16 September 2008

Anwar mahu temui PM isu tukar k'jaan

Pakatan Rakyat yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim masih yakin rancangannya untuk membentuk kerajaan baru akan berjaya dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan rancangan ketua pembangkang itu sebagai "sesuatu perkara yang karut".

Bercakap di depan puluhan ribu penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya malam tadi, Anwar berkata Pakatan Rakyat telah menghantar surat hari ini untuk bertemu Abdullah bagi membincangkan isu pembentukan kerajaan baru.

"Petang tadi, (ahli parlimen DAP) Anthony Loke, (ahli parlimen PKR) Johari (Abdul) telah pergi ke Putrjaya, hantar surat untuk berjumpa segera dengan perdana menteri sebab kita mahukan perubahan aman dan tenteram," kata Anwar.

"Kita sudah ada jumlah (wakil BN yang akan melompat kepada Pakatan), dan kita telah bersedia. Hari ini 16 September, esok 17 September, kita bersedia membentuk kerajaan."

Anwar, yang juga penasihat PKR, meyakinkan para penyokongnya bahawa rancangannya untuk menubuhkan kerajaan dengan cara memujuk lebih 30 wakil rakyat BN meninggalkan parti itu "masih seperti dirancang."

"Apabila kita kata 'on track' (masih seperti dirancang), maksudnya 'on track'.

"Hendak jadi macam mana (perubahan kerajaan pada 16 September), mereka bawa (ahli-ahli parlimen BN) ke Taipei," katanya, merujuk lebih 50 wakil rakyat BN yang secara mendadak dibawa melawat Taiwan beberapa hari lalu.

"Tetapi kita ada cukup jumlah untuk mengalahkan BN. Bukan hendak paksa, pergi Putrajaya hendak heret, ambil alih (kuasa kerajaan pusat) bukan mengikut hukum rimba, yang lalu tetap berlalu.

"Esok kita akan umumkan pendirian kita."

Sementara di Kuala Terengganu, lapor Bernama, sambil menempelak tentang hasrat itu, Abdullah berkata pertukaran kerajaan baru tidak akan berlaku.

"Orang kita cepat sangat terkejut, tergempar, cepat sangat kelam-kabut tentang soal pertukaran kerajaan. Ketepikan semua perkara begini.

"Beri perhatian kepada perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan dan bukan sembang kosong yang tidak beri manfaat.

"Kita suka sangat berhujah dan bersembang tentang perkara ini (pertukaran kerajaan). Perkara ini tidak akan berlaku," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin malam ini.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdullah meminta umat Islam meningkatkan ibadat bersempena bulan Ramadan dan tidak terlalu ghairah memperkatakan isu pertukaran kerajaan.

"Pembohongan ini menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut sehingga selepas berbuka dan Tarawih, bukan nak buat Taddarus tetapi yang dibincangkan ada hubung kait dengan pertukaran kerajaan.

"Sepatutnya kita guna bulan Ramadan ini untuk tingkatkan ibadah untuk kemuliaan di sisi Allah dan tidak digunakan bersembang perkara yang tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Anwar membayangkan wujud perbincangan antara pihaknya dengan bekas ketua bahagian Umno Kota Bharu itu.

"Terima kasih kepada Zaid. Dalam beberapa hari lagi akan ada berita baik daripada Zaid. Ada orang kata kita beli (Zaid). Bukan beli, tetapi dia benci penahanan (bawah) ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," kata bekas timbalan perdana menteri.

Anwar bagaimanapun tidak menjelas lanjut berhubung perkara itu.

Zaid hari menyerahkan surat peletakan jawatan, namun perdana menteri memintanya bercuti sebelum mengambil keputusan muktamad tentang perkara tersebut.

sumber : malaysiakini.

Muhyiddin: Saya tidak letak jawatan

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berikutankenyataannya mengenai peralihan kuasa dalam Umno.Beliau sebaliknya menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menilai sama ada beliau melakukan kesalahan untuk dikenakan tindakan.

Muhyiddin, juga naib presiden Umno berkata, beliau tidak melakukan kesalahan dan hanya menjalankan tugas dalam kabinet dan parti serta menyampaikan pandangan akar umbi, lapor Bernama.

"Bagi saya, saya tidak fikir kenyataan yang saya buat itu luar biasa,membawa beban kepada negara malah tujuan kita adalah untuk memperbaiki, sedarkan, kalau kita tidak buat sesuatu mungkin ada masalah besar akan berlaku.

"Mungkin ada pihak yang tidak suka tengok muka saya dalam kabinet mendesaklah (untuk letak jawatan), tapi dari segi tugas dan tanggungjawab, saya jalankan, apa yang jadi masalah," katanya selepas melancarkan Anugerah Usahawan Wanita 2008 di Kuala Lumpur hari ini.

Rabu lepas, Muhyiddin meminta Abdullah menimbangkan untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang asalnya dijadualkan pada 2010 memandangkan keadaan politik yang tidak stabil di negara dan tempoh itu terlalu lama.

Kenyataan Muhyiddin itu mengundang pelbagai reaksi beberapa anggota Umno yang mengatakan bahawa beliau perlu berundur atau disingkirkan dalam parti jika tidak puas hati dengan tempoh itu. Malahan Abdullah juga dilaporkan terkejut dengan kenyataan itu.

Muhyiddin berkata beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Abdullah jika mahu mengambil tindakan terhadapnya berhubung kenyataan itu."Apa pun saya menyerahkannya kepada perdana menteri (Abdullah) kalau kenyataan saya begitu rupa macam mencabar kepimpinan beliau, itu saya serah kepada beliau.

"Bagi saya, saya tidak lakukan apa-apa yang dianggap bercanggah atau dianggap tidak sehaluan, saya hanya suarakan pandangan beberapa pihak tentang situasi sebenar... terserah kepada beliau (Abdullah)," katanya.Muhyiddin turut menafikan dakwaan yang kenyataannya itu dibuat di khalayak ramai pada satu persidangan di Singapura dan berniat untuk memburukkan imej Malaysia di negara jiran,

lapor agensi berita itu lagi."Kenyataan yang saya buat di Singapura bukan di khalayak ramai dalam persidangan, itu tidak saya lakukan. Semasa persidangan saya cakap tentang Malaysia, promosikan negara dengan beberapa kejayaan. "Kenyataan itu dibuat dalam satu sidang akhbar yang sebahagiannya adalah media Malaysia, saya menjawab pertanyaan dari media mengenai tempoh peralihan kuasa itu.

"Saya sebutlah walaupun sudah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) tetapi saya tak dapat elak dari menerima pandangan dari akar umbi yang mengatakan tempoh itu agak lama dan kalau boleh dipercepatkan sebab itu saya buat statement, mungkin presiden parti hendak memikirkan semula, tiada kenyataan nak suruh(Abdullah) berhenti," katanya.

Muhyiddin berkata masyarakat tidak perlu rasa sensitif terhadap pelbagai kenyataan kerana perdana menteri mengamalkan sikap keterbukaan dan ketelusan serta berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

"Kalau kita sudah tahap matang dalam demokrasi sepatutnya kita cuba lihat bagaimana hak itu dapat digunakan dengan bijaksana bukan merosakkan. Saya berhak bersuara walaupun saya adalah naib presiden, menteri dan sebagai rakyat saya terima banyak pandangan, perlu ada tempoh masa sesuai supaya bakal pengganti ada masa untuk merangka, atur strategi dan mengambil langkah-langkah untuk perbaiki keadaan," katanya.
Mengenai kenyataan Najib, juga timbalan presiden Umno, yang menyerahkan kepada anggota parti untuk memutuskan mengenai peralihan kuasa, Muhyiddin berkata ia menunjukkan bahawa Najib bersikap terbuka.

Zaid serah surat letak jawatan

Datuk Zaid Ibrahim, yang membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut sumber, surat tersebut diserahkan kepada pejabat Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira 2 petang.Zaid melahirkan rasa tidak senangnya pada langkah kerajaan menangkap exco kerajaan Selangor dan juga ahli parlimen DAP Teresa Kok, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng atas dakwaan mengancam keselamatan negara, Jumaat lalu.

Bagaimanapun dalam pertemuan mereka sebelum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertolak ke Terengganu, Zaid dinasihatkan supaya bercuti dan memikirkan kembali keputusannya itu.Menurut Bernama, perdana menteri berkata Zaid mememui beliau di kediamannya di Seri Perdana di Putrajaya petang tadi dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

"Dia ada sebut perkara itu (meletak jawatan) kepada saya, saya kata fikir betul-betul... "Kalau dia letih sangat pergilah bercuti... pergi sekejap sudahlah," kata Abdullah kepada pemberita selepas berbuka puasa dan solat Maghrib bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin di Kuala Terengganu.Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat berbual lama dengan Zaid kerana beliau bergegas untuk datang ke Terengganu.

Abdullah bagaimanapun berkata beliau belum sempat melihat surat itu dan tidak tahu apakah alasan Zaid berbuat demikian."Surat itu tidak ada pada saya. Zaid jumpa saya di rumah, surat itu dihantar ke pejabat," katanya.

Perihal ISA, Tindakan Parti, Tindakan Kerajaan dan Kenyataan Bodoh Hamid Albar

Untuk kesekian kalinya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan lagi, kali ini mangsanya adalah blogger Raja Petra, Teresa Kok dan wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng (dibebaskan selepas 16 jam dalam tahanan polis). Dan seperti biasalah, alasan yang digunakan kali ini tetap seperti dulu-dulu juga, ketenteraman awam, public order…

Dan untuk pertama kalinya saya sangsi, apakah penahanan ISA terbaru ini adalah tindakan Kerajaan, atau tindakan Kerajaan Barisan Nasional, atau tindakan Barisan Nasional? Kerana kelihatannya seolah-olah yang bersetuju dengan tindakan ini hanyalah Umno sahaja! Banyak parti lain yang menjadi komponen Barisan Nasional yang memerintah telah mula bersuara, MCA membantah, Gerakan membantah, PPP juga membantah. Maka timbul persoalan, apakah Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sekarang masih didokong penuh oleh semua parti komponennya, atau sudah menjadi milik Umno yang syok sendiri?

Kalau dulu Umno menggunakan Zainuddin Maidin sebagai pahlawannya, kali ini Hamid Albar pula yang menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri mewarisi legasi tersebut. Berdasarkan latar belakang beliau, saya mengharapkan sedikit kecerdikan dari jawapan-jawapan Hamid Albar dalam sidang medianya, tetapi apa yang saya temui hanyalah kedunguan dan kebodohan.

Kebodohan pertama, kata Hamid Albar, tindakan ini bukan arahannya selaku Menteri Dalam Negeri, tetapi sepenuhnya adalah tindakan pihak polis. Soalnya beliau bercakap dengan khalayak mana? Jika saya ada dalam sidang media itu, nescaya sudah tentu saya akan tergelak guling-guling, mengapa? Mudah, arahan penahanan mengikut ISA memerlukan tandatangan Menteri Dalam Negeri, maka penahanan mengikut ISA adalah tindakan kerajaan.

Kebodohan kedua, jawapan Hamid Albar bila ditanya mengapa Ahmad Ismail, bekas Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera yang mengeluarkan kenyataan menghasut mengatakan kaum China di Malaysia sebagai pendatang tidak ditahan di bawah ISA, sedangkan wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang melaporkan ucapannya itu di dalam akhbarnya pula yang ditahan, Hamid Albar menjawab dengan keras bahawa Umno telah mengambil tindakan terhadap Ahmad Ismail. Inilah masalah mentaliti Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno.

Sedarkah Hamid Albar yang beliau ketika itu di dalam sidang media atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri, bukan pemimpin Umno! Dan soalan yang diajukan kepada beliau adalah tentang tindakan kerajaan terhadap Ahmad Ismail, bukan tindakan Umno! Seperti tindakan kerajaan terhadap Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng. Tidak timbul langsung soal laporan polis terhadap Ahmad Ismail, saya rasa ada beratus laporan polis terhadap pimpinan Umno, tolong kirakan pada saya berapa peratuskah yang sudah berjaya dibuat pendakwaan? Atau mengapa tidak sahaja Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng disiasat di bawah akta yang sama yang digunakan untuk Ahmad Ismail, asalkan bukan ISA, Ordinan Darurat atau yang seumpamanya.

Ada persamaan dan perbezaan di sini, Tan Hoon Cheng, wartawan kanan Sin Chew Daily melaporkan ucapan Ahmad Ismail yang berbau perkauman; yang samanya Khir Toyo melaporkan Teresa Kok terlibat dengan petisyen meminta diperlahankan laungan azan di sebuah masjid di Selangor. Perbezaannya Ahmad Ismail mengakui ucapannya itu, bahkan mempertahankannya, sedangkan Teresa Kok pula menafikan penglibatannya dan ini disahkan oleh ahli jawatankuasa masjid itu sendiri serta disokong oleh laporan polis balas terhadap Khir Toyo yang dibuat oleh Ahli Parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Mari kita lihat status pelapor dahulu, iaitu Tan Hoon Cheng, wartawan kanan Sin Chew Daily dan Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor. Kalau ikut logik Hamid Albar, pelapor ucapan atau perbuatan orang lain boleh mengganggu ketenteraman awam, seperti ditunjukkan melalui penahanan Tan Hoon Cheng di bawah ISA, maka Khir Toyo juga berada dalam darjah yang sama dengan wartawan kanan Sin Chew Daily tersebut.

Orang yang dilaporkan pula iaitu Ahmad Ismail (yang mengaku akan ucapannya) masih menjadi rakyat Malaysia yang bebas dan merdeka, sedangkan Teresa Kok (yang menafikan dakwaan terhadapnya, dengan disahkan oleh jawatankuasa masjid dan disokong oleh Ahli Parlimen PAS Kota Raja) pula sampai sekarang tidak ketahuan di mana duduknya, terpenjara di bawah ISA. Perbandingan inilah yang ingin ditanya wartawan kepada Hamid Albar, yang ingin diketahui oleh rakyat semua.

Sesungguhnya saya menulis ini dengan penegasan bahawa saya menentang penggunaan ISA tidak kira untuk mana-mana kumpulan atau mana-mana pemimpin politik. Saya menulis ini juga bukan kerana dengkikan pemimpin Umno yang tidak ditahan sama, tetapi sebagai hujah pembuktian bahawa inilah bahagian sumbing dan canggung setiap kali pimpinan Umno mahu bercakap soal public order.