07 April 2011

SAMM : hentikan politik 'lucah' segera !!

03 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Kenyataan Terbuka SAMM
7 April 2011

Ketika media dunia membincangkan perbagai perkara penting seperti krisis radiasi (impak Tsunami Jepun), Kebangkitan rakyat ditumur tengah hingga Afrika, Krisis yang menyerlahkan kegagalan sistem ekonomi 'kapitalis' sehingga menyeret ada negara menjadi muflis.... namun dalam negara ini media lebih seronok memainkan 'politik' berasaskan tuduhan seks dan video lucah.

Tidak tahu dimana salahnya , adakah salah media arus perdana yang dikuasai pihak tertentu atau pemain - pemain utama politik negara yang sanggup bertindak ala 'desparado'.

Ketika dunia sedang beralih kepada politik baru berasaskan nilai, rekod dan idea...Malaysia seolah mundur ke belakang dengan politik selak kain yang sebenarnya lansung tidak memajukan pemikiran rakyat.

Sudahlah tayangan video lucah dilakukan secara terbuka dan seolah dilindungi penguasa. Malah yang terbaru 'desparado'nya politik hingga sanggup menghantar buku lucah terus ke rumah orang. Buku yang terdapat gambar - gambar bogel dan gambar orang sedang mengadakan hubungan seks cuma bahagian kepalanya diganti dengan gambar musuh politik mereka. Bayangkan di kawasan bandar tempat komik ini di edar ibu dan bapa bekerja, anak balik sekolah melihat buku lucah yang pos ke rumah.

Mengenai tayangan video mustahil regim pemerintah tidak mengetahuinya.

ia dipertonton secara terbuka sehingga kini polis tak bertindak

PDRM (ketua Polis) kata penganjur ditahan, diambil kenyataan dan dibebaskan dengan jaminan polis tetapi Eskay mengatakan yang dia pergi sendiri ke Bukit Aman dan tidak langsung tandatangan apa - apa dokumen. Eskay menipu atau Ketua Polis Negara menipu atau semua ini hanya sandiwara.

kenderaan yang dinaiki ke Shangrila tempat cheGuBard menonton rekodnya 'dilindungi'

bilik tempat menonton video di Shangri La, KL dibayar atas nama seorang yang berkepentingan tinggi dalam syarikat besar dan penting negara.

Kembali kepada buku lucah yang dihantar ke rumah-rumah. Apa yang ibu atau bapa hendak jawab apabila di asak dengan soalan kenapa begini mengapa begitu selepas anak - anak kecil melihat sendiri buku lucah tersebut....atau lebih parah lagi ada anak yang menyimpan dan meniru perbuatan dalam b uku lucah tersebut.... Mana pergi pemikiran waras orang - orang politik yang bertindak sedemikian rupa ?

Media arus perdana seperti Utusan Malaysia pula menyiarkan di muka depan aksi lucah begitu juga Buliten Utama TV3... mana pergi nilai kewarasan manusia ? Hanya kerana politik kita lakukan semua perkara tersebut.

Menteri seperti YB Nazri Abd Aziz pula sentiasa terlalu mengeluarkan kenyataan politik dari menghalalkan tanyangan video lucah (selagi tidak bersifat keuntungan kewangan) malah yang terbaru beliau kelihatan begitu meraban apabila menyatakan Wan Azizah isteri Anwar Ibrahim sendiri tidak layak menilai adakah lelaki dalam video tersebut ialah Anwar Ibrahim. Kalau bukan isteri siapa lagi yang layak menilai ?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini bagi pihak anak muda Malaysia merakamkan rasa kesal dengan politik 'kotor' dan tidak mendidik ini.

SAMM mendesak agar pemain - pemain utama politik Malaysia agar kembali kepada landasan politik baru dan mendidik rakyat. Perdebatan harus dilandaskan dari segi polisi, dasar dan idea. Negara kini berada ditahap membinbangkan dari terjunnya ke bawah nilai daya saing, rasuah yang makin meningkat dan kos hidup yang main menjerut rakyat....atas semua ini rakyat memerlukan ahli politik yang lebih matang.

Menyerang dari segi politik tidak salah termasuk menggunakan aspek mobilisasi rakyat sebagai penunjuk kekuatan tetapi ia seharusnya berlandaskan pertembungan idea bukan aspek tak bernilai seperti politik selak kain.

Ketika kempen pilihanraya umum 2008 juga pasukan kempen saya telah didekati dengan orang tidak dikenali dipercayai orang Umno yang memberikan video lucah yang kononnya Khairy Jamaluddin, tanpa pengetahuan saya ada video ini telah tersebar namun sebaik sahaja saya mengetahuinya saya telah mengarahkan semua dikutip dan dibakar. Sebanyak lebih 2000 keping video tersebut telah dibakar. Kini terbaru pula ada pihak yang menghubungi SAMM mengenai kewujudan video seks yang kononya merakamkan aksi seks seorang isteri pimpinan tertinggi negara.... namun SAMM mengajak semua politik selak kain ini dihentikan segera jangan kerana kuasa sanggup lakukan apa saja.

Rakyat diseru menolak politik sensasi selak kain ini dengan menolak ahli - ahli politik yang kelihatan seronok membodohkan rakyat menggunakan politik lucah seperti apa berlaku sekarang. Media yang menjurus kepada perkara yang sama juga harus dijauhkan.

che'GuBard
Pengerusi
Solidariti Anak Muda Malaysia

Kempen Tidak Memadai Dengan Pemberian Bendera

3 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


Kempen pilihan raya BN Sarawak mendapat suntikan baru apabila perdana menteri menggempur kerusi panas Padungan yang majoritinya pengundi Cina pada lawatan seharinya.

Dengan dikawal rapi tidak kurang lima pengawal peribadi, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan pekedai di sekitar pasar di Padungan yang sebelum ini dimenangi oleh PKR

Namun lawatannya yang diiringi oleh 150 ahli NGO 1Malaysia dan 50 jurugambar akhbar kelihatan sebagai satu lakonan untuk media daripada peluang bermesra dengan rakyat.

Walaupun sebahagian besar pemilik kedai di sini gembira dapat bertemu seketika dengan lelaki paling berkuasa di negara ini, namun terdapat seorang yang berani mempersoalkan mengapa Najib hanya membawa bendera 1Malaysia untuk lawatannya itu.

"Mengapa hanya beri ini (bendera 1Malaysia) kepada kami? Kami mahu wang. Ini masa pilihan raya, awak selalu bagi wang masa pilihan raya,” kata lelaki itu kepada Najib yang kemudiannya dengan segera dibawa beredar oleh pengawalnya.

Lawatan itu, termasuk ke sebuah rumah pangsa kos rendah, di mana 80 peratus penghuni Cina.

Turut berada di lokasi yang sama adlah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Melihat kehadiran setiausaha agung DAP itu, penyokong Najib terus melaungkan '1Malaysia'.

"Saya di kawasan ini. Jadi sebagai tanda hormat, saya datang dan bersalam dengan perdana menteri.

"Kami hanya bersalam dan berbual seketika sebelum diganggu oleh suara mereka yang terus bersorak,” kata Lim sambil tersenyum.

M/kini

Jepun guna hidrogen sekat radioaktif

03 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TOKYO 7 April - Jepun mula mengepam gas nitrogen ke dalam reaktor nuklear yang sudah lumpuh itu, memberi tumpuan kembali kepada usaha melawan bencana nuklear paling teruk di dunia dalam tempoh 25 tahun.

Para pekerja mula mengepam gas nitrogen di dalam reaktor nombor satu berikutan berita tentang usaha menghentikan air radioaktif dari loji lain bocor ke dalam laut.

“Ia sesuatu yang perlu untuk menyuntik gas nitrogen ke dalam loji itu dan membuang kandungan yang boleh menyebabkan letupan hidrogen,” ujar pegawai di Tokyo Electric Power (TEPCO). - REUTERS

Gempa bumi 5.8 magnitud gegar Indonesia

03 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

JAKARTA 7 April - Satu gempa bumi bermagnitud 5.8 pada skala Richter berlaku di Pantai Indonesia tetapi tiada laporan kerosakan dan amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.

Gempa bumi itu melanda pada kedalaman 18 kilometer pada pukul 9.01 malam (10.01 malam waktu tempatan) sekitar 190 kilometer dari Sibolga, Pulau Sumatera, Indonesia, ujar Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang terletak di Hawaai mengatakan tiada amaran atau makluman yang dikeluarkan setakat ini. - AFP

Britain serang lapangan minyak: Libya

03 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaim, menuduh Britain mengebom lapangan minyak terbesar di Al-Sarir di timur laut negara itu semalam.

"Pesawat pejuang British menyerang lapangan minyak Al-Sarir dan membunuh tiga pengawal dan mencederakan pekerja di situ," katanya pada sidang media di sini.

Serangan udara itu merosakkan paip minyak yang menghubungkan Al-Sarir dan Pelabuhan Tobruk yang dikuasai pemberontak.

Allahyarham Ahmad Sarbani dikebumi hari ini

03 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Kira-kira 200 orang termasuk pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan rakan-rakan pegawai kastam, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed berada di perkarangan kediaman rumahnya di Kelana Jaya.

NONETurut hadir ahli keluarga, sanak saudara dan jiran-jiran Allahyarham.

Mereka menunggu ketibaan jenazah Ahmad Sarbani yang ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi semalam.

Beliau adalah pembantu pengarah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Ketika ini, jenazah berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Malaysiakini difahamkan jenazahnya akan dibenarkan dibawa pulang sebentar lagi.

Allahyarham akan disembahyangkan di Surau Ar-Rahman, yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman beliau.

Malaysiakini difahamkan beliau akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kota Damansara.

Ketika ini, pihak pengurusan surau berkenaan menganjurkan majlis bacaan surah Yassin dan tahlil.

Sementara itu, ketika menjawab SMS dari Malaysiakini, pada kira-kira jam 12.20 tengahari tadi, timbalan pengarah penguatkuasa Kastam Wilayah Persekutuan, Jaafar Jawi memberitahu, jenazah Ahmad Sarbani masih berada di HUKM.

Malaysiakini/-

Catatan Perjalanan 2 : Muara Tuang distenasi hari ini.

03 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Perjalanan mengasyikkan dari Bandaraya Kuching ke Kota Samarahan agak sukar bila memamandu sendiri untuk ke DUN Muara Tuang. Sekitar setemgah jam keliling bandaraya Kuching dengan kereta kancil "paut stearing" bersama anak kesayangan kerana tidak jumpa satu pun papan tanda menunjukkan jalan keluar dari bandaraya.

Lama berpusing baru jumpa satu papan tanda mengarah ke Pending dan akhirnya papan tanda ke Lapangan Terbang Kuching.

Alhamdulillah sekitar sejam sesudah itu saya selamat sampai ke rumah penginapan Perak yang kebetulan antara pimpinan yang masih ada ialah Naib Presiden PAS, YB. Dato' Mahfoz Omar dan AJK PAS Pusat, Dato' Seri Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin .

Pada masa ini terdpat sekitar 40 orang petugas gelombang pertama sehingg 9 April dari Perak yang berkampung di Muara Tuang dan akan disambung dengan gelombang ke 2 sesudah itu.

Malam ini saya akan berceramah dengan dengan Dato' Mahfoz yang hanya disusun satu tempat sahaja dan akan bermula pada jam 9.00 malam.

PAS merintis jalan di DUN Muara Tuang dengan pertama kali bertanding. Pada tahun 2006 DUN ini ditandingi oleh Calon dari PKR.

Semagat dan gerak kerja yang dilakukan oleh Petugas PAS yang banyak datang dari Perak, Wilayah Persekutuan dan Terengganu dengan bantuan dari penduduk tempatan tentunya dengan harapan untuk membuat kejutan walaupun calon dari BN adalah adik Ketua Menteri Sarawak.

Semuga dengan kerja kuat dan doa dari seluruh pendokong PAS seluruh negara memastikan usaha yang dilakukan selama tempoh berkempen mendapat keberkatan dan pertolongan dari Allah SWT.

Nafi pengakuan Azizah : Kenyataan Nazri lucu dan tidak masuk akal.

03 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 6 April : Ketua Penerangan Pas Perak, Drs. Khalil Idham Lim Berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz sebagai lucu dan tidak masuk akal kerana menafikan bahawa isteri DS Anwar Ibrahim sebagai individu yang “bukan pakar” untuk mengenali susuk tubuh DS anwar yang merupakan suaminya berhubung isu fitnah video seks.

“Adakah beliau (Nazri) sudah tidak ada modal sehingga mengeluarkan kenyataan sebegitu, Sedangkan kanak-kanak sekolah tadika pun tahu individu yang paling hampir dan kenal benar dengan DS Anwar sudah tentulah isterinya yang bersama ke mana jua beliau pergi,” katanya ketika ditemui di sini.

Datin Seri Dr. Wan Azizah dipetik sebagai berkata menafikan bahawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video berkenaan dan menimbulkan kemungkinan ia didalangi oleh BN.

YB Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menempelak tindakan menteri BN itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana dengan mudah mengenepikan hujjah isteri DS Anwar Ibrahim berhubung penafian tersebut.

"Saya ingin bertanyakan kepada Nazri, kalau pengakuan seorang isteri mengenai sosokbadan dalam video itu bukan suaminya, dari siapa lagi kita ingin percaya?" soalnya.

Dalam pada itu, YB Khalil yang juga Adun Titi Serong membidas ungkapan Nazri Aziz mengatakan “Wan Azizah bukanlah pakar yang menentukan identiti pelaku itu” sebagai hujah yang tidak boleh diterima langsung dan ini merupakan satu lagi hujah untuk melindungi individu tertentu yang merancang video fitnah itu.

“Umno BN terdesak untuk menang di Sarawak, itulah isu dan topik sebenarnya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa video tersebut merupakan satu lagi tindakan desperado Umno BN untuk menipu rakyat Sarawak dengan harapan Pakatan Rakyat ditolak dan bagi memenangi hati rakyat di negeri tersebut untuk memperoleh kemenangan pada 16 April nanti.

“Sebagai rakyat Sarawak yang bijak, seharusnya perkara ini dipandang serius dengan menolak BN dan seluruh komponennya pada pilihanraya yang bakal menjelang tidak lama lagi,” jelasnya.

“Beri undi kepada Pakatan Rakyat adalah tindakan bijak bagi menyelamatkan Malaysia dari terus ditadbir oleh BN yang tidak putus-putus menyusahkan rakyat dengan kenaikan harga minyak serta barang dan merosakkan masa depan Negara yang tercinta ini,” katanya

Akhbar Porno , Ada staf akhbar mula menyesal?

03 Jamidilawal 1432H. [MOD] -
Oleh: WFAUZDIN NS

ZUNAR seorang kartunis di dalam Twitter beliau menyebut terdapat staf yang bekerja di Utusan Meloya mengirim SMS kepadanya memberitahu betapa dia amat merasa sedih dan malu di atas tindakan akhbar tersebut yang menjadi ejen penyampai bahan lucah dan fitnah.

Staf Utusan Meloya berkenaan meminta agar Zunar menyampaikan permohonan maaf dari beliau kepada DS Anwar, Azizah dan keluarga di atas perbuatan jijik akhbar berkenaan. SMS tersebut berbunyi " Sy dgn rndah diri & sedih mohon maaf krn trlibat akhbar yg fitnah DSAI.Minta Zunar sampai msj ini kpd K Wan & N Izzah (http://twitter.com/#!/zunarkartunis)

Satu lagi SMS yang diterima oleh beliau dari rakannya yang bertugas di akhbar pencacai tersebut berbunyi ," Sejak 30 thn kerja dgn Utusan, hari ini merupakan paling memalukan bg aku. Utusan Jadi Utusan Porno" (Twitter Zunar). Nampaknya seperti sudah tiada keberkatan buat mereka bekerja di akhbar yang selama ini terkenal dengan penyebar fitnah serta pemecah belah masyarakat serta umat Islam di negara ini.

Memang wajar dan tepat sekali tindakan sebuah sekolah Cina di Kuantan yang enggan menerima akhbar tersebut untuk dijadikan bahan bacaan murid-murid di sekolah berkenaan walaupun diberi percuma. Bayangkan jika sekarang ini murid-murid tersebut menatap akhbar berbahasa Melayu yang bersifat seperti majalah porno, lebih dahsyat lagi dengan berita fitnah yang menjijikkan. Betapa cerdiknya kaum Cina sekarang yang lebih tahu dan menilai mana satukah akhbar yang memberi faedah dan mana satukah akhbar yang boleh dijadikan alat untuk `beristinjak'.

Apa kah yang harus atau mungkin wajib buat semua staf terutamanya yang beragama Islam yang masih bertugas di akhbar pencacai itu lakukan? Mereka ada pilihan, samada ingin terus memakan gaji dengan majikan yang sebegini atau mencari peluang pekerjaan lain yang jelas bersih dan halal? Amat membimbangkan jika gaji mereka adalah hasil dari pekerjaan fitnah dan penyebaran bahan lucah.

Sebab itu, akhbar berkenaan tiada keberkatannya dan mendapat kerugian selalu walaupun akhbar tersebut berpuluh tahun wujud di negara ini. Inilah akhbar yang selalu ditatap oleh golongan tua di kampung-kampung terutamanya. Akhbar ini amat efisyen di dalam menyampaikan berita fitnah lagi menyesatkan golongan tersebut. Apakah tidak sedikit pun kita merasa bersalah berada di dalam kumpulan akhbar sedemikian?

Saya cadangkan agar carilah pekerjaan lain yang lebih memberikan ketenangan kepada kita agar rezeki yang diperolehi mendapat keberkatan Illahi. Berhentilah dari merosakkan minda dan akhlak bangsa kita. Cukuplah untuk bersekongkol dengan puak mereka yang tidak pernah takut kepada azab Allah./wfauzdin.blogspot.com

Sayangi remaja dengan didikan yang betul

03 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Kecuaian dan kesilapan ibu bapa dalam memberi didikan kepada anak-anak boleh mengakibatkan mereka tersasar dari landasan yang betul. Tahukah anda, Islam perintahkan ibu bapa menyuruh anaknya supaya solat waktu usia tujuh tahun ada sebabnya. Bukan sekadar suruh anak solat dan apabila anak itu sudah melakukannya, ditinggalkan begitu sahaja.

Tetapi suruhan solat ini hendaklah dengan penuh kasih sayang. Manakala pendekatan suruhan itu perlukan latih tubi selama tempoh tiga tahun. Bayangkan kalau tiga tahun dididik dan diawasi dengan penuh cermat, mampukah dia mencuri tulang lagi untuk lari daripada solat. Kemungkinan besar mereka tidak sanggup kerana sudah ada rasa satu dosa kalau meninggalkan solat.

Namun realiti yang berlaku pada hari ini, pada waktu anak-anak masih kecil, mereka diasuh oleh pengasuh taska dan tadika. Pada waktu itu, mereka sudah diajar doa makan, doa belajar, doa masuk tandas dan sebagainya. Tetapi doa itu tidak lagi diamalkan di rumah apatah lagi kalau iba bapa tidak berminat untuk mendengar atau membacanya.

Apabila anak-anak itu memasuki sekolah rendah dan menengah, terdapat sistem pembelajaran agama yang baik. Di sekolah latihan solat berjemaah telah dilakukan terutama pada waktu zohor.

Tetapi bagaimana ketika anak-anak itu pulang ke rumah? Ibu bapa langsung tidak memberi perhatian kepada perkara itu, malah ada ibu bapa yang tidak mahu menunaikan solat.

Jelas di sini, ibu bapa tidak berperanan pada usia anak itu tujuh tahun selama tiga tahun. Kalau inilah yang berlaku, apa yang akan terjadi kepada anak itu apabila dewasa kelak? Sudah pasti mereka tidak akan melakukan solat dan ibadah-ibadah lain. Kalaupun terdapat mereka yang melakukan solat, hanya kerana malu kepada kawan atau takut dimarahi ibu, bukan kerana tanggungjawab kepada Allah.

Jadi, proses didikan solat ini perlu dimulakan dari usia tujuh tahun dan berterusan selama 3 tahun. Apabila anak itu telah berusia 10 tahun, keadaannya perlu dipantau kerana lazimnya menjelang usia baligh seseorang itu sedang bertarung dengan godaan nafsu dan syaitan. Oleh sebab itulah Rasulullah mengingatkan ibu bapa agar merotan anak jika tinggalkan solat.

Rotan penting di usia ini kerana kanak-kanak pada peringkat ini sudah boleh berfikir mana yang baik dan mana yang jahat. Maka apabila anak itu diberi peringatan dengan rotan, dia akan melakukan yang terbaik. Solat yang dilakukan bertambah baik dan lebih khusyuk berbanding sebelumnya.

Tegasnya, anak yang terdidik sejak awal ini, akan mudah terkesan apabila diberi amaran dengan rotan. Tetapi kalau ibu bapa sudah gagal mendidik anak seusia tujuh tahun, rotan sudah tidak berkesan lagi pada usia 10 tahun. Inilah yang berlaku kepada remaja sekarang, mereka sudah tidak “makan saman” dengan ugutan rotan oleh ibu bapa mereka.

Didik iman

Selain solat, anak-anak ini perlu diberi perhatian kepada didikan iman. Iman adalah teras segala kekuatan yang memantapkan jati diri seseorang. Iman pada diri seseorang kalau hendak ibarat dengan sebatang pokok ialah akarnya. Keimanan kepada Allah adalah ibarat akar tunjangnya. Maka paling jauh akar itu ke dalam bumi pasti pokok itu akan terus kukuh berdiri.

Sebenarnya seseorang yang keimanannya kepada Allah tidak mantap, walaupun masih ada iman kepada rukun iman yang lain, jati dirinya tidak begitu kukuh. Iman tanpa keimanan kepada Allah yang mantap ibarat pokok yang tidak ada akar tunjang, mudah tumbang apabila dipukul rebut. Ini seperti pokok kelapa yang semangnya tidak ada akar tunjang.

Menyedari keadaan ini, anak-anak sebelum menjelang remaja perlu dikuatkan keimanan mereka kepada Allah. Didikan iman sama seperti didikan solat, perlu latih tubi beberapa tahun. Mungkin anda pernah dengar kisah seorang remaja pengembala kambing pada zaman Sayidina Umar al-Khattab.

Tatkala Khalifah Sayidina Umar al-Khattab membuat tinjaun ke atas akitiviti umat Islam beliau bertemu dengan seorang remaja yang sedang mengembala puluhan kambing. Khalifah yang tidak dikenali remaja itu, cuba bertanya, “bolehkah kamu menjual seekor kambing ini kepada ku?”
Remaja itu berkata, “maaf tuan, saya tidak diamanahkan untuk menjual.” Lalu Sayidina Umar berkata, “Tuan kamu tidak ada dan kalau kamu menjual seekor, pasti tuanmu tidak sedar. Dan wang jualan ini boleh kamu gunakan untuk keperluan kamu.”

Remaja itu dengan tegas berkata, “kalaupun tuan saya tidak ada dan tidak nampak, tetapi tuhan kepada tuan saya ada dan nampak perbuatan saya.”

Mendengar itu, khalifah berasa syukur kerana remaja ini sudah kukuh iman dan kukuh jati dirinya. Kerana dengan keimanan kepada Allah menjadikan dia tidak sanggup menipu tuannya walaupun peluangnya sudah di hadapan mata.

Keimanan yang semantap itu, sudah tentu bukan didikan sehari dua, tetapi bermula tiga tahun lalu. Persoalannya, berapa lama kita didik iman anak kita pada hari ini? Setahu saya proses didikan iman ini tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita. Belajar ilmu akidah, rukun iman belum menepati didikan iman yang saya maksudkan di atas.