15 Mac 2011

PKR harap Jepun bangun semula infrastruktur

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Kerajaan Jepun cepat menyusun pembangunan semula infrastruktur yang terkesan akibat bencana gempa bumi dan tsunami beberapa hari lalu.

Katanya, menginsafi akan bencana yang itu, beliau mewakili warga kepimpinan dan akar umbi parti seluruhnya merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Jepun dan juga rakyat Malaysia yang bermastautin di sana.

Tambahnya, tsunami yang diberitakan antara yang terburuk dalam sejarah Jepun jelas merentap sanubari.

“Walaupun begitu, kita seharusnya mencontohi masyarakat Jepun yang begitu berdisiplin meskipun ketika berhadapan dengan malapetaka besar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tahap kesabaran mereka juga, kata beliau sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh masyarakat dunia.

“Kedua-dua ciri penting ini pastinya membolehkan mereka bangkit dengan cepat bagi membina semula bandar yang musnah teruk,” katanya lagi.

Beliau menambah, apatah lagi dengan kegigihan dan kesungguhan mereka mengenalpasti kaedah dan strategi serta penyebaran maklumat cepat dan tepat kepada seluruh rakyat, pasti akan membantu.

“Nyata sekali insiden ini mengundang kesedihan kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai,” ujarnya.

Justeru, katanya PKR mendoakan agar Tuhan mengurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi kepada mereka yang terlibat.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: