20 September 2011

Mat Sabu ditahan sebelum dibebas dengan jaminan polis

22 Syawal 1432H. [MOD] -

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, ditahan untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

NONEKetua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub (kiri), berkata Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang tadi dan dibawa ke IPK Pulau Pinang.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tiba di IPK Pulau Pinang pada 8.30 malam dan dilihat meninggalkannya ibu pejabat polis itu pada 9.05 malam selepas keterangan beliau diambil.

Menurut Ayub, pemimpin PAS itu akan didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversialnya pada sebuah ceramah diTasek Gelugor pada 19 Ogos lalu.

"Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di Georgetown.

“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.

mingguan malaysia 280811 mat sabu dikecamPetang tadi, peguam pemimpin PAS itu, Hanipa Maidin berkata, anak guamnya dimaklumkan pihak polis bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok.

Ini berikutan ucapannya berhubung isu Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong yang akan dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu melaporkan pemimpin parti Islam itu dalam ceramahnya di Pulau Pinang sebagai berkata, Mat Indera wira sebenar dalam tragedi itu dan bukannya "polis British".

Ucapan itu mencetuskan kontroversi besar dan dikritik pelbagai pihak, terutamanya pemimpin BN dan meleret kepada polemik kemerdekaan negara dan sama ada negara ini pernah dijajah.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali. MK/-

Ulasan :

Tahniah diucapkan diatas kecekapan polis dalam menangani kes Mat Sabu, tetapi jangan ingat rakyat tidak boleh menilai apabila banyak kes lain yang semacam dibiarkan berlarutan terutamanya dari pemimpin BN dan umno.

Seperkara lagi, janganlah kerana laporan yang salah dan fitnah oleh akhbar "pecacai" umno seseorang didakwa dengan berbagai tuduhan, yang buat fitnah dibiarkan lepas.

Nasib Bekas Prajurit Sarawak Yang Tidak Beri Perhatian oleh Pemerintah

22 Syawal 1432H. [MOD] -
PAS Miri

PAS Sarawak sangat simpati dengan nasib dan masalah yang dihadapi oleh bekas prajurit (Sarawak Ranger Veteran Association) seperti yang dilapor oleh akhbar ‘Borneo Post’.

Sepatutnya pihak kerajaan menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh bekas-bekas renjar Sarawak yang bertugas semasa Darurat di Tanah Melayu dari 1948-1960. Mereka membantu askar tanah Melayu dari ancaman pengganas komunis dan memastikan negara ini selamat daripada peperangan.

Mereka sudah lama memohon agar diberi tanah lot dan juga kenaikan elaun bulanan yang berpatutan dengan keadaan hidup semasa bukan hanya diberi RM100 sebulan. Sepatutnya elaun mereka dinaikkan sekurang-kurangnya setanding dengan indeks kemiskinan nasional
sebanyak RM700.

Pihak kerajaan kena bertindak dan mengambil perhatian dengan segera akan nasib yang menimpa bekas prajurit dan veteran ranjer ini agar mereka juga dapat menikmati kebebasan yang mereka perjuangkan selama ini dari ancaman komunis. Jangan hanya pihak komunis yang menyerah diri saja dapat pengampunan dan diberi kemudahan sedang pejuang kemerdekaan dipinggir begitu saja, adakah mungkin disebabkan mereka berlainan fahaman politik dengan parti pemerintah? Adalah tidak adil bagi bekas prajurit ini yang bermatian berperang menentang musuh negara sedangkan musuh yang menyerah diri pula diberi keistimewaan.

Jangan hanya waktu dekat pilihanraya baru sibuk nak minta para prajurit menyokong mereka (BN) sedangkan selama ini nasib mereka terabai begitu saja tanpa sebarang bantuan yang sepatutnya. Kalau pun diberi elaun bulanan sebanyak RM100 ini bukan sesuai lagi untuk hidup pada masa sekarang dimana kos kehidupan semakin meningkat dan bekas prajurit pun bukan minta banyak dan sudah tentu mereka pun bukan boleh hidup lama lagi untuk menikmati erti kemerdekaan yang mereka perjuangkan selama ini. Kita minta pihak kerajaan jangan biarkan bekas veteran prajurit dan bekas polis yang pernah berkhidmat untuk negera dipinggir begitu saja tanpa sebarang bantuan dan perhatian.

Ingat lah mereka ini juga yang patuh dan taat setia menurut perintah semasa berkhidmat dengan pemerintah tetapi apabila mereka sudah tidak berkhidmat dengan pemerintah mereka langsung tidak hargai terutama sekali golongan atau anggota bawahan. Mungkin hanya segelintir saja yang diberi keistimewaan kerana mempunyai kepentingan tertentu.

Ramai lagi anggota-anggota bawahan yang menerima nasib yang malang cuma tidak dilaporkan mungkin disebabkan mereka takut atau tidak tahu ke mana hendak mengadu. Kita minta pihak kerajaan bersikap adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee
PAS Miri

Polis Perak tembak mati empat anggota "Geng Doll"

ANGGOTA polis memeriksa lokasi kejadian empat penjenayah di tembak mati selepas berbalas tembakan di dalam sebuah kereta Proton Waja yang dipercayai dicuri, di Jalan Changkat Larang, Batu Gajah, malam tadi. - Foto Ikhwan Munir

22 Syawal 1432H. [MOD] -

IPOH: Empat lelaki warga asing dipercayai anggota "Geng Doll" mati ditembak polis dalam satu kejadian berbalas tembak di Jalan Changkat Larang, Pengkalan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan, berkata menerusi kejadian itu, pihaknya juga percaya berjaya menyelesaikan 18 kes samun bersenjata di beberapa daerah di negeri tersebut.

Mengulas kejadian 9.30 malam itu kepada media, di sini, hari ini, Shukri berkata, sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta yang dinaiki empat lelaki terbabit yang kemudian memecut apabila dihampiri kenderaan polis.

"Kereta itu kemudian melanggar bahu jalan dan cuba mengundur dengan laju sebelum melanggar kereta pasukan polis.

"Seorang daripada lelaki berkenaan kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah kereta polis semasa kereta polis itu cuba menghampiri kereta suspek untuk melakukan tangkapan," katanya.

Beliau berkata, tiga lagi suspek kemudian keluar dari kereta tersebut dengan bersenjatakan parang panjang dan cuba menyerang anggota polis.

Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan balas bagi mempertahankan diri dan kesemua suspek mati di tempat kejadian, katanya.

Shukri berkata, pihaknya tidak menemui sebarang pengenalan diri pada semua suspek dan mereka dipercayai berusia antara 30 dan 40 tahun.

Polis menemui sepucuk pistol, sebutir peluru, tiga bilah parang, dua komputer riba, dua telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM1,870 dari kereta suspek, katanya.

Siasatan juga mendapati kereta jenis Proton Waja yang digunakan mereka adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di sini minggu lalu.

Shukri berkata, kumpulan itu bergerak aktif sejak awal tahun dan setakat ini sebanyak 18 kes dilaporkan di sekitar daerah Perak Tengah, Batu Gajah, Ipoh dan Sungai Siput. - BERNAMA

Ankara digegar dengan letupan bom

BEBERAPA kenderaan yang diletakkan di bahu jalan terbakar hangus selepas terkena ledakan bom yang membabitkan sebuah bas mini di pinggir bandar Daerah Kizilay, Turki, petang ini. - Foto REUTERS

22 Syawal 1432H. [MOD] -

ANKARA: Stesen penyiaran Turki menayangkan beberapa kenderaan terbakar akibat terkena ledakan bom di berdekatan ibu negara Ankara, petang ini.

Stesen televisyen CNN-Turk memetik pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, letupan itu membabitkan sebuah bas mini di pinggir bandar Daerah Kizilay.

Stesen televisyen NTV pula menyebut sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan cedera akibat terkena serpihan letupan.

Setakat ini belum jelas punca sebenar kejadian letupan itu manakala pihak berkuasa tidak dapat mengesahkannya lagi. - AP

79 korban terbaru gempa bumi Himalaya

ORANG ramai cuba menarik keluar motosikal yang tertimbus dalam runtuhan rumah yang musnah dalam gempa bumi 6.9 magnitud di Bhaktapur, Nepal, semalam. - Foto AP

22 Syawal 1432H. [MOD] -

GANGTOK (India): Angka korban gempa bumi Himalaya yang menggegarkan timur laut India, Nepal dan China mencecah kepada 79 mangsa, ketika pasukan penyelamat menggunakan jentolak sebagai usaha membantu mangsa yang terperangkap dibawa tanah runtuh, kata pihak berkuasa negara itu.

Ketua setiausaha bagi daerah yang paling teruk terjejas akibat kejadian terbabit dikenali Sikkim, Karma Gyatso, berkata gempa bermagnitud 6.9 itu mengorbankan 79 mangsa sehingga kini daripada 50 yang dicatatkan Ahad lalu.

Selain itu, laporan kematian turut diterima di daerah Bihar dan Barat Bengal, Nepal dan wilayah China di Tibet.

Gyatso berkata, pihak berkuasa turut melaporkan kerosakan teruk membabitkan kediaman penduduk setempat dan bagunan di sepanjang Sikkim.

Kini, helikopter membawa pasukan penyelamat dan bekalan kecemasan, sementara pasukan separa tentera menggunakan jentolak bagi membersihkan tanah runtuh yang menutupi lebuh raya yang menghubungkan wilayah terbabit dan keseluruhan daerah di India. - AP

170,818 pengundi guna kod negara misteri

22 Syawal 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini mendedahkan pula sekurang-kurangnya 170,818 pengundi tidak diketahui negara asal kelahiran tetapi layak mengundi.

Mereka merujuk kepada kod negara "71 " yang terdapat pada no kad pengenalan pengundi tersebut seperti dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) suku ke dua 2011 SPR.

"Berdasarkan kepada semakkan laman web JPN, tiada kod “71” disenaraikan sebagai kod rasminya.

"Oleh itu Pemuda PAS menganggap bahawa kod “71” adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya," kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

Menurutnya, 42.33 % atau 72,742 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah dari rumpun bangsa Cina iaitu Cina (71,252), Hokkien (521), Teochew (375), Cantonese (292), Foochow (135), Hainanese (119), Henghua (25) dan Hokchiu (23).

17.33 % atau 29,605 pengundi dari rumpun bangsa India iaitu India (24,663), India Muslim (2,399), Punjabi (796), Sikh (639), Sri Lanka (346), Pakistani (328), Tamil (324), Tamil Sri Lanka (67), Telegu (21), Malabari (12) dan Bangledeshi (10).

Bagi pecahan mengikut negeri tempat mengundi pula adalah Selangor (29,758), Johor (28,164), Wilayah Persekutuan (17,548), Perak (16,680), Kelantan (15,345), Pulau Pinang (12,799), Sarawak (9,324), Sabah (8,590), Melaka (8,069), Negeri Sembilan (7,516), Pahang (6,495), Kedah (5,793), Terengganu (3,313) dan Perlis (941) .

"Ini bermakna bahawa negeri Pakatan Rakyat (PR) termasuk Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran seramai 57.32 % atau 97,923 orang.

"Suatu jumlah yang cukup besar yang mungkin boleh menumbangkan kerajaan yang memerintah," katanya curiga.

Mereka juga turut menjangkakan bahawa terdapat lebih ramai lagi pengundi tidak diketahui negara asal kelahiran ini dalam Daftar Pemilih Induk(DPI) suku ke-3 2011. yang akan digunakan untuk pilihanraya akan datang.

Ekoran itu mereka mahu JPN memberi penjelasan terhadap persoalan berikut:

1. Mengapa JPN menggunakan kod negara “71” sedangkan setiap negara seluruh dunia sudah mempunyai kod negara kelahiran yang telah ditetapkan oleh JPN sendiri. Dalam Kes Mismah yang sepatutnya menggunakan kod negara Indonesia “61” tetapi Mismah diberi kad pengenalan berkod negara “71”. Rujuk laman web JPN : http://www.jpn.gov.my/kodnegara dan http://www.jpn.gov.my/kodnegeri .

2. Kenapa begitu ramai sehingga 170,818 warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya dan mereka layak mengundi. Bilangan ini terlalu mencurigakan. Apakah ada agenda tersembunyi dibelakang JPN bagi tujuan manipulasi pilihanraya?

3. Apakah suatu kebetulan atau sememangnya satu perancangan bahawa negeri Pakatan Rakyat mempunyai bilangan paling ramai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahirannya iaitu 57.32% ?

Wikileaks: SPR pernah keluarkan 60,000 IC palsu

22 Syawal 1432H. [MOD] -

Kabel diplomatik Amerika Syarikat yang bocor mendedahkan, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 90-an, atas arahan Umno.

Kabel yang dimuat naik di portal Wikileaks memetik bekas ketua NGO pemantau pilihan raya Mafrel Malek Husin sebagai mendakwa Rashid (kiri) mengakui perkara itu dalam pertemuan peribadi di rumahnya pada 25 Oktober, 2006.

Dalam kabel yang ditandakan sulit itu, Malek dilaporkan memberitahu pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bahawa Rashid mengesahkan Umno melancarkan kempen 'kotor' sekitar 90-an untuk merampas Sabah - yang dikuasai PBS, ketika itu pembangkang, pada 1994.

"Sepanjang dekad berkenaan, Umno memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan Malaysia kepada lebih 600,000 pekerja pendatang asing (kebanyakan beragama Islam dari Indonesia dan Mindanao di Filipina) di Sabah, sebagai pertukaran untuk undi mereka pada pilihan raya negeri.

"Menurut Husin, Rashid 'mengakui secara peribadi mengeluarkan lebih daripada 60,000 kad pengenalan palsu di Sabah' bagi membantu Umno menguasai politik di sana," kabel itu dipetik.

Kewarganegaraan 'segera' dan hak mengundi untuk pendatang tanpa izin telah lama menjadi isu di Sabah, dengan pemimpin tempatan, sama ada dalam atau luar BN berulang kali menuntut penyelesaian daripada kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, tidak apa yang dilakukan berhubung tuntutan berkenaan.

Keadaan didakwa semakin parah pada tahun 1990-an, dengan kesalahan diletakkan di bahu perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa melancarkan apa yang dikenali sebagai 'Projek IC'.

Ia operasi haram yang didakwa membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara, agensi kerajaan berkaitan dan ejennya dengan tujuan meningkatkan undi Umno dan BN.

Pada pilihan raya negeri 1994, PBS - yang menguasai Sabah sebagai negeri pembangkang sejak tahun 1985 - mendapati majoritinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) merosot mendadak.

Walaupun PBS akhirnya tumbang rentetan beberapa pembelotan kepada BN, ramai menyalahkan 'Projek IC' sebagai punca kejayaan BN menerajui Sabah semula.

Malaysiakini/-

Tiru UK ganti akta ISA tak tepat

22 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Walaupun langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan ISA dialu-alukan, namun pengumuman kerajaan untuk menggantikan ISA dengan dua model akta lain yang terdiri daripada Patriot Act di USA dan Anti Terrorism Act di UK dilihat oleh pelbagai pihak sebagai langkah yang amat tidak tepat.

Sebaliknya, kerajaan seharusnya tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di kedua-dua buah negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, jika kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut, seharusnya kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

Menurut beliau, sekiranya prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan, tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif kerana ia ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau”.

Katanya, di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Keseksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme itu.

"Juham berpandangan adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti yang nyata," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Juham seperti juga parti-parti pembangkang dan NGO-NGO lain, menurut beliau, sememangnya menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Katanya, tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula, katanya, mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan itu adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.

"USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W Bush pada 6 Oktober 2001.

"Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan 11 September 2001. Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing.

"Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan," katanya.

Perlaksanaan akta itu, jelas beliau, telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta itu yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah.

"Harus dinyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan," katanya.

Manakala di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh kerajaan negara itu kira-kira dua bulan selepas serangan 11 September 2001 dengan memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001.

Ciri penting akta itu, katanya, adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa. Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom.

"Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana faktor-faktor keselamatan," jelasnya.

Penggunaan akta itu telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi, memandangkan akta itu membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri.

Menurutnya, oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru, iaitu Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu.

"Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah," katanya.



H/daily

Syukur

22 Syawal 1432H. [MOD] -

"Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman, maka mengapa mereka tidak bersyukur?". (Yaasin: 73)

"Dan Allah mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), tetapi sedikit antara manusia yang bersyukur." (As-Sajadah: 9)

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah ni'mat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih. (Ibrahim: 7)

Hadis Nu'man bin Basyir r.a., bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda "barangsiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak; barangsiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya tidak akan bersyukur kepada Allah Taala."

Bersyukur kepada manusia bermaksud menghargai dan berterima kasih kepada manusia yang banyak menabur jasa dan bakti kepada kita tanpa diminta dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka yang dimaksudkan ialah seperti ibu-bapa kita, para guru dan Rasulullah SAW. Di samping memuji-muji dan mengagung-agungkan jasa kebaikan mereka, kita juga dituntut agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk mereka.

Erti Syukur secara mudah ialah berterima kasih dan mengenang jasa. Orang yang tak bersyukur ialah orang yang lupa diri dan tak mengenang jasa.

Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kakinya bengkak-bengkak. Aisyah ra. bertanya kepada Baginda: Mengapa melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang ? Baginda menjawab: Salahkah jika aku ingin menjadi hamba yang bersyukur ?” (HR Bukhari).

Cara bersyukur atau berterima kasih atas kurnia Allah ialah dengan jadikan diri kita orang yang bertaqwa, banyak beribadah serta selalu memuji Allah dengan lisan dan di dalam hati.

TAZKIRAH/-

Mengapa Najib terpaksa mansuh ISA?

22 Syawal 1432H. [MOD] -

Banyak pihak menyifatkan pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada "malam bersejarah" 16 September lalu umpama peribahasa Inggeris, "old wine in new bottle", namun saya tetap memilih untuk merakamkan tahniah dan penghargaan.

Yang pasti, ucapan terima kasih itu bukan buat Najib (yang mewarisi kezaliman tahanan tanpa bicara sejak zaman berzaman, daripada era Tunku Abdul Rahman, 1960 dan makin diperketatkan terutama oleh Dr Mahathir Mohamad) tetapi sekalung tahniah buat ribuan pejuang kebebasan yang sebahagian besarnya menderita dikurung ISA, termasuk generasi awalan seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy.

Semasa ramai bersikap skeptikal sambil menunggu (sebelum membuat ulasan) untuk melihat draf dua undang-undang baru yang disifatkan Perdana Menteri "untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memeliharan ketenteraman dan keselamatan awam", saya tanpa ragu menyifatkan tindakan terdesak Najib - yang sarat dengan motif politik itu - berpunca daripada siri tekanan berterusan, yang tidak mampu lagi dipikul pemerintah. Akhirnya terpaksa akur dengan perjuangan hak asasi rakyat.

Maka, benarlah seperti kata Azmin Ali, Timbalan Presiden KeADILan, pengumuman Najib itu bukannya suatu kurnia pemerintah kepada rakyat sempena Hari Malaysia, "... sebagaimana kita tidak memberikan tahniah kepada British kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi tarikh tersebut kita rayakan sebagai kemuncak kejayaan perjuagan menentang penjajahan."

Najib sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Sekiranya bukan difaktorkan oleh tarikh pembubaran Parlimen yang semakin dekat, dan keghairahan untuk mengutip sokongan atas tindakan populis itu, gelombang pendemokrasian yang menjadi trend global tetap mengasaknya, apatah lagi kesedaran masyarakat terhadap isu-isu hak asasi semakin menebal.

Pada hemat saya, kalaupun ISA tidak dimansuhkan, penggunaannya semakin terbatas. Selain momokan memerangi keganasan, akta rimba itu kian sukar untuk diperalatkan bagi berdepan dengan seteru politik Umno. Maknanya, ISA yang telah menjadi beban politik sejak sekian lama kepada pemimpin BN, tetapi "bertambah sukar" untuk dimanipulasikan. Justeru, daripada menanggung "biawak hidup" tanpa mendapat sebarang keuntungan politik, lebih baik sahaja dimansuhkan sahaja.

Selepas tahanan borong membabitkan aktivis reformasi, seperti Saari Sungip dan Hishamuddin Rais, lebih kurang 10 tahun lalu, yang menerima penentangan hebat daripada masyarakat, rasanya, yang membabitkan tokoh politik hanya pemimpin kanan DAP, Teresa Kok, yang juga Ahli Parlimen Siputeh dan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, yang dikurung ISA pada 12 September 2008; itu pun hanya selama seminggu. Turut ditahan bersamanya adalah pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng. Tan sekadar ditahan selama sehari.


Dari sisi lain, Perdana Menteri terpaksa mengalah dengan suara rakyat, suara keramat yang menggemakan kebenaran luhur. Politik baru yang muncul secara ketara pada akhir 1990-an, yang ditandai dengan laungan reformasi di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, tidak mampu disekat lagi. Zaman rakyat termakan dengan gula-gula politik sudah berlalu.

Suara rakyat itu dizahirkan secara jelas dan lantang dalam rangkaian demonstrasi besar-besaran, bermula dengan perhimpunan aman Bersih 1.0, menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil pada 10 Oktober 2007, disusuli perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 7 Mac 2009, seterusnya diikuti tuntutan pemansuhan ISA pada 1 Ogos 2009 dan terkini, 9 Julai 2011, Bersih 2.0 menggemparkan negara.

Tanpa bantahan berterusan rakyat, yang direncanakan secara sistematik oleh pihak penganjur, melibatkan semua lapisan kaum - yang pastinya menagih pengorbanan dan komitmen cukup tinggi - regim pemerintah tentu tidak semudah itu untuk memenuhi tuntutan prodemokrasi.

Amaran, ugutan, tembakan gas pemedih mata, pancutan air, gari, sepak-terajang polis dan tangkapan langsung tidak memudarkan semangat, malah membekal azimat demi kelangsungan perjuangan.

Dalam konteks penentangan terhadap ISA, inisiatif parti-parti politik pembangkang dan masyarakat sivil, khususnya dengan penubuhan NGO tertentu seperti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), tidak pernah kendur. (Secara peribadi, saya tetap mengenang Assyahid Ibrahim Libya yang terkorban bersama 13 anak muridnya di Memali pada 19 November 1985 sebagai tokoh penentang ISA terulung, yang tidak bersedia dikurung tanpa bicara, malah bersedia menggadaikan nyawanya). Demonstrasi raksasa 1 Ogos 2009 hanya salah satu acara kemuncak. Selain itu, mereka tetap istiqamah untuk "lawan tetap lawan".

Jika tidak "diasak ke dinding" atau bukan kerana tersepit dengan kemungkinan kehilangan kuasa dalam PRU13 nanti, saya yakin Najib dan rakan-rakannya dalam BN langsung tidak tercuit dengan sebarang idea transformasi politik. Selagi boleh ditangguhkan agenda perubahan itu, BN akan terus "bersilat lidah" menabur umpan dan janji manis.

Nota ringkas ini bertujuan merakamkan sejuta penghargaan dan tahniah buat semua pihak yang terbabit berjuang tanpa mengenal lelah sehingga ISA dimansuhkan. Persetankan segala sanggahan Najib dan sepupunya, Hishammuddin Hussein, yang berusaha mempertahankan kesombongan daripada mengakui hakikat bahawa pemansuhan itu adalah kejayaan rakyat.

Apa pun, SMS rakan saya petang Jumaat lalu agak menarik: "Selamat tinggal ISA, selamat datang GST. Orang Umno marah betul Najib umum mansuh ISA, nampak sangat dekat PRU13. Kisah tuntutan mansuh ISA perlu didokumentasikan sebab 20 tahun lagi Umno akan dakwa mereka yang berusaha mansuhkan ISA."

Seorang lagi teman memberi respons: "Itu tandanya pembangkang kena kuat dan mengasak, barulah berlaku perubahan."

Ahmad Lutfi Othman
harakahdaily/-

Mahasiswa turut pertikai keikhlasan Najib

22 Syawal 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA, 20 Sept: Pro Mahasiswa Nasional (Pro M Nasional) menuntut kerajaan BN memberi jaminan penubuhan undang-undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengutamakan hak asasi rakyat.

Menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan ISA sebagai tindakan populis bagi menyelamatkan kedudukan parti pemerintah, Pro M Nasional menempelak sikap ego Najib yang enggan mengaku pemansuhan itu hasil perjuangan rakyat.

Pro M Nasional berpandangan tindakan Najib itu lebih kepada menjawab desakan Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang menentang ISA.

Pengerusinya, Mohd Taufiq Abdul berkata, Najib seharusnya menggunakan sambutan Hari Malaysia untuk mengutamakan kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan parti.

"Pemansuhan ISA dilihat sebagai perisai BN dalam menepis serangan pembangkang.

"Adalah amat tidak bertanggungjawab bagi sebuah kerajaan menggunakan hari bersejarah demi kepentingan parti sedangkan rakyat menantikan transformasi yang merakyat untuk menaikkan taraf hidup mereka," katanya.

Pro M Nasional sebaliknya mahu kerajaan menjawab segera isu-isu rakyat iaitu taraf hidup, keselamatan, dan isu mahasiswa.

Bagi menyelesaikan isu taraf hidup rakyat, kerajaan digesa melaksanakan akta gaji minima, menyelesaikan kenaikan harga barang termasuk petrol, diesel dan tarif elektrik, mengembalikan hak royalti minyak rakyat Kelantan dan memberikan pendidikan percuma.

Sementara itu, pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang harus dikaji semula.

Tuntut Auku dimansuhkan

Bagi isu mahasiswa pula, Pro M Nasional menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan cas perkhidmatan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.

Semua tuntutan tersebut terkandung dalam memorandum yang gagal diserahkan kepada Perdana Menteri tengahari tadi.

Pihak Pro Mahasiswa Nasional sudah membuat temujanji dengan pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk penyerahan itu namun hari ini tiada wakil yang tampil menerimanya.

Namun mereka dimaklumkan tengahari tadi, kemungkinan ada wakil yang akan menerima memorandum tersebut petang ini.

Turut bersama pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Che Abd Razab, jurucakap SMM, Ahmad Shukri Kamaruddin dan beberapa wakil Persatuan Mahasiswa Islam (PMI).

36 pengunjung kelab maut diserang di Burundi

22 Syawal 1432H. [MOD] -



GATUMBA, Burundi 20 Sept. – Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati sekurang-kurangnya 36 pengunjung ketika menyerang sebuah kelab malam di sini, lapor pihak berkuasa hari ini.

Gabenor wilayah Luar Bandar Bujumbura, Jacques Minani berkata, serangan tersebut berlaku pada malam semalam dan seramai 36 orang disahkan terbunuh.

Kelab malam tersebut terletak di kawasan Gatumba, kira-kira 13 kilometer barat Bujumbura. – AFP

Trend baharu bergambar dalam tandas

22 Syawal 1432H. [MOD] -




SALAH satu aksi terbaharu meniarap di dalam tandas.


LONDON - Terdapat trend terbaharu dalam kalangan pengguna rangkaian sosial seperti Facebook iaitu bergambar dengan kepala berada dalam mangkuk tandas, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengguna-pengguna rangkaian sosial itu yang terdiri daripada lelaki dan wanita juga melakukan aksi seperti meniarap di dalam tandas.
Ia merupakan trend terbaharu selepas bergambar dalam keadaan meniarap di pelbagai lokasi, bertenggek seperti burung hantu dan berdiri dalam keadaan terbalik seperti kelawar. - Agensi

Puasa Enam

22 Syawal 1432H. [MOD] -

Nabi saw. bersabda, "Janganlah seorang wanita itu berpuasa walau satu hari pun jika suaminya berada di rumah tanpa izinnya, kecuali puasa Ramadhan". (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia berpuasa enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti dia berpuasa sepanjang tahun." (HR Muslim)

tazkirah/-

Kelebihan Ziarah

22 Syawal 1432H. [MOD] -

Nabi saw. bersabda, "Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya.

Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya?

Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya” (HR Muslim)

Dari Ali r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Apabila seseorang telah menziarahi saudara seislamya, sebenarnya dia telah berjalan-jalan memetik buahan syurga sehinggalah dia duduk.

Apabila dia duduk maka rahmat menaunginya. Jika di di waktu pagi maka 70, 000 malaikat berselawat ( berdoa memohon ampun ) untuknya sehingga waktu petang. Jika di waktu petang, maka 70,000 berselawat ( berdoa memohon ampun ) untuknya sehingga waktu pagi ". (HR Ibnu Majah, Abu Dawud)

TAZKIRAH/-

PAS beri jaminan tak akan tukar bendera

22 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 20 Sept: Menyokong kenyataan Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan bahawa yang ingin digantikan Pakatan Rakyat (PR) ialah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya Jalur Gemilang.

Beliau menyifatkan, Jalur Gemilang tiada salah dan berdosa sebagai bendera Malaysia.

“Tak ada salah dan dosa bendera Malaysia. Yang Pakatan Rakyat nak tukar ialah BN bukannya bendera,” tegas beliau dalam satu kenyataanya melalui sms kepada Harakahdaily.

Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga menegaskan bahawa PAS tidak akan bersetuju dengan mana-mana cadangan untuk menukar bendera Malaysia.

“PAS bagi jaminan tak akan tukar bendera,” tegasnya lagi.

Adun DAP Kota Alam Shah, M Manoharan telah memohon maaf secara terbuka atas keterlanjurannya dalam Twitter beliau baru-baru ini, di mana beliau menyatakan akan bertindak menukar design bendera Malaysia sekiranya menang.

Namun begitu, serangan Umno terhadap beliau masih bertali arus.

Semalam Tuan Ibrahim turut menegaskan tiada keperluan untuk menukar bendera negara kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara.

Disebabkan itu, katanya sebagai rakyat Malaysia, bendera negara perlu dipertahankan, tidak boleh diperlekehkan dan dipersendakan.

“Isu ini tidak perlu jadi polemik kerana ia tidak akan menjadi dasar Pakatan Rakyat, dan PAS secara tegas tidak akan sesekali menyokong cadangan sedemikian daripada sesiapa pun,” tegas beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru agar semua pimpinan Pakatan Rakyat bekerja keras bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional akan datang.

“Itulah isu yang harus difokuskan oleh semua pemimpin, anggota, penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat yang inginkan pembaharuan dan jaminan masa depan yang lebih baik,” nasihat beliau.
H/daily

Pakar DNA Australia Tidak Setuju Sel Sperma Mampu Bertahan Lebih 100 Jam

22 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 20 SEPT : Pasukan pendakwaan kes fitnah liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapatkan pengesahan daripada pakar Australia, Dr Brian Mcdonald bersabit tempoh jangka hayat sel sperma mampu bertahan lebih daripada 100 jam.

Pada sesi soal balas sebentar tadi Peguamcara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden merujuk kepada tiga jurnal perubatan kes rogol luar negara yang menyatakan sel sperma mampu bertahan untuk satu tempoh yang begitu lama.

Brian yang mempunyai pengalaman selama 30 dalam mengendalikan ujian DNA mendapati perkara tersebut adalah mustahil dan enggan bersetuju dengan cadangan Yusof.

Beliau yang disoal Ram Karpal Singh sebelum ini berkata penemuan tersebut amat jarang berlaku dan ianya tidak boleh dijadikan rujukan.

Namun beliau tidak menafikan perkara tersebut adalah mustahil.

Suasana tegang seketika apabila Yusof dilihat cuba memaksa Brian bersetuju dengan penemuan dalam jurnal yang dikemukakan beliau termasuk menyuruh pakar itu membuat andaian ianya rujukan sahih.

"Saya tidak boleh baca kerana ianya tiada rujukan untuk perbandingan. Melainkan ada orang boleh terjemah. Saya yakin orang dalam dewan tidak boleh baca jurnal itu (bahasa Thailand)," katanya di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Peguam Ram Karpal kemudian membantah tindakan Yusof.

"Anda tidak boleh suruh saksi untuk buat andaian maklumat dalam bahasa Thai," katanya dan dibenarkan hakim.

Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu spesimen yang diperolehi dari dubur pengadu Saiful Bukhari Adzlan telah mencecah tempoh masa hampir 100 jam sebelum diuji makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM).

Malah peguambela mendakwa sampel tersebut tidak dikendalikan dengan baik dan berlaku konteminasi.

Namun laporan pakar kimia, Dr Seah Lay Hong dan pembantu Dr Nor Aidora Saedon yang dikemukakan kepada mahkamah menyatakan sperma berada dalam keadaan baik ketika diuji walaupun telah terdedah kepada persekitaran.

Yusof pada sebelah pagi dilihat cuba mempersoalkan kredibiliti Brian merujuk kepada laporan perubatan yang pernah ditolak mahkamah di negara Brunei.

Namun Brian mempertahankan kedudukan beliau sebagai pakar ujian DNA dengan menyatakan bahawa hakim kes tersebut mengiktiraf beliau sebagai saksi yang benar.

Mahkamah kini berehat sebentar dan akan bersambung jam 2.30 petang nanti.

tv selangor/-

Bangladesh: Malaysia patut hantar nota protes

22 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 20 Sept: Kerajaan hendaklah menghantar nota protes kepada kerajaan Bangladesh kerana kecuaian yang menyebabkan penyiaran tuduhan yang memalukan Malaysia dalam laman web pejabat Perdana Menteri negara itu, kata Datuk Mahfuz Omar.

Kerajaan juga hendaklah memanggil Duta Bangladesh ke negara ini bagi menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap kecuaian yang menyebabkan nama Malaysia tercemar itu.

"Itu pun jika benar dakwaan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh bahawa kerajaan Bangladesh tidak menyedari mengenai artikel itu," katanya.

Jumaat lalu, laman Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh dikesan menyiarkan artikel yang mengesahkan sebilangan pekerja negara itu dalam beberapa sektor di Malaysia diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu serta diberi hak mengundi dengan syarat mereka mengundi parti yang mewakili kerajaan yang berkuasa.

Artikel itu menyatakan ia memetik "sumber yang boleh dipercayai" dari Pejabat Perdana Menteri Bangladesh.

"Apa yang tersiar itu amat memalukan negara  dan adalah amat pelik dan ganjil jika kerajaan negara ini berdiam diri begitu sahaja.

"Jika benar kerajaan Bangladesh tidak sedar dan tidak terlibat dengan penyiaran artikel itu, ia tetap bersalah atas kecuaian sehingga menyebabkan artikel tersebut tersiar begitu lama dalam laman web pejabat Perdana Menteri negara itu.

"Kerajaan Malaysia perlu membersihkan namanya dengan menghantar nota protes dan memanggil duta Bangladesh bagi menyampaikan rasa tidak puas hati," kata Mahfuz (gambar).

Jika kerajaan enggan membersihkan namanya, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, ia akan menguatkan lagi keyakinan umum bahawa perkara itu memang berlaku memandangkan apa yang tersiar dalam laman web itu mempunyai persamaan yang sangat ketara dengan apa yang berlaku dalam negara ini.

Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak pendedahan mengenai warga asing yang diberikan status kerakyatan dan kemudian disenaraikan dalam daftar pemilih.

Daftar Pemilih yang bersih adalah salah satu dari lapan tuntutan utama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Tuntutan lain ialah supaya SPR mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
H/daily

Hentikan tayangan filem Hantu Bonceng

22 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Dewan Pemuda PAS menggesa filem Hantu Bonceng yang sedang ditayangkan di pawagam dihentikan segera kerana mengandungi unsur penghinaan kepada agama Islam.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, filem komedi baru yang dibintangi pelawak terkenal Zizan Razak mengandungi babak yang jelas menghina Rasulullah.

Babak tersebut ketika Zizan di atas katil wad hospital menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan).

Jika mahu ditayangkan juga ujarnya, sekurang-kurang babak mengucap syahadah secara salah itu mesti di potong untuk tayangan berikutnya.

"Menyebut  perkataan "Muhammadar Syaithan" yang bermaksud Muhammad adalah syaithan dalam sebutan syahadah yang dijenakakan adalah haram dan boleh memesongkan aqidah.

"Saya dan seluruh ummat Islam yang sensitif terhadap agama tidak mampu tidur lena. Selagi ia menjadi tontonan umum, fikiran saya gelisah dan perasaan saya resah," ujarnya.

Filem arahan sutradara terkenal Ahmad Idham dengan durasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM 5 juta untuk lima hari tayangan.

Selain Zizan ia turut membariskan aktres terkenal Juliana Evans dan Jue Aziz.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata pihak pengarah dan penerbit termasuk Zizan sendiri wajar memohon maaf kepara seluruh umat Islam di atas jenaka keterlaluan itu.

Sama ada Zizan sedar atau tidak keterlanjuran itu katanya, ia tetap salah kerana menghina Rasulullah SAW.

"Saya dengan segala baik sangka mengharapkan saudara Zizan selaku pelakon babak ini tidak menyedari implikasi aqidah sewaktu melakonkan watak tersebut, namun saya menyarankan agar Zizan segera memohon maaf kepada umum terhadap jenaka yang keterlaluan itu.

"Saya yakin, Zizan akan lebih dihormati kerana saya juga meminati beliau selaku anak seni dalam negara ini," 

Ibu dalam pantang, bayi maut nahas

22 Syawal 1432H. [MOD] -

BATU PAHAT: Niat murni seorang suami membawa pulang isteri yang masih berpantang bagi menjaga wanita itu dan bayi perempuan berusia 23 hari berakhir tragedi apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 5.1 Muar-Yong Peng, berhampiran Parit Yaani, di sini, kira-kira jam 1.05 pagi semalam.

Dalam kemalangan itu, isterinya terbunuh di tempat kejadian manakala anaknya meninggal dunia lima jam kemudian.

Selain dua beranak terbabit, pemandu kereta lain yang juga pegawai tentera, Khairul Azam Buhari, 26, berpangkat kapten meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, ketika menyambut Aidilfitri di Kelantan, baru-baru ini, Mohd Hanizan Bahari, 28, terlalu rindukan isterinya, Azalina Mat Yasin, 27, dan anaknya itu sebelum mengambil keputusan membawa pulang ke rumahnya di Sri Gading, di sini.

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kira-kira 10 kilometer dari rumahnya bersama ibu, Habsah Ab Latiff, 58, dan ibu saudaranya, Khadijah Omar, 60, kenderaan dinaiki keluarga berkenaan bertembung sebuah kereta lain.

Bapa mangsa, Bahari Abdul Ghani, 57, berkata ketika menyambut Aidilfitri lalu, Mohd Hanizan asyik mengambil gambar anak dan isterinya, malah ketika diajukan soalan, dia menjawab itu akan dijadikan kenang-kenangan, namun tidak menyangka foto diambilnya itu menjadi memori tidak dapat dilupakannya.

“Ketika itu dia asyik mengambil gambar dua beranak berkenaan. Pada mulanya kami hairan, namun apabila dia mengatakan mahu menjadikan kenangan kami membiarkan saja kerana maklum itu anak pertama mereka.

“Bagaimanapun, kami tidak menyangka ia kenangan terakhir mereka sekeluarga sebelum kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, dia menerima panggilan awal pagi semalam daripada seorang ahli keluarga yang memaklumkan kejadian itu dan bergegas ke Hospital Batu Pahat untuk melihat keadaan keluarganya.

“Sejurus menerima berita itu, saya bersama beberapa keluarga bergegas dari Kelantan dan menuju Unit Forensik Hospital Batu Pahat.

“Sebaik tiba, baru saya mengetahui menantu dan cucu saya sudah pergi meninggalkan kami, manakala isteri, Habsah, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Hanizan serta ibu saudaranya, Khadijah, masih menerima rawatan di wad,” katanya. Katanya,

walaupun sedih dengan kejadian itu, namun mereka reda dan menganggap semua berlaku ketentuan Ilahi, malah akan menguruskan proses penghantaran pulang kedua jenazah ke kampung mereka di Kampung Takang, Bachok, Kelantan.

Harian Metro difahamkan, Hanizan bertugas di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading di sini, sebagai pegawai latihan vokasional, sementara isterinya, seorang guru agama dan mengajar di sebuah sekolah di Sabah.

Ketika ditemui di wad semalam, Hanizan belum mampu bercakap dan cedera serius serta patah kaki kanannya, namun ditemani beberapa rakan dari KKTM.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, Hasnizan yang memandu Proton Waja bersama isteri, anak, ibu dan ibu saudaranya dalam perjalanan pulang dari kampung mereka di Bachok, Kelantan, sebelum bertembung Perodua Kancil dipandu Khairul Azam.

Difahamkan, Khairul Azam bertugas di sebuah kem tentera di Taiping, Perak dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

metro/-

Kereta putus lekat di tiang

22 Syawal 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA: “Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat kereta mangsa putus dua, kaki mangsa terperosok di bahagian pedal minyak manakala beberapa cebisan dipercayai otak mangsa melekat di tempat duduk belakang,” kata seorang saksi kemalangan maut di sini, semalam.

Menurut saksi yang enggan dikenali itu, dia adalah antara yang terawal melihat kejadian terbabit di Kilometer 7.2, Persiaran Selatan berhampiran susur keluar Pusat Konvensyen Antarangsa Putrajaya (PICC).

“Saya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakan mengenai kemalangan berkenaan, namun sebaik tiba saya melihat anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

“Ketika itu saya ingat mangsa masih hidup, tetapi rupanya dia sudah meninggal dunia. Keadaan kereta mangsa terputus dua, enjin serta dua tayar depan tercampak tidak jauh dari tiang lampu yang dilanggarnya,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kemalangan pada jam 5.25 petang itu, mangsa Mohammad Rasydan Rasid, 20, yang dikatakan dalam perjalanan dari Dengkil, Sepang ke Putrajaya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis, Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu laju mengakibatkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu.

Katanya, akibat rempuhan itu, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa terputus dua.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh lalu merempuh tiang lampu di tempat kejadian.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pihak Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya.

Harian Metro

Parti Lanun menang 15 kerusi Parlimen Berlin

22 Syawal 1432H. [MOD] -




SEJUMLAH penyokong Parti Lanun menjerit kegembiraan selepas mengetahui keputusan pilihan raya Berlin di Berlin kelmarin.


BERLIN - Parti Lanun yang ditubuhkan pada 2006 dan mempunyai lebih 50 anggota menang 15 kerusi dalam pilihan raya Parlimen Berlin, lapor sebuah akhbar semalam.
Parti itu menang sembilan peratus daripada undi yang kebanyakannya daripada pengundi berusia di bawah 30-an.
Ia pada asalnya berkempen untuk perlindungan perkongsian fail dan data di Internet sebelum berkempen dalam isu pendidikan dan hak asasi manusia.
Selepas keputusan diumumkan, seorang anggota parti tersebut yang menjadi calon, Andreas Baum memberitahu stesen televisyen ZDF: "Kami mempunyai hak untuk bekerja."
Parti itu sebelum ini tidak pernah menenangi kerusi dalam pilihan raya parlimen di peringkat Persekutuan.
Pengerusi parti itu, Sebastian Nerz berkata, buat masa kini, anggota-anggota parti tersebut bekerja secara sukarela.
Menurutnya, parti tersebut mahu menjadi setelus-telusnya, berjuang menghapuskan paten dan mengehadkan kawalan hak cipta yang dimiliki oleh sesuatu pertubuhan.
Dalam pilihan raya itu, Parti Kristian Demokrat yang disertai pemimpin Jerman, Angela Merkel menduduki tempat kedua.
Parti Sosial Demokrat menduduki tempat pertama dalam pilihan raya itu. - Agensi

PAS kecam cubaan bakar rumah Mohamad Sabu

22 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Sept: PAS mengecam pihak tertentu yang menyerang rumah Timbalan Presiden Mohamad Sabu di Seksyen 19 di Shah Alam malam tadi dipercayai menggunakan bom petrol.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS memandang serius perkara itu kerana sejak laporan salah media terhadap Mat Sabu berhubung isu Bukit Kepong, timbalan presiden PAS itu menerima pelbagai ugutan SMS sehingga ancaman fizikal hari ini.

"Kita pandang serius serangan ini. Sebelum ini Mohamad Sabu ada buat laporan polis beliau kena ugut dan terima ancaman, saya harap pihak keselamatan boleh meningkatkan kawalan terhadap keselamatannya," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Pada 8 September lalu, Mohamad juga mendakwa menerima SMS ugutan daripada daripada individu tidak dikenali yan mengancam mahu menyimbah asid terhadap isteri dan anak perempuannya.

Dalam situasi sekarang ini ujar Tuan Ibrahim, sebarang ancaman tidak boleh lagi dipandang enteng kerana kebanyakan ancaman disusuli tindakan.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, bahagian pagar depan dan lantai halaman rumah Mohamad terbakar, dipercayai akibat bom petrol.

Ketika kejadian itu Mohamad dan isteri difahamkan tiada dirumah dan hanya disedari anaknya Nurul Huda, 27, selepas dimaklumkan jiran.

Mengulas lanjut insiden itu, Tuan Ibrahim menasihatkan semua pihak menggunakan saluran undang-undang yang betul jika tidak berpuas hati dengan mana-mana pihak dan bukannya bertindak melulu atas kemarahan diri.

Selain itu beliau turut menasihatkan media, agar melaporkan perkara yang betul supaya tidak menimbulkan kemarahan rakyat yang boleh mengancam keselamatan orang lain.

"Media pelu elak putar belit. Jangan sengaja bangkitkan kemarahan rakyat dengan isu agama dan perkauman sehingga mengancam keselamatan seseorang," katanya.

harakahdaily/-

ISA: Najib mahu tunjukkan dia bos

22 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Datuk Seri Najib Razak dipercayai cuba menunjukkan kepada Umno dan Kabinet Malaysia bahawa dia adalah bos ketika mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Ini kerana, reaksi dari pihak Umno dan Kabinet mengesahkan dakwaan bahawa mereka tidak dirujuk dan perbincangan serta keputusan dibuat oleh beberapa 'inner circle'(kumpulan terdekat).

Demikian analisa yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

"Bagi saya, dia membuat pengumuman ini atas keputusan dirinya sendiri dan para penasihatnya sahaja bukan berbincang dengan rakan-rakan beliau bahkan mungkin menganggap timbalannya, Tan Sri Muhyidin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin adalah liabliti dalam beberepa insiden mutakhir," kata beliau.

Menurut Dr Dzulkefly, nampak ketara sangat perbezaan itu sebaik sahaja ia dikemukakan oleh Najib ketika memberikan ucapan menjelang Hari Malaysia malam 16 September lepas.

"Timbalan beliau sendiri, Tan Sri Muhyidin hanya memberikan sokongan selepas dua hari ia dibentang Najib...nampak ada yang tak kena kerana terlalu lambat menyatakan sokongan kepada bos," kata beliau kepada Harakahdaily.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein mengakui, Umno terpaksa memberikan penerangan kepada semua ahli-ahlinya bagi menerangkan pemansuhan ini.

Pengumuman Najib menghapuskan ISA juga dilihat mendapat tentangan dari Umno dan juga sayap kanannya, Perkasa.

Bagi Dr Dzulkefly, apa yang dibuat oleh Najib adalah cubaan untuk pergi 'ke tengah' bagi mendapat kembali sokongan Cina dan India selepas kajian menunjukkan sokongan terhadap beliau merudum teruk dari 72 peratus kepada 59 peratus baru-baru ini.

Namun, kata beliau, dia dihalang dan tidak dipersetujui oleh timbalan beliau sendiri, Muhyidin dan 'warlords' dalam Umno.

"Ketika Najib lancarkan 1 Malaysia, Muhyidin kata, dia Melayu dahulu baru Malaysia.

"Ketika dia mahu mengenepikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), untuk digantikan dengan dasar yang lebih liberal dan tender terbuka, dia dimarahi lagi oleh Muhyidin dan juga bekas PM, Tun Dr Mahathir...sejak itu Model Ekonomi Baru (NEM) tenggelam dan NEAC pun dah dibubarkan.

"Ketika Najib memberikan kebenaran kepada Bersih 2.0 untuk berhimpun di Stadium, ia dibantah oleh Hishamudin sendiri dan akhirnya beliau dilihat sebagai pemimpin yang flip flop.

"Semua ini menunjukkan apa yang dibuat Najib tidak disepakati dalam Umno dan Kabinet tetapi dinasihatkan oleh penasihat beliau sahaja," kata Dr Dzulkefly (gambar) yang juga AJK PAS Pusat.

Sejak kebelakangan ini, kesangsian ini semakin ketara ekoran peranan yang terlalu besar yang dimainkan oleh para penasihat dan konsultan Najib melalui Pemandu.

Pemandu pula dipimpin oleh dua Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Dr Koh Tsu Koon di samping nasihat dari penasihat luar termasuk Apco.

Di bawah mereka dan pegawai Tingkat 4, Jabatan Perdana Menterilah terletaknya para penasihat Oxbridge ini yang tidak sensitif dengan perjuangan Melayu yang dikepalai oleh Muhyidin dan di sokong kuat oleh Mahathir dan Perkasa.

Mereka telah mengenepikan peranan pegawai kanan kerajaan yang hampir kesemuanya berbangsa Melayu yang berperanan besar selama ini melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Perancangan dan Koordinasi (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Saya yakin, merekalah yang terlibat dalam perancangan untuk memansuhkan ISA kononnya untuk bergerak ke tengah dan menyebabkan Najib mengenepikan peranan rakan-rakannya dalam Umno dan Kabinet," Dr Dzulkefly memberikan analisanya.

Akibat dari pertentangan ini, kata beliau, akan ada gangguan yang jelas dari segi pelaksanaan pemansuhan ini nanti dan jika tidak terkawal akta ganti yang bakal digubal nanti akan lebih zalim dari ISA.

"Dalam hal ini, Najib nampaknya nekad. Hishamudin sebelum itu berkata, ISA tidak akan dimansuh tetapi pinda sahaja. Muhyidin pula kata, ia tindakan yang betul selepas dua hari pengumuman. Mahathir pula kata, ISA tidaklah kejam sangat.

"Semacam kabinet pun tak tahu apa yang Najib umumkan itu," kata beliau.

Kini selepas pengumuman itu dibuat, Najib pula semacam tidak bersedia untuk menjadi negarawan apabila berkata, ia bukan kejayaan desakan rakyat tetapi kebaikan Barisan Nasional (BN) memahami rakyat sahaja.

"Beliau sebenarnya hanya mengambil kira kepentingan politik ketika membuat pengumuman ini bukannya mahu mengembangkan minda rakyat.

"Kalau dia pentingkan perkembangan minda rakyat, dia akan utamakan pemansuhan-pindaan ke atas Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan kolej (AUKU), di samping ISA" kata Dr Dzulkefly lagi.

Beliau juga turut berkongsi kebimbangan dengan seorang pensyarah undang-undang bahawa pengumuman ini memberikan implikasi besar kepada pelaksanaan undang-undang di negara ini.

Apa pun cadangan ini mesti melepasi perbahasan di peringkat Dewan Rakyat dan Negara.

Yang penting kata beliau lagi, Najib telah mendapat habuan politik sebelum PRU ke-13.

Tidak ada jaminan bahawa dia tak akan flip-flop lagi walaupun dia berjaya membuktikan bahawa dialah bos hari ini, tegas beliau.

harakahdaily/-

Padah menyamar untuk program TV

22 Syawal 1432H. [MOD] -




BEN BOYCE menyamar sebagai juruterbang di Lapangan Terbang Auckland, New Zealand pada Sabtu lalu.



WELLINGTON - Seorang lelaki yang menyamar dirinya sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan dan cuba untuk memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Auckland di New Zealand mungkin merupakan sebahagian daripada lawak jenaka untuk satu program televisyen.
Bagaimanapun, polis New Zealand mendakwa perkara itu bukannya satu gurauan.
"Percubaan untuk melanggar keselamatan lapangan terbang perlu diambil perhatian yang serius," kata seorang pegawai polis, Andy Lovelock dalam satu kenyataan.
Polis berkata, seorang lelaki memasuki pekarangan lapangan terbang dengan memakai pakaian seragam juruterbang dan lencana perak di topi pada Sabtu lalu.
Dia juga didapati membawa beg bimbit yang besar.
Polis memberitahu, lelaki itu cuba memasuki kawasan larangan sebelum dia dikejar oleh kakitangan-kakitangan di lapangan terbang tersebut dan melarikan diri dengan menaiki sebuah van Toyota berwarna hitam.
Juruterbang itu, Ben Boyce yang menyedari kesilapannya berkata dalam satu kenyataan: "Saya meminta maaf berhubung semua masalah yang telah berlaku.
"Kami tidak berhasrat untuk melanggar peraturan atau menyebabkan sebarang kebimbangan atau kerisauan. Ia merupakan satu percubaan gurauan yang kami menerima sepenuhnya sebagai berlaku di tempat yang silap."
Dia dan seorang deejay radio, Bryce Anthony Casey dan penerbit program televisyen, Andrew Logan Robinson dihadapkan ke sebuah mahkamah semalam ekoran kejadian itu.
Menurut dokumen mahkamah, kesemua mereka didakwa di bawah Akta Penerbangan Awam.
Mereka didakwa memasuki satu kawasan keselamatan di lapangan terbang tersebut walaupun mengetahui ia merupakan satu kesalahan.
Ketiga-tiga mereka dibenarkan diikat jamin dan diminta tampil di mahkamah pada 18 Oktober depan. - Agensi

Kereta Ferrari putus dua

22 Syawal 1432H. [MOD] -




BAHAGIAN belakang kereta Ferrari yang terputus.


LOS ANGELES – Seorang penumpang kereta Ferrari terbunuh manakala pemandunya cedera teruk apabila kereta yang mereka dinaiki putus dua setelah melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terjatuh ke tebing curam, lapor sebuah akhbar semalam.
Penumpang itu, Basil Max Price III, 23, dari Los Angeles, tercampak dari kereta dan mati di tempat kejadian.
Pemandunya Vladimir Skortsov, 24, dari Upland berada dalam keadaan kritikal dan mendapat rawatan di Pusat Perubatan
UCLA di sini.
Polis memberitahu, Ferrari 350 M keluaran 1999 yang kini bernilai sekitar AS$100,000 (RM311,375) terjunam ke dalam tebing curam
di tepi pantai pada awal pagi
di Lebuh Raya Pantau Pasifik.
Tiang elektrik itu patah dua.
Kenderaan tersebut dilaporkan hilang kawalan semasa dipandu pada awal kelmarin.
Beberapa pegawai berkata, bekalan elektrik terputus buat sementara waktu ekoran tiang elektrik tersebut patah. – Agensi

Maut ditikam kekasih pengkid

22 Syawal 1432H. [MOD] -

POLIS mengangkat mayat pekerja kilang di Taman Semarak, Sungai Petani, semalam.

SUNGAI PETANI: Seorang gadis berusia 29 tahun ditemui mati di sebuah rumah di Taman Semarak, dekat sini, petang semalam dipercayai ditikam kekasihnya yang juga pengkid berusia 25 tahun yang kemudian bertindak mencederakan dirinya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mayat mangsa yang berasal dari Yan Besar ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumah sewa mereka.

Kekasih mangsa, pengkid keturunan Siam mencederakan dirinya dengan senjata ditemui di depan rumah jiran dalam keadaan separuh sedar.

Pengkid terbabit menikam kekasihnya yang juga pekerja kilang di Bakar Arang, akibat cemburu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata mangsa dipercayai tinggal bersama di rumah itu sejak 2007 dan polis tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Katanya, mangsa ditemui berlumuran darah di ruang tamu oleh orang ramai sebelum menghubungi polis, manakala pengkid terbabit ditemui di rumah jiran dipercayai untuk meminta bantuan.

“Siasatan polis mendapati ada dua kesan tikaman menggunakan pisau di perut mangsa dan senjata yang dipercayai digunakan turut ditemui di ruang tamu rumah terbabit. Polis masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar,” katanya di sini, semalam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

berita harian/-