15 Mac 2011

Umno nodai hak istimewa orang Melayu

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan pada masa ini dinodai 'fanatik kepartian' Umno.

Katanya, hak itu hanya berlegar dan dirasai kelompok parti pemerintah sahaja dan rakyat selainnya tidak merasai keistimewaan yang dijanjikan perlembagaan itu.

"Apa yang merisaukan kita, hak istimewa ini tidak dijaga dengan baik menyebabkan fanatik kepartaian berlaku.

"Yang dipentingkan adalah bumiputera yang menyokong Umno, yang sokong parti pemerintah di Sabah dan Sarawak, kemudian ditambah lagi kroni-kroni pemimpin tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Pakatan Rakyat sebelum ini sering dituduh cuba menghapuskan hak istemewa itu biarpun mereka dalam konvensyen membuat resolusi untuk mempertahan segala peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, parti pemerintah sewajarnya menunjukkan contoh yang baik dalam menunaikan hak perlembagaan dan sepatutnya adil terhadap semua rakyat bukan kepada kelompok mereka sahaja.

Katanya, perkara tersebut berlaku akibat pemimpin negara melebihkan perjuangan bangsa berbanding agama.

Ia ditambah lagi dengan sikap pemimpin Melayu yang tidak mengamalkan akhlak Islam sebenar seperti terlibat rasuah dan salahguna kuasa.

"Pimpinan utama Umno sendiri, Tun Mahathir Mohamad menyatakan secara terbuka bahawa parti pemerintah dibejati gejala rasuah dalam pemilihan mereka," katanya.

Dalam perlembagaan ujarnya lagi, hak istimewa orang Melayu diletakkan kerana menerima hakikat bahawa orang Melayu adalah majoriti Islam dan diakui kaum lain.

"Tapi kita mesti ingat, bahawa jati diri orang Melayu dan kewibawaan mereka terletak kepada sejauhmana mereka berpegang kepada ajaran Islam," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah .

Lelaki OKU rentung, kereta terbakar

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) rentung selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Lebuh Raya Kajang Silk, semalam.

Pemangku Ketua Trafik Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, kereta dipandu S A Vimalan, 26, terbabas dan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan kuat, kereta terbabit terbakar dan mangsa gagal keluar daripada kenderaan itu. Mangsa rentung dalam kereta.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Menurutnya, kereta dipandu mangsa dipercayai dari arah Semenyih ke Kajang, sebelum terlibat kemalangan.

Sinar Harian/-

Bekas OCPD diarah bayar RM200 ribu

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUANTAN, 15 Mac: Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu.

Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi.

Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri.

Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam.

Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap.

Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAStersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut.

Dr Hatta, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan.

Harakahdaily/-

Abdullah Sani: Siapa Rosmah Untuk Bercakap Mewakili Malaysia?

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMMPUR 14 MAC: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak berhak untuk mengeluarkan kenyataan mewakili kerajaan Malaysia terutamanya berkenaan isu antarabangsa yang sensitif seperti bencana gempa bumi Jepun.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata Rosmah tidak patut 'lepas mulut' semata- mata mahu menjawab soalan wartawan tetapi patut sedar kedudukannya dalam hierarki pentadbiran kerajaan sebelum mengeluarkan kenyataan sebegitu.

"Kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang tidak berhak untuk memberi komen," kata Abdullah.

Abdullah berkata kejadian yang menimpa Jepun adalah bencana alam dan ia langsung tidak dijangka berlaku. Oleh itu untuk meletakkan sepenuhnya kesalahn keatas pembangunan tenaga nuklear Jepun adalah kenyataan yang melampau.

"Ini adalah gempa bumi. Tiada siapa yang mengharapkan berlakuknya gempa bumi. Tidak ada kerangka untuk berdepan dengan insiden seperti itu. Bagi saya jika mahu mengeluarkan komen, haruslah dengan berhemat. Supaya tidak menghiris hati mana- mana pihak,"

"Kita harus peka, jangan letakkan diri kita dalam keadaan selesa," tambahnya lagi.

Ahad lalu, Rosmah membuat kejutan apabila membayangkan tragedi tsunami dan gempa bumi di Jepun adalah akibat kelalaian negara itu melaksanakan pembangunan mesra alam.

Ketika pemimpin kerajaan lain termasuk suaminya menyampaikan takziah kepada Tokyo, stesen televisyen AWANI memetik Rosmah sebagai berkata malapetaka itu memberi pengajaran penting kepada Jepun dan negara-negara lain.

Beliau mengaitkan gempa bumi dan tsunami yang melanda timur laut Jepun kepada pembangunan pesat dan perubahan iklim dunia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberitahu beliau tidak faham langsung apa yang cuba dikatakan oleh Rosmah kerana apa yang berlaku merupakan satu bencana alam yang sememangnya tidak diingini oleh mana-mana pihak.

Katanya lagi, pengajaran yang ketara ialah kerajaan patut mengugurkan pelan pembinaan loji nuklear sebaliknya mempertimbangkan penggunaan sumber alam lain di Malaysia dalam menjana tenaga elektrik.

"Apa yang dimaksudkan Datin Sri Rosmah saya pun tdak tahu. Apa pengajaran yang cuba dikatakan saya tidak tahu," seloroh Khalid

"Penggunaan nuklear adalah pilihan terakhir untuk kita laksanakan pembangunan. Kalau tidak ada pilihan untuk menggunakan tenaga ini, kita harus menyediakan peralatan yang secukupnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku kerosakan seperti yang berlaku di Jepun kini," ujar Khalid.

Manakala Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, kerajaan Unmo-BN Malaysialah yang patut mengambil pengajaran daripada isu ini dalam memeprtimbangkan rancangan mereka membina loji nuklear.

Tambah beliau, Rosmah patutnya memberitahu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui untuk mengambil pengajaran daripada bencana yang menimpa Jepun dan bukannya memperlekehkan bencana tersebut yang telah meragut beribu nyawa.

Izzah menegaskan, Pakatan Rakyat berkali- kali menyatakan Malaysia masih belum bersedia untuk membangunkan tenaga nuklear.

"Pada saya sekarang, menteri ambil maklum dan siapa yang patut belajar ? Kitalah. Kita ambil langkah berwaspada dan tidak teruskan rancangan untuk membina loji yang membawa bersama risiko maha tinggi.

Dalam pada itu, stsen tv tempatan jepun, kyodo news melaporkan, tahap radiasi lebih tinggi iaitu 400 kali ganda dicatatkan hari ini di wilayah utara ibu negara Jepun, Tokyo selepas gempa bumi memusnahkan loji kuasa nuklear.

Mengikut agensi berita Reuters, angin perlahan yang bertiup dari loji nuklear Fukushima Daiishi akan memberi kesan ke atas terhadap ke atas Kyoto termasuk Tokyo.

Tahap radiasi kini dilaporkan pada tahap yang boleh mengancam kesihatan dan penduduk yang berada pada radius 30km daripada loji nuklear dinasihatkan berada di dalam rumah.

Tv Selangor/-

20 tahun tunggu BN beri geran tanah, akhirnya PR yang beri

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

NOTA EDITOR: Kalau ditakdirkan BN terus memerintah tahun 2008 yang lepas, jangan mimpilah Kampung GOmbak Setia ni nak dapat geran tanah. Cium bau geran pun tak dapat. Yang dapat adalah surat minta kosongkan premis sebab tanah dah kena gadai dengan kroni.

Syukur alhamdulillah. Inilah buktinya Pakatan Rakyat membela Melayu.
Tak perlu dabik dada. Terus tunjuk dengan perbuatan.
Tak sabar nak baca komen siber-berukper UMNO. Hehehehe
Penantian 20 tahun penduduk Gombak Setia berakhir
Saturday, 19 February 2011 Ruangan: Berita

GOMBAK, 19 Feb -Penantian hampir 20 tahun penduduk Kampung Gombak Setia akhirnya terlerai apabila 117 daripada mereka hari ini menerima geran hak milik tanah atau notis 5A dari Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada masa sama mereka turut dikhabarkan dengan berita gembira oleh Khalid berhubung pengurangan bayaran premium tanah yang didiami mereka dari RM2.50 kepada RM1.00 sekaki persegi.

“Dengan mengambilkira penempatan ini sentiasa menjadi rizab tanah orang-orang Melayu, saya dan ahli exco kerajaan negeri telah bersetuju untuk menurunkan daripada RM2.50 sekaki kepada RM 1.00 sekaki,” kata Khalid.

Menurut Khalid, tempoh setahun diberikan kepada penduduk supaya memulakan pembayaran premium tanah mereka sekiranya tidak mahu dikenakan sebarang tindakan perundangan.

Sementara itu, Khalid juga turut memaklumkan tempoh tiga bulan diberikan kepada penduduk yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan notis 5A supaya segera berbuat demikian.

Khidmat untuk mengisi borang tersebut juga akan dijalankan dari rumah ke rumah.

Ujarnya, penduduk harus sedar bahawa tanah merupakan hak rakyat dan pemilik perlu mengambil berat serta menjaga hak mereka sebaik mungkin.

Kesedaran seumpama itu penting kata Khalid supaya rakyat tidak terlalu bergantung kepada Pejabat Tanah untuk menguruskan permasalahan tanah mereka.

Dalam pada itu Khalid juga memberitahu, kerajaan negeri kini sedang merangka sistem untuk menyimpan semua data-data dan dokumen berkaitan tanah supaya ia mudah dikendalikan.

“Dalam masa enam bulan lagi, kita akan menyediakan satu sistem yang mana tiada fail yang digunakan dan saya akan kumpulkan semua dan dimasukkkan salinan dalam sistem web yang ianya boleh diakses dengan mudah.

“Tiada lagi masalah kehilangan fail. Kita mahu adakan sistem yang telus untuk masyarakat kerana itu adalah harta utama masyarakat dan jika tidak dijaga dengan baik bererti kita tidak memberikan perkhidmatan dan berkebajikan,” katanya.

Untuk rekod, penduduk Kampung Gombak Setia telah menuntut hak pemilikan tanah sejak tahun 90-an memandangkan majoriti penduduk yang tinggal di kawasan penempatan itu ialah Melayu.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

PAKATAN RAKYAT PERAK BUAT LAPORAN POLIS ISU DEMONSTRASI HARAM UMNO PERAK

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH , 15 MAC , Pakatan Rakyat Perak telah membuat satu laporan Polis berkenaan isu demonstrasi haram di hadapan pejabat PAS , DAP dan PKR di Jalan Medan Istana Ipoh pada ahad lepas yang dihadiri oleh sekumpulan individu yang dikenali sabagai ahli UMNO bersama Dato Hamidah Othman,

Adun Sungai Rapat yang juga merupakan ketua penerangan wanita UMNO Malaysia.
Beberapa orang wakil yang terdiri dari PAS, DAP dan PKR, yang diwakili Yb Sivakumar ( DAP ), Sdr Ismad Shahril ( PAS ) , Yb Chan Ming Kai ( PKR ), Yb Wong Kah Woh ( DAP ), dan Ustaz Hafez Sabri ( PAS ) telah hadir ke Balai Polis Ipoh, untuk membuat laporan tersebut Poster-poster yang berbaur hasutan dan ugutan ditampal di depan pintu pejabat PAS, DAP dan PKR Perak dengan tujuan untuk menimbulkan kekacauan dan mempengaruhi keputusan mahkamah.

Tujuan demonstrasi haram itu kononnya untuk mendesak Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menyerahkan DNA beliau, kumpulan demonstrasi haram ini juga telah menampal poster-poster yang mempunyai perkataan “ subjudice ” seperti andaikata PAS dan DAP gagal mendesak Anwar Ibrahim memberikan DNA, maka sahlah DNA lelaki Y adalah DNA Anwar Ibrahim dan Anwar Ibrahim bakal Hosni Mubarak Malaysia dan beberapa kata-kata kesat yang ditulis diatas poster kumpulan demonstrasi haram itu.

Bagi PAS dan Pakatan Rakyat Perak, kes yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih dalam perbicaraan dan pertimbangan mahkamah, Oleh yang demikian pihak luar tidak boleh campur tangan dan mempengaruhi keputusan hakim dan mahkamah.

Tindakan demonstrasi haram yang diketuai Dato Hamidah Othman itu, jelas menunjukkan bahawa bahawa UMNO bertindak secara tidak professional serta mereka menghina mahkamah yang sedang menguruskan kes tersebut.

Pakatan Rakyat Perak menggesa agar pihak polis membuat penyiasatan dan menghentikan segera segala provokasi yang cuba menimbulkan iklim politik kotor di Perak, hal ini penting supaya tindakan seperti desakan dan demonstrasi haram ini tidak mempengaruhi keputusan mahkamah dalam membuat sebarang keputusan berkenaan kesi ini.


Semua 242 pelajar Malaysia selamat

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Semua 242 pelajar Malaysia yang berada di 10 kawasan yang menerima gegaran berkekuatan lebih 6 pada skala Richter semasa gempa bumi melanda Jepun, Jumaat lepas dilaporkan selamat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung, berkata pelajar berkenaan adalah dari 20 institusi pengajian tinggi (IPT) di Sendai yang mengalami gegaran kuat.

Katanya, berdasarkan rekod Japan Education Student Organization, jumlah pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Jepun adalah seramai 2,465 orang termasuk 1,327 tajaan kerajaan Malaysia, 201 kerajaan Jepun dan 937 pelajar persendirian.

“Bagaimanapun, jumlah pelajar yang berdaftar dengan kedutaan adalah seramai 1,521 orang,” katanya menjawab soalan tambahan John Fernandez (DAP-Seremban).

Fernandez ingin tahu mengenai usaha dilakukan kerajaan supaya pelajar Malaysia di luar negara berdaftar dengan Jabatan Penuntut Malaysia atau kedutaan termasuk di Jepun yang didakwa terdapat pelajar gagal dikesan selepas gempa bumi dan tsunami melanda negara itu.

Dr Hou berkata, Wisma Putra akan menyelaraskan operasi di Jepun dan semua pihak termasuk pelajar dan ibu bapa perlu mendapatkan nasihat dan arahan seterusnya.

Menjawab soalan asal Fernandez, beliau berkata, pelajar Malaysia berdaftar dengan Jabatan Penuntut Malaysia adalah sembilan orang di Singapura, 124 di China, 3,811 di United Kingdom, 948 di Amerika Syarikat, 513 di Perancis dan 672 di Jerman.

Sinar Harian/-

PM Jepun Sahkan Radioaktif Bocor, Paras 'Sangat Tinggi'

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO 15 MAC : Perdana Menteri Jepun Naoto Kan mengesahkan radiasi keluar daripada loji tenaga nuklear di timur laut negara itu selepas awal pagi tadi letupan kali ketiga dalam tempoh empat hari dan satu lagi kebakaran baru dilaporkan.

"Nampaknya kadarnya sangat tinggi, dan masih ada tahap risiko yang tinggi bagi lebih banyak radiasi keluar (dari loji)," kata Kan dalam kenyataan dikeluarkan menerusi televisyen.

Kan memberitahu radiasi terbocor daripada tiga reaktor loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi, salah satu wilayah yang paling teruk dilanda gempa bumi pada skala 9 dan tsunami 10 meter.

Sementara itu zon tiada penerbangan (no fly zone) diumumkan pada radius 30 km persegi sekitar loji nuklear Fukushima Daiichi.

Perdana Menteri itu berkata, mereka yang tinggal dalam kawasan lingkungan 30 kilometer diminta hanya berada di rumah masing-masing.

Operator reaktor telah meminta bantuan Amerika Syarikat manakala agensi berita Kyodo pula berkata kadar radiasi sembilan kali lebih tinggi daripada kedudukan yang dikesan di Kanagawa dekat Tokyo.

"Kami mengambil segala usaha yang terdaya untuk mengelakkan kebocoran daripada merebak," Kan.

"Saya tahu bahawa orang ramai bimbang tetapi saya minta anda bertindak dengan tenang," katanya lagi.

"Berlaku kebakaran di reaktor No 4 dan paras radiasi di kawasan sekitar telah meningkat dengan signifikan. Kemungkinna kebocoran radioaktif semakin meningkat," kata Kan yang kelihatan suram.

Terdahulu Kedutaan Perancis mengeluaran amaran bahawa radiasi dari kawasan itu akan bergerak ke Tokyo dalam tempoh 10 jam.

Jarak antara Tokyo dan kawasan loji iti adalah kira-kira 240 kilometer.

Di sebalik kebimbangan mengenai impak bencana berganda ini, pasaran saham Jepun pula jatuh tujuh peratus, ke paras paling rendah dalam dua tahun, selepas merosot 7.6 peratus semalam.

Sebelum ini Kan memberitahu Jepun berhadapan dengan krisis paling buruk sejak Perang Dunia Kedua dengan kos kewangan bencana ini dianggarkan AS180 bilion, yang menurut penganalisis akan membawa negara ketiga terkaya itu kembali ke era kemelesetan.

Tv Selangor/-








Jet Pejuang Gaddafi Bom Bandar Ajdabiya

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOBRUK Libya 15 MAC : Jet-jet pejuang tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi mengebom bandar Ajdabiya yang dikuasai pemberontak yang merupakan satu daripada dua pusat utama memisahkan tentera kerajaan dan ibu pejabat pihak pemberontak.

Seorang penduduk bandar itu, Said Ali Bouhilfaya, seorang jurutera berkata, serangan udara itu berlaku setiap 20 minit selepas suasana tenang sehari suntuk.

Serangan bom itu berlaku selepas jurucakap pihak pemberontak mendakwa pesawat kerajaan menggugurkan risalah-risalah di seluruh bandar Ajdabiya meminta penduduk tidak menyokong kumpulan yang menentang Gaddafi

Tv Selangor/-

Radiasi nuklear Jepun akan tiba di Malaysia?

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) berharap Kerajaan Pusat bertindak lebih pantas tetapi tepat dalam menerangkan situasi sebenar di Jepun serta apakah akibat yang mungkin dialami rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Apakah peratusan kemungkinan radiasi dari loji tenaga nuklear ini akan tiba di Malaysia, berdasarkan senario full meltdown?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut bertanya apakah langkah berjaga-jaga yang harus diambil rakyat Malaysia.

“Adakah Kerajaan Pusat benar-benar bersedia menghadapi situasi pencemaran nuklear yang mungkin terjadi?” soalnya lagi.

Pada masa yang sama, katanya Kerajaan Pusat wajib menghentikan dahulu sebarang perancangan untuk membina loji tenaga nuklear mahupun pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth refinery) di negara ini.

Ini ekoran pagi ini dunia dikejutkan lagi dengan berita letupan ketiga di loji tenaga nuklear Daiichi di Fukushima, Jepun.

Mengikut laporan agensi berita Reuters serta The New York Times, letupan di reaktor No 2 telah berlaku jam 6.14 pagi waktu Jepun dan kerosakan yang timbul mungkin bersifat lebih kritikal, lalu menyebabkan senario full meltdown semakin mungkin berlaku.

Reuters menambah bahawa kadar radiasi sekitar loji nuklear tersebut telah meningkat empat kali ganda.

Harakahdaily/-

Inilah yang buat Umno sakit hati

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Skim Mikrokredit Selangor (MIMBAR) Bantu Ramai Melayu

NOTA EDITOR: Berbeza dengan UMNO yang suka menipu rakyat, kerajaan PR Selangor menganggap penduduk bandar yang berpendapatan RM1500 ke bawah sebagai miskin lantas wajib dibantu. UMNO pula menganggap sesiapa sahaja berpendapatan di atas RM500 sudah dikira tidak miskin. JAdi, BERJUTA rakyat di bandar terutamanya orang Melayu tidak mendapat bantuan kerajaan kerana dianggap mereka ini tidak miskin.

Memang UMNO kerja suka menipu orang Melayu. Inilah padahnya orang Melayu yang suka menyokong UMNO, asyik kena tipu je.

Kerajaan PR Selangor mengambil langkah mengadakan Skim Mikrokredit yang dipanggil sebagai MIMBAR(Skim Mikrokredit Miskin Bandar).

Untung rakyat Selangor yang miskin tak payah pinjam duit dengan Along untuk meniaga pasar malam. Boleh pinjam dengan Kerajaan Negeri Selangor yang prihatin masalah dan kesusahan rakyat.

Ikutilah testimoni salah seorang peminjam MIMBAR ini yang bernama Sapidah Abdul Ghani:

Manakala bagi Sapidah Abdul Ghani pula, skim mikrokredit ini adalah sebagai alternatif lain kepada masyarakat untuk membuat pinjaman kewangan tanpa faedah selain daripada pinjaman bank dan pinjaman haram (along).

“Saya sokong seratus peratus bila kerajaan negeri beri bantuan begini kerana ia boleh membantu peniaga kecil-kecilan membuat modal pusingan supaya tidak membebankan peniaga. Selain itu, ia mengurangkan bebanan peniaga supaya tidak meminjam kepada along. Ia membantu peniaga bawahan seperti saya yang baru mula berniaga,”katanya lagi.

MiMBAR dapat reaksi positif rakyat
Monday, 07 March 2011 Ruangan: Berita

YAB. Dato' Menteri Besar Selangor menyampaikan sijil kepada peserta yang diterima menyertai program MiMBAR

SHAH ALAM, 7 Mac – Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang memperuntukkan RM20 juta kepada rakyat miskin di bandar Selangor mendapat reaksi positif rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan peniaga kecil-kecilan.

Hassan Muhammad, yang ditemui Selangor Kini berkata, program MiMBAR dilihat memberi kemudahan kepada masyarakat untuk memperolehi pinjaman kewangan tanpa perlu membayar semula dengan kadar faedah yang tinggi.

Beliau yang juga peniaga kecil-kecilan memandang positif bantuan yang disalurkan kerajaan negeri malah berpendapat ia sedikit sebanyak meringankan bebanan kos perniagaan yang terpaksa ditanggung selama ini.

“Pada pendapat saya, skim ini lebih menyenangkan untuk kita kerana rakyat tidak perlu membayar faedah atau bunga yang tinggi seperti pinjaman di bank. Saya
menyokong skim ini tetapi belum bercadang untuk memohon sekarang, mungkin di masa hadapan nanti sebab saya belum ada perniagaan sendiri,”katanya.

Sementara itu, Rosni Abdullah yang juga seorang peniaga gerai turut meluahkan pendapat sama. Beliau yang berniaga lebih sepuluh tahun sentiasa mengharapkan bantuan kewangan untuk mengembangkan perniagaannya.

“Makcik sokong kalau skim ini diberikan kepada orang ramai. Macam peniaga kecil yang tak mampu nak buat pinjaman. Makcik ada juga memohon, tapi belum hantar lagi borang. Kalau dapat pinjaman ni, makcik nak beli perkakas, contohnya peti ais, mesin kisar cili. Itu sahaja, bukan ada tujuan lain. Bantuan begini
sangat bagus kerana berniaga secara kecil-kecilan berapa sangat yang kami dapat,”katanya.

Bagi Amnah Sahabudin pula, skim ini harus diuar-uarkan kepada masyarakat khususnya peniaga kecil kerana golongan seperti ini sentiasa mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Kemudahan tersebut mestilah saya sokong. Saya hendak memohon, tetapi perlu tahu bagaimana cara untuk membayar semula pinjaman tersebut sama ada setiap minggu atau setiap bulan,”katanya, yang mengharapkan penjelasan rapi diberikan.

Manakala bagi Sapidah Abdul Ghani pula, skim mikrokredit ini adalah sebagai alternatif lain kepada masyarakat untuk membuat pinjaman kewangan tanpa faedah selain daripada pinjaman bank dan pinjaman haram (along).

“Saya sokong seratus peratus bila kerajaan negeri beri bantuan begini kerana ia boleh membantu peniaga kecil-kecilan membuat modal pusingan supaya tidak
membebankan peniaga. Selain itu, ia mengurangkan bebanan peniaga supaya tidak meminjam kepada along. Ia membantu peniaga bawahan seperti saya yang baru mula berniaga,”katanya lagi.

MiMBAR adalah sebuah program yang bertujuan meningkatkan pendapatan masyarakat miskin bandar negeri Selangor untuk melebihi “Paras Garis Kemiskinan (PGK)”, iaitu melebihi RM1,500 bagi seisi rumah.

Pada peringkat awal, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri bagi memastikan agihan peluang, latihan serta kekayaan negeri dapat dikongsi semua pihak.

Program tersebut dipengerusikan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

Pemuda Perak masih tunggu fatwa letak ancak

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH, 15 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menghantar surat kepada Mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memohon diwartakan fatwa perbuatan menteri besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri rumah program Projek Infra Bina Upaya (Ibu) di Kampung Guar, Manong pada 16 Oktober 2010 lalu.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, Pemuda PAS negeri terus terpanggil bagi mendapatkan penjelasan tersebut setelah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini mengeluarkan fatwa mengharamkan ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah Kampung Menderang Sungkai yang mana permohonan pihaknya masih belum terjawab sehingga berbulan-bulan.

“Kami merasa agak kesal kerana permohonan kami telah dipolitikkan dan telah meragukan kerana persoalan yang telah dikemukakan adalah perkara besar yang jauh lebih penting berbanding politik semata-mata.

“Dan ianya membabitkan seorang pemimpin besar dan akidah seorang Muslim ujarnya dalam surat berkenaan,” ujarnya dalam surat berkenaan.

Beliau menambah, pihaknya tidak akan memberikan jaminan bahawa perbuatan yang bertentangan dengan akidah umat Islam akan terus menjadi penyakit yang ‘dibenarkan’ oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Ini, ujarnya kerana dengan tanggapan Pemuda PAS negeri bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak sengaja membiarkan perkara itu terus berlaku.

“Akhirnya, sekali lagi kami merayu agar keikhlasan dan kekuatan Y.Bhg. Tan Sri bersama Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di dalam perkara ini,” ujarnya.

Tegasnya, perkara asas bagi seorang muslim yang sejati ialah akidah yang benar dan tidak dipesongkan.

Harakahdaily/-

Khalid: Bukan Senang Mengawal Risiko Loji Nuklear

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 15 MAC: Susulan insiden kebocoran reaktor nuklear Tepco di Jepun, Pakatan Rakyat sekali lagi menyatakan kesangsiang mereka terhadap cadangan pembinaan loji nuklear di negara ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kejadian luar kawalan yang berlaku di negara matahari terbit itu harus dijadikan iktibar.

"Kami Pakatan rakyat sentiasa menyatakan kesangsian kita terhadap projek ini. Kalau kita ada pilihan lain, kita mencadangkan adalah alebih baik kerajaan Malaysia gunakan selain daripada nuklear," kata Khalid.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan wakil Duta Jepun di Kedutaan Jepun pagi tadi, bagi menzahirkan ucapan takziah dan meyuarakan simpati mereka terhadap mala petaka yang menimpa wilayah Timur Laut Jepun itu.



"Pengalaman di Jepun menunjukkan bukan senang mahu kawal kerosakan yang berkaitan dengan nuklear, terutama dengan kesan radiasi dan bahan uranium," ujar Khalid.

Kesempatan itu juga Khalid turut menyampaikan sokongan serta kesediaan Selangor untuk menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

Khalid berkata, kerajaan Selangor mencadangkan dua bentuk bantuan dalam usaha membantu mangsa gempa bumi dan tsunami dearah Sendai, Jepun dimana kebanyakan penduduk adalah petani dan nelayan.

Pertama adalah memberikan sumbangan kepada badan sukarelawan antarabangsa, Red Cross dan kedua menawarkan khidmat jururawat terlatih bagi meringankan beban mangsa yang trauma akibat bencana ini.

Khalid turut menyampaikan pesanan daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyuarakan keprihatinan mereka terhadap mangsa dan menyatakan akan sentiasa berdoa untuk keselamatan serta kesejahteraan rakyat Jepun. - TVS

Manifesto: MB Kedah sedia jawab pada sidang Dun

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUBANG PASU, 15 Mac: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia menjawab sebarang soalan berkaitan pencapaian melaksanakan 80 peratus manifesto pilihan raya umum (PRU) lalu pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) April nanti.

Azizan mengulas desakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang meminta kerajaan negeri mengemukakan bukti kejayaan PAS melaksanakan janji-janji yang terdapat di dalam manifesto lalu.

Menurutnya, beliau akan menjawab semua soalan yang bakal diajukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional mengenai kejayaan kerajaan negeri yang dipimpinnya.

“Tak perlu nak senaraikan kepada mereka kerana kita sebelum ini sudah senaraikan kejayaan yang dibuat kerajaan dalam Warta Darul Aman. Saya akan jawab kalau mereka tanya nanti.

“Mereka cakap nak tengok ekonomi, mai tegok sendiri, kalau nak bukti pi tengok dekat Audit Negara, kita dapat RM53 juta tahun ni hasil balak,” katanya kepada media selepas lawatan ke Ladang Nanas milik Kedah Agro Holding Berhad di Laka Temin, semalam.

Isu ini timbul apabila Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Abdul Ghani Ahmad dalam kenyataannya mendedahkan kejayaan kerajaan negeri melaksanakan 46 perkara (80.7 peratus) daripada 57 perkara yang terdapat di dalam manifesto PRU 12 lalu.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Shubihi Muhamad Zain .

Insurans: PAS mahu jumpa Bank Negara

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: PAS melalui NGO Gerakan Bela Rakyat (Bela) akan mengadakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendesak satu mekanisma terbaik diusahakan bagi menangani isu caj insurans yang 'tidak masuk akal'.

Pengerusi Bela, Salahuddin Ayub berkata, selain Bank Negara, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan.

Tindakan itu katanya dibuat ekoran tiada sebarang perkembangan positif dari pihak terbabit walaupun Bela memperjuang isu itu sejak Ogos tahun lalu.

"Oleh kerana tiada apa-apa perkembangan positif, Bela akan mengadakan pertemuan dengan pihak Bank Negara dan juga Kementerian Kewangan.

"Kita desak agar satu mekanisma penyelesaian disegerakan agar kadar insuran tidak membebankan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada Harakahdaily.

Khamis lalu, isu caj insurans melampau dan manipulasi pembelian insurans ini hangat dibincangkan di Dewan Rakyat.

Wakil rakyat masing-masing menggesa BNM mencari penyelesaian segera memandangkan ia telah berlarutan sejak dua tahun lepas.

Mereka juga mendesak agar tindakan diambil terhadap syarikat-syarikat insurans yang didakwa mengambil kesempatan ke atas rakyat.

Selain itu, pengguna kini didakwa terpaksa membayar sehingga RM200 untuk mendapatkan liputan insurans (insurance coverage) untuk kenderaan lama mereka berbanding hanya RM70 hingga RM80 sebelum ini.

Syarikat insurans juga turut mewajibkan pemilik kenderaan untuk membeli pelbagai insurans tambahan lain termasuk insurans kemalangan peribadi, insurans bagi penumpang dan caj muatan sebelum boleh membeli perlindungan insurans pihak ketiga bagi kenderaan mereka.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah .

SPRM Digesa Siasat BN Perak, Salahguna Kuasa


10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
PERAK 15 MAC : Sekurang- kurangnya 20 penduduk Gunung Cheroh, Ipoh membuat satu laporan polis kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kepimpinan UMNO Barisan Nasional Perak yang didakwa menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi mereka berhubung isu pemberian hak milik tanah kepada syarikat Fasa Unggul Sdn Bhd baru-baru ini.

Adun Buntong, A Sivasubramaniam berkata, selain membuat laporan kepada SPRM pihaknya turut menggesa kerajaan negeri itu bersikap prihatin terhadap kesusahan dan kebajikan rakyatnya.

”Tujuan kita semua datang ke sini adalah untuk membuat laporan terhadap sprm kerana kita dapati ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa di mana kebanyakan penduduk telah menetap di tempat ini lebih kurang 70 tahu,

"Jadi laporan ini akan dibawa kepada tuan atau puan majisteret di mahkamah terhadap kes yang akan didengar pada 23 Mac ini supaya menangguhkan penguatkuasaan terhadap rumah mereka dan kita juga akan turut menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak supaya beliau dapat menolong rakyat miskin ini,” kata Siva

Sebelum ini, satu notis mengosongkan kawasan penempatan itu dikeluarkan berikutan pemberian hak milik tanah penempatan tersebut kepada sebuah syarikat pemaju di negeri itu baru-baru ini.

Menurut Sivasubramaniam, tindakan kerajaan negeri memberikan kelulusan kepada pihak lain dan bukan kepada penduduk kawasan terbabit menimbulkan keraguan pihaknya memandangkan penempatan ini sudah didiami sehingga generasi ketiga.

Subramaniam berkata, permohonan penduduk bagi mendapat milikan penempatan ini juga menemui jalan buntu apabila beberapa rayuan yang dibuat tidak diendahkan kerajaan negeri dan Pejabat Tanah negeri itu.

Jelas Sivasubramaniam, laporan tersebut juga berikutan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan terhadap pihak peguambela dan peguamcara V.Selva & Assoc. dengan mengarahkan penduduk di kawasan terbabit mengosongkan tanah yang mereka duduki sejak 80 tahun yang lalu.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang ditemui berkata, beliau turut mendakwa Ketua MIC Perak, Thangeswari meminta bayaran RM 10,000 sebagai yuran bagi memperjuangkan keadilan mereka dalam memiliki penempatan tersebut. - TVS

Lagi letupan kilang nuklear

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO - Sekurang-kurangnya 11 cedera dalam satu letupan besar reaktor unit ketiga kilang nuklear Jepun, semalam.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano berkata, seramai empat askar peribadi dan tujuh pekerja kilang cedera apabila reaktor unit 3 di kilang nuklear Fukushima Daiichi meletup.

Menurutnya, satu lagi reaktor kehilangan sistem pendingin tidak lama selepas itu, meningkatkan risiko berlaku letupan lain.

Sebelum ini, satu letupan hidrogen berlaku ke atas reaktor unit 1, di kilang nuklear yang sama, Sabtu lalu, sehari selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut Jepun.

"Setakat ini, seramai 210,000 orang dalam radius 20 kilometer dari kilang tersebut telah dipindah ke kawasan selamat," kata Edano.

Sinar Harian/-

Adik Karpal meninggal, bicara kes liwat ditangguh

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diberitahu adik peguam bela utama, Karpal Singh telah meninggal dunia.

Malaysiakini melaporkan perkara itu dimaklumkan oleh seorang lagi peguam bela, Sankara Nair yang berkata adik bongsu Karpal meninggal dunia pada jam 11 malam semalam.

Katanya, Karpal akan sibuk dengan urusan pengebumian sehingga Isnin kerana terpaksa terbabit dengan acara keagamaan.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata dalam keadaan seumpama itu adalah sukar bagi beliau membantah.

Beliau juga merakamkan takziah kepada Karpal dan keluarganya.

Hakim Mohd Zabidin kemudian bersetuju membenarkan perbicaraan ditangguhkan sehingga Isnin ini.

Mahkamah yang bersidang hari ini sepatutnya mendengar hujah balas daripada Karpal berhubung dua permohonan daripada pihak pendakwaan.

Permohonan pertama adalah bagi hakim mengkaji semula keputusannya yang menolak tiga barangan sebagai bahan bukti yang dibuat pada perbicaraan dalam perbicaraan Selasa lalu.

Permohonan kedua pula adalah bagi mahkamah mengarahkan ketua pembangkang itu membekalkan sampel DNA untuk diuji.

Harakahdaily/-

PKR harap Jepun bangun semula infrastruktur

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Kerajaan Jepun cepat menyusun pembangunan semula infrastruktur yang terkesan akibat bencana gempa bumi dan tsunami beberapa hari lalu.

Katanya, menginsafi akan bencana yang itu, beliau mewakili warga kepimpinan dan akar umbi parti seluruhnya merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Jepun dan juga rakyat Malaysia yang bermastautin di sana.

Tambahnya, tsunami yang diberitakan antara yang terburuk dalam sejarah Jepun jelas merentap sanubari.

“Walaupun begitu, kita seharusnya mencontohi masyarakat Jepun yang begitu berdisiplin meskipun ketika berhadapan dengan malapetaka besar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tahap kesabaran mereka juga, kata beliau sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh masyarakat dunia.

“Kedua-dua ciri penting ini pastinya membolehkan mereka bangkit dengan cepat bagi membina semula bandar yang musnah teruk,” katanya lagi.

Beliau menambah, apatah lagi dengan kegigihan dan kesungguhan mereka mengenalpasti kaedah dan strategi serta penyebaran maklumat cepat dan tepat kepada seluruh rakyat, pasti akan membantu.

“Nyata sekali insiden ini mengundang kesedihan kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai,” ujarnya.

Justeru, katanya PKR mendoakan agar Tuhan mengurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi kepada mereka yang terlibat.

Harakahdaily/-

Tsunami@Jepun - Pekan Yamamoto bak lautan lumpur

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
17,000 rumah terletak di pantai Pasifik musnah

SEORANG wanita duduk di tepi jalan menangis melihat kediaman dan harta benda musnah akibat gempa, tsunami yang melanda bandar Natori, Miyagi. Foto - albanjari online/BBC

YAMAMOTO: Di pekan yang dihanyutkan tsunami, Yamamoto di daerah Miyagi, ibu bapa kepada remaja berusia 18 tahun masih mencari bas mini yang membawa anak mereka.
Pasangan itu berkata, anak mereka berada dalam bas itu selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut Jepun.

“Anak kami berada dalam bas itu. Tolong keluarkan segera,” kata ibu bapa Mizuki Kanno sambil menjerit selepas mendapati bas mini itu hancur dan mayat anak mereka di dalam kenderaan itu. Menangis sambil meminta tolong hanyalah satu-satunya perkara yang mampu dilakukan Eiji dan Matsuko Kanno, masing-masing berusia 43 tahun.

Polis tempatan memberitahu mereka yang tiada apa yang boleh dilakukan kerana kekurangan peralatan.

Di pekan Yamamoto yang mempunyai kira-kira 17,000 rumah yang terletak di pantai Pasifik kini seperti lautan lumpur sepanjang beberapa kilometer.

Hanya tangga kelihatan di tapak di mana stesen Sakamoto dengan laluan JR Joban digunakan. Kebanyakan pokok rhu turut dihanyutkan. Hanya kelihatan sekarang ialah kenderaan lintang-pukang begitu juga rumah.
“Saya nampak ombak lumpur datang dan mula berlari,” kata penduduk berusia 37 tahun yang bekerja di pusat penjagaan kesihatan.

Beliau pada mulanya berfikir mahu berlindung di pusat perlindungan di pekan, tetapi mengubah fikiran berlari ke tempat lebih tinggi selepas menyedari pusat itu berada di kawasan rendah.

“Jika saya lari ke pusat bandar, saya pasti akan mati,” katanya.

Yoshiko Shoji berkata, beliau terselamat kerana bernasib baik.

Wanita berusia 72 tahun dari Wad Wakabayashi Sendai terjun dari rumahnya dengan berkaki ayam sebaik mendengar bunyi runtuhan. Beliau menarik tangan suaminya, Toyoji dan berlari sekuat hati melihat tsunami yang membawa pokok dan perabot.

Beliau bernasib baik kerana dapat menumpang kereta kenalan. Apabila beliau berpaling, lumpur sudah setinggi dua meter.

Polis tempatan berkata, mereka menjumpai kira-kira 200 hingga 300 mayat di wad.

“Lebih banyak nyawa mungkin dapat diselamatkan jika persatuan komuniti tempatan memutuskan lebih awal apa tindakan yang boleh diambil dalam situasi seumpama ini,” kata Shoji. – Agensi.

Tsunami@Jepun - Reaktor nuklear Jepun meletup lagi

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] - 10.16 am
Satu lagi letupan besar kedengaran di reaktor nuklear berlaku di kawasan yang teruk dilanda nuklear awal hari ini, letupan ketiga sejak Sabtu lalu, kata operator loji.

"Ada letupan besar kedengaran di antara jam 6 pagi dan 6:15 pagi di reaktor nombor dua iaitu loji nuklear No 1 Fukushima," kata jurucakap Tokyo Electric Power Co.

Kerajaan juga melaporkan kerosakan di bahagian bekas yang melindungi reaktor yang sama di Fukushima iaitu 250 kilometer, timur laut Tokyo walaupun tidak pasti sama ada kejadian itu menyebabkan letupan.


Ketua Setiuasaha Kabinet, Yukio Edano pada sidang akhbar berkata, kolam penahan di reaktor nuklear nombor dua mengalami kerosakan.

Sementara itu, agensi polis Jepun berkata angka kematian rasmi akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda perairan timur laut Jepun kini melebihi 2,400 orang.

Menurut jurucakapnya, 2,414 orang disahkan mati manakala 3,118 masih hilang manakala 1,885 mengalami kecederaan selepas bencana alam itu melanda petang Jumaat lalu. - AFT

Tsunami@Jepun - Penyelamat bergelut cari mayat

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
2,000 jasad ditemui semalam di dua pantai di wilayah Miyagi

SENDAI: Pekerja penyelamat, polis dan pihak berkuasa tempatan terus bertungkus lumus untuk mencari sejumlah besar mayat dan mengesahkan nasib berpuluh ribu penduduk hilang, ketika bekalan makanan dan air semakin berkurangan berikutan gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Kira-kira 2,000 mayat ditemui semalam di dua pantai di wilayah Miyagi. Penemuan berkenaan meningkatkan secara ketara jumlah kematian dalam gempa bumi dan tsunami terbabit di mana setakat ini polis mengesahkan sejumlah 1,647 kematian dan 1,720 penduduk hilang di seluruh kawasan terjejas di timur laut dan timur Jepun.


Kira-kira 1,000 mayat ditemui di pantai wilayah yang teruk terjejas di Miyagi, semenanjung Ojika, manakala sejumlah 1,000 lagi ditemui di bandar Minamisanriku di mana kerajaan tidak dapat menghubungi kira-kira 10,000 penduduk atau hampir separuh daripada penduduk bandar itu.

Angka kematian rasmi itu tidak termasuk kira-kira 200 hingga 300 mayat di Sendai, ibu kota Miyagi yang belum ditemui polis dan pekerja berikutan kesukaran untuk ke tempat yang dipenuhi dengan sampah sarap dan kemusnahan itu.

Kira-kira 450,000 penduduk dipindahkan sehingga Ahad di Miyagi dan lima wilayah lain tetapi bekalan air dan makanan serta minyak berkurangan di kebanyakan tempat, memaksa kerajaan memutuskan untuk menghantar bekalan melalui udara oleh helikopter Pasukan Pertahanan.

Nasib kira-kira 2,500 pelancong yang berada di kawasan dilanda gempa juga tidak dapat disahkan, kata agensi pelancongan Jepun.
Perdana Menteri Naoto Kan berkata dalam satu mesyuarat pagi semalam bahawa ibu pejabat bencana kerajaan setakat ini menyelamatkan kira-kira 15,000 penduduk.

Sebuah kapal Pasukan Maritim Pertahanan menyelamatkan 32 penduduk di pelabuhan Ishinomaki pada Sabtu, kata kementerian pertahanan dalam kenyataan berasingan.

Masalah komunikasi juga berterusan di kawasan yang teruk terjejas di Miyagi dan Iwate di mana 561,000 talian telefon dan 221,400 gentian optik dikendalikan Nippon Telegraph dan Telephone East Corp yang masih lagi tidak dapat disambungkan sehingga 6 pagi. – Agensi

Tsunami@Jepun - 70 negara hantar pasukan bantuan

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOKYO 14 Mac - Pasukan penyelamat daripada beberapa negara hari ini mula menyertai usaha mencari mangsa gempa bumi dan tsunami yang terselamat, dalam usaha antarabangsa membantu Jepun menghadapi bencana alam itu.

Sebanyak 70 negara menawarkan pertolongan kepada Jepun, bukan sahaja daripada Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutunya, tetapi juga dari China yang mempunyai hubungan tegang dengannya, selain bandar Kandahar, Afghanistan.

''Kami menawarkan rakan kami, Jepun apa jua bantuan yang diperlukan, Amerika Syarikat akan bersama Jepun ketika mereka pulih dan membina semula negara itu,'' kata jurucakap White House, Jay Carney.

Beliau berkata, dua pasukan pencari dan penyelamat AS, bersama-sama 144 kakitangan dan 12 anjing telah memulakan tugas mereka hari ini bagi mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Agensi berita China, Xinhua melaporkan pasukan penyelamat China dengan 15 anggota juga berada di zon gempa bumi utama selepas menaiki penerbangan khas dari Tokyo, semalam.

China mengenepikan isu keganasan Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dengan Beijing tidak membuang masa melahirkan simpati atas bencana alam di Jepun itu.

''Saya mahu mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa ekoran bencana alam ini dan melahirkan simpati kami terhadap rakyat Jepun.

''China juga sering dilanda gempa bumi dan kami berasa simpati terhadap rakyat Jepun ,'' kata Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada sidang media di Beijing, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menyediakan bantuan yang diperlukan oleh Jepun.

Korea Selatan pula berkata, pasukan penyelamat dengan 102 anggota telah berlepas ke Jepun hari ini dengan tiga pesawat tentera udara C-130.

Satu pasukan awal dari Korea Selatan seramai lima orang dan dua anjing telah berada di Jepun sejak Sabtu lalu. - Reuters

Tsunami@Jepun - TERKINI 9.35 am : Angka Korban semakin besar

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOKYO: Angka kematian rasmi akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda perairan timur laut Jepun kini melebihi 2,400 orang, kata polis hari ini.


Agensi Polis Kebangsaan negara itu berkata, 2,414 orang disahkan maut dan 3,118 masih hilang manakala 1,885 mengalami kecederaan selepas bencana alam itu melanda petang Jumaat lalu.
Jumlah kematiah sehingga semalam ialah 1,647 orang. - AFP

Tsunami@Jepun - Gegaran kuat, tsunami dijangka membadai esok ?

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOKYO 14 Mac - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan, menggambarkan gempa bumi yang melanda negara ini sebagai krisis terburuk di Jepun sejak Perang Dunia Kedua.

Keadaan bertambah suram ekoran laporan media yang memetik pakar sebagai berkata, terdapat 70 peratus kemungkinan akan berlaku satu lagi gegaran kuat menjelang lusa.


Penduduk di ibu negara Jepun ini pula mengalami situasi tidak menentu hari ini berhubung bekalan makanan dan elektrik, ekoran gempa dan tsunami yang berlaku di timur laut negara ini pada Jumaat lalu, manakala krisis nuklear belum menunjukkan tanda akan reda.

Rak-rak makanan di kedai-kedai dan pasar raya terus kosong dan banyak perkhidmatan kereta api ditutup apabila penduduk Tokyo kembali bekerja selepas hujung minggu dihabiskan dengan mengikuti siaran televisyen yang merakamkan imej-imej kemusnahan meluas di bahagian timur laut, kira-kira 250 kilometer ke utara ibu negara.

Lebih 100 perkhidmatan kereta api komputer di kawasan Tokyo dijadual ditutup separuh atau sepenuhnya, hari ini.

Panggilan telefon ke operator kereta api terbesar di negara ini, East Japan Railways Co. tidak berjawab disebabkan panggilan yang terlampau banyak.

Pembekal tenaga, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) awal hari ini mengumumkan pemutusan bekalan elektrik secara berjadual di Tokyo dan bandar raya sekitarnya untuk menjimatkan tenaga ekoran krisis di loji tenaga nuklear di kawasan gempa.

Sesetengah kedai kehabisan bekalan makanan berbungkus seperti mi segera, kari segera, tauhu, roti dan telur, sebahagiannya disebabkan masalah pengangkutan dan penghantaran, di samping pembelian panik oleh penduduk.

Turut mendapat permintaan tinggi ialah tauhu, dipercayai boleh membantu mengatasi keracunan radiasi kerana mengandungi iodin pada kadar yang rendah.

Namun tidak ada tanda berlaku panik di Tokyo, dengan kereta api komuter utama beroperasi dan pekerja pejabat keluar makan tengah hari seperti biasa. - Reuters

Jangan kacau tanah kami, kata pemilik tanah Kg Baru

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 15 Mac — Pemilik tanah Kampung Baru tetap dengan pendirian menentang keras cadangan Putrajaya yang mahu mengadakan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 sambil menyifatkannya sebagai “rompakan secara senyap” untuk mengambil alih tanah penempatan eksklusif orang Melayu.

Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti mana dikatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa hampir 90 peratus telah bersetuju dengannya.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Zauriah Mat Nenggal berkata dia sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan Raja Nong Chik untuk diadakan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang akan akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat pada Jun ini.

“Makcik memang tak setuju langsung, rumah mak cik dah dibangunkan janganlah kacau . . . tak akan nak robohkan rumah mak cik, ada otak itu pakailah. Jangan kacau rumah yang bukan hak kamu.

“Kalau nak robohkan kerajaan kena ganti balik, saya tidak mahu duit tapi saya mahu kerajaan ganti rumah juga . . . saya di sini ada rumah 12 pintu dan saya sewakan kepada orang, jadi jangan kacau mata pencarian mak cik,” katanya yang berusia 77 kepada The Malaysian Insider.

Zauriah Mat Nenggal menegaskan buat apa kerajaan hendak mengacau tanah Kampung Baru. Kata Zauriah, tindakan kerajaan yang mahu mewujudkan rang undang-undang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan. “Raja Nong Chik hati Yahudi . . . Yahudi robohkan rumah Arab untuk bangunkan rumah tapi Raja Nong Chik nak ambil tanah Melayu untuk buat pembangunan.

“Raja Nong Chik tidak berperikemanusiaan langsung, ingat senang-senang nak robohkan rumah mak cik? Ingat orang Kampung Baru ini bodohkah? Ingat duit mak cik ini pasirkah? Kenapa nak kacau Kampung Baru? Ini kampung Melayu kenapa mesti nak kacau?” katanya.

Justeru, dia menggesa agar kerajaan pusat membatalkan hasrat untuk mengadakan akta tersebut.

“Raja Nong Chik ini dah belakangkan kiblat . . . tak jaga orang Melayu, baru jadi menteri dah lupa daratan.

“Kalau perkara ini Raja Nong Chik yang kena macam mana dia rasa? Mesti dia sakit hati,” soalnya.

Bagi Jamaluddin Kamat, 54, cadangan untuk mewujudkan rang undang-undang itu seolah-olah mempunyai agenda tersendiri selain akan menidakkan hak pemilik dan pewaris tanah kawasan itu sekiranya ia dilaksanakan.

“Saya setuju dengan pembangunan di kawasan Kampung Baru tetapi tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang kalau kita lihat tidak jelas apa tujuan penubuhannya.

“Bagi saya rang undang-undang ini tidak menjamin masa depan pemilik dan pewaris tanah. Kalau contoh kita bersetuju apa jaminan kerajaan kepada kami? Pembangunan yang macam mana kerajaan mahu lakukan? Selain itu, kalau ia dilaksanakan mereka (kerajaan) mempunyai kuasa penuh ke atas tanah-tanah di kawasan ini,” katanya.

Kata anak jadi Kampung Baru itu, rang undang-undang tidak diperlukan untuk membangunkan kawasan itu kerana sudah mempunyai Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru yang sudah menguruskan penempatan itu sejak 111 tahun lalu.

“Kami di sini tak perlukan rang undang-undang untuk membangunkan kawasan Kampung Baru ini, kami sudah ada MAS... selama ini MAS yang menguruskan semua perkara di sini.

“Pembangunan Kampung Baru ini boleh dilakukan tanpa rang undang-undang, kita boleh bangunkan melalui MAS dan kami percaya kepada MAS untuk menguruskan soal pembangunan tetapi dengan syarat kerajaan kena bantu, bukan dengan menubuhkan rang undang-undang yang kami sendiri pun tak tahu fungsinya,” katanya.

Ditanya bacaan kali kedua rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen Jun ini, Jamaluddin berkata, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu jelaskan kepada penduduk terlebih dahulu.

“Itu perlu dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah walaupun dapat tentangan, kena beritahu kerana kami nak tahu apa yang kerajaan ingin lakukan,” katanya.

Kamal Hussein, 78, pula mahu imej kampung Melayu dikekalkan di Kampung Baru walaupun pembangunan dilakukan di kawasan itu.

“Bangunan tinggi-tinggi tidak diperlukan di Kampung Baru, cuma perlu menaik taraf mana-mana yang patut sahaja... buat apa nak bangunan tinggi, bukan kita mampu nak beli.

“Imej sebagai kampung Melayu perlu dikekalkan. Eloklah kalau kampung Melayu ini ada, lagipun Kampung Baru ini terkenal di seluruh dunia, kalau tiada imej kampung Melayu apa gunanya Kampung Baru di sini,” katanya.

Dia juga bersetuju rang undang-undang yang telah diperhalusi semula Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu dibentangkan kepada penduduk sebelum dibawa ke Parlimen.

“Kami di sini nak tahu apa yang diubah . . . apa yang diperhalusi dan kami nak tahu apa rang undang-undang yang akan dibentangkan nanti.

“Saya sendiri pun nak tahu apa yang mahu dilakukan kerajaan,” katanya.

Raja Nong Chik sebelum ini berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen Jun ini selepas semua tugas memperhalusi semula deraf rang undang-undang itu selesai sepenuhnya.

Beliau berkata rang undang-undang itu, yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini, terpaksa ditangguhkan kerana kementerian perlu memperhalusi semula draf rang undang-undang itu.

Sementara itu, pemilik tanah generasi keempat Kampung Baru Efendi Ishak, 34, berkata rang undang-undang yang mahu dilaksanakan itu masih belum jelas fungsinya dan menimbulkan persoalan di kalangan pemilik dan pewaris tanah.

“Rang undang-undang tidak jelas, kita tak tahu apa yang kerajaan nak buat seolah-olah berselindung di sebalik nama rang undang-undang.

“Pemilik dan pewaris masih tertanya-tanya, kami tidak faham dan masih samar-samar tentang cadangan rang undang-undang ini,” katanya.

Kata kakitangan swasta itu, sekiranya mahu membangunkan kawasan Kampung Baru kerajaan tidak perlu menubuhkan rang undang-undang, sebaliknya membantu pemilik dan pewaris dalam bentuk kewangan untuk membangunkan sendiri kawasan tersebut.

“Kami di sini tak bantah pembangunan tapi apa yang kami bantah adalah rang undang-undang ini. Kalau betul-betul nak bantu kami, tak perlukan rang undang-undang pun.

“Kami di sini boleh bangunkan sendiri kawasan Kampung Baru, tapi kerajaan perlu bantu dalam bentuk kewangan agar ia dapat dilakukan,” katanya.

Mohd Yusof Abu, 67 pula berkata banyak perkara yang tidak dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah mengenai rang undang-undang termasuk peruntukan yang memberikan kuasa penuh kepada menteri dan ia tidak boleh dicabar di mahkamah sekiranya perbadanan itu diwujudkan.

“Imuniti kepada perbadanan kami tak setuju . . . rang undang-undang ini juga kami tidak bersetuju, jadi bagaimana Raja Nong Chik boleh kata 90 peratus daripada kami bersetuju? Pembubaran MAS juga kami tidak setuju.

“Rang undang-undang ini tidak jelas dan ia cuba berselindung untuk menyembunyikan segala pembohongan yang mereka ingin lakukan,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider ke Kampung Baru juga mendapati ramai penduduk di kawasan itu meletakkan kain rentang sebagai membantah cadangan rang undang-undang itu.

Seorang lagi yang ditemui, Mohammd Raizal Ahmad Yusof, 38, berkata, rang undang-undang tersebut tidak perlu dilaksanakan kerana kerajaan tidak mempunyai sebarang hak ke atas tanah yang diwasiatkan sejak turun-temurun itu.

“Apa hak kerajaan nak wujudkan rang undang-undang? Adakah tanah ini milik mereka? Ini adalah tanah wasiat dan ia perlu dijaga dan bukan untuk dibangunkan ikut rancangan kerajaan.

“Kalau nak bangunkan juga kerajaan pergi tanya setiap pemilik dan pewaris tanah, kalau mereka setuju bangunkan sahaja di tanah mereka buat apa nak libatkan semua tanah milik kami di sini,” katanya.

Dia juga meminta agar Raja Nong Chik kemukakan bukti bahawa 90 peratus pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bersetuju dengan cadangan untuk diwujudkan rang undang-undang itu.

“Ada dia tanya pendapat pemilik dan pewaris tanah sebelum nak buat? Adakah kerajaan nak rompak tanah kami?” katanya.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.(MI)

Fitnah: Adun Bukit Payung buat laporan polis

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU, 14 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah membuat satu laporan polis terhadap akhbar Berita Harian hari ini.

Laporan polis tersebut dibuat pada jam 3.00 petang tadi di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu kerana berunsur fitnah serta memalukan wakil rakyat berkenaan.



Katanya, pihak polis diminta segera bertindak membuat siasatan terhadap penulis serta akhbar terbabit agar tidak meneruskan laporan bersifat fitnah dan memalukan itu.

“Kami buat laporan polis ini supaya pihak polis segera buat siasatan terhadap akhbar yang terlibat agar jangan meneruskan lagi.

“Kita minta mereka (akhbar) segera menunaikan beberapa tanggungjawab terhadap kesilapan yang mereka buat dengan menjatuhkan imej saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih oleh rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chendering dengan diiringi oleh beberapa orang ahli jawatankuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung.

Ini berikutan, laporan sebuah akhbar arus perdana itu yang melaporkan ‘Pegawai Adun mengaku khalwat’ serta dikaitkan dengan Adun Bukit Payung.

Mohd Nor turut melahirkan rasa kesal dan malu dengan fitnah yang dikaitkan isu khalwat dengan Pegawai Adun Bukit Payung.

“Saya buat laporan fitnah dan malu. Memalukan saya dan rakyat di Bukit Payung. Fitnah ‘jahat’ yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks, sedangkan saya tidak memiliki mana-mana pegawai.

“Ini (laporan) bukan hanya memalukan saya tetapi memalukan rakyat di Dun Bukit Payung, yang mereka memilih saya menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-12, lalu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu menafikan mengenali individu terbabit berdasarkan laporan berita tersebut.

Katanya, dalam Dun Bukit Payung mempunyai lebih 19,000 pengundi yang terdiri dari kalangan rakyat Umno, PAS dan lain-lain.

“Saya tidak kenal individu itu berdasarkan laporan berita tersebut. Pengundi di Dun Bukit Payung seramai 19,000 orang yang terdiri dari rakyat Umno, PAS dan sebagainya.

“Nama Mohd Din Jusoh mungkin ramai yang terdapat di Dun Bukit Payung. Saya tidak pernah melantik dia (Mohd Din) sebagai pegawai Adun.



“Ini fitnah ‘jahat’ yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks sedangkan, saya tidak memiliki mana-mana pegawai,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor telah menyerahkan kepada pihak peguam dari Dewan Pemuda PAS negeri bagi meneliti serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Hadir sama mengiringinya, Ketua Penerangan Dun Bukit Payung, Mohd Nasir Ismail.(HD)

Krisis@Libya - Jet pejuang Gaddafi bom bandar Ajdabiya


10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOBRUK, Libya 15 Mac – Jet-jet pejuang tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi mengebom bandar Ajdabiya yang dikuasai pemberontak yang merupakan satu daripada dua pusat utama memisahkan tentera kerajaan dan ibu pejabat pihak pemberontak.

Seorang penduduk bandar itu, Said Ali Bouhilfaya, seorang jurutera berkata, serangan udara itu berlaku setiap 20 minit selepas suasana tenang sehari suntuk.

Serangan bom itu berlaku selepas jurucakap pihak pemberontak mendakwa pesawat kerajaan menggugurkan risalah-risalah di seluruh bandar Ajdabiya meminta penduduk tidak menyokong kumpulan yang menentang Gaddafi – Agensi