06 Januari 2011

Akur, Muhyiddin arah kaji semula penggunaan novel Interlok

1 Safar 1432H.

Akhirnya Kerajaan dilihat akur kepada desakan beberapa pihak bila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran mengkaji semula penggunaan novel bertajuk "Interlok" sebagai buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia Tingkatan Lima sekolah menengah mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi, berkata kajian itu perlu dilakukan secara serius supaya penggunaan novel itu tidak mendatangkan pelbagai masalah terutamanya membabitkan keharmonian kaum di negara ini. "Tan Sri Muhyiddin (Menteri Pelajaran) berharap kajian itu akan merumuskan satu keputusan yang baik bagi memuaskan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gali, di sini, hari ini.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan bantahan kepada kerajaan kerana muka surat 211 dan 220 novel itu didakwa mengandungi unsur sensitif yang boleh menyentuh perasaan sesetengah kaum.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mendakwa, buku teks sastera Tingkatan Lima itu telah ditarik balik kerana dikatakan mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India.

Puad berharap agar semua tidak mempolitikkan isu novel itu kerana niat kerajaan adalah untuk menambahkan pengetahuan di kalangan pelajar dan rakyat negara ini.
"Sepatutnya tidak timbul masalah itu kerana novel yang tulis Abdullah Hussain itu adalah berdasar kepada apa yang berlaku pada masa lampau.

"Sebarang keputusan untuk menentukan sama ada novel komponen sastera itu akan digunakan atau tidak akan diketahui dalam masa terdekat nanti," katanya.

Sebelum ini sebuah gabungan NGO masyarakat India mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel Interlok sekiranya buku karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian daripada teks sastera SPM.

Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia Datuk A Vaithilingam (ketiga dari kanan) berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya kerajaan tetap berdegil untuk tidak menarik balik ketetapan menjadikan buku tersebut sebagai teks komponen sastera untuk pelajar sekolah.

Mereka berpandangan isu sebenar bantahan kepada novel ini ialah tindakan memperkecil-kecilkan masyarakat India melalui buku tersebut.

2 ulasan:

Awanama berkata...

Kajilah juga berkaitan dengan RMT dan SBT yang amat mengecewakan ibubapa dan pengusaha kantin...

ibnukaduk berkata...

kalau NGO tu nak bakar buku, bagus, suruh mereka beli buku Novel tersebut banyak2, kemudian bakar. Pastikan mereka beli yang original. Sekurang-kurangnya, Penulis boleh mendapat royalti dari pembe;lian mereka. Pihak berkuasa boleh mendakwa mereka kemudian atas dakwaan pencemaran udara.