19 Jun 2012

Restoran kotor diarah tutup

29 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Akibat tidak menitikberatkan aspek kebersihan malah tahap kebersihan yang dicapai juga di bawah 70 peratus, sebuah kedai makan di pekan Masjid Tanah diarahkan tutup sehingga ia dipastikan bersih seperti sediakala, tengah hari semalam.

Difahamkan, kedai milik warga asing berstatus penduduk tetap yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu itu dikatakan mendapat pengiktirafan tiga bintang daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sebagai kedai makanan segera paling bersih.

Namun, aduan demi aduan diterima daripada pelanggan mendapati keadaan persekitaran kotor apabila makanan dikerumuni lalat dan langau hijau malah bau busuk disebabkan sisa bahan makanan yang dibuang begitu meloyakan dan hanyir.

Pelanggan, Nurul Ashikin Mohd, 27, berkata, dia mengunjungi kedai makan itu bersama keluarganya namun terkejut melihat persekitaran kedai yang kotor dan berlendir selain makanan terdedah. Menurutnya, ketika memilih makanan, dia menemui beberapa ekor lalat yang sudah mati di celahan ayam goreng.

"Saya terus hilang selera makan sebelum memaklumkan kepada pemilik kedai makan tersebut. "Selang beberapa hari selepas itu, saya datang lagi ke kedai itu semula untuk bersarapan pagi, namun keadaan tetap sama malah lebih teruk apabila kelihatan ada beberapa ekor kucing kurap menghuni kedai makan itu," katanya.

Bertindak atas maklumat, 10 anggota Penguatkuasa Majlis PerbandaranAlor Gajah (MPAG) bersama Jabatan Kesihatan Daerah Alor Gajah menyerbu kedai berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari semalam. Yang Dipertua MPAG, Kamaruddin Md Shah berkata, selepas membuat pemeriksaan, kami dapati dakwaan pengadu terbukti kebenarannya dan tidak teragak-agak untuk mengarahkan kedai berkenaan ditutup.

Menurutnya, mereka mendapati tahap kebersihan yang dicapai kedai itu yang sudah dibuka pada September 2010 kurang 70 peratus yang mana ia berada pada tahap kotor sepertimana didakwa pelanggan. “Pemeriksaan di bahagian bawah kedai makan mendapati keadaan lantai dan persekitarannya berlendir termasuk sistem saliran paip tersumbat teruk hingga menimbulkan bau busuk akibat pengumpulan sisa makanan yang mengalir keluar melalui paip ke dalam tapis yang diletakkan.

“Malah bahagian tepi kedai di kaki lima itu diletakkan meja penebar roti canai yang didakwa sudah tidak digunakan lagi, namun ruangan tepi meja berkenaan diletakkan tong untuk dimasukkan pinggan mangkuk dan gelas kotor berhampiran meja makan pelanggan,” katanya.

Kamaruddin berkata, pemeriksaan diteruskan di tingkat atas kedai makan berkenaan mendapati setiap sudut dinding kedai itu dipenuhi sawang manakala dapur di bahagian atas pula penuh dengan lipas berkeliaran termasuk di dalam peti sejuk yang diletakkan barang basah.

“Kesan dari memasak juga mengakibatkan bumbung zink luar di tingkat atas menjadi hitam dan rosak selain banyak lipas berkeliaran. “Dua kompaun dikeluarkan atas kesalahan premis dan kenderaan di belakang kedai yang mengganggu laluan.

Premis diarah tutup selama 14 hari sehingga keadaan benar-benar bersih seperti sediakala,” katanya di sini, semalam.

sinar harian/-

Tiada ulasan: