12 September 2012

'P'raya DUN S'gor tidak serentak dengan PRU13'

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dijalankan secara berasingan daripada pilihan raya umum - memecahkan tradisi lama dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

NONE
Majlis Presiden Pakatan Rakyat membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya hari ini, dengan memetik "masalah yang tidak dapat diselesaikan" pada senarai pemilih di negeri itu yang dikatakan termasuk ribuan pengundi yang diragui.

Majlis itu juga mungkin mempertimbangkan permohonan Pulau
Pinang untuk mengadakan pilihan raya DUN berasingan, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mereka bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya nasional kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membersihkannya.

Menurut Anwar, terdapat ratusan ribu pengundi yang diragui yang berdaftar di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) dan Pulau Pinang, dan pihaknya memandang berat perkara itu kerana SPR gagal memberi reaksi.

Di Kelantan, kata Setiausaha Agung PAS , Datuk Mustafa Ali, menteri besar telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.

"Bagi Kedah, kita belum mendapat maklum balas daripada menteri besar," katanya.

Malaysiakini/-

Rakyat Mesir protes filem hina Nabi Muhammad

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Penunjuk perasaan Mesir, memanjat dinding kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah Selasa lalu, menuju ke halaman kedutaan dan menurunkan bendera Amerika Syarikat, menggantikan ia dengan bendera hitam dengan inskripsi Islam untuk membantah sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad.

Ratusan penunjuk perasaan berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di tengah bandar Kaherah, berhimpun di luar kedutaan dan melaung-laung membantah filem tersebut, yang menurut laporan diterbitkan Amerika Syarikat.

"Katakan, jangan takut: Duta mereka mesti beredar," laung penunjuk perasaan.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan kemudian memanjat dinding kedutaan, menurunkan bendera dari tiang di halamannya dan membawa bendera tersebut kepada penunjuk perasaan di luar kedutaan.

Penunjuk perasaan mengoyakkan bendera tersebut selepas gagal dalam cubaan awal untuk membakarnya.

Penunjuk perasaan di atas dinding kedutaan kemudiannya menaikkan bendera hitam yang tertulis dua kalimah syahadah: "Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah."

Di Washington, jurucakap Jabatan Negera, Victoria Nuland berkata AS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Mesir untuk memulihkan ketenteraman.

Hampir semua kakitangan telah meninggalkan kedutaan sebelum ia diceroboh, lapor seorang pegawai AS.

Hanya beberapa kakitangan masih berada di dalam kedutaan, kerana pihak keselamatan kedutaan telah menghantar pulang kakitangan ke rumah mereka lebih awal selepas mendapat maklumat tentang protes yang bakal berlangsung.

Keadaan masih tidak stabil, lapor pegawai yang enggan namanya didedahkan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara itu.

Seorang pegawai di kedutaan AS di Kaherah berkata Duta AS tiada di kedutaan pada hari tersebut.

Media Mesir mengatakan filem itu diterbitkan di Amerika Syarikat oleh kumpulan anti-Islam.

Filem tersebut, yang kini terdapat di YouTube, menggambarkan Muhammad sebagai penipu, menunjukkan Muhammad melakukan hubungan seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai.

Protes meletus selepas media Mesir membuat liputan berkenaan filem itu untuk beberapa hari, dengan ulama-ulama turut muncul di kaca televisyen untuk membantah filem tersebut.

harakahdaily/-

Tupai terbang jadi perhatian

25 Syawal 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Kehadiran sejenis haiwan menyerupai tupai menjadikan kediaman Mohd Hafiez Zafri, 18, dikunjungi penduduk kampung, untuk melihat spesies yang tidak diketahui nama sebenarnya itu.

Berikutan itu mereka memanggilnya tupai terbang kerana fizikalnya menyerupai tupai.

Mohd Abdul Hafiez berkata, keunikan haiwan yang belum pernah ditemuinya, membuatkan ada dalam kalangan pengunjung yang berminat dan sedia membelinya.

Menurutnya, setakat ini dia belum membuat keputusan menjual haiwan berkenaan, kerana sedar sukar untuknya menemui binatang tersebut.

Katanya, dia menemui tupai terbang itu ketika ke rumah kawannya di Lubok Jong dua hari lalu.

"Haiwan itu terbang dan hinggap di dinding rumah kawan, apabila melihat fizikalnya agak luar biasa, saya menangkapnya dan membawa pulang

“Setelah saya meneliti fizikalnya, haiwan ini mempunyai bahagian seperti kepak yang membolehkannya terbang, sekali pandang kelihatan seperti tikus,” katanya.

Mohd Hafiez berkata ,sejak membelanya dua hari lalu, haiwan tersebut makan semua jenis makanan seperti pisang dan sayur.

Menurutnya, bagi mengelak haiwan tersebut terlepas, dia mengurungnya dalam sangkar daripada besi.

sinar harian/-

Langat 2: S’gor ada kuasa, MB beri peringatan awal

25 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri mengeluarkan peringatan kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai pembinaan loji rawatan air Langat 2 bahawa projek tersebut masih tidak mendapat kelulusan Selangor.

Oleh itu, pemaju, kontraktor, perunding dan sesiapa yang mengambil bahagian di dalam projek tersebut diingatkan supaya tidak menyalahkan kerajaan negeri apabila perlaksanaan projek itu tergugat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri masih mempunyai kuasa berhubung perlaksanaan projek tersebut walaupun Kerajaan Pusat mahu meneruskannya.

Kuasa Kerajaan Negeri antaranya meliputi kelulusan merancang dan memasuki tapak projek.

“Kita ingin mengingatkan kepada pemaju, kontraktor mahupun Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab sepertimana yang dijamin Perlembagaan dan Kanun Tanah Negara.

“Kerajaan Negeri juga ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri akan menjaga tanggungjawab ini,” jelasnya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco semalam.

Peringatan itu dibuat susulan penyiaran iklan tender Langat 2 di laman web Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) semalam.

Tender tersebut dikeluarkan walaupun projek tersebut masih tidak mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan undang-undang bagi menjelaskan tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengenai projek ini.

“Mereka perlu sedar dan jelas tentang tanggungjawab dan tanggungan mereka akan beberapa perkara apabila berurusan atau berhadapan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Exco Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata sesiapa yang menyertai projek tersebut harus berdepan dengan risiko akibat dari percanggahan pendirian Kerajaan Pusat dan Negeri.

“Andaikata mereka masih ingin menyertai tender, kemudian menang ‘bidding’ namun perlaksanaan tertunggak, jangan datang saman (Kerajaan Negeri).

“Kerana kita sudah memberi penjelasan dan peringatan berkenaan perkara ini,” tegas beliau ketika ditemui.

Kerajaan Negeri sebelum ini tidak bersetuju dengan pembinaan Langat 2, dan mahu ia dirunding bersama dengan rancangan penstrukturan semula industri air Selangor.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji cara meneruskan projek tersebut tanpa kelulusan Selangor.

harakahdaily/-

Sultan Johor Murka, Kementerian Pertahanan Hilang Wibawa

25 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 12 SEPT : Kementerian Pertahanan semakin hilang wibawa berikutan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail menggenai bekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata teguran Sultan Johor itu adalah serius dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak harus lepas tangan dan mesti bertanggungjawab sepenuhnya.

“Apa dah jadi dengan Kementerian Pertahanan di negara ini? Sepatutnya ia menjadi sebuah kementerian yang berwibawa kerana di bawahnya menentukan keselamatan negara.

“Kemurkaan Sultan Johor dikatakan kerana harganya mahal tetapi kelengkapan dibekalkan tidak bermutu. Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang dianugerahkan Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual pihak pembekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris berkata, pembangkang selama ini kerap membuat teguran tetapi sering dibakulsampahkan.

Tambahnya, tabiat buruk kerajaan diterajui Umno-BN itu bukan perkara baru malah sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran negara.

“Jika kita imbas kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana kementerian ini boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta walaupun tanpa baucer. Ini satu misteri sedangkan pegawai kerajaan yang mahu membuat tuntutan perjalanan RM100 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang berlaku itu memang pelik tetapi ada benarnya.

Sebelum ini, negara pernah kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Jika enjin sebesar itu boleh hilang dijual ke luar negara maka sudah tentu wang yang lebih kecil lebih senang hilang,” ujarnya.

Media baru-baru ini melaporkan kemurkaan Sultan Johor atas apa yang berlaku dan bertitah Kementerian Pertahanan harus memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya.

“Dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden, suka saya ingatkan jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi. Tidak dinafikan ramai bekas Jeneral dan pegawai tentera yang bersara menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal peralatan ketenteraan.

“Namun suka saya ingatkan, janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga berlipat kali ganda,” titahnya.

Baginda yang juga Kolonel Komandan pasukan elit Rejimen Gerak Khas bertitah demikian semasa majlis ulang tahun ke-47 pasukan itu di Kem Iskandar, Mersing, Johor.

selangorku/-

Jemaah Haji Boleh Periksa Status Perjalanan Barang Secara Online

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia Berhad bagi penghantaran barang dari Makkah dan Madinah boleh memeriksa status terkini perjalanan barang mereka secara online.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata sistem jejak dan kesan Malaysia itu, pertama kali digunakan dan ia akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

"Jemaah haji akan diberi nombor rujukan dan mereka boleh memeriksa lokasi terkini penghantaran barang mereka menerusi laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat perkhidmatan bagasi haji Pos Malaysia di sini Rabu.

Beliau berkata tiada had bagi jumlah penghantaran barang tetapi setiap barang perlu mematuhi berat maksimum yang ditetapkan iaitu tidak melebihi 30 kilogram.

Caj penghantaran barang jemaah haji ke Semenanjung Malaysia ialah RM14 sekilogram dan RM19 ke Sabah dan Sarawak.

Air zam zam pula dikenakan caj RM115 bagi botol seberat 10 liter ke Semenanjung dan RM135 ke Sabah dan Sarawak.

Mohd Shukrie berkata jemaah haji boleh membuat pembayaran secara tunai di kaunter Pos Malaysia di Makkah dan Madinah atau pembayaran ketika menerima barang di tanah air selain bayaran melalui potongan akaun Tabung Haji.

"Semua barang dijamin akan dihantar ke destinasi masing-masing dalam tempoh 3-14 hari bekerja selepas tarikh ketibaan barang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

"Jemaah haji boleh menginsuranskan barang sehingga nilai maksimum perlindungan RM4,500 bagi setiap konsainan pada kadar premium seminimum 6 Riyal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pos Malaysia menggerakkan seramai 30 petugasnya di Makkah dan Madinah bagi menguruskan proses kiriman barang jemaah haji pada musim ini.

Pos Malaysia juga dijangka akan mengendali kira-kira 200 tan barang jemaah haji termasuk bagasi, bungkusan dan air zam zam musim ini berbanding 150 tan tahun lepas, katanya.

Maklumat lanjut mengenai pengendalian barang jemaah boleh didapati di talian PosLine 1-300-300-300 atau menerusi e-mel di PosLaju.- BERNAMA

Calon PRU13: Pas Pahang serah kepada Presiden parti

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Walau siapa calon yang diputuskan oleh kepimpinan Pas, sokongan padu akan diberikan oleh jentera parti peringat negeri bagi memastikan kemenangan di Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, senarai nama calon bagi negeri itu sudah dihantar tetapi keputusan sebenar belum diumumkan.

Menurutnya, dalam setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) terdapat satu atau dua nama termasuk calon wanita dihantar tetapi terserah kepada pihak kepimpinan untuk memutuskannya.

“Memang banyak nama yang dihantar termasuk calon wanita tetapi kita tidak dapat memberi jaminan siapa akan dipilih.

“Kita memberi sokongan kepada semua calon yang dipilih oleh presiden dan akan membuat kerja tanpa rasa bimbang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian Online dan Sinar Harian semalam mengenai 95 peratus nama calon sudah diperkenankan Majlis Syura Pas.

Sementara itu, mengulas mengenai calon muka baru, Tuan Ibrahim berkata, di Pahang tiada masalah tentang pemilihan calon sama ada baru atau yang lama.

“Boleh dikatakan sebanyak 40 peratus calon di Pahang adalah muka baru dan kita tidak berdepan sebarang masalah mengenai pemilihan calon.

“Masalah calon tidak menjadi rebutan dan sebagai jentera kita akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Pas,” katanya.

Tunang lari ikut janda

25 Syawal 1433H. [MOD] -

HILANG...Zainab menunjukkan gambar Harun dan tunangnya.

KANGAR: Seorang ibu langsung tidak menyangka bahawa kata-kata anak bongsunya agar tidak mengedarkan kad perkahwinan dengan pasangannya, Nur Mazera Mansor, 22, sebenarnya membawa makna dia ingin melarikan diri.

Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan, Harun Aris, 24, yang membantu perniagaan keluarganya dikatakan menghilangkan diri bersama seorang wanita berstatus janda berusia 40-an yang baru dikenalinya sejak sebulan lalu.

Ibunya, Zainab Arop, 59, berkata biarpun Harun bersikap agak pelik sebelum menghilangkan diri, dia dan suaminya tidak menyangka tindakan anak mereka itu.

metro/-

38 janji bina sekolah dicapati Umno BN

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Janji di tepati BN... kahkahkah Najib cakap kalau beri mandat PRU13 nanti baru sekolah ini akan di siapkan.. ha ha ha

BN telah memperjudikan masa depan negeri apabila 38 buah sekolah tidak dapat disiapkan di Sabah pada RMK-9.

Rakyat Sabah harus sedar dan melakukan perubahan demi masa depan generasi akan datang.

Takungan 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis

25 Syawal 1433H. [MOD] -

RUANG dalam takungan kuno berusia 3,000 tahun yang ditemui di Baitulmuqaddis.

BAITULMUQADDIS - Beberapa pakar arkeologi menemui sebuah takungan air kuno di sini yang digunakan oleh jemaah semasa ke kota suci bangsa Yahudi, Temple Mount atau dikenali sebagai Haram Ash-Sharif oleh orang Islam.

Akhbar MailOnline melaporkan bahawa takungan yang dinamakan cistern itu boleh menyimpan sebanyak 250 kubik meter air.

Tempat simpanan air itu dipercayai dibina pada era Tempat Ibadat Pertama sekitar 3,000 tahun dahulu.

Menurut kitab Bangsa Yahudi, Tempat Ibadat Pertama dibina oleh Nabi Sulaiman pada kurun ke-10 sebelum masihi (S.M.) sebelum dimusnahkan 400 tahun kemudian.

"Penemuan ini menjelaskan bahawa sumber air pada era Tempat Ibadat Pertama bukan sahaja bergantung kepada mata air tempatan tetapi juga takungan awam," kata ketua ahli arkeologi Pihak Berkuasa Alam Semulajadi dan Taman Israel, Tvika Tsuk.

Menurutnya, tapak Tempat Ibadat Pertama yang dibina oleh Nabi Sulaiman kini berada di bawah Dome of the Rock atau Masjid Kubah Emas di sini. - Agensi

Pelajar Ini Dinafikan Hak Untuk Ambil UPSR, Muhyiddin Perlu Bertanggungjawab

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Rawang - Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung di sini mendakwa telah dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula semalam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi dan imej sekolah tersebut.

Bapa pelajar berkenaan, Mahadzir Mokhtar, 42, berkata, dia amat terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan guru besar sekolah itu bahawa anaknya, Muhammad Faiz, 12, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.

"Saya telah menghubungi pihak sekolah semalam (kelmarin) untuk bertanyakan status UPSR anak saya dan berkesempatan berbual dengan salah seorang guru dan kemudian disambungkan kepada guru besar terbabit namun jawapan yang diberikannya itu cukup mengejutkan," katanya ketika ditemui di sekolah tersebut semalam.

Tambah Mahadzir, pada hari yang sama, anaknya juga telah menemui guru besar berkenaan dan diberitahu tidak perlu hadir ke sekolah.

Disebabkan sikap guru besar tersebut, anak ketiganya itu katanya, enggan hadir menduduki UPSR meskipun telah beberapa kali dipujuk.

"Perkara ini jelas menafikan hak anak saya menduduki UPSR namun lebih mengecewakan adalah sikap guru besar tersebut yang seolah-olah anak saya sahaja yang akan menjejaskan imej sekolah berkenaan.

"Saya akui Muhammad Faiz kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghadapi beberapa masalah termasuk masalah kesihatan namun itu tidak boleh dijadikan alasan melarangnya daripada menduduki UPSR," tegasnya.

Kecewa dengan insiden tersebut, Mahadzir yang juga seorang perunding tuntutan di sebuah firma guaman telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa dan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim ketika dihubungi memberitahu, beliau telah dimaklumkan berkenaan isu tersebut tetapi masih menunggu laporan lanjut mengenainya.

Pada tahun lepas, lima pelajar dari Sekolah Kebangsaan Teluk Sara, Baling, Kedah dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.

Kejadian yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, Sarawak apabila tiga orang pelajar telah dilarang untuk mengambil peperiksaan tersebut. -kosmo

Perbicaraan kes NFC ditunda lagi

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dijadualkan pada 18 September ini bakal ditunda lagi.

Rafizi menjelaskan pihaknya telah menerima surat dari peguam bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, Shafie Abdullah yang meminta kes tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.

"Peguam saya telah menerima surat dari pihak Sharizat meminta kes tersebut ditunda kepada satu tarikh yang lain dan tarikh baru itu belum saya perolehi.

"Namun apa yang saya rasakan penundaan kes tersebut dilakukan adalah mempunyai hubungkait dengan apa yang telah berlaku pada Shahrizat ketika beliau disoal oleh barisan peguam kita di makhamah tempoh hari," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran PKR Cabang Kuala Pilah di Seremban semalam.

Shahrizat ketika menjawab pertanyaan Ranjit Singh ketika perbicaraan sebelum ini berhubung penglibatan keluarganya dalam projek tersebut berkata, beliau tidak mengetahuinya sehinggalah diberitahu oleh suaminya pada tahun 2007 yang meminta kedua-dua anaknya yang berada di luar negara balik ke Malaysia bagi membantu menguruskan projek tersebut.

Menurut Rafizi, jawapan Shahrizat itu mungkin mendapat kecaman dalaman Umno yang menunjukkan kepincangan kredibiliti beliau sebagai menteri sebelum ini serta Ketua Wanita Umno.

"Imej Umno telah rosak kerana jawapan yang diberikan olehnya di mahkamah, malah rakyat sudah hilang keyakinan terhadapan kes tersebut serta peranan Umno dalam membantu rakyat.

"Mungkin atas sebab itulah barisan pimpinan Umno mengambil tindakan mengecam beliau yang langsung tidak menunjukkan ketokohan beliau sebagai orang penting dalam Umno," ucapnya di hadapan kira-kira 500 penyokong PKR.

Shahrizat sebelum ini telah mengemukakan saman RM100 juta terhadap Rafizi dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung penyelewengan projek kontroversi NFC.

Hakim, Vazeer Alam Mydin Meera sebelum ini menetapkan 18 September ini bagi sambungan perbicaraan setelah mendengar keterangan Sharizat ketika menjawab pertanyaan dari peguam plantif, Ranjit Singh.

Bagaimanapun peguam mewakili Shahrizat didakwa telah menghantar surat agar ianya ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Rafizi diwakili Peguam, Ranjit Singh, Zuraida pula diwakili oleh Razlan Hadri manakala Sharizat pula diwakili peguam Shafie Abdullah.

HARAKAHDAILY/-

Pemuda PAS Johor desak siasat kematian Chandran

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Johor mendesak pihak kerajaan membuat siasatan terhadap punca kematian Chandran a/l Perumal berdasarkan beberapa keraguan yang telah berlaku.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat (gambar) membuat gesaan itu sebagai respons terhadap kematian Chandran semasa dalam lokap polis Dang Wangi pada 10 September lalu dan mayatnya telah sampai ke Simpang Renggam, Johor pada jam 9 malam 11 September.

Katanya, punca kematian seperti yang tercatat dalam daftar kematian adalah darah tinggi (hypertension heart disease) tetapi pihak Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad menyatakan punca kematian adalah sakit jantung.

“Terdapat percanggahan punca kematian Chandran,” ujar Suhaizan dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya keluarga simati tidak berpuashati dengan kematian ahli keluarga mereka kerana isteri simati telah memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis bahawa suami beliau mengidapi penyakit darah tinggi dan perlukan mengambil ubat setiap hari.

Pihak polis menyatakan bahawa semua urusan dalam lokap di bawah pengawasannya. Malangnya Chandran didapati meninggal dunia dalam lokap polis.

Adik simati Gunalan a/k Perumal mewakili pihak keluarga telah membuat satu laporan polis pada 11 September 2012, lebih kurang jam 11 malam di Balai Polis Simpang Renggam, Johor.


Terdapat juga percanggahan waktu kematian Cahandran di mana keluarga dimaklumkan kematian beliau pada jam 10 malam sedangkan dalam daftar kematian dicatatkan kematiannya pada jam 11.55 malam, 10 September 2012.

Persoalannya, kata Suhaizan mengapa pihak polis telah memaklumkan kematiannya sedangkan mengikut daftar kematian, Chandran belum meninggal dunia pada waktu tersebut.

Beliau berkata, menurut adik simati Gunalan a/l Perumal terdapat luka di dahi dan rusuk Chandran dan keluarga tidak mengetahui dengan jelas punca luka-luka tersebut berlaku.

Menurutnya, Chandran yang merupakan seorang pemandu lori meninggalkan seorang balu dan enam orang anak-anak yang masih kecil.

“Keluarganya telah kehilangan mata pencarian dan memerlukan bantuan kewangan. Rakyat Malaysia yang prihatin, marilah kita membantu keluarganya,” katanya.

HARAKAHDAILY/-

Lagi laporan hina pemimpin PR

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA NERANG - Pemuda Pas Padang Terap membuat satu laporan polis berhubung sekeping gambar yang disebarkan di Internet, mempamerkan aksi dua pemuda sedang melalukan perbuatan tidak senonoh pada gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicetak pada kain rentang.

Laporan polis itu dibuat Ah;i Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Pas Pusat, Azman Shafawi Abdul Rani di Balai Polis Kuala Nerang, pagi semalam.

Mohd Nasir berkata, laporan polis itu dibuat ekoran tindakan melampau yang juga suatu penghinaan terhadap pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat (PR).

“Saya kesal terhadap insiden yang berlaku, perlakuan tidak senonoh pada gambar pemimpin adalah satu perbuatan yang keji,” katanya.

Menurutnya, perbuatan tidak bermoral itu bukan ajaran Islam dan pihak berkuasa perlu bertindak adil kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya harap polis akan bertindak secara profesional dengan tidak membuat siasatan secara terpilih untuk kes-kes tertentu sahaja,” katanya.

Azman Shafawi berkata, walaupun berlainan ideologi politik adalah biadab dan kurang ajar.

“Kami menuntut pihak polis mengotakan janji bahawa polis akan bertindak sekiranya ada laporan. Sebelum ini polis menyatakan tindakan diambil terhadap individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terdapat laporan,” katanya.

sinar harian/-

Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bom

25 Syawal 1433H. [MOD] -

SANAA - Menteri Pertahanan Yemen, Mohammed Nasser Ahmed terselamat dalam satu serangan bom kereta semalam yang menjadikan konvoinya sebagai sasaran.

Insiden itu bagaimanapun membunuh 13 orang termasuklah tujuh pengawal keselamatan.

Serangan itu berlaku selepas sehari laman web Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa pemimpin kedua Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), Saeed Al-Shihri terbunuh dalam satu operasi ketenteraan di timur negara tersebut.

"Menteri Pertahanan menjadi sasaran," kata seorang pegawai keselamatan, sambil memberitahu tiga lagi mangsa yang terbunuh masih belum dapat dikenal pasti. Agensi berita Saba melaporkan satu letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar bangunan pejabat kerajaan.

Pada Mei lalu, AQAP mengaku bertanggungjawab atas satu serangan berani mati di Sanaa yang mengakibatkan hampir 100 orang askar terbunuh. - AFP

Mursyidul Am PAS : Kefahaman Bukan Alasan Tangguh Hudud

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Sukacita saya merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian (23 & 24 Ogos 2012) yang membicarakan persoalan hudud, terutamanya apa yang dibangkit oleh seorang ahli parlimen PAS dan seorang lagi mantan mufti.

Bagi saya tidak ada asas hukum dan keperluan atas dasar logik untuk melengah-lengah pelaksanaan kerana hudud adalah sebahagian daripada perundangan syariah yang diwajibkan dalam Islam.

Ini kerana tidak ada hukum atau undang-undang di dunia ini, sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dulu, baru dilaksanakan.
Atas kerana itu, apa sahaja undang-undang di Malaysia, ia dibuat dan dilaksanakan tanpa menunggu semua pihak faham atau setuju. Termasuklah pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri pun yang menguatkuasakan pembentukan negara Israel di bumi Palestine yang ditentang hebat oleh orang Palestine sendiri. Hatta Presiden Amerika, Barrack Obama sendiri turut bersetuju dengan perundangan ‘kahwin sejenis’ meskipun majoriti masyarakat dunia menolaknya.

Secara faktanya, persoalan sesuatu hukum boleh dilaksana setelah ada kefahaman dan persetujuan semua pihak, ia sesuatu yang tidak tepat dalam kaedah perundangan yang ingin mengawal dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan. Tambahan lagi, soal hukum Islam (hudud) bukannya pilihan untuk menusia menolak atau menerima. Tugas pihak berkuasa atas nama Islam adalah kewajipan dan tanggungjawab. Jadi keperluan kepada suasana kondusif bukanlah penghalang ke arah pelaksanaan hukum Allah.

Atas dasar ini, pada masa Nabi Muhammad SAW sendiri umat Islam tidak mempersoalkan kewajaran perintah (hukum) Allah SWT. Apa yang utama membuktikan ketaatan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi. Bukan sepertimana sesetengah pihak sekarang ini, ada yang sanggup rosak akidahnya atas dasar menolak mentah-mentah hudud atau mana-mana perintah Allah SWT. Tidak kurang pula berdolak dalih dan beralasan kononnya suasana belum kondusif untuk memakai hukum Allah SWT. Tidak terkecuali juga, masih ada pihak yang bersimpati kepada si-jahil, maka isu hukum hudud ini perlu dibincangkan terlebih dulu. Sampai bila? Lepas bincang, bincang dan bincang, namun si-jahil tetap beralasan.

Pengalaman Negeri Kelantan dalam usaha melaksana hukum hudud ini, sebenarnya telah melalui proses memperkenal, membincang dan meluluskannya secara masak. Usia enakmen kanun jenayah syariah (termasuk hudud) kini akan genap 19 tahun pada November ini. Sejarah penggubalannya cukup matang kerana ia merupakan sumbangan cendikiawan perundangan Islam Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Dato’ Daud Muhammad.

Selain ia turut dikongsi dengan pakar-pakar perundangan bidang syarie dan jenayah sivil. Malah tidak terkecuali poses menerima maklum balas dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk badan NGO turut dibuat di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Turut serta adalah Tengku Razaleigh Hamzah selaku presiden parti Semangat 46 ketika itu telah juga menganjurkan perbincangan terbuka sebagai melebar kefahaman dan tanda sokongan serta persetujuan atas usaha Negeri Kelantan. Justeru pada persidangan dewan negeri, semua ahli dewan termasuk daripada Umno turut menyokong. Namun selepas itu, permohonan ke arah pelaksanaannya telah ditolak oleh Kerajaan Pusat.

Kini berbangkit isunya, pelaksanaannya masih tertangguh meskipun telah diluluskan sejak November 1993 lagi. Bagi Kelantan, ia tertangguh bukan kerana usaha dan keperluannya masih tidak memenuhi suasana yang kondusif. Sebaliknya ia tertangguh disebabkan halangan Kerajaan Pusat, termasuk ‘amaran’ menerusi satu surat rasmi perdana menteri ketika itu yang masih tidak ditarik balik.

Justeru persoalan yang ada di depan umat Islam hari ini, adakah ingin terus meraikan suara bangkangan seumpama suara daripada sesetengah pemimpin bukan Islam? Ataukah kita ingin terus meraikan pihak si-jahil yang sentiasa beralasan atas kefahamannya yang tidak bersandarkan nilai-nilai keimanan?

Sampai bilakah segala alasan tanpa keimanan dan hujah akal sentiasa dijadikan alasan untuk menidakkan penerimaaan dan pelaksanaan hukum Allah SWT ini? Apa yang pasti, hukum Allah SWT tetap serasi dengan hukum alam dan makhluk ciptaan-Nya. Kalaulah menunggu alunan ombak reda, sampai bila nelayan akan dapat ke laut? Ketika laut berombak itulah, nelayan boleh meluncur perahunya ke laut bagi menangkap ikan.

Oleh : Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

Habis Madu.. Sepah

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Bukan lagi rahsia. Semua projek umNO adalah untuk mengisi kantung kroni mereka. Tujuannya untuk menghadapi lawan ketika Pilihanraya atau pemilihan parti mereka. Dana sangat penting bagi umno kerana semuanya bergerak dengan wang dalam umNO. Wang adalah nyawa umNo. Tanpa wang.. umNO akan mati.

Cakap cakap kedai kopi yang dipindahkan dari orang dipercayai membuktikan apa sahaja "projek kerajaan Barisan Nasional" bukanlah meletakkan kepentingan utama kepada rakyat. Sebab itu akhirnya menjadi masalah atau gajah putih. Isu lembu adalah contoh ketara menjadi beban rakyat. Projek tergendala bukan masalahnya... tender lain boleh dibuka...yang penting rahsia tidak dibuka. Siapa buka rahsia... kunci mulut dia dengan akta yang ada... kejahatan yang dihalalkan melalui undang undang. Inilah hebatnya Malaysia ku..

Di Trengganu sibuk dengan bangunan stadium yang runtuh... dan macam macam bangunan lagi yang runtuh... Di Kementerian Pelajaran... cerita makmal komputer dan pengurusan prasarananya menjadi rebutan... PLKN... bayangkan tender pakaian... makan minum...tempat dan macam macam lagi... siapa yang dapat......

Kementerian Pertanian selain lembu NFC juga berdepan projek Gajah putih Pusat pengumpulan negara TEMAN.... apa jadi teman yang dah tak berteman... sekarang dah tukor RTC... dan terakhir diambil alih oleh myden.... cuba siasat...sapa yang dapat laba??? dengor cerita sejuta diberikan untuk seseorang bertanding ketua sayap umNO... Ia bukan rekaan..tapi sumber dalaman yang dah keluar menceritakan..

Sekarang kerajaan sedang bertungkus lumus nak buat projek Langat 2... Masih ingat Bakun???? selepas habis madu sepah dibuang... selepas hutan dara dirogol.... syarikat kroni lepas tangan... kerajaan pulak tanggung rugi terpaksa bayar gantirugi... Macam PLUS yang terpaksa kerajaan bayar kalau tak naik tol... nak kata rugi.. boleh kata sepanjang masa hujung minggu dan perayaan lebuhraya sesak dengan kenderaan...

Langat 2 mungkin satu cara umNO nak dapat dana biaya pilihanraya 13 atau sebagai penyambung nyawa suku sakatnya di Selangor yang dah tinggal nyawa ikan... Biarpun tuan tanah tak bagi kebenaran... kerajaan pusat terus cuba memperkosa hak Selangor... Tidakkah itu penghinaan kepada rakyat yang memilih kerajaan untuk menjaga hak mereka???

Walaupun tender di buka... sapa dapat...persennya masuk kat sapa??? macam tu cara khazanah negara difaraidhkan oleh umnO...bukan harta aku harta bapak mertua... Bior negara papa asal aku kaya.. Jiika umNO terus berkuasa ...rakyat akan terus menderita kerana kenaikan kos sara hidup. Nak dapat duit mudah...saman rakyat.. atas alasan jaga keselamatan... siap swasta lagi... masanya rakyat yang cerdik untuk berubah..

selatan online/-

Air Percuma : MB Tidak Halang Rakyat Bawa Ke Mahkamah

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Kerajaan Negeri tidak menghalang sekiranya pengguna air di pangsapuri di negeri ini mahu memfailkan saman berhubung kegagalan menerima subsidi air percuma yang diberikan kepada semua rakyat.

Mengulas lanjut isu tuntutan saman yang difailkan oleh 711 pengguna air, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia merupakan satu kes percubaan yang akan memberikan pandangan mengenai kebajikan rakyat.

Katanya, dengan saman ini membolehkan Kerajaan Negeri mengetahui masih terdapat rakyat yang tidak menikmati air percuma kerana tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

“Sekiranya seseorang tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan ia boleh dibenarkan untuk menerima peruntukkan? itu pihak mahkamah boleh berikan jawapan.

“Penukaran meter pukal kepada meter individu tidak memerlukan kos yang tinggi, ia cuma memerlukan persetujuan daripada penghuni dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) setuju untuk membenarkan penukaran dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di SUK.

Sebelum ini, seramai 711 pengguna air memfailkan saman menuntut ganti rugi hampir RM500,000 terhadap tiga pihak termasuk Abdul Khalid, atas kegagalan menerima subsidi air percuma di bawah Skim Air Percuma yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Semalam Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa pemberian percuma hanya diberikan kepada penghuni yang mempunyai meter individu.

“Oleh kerana itu, saya sudah memaklumkan bahawa penghuni supaya cepat menukarkan meter pukal kepada meter individu supaya dapat menikmati pemberian ini.

“Kadang-kadang sesetengah orang tidak faham mengenai perkara ini,” katanya.

selangorku/-

Gempar, Jabatan Pelajaran Johor Guna Logo Merdeka Pakatan

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Sekali lagi kegemparan berlaku, nampaknya Logo Merdeka Pakatan rakyat memang diterima ramai, sebelum ni Pos malaysia pun guna logo ciptaan pakatan rakyat dekat web diorang.

Kali ni "tukanglawan" kongsikan lagi satu web yang jugak gunakan logo merdeka ciptaan pakatan rakyat. jeng.. jeng.. jeng..

Nampak tak logo merdeka pakatan rakyat dekat web tu, belah kanan bawah tulisan "Selamat Hari Malaysia"

"tukanglawan" tak tahu apa motif logo tu digunakan dekat web milik kementerian pelajaran negeri johor tu, tapi yang pasti logo merdeka ciptaan pakatan rakyat lebih releven digunakan berbanding logo janji dicapati ciptaan budak tadika tu. kah..kah..kah

tukang lawan/-

Air ketum ubat nyamuk

25 Syawal 1433H. [MOD] -

BANDAR TUN ABDUL RAZAK: Lingkaran ubat nyamuk serta beberapa pil kuda gred A yang direbus bersama daun ketum dikesan menjadi ‘resipi’ pilihan utama bagi segelintir tukang masak air ketum konon didakwa mengeluarkan aroma harum selain didakwa tonik terbaik meningkatkan tenaga batin.

Kedua-dua bahan itu yang dikatakan luar biasa akan dicampur bersama timbunan daun ketum dalam periuk sebelum dikacau selama tiga jam hingga mendidih sebelum api dapur gas dikecilkan bagi menjaga kualiti air ketum berkenaan.

Difahamkan, bagi penggemar ‘air racun’ itu, mereka dikatakan lebih suka kepada daun ketum yang mempunyai urat merah berbanding urat putih, sekali gus mendapat permintaan tinggi di kalangan penagih tegar.

Bagaimanapun, kegiatan haram itu terbongkar apabila sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran menyerbu sebuah rumah yang turut dijadikan sebagai makmal memproses air daun ketum di Felda Jengka 17, dekat sini, semalam.

Dalam serbuan jam 9 pagi diketuai Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan IPK, Asisten Superintendan Azli Mohd Noor bersama anggotanya mendapati tukang masak air daun ketum itu dipercayai melarikan diri.

Azli berkata, ketika serbuan dilakukan, ibu kepada tukang masak terbabit berada di rumah sebelum polis menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berusia lingkungan 50-an itu dikatakan memberi alasan suspek pulang ke kampung di Kedah sejak tiga hari lalu bersama saudaranya kerana menyelesaikan urusan peribadi.

Katanya, hasil pemeriksaan di belakang rumah, polis menemui tiga batang pokok ketum sebesar pemeluk yang ditanam sejak beberapa tahun lalu menyebabkan sebatang daripadanya terpaksa diikat dengan tali kerana senget.

“Bagaimanapun, kita meragui dakwaan ibu suspek mengatakan anaknya berada di Kedah sejak tiga hari lalu sedangkan beberapa daun ketum ditemui di belakang rumah itu masih basah seperti baru selesai direbus.

“Siasatan turut mendapati suspek berusia lingkungan 30-an dipercayai menjalankan operasi merebus air daun ketum seawal jam 1 pagi dan berhenti sebelum Subuh,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian akan membungkus mengikut sukatan sebelum menjualnya kepada pelanggan dengan harga RM5 untuk dua bungkus.

Menurutnya, suspek dipercayai penagih tegar menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak beberapa tahun lalu selepas dikatakan menanam anak pokok daun ketum dibawanya dari Kedah.

Katanya, polis sudah memotong sebelum membakar pokok ketum berkenaan dengan bantuan kakitangan Majlis Daerah Maran (MDM).

metro/-

Hancur hingga ke bahu

25 Syawal 1433H. [MOD] -

PARAH...kakitangan HUS memberi rawatan kepada mangsa, semalam.

KUCHING: Malang tidak berbau bagi seorang pengusaha kedai kek dan roti di Simunjan, dekat sini, apabila tangan kanannya hancur hingga ke bahu selepas tersepit dalam mesin pengisar tepung di kedainya, semalam.

Difahamkan, wanita dikenali sebagai Alice, 40-an yang mengendalikan perniagaan berkenaan sejak 10 tahun lalu ditimpa musibah ketika memproses tepung, jam 6 pagi.

Kejadian hanya disedari beberapa pekerja mendengar jeritan mangsa yang mengerang kesakitan.

Menurut pekerjanya yang enggan dikenali, ketika kejadian mereka dalam proses menyiapkan roti sebaik memulakan operasi seawal jam 5.45 pagi.

Seni Bangku tarikan warga Tokyo

25 Syawal 1433H. [MOD] -

PATUNG saintis legenda Albert Einstein dipamerkan pada pameran Seni Bangku di Tokyo semalam.

TOKYO, Jepun - Orang ramai terkejut melihat patung selebriti dan watak animasi termasuk pemenang pingat Olimpik London untuk sukan ping pong, Ai Fukuhara dipamerkan di daerah perniagaan Marunouchi di sini.

Sejumlah 20 buah patung diletakkan di atas bangku pada jarak sejauh 1.2 kilometer di daerah perniagaan berkenaan dalam pameran itu yang dikenali sebagai Seni Bangku.

Seorang pengunjung, Yoshimi Murayama mengambil kesempatan untuk duduk di atas bangku di sebelah patung Fukuhara.

"Patung ini bukan 100 peratus menyerupai Fukuhara tetapi saya kini berasa lebih dekat dengan seni," kata Murayama. Pameran berkenaan berlangsung hingga 14 Oktober depan.

Beberapa patung lain yang dipamerkan termasuk wira sains fiksyen, Kamen Rider dan juara sumo, Hakuho.

Pameran itu diadakan sempena ulang tahun ke-10 pembinaan semula bangunan Marunochi yang merupakan pusat perniagaan di sini di samping meraikan pembukaan sejumlah kedai dan restoran di dalam mercu tanda itu. - Agensi

Wang KWSP Digunakan Untuk Selamatkan Saham FGVH

25 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli 2.2 juta saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) lagi oleh kerana harga saham gergasi perladangan jatuh menjunam lagi semalam sebelum pulih sedikit meningkat lima sen lebih tinggi.

Saham FGVH semalam tidak terlepas turun ke bawah harga jualan institusi sebanyak RM4.55 semalam, menjunam 11 sen dari harga pembukaan rendah RM4.57, sebelum pulih kepada RM4.73 pada akhir hari dagangan.

KWSP adalah salah satu pelabur asas FGVH dan telah meningkatkan kepentingan langsung dalam GLC tersebut daripada 5.07 peratus pada 4 Julai kepada 7.02 peratus semalam.

Pengumpulan saham FGVH walaupun menurun sejak dua bulan lalu menyebabkan sesetengah pemerhati pasaran menganggap bahawa dana pencen terbesar di negara ini membantu untuk menaikkan saham kumpulan perladangan.

Harga FGVH juga membimbangkan beberapa peneroka Felda yang telah diberi pilihan untuk membeli saham pada harga runcit IPO pada RM4.45.

Dilaporkan pada 29 Ogos, kerajaan memperolehi peruntukan RM360.7 juta oleh Felda untuk membiayai 800 unit saham yang dibeli oleh setiap peneroka sepenuhnya.

Peruntukan itu menyebabkan peneroka bebas daripada perlu membayar lima peratus faedah bank setahun ke atas pinjaman yang mereka ambil untuk membeli saham dan peneroka akan membayar balik Felda kira-kira RM50 setiap bulan tanpa faedah, selama lima tahun.

Harga saham FGVH lemah berbanding dengan rakan-rakan seperti Sime Darby dan KL Kepong.

Walaupun saham-saham perladangan telah berada di bawah tekanan disebabkan kebimbangan mengenai harga minyak sawit yang lebih rendah, KL Kepong turun kira-kira empat peratus dari awal bulan Julai dan Sime Daby turun hanya kira-kira satu peratus berbanding dengan FGVH yang telah jatuh kira-kira 12 peratus.

FGVH melaporkan keuntungan mengecewakan bagi suku kedua, turun 32.5 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh pengurangkan tuaian minyak sawit, peningkatan dalam kos operasi, dan sumbangan yang lebih rendah daripada subsidiari gula MSM Holdings.

Kumpulan itu juga berhadapan dengan penuaan pokok-pokok kelapa sawit sebanyak 53 peratus daripada 320,000 hektar ladang kelapa sawit antara yang tertinggi dalam industri dan latihan penanaman semula akan menyebabkan kehilangan lebih benyak pendapatan sepanjang tempoh sebelum pokok-pokok menjadi matang.

FGVH juga dilaporkan mengalami kerugian dari segi produktiviti tan sehektar yang disenaraikan sebagai ketiga terendah di kalangan firma perladangan utama di Malaysia.

Harga minyak sawit juga dijangka kekal lemah dalam tempoh terdekat oleh kerana stok penimbal Malaysia kekal tinggi dan negara ini juga menghadapi persaingan untuk eksport dari Indonesia.

Sesetengah penganalisis walaubagaimanapun mengambil perhatian bahawa FGVH menawarkan aliran tunai yang mantap dan 50 peratus dasar pembayaran dividen. -TMI

Kes Haram Jadah : Apa beza antara Effandi dengan Afizal dan Chuah? Sumber: http://cenangau.blogspot.com/2012/09/kes-haram-jadah-apa-beza-antara-effan

25 Syawal 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Seorang mekanik kereta yang didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur dalam dua kejadian tujuh tahun lalu, diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhirnya.

Effandi Mashor, 35, juga dikenakan hukuman 12 sebatan dengan rotan. Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Malik Ishak sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan dengan rotan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Effandi. - Bharian.

Macam yang biasa aku tulis sebelum-sebelum ni, sebagai orang yang takdak latarbelakang undang-undang aku memang boleh dikira jahil dalam bab undang-undang ni. Aku harap ada yang boleh bagi pencerahan.

Sebelum ni aku ada melaporkan mengenai 2 kes rogol bawah umur jugak, yang pertama kes Noor Afizal Azizan yang cukup hangat sebelum ni di media baru dan jugak kes Chuah Guan Jiu yang tak kurang hangatnya jugak. Dua kes yang aku istilahkan sebagai kes 'Haram Jadah' pasai mahkamah 'bebaskan depa walaupun didapati bersalah.

Nampaknya nasib Effandi Mashor tak macam nasib Noor Afizal Azizan dan Chuah Guan Jiu. Dia kena hukuman penjara 12 tahun dan sebatan 12 kali tapi dua orang lagi tu 'bebas' dari hukuman. Depa 2 orang lagi tu cuma diarahkan berkelakuan baik dengan bom jaminan masing-masing RM25,000.

Malang bagi Effendi pasai dia cuma sekadar seorang mekanik, kalau dia seorang atlit mungkin dia pun boleh lepas macam Afizal yang 'dibebaskan' atas alasan kononnya "mempunyai masa depan yang baik".

Tapi yang aku mushkilnya apa beza antara mekanik dengan juruteknik, kalau juruteknik boleh lepas pasai apa pulak mekanik tak boleh?

Kalau nak kata pasai perbuatan seksual Chuah tu adalah persetujuan bersama, kes Effendi kalau tengok ke laporan Bharian tu pun persetujuan bersama jugak.

Takkan pasai Chuah tu cina dia 'dilepaskan' dan pasai Effendi tu melayu dia dihukum. Takkan pasai tu kut.

Jadinya, sekali lagi aku mintak tolong sapa-sapa yang ada autoriti tolong la bagi pencerahan pasai apa macam tu.

Sumber:cenangau./-

Demi nyawa ibu

25 Syawal 1433H. [MOD] -

SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

IPOH: Demi menyelamatkan nyawa ibunya, seorang remaja lelaki menggadai nyawa apabila bergelut dengan bapa kandungnya sebelum ditembak dengan pistol sebanyak dua das oleh lelaki itu dalam kejadian petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang di Laluan Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat, di sini, mangsa, R Hariharen, 15, parah di kaki kirinya selepas ditembak dari dekat di pekarangan rumah mereka.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku selepas suspek yang berusia 40-an datang ke rumah yang didiami isteri dan empat anaknya itu dengan menaiki kereta.

Menurutnya, pasangan itu yang tidak lagi tinggal sebumbung bertengkar di hadapan rumah berkenaan dipercayai akibat perselisihan faham.

metro/-

Polis buru samseng Umno?

25 Syawal 1433H. [MOD] -

Kuala Terengganu - Polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan menghina gambar pemimpin Pakatan Rakyat yang disiarkan di sebuah portal berita Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah/Perundangan Terengganu Supt Luqman Abdul Rahman berkata siasatan dilakukan setelah polis menerima laporan berkenaan perkara itu di Balai Polis Kerteh, Kemaman, Sabtu lepas.

"Gambar dalam portal berkenaan menunjukkan beberapa lelaki melakukan perbuatan menghina pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Salah seorang daripada mereka seolah-olah membuang air kecil pada gambar pemimpin itu. Perbuatan yang dilakukan ini kita kira sangat serius kerana ia menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Luqman berkata setakat ini polis masih mengesan sama ada kejadian sebenar berlaku di Terengganu atau di tempat lain serta latar belakang kesemua suspek.

Beliau menggesa individu yang bertanggungjawab tampil menyerah diri secepat mungkin dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran. -BERNAMA