17 Disember 2011

Dua gempa kuat landa Puerto Rico

21 Muharram 1433H.[MOD] -

SAN JUAN (Puerto Rico): Dua gempa bumi kuat dengan kekuatan 5.1 dan 5.3 magnitud melanda Puerto Rico dalam tempoh selang tiga minit, hari ini.

Gempa pertama jam 2 pagi(waktutempatan) menggegarkan barat Pulau Passage Mona.

Satu gempa susulan yang lebih kecil dilaporkan beberapa minit kemudian.
Tiada kerosakan dilaporkan buat masa ini. - AP

Dato’ Harun Taib : “Jauhi Tuduh Menuduh dan Kita Sayang Kepada Semua Ahli Kita”

21 Muharram 1433H. [MOD] -

Kuala Lumpur, 17hb Dis 2011. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Dato’ Hj. Harun Taib meminta agar semua ahli PAS tidak tuduh menuduh di antara satu sama lain sesama ahli jamaah kerana kita sayang kepada semua ahli kita tanpa membezakan di antara satu sama lain.

Demikian tegas beliau ketika mengulas tentang perkembangan terkini PAS sepertimana yang hangat diperkatakan oleh media massa sejak mutakhir ini.

"Menyayangi ahli kita adalah satu tanggungjawab syar'ie dan kita hendaklah berusaha agar mereka tidak lari daripada ikatan jamaah Islam, usaha ke arah menyayangi mereka dan 'mengekal'kan mereka dalam jamaah adalah satu yang wajib dilakukan dalam hidup berjamaah, ini adalah prinsip perjuangan PAS yang bersandarkan kepada ajaran Islam" ujar beliau lagi yang juga merupakan Adun Manir.

“Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mencari ahli untuk menambahkan keahlian PAS, maka sudah tentu kita bertanggungjawab di sisi Allah untuk menjaga ahli dan menyayangi mereka sebagai ahli jamaah sepertimana yang terkandung dalam dalam prinsip perjuangan kita yang berdasarkan kepada tuntutan Islam” tegas beliau lagi.

3 maut menjelang pengiraan undi terakhir pilihan raya Mesir

21 Muharram 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Sekurang-kurangnya tiga maut manakala 257 lagi cedera selepas kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis semalam menjelang pengiraan undi peringkat akhir pilihan raya Mesir.

Stesen televisyen melaporkan, pertempuran berterusan sepanjang malam di jalan raya yang berdekatan dengan bangunan kerajaan dan Perlimen.

Dua daripada tiga yang terbunuh itu dilaloprkan ditembak mati, kata seorang pegawai kesihatan. - AFP

Ribut Tropika Washi ragut 14 nyawa di selatan Filipina

21 Muharram 1433H. [MOD] -

MANILA: Ribut Tropika Washi mengganas di selatan Filipina hari ini, mengakibatkan banjir teruk dan mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa.

Sementara itu, 20,000 tentera Filipina dikerahkan untuk membantu kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa di pulau besar selatan Mindanao, kawasan paling teruk terjejas, kata Pegawai Pertahanan Awam, Benito Ramos kepada agnesi berita AFP.

"Ribut bergerak dengan perlahan di kawasan berkenaan menyebabkan hujan turun dengan lebat dan mengakibatkan banjir besar,” katanya yang juga Pengarah Eksekutif Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan. - AFP

Gempa bumi sederhana 5.5 magnitud gegar Kepulauan Jawa

21 Muharram 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 5.5 magnitud menggegarkan barat Kepulauan Jawa hari ini, lapor Agensi Geofizik dan Meteorologi.

Gegaran itu berlaku pada jam 6.17 pagi (waktu tempatan) dengan pusat gempa bumi di 636 kilometer barat daya Ujungkulon, wilayah Banten dan kedalaman 10 kilometer di bawah dasar laut, kata pegawai agensi hari ini.

Tiada kecederaan atau amaran tsunami dilaporkan. - BERNAMA

Kepada siapa hala muncung senjatamu

21 Muharram 1433H. [MOD] -
Tuan Ibrahim Tuan Man

Peperangan bukan sahaja mengadu kekuatan pasukan berhadapan dengan musuh, tetapi apa yang lebih penting ialah musuh perlu dikalahkan dengan apa cara sekalipun.

Di zaman kuno, sebaik-baik peperangan ialah peperangan yang dimenangi tanpa menggunakan seorang askar pun – taktik minda, tulisan sebenarnya jauh lebih tajam daripada pedang mahupun keris.

Keupayaan mengalahkan musuh melalui senjata mereka atau mengelirukan mereka merupakan kaedah terbaik, sehingga musuh sudah lagi dapat membezakan siapa sahabat dan siapakah musuh dan akhirnya membenamkan diri sendiri.

Strategi mengelirukan ini menyebabkan musuh akan menembak kawan mereka sendiri bahkan tidak mustahil ia sanggup menghalakan mungcung senjata kepada diri sendiri; terutama bilamana wujud kekeliruan luar biasa dalam diri. Inilah yang menyebabkan berlaku bunuh diri disebabkan wujudnya desakan dalaman agar menamatkan musuh yang sentiasa membisikkan dalam diri sendiri.

“Bunuh dia, agar kamu lepas dari bebanan ini” - lalu ia akan bertindak bukan membunuh musuh sebenarnya, kerana musuh itu tidak akan mati, tetapi ia bunuh dirinya.

Dalam detik perjuangan yang semakin genting, harus diingatkan musuh akan melakukan pelbagai cara untuk menimbulkan suasana huru hara dan konflik dalaman pasukan musuh, sehingga mereka sanggup menghalakan senjata kepada kawan sendiri. Teknik ini seringkali diguna oleh pelbagai agen sehingga berlaku pertembungan dalam pasukan.


Untuk berhadapan dengan konflik ini, setiap kita mesti menyedari plot sesuatu perkara, kerana modus operandi mereka hampir sama. Apa yang paling malang, bilamana wujudnya pengaruh besar dalam diri (senangnya ‘ego diri’) sehingga mereka sangat yakin bahawa tindakan mereka itu adalah betul dan semua tindakan yang lain adalah salah. Kekeliruan luarbiasa ini berlaku sehingga apa jua yang dinyatakan terus ditolak dan dianggap mengarut.

Hal ini terjadi adalah disebabkan kelewatan mengenali punca berlakunya konflik dalaman atau sikap membiarkan konflik tersebut tanpa mengambil sebarang usaha mengatasinya.

Lebih malang apabila konflik yang sepatutnya dicari jalan penyelesaian baik, diurus dengan emosi amaran dan provokasi melampau, seolah-olah tiada jalan keluar melainkan dengan perisytiharan konfrantasi terbuka.

Rakan-rakan yang dikelirukan dan terkeliru dan dirumitkan keadaan kerana ego mereka yang tinggi, kadang-kadang diperlukan satu genjatan tajam untuk menyedarkan mereka bahawa mereka terperangkap dalam agenda musuh.

Persoalan utama ialah apakah muncung senjata itu dihadapkan kepada musuh, bukan kepada rakan sepasukan apatah lagi kepada diri sendiri. Perjuangan ini jauh dan mempunyai banyak halangan sebagaimana dinyatakan oleh Allah. Kalau ia jauh, tentu dengan kemampuan diri tidak akan mampu melainkan perlunya kesinambungan perjuangan oleh barisan pelapis yang baru.

Barisan pelapis ini akan tetap ada dalam sejarah perjuangan Islam ini, namun bukan bermakna kita tidak perlu mempedulikan apa yang ada, kerana mata rantai perjuangan perlu bersambung, bukan terputus sehingga perlu diikat kembali.

Demikian juga mehnah dalam perjuangan Islam ini datang dalam pelbagai bentuk, terkadang bukan untuk menguji orang yang berhadapan dengan mehnah itu, tetapi untuk melihat sejauh mana kita berusaha membantu rakan yang ditimpa mehnah itu.

Di sinilah, lahirnya nikmat persaudaraan dalam perjuangan Islam. Dalam perjuangan yang sengit ini, tiada sepatutnya wujud individu yang boleh memeras ugut jamaah ataupun merasakan dirinya ‘tinggi’ sehingga tidak boleh ditegur. Bak kata Inggeris, “No one is indespensible.”

Bilamana kita berada dalam jamaah, kita mesti sedar bahawa pandangan jamaah lebih baik dari pandangan peribadi, apatah lagi menganggap jamaah tidak memelihara perjuangan Islam, atau lari dari prinsip Islam. Semoga Allah memelihara perjuangan ini dan memberi kesabaran di atas mehnah sedikit ini. Amin.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Disember 2011

China Negara Pengguna Video Dalam Talian Paling Banyak di Dunia

21 Muharram 1433H. [MOD] -

Jumlah pengguna video dalam talian China dijangka mencapai 394 juta orang pada tahun ini. Ini bermakna China akan menjadi negara pengguna video dalam talian paling banyak di dunia.

Ketua Pengarah Biro Kawalan Program Video Internet Jabatan Pentadbiran Am Radio, Filem, dan Televisyen Nasional China, Luo Jianhui menyatakan demikian dalam Forum Industri Audiovisual Internet China 2011 di Shanghai semalam.

Menurut beliau, sebagai "usaha baharu", industri audiovisual dalam talian menjadi komponen penting dalam kebudayaan internet yang sihat. China akan berusaha meningkatkan perkembangan media baharu internet .

Polis Mesir serbu khemah aktivis

21 Muharram 1433H. [MOD] -

PENUNJUK perasaan cuba merempuh masuk bangunan Jabatan Perdana Menteri di tengah Kaherah, semalam. - Foto EPA
PENUNJUK perasaan cuba merempuh masuk bangunan Jabatan Perdana Menteri di tengah Kaherah, semalam. - Foto EPA

Pasukan keselamatan usir penunjuk perasaan ancam cetus keganasan

KAHERAH: Pasukan keselamatan Mesir menyerbu khemah yang didirikan di luar bangunan Kabinet negara itu semalam, bagi mengusir penunjuk perasaan yang mendesak ditamatkan pemerintahan tentera, ketika pegawai mula mengira undi pilihan raya Parlimen pusingan kedua semalam.
Pertempuran meningkatkan ketegangan antara aktivis dan pegawai keselamatan serta mengancam mencetuskan pusingan baru keganasan selepas dua hari pengundian yang aman dalam pilihan raya yang dianggap paling bebas dan adil dalam sejarah moden negara itu.
Pergaduhan tercetus apabila penunjuk perasaan berkhemah di luar bangunan Kabinet, menuntut pemerintahan tentera negara itu memindahkan kuasa dengan segera kepada pihak berkuasa awam.

Seorang penunjuk perasaan mengirim gambar online seorang penunjuk perasaan wanita dipukul dalam pertempuran itu manakala yang lain berkata mereka ditahan oleh polis tentera. Tidak dapat dipastikan berapa ramai penunjuk perasaan masih berada dalam tahanan polis.

Aktivis, Hussein Hammouda berkata tentera bertindak balas dengan melempar batu dan menyembur air dari dalam pagar bangunan itu.

“Ketegangan antara penduduk dan pasukan keselamatan amat teruk dengan sedikit saja masalah boleh mencetuskan pertelagahan besar. Tiada lagi kepercayaan antara mereka,” katanya.
Tentera mengambil alih kuasa daripada Presiden Hosni Mubarak yang disingkirkan dalam revolusi Februari lalu. Kumpulan hak dan aktivis mendakwa tentera menjalankan amalan rejim lama, termasuk menahan dan memukul pembangkang.

Penunjuk perasaan berkata, pertempuran bermula petang kelmarin selepas tentera memukul teruk seorang lelaki muda yang mengambil bahagian dalam demonstrasi itu.

Beratus-ratus orang bergegas menyertai bantahan itu selepas video dan gambar online menunjukkan orang ramai mengusung lelaki yang cedera itu. Gambar menunjukkan muka dan matanya lebam serta bengkak, kepalanya dibalut dan darah menitis dari hidung.

Saksi menuduh polis tentera menarik lelaki terbabit dari lokasi tunjuk perasaan dan memukulnya di dalam Parlimen, berhampiran ibu pejabat Kabinet. Kemudian penunjuk perasaan membaling batu dan bom api ke arah polis tentera.

Aktivis Hussein Hammouda berkata, tentera memberi tindak balas dengan membaling batu dan mensasarkan meriam air dari dalam pagar berhampiran bangunan Parlimen.

“Ketegangan antara orang ramai dan pegawai keselamatan amat tegang sehingga apa saja boleh menyemarakkan keadaan itu. Tiada kepercayaan antara kedua-dua pihak,” kata Hammouda yang berhenti dari jawatan sebagai anggota polis pada tahun 2005 untuk membantah amalan pasukan keselamatan itu.

Agensi berita Mesir melaporkan, sekurang-kurangnya empat cedera dibawa ke hospital berhampiran dan kebakaran berlaku di bangunan kerajaan berhampiran akibat pertempuran itu. Stesen televisyen menyiarkan imej polis berpakaian biasa membaling batu ke arah penunjuk perasaan dari bangunan Parlimen. – AP

Lelaki dipenjara ugut bunuh Obama

21 Muharram 1433H. [MOD] -

Mississippi 17 Dis. - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan kerana mengugut untuk membunuh Presiden Barrack Obama dan meletupkan hospital yang menolak melakukan pembedahan kepada isterinya.

David Williams ditahan pada Julai lalu selepas Pusat Perubatan Unuversiti Mississippi membuat laporan polis tentang ugutan tersebut.

Dia mengaku bersalah pada 31 Ogos.

William menelefon hospital untuk mengaturkan pembedahan isterinya. Apabila diberitahu ia tidak dapat dilakukan, Williams mengugut untuk meletupkan hospital dan membunuh presiden. - AGENSI

Bill Gates umum dana RM96j penyelidikan penyakit

21 Muharram 1433H. [MOD] -

MONTREAL 17 Dis. - Yayasan Bill dan Melinda Gates bersama sebuah pertubuhan tidak berkepentingan (NGO) Kanada semalam mengumumkan dana berjumlah RM96 juta ($32 juta) bagi tujuan penyelidikan penemuan dan pembangunan bagi mengesan penyakit di negara-negara membangun.

Tujuan utama projek tersebut bagi mengesan dan merawat penyakit secara serta-merta di kawasan terpinggir negara mundur dan berpotensi menyelamatkan lebih banyak nyawa tanpa menunggu lebih lama.

“Bayangkan sejenis alat ringkas berkuasa bateri yang boleh mengambil darah dan dalam masa beberapa minit memberi keputusan bahawa kanak-kanak yang sedang demam itu mengalami malaria, denggi atau jangkitan bakteria,” kata ketua Grand Challenges, Peter Singer yang berkerjasama dengan pengasas Microsoft, Bill Gates dalam menjayakan projek tersebut.

Yayasan Gate’s menyumbangkan RM63 juta ($21.1 juta) sepanjang tiga tahun lalu untuk penyelidikan tersebut manakala Grand Challenges, yang didokong oleh kerajaan Kanada menyumbangkan RM32 juta ($10.8 juta). - AFP

Presiden Syria didesak letak jawatan

21 Muharram 1433H. [MOD] -

WARSAW 17 Dis. - Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan Libya semalam mendesak Presiden Syria melepaskan jawatan dengan alasan rakyat negara itu berhak menentukan masa depan mereka sendiri.

Mustafa Abdul-Jalil berkata, Presiden Bashar al-Assad patut mencari jalan damai keluar daripada krisis dalam negaranya, yang telah lama menderita akibat tindakan rejim itu.

Beliau bagaimanapun mempertikai tindakan Assad yang ingin menyertai pilihan raya bagi melihat sama ada rakyat Syria menerimanya.

“Jika benar rakyat Syria bersedia memilih Assad, biarkan ia berlaku,” kata beliau dalam satu persidangan pembangunan di bandar ini. - AGENSI

Perjalanan terakhir seorang negarawan

21 Muharram 1433H. [MOD] -
http://bumiperak.blogspot.com

IPOH 14 Dis: Abdul Majid Salleh atau lebih dikenali sebagai Pak Imam Majid Salleh telah kembali kerahmatullah awal pagi tadi di rumah anaknya Kampung Sengat, Simpang Pulai pada usia 88 tahun.

Allahyarham dilahirkan di Kampar Perak pada tahun 1923, pernah aktif dalam Angkatan Pemuda Insaf dan Persatuan Kebangsaan Melayu Muda bersama tokoh-tokoh ternama seperti Dr Burhanuddin al Hilmy, Ahmad Boestamam dan seluruh pejuang kemerdekaan yang tulen yang lain dalam menentang British sehingga beliau ditahan dan dipenjarakan.

Seawal pada 17 Oktober 1945, beliau telah menubuhkan cawangan pertama PKMM di Simpang Ampat, Kampar, Perak sebagai ahli jawatankuasa. Kemudian beliau telah berpindah ke negeri Johor untuk melebarkan pengaruh PKMM. sehingga berkembang ke seluruh daerah di Johor. Seorang pejuang kemerdekaan yang berani menentang penjajahan Inggeris sehingga beliau dipenjarakan oleh Inggeris selama tujuh tahun di Singapura.

Dengan kebolehan berbahasa Inggeris, Mandarin dan juga bahasa Arab, beliau pernah ditawarkan jawatan dalam kerajaan tetapi menolaknya kerana tidak sesuai dengan perjuangannya.

Selain itu beliau juga pernah menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Gopeng pada tahun 80an dan juga pernah bertanding dalam Pilihanraya menentang presiden MCA Tan Kon Swan pada tahun 1986 di Parlimen Gopeng.

"Pemergian Allahyarham Abdul Majid Salleh merupakan kehilangan besar pejuang rakyat sewajar dicontohi pengorbanan dan semangat juang Pak Imam Majid terutamanya generasi muda.

"Semoga Allah SWT meletakkan rohnya bersama para An’biya, Syuhada’ dan Solihin," katanya.