20 September 2011

Pakar DNA Australia Tidak Setuju Sel Sperma Mampu Bertahan Lebih 100 Jam

22 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 20 SEPT : Pasukan pendakwaan kes fitnah liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapatkan pengesahan daripada pakar Australia, Dr Brian Mcdonald bersabit tempoh jangka hayat sel sperma mampu bertahan lebih daripada 100 jam.

Pada sesi soal balas sebentar tadi Peguamcara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden merujuk kepada tiga jurnal perubatan kes rogol luar negara yang menyatakan sel sperma mampu bertahan untuk satu tempoh yang begitu lama.

Brian yang mempunyai pengalaman selama 30 dalam mengendalikan ujian DNA mendapati perkara tersebut adalah mustahil dan enggan bersetuju dengan cadangan Yusof.

Beliau yang disoal Ram Karpal Singh sebelum ini berkata penemuan tersebut amat jarang berlaku dan ianya tidak boleh dijadikan rujukan.

Namun beliau tidak menafikan perkara tersebut adalah mustahil.

Suasana tegang seketika apabila Yusof dilihat cuba memaksa Brian bersetuju dengan penemuan dalam jurnal yang dikemukakan beliau termasuk menyuruh pakar itu membuat andaian ianya rujukan sahih.

"Saya tidak boleh baca kerana ianya tiada rujukan untuk perbandingan. Melainkan ada orang boleh terjemah. Saya yakin orang dalam dewan tidak boleh baca jurnal itu (bahasa Thailand)," katanya di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Peguam Ram Karpal kemudian membantah tindakan Yusof.

"Anda tidak boleh suruh saksi untuk buat andaian maklumat dalam bahasa Thai," katanya dan dibenarkan hakim.

Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu spesimen yang diperolehi dari dubur pengadu Saiful Bukhari Adzlan telah mencecah tempoh masa hampir 100 jam sebelum diuji makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM).

Malah peguambela mendakwa sampel tersebut tidak dikendalikan dengan baik dan berlaku konteminasi.

Namun laporan pakar kimia, Dr Seah Lay Hong dan pembantu Dr Nor Aidora Saedon yang dikemukakan kepada mahkamah menyatakan sperma berada dalam keadaan baik ketika diuji walaupun telah terdedah kepada persekitaran.

Yusof pada sebelah pagi dilihat cuba mempersoalkan kredibiliti Brian merujuk kepada laporan perubatan yang pernah ditolak mahkamah di negara Brunei.

Namun Brian mempertahankan kedudukan beliau sebagai pakar ujian DNA dengan menyatakan bahawa hakim kes tersebut mengiktiraf beliau sebagai saksi yang benar.

Mahkamah kini berehat sebentar dan akan bersambung jam 2.30 petang nanti.

tv selangor/-

Tiada ulasan: