04 Mac 2013

Manifesto: Pakatan Rakyat tidak pinggir OKU

21 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -





KUALA LUMPUR: Sekretariat Orang Kelainan Upaya (OKU) Bangkit menyerahkan draf manifesto kumpulan itu kepada Ketua Pembangkang untuk perhatian Pakatan Rakyat.

Draf manifesto yang dinamakan 'Pakatan Harapan OKU' itu turut ditandatangani Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan diperhatikan pengerusi sekretariat, Mohd Faizal Che Yusof.

Dalam forum yang dianjurkan sekretariat tersebut, semalam, golongan tersebut meluahkan harapan mereka terhadap Pakatan Rakyat sekiranya berjaya mengambil-alih kerajaan selepas Pilihan raya Umum ke-13 akan datang.

Apa yang diharapkan mereka ialah Pakatan Rakyat bersedia mewujudkan pembangunan OKU secara menyeluruh di negara ini.

Justeru, mereka mengharapkan satu klausa khusus berkaitan pembangunan OKU secara menyeluruh dimuatkan dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Forum tersebut turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Hanipa Maidin; Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr. Mariah Mahmud yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat; dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Sementara itu, Anwar yang hadir di penghujung forum, memberi jaminan bahawa golongan OKU tidak akan terpinggir dari perhatian Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, tiada guna Pakatan Rakyat bercakap soal keadilan sekiranya nasib golongan OKU tidak mendapat perhatian beliau.

Anwar juga berkata janji Pakatan Rakyat ini menjurus kepada satu janji untuk keadilan kepada semua, sama ada golongan OKU, orang Penan, dan juga yang terpinggir.

Forum yang bermula jam 10 pagi itu berakhir jam 2 petang selepas Anwar menerima draf manifesto OKU.

HARAKAHDAILY/-

Tidak benar syarikat RM2 jalankan projek RM6.3b

21 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
 

GEORGE TOWN: Setiausaha Kerajaan dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus dan Datuk Mokhtar Mohd Jait menjelaskan adalah tidak benar projek RM6.3 bilion akan dijalankan oleh syarikat RM2.

Menurut mereka, sebenarnya modal berbayar keseluruhan untuk keempat-empat syarikat yang menjalankan tiga projek utama adalah sebanyak RM4,549.2 juta.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan masing-masing, kami rasa kesal bahawa proses pemilihan tender yang dijalankan secara terbuka dan telus untuk 3 lebuhraya utama daripada Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (LCE) Persiaran Gurney ke Lebuhraya LCE dan sebuah terowong bawah dasar laut daripada Persiaran Gurney dan Bagan Ajam telahpun dipersoalkan oleh pihak tertentu,” ujar mereka dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kata mereka, kos projek itu dianggarkan oleh kerajaan sebanyak RM8 bilion tetapi selepas proses tender terbuka secara kompetitif dijalankan sejak 14 November 2011, surat niat telah dikeluarkan pada 6 Februari lalu dengan harga lebih rendah iaitu sebanyak RM6.3 bilion, yang terendah di antara semua pembida yang diterima.

“Projek ini agak tersendiri dan unik kerana kos RM6.3 bilion dibiayai bukan dengan bayaran wang tunai tetapi menerusi land swap sebanyak 110 ekar di tanah tebus guna di Tanjung Pinang,” ujar mereka lagi.

Menurut mereka, mmandangkan bayaran dibuat menerusi land swap dan bukan secara bayaran wang tunai, maka adalah perlu kontraktor berpakaran bekerjasama dengan pemaju.

Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd adalah sebuah special purpose vehicle (SPV) yang merupakan konsortium usahasama di antara syarikat kontraktor berpakaran dengan pemaju seperti berikut:-
  • Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd sebanyak 70% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM3.5 juta dan RM4 bilion masing-masing;
  • Beijing Urban Construction Group 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM541 juta;
  • Sri Tinggi Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM3.7 juta; dan
  • Juteras Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM1 juta.
Justeru, jelas mereka keseluruhan modal berbayar keempat-empat syarikat adalah RM4,549.2 juta yang memenuhi kriteria kerajaan negeri yang meletakkan modal berbayar minima RM381 juta.

HARAKAHDAILY/-

Kematian anggota PDRM : Tidak cukup naik pangkat, cadang keluarga tuntut gantirugi

21 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Saya tertarik untuk memberi kenyataan mengenai kejadian dan isu Pencerobohan Di sabah ( Lahat Datu dan Semporna) yang menyebabkan kematian anggota PDRM :

1. Kerajaan Malaysia perlu menyelesaikan secara bijaksana berdasarkan Undang-undang negara dan antarabangsa  bagi mengelak berlakunya kematian yang lebih ramai.

2.Saya berpandangan isu pencerobohan negara Ialah isu keselamatan negara yang perlu ditangani oleh ATM bukannya pihak PDRM dan ianya di bawah tanggung jawab  Menteri Pertahanan.
Seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

3. Ketenteraman awam adalah di bawah Peranan PDRM  dan menjadi tanggongjawab Menteri Dalam Negeri. Isu di sabah bukannya isu ketenteraman awam namun ianya melibatkan soal keselamatan negara.

4.Oleh itu kematian yang berlaku saya sifatkan  adalah disebabkan kecuaian dan kelalaian serta ketidak pertanggung jawaban dalam melaksana perintah dan arahan mengikut undang-undang yang sedia ada.

5. Oleh itu saya mencadangkan kepada pihak keluarga yang terlibat untuk menuntut hak dari segi Undang-undang dengan menuntut gantirugi dan pampasan serta menyaman pihak Kerajaan Malaysia. Mereka tidak harus telah berpuas hati dengan anugerah kenaikan pangkat yang diumumkan.

6.Keluarga mangsa adakah Ibu/Bapa dan ahli keluarga mestilah mengambil  tindakan Sivil mengikut Undang-undang dan Hak Asasi Manusia yang diperuntukkan.

7.Salam setiap  kali insiden besar sering berlaku krisis antara Menteri Pertahanan Dan Menteri Dalam Negeri. Budaya ini perlu dihentikan dengan segera.

8. Oleh itu saya mendesak Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri mengambil tanggung jawab penuh atas insiden yang memalukan ini dengan meletak Jawatan dengan segera. Isu Keselamatan negara bukan perkara mainan.

Kenyataan Media.
4 Mac 2013

YB. Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong