9 Ramadhan 1431 H
Latihan Hasilkan Kecekapan
Asal Usul:
Pada zaman Dinasti Song Utara (tahun 960-1279), ada seorang hulubalang bernama Chen Yaozi yang sangat pandai memanah. Setiap panahannya akan kena tepat pada sasarannya.
Pada suatu hari, Hulubalang Chen Yaozi mahu menunjukkan kecekapannya itu kepada orang ramai, dengan membuat latihan memanah di sebuah taman terbuka milik keluarganya. Apabila melihat anak panah yang dilepaskan oleh hulubalang itu, semuanya kena tepat pada sasarannya, orang ramai pun bertepuk tangan, sambil bersorak riang,
"Hulubalang ini hebat sekali! Hulubalang ini hebat sekali!"
Tiba-tiba, datanglah seorang tua penjual minyak. Dia memindahkan pengandarnya, sambil berkata, "Hulubalang ini memang hebat, tetapi itu hanyalah hasil daripada latihan yang dibuatnya setiap hari sahaja. Tiada apa-apa pun yang istimewa."
Mendengar kata-katanya itu, orang ramai yang tadinya bersorak riang, terus terdiam. Hulubalang itu merasakan dirinya tercabar. Dia menghampiri penjual minyak itu, sambil berkata dengan suara yang lantang, "Jika benar suatu kecekapan dapat diperoleh hanya dengan membuat latihan sahaja, silalah tunjukkan kepandaian kamu!"
Penjual minyak itu menjawab dengan tenang, "Kata-kata saya tadi bolehlah saya buktikan dengan pengalaman saya menuang minyak ke dalam botol.
" Sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya, dia pun meletakkan sebiji botol berbentuk labu di atas tanah, lalu menutup mulut botol itu dengan sekeping syiling tembaga yang berlubang kecil di tengahnya.
Kemudian, dia mula menuang minyak ke dalam botol itu menerusi lubang kecil itu dari tempat yang agak tinggi. Hebat sungguh! Tidak ada setitis pun yang tumpah atau terkena pada syiling tembaga itu.
Orang ramai yang ada di situ amat terkejut, lalu kembali bersorak. Pada ketika itu, barulah hulubalang Chen Yaozi menyedari bahawa apa yang dikatakan oleh penjual minyak itu adalah benar. Latihan yang dibuat dengan tekun pasti menghasilkan kecekapan.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Shu Neng Sheng Qiao" atau "Latihan Hasilkan Kecekapan", dan "Kecekapan Merupakan Hasil daripada Latihan" ini membawa erti, kecekapan yang istimewa dapat diperoleh oleh sesiapa sahaja yang sanggup membuat latihan dengan tekun dan gigih tanpa mengaku kalah.
CRI/-