hampir setiap tahun tetapi ia masih tiada jalan penyelesaian dan akibatnya tahap kesihatan rakyat Malaysia terjejas akibat terdedah kepada jerebu.

Beliau berkata, melalui pemantauan Jabatan Alam Sekitar dan kajian antara empat ke lima tahun kebelakangan ini, didapati kemungkinan titik panas itu adalah di kawasan hampir sama.

"Apabila kita tahu di mana kawasan titik panas itu, apakah masalah untuk kita minta supaya penguatkuasaan dapat ditingkatkan di kawasan yang dikenal pasti sebagai areas prone to hotspot, areas prone to open burning.

"Kalau tidak, kita akan sentiasa menerima sahaja alasan bahawa kawasan itu terlalu luas tetapi kalau kita buat mapping mengenai titik panas yang menjadi punca jerebu yang datang ke Malaysia, saya yakin kita boleh bantu pihak penguasa Indonesia membuat siasatan terhadap kawasan yang cenderung kepada titik panas itu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

kosmo/-

Tiada ulasan: